BAB 3

Romance Completed 113574

"AINUL IZZA!"

Panggilan penuh terhormat dari arah pentas buat aku malu. Wajah aku sorok di belakang Ketupat. Cuba menghilangkan diri dari di cari oleh anak mata Elman.

Nasiblah Ketupat relaks aje aku jadikan dia benteng pertahanan. Salah aku sebab lukis muka Elman hodoh begitu tapi kenapa dalam banyak-banyak facy, dia juga jadi facy kumpulan kami. Sepatutnya Abang Haziq yang baik dan alim tu yang ketuai kami ini tapi entah apa cerita, Abang Haziq tak hadir pula hari ini. Jadinya, Elman yang mengganti dia.

Selepas itu, aktiviti hari ini pula ialah melukis. Lukis dengan jujur dan seikhlas hati muka facy kami. Yang aku hairan, kenapa orang lain lukis muka si Elman ini indah macam malaikat. Aku seorang aje ke yang bertindak mengikut arahan di sini? Lukis seikhlas hati!

Elman memandang tepat ke arah kumpulan kami.

"You better get out from his back, or I will come to you right now," ugutnya. Bunyi derapan kaki Elman yang sedang turun dari pentas itu buat aku mengalah. Aku keluar dari belakang Ketupat dan berdiri tegak.

Dia mengarahkan aku supaya menghampirinya.

"Explain!" perintah Elman. Lukisan wajahnya yang buruk dilukis oleh aku tadi, diserahkan kembali.

Riak tidak faham ku ukir. Iya lah. Apa lagi aku boleh buat, takkan nak buat-buat terkejut pula. Lagi mengamuklah abang ni....

"Saya cuma bertindak mengikut arahan, Tuan!"

"Arahan?"

"Iya lah. Arahan Tuan adalah melukis dengan jujur dan ikhlas. Inilah bukti keikhlasan saya." Lukisan wajah Elman yang hodoh dan bertanduk dua dengan gigi taring yang panjang dan berdarah itu aku tunjuk semula ke depan mukanya.

Elman merampas kembali lukisanku. Dia memicit kepala selepas itu mengarahkan aku untuk kembali ke kumpulan. Dalam hati aku sudah ketawa terbahak-bahak.

Ada aku kisah kalau Elman nak marah pun. Bukannya aku akan tenung wajah dia tiga tahun berturut-turut. Dia senior, aku junior. Sah-sahlah selepas ini peluang aku mahu bertemu dia lagi akan tipis.

"Aku rasa dari hari mula sampai ke hari ini, ada saja masalah kau dengan dia. Kau ini ada hutang dengan keturunan dia ke apa, Za?" Jiji menyoal. Dia pun stress lihat bagaimana Elman asyik jadikan aku sasarannya sahaja.

"Aku rasa keturunan dia dulu yang ada berhutang dengan keturunan aku. Itu asyik tak puas hati je," dengusku.

Geram juga bila Elman tidak habis-habis mencari salah aku sahaja. Ada saja yang tidak kena di matanya. Sampai sekarang pun dia masih lagi merenung aku dengan renungan tidak puas hati begitu.

Sebaik saja mendengar pengumuman makan tengahari, kami semua pakat bangun serentak dan bergerak ke kantin yang terdekat. Aku dan Jiji melenggang manakala, yang lain sudah pecut ke kantin blok A itu. Pelajar lelaki terutamanya, sampai bergolek jatuh atas jalan sebab bertolak-tolak melalui ruang pejalan kaki yang sempit. Macam budak-budak.

Kami beratur memanjang untuk mengambil makanan yang dihulur oleh makcik kantin. Aku dan Jiji yang paling belakang, dan di belakang aku pula Elman dan kawan-kawannya.

Bau wangian cologne Elman menusuk masuk ke dalam rongga hidung. Semerbak!

Beberapa orang pelajar perempuan lain di depan aku dan Jiji bermanis mulut dengan Elman. Ada saja soalan mereka. Dan Elman pula kadang-kadang jawab, kadang-kadang tidak. Bergantung kepada soalan itu sendiri.

Aku kagum dengan Elman kerana dia tidak begitu mudah cair dengan kata-kata. Prinsipnya kuat. Mungkin kerana itu jugalah dia diberi tanggungjawab mengetuai sesi orientasi ini. Ini pun aku baru saja tahu, rupanya Elman ini pengerusi wakil pelajar di sini. Patutlah gaya macam raja. Memang dia raja pun di kalangan kami para pelajar.

"YB... Kau jurusan apa?" tanya Elman dari arah belakang. Adik-adik junior yang menggedik padanya tadi dibiar sahaja. Langsung tidak dipeduli malah dia menanti pula balasan dari aku.

Mata mengerling Elman sekali lalu dan mendiamkan diri. Malas. Tiada sebab pun aku mahu beritahu. Dia boleh buat apa aje kan kalau aku tak mahu beritahu. Sempat aku gelak jahat di dalam hati.

Jiji menolak perlahan bahuku.

Jangan layan dia, Jiji!

"YB... Kau bisu ke? Aku tanya ni." Elman masih tidak berputus asa.

Alahai... Layanlah adik-adik junior sana. Yang kau sibuk mahu tahu jurusan aku kenapa.... Aku bagi jurus-jurus terlarang naruto nanti.

"YB...."

"Ei... Bisinglah! Abang Elman sibuk nak tahu kenapa?" bisikku.

Tidak mahu orang lain mendengar perbualan kami. Jujurnya, aku tidak selesa dengan layanan dia padaku yang bagi orang lain agak berat sebelah. Elman selalu saja memberi perhatian pada aku walaupun kebanyakan masa dia sengaja membuli tapi, itu yang membuatkan pelajar perempuan lain seperti tidak puas hati pula dengan kami.

"Saja."

Bibirku ketap. Geram.

"Kalau saja, tak payah tahu. Abang Elman boleh tak jangan tegur Za selalu. Orang lain pandang serong tau. Terutamanya peminat Abang Elman tu...." Mata terhala ke arah sekumpulan gadis cantik yang duduk berpuak-puak. Negeri dia, negeri dia aje. Langsung tidak mahu campur negeri lain.

"Oh... Za. Okay, Za. Panggil abang, Elman je." Elman tersengih.

Tangan menepuk dahi. Lain yang aku cakap, lain yang dia cakap. Perbualan kami tidak selari langsung. Aku cakap topik lain, dia buka topik lain. Apa ni!

Malas mahu meneruskan perbualan dengan Elman, aku berpaling semula ke depan.

"Dia berbual apa dengan kau tadi?" Jiji cuba mencungkil cerita. Kedua-dua keningnya terangkat beberapa kali. Sengihan sudah melebar di bibir.

"Tiada apa yang seronok untuk dibicarakan, Ji... Sudah! Jomlah! Kita nak makan dekat mana?" Mata meliar ke serata kantin. Mencari tempat duduk yang kosong.

Auni makan dengan kawan kumpulannya. Kumpulan kami pula sudah berpecah-pecah. Ada yang makan dengan kawan sebilik, ada yang makan dengan kawan satu kursus, ada yang menyelit saja di mana-mana meja yang kosong. Hanya tinggal aku dan Jiji saja yang tertinggal di belakang.

"Kena tunggu orang habis makan dululah gamaknya begini," rungut Jiji. Bibirnya terjuih ke depan.

"YB!" Laungan suara kakak MC membuatkan aku terkejut. Jarak antara mereka dengan kami tidaklah jauh mana tapi menjerit macam berbatu jauhnya.

Kakak MC yang bernama Linda itu melambai memanggil kami supaya datang ke meja mereka.

"Mari duduk sini. Bila nak dapat makan kalau tunggu aje dekat situ." Kak Linda beralih sedikit ke tepi memberi ruang kepada kami berdua untuk duduk.

Baru saja aku mahu mengucapkan terima kasih, mata terperasan renungan Elman yang jelas tidak puas hati itu. Sebal. Di mana-mana dan ke mana saja aku pergi, pasti renungan Elman kejar aku.

Lantaklah! Sudah memang dia ada di mana-mana saja aku berada. Aku anggap sajalah memang dia sengaja kejar aku. Entah apa lagi yang dia tidak puas hati.

Jiji mengambil tempat di sebelah Kak Linda, dan aku? Sebelah Elman. Sebab sebelah dia aje yang kosong sekarang ini.

"Sikitnya makan...," komennya sambil melihat ke dalam isi pingganku. Makanan pun dia nak kompelin.

"Tak selera."

Aku lebih berminat pandang makanan dari pandang wajahnya.

"Kenapa tak selera?" Nampaknya Elman ini boleh tahan ramah juga mulutnya ya. Nak makan pun tidak senang.

"Sebab tengok muka abang."

Dia banyak sangat tanya, aku akan cuba pendekkan sesi pertanyaannya. Dia ingat aku kaunter pertanyaan ke apa, asyik kena tanya aje.

Meletus ketawa abang dan kakak Facy yang duduk semeja. Riak mereka seakan tidak percaya sahaja bahawa aku berkata sebegitu kepada Elman. Elman mendengus geram. Dia kembali menyudu makanannya. Tahu pun nak diam.

"YB, awak manusia pertama yang berani kata begitu pada Elman," ujar abang Is. Nama penuh abang ni, Ismail tetapi dia memperkenalkan dirinya sebagai Is.

Kami ber-Hi Five. Ketawa kami bersatu.

"Aduh!" Tiba-tiba Abang Is berdiri, kejang. Kami semua ikut tersentak.

Anak mata Elman bergerak sedikit dan menerclung memandang Abang Is. Seakan memberi isyarat yang aku tidak faham maksudnya.

"Oh! Abang lupa nak tanya kau orang. Izza dan Jiji jurusan apa?" Kakinya digosok-gosok.

Elman diam menghabiskan sisa nasi di pinggannya. Hati aku dipalit rasa curiga. Elman ku perhati dari ekor mata.

Pandai betul Abang Elman berlakon macam tiada apa-apa.

"Seni Bina." Aku dan Jiji menjawab serentak.

"Building? Landscape?" Elman pula tanya. Dia kembali berminat. Suapannya juga sudah terhenti. Mata terhala kepada kami berdua.

"Building." Aku dan Jiji menjawab serentak lagi.

Aku dan Jiji saling berpandangan. Pecah ketawa kecil antara kami. Sehati sejiwa betullah!

"Nice to meet you and will keep meeting you." Elman bangun membawa pinggan yang sudah kosong. Air kotak soyanya yang belum diminum diletak berdekatan pingganku.

Menyesal aku jawab.

Yang lain turut cepat-cepat menghabiskan makanan di dalam pinggan apabila Elman sudah berlalu pergi ke dewan. Abang Is menyumbat roti gardenia ke dalam kocek belakang dan bajunya lalu mengejar langkah Elman.

Macam lembu cucuk hidung semuanya. Mana Elman pergi, mereka pasti mengekor. Ish! Ish!

•••

SURAT kiriman Abang Ben padaku sebelum masuk ke universiti, ku baca sekali lagi. Dengan mudahnya hatiku terubat. Abang Ben memang boleh diharap dalam memujuk hati yang sedang rindu pada rumah sekarang ini. Setiap bait-bait katanya tidak pernah mengecewakan dan sentiasa memberi semangat.

Setiap malam pasti ada saja kiriman teks darinya. Mungkin dia risau. Abang Ben selalu begitu, risau tidak bertempat.

Aku masih ingat lagi ketika masih di sekolah menengah, Abang Ben yang paling menggelabah ketika menunggu keputusan periksa PMR aku dan Laila. Padahal aku dan Laila sikit pun tidak kisah dengan keputusan peperiksaan kami sendiri.

Pesanan teks dari Abang Ben ku baca sekali lalu dan menaip sesuatu sebagai balasan.

'Terima kasih, abang. Bila abang nak balik? - Izza'

Telefon ku campak ke tepi. Buku silibus yang tebal itu ku belek-belek. Tiada semangat mahu belajar dan mengulang kaji. Manalah pergi semangat mahu belajar aku ketika sesi orientasi dulu.

Bip.

'Minggu ini. - Ben Azir'

Keluhan besar ku lepaskan. Nampaknya di kampung sana semua orang mesti pergi berseronok-seronok kerana Abang Ben akan pulang. Aku saja tertinggal di sini dengan semangat belajar yang sudah hilang.

Bip.

'Izza mahu apa sebagai hadiah? Nanti abang belikan. - Ben Azir'

Senyuman memekar. Mudah betul mahu beli jiwa aku rupanya ya. Cakap pasal hadiah saja, terus merecup semangatku. Apa yang paling bagus untuk dibeli di UK? Akhirnya aku minta Abang Ben beli saja apa yang dirasakan sesuai untukku. Malas mahu fikir banyak. Aku cuma mahu Abang Ben selamat pulang ke Malaysia sahaja.

Abang Ben mengucapkan terima kasih atas doa aku yang mengharapkan keselamatannya dan dia berjanji dia akan belikan aku hadiah yang terbaik dari hadiah Laila.

Kalendar di atas meja aku ambil dan mencatat hari penerbangan Abang Ben dari UK ke Malaysia. Pasti banyak barangan yang abang bawa balik. Agak-agaknya abang ada atau tidak alatan memasak yang boleh aku bawa masuk ke hostel?

"Ha? Kau berangan apa lagi? Tak tidur lagi?" Auni menyampuk. Dia baru selesai mandi.

Bantal busuk yang aku bawa dari rumah aku baling ke arah Auni yang masih berkemban. Sengaja mahu menganggu ketenteraman Auni yang sedang menampal bedak sejuk di wajah. Sempat lagi dia. Aku sudah tidak fikir apa dah, fikir malas nak masuk kuliah esok saja.

Auni ketawa terbahak-bahak apabila mendengar luahan malasku.

"Mungkin kau lupa sesuatu. Aku sengaja mahu ingatkan, semoga kau tak terjumpa Elman esok!" Auni berlari ke ruang belajar apabila aku mahu membaling bantal kepala pula padanya.

Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang Auni boleh sebut, nama Elman juga yang terdetik difikirannya. Makin bertambah-tambah rasa malasku. Mungkin aku patut buat solat hajat dan meminta untuk dijauhkan dia dari kami sepanjang tahun ini.

Badan ku rebahkan ke atas katil.

Gambar keluarga aku dan Laila yang kami rakamkan saat bercuti di Pulau Pinang ketika masih bersekolah dulu aku tatap. Ada pak cik, mak cik, Kak Maisara, Haimeen, umi, Laila, aku dan Abang Ben. Mana mungkin kami dapat membalas jasa keluarga ini yang sudah terlalu banyak membantu kami di saat susah.

Air mataku mula bergenang.

Kalau aku ada ayah, adakah kami akan dapat bergambar begini? Adakah ayah juga akan ada di dalam gambar yang sama? Sepanjang hidupku, tidak pernah aku lihat wajah ayah. Cuma batu nisan yang terukir namanya. Fikiranku cuba membayangkan susuk seorang lagi lelaki berdiri di antara kami di dalam gambar. Namun, gagal.

"Ayah...."

"Izza mahu ayah di sini. Izza mahu ayah ucapkan tahniah kepada Izza. Izza mahu ayah hantar Izza sampai ke pintu pagar universiti dan lihat ayah melambai pada Izza," selorohku sendirian.

Gambar Abang Ben di sebelah aku sentuh pula. Abang Ben yang banyak mengambil alih tugas seorang ayah dalam hidupku. Ketika mengambil kad laporan, Abang Ben yang datang berjumpa guru kelasku. Ketika hari penyampaian hadiah pelajar cemerlang, Abang Ben yang paling kuat bersorak dan bertepuk tangan. Dan setiap kali Umi tidak dapat menghadirkan diri dalam hal-hal sekolahku, Abang Ben yang akan menggantikan Umi. Begitu banyaknya jasa abang.

'Izza... Abang yakin dan pasti ayah Izza pun sedih kerana tidak dapat melihat Izza membesar. Izza harus tabah hidup tanpa ayah. Satu hari nanti, bila Izza boleh jumpa ayah... Izza cerita pada ayah bahawa Izza membesar dengan baik dan ucap terima kasih pada ayah kerana sudah banyak berkorban ketika hidupnya.'

Kata-kata Abang Ben suatu masa dulu terbang masuk ke dalam fikiran.

Aku masih ingat lagi ketika Hari Ayah Sedunia, guru menjemput semua ayah murid-murid supaya datang ke sekolah untuk diraikan. Dan aku pula, menjemput Abang Ben untuk mengisi kerusi ayah yang kosong. Sepatutnya, aku mahu meminta Pak Cik Kamil untuk datang tetapi Pak Cik Kamil sudah datang sebagai ayah Laila. Jadi, Abang Ben yang jadi ayahku pada hari itu.

Abang Ben sentiasa di sisi saat aku perlu tempat meluah dan bercerita.

"Tak apalah. Ayah rehatlah. Abang ada di sini untuk Izza," bisikku di dalam hati. Bibir kembali tersenyum. Air mata ku seka mengggunakan jari.

Rindu. Aku rindu mahu menatap senyuman Ben Azir. Ketika di kampung dulu aku tidak begitu terasa kehilangannya apabila dia kembali ke UK kerana dikelilingi orang tersayang. Tetapi kali ini rasa rindu menggebu kerana aku tahu dan sedar bahawasanya aku hanya punya dia di dunia ini. Hanya dia yang akan bersama aku di turun dan naik. Dan tidak pernah sekalipun Abang Ben tidak bangga dengan diriku.

Wajah Abang Ben yang sedang tersenyum di dalam gambar sambil memeluk bahu aku itu kelihatan begitu bersahaja. Ini antara gambar kesukaan aku. Kerana semua orang yang aku sayang tersenyum bahagia di dalamnya. Mungkin kalau ayah ada, ayah akan berdiri di sebelah aku dengan aku di tengah dan Abang Ben paling hujung. Diapit oleh dua lelaki yang paling aku sayang di dalam dunia pasti akan terasa bahagianya.

Gambar aku selit di bawah bantal. Hati mengucap doa semoga kebahagiaan yang aku rasa kini akan terus berkekalan. Mata ku tutup rapat.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience