BAB 4

Romance Completed 113574

KEADAAN di luar Pustaka universiti sarat dengan para pelajar. Semuanya suka duduk melepak di meja-meja batu yang terletak di luar pustaka. Aku meletakkan beg dan buku-buku yang tidak diperlukan ke dalam lokar dan menguncinya.

Kad matrik pelajar aku scan ke skrin di hadapan pintu. Automatik pintu pustaka terbuka dan wajah aku terpampang di skrin. Teknologi pendidikan yang disediakan di universiti terkemuka begini memang lain dari yang lain.

Mesej dari Auni aku balas dengan memaklumkan padanya lokasi tempat aku berada sekarang. Auni masih belum selesai kuliah. Sudah hampir seminggu juga kami memulakan kelas dan kuliah dan inilah pertama kali kami sempat mahu makan tengahari bersama.

Aku berlalu ke salah satu rak buku yang terdapat di tingkat dua. Sementara menunggu Auni sampai, ada baik juga membaca di sini daripada menunggu di tengah cuaca panas.

"Hai, Za!" sapaan mesra dari sebalik susunan buku di rak buatkan aku mengangkat wajah sedikit.

"Hai...," balasku dengan nada berbisik.

Sepasang mata yang biasa ku lihat. Tetapi di mana, ya?

"Baru habis kelas?"

Kepala mengangguk mengiyakan pertanyaannya.

"Ha'ah."

Tanganku menarik dua buah buku yang menjadi penghalang antara kami.

Riak Elman tersenyum sampai menampakkan barisan giginya.

"Za ingat siapalah tadi. Abang Elman rupanya...," jawabku bernada malas.

Bukannya tidak suka berkawan atau berbual dengan Elman, tetapi sejak hari pertama masuk kuliah, semua pelajar perempuan seakan-akan meminggirkan aku. Semua gara-gara Elman!

Aku segerakan tangan memilih buku-buku yang menarik, mahu cepat pergi dari sini. Tidak sudi mahu berbual panjang dengan Elman. Kalau orang lain nampak, lagi banyaklah tohmahan yang akan aku terima.

Bak kata Auni, Elman ini kira abang senior paling hot lah. Ramai peminat. Memang tidak pelik kalau aku dikecam gara-gara dia. Lebih lagi aku ini budak junior yang tidak sampai sebulan pun menuntut di sini.

Elman membetulkan cermin matanya. Ini pertama kali aku lihat dia bercermin mata.

Kaki ku hayun meninggalkan Elman sendirian di ruang rak buku dan berlalu ke meja membaca yang kosong.

Helaian muka surat ku buka.

Baru saja mahu mula membaca, buku nota kecil diletakkan di hadapanku oleh Elman. Dia duduk di meja sebelah.

Keluhan terlepas. Malas-malas aku buka juga buku nota kecil tersebut.

Mata membaca baris tulisannya. Di dalam diam, hatiku memuji kekemasan tulisan Elman.

'Dah makan? Jom lunch sekali.'

Mataku berpaling memandang Elman sekilas. Elman mengangguk, bibirnya mengajak aku supaya bersetuju.

Memang tidak. Aku sudah ada janji lain.

'Tak boleh. Dah ada date.'

Buku nota kecil itu aku letakkan kembali ke atas mejanya. Mata kembali menelaah bacaan ringan di depan mata. Buku hasil karangan penulis bernama Zahmir itu menjadi pilihan.

"Dengan siapa?" Kali ini Elman bersuara dalam nada berbisik.

Dia datang mahu baca buku atau mahu berbual? Inikan perpustakaan.

"Kawan Za lah. Abang Elman baca ajelah buku di tangan itu. Ganggu Za aje." Aku pun berbisik. Tidak mahu terganggu orang lain.

Wajah ku sorok di sebalik penghadang meja apabila beberapa orang pelajar perempuan memandang ke arah kami. Tidak pasal-pasal keluar pula gosip pelik-pelik mengenai kami hanya kerana Elman duduk di sebelah.

"Oh... Kawan Za. Abang bukan datang nak baca buku pun." Elman masih lagi berbisik.

"Habis itu Abang Elman buat apa datang sini?" balasku tidak berpuas hati.

Jangan dia kata dia sengaja mahu mengganggu ketenteraman aku sudahlah. Memang aku bagi penampar nanti.

"Saja nak berborak dengan Za," ujarnya bersahaja. Dia berpaling ke arahku untuk sesaat dan kembali memandang ke hadapan.

Mulalah darah aku mahu menggelegak mendengar jawapannya. Memang tidak ada kerja sangat agaknya. Kalau tidak ada kerja, pergilah cari. Tolong kutip sampah ke, buat mesyuarat dengan ahli wakil pelajar ke... Apa ke halnya mahu berborak dengan orang dekat perpustakaan begini.

"Abang Elman pernah makan penampar tak?" Mataku tajam menjeling dia.

Elman tergelak. Serta-merta ada orang menyuruh kami berdua untuk diam. Dia ingat ini gerai tepi jalan ke gelak sampai begitu sekali. Aku meletak jari di bibir menyuruh dia untuk mengawal sedikit suaranya.

"Sedap ke?" Sisa tawa Elman beransur hilang. Dia cuba mengeraskan kembali wajah.

"Za tak pasti sebab Za tak pernah rasa. Za pernah bagi orang rasa je." Aku membalas acuh tidak acuh saja.

Getaran dari dalam poket menyedarkan aku akan rancangan asal aku di sini. Mahu menunggu Auni! Tapi sudah tersasar jauh pula pergi berborak dengan abang senior di sebelah ni.

Pasti Auni sudah tunggu lama di luar. Sebelum bangun dari kerusi, mata memandang ke arah dua tiga jenis buku yang aku ambil tadi.

Alahai... Kenapa pula aku pergi ambil sampai banyak-banyak buku begini. Bukan nak duduk dua tiga jam pun. Mata mengerling ke arah Elman di sebelah.

Semua salah Elman. Habis semua benda pun jadi lupa.

"Eh... Nak ke mana?" Elman menghalang apabila aku meletakkan semula buku-buku yang aku ambil tadi ke rak.

"Kawan Za dah tunggu." Tidak mahu berlengah-lengah lagi. Nanti jam 2, kami ada kelas lain. Kami cuma ada lebih kurang 45 minit saja untuk makan.

Elman turut bangun dari duduk. Bukunya juga diletakkan semula ke rak lalu kembali ke meja untuk mengambil dompet dan telefon yang ditinggalkan tadi.

"Okay, jom!" ajaknya.

Aku terdiam. Tidak faham apa yang dia maksudkan. Takkanlah Elman mahu menyertai aku dan Auni makan sekali pula. Itu sengaja cari publisiti namanya.

"Jomlah! Kata nak bagi abang rasa makan penampar."

Tanganku menampar kuat bahu Elman. Ketawa meletus. Nasib sempat tutup mulut. Elman sengaja... Mungkin dia ingat dia kelakar sangat kut.

"Za bagi bahu abang rasa penampar Za dulu. Kemudian hari Za bagi muka abang rasa penampar Za pula. See ya!" Tanganku melambai-lambai meninggalkan Elman terpinga-pinga.

Telinga masih dapat menangkap keluhannya yang penuh dengan rasa tidak puas hati itu.

Nasib kaulah, Bang. Siapa suruh suka sangat cari pasal. Pergi lah cari kawan lain, sibuk mahu berkawan dengan aku....

"Za!"

Panggilan Elman buat aku berpaling semula memandang dia. Kening terangkat.

Mulutnya seperti ingin berkata sesuatu namun terhenti.

"Enjoy your lunch...," ucapnya dengan senyuman di bibir.

Degup!

Lambat-lambat bibirku mengukir kembali senyuman untuknya. Entah kenapa senyumannya yang satu itu terasa ada makna disebaliknya dan aku pula tidak berani mahu sesuka hati menebak rasa hatinya.

"You too...," balasku tanpa suara. Jari ku naikkan sekali lagi ke bibir.

Mengingatkan dia untuk diam ketika di dalam perpustakaan. Elman tersengih apabila tersedar akan kesilapannya. Sabar sajalah....

Kami membawa haluan masing-masing. Auni di luar merungut-rungut apabila aku terlewat. Bukannya aku sengaja mahu terlupa, aku memang terlupa tadi!

Langkah kami atur ke dewan makan. Idea Auni yang mengajak aku makan di dewan makan pensyarah.

Kata senior, kalau mahu makan masakan yang sedap berserta suasana yang tenang, di dewan makan pensyarah tempatnya dan tiada larangan pun jika pelajar mahu makan di situ, cuma harganya saja yang mahal sedikit berbanding di kantin biasa.

Kami masuk ke dalam sebuah bangunan kecil seperti sebuah kedai makan yang terletak di antara blok pensyarah dan juga bangunan perpustakaan. Pintu berkaca gelap itu Auni tolak. Bunyi loceng yang berbunyi apabila pintu ditolak membuatkan semua yang sedang menjamu selera memandang ke arah kami.

Aku mengundur selangkah ke belakang Auni. Malu.

Memanglah aku nampak berani tetapi kalau sudah semua mata memandang begini, automatik aku boleh jadi pemalu tanpa dipaksa. Aku biar Auni jalan dulu.

"Kau pergi tolak pintu tu kuat-kuat kenapa? Buat malu aje tadi," rungutku.

Mata sudah rambang melihat deretan lauk-pauk yang sangat menyelerakan. Benarlah kata Auni, makanan di sini high-class sedikit berbanding di kantin.

Auni memilih beberapa jenis lauk masuk ke dalam pinggannya sementara, aku selesa hanya mengambil satu jenis lauk saja. Kalau ambil lauk kering, aku akan cedok kuah saja dari lauk yang lain. Memang itu cara aku menjamah makanan.

Selesai membuat pembayaran di kaunter, aku menunggu Auni membayar makanannya pula.

Wajah ku tundukkan apabila terperasankan renungan seseorang. Rasa tidak senang mula membelenggu diri. Hujung baju Auni aku tarik berkali-kali.

"Auni...," panggilku sambil cuba melarikan wajah dari terus direnung oleh sepasang mata milik lelaki itu.

Lelaki yang sedang minum bersama beberapa orang rakannya. Lelaki yang sama yang aku janjikan penampar sebentar tadi!

Anak mata kami bertembung. Elman tergelak kecil. Entah-entah dia sedang geli hati melihat perlakuan aku yang tiba-tiba jadi tidak tentu arah begini.

Kami berdua duduk di meja yang jauh sedikit dari Elman dan kawan-kawannya. Malangnya, meja kami tidak membelakangi dia. Suapan nasi aku pun jadi tidak tentu arah. Kalau tadi perut aku berkeroncong macam tidak makan seminggu, sekarang aku rasa kenyang dan tidak mahu makan seminggu. Nasi di dalam pinggan langsung tidak luak.

Hati menjerit-jerit berdoa semoga Elman cepat-cepat selesai makan dan berlalu dari situ sesegera mungkin.

Aku menghembus nafas lega apabila Elman bangun dari kerusi. Nampaknya, tenanglah aku mahu makan sekejap lagi. Entah jin apa merasuk aku ini sampai tiba-tiba saja jadi tidak tentu arah begini hanya kerana melihat dia.

"Lambatnya kau makan." Auni merenung nasi di dalam pinggan yang masih berbaki lagi separuh.

Tangan menyambung suapan apabila sosok Elman sudah hilang dari pandangan.

"Sabarlah!"

•••

KAKI berlari keluar dari padang tempat kelas kami bermain bola jaring. Pelajar perempuan bermain bola jaring manakala, pelajar lelaki pula bola sepak melawan pelajar kelas lain.

Air di dalam botol yang aku bawa dari hostel tadi aku teguk sehingga separuh kosong. Badan sudah basah dek peluh. Kalau kering, pasti tengik bau satu badan.

Sesekali aku menjerit dari kejauhan menyokong pasukan lelaki kelas kami yang sedang menyepak bola ke sana dan ke sini. Setakat ini nampaknya kami belum memperolehi cukup mata untuk memenangi perlawanan.

Tangan menarik hujung tudung apabila angin bertiup kuat. Jadi teringat pada kata-kata kawan tudung labuh ketika di sekolah dulu. Angin adalah musuh utama tudung. Sebab, kerana angin tak pasal-pasal boleh terbang tudung atas kepala.

Aku melentokkan kepala ke atas meja batu di bawah pokok. Angin yang bertiup buat aku mengantuk. Tambah pula baru lepas bersenam, makin beratlah kelopak mata.

Baru mahu lelap, tiba-tiba bahuku di tepuk beberapa kali oleh seseorang. Kepala aku naikkan semula.

"Awak, ni untuk awak." Sepucuk kertas yang dilipat dua diserahkan kepadaku. Belum sempat aku bertanya dari siapa, pelajar lelaki itu sudah berlalu pergi menuju ke padang bola sepak.

Apa-apa saja lah.

Kertas ditangan ku buka. Serta-merta ketawa meledak. Nasib tiada sesiapa berdekatan ketika itu. Mana tidaknya, habis penuh bedak diletak dalam lipatan kertas ini. Hati mula rasa curiga. Siapa sajalah yang berani-berani mahu main-main dengan aku ni. Alahai....

Bedak tersebut aku tiup. Nasiblah kalau jerebu universiti ini nanti. Salahkan pengirim surat ini, bukan aku.

Mata membaca bait-bait perkataan yang tertulis. Bibir menahan senyum.

'Aku seorang insan yang yang terjatuh pada susukmu,

Menunggu kau membalas renungan.

Maaf kalau aku terlalu lantang,

Kerana kau terlalu memikat.

Perlahan kau bawa aku menari bersama bulan,

Walaupun aku tahu itu sekadar gurauan.

Tanpa sedar aku terjatuh,

Hatiku terpanah akan setiap panahan matamu.

Bak malam yang diterangi bintang,

Cukup hanya dari kejauhan.'

Mulut menghela nafas perlahan. Harus aku akui, hatiku sedikit terusik dengan baik kata-kata indah yang ditulis. Tidak dapat mahu ku gambarkan perasaan yang dirasakan sekarang. Cukup sekadar aku gambarkannya dengan rasa bahagia? Mungkin.

Ini surat cintakah? Tidak pernah aku terima puisi cinta begini. Jadi teringin mendengar penulisnya membaca sendiri puisinya ini. Jujurnya, aku memang tidak pandai membaca puisi begini. Aku pandai-pandai baca sahaja.

Mata mencari kelibat manusia-manusia yang mencurigakan. Mana tahu si pengirimnya ada berdekatan sini. Kalau tidak, masakan dia tahu aku di sini, bukan? Atau mungkin abang yang bagi surat ini pada aku itu orangnya.

Haih...

Aku putus asa. Malas mahu mencari pengirimnya. Kalau pengirimnya serius, pasti dia sudah terpacak di depan aku. Buang masa saja fikir banyak kalau sudah si tuan badan tidak memunculkan diri.

Lagi pula, kalau tuan badan surat ini jumpa aku. Memang aku basuh dia supaya jangan membazir bedak lagi!

"Kenapa, Za?" soal Hanis, teman sekelas. Ada beberapa orang dari kumpulan orientasi kami yang akhirnya bertukar menjadi teman sekelas. Jem dan Ketupat antaranya. Hanis pula adalah kawan yang baru aku kenali di dalam kelas tutorial. Di saat semua pelajar perempuan memboikot aku, hanya Hanis yang sudi menegur.

"Tak ada apa. Ni surat layang dari mana entah aku dapat. Malaslah nak kisah." Kertas aku sumbat masuk ke dalam beg, tidak mahu menyesakkan fikiran.

Kumpulan bola jaring sudah mula mahu bergerak pulang. Semua sudah kepenatan. Sebelum bergerak pulang ke hostel masing-masing, kami berbual-bual dan melepak dahulu di bawah pokok sambil bersorak menyokong kumpulan lelaki yang masih tidak puas bermain bola. Asyik re-match tak sudah-sudah. Bila nak habisnya tidak tahulah....

Seorang demi seorang pelajar perempuan meninggalkan padang. Semua sudah bosan menonton orang lelaki sepak bola ke sana ke mari tetapi tidak masuk gawang langsung. Naik sakit tekak bersorak tapi, sia-sia. Aku juga begitu. Sudah siap-siap mengambil beg dan botol air untuk bergerak pulang ke hostel.

Tangan melambai-lambai ke arah kawan-kawan yang rata-rata semua tidak satu blok hostel dengan aku.

"Jumpa isnin depan, Za!" jerit Hanis apabila aku sudah sedikit jauh dari mereka. Tangan teruskan melambai sambil mengangguk kepala.

Yakin bahawa Hanis sudah tidak akan berpaling lagi, baru aku berlalu masuk ke blok hostel.

Jantung kembali menjadi tidak tentu arah apabila terpandangkan Elman yang sedang berdiri sambil menyandar ke dinding luar blok hostel perempuan. Dia juga kembali tegak apabila menyedari kehadiran aku di depan.

Kekok.

Aku jadi tidak tahu bagaimana mahu memulakan perbualan padahal sebelum ini santai saja aku menegur dia. Dan aku juga tidak merasa aku perlu buka topik dahulu memandangkan dia yang datang ke sini. Inikan blok perempuan.

"Erm... Za sibuk tak sekarang?" soalnya.

Dahiku berkerut.

Apa sebenarnya sebab kedatangan Elman ini? Sibuk atau tidak itu ada kena-mengena ke? Sekalipun aku sibuk, aku tetap tidak boleh halau dia setelah dia bersusah-payah menunggu aku di sini.

"Tak. Kenapa?"

"Abang ada benda nak cakap. Err... Za dah makan? Kita makan sekali," ajaknya pula.

Sungguh! Aku tidak dapat menangkap niatnya ke sini. Lambat-lambat aku bersetuju apabila aku teringat semula janji mahu bagi dia makan penampar tempoh hari. Kalau Elman benar mahu rasa sangat penampar aku, boleh aje....

"Okay. Tapi, kena tunggu Za bersihkan diri sekejap. Busuklah...." Senyuman keanakan ku ukir untuk Elman.

Elman tersenyum senang. Entah apa yang menyenangkan hati dia aku pun tidak pasti. Aku meminta diri untuk naik ke atas dahulu sementara, Elman pula akan menunggu aku di bawah saja.

Sebelum turun berjumpa Elman, aku sempat mandi, masukkan baju di dalam mesin basuh layan diri dan juga solat Asar dulu memandangkan aku belum solat Asar lagi.

Kaki berlari anak turun ke bawah apabila segalanya sudah aku selesaikan walaupun sebenarnya jauh di sudut hati, aku rasa Elman sudah pulang. Hampir sejam juga aku tinggalkan dia seorang diri di bawah. Ini pun aku turun sebab nak check aje betul ke dia sudah pergi.

Kelibat Elman di tempat dia berdiri tadi sudah tiada. Buat penat aku turun.

"Dah?"

Aku tersentak.

Mujur tidak melompat aku apabila tiba-tiba disapa dari arah belakang. Tangan mengusap dada perlahan.

Mata memandang dia seperti tidak percaya. Jangkaan meleset.

"Dah... Abang Elman tak balik lagi? Maaf, terlama pula," sengihku. Rasa bersalah menyapa kerana membuat dia tertunggu-tunggu sendirian di sini.

Itulah kau, Za... Yakin sangat!

"Tak. Abang tunggu Za lah." Dia memandang aku atas bawah lalu ketawa.

Bibir mencebik. Jangan sampai aku lari naik bilik balik semula ya. Aku lari nanti, kau makanlah seorang diri!

"Za tak perasan kut. Biar Abang Elman beritahu... Za pakai selipar sebelah lain-lain Za." Elman ketawa terbahak-bahak sehingga menekan perut.

Kepala menunduk memandang ke bawah.

Ya Tuhan! Selipar Auni dengan patung di tengah aku kebas sarung ke kaki kiri. Selipar aku yang bunga-bunga pula aku sarung ke kaki kanan. Sudah macam taman permainan.

"Tak apa. Za memang suka kelainan. Jomlah!"

Elman mengangkat sebelah kening. Tangan menyentuh dagu.

"Hm... You're funny Za." Elman ketawa.

Bahu terjungkit. Aku biarkan Elman dengan pandangan dan pendapatnya.

Kaki melangkah ke kantin terdekat tapi selepas itu, aku berpusing ke arah yang bertentangan pula. Pergi ke kantin paling jauh dari blok perempuan. Elman hanya mengikut rentak kaki aku. Mana aku pergi, dia hanya menjadi pengikut yang akur dengan langkah seorang Izza.

Kami menuju ke arah kantin di blok lelaki depan masjid itu.

"Za nak makan apa?" Elman sudah berdiri menawarkan diri untuk membeli makanan untuk kami.

Beberapa orang pelajar lelaki tersenyum-senyum. Gelak sajalah kalau mahu gelak. Aku tahulah mereka semua geli hati lihat kaki aku yang sudah macam taman permainan ini.

"Abang Elman belilah dulu. Nanti Za beli sendiri," saranku. Tak elok dia pula yang berusah-payah padahal perut aku yang mahu diisi.

"Sekalilah. Za nak makan apa?"

Tidak mahu berbalas-balas lagi, aku minta dia beli makanan yang sama saja dengan apa yang dia makan. Tidak sampai berapa minit, Elman datang dengan nasi goreng dan bihun tomyam. Ahai, kesukaan aku pula bihun tomyam ini.

Aku menunggu Elman memilih makanan yang dia mahu. Tahu-tahu saja Elman sudah tolak mangkuk bihun tomyam ke hadapanku.

"Za suka tomyam, kan? Makanlah."

"Mana Abang Elman tahu Za suka bihun tomyam?" soalku.

Sungguh tidak ku sangka! Tomyam yang dari tadi aku perhati ini jadi milik aku jua akhirnya.

Suara Elman tersekat-sekat. Seakan sedang memikirkan jawapan yang patut diberi.

"Err... Abang selalu nampak Za beli bihun tomyam dekat sini."

Sup tomyam aku hirup. Terangguk-angguk kepalaku mendengar jawapannya. Memang selalu aku menapak ke kantin blok lelaki semata-mata untuk bihun tomyam. Bihun tomyam di sini jauh lebih sedap. Tidak mustahillah Elman selalu nampak kelibat aku beli bihun tomyam.

Kami berdua menikmati makanan masing-masing. Walaupun rasa segan tapi aku tidak akan sia-siakan makanan aku kali ini. Bihun tomyam pula tu. Sesekali saja Elman akan bertanya soalan, itu pun soalan biasa-biasa saja. Soalan yang aku rasa tidak penting untuk dia tahu.

Aku sedar pandangan pelajar lain kepada kami tapi tidak risau sangat kerana rata-rata ramai pelajar senior dan pelajar lelaki saja di sini. Kalau kawan kuliah aku yang perempuan ada di sini, pasti aku cabut lari dulu.

Air limau ais di dalam gelas aku sedut untuk melegakan tekak. Nampaknya keadaan kantin semakin ramai orang. Pelajar lelaki yang baru balik dari bersukan mula memenuhi ruang makan.

"Jadi, apa yang Abang Elman nak cakap?"

Kalau tunggu abang depan ini buka mulut dulu, boleh tertidur agaknya kami di sini. Hari pun bukan semakin cerah.

Elman dari tadi tidak habis-habis merenung wajahku. Apalah yang dia tilik di muka aku ini. Jerawat aku ke? Aku lupa cuci muka ke?

"Za ada dapat surat abang?"

Perkataan 'surat' membuat aku jadi lebih berminat. Mata membulat memandangnya.

"Abang Elman yang bagi ke?" Senyuman terlepas. Membayangkan Elman menulis puisi berbunga begitu, jadi geli hati pula. Anggukan Elman buat senyumanku makin melebar.

"Gelaklah kalau nak gelak. Tahan-tahan pun gelak juga nanti." Elman mengecilkan matanya memandang aku tajam. Namun selepas itu dia tersenyum.

Hailah. Selalu pula Elman senyum sejak dua menjak ini. Mungkin tekaan aku mengenai dia hanya berlakon ketika di orientasi itu benar. Elman yang sebenar mesra manusia sebenarnya.

"Okay. Okay. Tak gelak dah. Pandai abang menulis," pujiku

Memang pandai tulis pun. Bait-bait kata puitisnya menyentuh hati. Kalau itu tak pandai, apa lagi maknanya.

"Pandai tulis hanya untuk Za," ucapnya. Pandangan matanya kali ini lebih lembut dari kebiasaan.

Aku terkedu. Tidak tahu bagaimana mahu mentafsir kata-katanya tadi. Untuk aku? Err... Maksudnya... Err... Tidak beranilah mahu perasan sendiri!

"Za faham, kan?" Suara Elman memanggil aku kembali ke realiti.

"Ha?" Aku tidak faham. Mungkin aku faham tapi aku tidak yakin sama ada kefahaman aku dengan kefahaman dia, sama.

Kening Elman berkerut sedikit. Dia mengambil nafas panjang dan melepaskannya perlahan.

"Abang nak berterus terang saja dengan Za...."

•••

Share this novel

Jue
2020-10-31 19:16:45 

tu lah.. harap mlm ni boleh hbis la.. hehe sbb tu tak nak masuk ke comment yg lain tu nnt spoil.. huhu

Jue
2020-10-31 17:58:01 

Hahahaha...Baru nak marathon ni...sakit perut pulak gelak pasal selipar di Za tu adui.. ok nak sambung lg..


NovelPlus Premium

The best ads free experience