BAB 21

Romance Completed 113571

"KAU tak ada perempuan lain ke nak try?" ujarnya sinis. Penumbuk digosok dengan tangan kiri.

Aku cepat-cepat turun membongkok mendapatkan Khazin yang sudah terjelepok jatuh ke tanah dengan basikalnya. Rasa bersalah mula menggunung. Mahu menangis melihat hujung bibir Khazin yang sudah membengkak.

"Elman! Elman buat apa ni?" jeritku separuh marah.

Faham yang dia sedang bengang tetapi tidak sepatutnya dia menyerang tanpa bertanya dulu. Tidak pasal-pasal Khazin yang tidak bersalah terpaksa makan penumbuk sulung Elman.

"I serve him right!" Intonasi suara Elman yang bagi aku agak kurang adab itu membuatkan jantung aku mengepam darah lebih laju ke wajah. Merah muka menahan marah.

Ya Tuhan! Jujur aku tersangat marah dengan Elman kali ini.

Mata mencerlung memandangnya. Khazin mengangkat tangan tanda dia tidak apa-apa. Tanganku membantu dia berdiri semula.

"Tak apa Za. Aku balik dulu. Kau selesaikanlah berdua." Rahang pipinya dibetulkan. Berkerut dahi aku melihat dia menahan sakit. Beg yang sudah jatuh ke tanah aku kutip.

Khazin tersenyum ke arah Elman, tetapi sikap mesranya tidak dibalas dengan cara yang sama.

"Kenapa Elman buat macam tu?" marahku sebaik Khazin sudah mengayuh pergi. Agak jauh dari kami.

"Padanlah muka dia. Siapa suruh kacau girlfriend orang." Selamba Elman jawab.

Aku pula yang rasa sakit hati. Elman dengan api cemburu memang gandingan yang sesuai sekali!

"Dia kawan Za lah!"

"Dia budak yang sama menari dengan sayang dulu tu, kan?" Suara Elman masih keras.

Aku mengangguk tapi aku mahu betulkan fakta! Dia kawan aku bukan kami ada apa-apa pun.

"Then, he deserves my punch."

"Elman! Sudahlah! You boleh terus layan api cemburu you yang tak bertempat tu! Za malas nak betulkan keadaan lagi!" Kaki melangkah membelakanginya.

Terlebih faham sangat dengan api cemburu Elman Harith! Dia tak akan dengar apa pun yang aku jelaskan. Dia saja yang betul kalau sedang cemburu. Panggilan Elman aku buat tidak endah.

"Sayang!"

Aku biarkan saja dia terus memanggil. Tiada hati mahu menatap wajah Elman. Kalau sebelum ini rasa rinduku menggunung tinggi padanya, setiap detik aku kira... Menunggu waktu kami berjumpa. Sekarang ini, aku nak halau dia sejauh mungkin.

"Don't touch me! I'm burning right now." Amaran aku beri sambil menepis kasar tangan Elman yang cuba menangkap lenganku.

Elman mendengus. Jauh sekali dia mahu mengalah.

Tangan aku ditangkapnya sekali lagi.

"Let's talk," rayunya memaksa aku menatap wajahnya yang jelas sedang bengang juga.

"You nak dengar ke kalau I cakap pun...."

"Sayang, please. I am begging you."

"Nothing happened between me and Khazin. End of discussion."

Elman meraup wajah.

"I'm sorry okay, sayang? Elman yang salah."

"Elman salah. Elman risau kalau Za dah bosan dengan Elman yang selalu sangat sibuk. Sebab itu Elman rasa tercabar sangat bila mamat tu... Argh! Sudahlah sayang. Elman mengaku Elman salah. Maafkan Elman?" Kening Elman berkerut, hampir saja keduanya bersentuhan.

Walaupun hati aku sedang panas, namun tersentuh juga walau sedikit melihat keikhlasannya meminta maaf. Aku pun sedar salah aku. Kalau aku di tempat Elman pun, pasti aku bagi penumbuk sulung juga ke muka Khazin tadi.

Tangannya aku capai semula. Peluh di dahi Elman aku lap dengan tangan. Mesti terburu-buru dia datang ke sini untuk bertemu dengan aku dan aku sedikit pun langsung tidak menghargai kesanggupannya.

Apa sangatlah salah Elman yang aku marah bersungguh-sungguh tadi.

"Za minta maaf. Za tak marah dah." Sungguh, hilang terus rasa marah yang menggelegak.

Elman tersenyum manis. Senyuman kesukaan aku!

"Sayang rindu Elman tak?"

Kepala mengangguk beberapa kali dengan senyuman penuh manja aku beri padanya. Pipi Elman ku cubit kuat.

"Anak siapalah ni... Gedik betul."

"Anak Khairul Bakhtiar."

Jawapan penuh selamba Elman mengundang tawa kami berdua. Terus terlupa isu dia menumbuk Khazin!

•••

TERBONGKOK-BONGKOK badan sambil menjengah ke dalam bilik tutorial kampus pengurusan itu. Mataku melingas mencari Khazin di dalam. Satu per satu wajah penghuni kelas aku pandang.

"Woi!"

Tiba-tiba ada satu tangan menekan kepala aku dari belakang. Nasib tak terjelopok jatuh ke depan aje!

Kepala menoleh ke belakang dengan mata yang garang. Dengar suara saja aku sudah tahu siapa yang pandai-pandai tolak kepala aku tadi.

Khazin menayang barisan gigi sambil buat muka kelakar. Dia ingat dia pelawak ke?

"Kau ni! Kalau aku jatuh tersembam ke depan tadi macam mana?"

"Macam tu lah."

Bibir aku cebirkan ke depan. Sakit kepala layan dia ni bercakap. Terus rasa kurang pandai sikit kalau bercakap dengan Khazin.

Khazin berlalu mengambil beg dan bukunya di atas meja. Sebelum datang semula menemui aku di luar kelas, dia berborak pendek dengan rakan sekelas dahulu. Lagi beberapa langkah mahu sampai ke tempat aku berdiri menunggunya, dia buat tarian bodoh pula. Dan semua orang ketawa.

"Kau nak apa tiba-tiba datang jumpa aku ini?" Air kotak pemberian aku, dia cucuk dan minum.

Cahaya di wajah aku malapkan. Saja nak buat Khazin jatuh kasihan.

"Nak minta maaf pasal semalam...," pintaku.

Memang salah Elman tapi selaku teman wanitanya, aku pun terpalit sama.

Khazin buat muka menyampah pula bila aku minta maaf dengan dia. Hei! Aku seriuslah! Janganlah buat aku rasa serba salah dan serba malu.

"Tak payah minta maaflah, Za. Aku faham. Kalau aku dekat tempat dia pun, bukan penumbuk sulung aje aku bagi... Penumbuk angah, achik, adik, anjang, aasukanya aku kena tumbuk semalam." Sempat lagi dia berlagu-lagu.

Aku tumbuk perlahan bahu Khazin. Dia memang tidak pernah gagal buat aku ketawa.

"Sakit tak?" Gelak-gelak juga tapi aku tetap rasa bersalah.

Tepi bibirnya yang sedikit bengkak itu aku pandang. Cuba menilai tahap kesakitan Khazin. Kalau aku tanya, dia mesti akan berlagak macho. Lelaki, selalu macam itu. Sakit, tapi jawab tak sakit.

"Tak langsung. Macam kena gigit semut aje."

Kan aku dah kata... Lelaki, memang tak boleh nak turunkan ego.

"Kalau aku tumbuk sekali lagi, boleh tak?" duga ku.

Mana tahu dia nak rasa penumbuk aku ini.

"Kalau kau nak tumbuk, kau tumbuk betul-betul tau. Jangan tumbuk main-main." Pipinya sebelah lagi disua pada aku sambil tangan kanan menepuk-nepuk pipi sendiri.

"Ewah! Ewah! Kau perli aku ek... Aku tumbuk sakit tau!" Hilang sudah rasa bersalah bila Khazin memperlekehkan kekuatan aku.

"Ha, yalah! yalah! Tumbuk dulu baru tau." Dia masih perlekehkan aku!

Penumbuk aku kepal. Baru saja mahu sentuh pipi Khazin, tangan tiba-tiba berhenti. Tiba-tiba juga aku rasa aku ini seorang manusia yang kejam sampai sanggup mahu mencederakan orang sakit. Akhirnya aku tarik semula penumbuk.

Khazin tersenyum menang. Bibir menjuih mengejek aku.

"Sebab kau tengah sakit tau. Aku kesian aje."

"Yeke? Terima kasih sebab kesian dekat aku. Selalunya kalau tengah sakit, orang belanja aku makan."

Penumbuk aku kepal semula.

"Kau nak aku belanja kau makanlah ni?"

Anggukan Khazin buat aku mengalah. Nampaknya melayanglah duit poket aku sekejap lagi.

"Mana?" Muka sudah tidak rela.

"Blok lelakilah. Sedap sikit makcik tu masak." Khazin menarik keluar basikalnya dari garaj.

Basikal Khazin mesti beli dalam kampus juga. Kampus kami memang ada jual basikal untuk sesiapa yang malas nak berjalan jauh, belilah basikal. Aku pula beruntung sebab kampus aku tidak jauh sangat dari hostel. Setakat menapak 15 minit itu boleh lagi.

Punggung aku naikkan ke atas tempat duduk belakang basikal bila dia menyuruh. Macam biasa, Khazin mula mengayuh menggunakan sepenuh kekuatannya dan aku pula menikmati tamparan angin sepoi-sepoi bahasa di wajah.

"Gemuk." Dalam dia berpenat-penat mengayuh. Sempat lagi dia mengutuk aku.

"Apa kau cakap?" Tangan aku mencubit pinggang Khazin yang sedang terbongkok-bongkok mengayuh itu.

Aku suruh dia kayuh basikal, bukan suruh dia kira-kira berat aku!

"Aku cakap kau kurus!"

Dia ingat aku dekat belakang tak dengar dia mengomel cakap aku gemuk ke... Jangan main-main dengan aku ek!

•••

AKU duduk menunggu Elman di pondok bas kampung. Hari ini kami sudah berjanji mahu keluar memandangkan Elman ada berdekatan kampung aku. Dia minta aku beri lokasi dan dia yang akan datang menjemput.

Wajah aku sorok di sebalik beg tangan apabila orang kampung melepasi pondok bas. Malu kalau tersebar cerita aku pergi bercinta pula. Orang kampung suka cari gosip.

"Za! Izza nak ke mana?"

Aisey... Kan aku dah cakap. Mesti ada yang kepoh.

"Za nak pergi pekan kejap, Mak Teh. Jumpa kawan," balasku.

Mak Teh kawan baik Mak Cik Rahayu. Memang geng gosip teruk ni.

Mak Teh mengangguk beberapa kali sambil menghadiahkan senyuman.

"Abang tak ikut sekali?"

Halah... Takkanlah aku nak jumpa kawan aku pun aku kena bawa Abang Ben. Macam dia tak ada kerja lain nak buat dekat rumah tu.

Aku menggeleng juga tersenyum ke arah Mak Teh. Tudung bawal yang ditiup angin, aku pegang hujungnya. Ini yang mula nak marah Elman ni. Lambatnya!

"Tak. Abang dekat rumah. Za pergi sendiri aje. Kawan Za datang ambil."

"Oh... Lelaki ke perempuan?"

Ha! Mula dah mak Teh ni....

"Lelaki." Perlahan saja suara aku. Harap-harap Mak Teh tak dengar.

"Teman lelaki Za, ya? Mak Teh ingat Za dengan abang."

Mahu tercekik aku dengar Mak Teh punya 'ingat' tu. Dahsyat... Takkanlah aku dengan abang, Mak Teh oi... Macam tak ada lelaki lain dah.

"Taklah, Mak Teh. Apa lah mak Teh fikir macam itu. Za dengan abang dah macam adik-beradiklah." Jari aku rapatkan memaknakan macam mana rapatnya aku dengan Abang Ben.

Tak sesuailah nak kahwin.

Mak Teh ketawa besar. Kepalanya diketuk perlahan macam dia sudah tersalah sangka.

"Maaflah, Za. Cuma Mak Teh ingat lagi masa Za kecil dulu Za kata Za nak kahwin dengan abang. Tak sedar yang Za sudah besar. Mestilah sudah ada pilihan lain kan."

Berona merah muka mendengar cerita zaman kecil yang Mak Teh masih ingat. Janganlah Mak Teh pergi canang cerita dekat orang lain pula.

Lagi aku tak boleh bayang kalau Abang Ben sendiri yang dengar. Sebulan juga nampaknya aku tak jengah ke rumah Pak Cik Kamil kalau abang tahu. Segan!

"Shhhh... Mak Teh jangan bagitahu abang tau. Diam-diam aje." Cair make-up aku layan Mak Teh ni. Berpeluh dengar kenyataan-kenyataan berani mati dia.

Tangan melambai menghantar Mak Teh pergi dengan motor kapcainya. Harapnya jangan Pak Teh pula lalu. Itu lagi banyak mulut.

Aku senyum sendiri. Kalau ikutkan, Abang Ben punya kepoh macam Pak Teh juga. Abang Ben pun salah seorang ahli tak rasmi geng gosip Mak Cik Rahayu dengan Mak Teh. Kalau mak cik buat mesyuarat ahli tingkap dekat rumah, Abang Ben selalu ikut serta sekali. Melayan gosip orang kampung.

Sudah macam orang gila pula senyum seorang diri. Ini semua Mak Teh punya pasallah buat aku teringat dekat abang.

Bip.

Cepat-cepat aku keluarkan telefon. Hati sudah gembira memikirkan yang Elman mungkin sudah dekat nak sampai.

'Za... Mak Teh kata Za masa kecik dulu nak kahwin dengan abang ya? *emoji ketawa terbahak-bahak* -Ben Azir'

Ternganga aku baca mesej Abang Ben. Mak Teh!!!

Tak sampai setengah jam pun, cerita dah tersebar!

Aku balas mesej Abang Ben dengan emoji tak tahu apa-apa. Tak faham. Tak peduli!

Bip.

Dia balas baliklah pula. Berdebar jantung aku nak baca.

'Comel... - Ben Azir'

Bibir tergelak kecil membaca balasannya. Selepas itu gambar aku dan dia ketika kecil dulu dia lekat sekali dengan mesej tadi.

Wajah kami berdua yang polos semasa kecil aku pandang lama. Aku sedang makan aiskrim sementara, Abang Ben pula sedang lap mulut Laila yang comot dengan aiskrim. Nostalgik.

Abang Ben tua sepuluh tahun dari aku dan Laila. Masa aku umur 5 tahun, dia sudah 15 tahun. Dialah yang menggendong aku ke mana-mana sebab aku memang manja dengan dia saja. Nampak saja muka Abang Ben, tiba-tiba aku akan jadi malas nak jalan. Jadinya dialah mangsanya yang terpaksa mendukung aku.

Ei... Tak boleh nak bayangkan langsung! Macam mana Mak Teh boleh fikir aku dan abang bercinta. Kalau ikut logik akal, mesti boleh fikir sendiri. Kanak-kanak umur 5 tahun cakap pasal kahwin, memang tak boleh percaya!

'Comelnya Za. -Izza'

Wajib kena puji diri sendiri. Takkan nak puji abang pula. Buang masa aje. Nanti dia kembang hidung.

'Za yang cakap. Tak ada siapa cakap pun yang Za comel. -Ben Azir'

Geram!

Aku menyimpan telefon semula apabila sebuah kereta Honda Civic berhenti di depan pondok bas. Tertunduk aku cuba melihat gerangan orang di dalam.

"Sayang." Terus bibir tersenyum apabila suara dan wajah Elman muncul disebalik cermin.

Ahai! Hensemnya sayang aku hari ini. Dengan berjaket kulitnya. Aku aje yang nampak kolot, berbaju kurung. Sebab aku tak ada baju lain. Semua baju aku tomboi-tomboi belaka.

"Cantiknya Sayang," pujinya.

Haruslah cantik. Pernah ke aku tak cantik? Lebih tepat lagi, pernah ke Elman puji aku tidak cantik.

"Kita nak ke mana?" soalku setelah memasang tali pinggang keselamatan.

Elman mengumam sambil berfikir.

"You name it, sayang. Elman pun bukan tahu sangat kampung sayang ni."

Giliran aku pula mengumam dan berfikir. Memang kepala kami berdua samalah. Mungkin dari acuan yang sama kut.

"Kita tengok wayanglah. Ada cerita seronok Izza belum tengok lagi," pintaku sambil mengkerdipkan mata di depan wajahnya.

Elman tersenyum.

"Sayang... You better behave yourself. Kalau tidak, kita pergi jumpa Umi terus. Sekarang juga Elman minta izin masuk meminang Za."

Serta merta tangan aku melibas lengannya. Elman suka begitu. Kalau dia mahu, dia terus buat.

Kereta Honda Civic itu meluncur laju melalui bengkang-bengkok jalan kampung. Satu per satu rumah yang ada sepanjang jalan aku beritahu pada Elman siapa penghuninya. Satu kampung aku kenal. Tiba di rumah bukit Pak Cik Kamil, makin terujalah aku bercerita padanya.

Setiap lokasi tempat aku bermain aku tunjuk pada Elman. Elman pula layan saja borak aku. Hanya sesekali dia mencelah itu pun dia kata dia nak cuba juga bila aku cakap kawasan sungai kampung kami ini memang port best nak main terjun-terjun dari tebing.

"Ben... Err... Abang Ben ada sini juga ke?" Tersekat-sekat suaranya bertanya. Aku perasan ekor mata Elman memandang aku sekilas.

"Ada je. Yang tu rumah Abang Ben!" Jari telunjuk aku lurus terarah ke rumah besar di atas bukit hujung sana.

Elman menurunkan sedikit cermin mata gelapnya.

"Mesti Abang Ben anak orang kaya," komen Elman.

Aku tergelak kecil sambil menggeleng. Kalau Abang Ben dengar, dia akan jawab...

"Ayah dia yang kaya. Abang Ben tu apa pun tak ada. Menumpang aje." Aku ulang semula jawapan yang abang selalu guna bila kawan-kawan dia kata dia anak orang kaya masa sekolah dulu.

Dalam hati sudah ketawa mengekek membayangkan muka Abang Ben mengujarkan kata-kata itu dengan riak yang masam mencuka. Dia paling tak suka orang cop dia anak orang kaya sebab katanya macam dia ini tumpang harta ayah sendiri.

"Elman pun kaya kan...."

"Elman pun sama aje macam Ben. Tapi, Elman akan usaha cari duit sungguh-sungguh. Nanti bila kita dah kahwin, Elman bina rumah lagi besar untuk Za."

Mulut aku melopong dan bertepuk tangan. Dia punya gebang, aku pun kalah.

"Alah... Tak payah besar-besarlah. Kita duduk rumah biasa pun boleh. Nanti besar sangat, nak tengok muka hensem Elman pun susah sebab rumah luas sangat," usikku.

Aku bukan suka pun rumah besar gedabak. Rumah Pak Cik Kamil itu pun dah sakit kaki turun naik tangga. Malaslah! Aku lebih suka rumah yang kecil tapi bahagia. Penuh gelak ketawa. Kalau boleh, seorang gelak satu rumah boleh dengar.

Elman tersengih. Tangan kirinya mencubit pipi pau aku.

"Sayang ni... Comellah. Elman boleh bayang macam mana nanti lepas kahwin, Za membebel hari-hari dekat tepi telinga Elman. Dan Elman sanggup dengar!" Cuping telinganya ditarik lembut.

Terbang melayang aku mendengar angan-angan dan impiannya.

"Jangan nanti lepas kahwin, Elman bosan pula dengan Za." Akuu memberinya amaran. Dia menggeleng.

"Kita entertain lah satu sama lain supaya tak bosan."

Amboi... Dia ingat aku ini pak lawak ke nak menghiburkan dia hari-hari?

"Dalam rumah tangga, bukan selalu kena gembira aje. Ada masa kita kena sedih, kena gaduh juga. Baru lah cinta ada turun naik. Baru ada kenangan manis dan pahit yang kita boleh telan sama-sama dan merasakan kenikmatan rasa cinta." Aku mula berseloroh pasal cinta pula dengan dia.

Elman senyum melebar mendengar kata-kata aku. Matanya sekejap ke kiri dan ke kanan memandang cermin sisi.

Bila pemanduannya mula tenang, tangan aku digenggam. Jari jemari kami di antara satu sama lain.

"Sayang tahu... Knowing you and falling in love with you are the best decision I've ever made. And I will trade it with anything and everything, just to be with you - all my life."

Keikhlasan Elman dalam menuturkan kata-kata tersebut menyentuh hati. Tiba-tiba aku rasa sebak. Aku juga mahu selamanya menyayangi insan bernama Elman.

•••

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience