BAB 20

Romance Completed 113574

KEINDAHAN pohon-pohon yang berderet di sisi laluan ke blok hostel ini benar-benar mengubah seratus peratus suasana persekitaran apabila bunganya mula berkembang.

Kecantikan yang mampu memukau sesiapa sahaja. Juga antara jalan kegemaran ramai pelajar. Semua sanggup berjalan jauh ke kampus masing-masing hanya kerana mahu menikmati pemandangan pohon yang sedang berbunga rimbun, dan aku tidak terkecuali.

Hari ini aku sengaja mahu pergi menjenguk budak-budak landskap di kampus mereka. Ada beberapa soalan berkaitan landskap yang aku mahu minta mereka beri pendapat dan penerangan.

Sambil kepala merangka soalan, hati damai menikmati pemandangan. Sukar mahu aku ungkapkan. Rasa seperti di Jepun saja sekarang ini, apalagi kalau angin bertiup kuat. Habis berguguran bunga jatuh, tinggal aku tak sarung baju kahwin aje. Kalau tidak, dah boleh bergambar di sini.

Bibir tergelak kecil. Gatal nak mampus. Sempat lagi fikir pasal kahwin, dan sempat lagi aku berangan Elman berbaju melayu songket berdiri di sebelah aku. Alahai....

"Za!"

"Oh mak saya mahu kahwin! Ish!"

Khazin ketawa terkekek-kekek di atas basikalnya. Gigi ku ketap kuat. Geram dengan Khazin yang selamba badak menganggu aku yang sedang berangan tadi. Jatuh air muka!

"Kau ni!" Lengan Khazin ku pukul sekuat hati dan berkali-kali.

Lelaki itu menyerah sajalah. Apa dia boleh buat, dah memang salah dia. Walaupun Khazin merayu supaya aku berhenti memukul, aku tetap pukul bahunya sampai puas.

"Kau nak ke mana ni?" soal Khazin, melihat aku dari atas sehingga ke bawah. Bahunya digosok-gosok.

Aku melakukan yang sama. Menilik Khazin dari atas ke bawah. Dia dengan slingbag nya. Dari beg saja aku sudah dapat agak yang dia mahu pergi belajar di mana-mana. Lagi pun hari ini cuti, mana ada kelas.

"Aku nak pergi kampus AD kejap. Jumpa budak landskap. Kau?" Walaupun sudah dapat mengagak, aku tanya juga lagi. Berbahasa sikitlah pun. Itu pun nak kena ajar?

Aku kan peramah.

"Naiklah. Aku hantar kau. Aku nak pergi sana juga." Slingbag di belakang ditarik ke depan, memberi ruang untuk aku duduk membonceng di tempat duduk belakang.

"Boleh ke? Aku berat tau...." Mestilah kena ingatkan dia. Kalau berat nanti atau terasa kayuhan lambat sangat ke... Jangan nak salahkan aku pula.

Khazin mengangguk kecil. Tidak berkata apa. Cukup sekadar isyarat mata yang memberi makna bahawa dia 'okay' saja kalau aku berat pun.

Tunggu kejap lagi. Kalau dia merungut, nescaya aku cekik dia.

Sudah kalau dia ajak, aku naiklah. Rezeki jangan ditolak. Daripada aku berpenat sendiri menapak ke kampus AD yang terletak di ceruk universiti, baik aku bonceng basikal Khazin saja.

Mata terpejam rapat, menikmati hembusan angin yang menampar lembut wajah. Rasa rindu mahu berbasikal di kampung, hadir. Cuma, udara di kampung lebih segar. Bau tahi lembu... Bau daun pokok dan embun pagi... Bau macam-macamlah! Bila bercampur-aduk menjadi satu, terciptalah bau alam semula jadi.

"Kau nak pergi AD, mesti nak prepare project, kan?"

"Ha'ah. Sana banyak rujukan sikit. Dia orang kan kreatif. Boleh minta tolong," balasku.

Memang itu niat aku pun. Lagipun, di kampus Art&Design banyak buku rujukan seni bina yang aku boleh cari. Kampus kami tak ada perpustakaan macam kampus AD. Jadi, semua buku seni bina diletakkan di sana.

"Kau nak ikut aku tak? Aku nak pergi masuk ladang."

"Ladang? Serius? Aku tak pernah masuk!" Aku menjerit kuat sedikit.

Macamlah Khazin ini pekak. Tapi, dia kadang-kadang suka buat-buat pekak.

Khazin ketawa besar. Aku tak jakun ya. Cuma aku tidak pernah lagi jejak kaki ke ladang Universiti ini. Selalunya budak ladang sajalah dapat keizinan. Takkan aku mahu masuk suka hati aku pula.

"Jomlah!" ajak Khazin lagi.

"Okay! Tapi kena tunggu aku siapkan kerja aku dulu."

"Boleh. Aku boleh tunggu."

•••

KHAZIN menghulur sebaldi dedak yang sudah diisi penuh untuk aku, selepas itu dia penuhkan baldi dedak untuk diri sendiri pula.

Kambing-kambing yang tidak berhenti mengembek itu buat aku tersenyum. Macam kambing dekat kampung!

Memanglah sama. Nama pun kambing. Lainlah kalau depan aku ini lembu tapi duduk dekat kandang kambing.

"Kau selalu datang sini ke? Boleh ke masuk selamba macam ini?"

Khazin tersengih lalu menggeleng.

"Ini pertama kali. Roomate aku budak ladang. Dia kena balik hari ini, jadi dia minta tolong aku bagi kambing makan."

Membuntang mata aku mendengar alasannya. Ya Tuhan! Maknanya, dekat sini dua-dua tak tahu urus kambing lah?

"Hentam sajalah, labu." Khazin membalas. Macam faham saja apa yang aku sedang fikirkan.

Kaki mengikut gerak langkah Khazin. Kalau apa-apa jadi pada kambing ini, tak susah ke kami nanti?

Teragak-agak tangan mahu menyua makanan ke kambing-kambing ini. Khazin sudah habis sebaldi, aku segenggam pun tak lepas.

"Weh, hulurlah tangan tu. Dia panggil kau tu." Muncung Khazin memanjang ke arah salah seekor kambing yang dari tadi duduk merenung aku.

Aku tenung sajalah beliau balik.

Tangan Khazin menyentuh lengan aku. Terus baldi di tangan aku diterbalikkan masuk ke dalam bekas dalam kandang. Kepalanya tergeleng-geleng.

"Kau nampak saja macam berani. Tapi bendul nauzubillah. Tak boleh bagi pakai tangan, tabur ajelah dalam bekas tu." Khazin tunjal kepala aku selepas itu ketawa mengekek.

Geram.

"Kau tak cakap boleh tabur aje. Aku ingat kena bermanja-manja dengan dia orang."

Aku cuma senyum. Dalam hati sudah menyumpah seranah si Khazin di depan mata.

Khazin memancut air ke dalam kandang, mencuci tahi-tahi yang sudah berlonggok masuk ke dalam longkang. Aku? Perhati saja. Taknaklah kotorkan seluar pijak lecak-lecak. Yek!

Berkerut batang hidung aku dengan bau busuk tahi kambing yang bercampur dengan air kencing itu. Bukan tidak biasa, tapi jarang aku nak bertandang masuk ke kandang lembu atau kambing di kampung sana. Tak sangka masuk universiti pun aku masih nampak suasana yang sama.

"Kau tolong alih bekas tu ke tepi sikit. Aku nak cuci," pinta Khazin.

Mata mencari bekas yang dimaksudkan. Bila jumpa, terus aku tendang bekas itu menjauh. Bekas yang sudah penuh melekat sisa-sisa yang aku tak tahu dari mana asalnya itu.

Mata Khazin membuntang memandang. Aku buat tak tahu.

"Wei! Kau ni... Buatlah elok-elok. Angkat bekas tu. Aku nak cuci bawah bekas." Tak semena-mena aku pula yang dimarahnya.

Dah lah tak bayar sesen pun aku tolong dia di sini.

Jari menterbalikkan bekas. Geli!

Tiba-tiba air pancutan paip di tangan Khazin terarah ke aku.

"Kan aku cakap buat betul-betul!"

Sudah! Khazin dah melampau ni. Aku baling bekas kotor tu ke arahnya pula. Orang penatlah! Dah la kena tolong dia cuci kandang busuk ni.

"Za! Kau dah melampau ni...." Tahi kambing di lantai disentuh. Tangannya mendekat pada aku.

Cepat-cepat aku mengelak dan menjauh. Tahu sangat niat dia. Jangan harap aku nak berkotor-kotor dengan tahi kambing dia yang busuk tu!

Hujung seluar Khazin sudah basah. Setiap kali dia berlari anak mengejar aku, air merecik-recik dari bawah kasutnya. Air tahi. Ew!

"Zin! Dah la! Cepatlah siapkan kerja! Aku penat ni...." Tercungap-cungap mencari nafas. Khazin juga begitu.

"Kau lah! Kalau kau buat betul-betul, dah siap dah!"

Eh, aku pula yang salah?

Dia yang main-main dari tadi.

Khazin menyambung memancut air paip ala kadar. Asalkan tahi-tahi tu sudah masuk ke dalam longkang. Pili air ditutup dan dikunci semula sebelum dia menarik beg silang yang dia sangkut di salah satu tiang.

Kerja tak kemas langsung! Ini mesti kena bebel dengan roomate dia nanti kalau tengok macam mana Khazin basuh kandang.

"Dah, jom! Kata nak balik?" Tongkat basikal diangkat.

"Kau buat kerja separuh jalan. Tak bersih langsung."

"Amboi... Daripada kau? Jadi tunggul aje?"

"Bukan kawan aku."

"Banyaklah jawapan kau. Aku tinggal karang. Dahlah gemuk, berat macam gajah."

Serta-merta tali beg Khazin aku sangkut ke lehernya dan aku tarik kuat sampai kepala dia terkebelakang sedikit. Berani dia panggil aku gemuk?

"Siapa gemuk?" tanyaku lagi.

"Aku! Aku gemuk!" Terbatuk-batuk abang depan ini kena cekik. Ha, baru kau tahu!

Tangan melepaskan tali beg Khazin. Senyum kemenangan terukir. Khazin menjuihkan bibir sambil menggosok batang lehernya.

"Nasib kau yang gemuk." Kening terangkat beberapa kali memandangnya.

"Perasan. Perasan banyak-banyak!" Kaki Khazin mula mengayuh dengan sepenuh kekuatan. Aku pula duduk macam bidadari di belakang sambil menikmati angin petang.

"Khazin! Ada makwe lambai dekat kau. Kau nak aku lambaikan balik tak?" Baju Khazin aku tarik beberapa kali.

"Ha, kau jangan pandai-pandai. Duduk aje diam-diam. Dahlah berat."

"Apa?" Aku menjerit. Bunyi bising kereta lalu lalang pada petang hari begini menghadkan pendengaran kami tapi aku masih dapat dengar dengan jelas dia kutuk aku tadi. Jari terus mencubit bahu Khazin.

"Dahlah ringan!" Khazin jerit balik. Kayuhan semakin laju.

Terkekeh aku ketawa di belakang. Baru dia tahu... Nak mengutuk aku konon.

Brek basikal berbunyi apabila kelajuan tayar semakin lama semakin perlahan. Khazin berhenti betul-betul di depan hostel aku. Memang rezeki akulah tidak perlu menapak lagi. Beg buku yang bergantung di 'handle' basikalnya aku ambil.

"Za!"

Suara dan jeritan yang cukup aku kenal. Lambat-lambat kepala menoleh ke belakang.

Elman datang dari arah keretanya. Setiap orak langkah penuh kuasa. Kerutan di dahi buat aku faham yang dia tidak senang dengan apa yang baru dilihat dengan mata kepala.

"El..."

Buk!

"... man!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience