BAB 17

Romance Completed 113574

SEGALA macam barang dan alatan untuk mengecat dan juga kelengkapan elektrik yang Abang Ben minta aku bawakan dari bawah tadi aku letak ke atas lantai. Mataku meliar meneliti sekeliling studio yang kosong itu.

"Abang, buat apa kita datang sini?" tanyaku sambil memerhati beberapa orang pekerja Indonesia yang sedang sibuk memasang sliding door dan jubin di beranda.

"Lah! Kan Izza kata nak cari duit lebih. Inilah kerja part-time Za. Tolong abang cat dinding ni." Dua balang cat di tangan diletak ke lantai juga.

Terbeliak mataku melihat dua balang cat yang masih belum dibuka. Memanglah nak cari duit lebih tapi boleh patah tangan aku mahu cat seluruh pejabat bersaiz studio ini.

Abang Ben menyapa salah seorang dari pekerja Indonesia di beranda.

"Oh... Ini adik kau. Hai, Izza. Panggil abang, Umar."

Aiyak! Melayu!

Bibirku menyeringai. Di dalam hati tidak berhenti aku meminta maaf padanya sebab terpanggil dia pekerja Indonesia tadi. Dia melayu Malaysia rupanya. Baju lusuh yang tersarung di badan itu membuatkan dia nampak selekeh.

Abang Ben memperkenalkan Umar sebagai kawan ketika dia di luar negara dulu. Kiranya Abang Umar ini antara kawan serumah dia yang sama-sama orang Malaysia.

Aku mengangguk faham. Seronok pula mendengar mereka berborak dengan slang orang putih masing-masing. Kalau aku cakap orang putih, hm... Bisu lagi bagus!

"Kalau Za nak tahu, kami ada ramai lagi. Tapi semua dah berpecah. Yang tetap kerja di UK hanya berapa orang aje. Yang lain semua dah balik kampung. Ada yang merantau pergi negara lain." Abang Umar leka bercerita.

Pendapat aku tentang Abang Umar, dia seorang lelaki yang banyak cakap. Dari tadi dia tidak henti bercerita. Ada saja yang keluar dari mulutnya, namun aku suka. Macam-macam pengalaman menyeronokkan mereka lalui bersama di sana aku jadi tahu. Mesti seronok kalau aku juga berada di tempat mereka.

Abang Ben menghulur sebotol air gas. Dia meminta aku minum dan berehat dulu sebelum memulakan kerja.

"Kenapa dari arkitek, abang tiba-tiba nak jadi kontraktor baiki rumah kedai ni?" Mulutku akhirnya bertanya selepas hampir setengah jam runsing sendiri.

Ini ke kerja Abang Ben selama ini? Jadi buruh? Bukan arkitek ke?

Abang Ben dan Abang Umar berpandangan sesama sendiri sebelum ketawa mereka pecah.

Apa? Salah ke?

"Aduhai... Abang lupa nak bagi tahu Za. Studio ini kami punya. Abang dengan Abang Umar dan beberapa rakan lain nak bina syarikat sendiri saja. Buat freelance tetapi bukan freelance sendiri-sendiri. Freelance berkumpulan," terangnya.

Pening. Boleh ya freelance berkumpulan.

"Sayrikat kami ini fokus kepada kontraktor pembinaan. Memandangkan kami semua datang dari bidang yang bermacam ... Abang dan Abang Umar ingat baik kami cari projek dengan menyelit dekat kontraktor saja. Susah Za kalau mahu cari kerja stabil sekarang ini. Kalau nak samakan gaji di sini dengan gaji abang di UK dulu, macam langit dengan bumi Za."

Aku akhirnya faham bila Abang Ben bandingkan gajinya di UK dengan di Malaysia. Memang jauh beza. Mestilah Abang Ben pun harapkan sedikit kenaikan atau paling kurang pun sesuai dengan kelayakan dan pengalamannya. Tetapi, mungkin tidak banyak syarikat pembinaan di sini yang mampu nak ambil Abang Ben dan kawan-kawannya berkerja.

"Jadi, macam mana abang kerja nanti?" Rasa ingin tahu menderu.

Abang Umar tersenyum bangga.

"Buat masa sekarang, kami tumpu kerja atas talian saja Za. Ikutkan rate per hour kami sekarang ini 80 dollar per jam tau, bukan satu company tapi satu kepala. Tak ramai lagi syarikat sini yang berani hire kami. Mungkin sebab tak kenal, kan? Tapi, servis kami memang terkenal di dalam kalangan syarikat luar. Kebanyakan projek yang ada sekarang banyaknya datang dari syarikat luar negara, lebih-lebih lagi syarikat di UK."

Ternganga aku mendengar penjelasan Abang Umar.

"Macam mana tu? Maksudnya? Buat kerja macam mana?"

"Macam ni... Contoh, ada kontraktor nak masuk tender atau projek perumahan. Mereka perlukan architectural designer... Abang Ben boleh buat. Jadi mereka bayar Abang Ben. Ha, tapi! Mereka perlukan engineer untuk calculate pelan, mereka boleh bayar Abang Umar. Lagi! Mereka perlukan Architectural Technician, mereka boleh bayar kawan abang yang sama dalam syarikat kami ini. Ikutlah pada servis apa yang mereka perlukan. Bukan setakat reka bentuk bangunan saja kami boleh buat, reka rumah dan hiasan malah beri khidmat rundingan pun kami boleh buat."

Aku mendengar dengan tekun.

"Tapi, mereka nak ke bayar ikut jam kalau mereka boleh dapat lebih murah dekat tempat lain?" Aku bertanya lagi. Banyak sungguhlah persoalan aku ini.

"Itu semua terserah pada mereka. Kami terkenal dengan kualiti, bukan kuantiti. Bukan kecil-kecil nilai khidmat abang tau. Kalau syarikat di UK, mereka sanggup bayar berapa pun untuk dapat kerja yang berkualiti. Perlahan-lahan, abang yakin syarikat pembangunan di sini akan faham nilai kami. Tak perlu kayuh laju sangat. Bila mereka perlu, mereka akan cari."

Kata-kata Abang Ben kali ini kedengaran begitu matang sekali. Kalau aku, mesti tak boleh nak yakin diri begitu sekali. Mungkin itulah bezanya dia dan aku. Setiap apa yang dia buat, dia sangat percaya dan yakin akan kebolehan dirinya.

"Abang Umar in-charge dalam perundingan dan cari projek. Abang pula duduk silang kaki sajalah jaga ofis. Buat kerja yang patut. Persuasion skills abang Umar ini tip-top tau! Abang memang boleh harapkan dia untuk gali projek baru." Bahu Abang Umar ditepuk.

"Dan jangan lupa, kami antara yang terbaik masa di UK. Now, Za... Go share the tea, okay?" Abang Umar mengingatkan. Sempat lagi dia suruh aku uar-uarkan tentang syarikat dan servis mereka ini.

Kami tergelak kecil.

"Abang berdua aje ke? Yang lain?" Mata mencari kawan-kawan Abang Ben yang lain juga.

"Hm... Yang lain belum puas cium ketiak mak masing-masing lagi, Za. Kita bagilah dia orang peluang tidur bawah ketiak mak masing-masing dulu. Nanti dah mula kerja, akan kami kerah semuanya sampai kering air peluh." Abang Ben dan Abang Umar ketawa jahat.

Kagum benar aku dengan kesungguhan dua kawan baik ini. Patutlah Abang Ben tak pernah kehabisan duit walaupun selepas beli kereta mewahnya itu. Aku ingatkan dia balik Malaysia ini, tanpa kerja, dia jadi papa kedana. Rupanya dia lebih bersiap-sedia dari yang aku sangka.

"Bolehlah Za praktikal dekat sini nanti." Aku membodek. Bukan senang mahu cari tempat praktikal.

Abang Umar dan Abang Ben menggaru dagu.

"Kita tengoklah macam mana. Kalau Za boleh cat cantik-cantik ofis ni, kira 'ON' lah untuk praktikal nanti." Abang Umar beri kata putus. Abang Ben bersetuju dengan cadangan Abang Umar.

"Yes! Okay! Setakat cat dinding, eleh... Kacang panjang ajelah!"

Abang Ben menjuihkan bibir. Kurang percaya dengan kata-kata aku.

Mereka ingat persuasion skills mereka saja bagus. Mereka tak tahu ke skill memujuk dan membodek aku ini jauh lagi hebat. Tapi, membodek Abang Ben sajalah pengalaman yang aku ada setakat ini.

•••

SEBELUM bergerak pulang ke hostel, kereta Range Rover Evoque itu meluncur ke kampung baru. Lokasi tempat makan yang terkenal dengan kepelbagaiannya. Bibir sudah tersenyum suka.

Kami masuk ke dalam salah sebuah kedai makan. Lauk-pauk air tangan orang siam di sini memang yang terbaik. Cukup pedas dan masamnya. Memang kecur air liur.

"Izza nak ikan bakar tak? Kongsi dengan abang sekali."

Belum pun aku menjawab, dia sudah tarik masuk seekor ikan bakar ke dalam pinggan. Aiseh... Kalau tak nak tunggu aku jawab, buat apa lah tanya.

"Izza nak buah tak? Kongsi dengan abang." Abang Ben tanya lagi. Kali ini matanya memandang aku.

Belum sempat aku jawab, dia sudah kepit beberapa jenis buah-buahan masuk ke dalam pinggan. Aku mencebik. Kalau tak nak tunggu aku jawab, buat apa tanya!

"Izza nak..."

"Ambil ajelah. Abang bukan nak dengar jawapan Za pun." Aku berseloroh.

Abang Ben ketawa senang. Dia senduk kerang rebus masuk ke dalam mangkuk. Aku sudah menggeleng melihatkan lauk yang dia susun di atas meja kami. Abang Ben nak buat kenduri kesyukuran ke? Siapalah mahu makan semua ini.

Abang kembali dengan ulam-ulaman dan sambal belacan pula. Nasib tak ada siput sedut, kalau tidak penuh semangkuk lagi siput sedut atas meja. Kegemaran dia, siput sedut masak lemak cili api. Abang boleh habiskan seperiuk lauk tu.

"Kenapa tak makan lagi?" soal abang Ben sebaik sahaja dia duduk di kerusi.

"Tunggu abang. Takkan nak makan sorang-sorang." Jari memenyekkan nasi di dalam pinggan.

Tangan Abang Ben lincah mengasingkan tulang dari isi ikan dan isi ikan yang sudah boleh dimakan itu diletakkan di dalam pinggan aku. Setiap kali ikan aku habis, dia letak lagi.

"Kenapa tak ajak Laila sekali?" Baru aku teringat pada Laila.

Dah nak separuh nasi aku habis, baru nak ingat Laila. Entah kawan jenis apa entah aku ini.

Abang Ben menggeleng.

"Laila tak boleh outing. Lagipun keputusan peperiksaan Laila teruk. Abang suruh dia duduk saja dalam kolej, belajar."

Macam yang selalunya. Kalau keputusan periksa kami teruk, memang Abang Ben akan halang kami dari pergi bermain. Masa sekolah rendah dulu, setiap petang abang sudah siap dengan rotan panjang Pakcik Kamil duduk di meja makan. Menunggu kami siapkan kerja sekolah. Haimeen selalu jadi mangsa rotan panjang itu. Aku dan Laila tidak pernah merasa lagi setakat ini sebab kami memang takut dengan Abang masa kecil dulu. Antara Pakcik Kamil dan Abang Ben, memang abang lebih tegas. Kalau dia pulang cuti semester masa belajar di Matrikulasi dulu, kami akan jadi murid paling rajin menelaah buku.

"Abang ni garanglah. Za boleh bayangkan macam mana kalau abang ada keluarga sendiri nanti. Mesti semua anak-anak abang takut dengan abang." Aku tergelak kecil.

Mata Abang Ben membulat memandang aku seakan mahu menafikannya tetapi dia tidak tahu cara bagaimana mahu membangkang kenyataan aku tadi.

"Abang tak garanglah. Abang prihatin. Kalau dengan anak-anak nanti, mestilah abang jadi penyayang." Kening diangkat beberapa kali.

Memang jauh dari percaya. Penyayang itu mungkin betul, tapi bahagian tak garang itu memang tak boleh percaya langsung.

Aku menjuihkan bibir. Dalam tengah bibir aku terjuih ke depan itu, Abang Ben cepat-cepat mencalit sambal belacan yang pedas gila kebibir aku yang comel ini. Kepedasan jugalah aku untuk beberapa minit. Dia ketawa terbahak-bahak.

"Abang!" Ais kosong milik Abang Ben aku tarik dan minum untuk membasahkan bibir yang terkena cili.

"Itu lah. Jangan suka umpat abang dalam hati."

Dia tahu pula tu aku mengumpat dia dalam hati.

"Mana ada mengumpat. Izza pujilah. Tak baik tau buruk sangka dekat Izza."

Mata Abang Ben mengecil. Aku selambakan wajah.

"Iya? Kalau Izza tipu abang, abang doa kan Izza tak lepas semester tahun ni."

Mata terbeliak. Jahatnya!

"Mungkin ada lah puji dalam keji sikit tadi. Izza tak perasan sangat. Yalah, dalam hati kan? Bukan dengar dengan telinga, jadi tak berapa pasti." Aku cuba memutar belit kenyataan.

"Amboi...."

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience