BAB 23

Romance Completed 113571

PEN di tangan aku pusing-pusingkan. Buku di atas meja langsung tidak menarik minat. Malah, suasana tenang dalam pustaka juga tidak mampu menaikkan semangat belajar.

Mata merenung ke arah orang lalu-lalang di luar tingkap.

Terhinjut kecil bahuku dengan hentakan tiba-tiba di atas meja.

"Woi!"

Tubuh ku tegakkan semula. Berpura-pura kononnya aku sedang tumpu menelaah buku di tangan. Senyuman Khazin aku balas dengan senyuman juga.

Khazin menarik kerusi di sebelah dan meletak beg silangnya di atas meja.

Sejak dua menjak ini memang aku dan Khazin menjadi teman belajar bersama di pustaka ini. Auni asyik sibuk dengan kawan sekelasnya. Hanis pula sejak mula bercinta dengan Maulana, nak nampak batang hidung pun susah.

Hm... Baru aku rasa apa Hanis rasa ketika aku asyik berkepit dengan Elman dahulu.

Ah, tak mengapalah. Asalkan Hanis gembira, aku pun tumpang gembira. Lebih-lebih lagi dia dan Maulana macam pinang dibelah dua saja.

Nasib ada Khazin. Tidaklah aku sunyi belajar seorang-seorang. Khazin pun macam aku, lone ranger....

Khazin aku lihat mengeluarkan laptop Acer-nya dari dalam beg dan buku yang dia bawa tadi dibuka helaian demi helaian. Masing-masing fokus kepada kerja sendiri.

5 minit juga kami begitu. Melayan tugasan. Aku pula termenung sendiri.

"Kau kenapa?"

Aku membulatkan mata memandang Khazin dengan kedua kening terangkat.

Khazin menurunkan skrin komputer riba dan beri sepenuh tumpuannya kepada aku.

Khazin sudah seperti kaunselor tidak bergaji aku di sini. Bila aku ada masalah, pasti aku akan berbincang dengan dia. Kaunselor merangkap kawan baik.

"Hm... Umi aku nak kahwin lagi," luahku.

Kali ini kedua kening Khazin pula terangkat. Aku tahu Khazin mesti faham aku!

"Tahniah!"

Erk!

Khazin! Aku suruh dia faham aku. Bukan ucap tahniah.

"Kenapa? Takkan aku nak ucap takziah pula...."

"Hm... Mungkin tahniah untuk umi, dan takziah untuk aku."

Umi akan ada keluarga baru. Pastikah yang umi tak akan pinggirkan aku? Masih akan adakah ruang buat aku di antara mereka?

"Lah... Kenapa? Bakal ayah tiri kau tak elok ke?"

Tangan melibas lengan Khazin.

Tak ada lah sampai begitu. Walaupun aku belum bertemu empat mata dengan Pak Cik Zamarul, aku yakin dia adalah lelaki yang baik untuk umi. Lagi pun Abang Ben sendiri mengakui kebaikan peribadi Pak Cik Zamarul. Siapalah aku mahu menafikannya sedangkan aku tidak pernah jumpa dia pun.

"Dah tu... Kenapa kau sedih sangat umi kau nak kahwin?"

Aku menjungkit bahu. Tidak pasti apa harus aku jawab. Aku tak suka? Mestilah aku tak suka!

Selepas ini umi akan bahagia dengan lelaki lain, bukan dengan aku lagi.

"Baguslah, Za. Selepas ini kau ada ayah baru. Bukan ke kau selalu merungut yang kau tak ada ayah macam orang lain."

"Tapi... Aku maksudkan aku mahu ayah aku. Bukan ayah baru."

Tangan Khazin pula melibas tangan aku.

"Kau ni... Tuhan dah beri, kau tak mahu pula. Nanti Tuhan tarik balik semua yang Dia sudah beri pada kau, kau mahu macam itu?"

Kepala menggeleng laju.

"Apa kata kau lihat dari sudut hikmah-Nya. Kau tidak perlu lagi menumpang kasih orang lain selepas ini kalau kau ada ayah."

Bibir digigit perlahan. Cuba menelan kata-kata Khazin.

"Selepas ini kau ada ayah kau sendiri. Yang boleh sayang kau. Kau tak perlu lagi tunggu Ben untuk ambil tugas itu. Dan Ben pun boleh cari hidup dia sendiri. Lagipun, kau rasa sampai bila Ben akan selalu di sisi kau? Kalau kau tengok hikmah disebalik semua ini, ayah kau meninggal. Tuhan beri Ben Azir. Bila sudah tiba masa untuk kau pulangkan dia semula pada yang lebih berhak, Tuhan gantikan dengan ayah baru. Kan untung tu... Tuhan tak mahu kau terus rasa kau tak punya ayah. Kau aje yang selalu tumpu kepada benda yang tiada depan mata."

Sentap. Khazin ini nampak saja tak cukup ilmu di dada... Tapi kata-katanya mampu buat aku tersentak. Khazin memang tahu akan kewujudan Ben Azir dalam hidup aku. Dia juga sudah pernah bertemu dengan Abang Ben. Selamba aje dia panggil Abang Ben dengan gelaran Ben saja. Mereka berdua memang ngam teruk, sudah macam kawan baik saja aku lihat mereka berdua.

Maknanya Tuhan mahu tarik Abang Ben dari aku? Supaya dia dapat berjumpa dengan yang sudah ditentukan untuknya?

Pedih. Tapi itu hakikat yang aku harus terima. Mungkin ada benar kata-kata Khazin.

Aku tidak boleh terlalu berharap dan bergantung pada abang. Aku sudah dewasa. Takkanlah di hari perkahwinan aku nanti, aku mahu Abang Ben duduk di sebelah umi menyambut tetamu pula.

Dan Abang Ben pula, takkanlah dia tak mahu kahwin semata nak jaga aku saja. Mestilah dia ada pilihan hati dan rancangan masa depan. Aku saja yang menjadi penghalang pada hidupnya.

"Macam mana aku nak tahu sama ada lelaki itu betul sayang umi aku tak? Macam mana kalau dia kecewakan umi aku?" Rancak pula mulut aku meminta pendapat Khazin.

Mungkin lepas ini aku nak panggil dia Doktor Khazin lah. Dia memang doktor peribadi aku.

Khazin menjentik dahi aku menggunakan pen ditangannya.

"Ada mulut, tanyalah. Kau bukan ahli nujum boleh ramal masa depan dan tahu hati manusia. Apa kata kau letak sedikit kepercayaan kau pada bakal ayah tiri kau. Aku pasti dia lelaki yang baik sebab sanggup ambil kau jadi anak tiri dia."

Hah, sempat lagi Khazin kutuk aku!

Bibir tergelak kecil. Kenapa mudah sangat masalah aku selesai kalau bercakap dengan Khazin. Dia punya selamba menjawab buat aku rasa masalah aku ini tidak besar mana untuk difikirkan penyelesaiannya.

Getaran di dalam beg buat aku tersentak. Bibirku tersenyum nipis. Tangan cepat-cepat mengemas dan memasukkan buku dan nota ke dalam beg.

"Kau nak ke mana?" Khazin terpinga-pinga.

"Kau yang suruh aku tanya. Ini aku nak pergi tanya bakal ayah tiri aku lah ni. Umi aku dah tunggu nak bawa aku jumpa bakal ayah tiri aku."

Khazin tarik muncung.

"Alaa... Aku?"

"Sorry. Aku tak dapat nak teman kau belajar hari ini. Bai bai, Zin-kun." Aku memberi dia gelaran yang sama seperti dalam anime yang dia selalu tonton. Ada -kun di belakang untuk lelaki.

"Za-chan... Tak nak bawa aku sekali ke? Aku nak tengok siapa bakal ayah tiri kau juga."

Dia pula yang sibuk.

"Nantilah. Kalau umi aku kahwin nanti, aku jemputlah kau. Ta Ta!"

"Za!"

Jeritan Khazin yang separuh berbisik itu aku biarkan. Aku tergelak di dalam hati melihat wajah cemberutnya.

•••

DARI tadi Pak Cik Zamarul yang ramah bertanya itu ini. Aku pula yang jadi tidak selesa kerana inilah pertama kali ada lelaki lain duduk di antara kami. Seumur hidup, kami tak pernah keluar bersama sebagai satu keluarga sempurna. Hanya aku dan umi selalunya. Kalau ramai pun, sekali dengan keluarga Azir. Tidak pernah aku rasa kehadiran seorang ayah, lebit tepat lagi ayah aku sendiri.

Tangan Pak Cik Zamarul tidak berhenti menyenduk lauk ke dalam pinggan aku dan umi. Cukup bersahaja. Jelas juga di riak umi bahawa dia sedang bahagia.

Tadi di dalam kereta, Abang Ben sempat meninggalkan mesej. Menyuruh aku supaya membuka hati dan cuba menerima layanan baik Pak Cik Zamarul. Jangan hanya kerana aku belum bersedia, aku mahu komen dia yang bukan-bukan pula.

Aku setuju saja dengan permintaannya kali ini. Mata memandang wajah Pak Cik Zamarul sekali-sekali.

Lelaki yang aku agak sebaya umi ini masih kacak walaupun sudah berusia. Aku ingat lelaki yang bakal menjadi ayah baruku ini sudah boroi dan nampak tua.

Tapi tidak. Lelaki ini bertubuh tegap walaupun tidak berotot. Kalau tidak kerana rambut yang memutih hampir seluruhnya itu, mesti orang tidak dapat agak yang sebenarnya dia sudah berusia.

"Kenapa pak cik suka Umi Za?" Soalan yang tiba-tiba keluar dari mulutku.

Mata umi menjegil memandang aku. Hanya setelah ketawa Pak Cik Zamarul kedengaran baru umi kecilkan semula jegilan matanya itu.

"Maaf, Rul. Anak Lea ini memang begini mulutnya."

Ahai... Manja sungguh panggilan mereka berdua. Aku rasa aku dan Elman kalah teruk ni!

"Tak apa, Lea. Memang dari kecil Za bermulut lantang begini." Ketawa Pak Cik Zamarul masih bersisa.

Dari kecil? Nampaknya benar kata Abang Ben. Pak Cik Zamarul kenal aku dari aku masih anak kecil.

Aku masih menunggu jawapan.

"Sebab Umi Za... Baik," ujarnya. Pipi Pak Cik Zamarul mula berona merah. Umi pun sama.

"Kenapa umi suka Pakcik Zamarul?" Bengang.

"Sebab Pak Cik Zamarul sayang Za."

Aku terkedu.

Pak Cik Zamarul dan umi mengangguk serentak.

"Umi tak akan terima sesiapa yang tak sayang Za macam anaknya sendiri. Masa Za baru lahir, Pak Cik Zamarul yang azankan Za. Masa Umi tiada suami di sisi, Pak Cik Zamarul yang azankan Za dan siapkan semuanya untuk Za."

"Za dah besar... Pak Cik orang yang paling gembira dapat lihat Izza membesar sihat dan sempurna." Kali ini Pak Cik Zamarul tersenyum senang. Jelas dia gembira berjumpa denganku.

"Pak Cik tahu semua ini tiba-tiba. Ikutkan, pak pik mahu sama-sama besarkan Za. Tapi, pak pik kena hormati keputusan umi yang mahu Za sendiri buat keputusan sama ada sudi beri pak cik peluang jadi ayah Za ataupun tidak."

"Pak Cik akan gembirakan Umi, kan?"

Pak Cik Zamarul mengangguk.

"Assalamualaikum, Abi... Auntie Lea," sapa seseorang dari arah belakang.

Kepalaku berpaling ke arahnya. Mata kami bertembung untuk beberapa saat.

Umi dan Pak Cik Zamarul menjawab salam serentak.

"Duduklah, Zafril." Umi mempelawa.

Wajahku menunduk. Malu dengan kehadiran tiba-tiba lelaki entah mana-mana ini. Lelaki bernama Zafril ini hanya tersenyum memandang aku.

"Za... Ini abang Zafril. Anak tunggal pak cik."

"Hai Izza. Abi selalu cerita pasal Za, baru sekarang abang dapat tengok muka Za." Abang Zafril rancak bercerita bagaimana Pak Cik Zamarul selalu bercerita tentang aku padanya.

"Zafril ini saja mahu buat pak cik malu...."

"Lah... Betul Za. Setiap kali abang balik dari asrama, bermacam cerita keluar dari mulut Abi. Masa Abi pergi bercuti, macam-macam Abi beli untuk Za. Langsung tak ingat pada abang."

Terkebil-kebil mata aku mendengar cerita Abang Zafril. Maknanya selama ini bermacam-macam barang pelik-pelik umi bawa balik dari kilangnya itu, dari Pak Cik Zamarul ke?

Umi tergelak mendengar cerita Abang Zafril. Pak Cik Zamarul sudah tersipu malu. Kepala digaru-garunya.

"Tapi, dah berbelas tahun abang dengar cerita pasal Za, baru sekarang abang dapat jumpa Za."

Dadaku terasa lapang. Kami bergelak ketawa sepanjang makan malam. Dan untuk pertama kali aku dapat merasa seperti kami sebuah keluarga yang sempurna.

Aku ada Umi, Abi dan Abang Zafril. Terasa lengkap hidup ini.

Daripada cerita Umi, dia berkenalan dengan Pak Cik Zamarul selepas kematian ayah. Umi yang sedang sarat mengandung ketika itu selalu dibantu oleh Pak Cik Zamarul. Sehinggalah Umi bersalin. Pak Cik Zamarul merupakan duda kematian isteri. Anak tunggalnya Zafril diletakkan di bawah jagaan nenek memandangkan dia seorang tidak mampu mahu menjaga anak pada masa yang sama mengurus rumah dan bekerja.

Daripada Umi jugalah Pak Cik Zamarul belajar bagaimana mahu urus masa dan keluarga kerana mencontohi cara Umi menjaga aku. Akhirnya bila Abang Zafril besar sedikit, Pak Cik Zamarul hantar Abang Zafril duduk di asrama.

Aku gembira. Ternyata Umi dan Pak Cik Zamarul sama-sama menjadi lebih baik. Bukan semata kerana mereka jatuh cinta dan mahu kahwin. Tapi, sudah bertahun mereka bersusah-senang dan memahami hati budi masing-masing.

"Macam mana?" Soalan pertama Abang Ben sebaik sahaja aku sudah pulang ke hostel. Sudahlah tiada salam mahupun hello... Tahu-tahu saja sudah tanya.

Aku menjatuhkan tubuh ke atas katil dengan telefon di tangan. Bibir tersenyum lebar.

"Za gembira sangat," ujarku menggambarkan rasa hatiku yang memang sedang bahagia.

Telinga menangkap ketawa Abang Ben dihujung talian.

"Alhamdulillah. Jadi... Izza bila?"

Eh! Dia tanya aku pula. Patutnya aku yang tanya dia.

Kepala mula merangka taktik mahu mencungkil rahasia cinta Ben Azir.

"Izza... Erm. Izza tunggu abanglah!"

Terbahak-bahak orang di sana ketawa. Kelakar ke?

"Kalau Izza tunggu abang, mereputlah Elman tu."

Adehai... Lain yang aku tanya, lain pula dia jawab. Aku cakap pasal dia, dia cakap pasal Elman. Ha, bagus!

"Izza tunggu abang juga. Abang dah kahwin, baru Izza kahwin," balasku. Masih tidak mahu mengalah.

Lagipun aku mahu tengok dengan mata kepalaku sendiri, gadis seperti apa yang akan menjadi pilihan Abang Ben.

Auni yang baru pulang dari kelas malam itu berdehem memandang aku yang dari tadi tidak berhenti senyum melayan telefon. Mata menjegil memandangnya. Mulut aku bergerak-gerak menyebut gerangan di hujung talian tanpa mengeluarkan bunyi.

"Hai Abang Ben! Kenapa sampai senyum-senyum Izza jawab telefon ni!" Auni menjerit dari muka pintu.

Aku membaling bantal busuk aku ke arahnya. Dan aku tahu Abang Ben dengar apa yang Auni jeritkan tadi bila dia jadi ketawa terbahak-bahak pula.

"Abang Ben! Izza main baling bantal busuk dekat orang pula!" Auni jerit lagi.

Aku geram.

"Auni!" Kali ini aku mengejar Auni sampai dia berlari keluar dari bilik. Baru tahu takut.

"Garangnya Izza. Kesian Auni."

"Kesian lagi bantal Izza. Terpaksa cium muka Auni." Bantal busuk yang jatuh mencium lantai tadi aku tepuk supaya gebu semula.

"Hm... Masih tak boleh hilang lagi bantal busuk dia. Apalah nasib...." Abang Ben buat suara pasrah.

Aku gelak mengekek. Mestilah aku ingat, macam mana hari-hari Abang Ben terpaksa cium bantal busuk aku ini semasa kecil-kecil dulu. Abanglah insan yang terpaksa menjinjing bantal busuk aku ini dari rumah aku ke rumahnya setiap kali aku tidur di rumah mereka. Bantal ini juga yang selalu aku tekup ke atas mukanya.

Tapi! Jangan ingat busuk sangat ya. Aku basuh setiap minggu. Wangi.

"Kesian Elman...." Kata-kata dia kali ini buat aku terjerit kecil.

Pasti malu kalau Elman tahu aku ada bantal busuk. Abang jangan pecah rahsia pula.

Malam itu kami bergayut agak lama juga. Entah. Aku rasa gembira yang teramat. Mengenai umi... Aku rasa mahu berkongsi segala kegembiraan aku dengan Ben Azir. Akhirnya, sampai ke tiga pagi juga kami berbual. Dan aku tewas dahulu sebelum dia....

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience