Completed
3348
Wajahku yang tadinya tersenyum ceria dengan semangat berkobar-kobar kini tidak ada lagi. Apa yang aku tahu wajahku kini seperti menelan sebotol cuka yang tersangat masam.
Kemudian dicampur pula dengan perahan buah lemon. Bertambah-tambah masamlah jawabnya. Jika sesiapa yang melihat wajahku tika ini pasti tidak berani untuk mendekati diriku. Mulutku ini pula tidak berhenti terkumat-kamit merungut menunjukkan ketidakpuasan hati, Namun tiada siapa yang peduli. Biasalah orang yang marah tak bersebab ni selalunya tak akan dipedulikan.
Hari ini adalah hari pertamaku bekerja setelah puas aku duduk bergoyang kaki sahaja dirumah selama 5 bulan yang sudah pun berlalu. Entah kenapa selepas menamatkan pengajian tinggi, Aku merasa 'tersangat' malas untuk mencari kerja dibandingkan dengan teman-teman seperjuanganku dahulu, semuanya sudah berkerja.
Sering kali aku memberi alasan untuk berehat dahulu. Ibu bapaku pula hanya menurutkan sahaja kemahuanku. Apatah pula aku merupakan anak bongsu dari empat beradik. Walaupun keluargaku bukanlah orang yang berada tetapi ibu dan ayahku masih lagi bekerja. Mungkin kerana aku memikirkan ibu bapaku masih mampu menanggung hidupku ini telah menjadikan aku terlebih manja dan tidak bertanggungjawab seperti yang selalu dikatakan kak Aryna pada diriku.
"Zaty ni tak bertanggungjawab betul. Cubalah jadi matang sikit. Kamu tu dah besar, sampai bila ibu dah ayah nak jaga kamu. Cubalah cari kerja. Cubalah belajar berdikari." Setiap kali aku mendengar bebelan itu, aku hanya memekakkan telinga. Kenapalah kak Aryna selalu sangat membebel padaku. Aku ini bukanlah tidak mahu mencari kerja tetapi sikap malas yang semakin membiak dalam diriku seperti parasit inilah yang menjadi penghalangnya.
Suatu hari aku mula memikirkan kata-kata kak Aryna. Apa yang kak Aryna katakan banyak benarnya. Sepatutnya inilah saatnya aku pula membalas jasa ibu dan ayah yang telah membesarkanku selama 23 tahun tapi kenapa sekarang aku malah menyusahkan mereka. Baru kini aku sedar diriku semakin meningkat usia maka tiada lagi waktu untuk bersenang lenang.
Share this novel