Lilyrose 26 | Deal

Romance Series 55089

Apa ertinya keinsafan
Jika tiada bertemu kemaafan

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Apa niat Nuf buat semua ni?"

Pertanyaan Kak Azi yang tiba-tiba itu terus membuatkan Nuf terkaku. Perlahan-lahan garfu dan sudunya diturunkan.

Hanya bunyi dentingan kulteri dari arah Alif yang kedengaran. Dia tetap gelojoh menyuap makanan ke dalam mulut seperti kebiasaannya tanpa mempedulikan dua orang di depannya.

"Nuf jangan salah faham dengan soalan akak ni. Akak cuma rasa bersalah sebab dah banyak menyusahkan Nuf. Akak tahu, bukan murah kos persekolahan Alif. Lepas tu, kelas-kelas yang Nuf daftarkan untuk akak lagi. Banyak sangat pertolongan Nuf pada akak anak beranak. Akak takut tak terbalas nanti."

"Kak, saya tak harapkan sebarang balasan. Lagipun, Alif memang layak dapat pendidikan yang sempurna. Akak pun sama. Kelas-kelas tu semua untuk bantu akak kemudian hari. Saya harap, akak tak perlulah sebut tentang balasan ni lagi. Bagi saya, akak dan Alif ni dah jadi tanggungjawab saya. Paling penting, lepas ni saya dah tak nak tengok akak jual tisu atas jejantas tu lagi."

Memang Nuf ikhlas mahu membantu. Kelas braille, kelas mengurut untuk orang buta dan kursus keusahawanan itu nanti, sedikit-sebanyak diharapkan dapat membawa Kak Azi dan Alif keluar dari kemelut kefakiran. Tidak lagi sekadar berjual-jual tisu yang sering sinonim dengan golongan gelandangan buta.

Kak Azi mengeluh perlahan sambil meletakkan sudunya ke dalam pinggan.

"Nuf buat semua ni, sebab Warda yang suruh ke?"

Seperti selalu, tubir matanya terasa hangat sebaik nama Warda dipetik.

"Tak. Warda tak pernah pun suruh saya buat semua ni, kak."

"Baguslah macam tu. Kalau betul dia yang suruh, akak nak marah dia bila dia balik nanti. Tak cukup dia susahkan Fahmi, dia nak susahkan Nuf pulak." Kak Azi tersenyum lucu.

"Fahmi? Kenapa dengan Fahmi?"

"Oh, Fahmi tu kawan Warda. Ada jugaklah Fahmi tu datang jenguk akak dengan Alif sekali-sekala selama Warda tak ada ni. Katanya, Warda yang mintak dia tengok-tengokkan kami sebelum dia pergi. Tapi dia tak sempat datang setiap harilah macam yang Warda buat."

Nuf mencapai sudunya kembali dan mula menguis makanan di dalam pinggan. Namun hanya setakat itu sahaja, tidak pula disuapnya makanan ke dalam mulut. Tingkap seleranya kini terkatup rapat. Kepala menunduk cuba menyembunyikan wajah yang muram, menahan rasa sendat didalam dada yang meronta-ronta mahu dibebaskan.

"Warda tu, memang orangnya baik macam tu ke?" Nuf menyoal, antara dengar dan tak dengar.

"Bukan setakat baik je, Nuf. Kadang-kadang akak sendiri macam tak percaya wujud orang yang berhati mulia macam Warda tu. Nuf bagitahu pada akak, siapa lagi yang sanggup datang hantarkan makanan pada gelandangan macam kami ni setiap hari? Layan kami yang kotor ni, macam ahli keluarga sendiri tanpa sikit pun rasa jijik?"

Suasana tiba-tiba bertukar hiba. Suara Kak Azi yang sebak, turut membuatkan Nuf sama terjebak. Matanya yang mulai merah ditekan dengan hujung jari. Mulut tidak melontarkan walau sepatah kata sementara telinga masih sabar menanti sambungan.

"Warda pernah jugak tawarkan untuk hantar Alif ke sekolah, ajak kami tinggal dengan dia tapi akak yang beria-ia tolak sebab akak tahu dia takkan mampu nak tanggung semuanya. Cukuplah apa yang dia dah buat selama ni untuk kami. Sekarang, akak bersyukur kalau dia dah dapat lepaskan diri dia dari kami berdua. Akak tak nak rasa tanggungjawab dia terhadap kami ni, mengikat kaki dia. Sekurang-kurangnya kalau dia pergi, dia dapat lupakan semua masalah dia."

Nuf terpempam dalam keliru.

Tak mungkin Kak Azi tahu.

Sedaya-upaya dia cuba menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong.

"Warda ada m-masalah apa?"

"Akak ni memang buta mata, tapi akak tak buta mata hati lagi, Nuf. Akak dapat rasa yang Warda tu ada masalah besar yang dia sorokkan dari akak. Bahagia yang dia tunjuk depan kami, semuanya pura-pura. Akak boleh rasa semua tu walaupun akak sendiri tak tahu apa masalahnya."

Nuf meraup wajah. Saluran pernafasan yang terasa sempit mahu dilancarkan lalu dia berdehem kecil. Entah apa perasaannya ketika itu, dia sendiri keliru. Segalanya bercampur-aduk. Yang dia tahu, dialah penyumbang utama masalah yang ditanggung Warda.

"Sebelum akak jumpa dengan Warda, akak sendiri tak pernah sangka yang Allah akan hantarkan seseorang macam Warda tu pada kami. Warda tu, kalau boleh semua orang dia nak tolong. Kadang-kadang tu sampai abaikan keselamatan diri dia sendiri." Kak Azi menggeleng mengingati kejadian yang menemukan dia dan Warda buat pertama kali, hampir tiga tahun lepas.

"Akak ingat lagi Nuf, waktu mula-mula akak ditemukan dengan Warda. Waktu tu, dia selamatkan akak dan Alif yang hampir-hampir nak dilanggar kereta masa melintas jalan. Hampir tiga tahun lepas, waktu tu Alif baru umur enam tahun. Akak tak pasti keadaan waktu tu, tapi yang akak tahu tiba-tiba ada orang tarik akak dan Alif jatuh ke tepi jalan. Rupanya Warda yang tarik. Dia pun jatuh sekali sampaikan pergelangan tangan dia terkehel waktu tu."

Kak Azi berhenti sebelum tersenyum nipis.

"Warda...Warda...apalah yang ada dalam fikiran dia waktu tu. Nasib baik dia tak cedera serius semata-mata nak selamatkan kami ni."

"Tapi kalau tak ada Warda waktu tu, mungkin akak dengan Alif takkan ada di sini sekarang ni, Nuf." Kak Azi ketawa kecil.

Kak Azi dengar Nuf mengeluh panjang. Baru dia sedar, hampir sepanjang masa dia mendengar Nuf mengeluh.

"Eh, panjang pula akak bercerita pasal Warda. Maaf ya, Nuf. Mesti Nuf bosan dengar."

"Tak apa, kak. Tak bosan pun. Saya suka dengar cerita akak."

"Mungkin akak ni rindu dekat dia. Entah bilalah dia nak balik, jenguk kami kat sini. Alif pun dah selalu sangat tanya pasal Kak Wardanya tu."

Nuf menghembus nafas lemah.

Rindu.

Rasa yang dulu jauh terpendam untuk gadis itu. Tapi kini, kuat mencengkam sudut hatinya. Sama seperti Kak Azi dan Alif yang merindui Warda, dia juga merasai yang sama. Atau mungkin lebih teruk lagi kerana turut diiringi penyesalannya terhadap dosa-dosanya. Mustahil terhapus melainkan hanya dengan keampunan gadis itu.

Keinsafan yang tiada makna jika tiada kemaafan.

"Warda ada beritahu akak yang dia pergi mana?" Nuf mencuba. Namun gelengan Kak Azi hanya menambah hampa didalam jiwa.

"Dia tak bagitahu, Nuf. Tiba-tiba je dia cakap dia nak pergi. Itupun sehari sebelum dia nak bertolak baru dia datang jumpa akak."

"Fahmi tak ada cakap apa-apa dengan akak?"

"Fahmi pun tak pernah cerita apa-apa pada akak."

Nuf mengurut kening. Buntu dia mahu mencari ke mana menghilangnya Warda.

"Kak Azi."

Suara yang muncul dari arah belakangnya lantas membuatkan Nuf berpaling. Air mukanya lantas berubah.

"Fahmi ke tu?" Kak Azi menyoal. Suara yang memanggil memang kedengaran seperti suara Fahmi tapi dia tetap mahukan kepastian. Takut tersalah orang.

"Abang Fahmi tu, ibu." Alif yang diam sedari tadi tiba-tiba menyampuk.

Nuf sekadar diam memerhati Fahmi yang menghampiri meja.

"Akak dengan Alif buat apa kat sini?" Fahmi tiba di tepi meja makan. Matanya mencerlung ke arah Nuf dengan penuh curiga.

"Makan dengan—" Kak Azi terdiam.

"Eh, akak tak kenalkan dengan Fahmi lagi. Ni Nuf. Nuf, yang ni Fahmi. Kawan Warda yang akak ceritakan tadi tu."

Nuf menghulur tangan. Fahmi teragak-agak menyambut. Jika tidak kerana Alif yang sedang memerhati, jangan harap dia akan sambut huluran tangan itu. Hatinya masih panas dengan segala perbuatan doktor itu terhadap Warda. Kepalan penumbuknya masih terasa ringan untuk melayang lagi.

"Fahmi buat apa dekat sini?"

"Saya bawa Oyen pergi klinik tadi. Kebetulan klinik dekat depan tu, jadi saya singgah makan tengahari kat sini."

"Kenapa pulak dengan Oyen?"

"Oyen Kak Warda sakit ke?" Sampuk Alif lagi.

"Iya, Alif. Oyen Kak Warda tak berapa sihat. Abang pun tak tahu kenapa. Tapi dia tak selera nak makan sejak Kak Warda tak ada."

"Ala, kesiannya Oyen."

"Sekejap. Siapa Oyen?" Soal Nuf, dipenuhi tanda tanya. Matanya memandang Alif dan Fahmi bersilih-ganti.

Fahmi menjeling sebal.

Penyibuk!

"Oyen tu, kucing Kak Wardalah Abang Faiq. Nama dia Oyen sebab warna dia oren." Terang Alif.

Barulah Nuf teringat. Mungkin kucing jingga yang diambil oleh Fahmi dari rumah Warda tempoh hari.

"Hmm...mesti sebab rindu pada Wardalah tu. Kadang-kadang haiwan ni pun ada perasaan juga. Sama macam manusia, ada naluri kasih-sayang. Cuma tak diberikan akal macam manusia." Kak Azi menyampuk.

"Ya, kak. Tapi kadang-kadang tu terbalik. Manusia pulak yang bertindak tak menggunakan akal." Pedih sindiran Fahmi.

"Sama macam binatang."

Binatang.

Mungkin tutur Fahmi kedengaran kasar dipendengarannya, tapi semuanya benar.

Bila difikirkan kembali, Nuffaiq Wildan yang dahulu miliki segalanya. Harta dan kerjaya menghiasi hidup namun akal waras sering gagal menjadi tunjang bagi jiwa yang kekosongan. Rentetan-rentetan peristiwa jelas membuktikan dia seperti apa yang dikatakan Fahmi.

Namun lihatlah diri dia yang kini. Kerjayanya mula goyah malah segala yang dimiliki olehnya hari ini tak membawa sebarang makna dalam hidup. Saat dia mendambakan sesuatu yang begitu berharga buat jiwa, harta dan pangkat sudah hilang nilainya.

"Saya harap sangat yang Oyen tak apa-apa. Saya tak sanggup nak tengok Warda tu bersedih lagi lepas macam-macam perkara buruk yang menimpa dia." Dihujung ayat, sempat Fahmi menghantar jelingan tajam ke arah Nuf yang bungkam.

"Apa maksud Fahmi ni? perkara buruk? Kenapa dengan Warda? Dia okay tak?" Bertubi-tubi soalan Kak Azi.

"Tak ada apa-apa, kak. Dia okay. Malah, dia gembira kat sana. Akak jangan risau."

"Alhamdulillah. Risau hati akak tadi."

"Abang Fahmi, nanti kalau kakak ada telefon abang, abang suruhlah Kak Warda balik. Alif rindulah dekat kakak."

"In shaa Allah. Nanti abang bagitahu Kak Warda. Tapi abang tak dapat janji yang Kak Warda akan balik atau tak." Fahmi membelai kepala Alif.

Alif monyok dan mengangguk lemah. Sedangkan seseorang yang lain masih kekal bungkam. Fikirannya seolah terhenti dari berfungsi.

"Okaylah Kak Azi. Saya pergi dulu. Saya makan dekat kedai lainlah. Tak selera nak makan dekat sini."

"Yelah."

Setelah meminta diri, Fahmi terus berlalu tanpa membazirkan walau sesaat. Nuf bingkas bangun seperti robot menyebabkan bunyi geseran kaki kerusi di lantai menarik beberapa orang pelanggan di dalam restoran untuk turut menoleh.

"Akak dengan Alif tunggu sekejap. Nanti saya datang balik." Lalu, dia terus berlalu mengekori Fahmi keluar restoran.

"Mana kucing tu?"

Fahmi menoleh sekilas. Tapi tidak pula dia berhenti. Kakinya terus dihayun laju ke arah keretanya.

"Fahmi!" Nuf menarik bahu Fahmi. Menghalang dari dia membuka pintu keretanya.

"Aku tanya, mana kucing tu? Mana kucing Warda tu? Kau tak dengar ke?"

"Aku belum pekak lagi, doktor." Tangan Nuf ditepis kasar.

"Biar aku jaga kucing tu." Usul Nuf yang tiba-tiba membuatkan Fahmi tergelak sinis.

"Kau ingat aku bodoh, tak tahu apa rancangan kau? Kau sengaja nak lukakan Warda lagi kan? Sebab tu kau nak kucing tu."

"Tak, bukan macam tu—"

"Lagi satu. Apa niat kau berbaik-baik dengan Kak Azi dan Alif?"

Telunjuk Fahmi lurus di depan muka Nuf.

"Kau dengar ni. Kalau kau gunakan Kak Azi dan Alif untuk sakitkan hati Warda, aku tak teragak-agak nak tumbuk muka kau lagi."

"Aku takkan buat macam tu. Kalau waktu aku jahil dulu, mungkin ya. Aku boleh buat macam-macam untuk lukakan hati dia, untuk kepentingan aku sendiri. Tapi sekarang, aku buat semua ni demi Warda. Termasuklah Oyen."

Nuf menilik reaksi Fahmi yang masih menunjukkan rasa tak puas hati. Mata milik lelaki itu tajam menikamnya penuh curiga.

"Fahmi, biarlah aku tolong rawatkan kucing tu sampai sihat. Kau sendiri cakap tadi yang kau tak nak tengok Warda bersedih lagi, kan?"

"Aku takkan benarkan kau sentuh Oyen. Lagipun kau fikir sendiri. Kalau Warda tahu, kau rasa dia akan benarkan ke kau jaga kucing dia?"

"Fahmi, let's be rational. Kucing tu sakit. Biar aku jaga Oyen dulu. I know the best vet yang boleh rawat Oyen. Bila dah sihat nanti, aku bagi kau balik kucing tu."

"So, kau rasa yang kau paling bagus, kau kenal semua pakar-pakar terbaik tu, boleh buatkan Oyen sembuh? Boleh buatkan Warda melutut berterima kasih pada kau?"

"Fahmi, please." Nuf mulai bosan mendengar sindiran Fahmi. Malas mahu membetulkan tanggapan-tanggapan buruk yang dilontar Fahmi kepadanya.

Mungkin inilah rasa yang pernah dia berikan pada Warda dahulu. Malah, mungkin lebih teruk sehingga gadis itu sendiri naik bosan mahu menjelaskan duduk hal yang sebenar.

"Dahlah Nuf. Tak payah berlakon. Jangan tunjuk muka kesian kau tu depan aku lagi. Aku takkan termakan dengan lakonan kau tu."

"Kau tak nak beritahu aku mana Warda. Okay, fine! Aku terima." Kesabarannya kian terhakis.

"But, please. Let me do something for her."

Tangan Fahmi kaku di pembuka pintu kereta mendengar suara Nuf yang berubah nada.

"Tolonglah benarkan aku buat sesuatu untuk Warda. Sekurang-kurangnya untuk aku tebus baik dosa-dosa aku pada dia."

Fahmi mendengar meskipun tidak memandang.

"Aku tahu, apa yang aku nak buat ni tak akan mampu nak sembuhkan semua luka yang dia pernah rasa. Yes, I know it. Aku sedar, dosa aku pada dia memang besar. Mungkin sampai mati pun, aku takkan mampu tebus semuanya balik."

Jeda.

"But at least, let me try. Aku takkan biarkan Oyen terus sakit. Aku akan buktikan pada kau yang aku betul-betul dah berubah."

"Apa jaminan kau yang Oyen akan selamat dibawah jagaan kau?" Uji Fahmi. Sedikit-sebanyak hatinya dibuka untuk bertoleransi.

Dia mahu lihat, benar ke doktor itu sudah berubah seperti yang diperkatakan.

Nuf menggeleng.

"Tak ada apa-apa. Sumpah aku cakap, aku tak ada sebarang jaminan. Tapi aku berani janji kalau ada apa-apa yang buruk berlaku pada Oyen, kau takkan nampak muka aku lagi. Macam yang kau nak, aku takkan tunjuk muka aku lagi depan kau. Dan aku akan berhenti tanya berkenaan Warda lagi."

Tiba-tiba satu idea melintas di benak Nuf. Lidah keluar membasahkan bibir yang terasa kering.

"Tapi kalau Oyen sembuh—" Nuf sengaja meleretkan ayat. Menanti reaksi Fahmi.

Fahmi menjongket kening. Kini sepenuhnya memandang doktor yang berdiri dengan yakin di depannya.

"Kau kena bagitahu aku, mana Warda."

Rengusan terlontar dari sebalik gigi yang dikancing oleh Fahmi. Tawaran dari doktor itu cukup tak masuk dek akal. Apa pula kata Warda nanti jika dia tahu kucing kesayangannya dijadikan alat pertaruhan mereka?

Tapi pantang Fahmi jika dia menolak seperti seorang pengecut. Dan dia bukan seorang yang pengecut!

Nuf menghulur tangan untuk berjabat.

"So, deal?"

###

p/s: esok ada update macam biasa tau. stay tuned ;)

Share this novel

sitinur_999
2020-08-20 15:11:12 

alahai fahmi ni kan. tetiba pulak pantang dicabar, memang laju la si nuf ni buat kerja


NovelPlus Premium

The best ads free experience