BAB 2

Romance Completed 113574

HARI pertama sesi orientasi agak memenatkan. Mana tidaknya, pagi-pagi buta lagi senior sudah buat onar. Kalau mahu kejut kami bangun sekalipun, tak perlulah pergi ketuk bontot periuk di telinga kami.

Kalaulah ada sakit jantung, mesti sudah lama K.O. Mereka ini tak ada moral dan sivik!

Sebal. Tidur sudah terganggu tambah pula jerkahan dan herdikan abang-abang senior yang konon nak tunjuk hero. Berlagak superior!

"Urgh! Frust lah aku dengan dia orang semua." Auni yang merupakan kawan pertamaku di sebelah mengomel. Aku mengangguk bersetuju dengan kenyataannya.

Jangan kata frust, stress, marah, bengang semuanya bercampur-aduk menjadi satu. Benci. Terutama pada abang senior yang sedang bermain telefon sambil kaki di panjangkan di atas meja. Dia itulah kepalanya!

Kami diasingkan mengikut beberapa kumpulan. Aku dan Auni terpisah. Auni di dalam kumpulan satu, sementara aku di kumpulan nombor sebelas. Satu kumpulan ada lebih kurang 15 orang dan kami sama-sama harus bekerjasama di dalam setiap aktiviti.

Sangkaan aku pada sesi orientasi yang selalu diuar-uarkan oleh cikgu dan abang kakak senior ketika sekolah menengah dulu lebur habis. Seronok apa bendanya. Macam budak-budak. Ada ke buat chicken dance, lompat katak. Paling hebat pun, zumba. Itu pun cuma setakat 30 minit.

"Sekarang kakak nak kamu semua adakan sesi suai kenal dengan kumpulan masing-masing sebelum kita ke aktiviti seterusnya," ujar salah seorang kakak senior yang bertugas sebagai MC.

Kami semua menjerit faham. Maka, bermulalah sesi suai kenal antara kami. Seorang demi seorang bangun dan memperkenalkan diri masing-masing. Ada juga yang masih malu-malu. Tetapi kalau masih malu-malu, siapkan diri sajalah untuk menjadi sasaran abang dan kakak senior.

"Nama aku Taufik. Tapi member kampung panggil ketupat, sebab masa raya aje aku akan jual ketupat."

Kami tergelak mendengar kata-kata Taufik.

"Aku Hazlizam. Panggil Jem je. Mana tahu nanti kau orang ada yang sekelas dengan aku. Apa-apa roger...." Tangan Jem membuat isyarat memanggil di telinga.

Kami tekun mendengar nama seorang demi seorang. Aku malah hafal pula nama mereka semua. Ketupat, Jem, Nia, BamBam, Maulana, Jiji, Ayra, Mek, Sarah, Atikah, Lan, Insyirah, Papan, Amir dan aku, Izza.

Setelah saling berkenalan, kami di satukan pula dengan 3 kumpulan lain. Jumlah satu kumpulan meningkat kepada 45 orang satu kumpulan. Kami diminta untuk berdiri dan membuat bulatan.

"Sekarang... Opps!" Mikrofon di tangan kakak senior dirampas oleh abang senior yang terkenal dengan perangai berlagaknya.

Bunyi dehaman garaunya bergema serata dewan.

"Okay! Sekarang aku nak kau orang sebut nama sendiri, seorang demi seorang. Selepas itu, kawan sebelah perlu ulang semula nama kawan sebelum dia. Siapa tak ingat, tarik keluar. Denda menyanyi lagu atas pentas ni." Mikrofon dia serahkan semula kepada kakak senior yang menjadi MC tadi. Jelas di riak abang senior tadi, dia mengejek kami!

Semua pelajar mengeluh. Putus asa.

"Weh! Tukar tempat dengan aku," pinta Jem kepadaku.

Mataku mencerlung. Cepat-cepat menggeleng.

Lagi jauh aku dari ketua kumpulan, si Lan itu ... lagi banyaklah nama aku kena ingat nanti.

"Tak nak! Tak nak! Aku pun dah ketar mahu ingat nama 30 orang sebelum aku."

"Kau tak kasihan ke dekat aku. Sepanjang 20 tahun aku hidup, tak pernah sekali pun suara aku ini dipuji sedap." Jem masih merayu.

Aku mencebik selepas itu terpecah ketawa kecil.

"Okay lah tu. Daripada aku ini, asyik kena 'banned' aje dari menyanyi." Aku tetap tidak mahu mengalah.

Kalau Jem tak nak menyanyi, aku lagilah tak mahu nyanyi. Suara aku menyanyi macam katak panggil hujan!

"Okay. Okay. Dengar sini. Aku pun rasa kau orang tak mahu kita kena tarik dan nyanyi lagu dekat atas pentas. Jadi aku cadangkan, semua guna nama manja atau nama unik kau orang," cadang Lan, si ketua kumpulan

Lan memang ada ciri-ciri seorang ketua. Dia dengan mudahnya dapat membuat kami semua akur hanya dengan ketegasan suaranya.

Semua mengangguk setuju. Memang nama manja dan pelik adalah salah satu cara untuk mudah ingat. Kepala aku memikirkan nama yang aku rasa sesuai untuk digunakan. Aku tiada nama manja atau pelik. Nama aku pula biasa sangat. Ainul? Eh, tak nak. Aku anti dengan nama itu.

Pertandingan dimulakan. Seorang demi seorang menyebut nama manja mereka. Yang orang-orang selepasnya seperti kami dihujung-hujung barisan ini terkumat-kamit berzikir nama mereka semua.

Giliran aku!

"Lentok, Gemok, Abu, Intan, Kaka, Amin, ... dan akhir sekali aku, YB." Aku menyebut nama kesemua mereka dengan sekali nafas.

Semua ketawa terbahak-bahak mendengar nama aku.

YB? Ya, YB. Yang berhormat, Izza. Macam YB Nurul Izzah. Tapi aku Izza.

"Siapa YB?" Suara abang senior yang berlagak tadi menyapa kami. Dia sibuk mengumam lollipop.

Aku angkat tinggi tangan. Kalau semua mahu gerun dengan dia, tidak pada aku.

Matanya melingas memandang aku atas bawah.

"Sebab kau YB, kau dipersilakan naik atas dan nyanyi lagu Negaraku." Mikrofon dipersembahkan kepadaku sambil melutut. Senyumannya sinis.

Aku tahan rasa saja. Kerana dia lebih tua dan dia senior, hati masih ku sabarkan dari meletup.

"Kenapa pula? Saya tak nak. Peraturannya adalah 'siapa yang tak ingat, dia kena nyanyi', dan saya dah ingat nama semua orang." Aku menentang anak matanya. Dengusan tidak puas hati kedengaran dari lelaki itu.

Pantang larangnya mungkin jika ada yang melawan kata.

"Hold my lollipop!" Lollipop di tangan diserahkan kepada kawannya di sebelah. Terpinga-pinga abang senior di belakang menyambut huluran ketuanya.

Kaki diangkat merapati aku sehingga jarak kami hanya beberapa inci saja. Air liur ku telan.

"What is my name, miss?" soalnya sinis. Anak mata tajam menikam wajahku.

Sesaat. Dua saat. Jawapan masih tidak muncul di kotak fikiran.

Argh! Bagaimana aku boleh lupa nama dia! Sedangkan baru tadi pelajar perempuan memuji kesegakan wajahnya. Tapi bila lihat kali kedua, perengai kereknya buat kami tarik semula pujian.

"If you get my name right, I will let you go this time," katanya dengan slang orang putih. Orang melayu tapi mahu berlagak yang dia punya slang british lah tu.

Di dalam hati, aku mencebik. Menyampah.

"Tik. Tok. Tik. Tok." Jarinya bergerak-gerak ke kiri ke kanan menunggu aku menyebut namanya.

Lebih kuat bunyi 'tiktok' nya, lebih kuat juga denyutan jantungku. Mungkin aku patut uji suara aku sekarang untuk menyanyi sebentar lagi.

Lain-lain cuba membantu tapi mereka pun kurang pasti nama mamat di hadapanku ini kerana kebanyakan masa, dia hanya suka memerhati dari jauh sahaja. Cuma sesekali dia menyibuk mengambil alih tugas senior lain. Sebab itulah kami mudah terlupa namanya. Budak lelaki lagilah tidak membantu. Semua terkebil-kebil. Nampak benar mereka pun tidak ambil peduli akan nama abang senior depan ini.

"Err... Boleh tanya tak?" Aku memberanikan diri.

Kakak senior yang lain sudah menggeleng, simpati dengan aku yang menjadi sasaran abang senior ini agaknya.

"Hm?"

Mahu buka mulut pun susah. Dasar poyo nauzubillah!

"Nama abang siapa ek?" Aku buat muka tidak bersalah. Mata ku kerdip-kerdip di hadapan wajahnya.

"That's it!" Mikrofon diminta kembali dari kawan senior di belakang. Mahu menyerahkan mikrofon itu kepadaku.

Aku jadi sedikit terpinga-pinga dan juga teragak-agak mahu menyambut hulurannya.

"Sudahlah tu, Elman. Kau punya menyakat...."

Yes! Terima kasih kakak!

"Ah, tak ada! Naik!" arahnya. Tangan tegak menuding ke arah pentas di hadapan.

Aku menjelir lidah. Terbuntang mata Elman memandang aku.

"Buat apa nak naik. Saya dah tahu nama abang. Elman. Kah Kah!" Aku gelak mengejek walaupun kedengaran dibuat-buat. Suka benar aku lihat wajah cemberutnya bila sudah kalah.

Kening aku angkat dua kali. Provok!

Itulah. Kau kenakan salah oranglah, bang. Aku ini memang tuah melekat di badan.

Elman tersenyum tetapi sekejap saja. Selepas itu senyumannya hilang. Wajah garang itu muncul kembali. Aiseh... Senyum lagi hensem, bang. Orang nak seronok-seronok, dia saja yang masam mencuka di sini.

Kami kembali menyambung aktiviti tadi tetapi disebabkan Elman, habis orang lain semua jadi lupa nama kawan-kawan mereka. Nak dipendekkan cerita, aku adalah orang yang terakhir yang terselamat dari hukuman dapat malu.

Mataku menghantar rasa simpati kepada Jem dan aku bersorak paling kuat untuk Jem dengan suara katak panggil hujannya. Sudah macam konsert riuhnya.

•••

SELESAI mengerjakan solat maghrib berjemaah di dewan tadi, kami sama-sama naik ke bilik untuk menukar pakaian yang sudah penuh dengan peluh dan bau tengik ketiak masing-masing. Gara-gara sebelum maghrib tadi kami bermain kejar-kejar. Ini semua idea Facy lah, apa lagi. Nasiblah dewan itu besar dan lapang, boleh juga mahu lari ke sana ke mari.

Auni mengejar aku dari belakang. Serta-merta kepalaku berpusing mencari dia.

"Aduh, Penat betul aku kejar kau dari tingkat bawah. Kau ini berjalan atau berlari, Za?" rungut Auni sedikit tercungap-cungap.

Bibir menyengih. Memang keturunan aku langkah besar. Jalan macam berlari.

Kami naik dan membersihkan diri. Auni bercerita tentang kawan sekumpulannya yang kelakar malah, tidak kering gusi mereka bergelak ketawa sepanjang beraktiviti. Lupa terus pada penganiayaan kakak dan abang senior kepada kami.

"Beraninya kau lawan dia. Aku tengok dia pun dah kecut perut tau! Muka hensem tapi kurang rasa berperikemanusiaan sikit." Dalam puji dia hina. Ceit!

Kepala tergeleng.

Aku tidak rasa gerun pun pada si Elman tu. Entah-entah dia itu dalam hati ada taman. Siapa tahu yang mungkin karakternya itu cuma lakonan semata. Saja mahu buat kami budak-budak baru ini menjaga kelakuan dan mendengar kata.

"Aku bukan berani sangat pun. Tapi Elman itu manusialah, bukan hantu. Nak takut apa nya...," jelasku.

Sungguhnya aku tidak mahu Auni terlampau-lampau takut kepada si Elman. Dia cuma manusia biasa dan lelaki yang biasa. Kawan saja dengan semua orang tanpa mengira siapa pun dia.

Lokar almari baju ku tutup. Tudung bawal berwarna hitam di sarung semula ke kepala dan menyembur minyak wangi ke badan. Cukup. Nanti mesti berpeluh lagi. Sia-sia saja berdandan cantik sangat.

Jam di skrin telefon di perhati. Sudah cecah jam 8:45 malam. Kami sepatutnya berkumpul di dewan tepat pukul 9. Aku jadi teringat amaran Abang Elman tadi, siapa lambat kena basuh pinggan mangkuk yang kami makan tadi. Dia akan minta makcik-makcik kantin itu pulang dan biarkan saja pinggan kotor itu untuk dicuci oleh kami semua.

"Dah! Jom gerak cepat, Auni. Aku tak mahu cuci pinggan malam-malam buta begini." Selipar dengan corak bunga-bunga itu ku sarung ke kaki. Sudah malam begini, rasanya senior sudah tidak peduli lagi pasal kasut.

Auni melajukan kerjanya dan mengejar langkahku dari belakang.

Kami berbual santai sepanjang perjalanan ke dewan serbaguna. Berkongsi serba sedikit mengenai diri dan hidup masing-masing.

Buk!

Tiba-tiba badanku dirempuh oleh gajah. Eh, seseorang yang kuat seperti gajah.

Terjelepok aku jatuh ke tanah. Nasib kemampatan punggung aku ini boleh digunakan sebagai 'pain-resistance'. Kalau tidak, patahlah tulang pinggul!

"Oi, buta ke?"

Auni hanya diam membisu. Matanya di hala ke arah lain.

Wajah selamba Elman memandang aku tidak berkerdip buat aku rasa mahu tumbuk saja muka dia.

"Oh, kau YB. Sorry. Aku nak cepat tadi." Tangannya dihulur mahu membantu. Aku menolak. Memang tidaklah aku mahu sentuh tangan dia. Aku bangun sendiri lagi bagus.

Mata menjeling Elman, tajam. Dia aku pandang kecil besar aje sekarang ni. Aish!

"Apa? Aku dah minta maaf, kan?" Elman perasan pandangan aku padanya. Selamba. Poyo. Kerek. Ah, semualah!

"Abang Elman minta maaf tu ikhlas ke?" Aku menjeling.

"Kau boleh ukur keikhlasan orang ke?" Kata-kata Elman menusuk ke hati. Sakit.

Pandai juga mamat ini melawan ya. Ikutkan aku mahu membalas tetapi niat aku batalkan apabila melihat ramai pelajar sudah berpusu-pusu ke dewan. Takut kami pula yang tidak selamat nanti.

"Sudahlah! Cakap dengan abang Elman macam cakap dengan monyet. Bukan faham pun. Bye!" Aku menarik tangan Auni supaya berlari sedikit.

Elman ku pandang sekilas. Terpinga-pinga brader tu aku panggil dia monyet. Padan muka.

"Kenapa ek aku rasa kita tak selamat sekejap lagi," luah Auni sebaik sahaja kami berjaya mencari tempat duduk di dalam dewan.

Mata memandangnya, hairan. Apa yang tidak selamatnya. Dengan selamatnya kami sudah duduk dalam dewan ini. Tak lambat pun.

"Maksud aku, kita tak selamat dengan dia di sana tu...." Muncungnya memanjang ke arah pintu masuk. Mataku turut terhala ke arah yang sama.

Elman memandang ke arah kami dari tadi! Aiya....

Lelaki itu berpeluk tubuh sambil bersandar di muka pintu. Mata tajam terhala ke arah kami berdua.

Elman syok dekat Auni kut.

"Aku rasa dia syok dekat kau lah, Auni," bisikku. Mata Auni kembali memandang ke hadapan.

Peha aku dicubit kuat. Pedih!

"Kau jangan nak buat spekulasi pelik dekat sini. Dalam banyak-banyak orang kau nak kenankan dengan Elman, aku juga pilihan kau ek...." Bahunya sudah bergerak-gerak. Takut membayangkan Elman dan dia bersama. Aku mencebik.

Bip.

Telefon di dalam kocek seluar trek bergetar. Bibir tersenyum nipis.

'Goodluck untuk orientasi. Izza sabar banyak-banyak. - Ben Azir '

"Siapa tu?" soal Auni lantas matanya cuba membaca teks di atas skrin.

Tangan membawa telefon jauh dari pandangan Auni.

"Bakal suami kau." Aku menjawab ringkas. Riak tidak puas hati Auni mengundang tawa di bibir.

"Ehem!" Dehaman dari arah tepi menghentikan aksi tolak-tarik kami berdua. Wajah Auni kembali serius sementara aku pula buat-buat tidak faham sahaja.

Masin betullah mulut si Auni ni. Sah tak selamat. Tapi bukan mereka berdua, aku seorang aje yang tidak selamat.

"Hand me your phone." Tangan Elman meminta telefon di tangan. Wajahnya serius, langsung tidak senyum.

Alahai. Main telefon pun salah ke....

Auni ku lihat sedikit menjarakkan diri. Dia mahu lari. Takut Elman minta telefon dia juga.

Lambat-lambat aku menyerahkan telefon ke dalam genggamannya. Tidak sempat lagi mahu balas mesej Abang Ben.

Elman memasukkan telefon aku ke dalam kocek seluarnya dan mengarahkan kami untuk beri tumpuan ke hadapan. Malam ini hanya sesi seminar dari susuk terhormat universiti. Banyak nasihat dan tunjuk ajar yang mereka beri kepada kami, begitu juga dengan kata-kata motivasi. Jantung aku berdegup sedikit kencang kerana merasa semangat.

Aku mahu belajar sungguh-sungguh! Itulah kata-kata yang aku ulang di dalam hati sepanjang mendengar ceramahnya.

Tapi, tidak tahulah berapa lama semangat ini akan berterusan. Selalunya tidak sampai seminggu pun.

Mata memandang sekeliling. Semua orang fokus mendengar ceramah. Ada juga yang sudah tertidur. Hujung bibir aku ternaik apabila terpandang Ketupat yang sudah pun selamat berdengkur di kerusinya. Siap ternganga mulut.

Pandangan ku melingas melihat sekalian umat di dalam dewan.

Gulp!

Anak mata kami bertembung!

Elman memandang ke arah aku dan aku tahu yang pandangan kami saling bertautan kerana kening lelaki itu sedikit terangkat apabila aku memandangnya.

Aku larikan pandangan ke hadapan semula. Dia memang syok dekat Auni rasanya! Tak ada kerja lain asyik pandang ke arah kami aje.

Nasib kaulah, Auni. Selalunya orang yang kita tak suka itulah jodoh kita.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience