Lilyrose 5 | Scalded to protect

Romance Series 55089

Mana mungkin dia empati
Bila dendam menguasai hati

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Meriah.

Riuh-rendah.

Warda tersenyum dari bawah booth makanan yang dijaganya sambil memerhati suasana sekeliling festival Health to Wealth yang diadakan di perkarangan hospital itu hari ini.

Acara tahunan yang wajib dianjurkan oleh pihak hospital setahun sekali untuk meraikan golongan gelandangan atau golongan kurang berkemampuan. Pada hari inilah, golongan tersebut akan dijamu pelbagai jenis makanan dan akan diberi pemeriksaan kesihatan oleh staff perubatan. Segalanya percuma. Ada juga pelbagai aktiviti untuk golongan kanak-kanak.

Tiba-tiba Warda teringatkan Alif dan kak Azi.

Sayangnya mereka tak dapat ikut serta. Tentu Alif suka sangat kalau dapat bermain dengan kawan-kawan seusianya.

Getus hati Warda.

Sedang dia asyik mengelamun, tiba-tiba terasa rusuknya disenggol keras. Warda mengaduh sakit. Lantas Amna di sebelah, dijeling tajam.

"Apa ni?! Sakitlah, Amna!"

Tambah membuat Warda sebal, Amna langsung tidak memandangnya sebaliknya matanya tertumpu ke depan.

"Kau tengok tu." Muncung mulut Amna.

"Apa?!"

"Tu... Doktor duda hot tu. Ada pulak dia. Selalu dia tak join aktiviti macam ni." Amna mencebir bibir.

Warda menghalakan pandangan ke arah yang sama dengan Amna. Kelihatan Nuf sedang duduk di meja bulat bersama-sama dengan beberapa orang doktor pakar yang lain. Sisi wajahnya Warda tenung lama. Rancak dia berbual tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

"Kau tau tak, Warda. Sejak dia menduda lima enam bulan ni, saham dia melonjak naik tau." Amna murah menyalur info. Warda hanya diam mendengar. "Kalau dulu sepupu kau tu hidup lagi pun ada yang try dia, inikan lagi dia dah menduda sekarang." Terjuih-juih bibirnya bercerita. Tangannya tetap lincah meletakkan mee kuning ke dalam mangkuk yang tersusun di atas meja.

Kepoh.

Amna dan kepoh, berpisah tiada.

Warda ketawa didalam hati.

"Tapi aku rasa Dr Zara tu kut yang dapat duda hot tu. Hai, untungnya badan..."

Warda lantas memanggung pandangan. "Dr Zara?" Perlahan dia bertanya.

"Tu yang duduk sebelah dia tulah. Alah...doktor pulmonology unit yang treat arwah sepupu kau dulu. Takkan kau tak tahu?" Berkerut kening Amna memandang Warda.

Dia tahu arwah Bella dulu dirawat di sini. Tapi dia tak pernah ambil kisah nama doktor yang merawat arwah Bella dahulu.

Namun sekarang dia sudah tahu.

Dr Zara.

Warda merenung wajah doktor wanita muda yang duduk di sebelah Nuf. Kadang-kala dia turut serta dalam perbualan Nuf bersama rakan-rakannya dan sekali-sekala turut ketawa.

Cantik dan jelita.

Cukup sepadan dengan Nuf.

Dan sesuai sebagai pengganti Bella.

Bibirnya diketap perlahan.

"Semua orang kat hospital ni tahu, Warda. Ke mana-mana mesti berkepit berdua je. Mesti ada apa-apa tu."

"Hmm...baguslah." Warda tak tahu mahu membalas apa. Wajah Nuf dikerling sekilas sebelum dia kembali tunduk. Sup yang sedang panas di dalam periuk elektrik dia kacau perlahan sambil matanya ralit memerhati pusaran yang terhasil dengan putaran senduknya.

"Kakak, nak mee sup."

Beberapa orang kanak-kanak sudah mula beratur di hadapan meja. Warda tersenyum lalu lincah tangannya mencedok sup ke dalam mangkuk mee dan menyerahkan kepada setiap seorang yang berdiri di depannya.

"Terima kasih, kakak."

"Sama-sama. Hati-hati, panas tu." Warda berpesan sambil tangannya mengusap lembut rambut kanak-kanak yang terakhir.

Warda kembali berdiri tegak. Waktu itulah dia menyedari mata dingin milik Nuf sedang menikamnya. Warda terasa seperti ada arus elektrik yang tiba-tiba merenjat tubuhnya saat matanya bersabung dengan anak mata itu. Walaupun dalan jarak yang jauh, cukup membuatkan bulu romanya meremang sendiri.

"Warda!"

Warda tersentak dan terus berpaling apabila merasakan bahunya dicuit. Wajah Fahmi yang sedang menyengih lebar terbias di depan mata.

"Hoi, Mi. Kau tak jaga booth makanan kau ke?" Amna mencelah sebelum sempat Warda bersuara.

"Ada seorang lagi jaga. Lagipun sekejap je. Aku nak hantarkan ni." Plastik ditangannya diserahkan kepada Warda. "Untuk Alif dengan kak Azi. Takut tak cukup nanti, so aku bungkuskan awal-awal." Fahmi menggenyitkan mata ke arah Warda. Warda tersenyum senang.

"Thanks, Mi." Sungguh dia terharu dengan keprihatinan Fahmi.

"No hal. Nanti kau belanja je aku KFC. Eh, aku balik booth aku dulu, Warda. Kau Amna, cepat sikit cedok mee tu. Lembablah kau ni!" Sempat lagi dia menyakat kedua-dua wanita itu.

"Dah, dah. Baliklah Mi sebelum aku sumbat kau dengan mee ni!" Amna menghalau Fahmi, kasar. Lidahnya terjelir sengaja mengusik Fahmi yang turut membalas. Fahmi lantas berlalu tergesa-gesa dengan ketawa yang bersisa.

Tergeleng kepala Warda melihat keletah sahabat-sahabatnya yang kurang matang. Senyuman tak lepas dari wajahnya. Dia kembali memandang meja bulat yang diduduki Nuf tadi, namun kerusinya sudah kosong. Kerusi sebelahnya juga kosong.

Betullah kata Amna.

Nuf mesti bersama doktor yang bernama Zara itu.

Warda berfikir sejenak sebelum kembali sedar diri.

Warda, just stop!

Dia melepaskan keluhan.

Sehabis mungkin dia menyibukkan diri dengan orang yang sudah mulai ramai berpusu-pusu datang dan pergi di depan meja. Amna juga tak menang tangan melayani setiap orang yang datang.

Dari jauh, pandangan Warda tertancap semula ke arah selang beberapa booth di sebelahnya.

Nuf dan Dr Zara sedang menjenguk dari satu booth ke booth yang lain. Setiap langkah yang diambil doktor itu, semakin dia menghampiri booth makanan Warda. Namun pandangannya langsung tidak melekat ke arah wanita itu yang sudah tidak tenteram menunggu.

Warda menghela nafas cuba meredakan detakan jantung yang mulai tidak teratur.

Entah kenapa, kehadiran Nuf seperti membawa satu aura yang lain kedalam dirinya walaupun dia pasti yang dirinya tidak memberi impak walau sedikit pun kedalam diri Nuf.

You're nothing to him, Warda. Ingat, dia anggap kau sebagai pembunuh isteri dia!

Sekali lagi lamunan Warda diragut apabila tiba-tiba ada tangan kecil yang menarik sisi bajunya. Seorang kanak-kanak lingkungan usia dua tahun sedang berdiri di sisinya dan mendongak merenung Warda. Mata bulatnya yang jernih terbuntang, terus membuatkan Warda jatuh sayang.

Comel!

"Maaf cik, anak saya ganggu cik." Muncul seorang wanita yang masih muda, namun langkahnya sedikit terjingkut-jingkut dengan bantuan tongkat.

"Tak apa." Warda tersenyum. "Comel sangat." Pipi kanak-kanak itu dicuitnya.

"Saya tak berapa larat nak kawal dia. Kaki sakit." Dia menjelaskan. Warda hanya mengangguk faham.

Mujur orang di booth mereka sudah berkurangan. Jadi sempat Warda berbual ringkas dengan wanita itu. Ibu tunggal beranak satu, namun kini segala pencarian rezeki terpaksa ditangguhkan akibat kemalangan yang dihadapi beberapa minggu yang lalu menyebabkan kakinya patah.

Tanpa dia sedari, tangan kecil yang tadi berpaut di bajunya sudah beralih menggapai wayar periuk elektrik.

"Warda! Careful!" Jerit Amna.

Tak sempat Warda mengelak waima tak sempat untuk dia berfikir panjang, refleks Warda memeluk kanak-kanak tadi dengan tangan kirinya manakala tangan kanan cuba menahan periuk dari jatuh.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Babak yang menarik semua mata berhampiran untuk turut memandang dek jeritan Amna yang bergema tadi.

Mujur periuk tak sempat jatuh tetapi telapak tangannya rasa terbakar dan pedih yang teramat akibat menyentuh sisi periuk panas. Dan lebih teruk lagi, ada sup panas yang turut tertumpah ke lengannya. Ada juga yang tumpah ke lantai.

Warda mengerang kecil.

Sakit!

Melecur!

"Warda! Ya Allah!" Amna menerpa dan menarik lengan Warda. Warda menarik kembali lengannya lepas dari pautan Amna.

Kanak-kanak di sebelahnya sudah menangis kuat.

"Amna, cek baby tu dulu. Ada kena sup panas ke tak?!" Kelam-kabut Warda mengarah. Tangannya yang melecur sakit diabaikan.

Ibu kanak-kanak itu juga panik. Amna pantas mendukung dan memeriksa seluruh badan kanak-kanak itu.

"Tak ada kena sup. Dia terkejut je ni. Kau tu yang dah melecur..."

"Tak, aku okay. Sikit je ni." Berkerut wajah Warda menahan pedih yang terasa membakar kulitnya.

"Serius baby ni tak apa-apa?" Warda meminta kepastian. Dia memeriksa lagi. Tak puas hati selagi tidak dipastikan dengan mata sendiri.

Amna mengangguk. Apa yang lebih dirisaukannya sekarang adalah lengan Warda yang sudah mula memerah itu. Belum sempat Amna bersuara, ada sepasang tangan yang mengambil kanak-kanak itu dari dukungan Amna.

Serentak Amna dan Warda melihat empunya tangan. Berubah air muka Warda. Terlupa langsung dia dengan kehadiran Nuf yang tidak jauh dari tempatnya berdiri tadi. Mestilah dia juga menjadi saksi apa yang berlaku tadi.

Mata Nuf berlegar memerhati lengan baju Warda yang basah dengan sup sambil dia mengusap untuk menenangkan kanak-kanak di dalam gendongannya.

"Are you okay?" Zara tiba-tiba muncul, menyoal Warda.

Warda pula seakan terpinga-pinga apabila Zara sudah menyentuh lembut lengannya. Telapak tangan dan lengan Warda dibelek.

"Oh my God. Teruk ni. You need to treat this immediately." Bersungguh Zara menyambung.

"Come, follow me..."

Warda pantas menarik semula lengannya. Entah kenapa dia rasa tak selesa jika doktor itu yang merawatnya. Tidak Doktor Zara!

"No, it's okay."

Terkedu Zara dengan tindakan Warda yang menarik tangannya.

Warda turut perasan dengan kelopak mata Nuf yang terpicing memandangnya, namun Warda peduli apa?

"Kawan saya boleh tolong cucikan. Jom Amna." Tangan kiri Warda menarik baju Amna.

"Aku?" Amna menyoal. Blur.

"Ye...cepatlah." Warda menggesa. Dia sebenarnya tak betah berlama-lama berada di depan Nuf dan Zara berbanding mahu mengubati rasa pedih di lengannya.

"Warda!" Terkocoh-kocoh Fahmi muncul dengan apronnya. Semua mata memandangnya pula.

"Amna, cepat bawak Warda pergi belakang sekarang! Dah teruk melecur ni!"

"Okey, okey! Jom, Warda." Amna mendorong Warda setelah dia disedarkan Fahmi.

"Sekejap." Warda sempat mencapai bungkusan makanan yang diberikan Fahmi awal tadi dari atas meja sebelum berlalu mengikut Amna dan Fahmi.

Nuf dan Dr Zara ditinggalkan dengan orang lain yang masih sibuk mengerumuni. Tak sesaat pun dia memandang Nuf.

***

Tangan kanan Warda yang sudah berbalut itu dia renung tajam dari sebalik cermin gelap Audi putihnya. Tangan kiri wanita itu menjinjit sebungkus plastik. Nuf yakin plastik itu yang diberi oleh Fahmi dan diambil dari atas meja selepas kejadian melecur tadi.

Nuf sendiri kurang pasti apa yang cuba dilakukannya. Dari tadi dia tertanya-tanya sendiri soal bungkusan tersebut. Jadi, dia mengambil keputusan menunggu di dalam keretanya yang diparkir selang beberapa buah di belakang Austin mini kuning milik gadis itu.

Teringat dia kembali dengan perbualan Warda dn sahabat-sahabatnya yang secara tak sengaja didengari semasa dia menghantar kanak-kanak tadi untuk diperiksa lanjut.

•••

"Kau sempat lagi 'selamat'kan plastik tu eh?" Fahmi bersuara sambil dia memotong lengan baju Warda.

"Mestilah. Dalam ni ada rezeki Allah bagi untuk Alif dengan kak Azi tau. Aku mesti kena protect baik-baik."

"Samalah macam kau protect baby tadi tu?" Amna pula menyampuk.

"Yang itu lagilah kena protect. Kau bayangkan aku yang dah tua ni pun rasa sakit, apatah lagi kalau baby kecik tu yang terkena sup panas tu tadi?"

•••

Bibir Nuf tersungging senyuman sinis.

Protect?

Kau tahu ke apa maksud 'protect' tu, Warda?

Kalau kau tahu, kau tak akan sanggup buat Bella macam tu!

Dia lihat Warda melambai ke arah Amna sebelum masuk ke tempat penumpang hadapan. Fahmi pula mengambil tempat pemandu. Tak lama kemudian, kereta itu bergerak perlahan keluar dari parkir.

Nuf tak menunggu lama. Diekorinya dari jauh agar kehadirannya tidak disedari.

Semakin dia mengikuti, semakin dia bertambah pelik apabila kereta di depannya berhenti di bahu jalan. Warda keluar dari kereta dengan membawa bungkusan tersebut naik ke atas jejantas dan turun kembali selang beberapa minit kemudian tanpa plastik di tangan.

Diperhatikan kereta kuning itu mengaum pergi dari situ. Perlahan-lahan dengan penuh kemusykilan, Nuf keluar dari keretanya lantas kaca mata hitamnya dicabut dari wajahnya sebelum dia mendongak merenung jejantas. Kiri dan kanannya diperhati lalu dia menyelitkan kaca mata hitamnya ke dalam poket kemejanya.

Teragak-agak dia dengan tindakannya sendiri.

Pintu keretanya ditutup rapat sebelum kakinya melangkah perlahan naik ke atas jejantas tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience