BAB 22

Romance Completed 113574

KAKI melangkah laju meninggalkan Elman di belakang. Sakit hati melihat pasangan kekasih yang sedang bercanda di dalam restoran tadi. Hasrat mahu berseronok dengan Elman hari ini terus lebur.

Aku terus berlalu dari situ apabila si wanita terperasankan kehadiran kami berdua.

"Sayang!"

Panggilan Elman aku biarkan. Bibir melengkung ke bawah, hatiku bagai sedang dihiris sembilu.

Sesampai sahaja di parking lot, kaki memperlahankan kelajuan. Elman berhenti betul-betul di belakang.

"Sampai hati umi...," rintihku apabila tangan Elman menyentuh bahuku.

Dalam fikiran sudah terbayang-bayang nama ayah. Apa ayah sudah tiada lagi di dalam hati umi? Nama ayah aku sudah umi padam sehabisnya? Aku tahu 20 tahun lamanya tanpa suami pasti perit tetapi bagaimana cinta boleh luput hanya kerana si dia sudah pergi?

Tangan kasar Elman menggosok-gosok bahu, cuba menenangkan hatiku yang sedang dilanda gelora pilu.

Punggung ku labuhkan ke kerusi setelah Elman membukakan pintu. Dia juga masuk ke dalam kereta. Untuk beberapa minit, kami berdua hanya mendiamkan diri.

Aku runsing memikirkan hubungan aku dan umi, Elman pula mungkin sedang memikirkan cara terbaik untuk memujuk.

"Umi..."

"Sayang..."

Dua-dua berkata serentak. Hati yang sedang bersedih tadi tiba-tiba tercuit rasa lucu. Terkeluar ketawa kecil, sedikit.

Elman senang.

"Sayang cakap dulu. Elman dengar."

"Umi Za... Tadi tu Umi Za."

"Elman tahu. Muka Umi Za macam Za. Dari jauh." Sempat pula dia memuji.

Dan pujian itu telah berjaya membuat aku tersenyum. Memang wajah aku dan umi hampir sama. Macam adik-beradik sahaja kalau orang luar tengok kami. Umi mula menjanda sejak muda jadi kebanyakan masanya dia memang selalu menjaga badan dan wajah. Apalagi kerja di kilang sana asyik berkotor-kotor sahaja.

"Umi Za ada teman lelaki lain, selain ayah." Nama ayah aku sebut perlahan.

Pilu kembali bersarang bila membayangkan ayah yang sudah lama tiada itu. Ayah juga berseorangan di alam sana. Umi pula ada aku di alam sini. Ayah pasti lebih sunyi lagi.

"Za... Elman minta maaf kalau Elman tanya. Za tak suka ke?" Jarinya bertaut dengan jariku.

Aku memandang Elman dengan pandangan sayu.

Aku tidak suka? Mestilah.

Lambat-lambat kepala mengangguk.

"Za tak suka Umi Za gembira?" Elman bertanya lagi. Kali ini lebih jelas. Mungkin tadi dia kira aku tidak faham makna sebenar pertanyaannya.

Umi gembira?

Mataku membulat memandang Elman. Air di tubir mula bertakung.

Mahu menggeleng atau mengangguk, aku tidak pasti.

"Za mestilah mahu Umi gembira."

Aku mahu umi gembira tetapi dengan aku! Bukan dengan lelaki lain! Lelaki yang akan mengganti tempat ayah pula tu.

"Elman tak pernah beritahu sesiapa hal ini, tapi Elman rasa Elman nak beritahu pada Za."

Aku menanti dia berbicara lagi.

"Sebenarnya, adik-beradik Elman... Bukan adik-beradik Elman. Mak Elman sudah meninggal. Jadi, ayah Elman kahwin baru. Dengan seorang janda yang ada anak-anak. Selepas itu, ayah Elman pula meninggal. Dan mak tiri Elman kahwin baru, dengan seorang lelaki duda yang tiada anak. Elman anak tunggal. Tiada mak ayah. Tapi, Elman selalu gembira sebab Elman ada ayah tiri dan mak tiri yang sayang Elman macam anak sendiri. Segala kekayaan dan kemewahan yang Elman ada, semuanya bukan hak mutlak Elman. Semua ini ayah tiri Elman yang punya. Elman tumpang aje."

Dada aku serta-merta merasa sebak mendengar pengakuan Elman. Malah, dia boleh menuturkan segala itu dengan senyuman di wajah.

"Masa ayah Elman mahu kahwin lain... Elman rasa marah sangat. Elman rasa ayah Elman duakan mak Elman yang sudah tiada. Tapi, hikmahnya... Ta-dah! Ayah Elman meninggal dunia tetapi, dia tak tinggalkan Elman sendirian. Elman masih ada mak tiri yang jaga Elman dan tambah lagi satu ayah tiri yang benar-benar sayangkan kami semua."

Senyuman Elman semakin melebar mengenangkan segala hikmah yang terjadi dalam hidupnya. Aku kagum.

"... Kalau ayah Elman tak kahwin baru masa itu. Pasti Elman tiada di depan Za sekarang ini dan merempat dekat mana-mana sekarang. Elman tak akan dapat peluang capai cita-cita Elman. Ayah tiri Elman penyokong paling kuat Elman."

Pipi aku disentuh lembut. Air mata yang mengalir tadi sudah hilang diseka oleh jemarinya.

"Elman tiada sesiapa. Tapi Elman rasa Elman sudah ada segalanya dan lebih lagi apabila Elman jumpa Za."

Aku mengangguk faham dengan apa yang cuba dia sampaikan.

Umi... Kalau ini boleh memberi Umi bahagia... Za akan cuba ikhlaskan.

"Sayang dah okay sikit, kan?"

Mata dikerdipkan sebagai jawapan.

"Since you're not feeling well, kita balik dulu. Okay? Nanti, kita keluar lagi." Enjin kereta dihidupkan.

Aku hanya membatu. Memang semangat aku nak keluar tonton wayang pun sudah hilang. Membazir tiket saja aku ni....

•••

TOK! TOK!

Wajah ku tekup ke bantal. Panggilan lembut umi dari luar aku biar tidak berjawab. Walaupun tadi hati aku sudah rasa sedikit tenang, tapi selepas aku lihat umi pulang dihantar oleh lelaki entah siapa-siapa itu... Aku jadi geram semula.

"Za...." Suara umi merayu.

Makin pedih hati aku apabila mendengar suara umi bernada merayu begitu. Kali ini telinga pun aku tekap rapat. Tak mahu dengar.

Selepas setengah jam, rongga hidung aku terbau pula masakan kegemaran aku. Umi ni!

Sengaja aje mahu buat aku mengalah. Tapi aku tak akan kalah. Tudung bawal yang sudah tersidai di kepala katil, aku sarung ke kepala. Baju sweater pun aku ambil bagi menutup lengan yang terdedah.

"Za nak ke mana ni? Umi dah masak." Umi memanggil apabila dia ternampak kelibat aku yang mahu keluar dari situ.

"Za nak tenangkan fikiranlah umi. Berserabut jiwa Za ni."

Cepat-cepat aku tarik kasar basikal di bawah kolong. Langsung tidak memandang wajah umi, kaki terus mengayuh keluar dari perkarangan rumah kampung itu.

Argh! Aku boleh bayangkan wajah suram umi. Aku ini anak derhaka betullah!

'Umi... Za minta maaf. Izza tak boleh terima Umi ada lelaki lain selain ayah....'

Kayuhan semakin laju, mengikut irama yang sama seperti jantung sendiri. Lebih hiba hatiku, makin laju denyutan jantung, makin cepat juga kayuhan di kaki.

Panggilan Adilla dari kandang tepi jalan itu pun aku buat tidak peduli saja. Destinasi? Sungai! Itu sahaja tempat paling sesuai mahu menenangkan fikiran.

Tangan menolak basikal ke tepi dan punggung pula melompat turun dari atas basikal. Aku marah pada umi, tapi basikal yang jadi mangsa. Terbaring lesu basikal itu di bawah pokok.

Batu sungai yang paling besar aku daki lalu duduk berteleku di atasnya. Lima minit bersila, aku tukar posisi duduk. Kali ini duduk secara memeluk lutut. Bunyi air yang mengalir langsung tidak mampu membawa pergi masalah.

Nampaknya, kali ini teknik mencapai ketenangan tidak akan berhasil seperti yang selalunya.

Bibirku mencebik tatkala terpandangkan Ben Azir yang sedang berjalan kaki di atas jambatan. Dengan tuala disangkut ke bahunya. Lelaki itu melambai berserta senyuman di wajah.

"Za buat apa sorang-sorang dekat sini?" soalnya lalu memanjat naik ke atas batu dan duduk di sebelah.

Orang tak jemput, tiba-tiba dah duduk aje.

"Alah! Tak payah nak pura-pura tak tahulah, abang. Umi suruh abang datang sini?"

Memang aku tahu sangat dah taktik umi. Kalau dia tak dapat pujuk, dia telefonlah Ben Azir. Apa lagi....

Abang Ben ketawa. Senyumannya melebar. Kacak!

Tuala dan T-shirt diletakkan ke riba aku dan dia terjun masuk ke dalam sungai yang agak dalam itu. Dalam beberapa saat, kepalanya muncul kembali dari dalam air.

"Za tak nak mandi?"

Membulat mataku memberinya amaran. Penumbuk pun aku naikkan ke udara.

"Abang nampak penumbuk ni? Za dah besarlah. Tak boleh dah nak terjun dalam sungai ini. Berdua aje dengan abang pula. Tak senonoh orang kata nanti."

Tubuh kotak dan berototnya aku pandang sekejap-sekejap. Selama ini aku tak rasa malu pun, tapi sebab aku sudah tersedar yang kami berdua bukan budak kecil lagi... Tiba-tiba rasa malu menghurung diri.

Abang Ben melibas-libas air sungai ke arah aku yang sedang duduk di atas batu.

"Basahlah Za nanti!" marahku.

Alahai... Macamlah dia peduli aku cakap pun. Lagi dia buat ada lah!

Sekejap lagi, ada yang kena hempuk dengan aku ni....

"Abang!" Suaraku mulalah nak menyinga bila Ben Azir tak mahu dengar kata. Dengan mata aku sekali sudah mencerlung memandang dia di dalam air.

Tangan Abang Ben terus berhenti. Tahu pun takut. Lagi nak main-main pula!

Aku diam tidak berkutik. Orang datang sini nak tenangkan fikiran, dia datang sini serabutkan fikiran orang lagi ada lah.

Abang Ben mendaki naik ke atas batu semula. Rambutnya yang basah itu ditarik kebelakang dengan jari. Titis-titis air di wajah dan kumis membuatkan lelaki ini tampak lebih maskulin dari biasa.

Model majalah....

"Za kenapa? Abang buat Za marah ek?"

Aku menggeleng. Aku tak marah dia dah. Ada banyak benda lain aku sedang fikirkan daripada marah Ben Azir.

Dia meraup air di wajah dengan tangan.

"Jadi? Kenapa Za marah sangat? Sebab Auntie Lea?"

Haih... Dah tahu, sibuk tanya lagi.

"Za tak suka ke Umi Za bahagia?"

Lagi! Grr...

Abang Ben bukan faham pun. Mestilah aku mahu umi aku bahagia. Aku cuma tak suka umi aku tak bahagia dengan aku! Umi lebih gembira dengan lelaki entah siapa-siapa tu!

"Mungkin Umi tak gembira hidup dengan Za. Za selalu tinggal umi sorang-sorang."

Entah kenapa tiba-tiba terdetik di hati akan kesunyian umi bila aku meninggalkan dia sendiri di rumah. Sedangkan aku pula seronok ke Kuala Lumpur menyambung pelajaran. Umi sunyi sebab aku!

"Za... Umi Za tak pernah tak gembira hidup dengan Za. Lumrah hidup manusia. Mahukan pasangan untuk meluah rasa kasih dan sayang. Tiada siapa mahu sendirian hingga ke akhir hayat, Za."

Wajahku menunduk memandang air sungai yang mengalir. Bunyi air sungai yang tadi langsung tidak membantu, perlahan-lahan menghembus ketenangannya ke dalam hatiku.

"20 tahun Za. Umi berpegang pada cinta tanpa balasan. Za rasa, bukankah ini masanya untuk umi pula mendapatkan balasan cinta? Sekali lagi."

Aku mengakui kebenaran kata-kata Abang Ben. 20 tahun umi berpegang teguh dan setia pada cinta kepada ayah. Tanpa balasan walau hanya sepatah perkataan. Sabarnya umi hidup sendirian membesarkan aku.

"Umi ada bawa Pak Cik Zamarul datang rumah berkenalan dengan keluarga abang sebelum ini. Pak Cik Zamarul lelaki yang baik. Tak ubah baiknya macam ayah Za juga."

Kepala aku berpaling ke arah Abang Ben. Mata mencari jawapan dari anak matanya.

Abang Ben mengangguk.

"Dua tahun lepas. Tapi, umi tak mahu terima bila Pak Cik Zamarul mahu peristerikan Umi Za. Dia kata, Za lebih penting dari segalanya. Selagi Za belum habis sekolah, dia tak mahu fikirkan hal berumah-tangga. Percayalah, Pak Cik Zamarul lelaki yang baik untuk Umi Za."

Hati aku merintih. Memang sudah lama rupanya hubungan mereka sebenarnya. Siapa Pak Cik Zamarul ini yang tiba-tiba datang mencelah dalam keluarga kami.

"Za ingat tak hadiah yang abang bawa untuk Za masa Za sekolah dulu? Masa hari jadi Za?"

Mana mungkin aku lupa. Hadiah hari jadi kegemaran aku. Dan paling best, abang bagi aku dua hadiah terus tahun tu!

"Mestilah Za ingat. Satu hadiah gelang, satu lagi hadiah barang-barang solekan! Pertama kali Za dapat barang solekan. Tak sangka abang pandai pilih," puji ku.

Memang ketika itu aku gila dengan alat solek. Kewangan keluarga kami selalu tidak mengizinkan aku mahu bercantik-cantik. Malah, sampai sekarang aku jaga elok set alat solek yang mahal itu. Nak pakai selalu pun sayang. Itulah kali pertama aku rasa macam aku ini betul-betul perempuan, ada barang make-up sendiri!

Abang Ben ketawa kecil.

"Gelang tu abang bagi. Tapi, make-up tu Pak Cik Zamarul yang bagi. Dia segan nak bagi pada Za sebab Za bukan kenal dia pun. Tapi, dia kenal Za."

Senyuman aku mati.

"Pak c ik Zamarul selalu dengan Za. Walaupun dia bukan sesiapa, dia sayang Za macam anak sendiri. Dia ikhlas dengan Auntie Lea."

"Entah-entah dia ada bini," tuduhku. Curiga.

Abang Ben menampar perlahan tangan aku sambil matanya menegur dengan amaran. Tak suka kalau aku selamba badak tuduh Pak Cik Zamarul begitu.

"Dia duda, Za. Dia kenal Umi Za pun dekat tempat kerja. Dia ada seorang saja anak lelaki, itu pun dah besar. Dia sayang Za sebab dia tak ada anak perempuan. Salah ke Za, kalau ada orang ikhlas sayangkan Za?"

Aku menggigit bibir.

"... Bukan setahun dua dia kenal Umi Za. Dari Za kecil lagi dia selalu tolong Umi Za. Cuma baru sekarang dia berani luah perasaan sebab tak mahu bebankan Auntie Lea dengan perasaan cintanya."

Air liur aku telan. Terasa berdosa pula menuduh Pak Cik Zamarul begitu sekali.

"Za janganlah cakap begitu pasal dia. Za tak tahu pengorbanannya untuk Umi Za selama ini. Izza kenalah kenal dulu hati budinya baru Izza buat keputusan nak marah ke... Nak merajuk ke...."

Mata menjeling Abang Ben di sebelah. Nak cakap aku ini merajuk tak kena gaya ke macam mana ni?

Aku membuang pandang ke dalam sungai. Abang Ben terjun semula dalam air. Berenang ke sana ke mari. Kalau aku ini masih anak kecil, dah lama aku terjun. Tapi itulah yang tak seronoknya jadi perempuan. Bila dah besar, kena jaga diri dan batas pergaulan. Tidak boleh sesuka hati terjun mana-mana sungai dah. Tak macam orang lelaki. Bebas melakukan apa sahaja.

Jelesnya!

"Jom balik!" ajak Abang Ben yang masih berendam dalam air sungai tu.

Aku geleng kepala.

"Marilah... Kita balik. Auntie Lea masak lauk sedap gila hari ini."

Eleh... Abang nak pancing aku lah tu!

"Abang dah lapar ni...." Dia merengek pula. Perut dipegang dan diusap.

Dah kalau sampai merengek, terpaksa jugalah aku ikutkan.

"Abang yang nak makan tau, bukan Izza!"

"Iya lah. Iya lah. Abang yang lapar." Tuala di riba aku baling pada Abang Ben yang sudah naik ke tepi.

Dia mengeringkan badan dengan tuala sebelum menyarung T-shirt kembali. Seluar? Biar ajelah basah. Dalam perjalanan pulang, keringlah tu.

Aku tolak basikal dan berjalan kaki dengan abang sekali. Boleh pula kami menapak, jauh begini kalau dibandingkan dengan mengayuh basikal.

"Okay! Izza duduk belakang. Biar abang kayuh," ujar Abang Ben apabila basikal aku sudah bertukar ke tangannya. Dia sudah siap duduk.

Aku jungkit bahu. Kalau dah dia yang nak kayuh, aku sudi saja membonceng di belakang.

Kayuhan Abang Ben konsisten saja kelajuannya. Langsung tak terkesan dengan berat aku di belakang.

"Za tak berat ke?"

"Berat? Hm... Berat lagi sayang abang dekat Za."

Amboi... Beli jiwa nampak abang ni!

Pinggangnya aku cuit. Nasib tak jatuh basikal ini sebab hilang kawalan sikit tadi bila tangan aku gatal mencubit dia.

"Abang! Kalau Izza jatuh, siaplah..."

"Siapa suruh tak duduk diam-diam. Dahlah basikal Za kecil, warna pink pula. Jatuhlah air muka abang yang macho ni."

Aku ketawa terbahak-bahak mendengar alasannya. Macho konon! Yek!

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience