Lilyrose 24 | Not Her Fault

Romance Series 55089

Jika keampunan tak dapat ditagih
Biarlah ditebus dengan cara lain

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Nuf, it's been two weeks since you came back from Amsterdam! Kalau kau berterusan macam ni, aku dengan yang lain tak akan benarkan kau operate any patient lagi. Pull yourself together! Tolonglah, jangan campurkan masalah peribadi dengan urusan kerja. It's so unprofessional."

Nuf menghenyak punggungnya di sofa mewah yang terletak di tengah-tengah kondominiumnya sebaik tiba. Lengannya dibiarkan berehat di atas dahi yang sarat dibebani kesulitan.

Hanya satu lampu di tengah-tengah ruang yang dibiarkan menyala. Cukup sekadar untuk dia mampu melihat refleksi diri sendiri di dinding kaca.

Diri yang tidak seperti dirinya.

Benar seperti kata Fateh awal tadi, susuk yang terbias di dinding kaca itu langsung tidak seperti diri dia yang dulu.

Gelap yang menyelubungi ruang kala itu sama seperti hidupnya yang kini gelap-gelita tanpa sinar menyuluh jalan.

Karam dalam penyesalan yang tak berpenghujung.

Tercari-cari secebis kemaafan dalam kesamaran.

Keampunan yang ingin ditagih tapi si dia hilang tanpa dapat dijejaki.

"Nuf, wake up! This is not you. Aku tak pernah tengok kau macam ni. Sedangkan waktu Bella meninggal dulu pun, kau tak seteruk ni. Tak sampai serabut macam ni. Ni dah lebih dari mati bini, kau tahu tak? Kau patut balik rumah, belek diri kau tu dekat cermin. Ini ke Nuffaiq Wildan yang aku pernah kenal dulu? Please find a way to solve all of these problems. I want the old Nuffaiq Wildan, the great and telented heart surgeon back! Otherwise, we won't have you back in the operating theater. You're just gonna risk one's life with this attitude of yours."

Sambil mata terpejam rapat, jemari berlari di celahan rambut. Digenggam erat sehingga habis berselerakan namun sikit pun tidak diendahkan.

Nafasnya sesak.

Fikirannya semak.

Macam mana, Fateh?

Sedangkan aku sendiri tak ketemu jalan keluar dari terus ditenggelami penyesalan. Semakin aku cari, semakin aku sesat. Segalanya gelap, kelam dan suram.

Dia merintih lagi buat kesekian kali. Lalu, tubuh direbahkan terbaring di atas sofa. Mata memberat lalu perlahan-lahan terkatup rapat. Ada air jernih yang bertakung di hujung mata, mengulit lenanya.

¤¤¤

"Kau kejam!"

"Kau binatang!"

"Kau tak berhati perut, Nuf!"

Diam!

Nuf menekup kedua belah telinganya namun pendengarannya masih dapat menangkap sayup-sayup tangisan seseorang.

Tangisan pilu yang meruntun jiwa.

Nuraninya tiba-tiba dirundung hiba.

Esakan itu semakin bergema kuat disulami sedu-sedan yang tak berkesudahan.

"Warda."

Serentak itu, terbentang di depan matanya ibarat layar yang menyiarkan ulang tayang.

Wad hospital yang suram.

Warda dengan mata terpejam.

Meratap serta meringkuk muram.

Dan ada skalpel tajam yang digenggam.

Bermula dari tangannya sendiri, bilah itu berpindah ke tangan yang tak bersalah. Paling menyayat hatinya, bilah skalpel itu hampir meragut nyawa yang tak berdosa. Segalanya bermula dari tangannya sendiri. Tangan yang sering menjadi kebanggaannya.

Malah kini dia sedar, jantung rapuh milik gadis itu sering berdegup sengsara bahana tangan yang sama.

"Kau pembunuh, Warda!"

"Aku ingatkan kau tak berhati perut je. Tapi rupanya kau jijik jugak, Warda. Jijik! Disgusting!"

"Waktu tu, kau sendiri yang akan minta supaya nyawa kau ditarik!"

"Kalau aku betul-betul sengaja, aku takkan langgar Alif. Aku langgar kau."

"Bila aku dah puas seksa kau nanti, aku akan pastikan yang aku tak akan gunakan tangan aku sendiri untuk bunuh kau. Aku akan pastikan kau guna tangan kau sendiri."

Satu persatu cemuhannya terulang didalam fikiran. Cemuhan yang dulu dilontar buat Warda tapi kini, kembali menghantui diri sendiri.

Terbentang segala kekejamannya.

Mimpi ini benar-benar terasa seperti realiti.

Ruang wad masih dipenuhi tangisan hiba Warda yang masih hanyut dihambat emosi.

Skalpel miliknya ditangan gadis itu direnung dengan mata yang terasa hangat bergenang.

Kau memang kejam, Nuf!

Kau tak layak dapatkan walau secebis kemaafan dari dia!

Sendi lutut tiba-tiba melemah saat semangat ditarik keluar dari jasad. Lantas dia jatuh melutut di atas lantai bersama empangan air mata yang mulai pecah. Manik jernih berguguran jatuh.

Di sebalik pandangannya yang kabur, dia sempat melihat Warda membawa skalpel ke lehernya.

Warda, stop!

Don't!

Entah kenapa, teriakannya tak terzahir di mulut.

Hati yang menyesali, meronta-ronta untuk menghalang.

Namun tak sempat dia bertindak walau seinci, jasad pula seolah-olah dikunci. Pergerakannya seperti terbatas. Serentak itu, dia melihat tangan Warda yang memegang skalpel tadi, terkulai jatuh di sisi katil.

Berlumuran darah, malah menitis-nitis jatuh ke lantai.

Ting!

Skalpel terlepas lalu jatuh berdenting ke lantai.

"Warda, no!!!"

¤¤¤

"Warda!"

Nuf bingkas terjaga dan terus duduk dengan nafas yang tercungap-cungap menghela oksigen. Peluh merecik di muka. Malahan, kemejanya juga turut lencun dibasahi keringat.

Mimpi tadi terlayar lagi di ruang minda membuatkan darahnya segera berderau. Yang menghairankan, mimpi itu jauh bertentangan dari realiti yang terjadi.

Kenapa dia melihat Warda berlumuran darah?

Apa petandanya?

Dada berombak kencang menahan gemuruh yang meronta-ronta mahu memecahkan pekung dadanya. Emosi tiba-tiba mencengkam hebat. Sambil menghela nafas dalam, kelopak mata tertutup rapat sekaligus menolak air mata yang bertakung deras menuruni pipi.

Badan diseret turun terduduk di atas lantai. Bersandarkan sofa di belakang, dia sambung teresak dan mengerang menahan seksaan yang merusuh jiwa.

Dalam kesamaran cahaya ditambah pandangan yang dikaburi air mata, dia menilik telapak tangan sendiri.

Sebelah kemerahan akibat melecur dua minggu yang lepas.

Sebelah lagi berparut panjang, melintang. Bekas jahitan jelas kelihatan.

Semuanya akibat dilukai skalpel sendiri berbulan-bulan yang lalu.

Meninggalkan amaran, senjata yang dibangga-banggakan turut boleh memakan tuan.

Mengingatkan kejadian itu, tangisan terhambur lagi dengan penuh kehibaan. Kalau dia tidak melakukan perkara itu, pastilah rasa bersalah ini lebih teruk lagi. Kalau dia tidak menghalang satu ketika dahulu, dia mungkin boleh dipanggil pembunuh ketika itu. Pembunuh, kerana menyebab kematian insan yang sama-sekali tak bersalah dalam kancah dendam yang diciptanya sendiri.

Muka diraup cuba menghapus linangan di pipi namun masih gagal membendung empangan mata.

Lagi dan lagi, air mata begitu murah jatuh menimpa muka...

***

"Abah—"

Tuan Malik memanggung pandangan. Hampir tidak dikenali gerangan yang berdiri di depannya jika tidak kerana suara yang memanggilnya tadi amat dikenalinya.

"Sorry, tuan. Saya tak sempat nak halang—"

"It's okay. Awak boleh keluar." Arah Tuan Malik kepada setiausahanya. Matanya masih melekat pada menantunya yang kurang terurus bersama bahu yang jelas jatuh.

Tak seperti selalu.

Tak seperti menantunya yang dulu.

Tegap, segak dan kacak.

Penampilan yang sentiasa mencuri perhatian tiap-tiap wanita dan gadis remaja, namun dicemburui para jejaka.

Namun kini...

"Nuf." Tuan Malik bangun sebaik setiausahanya keluar dan menutup pintu.

"What happened to you?" Hanya itu yang mampu terluah. Dia menghampiri Nuf lalu memaut bahu menantunya.

Nuf diam, tidak menjawab. Sebaliknya, tangan Tuan Malik dicapai dan disalam penuh hormat.

"Duduk, Nuf." Pelawa Tuan Malik, menunjuk ke arah set sofa disudut bilik pejabatnya.

Menurut pelawaan bapa mertuanya, Nuf melabuhkan punggung dengan pandangan yang masih tak diangkat. Tangan menongkat dahi di lutut.

"Nuf, abah tak tahu apa yang mengganggu Nuf ni. Tapi abah rasa mesti ada hal penting kan? Sebab Nuf tak pernah jejakkan kaki kat office abah pun selama ni. Kenapa tak jumpa abah kat rumah je? Nuf pun dah lama tak jenguk mak. Mak pun asyik tanya pasal Nuf sampaikan abah terpaksa tipu dia, cakap yang Nuf tengah busy but—look at you. What happened?" Soal Tuan Malik seraya duduk.

Kali ini Nuf mengangkat wajah bersama keluhan berat yang terlepas. Dia menggeleng lemah.

"Hal ni, tak sesuai kalau nak dibincangkan kat rumah."

Jantung Tuan Malik tiba-tiba berdebar. Nampaknya memang betul-betul penting hal yang mahu dibincangkan. Hatinya kuat tertanya-tanya masalah yang membelenggu satu-satu menantunya itu.

"Hal apa?"

"Pasal—Warda."

Riak wajah Tuan Malik nyata berubah. Bungkam dia seketika.

"Kenapa dengan Warda?"

"Warda dah pergi, abah. Nuf tak sempat nak minta ampun segala silap Nuf dari dia."

"Apa maksud Nuf ni? Abah tak faham." Tuan Malik menggeleng. Garis-garis kedutan jelas terukir di dahi tuanya.

"Dia dah pergi jauh. Dia dah tak nak tengok muka Nuf ni lagi!" Suara ditekan.

"Atau sekarang ni, mungkin dia dah bencikan Nuf. Nuf tak tahu, Nuf buntu nak cari dia kat mana lagi." Suara kembali kendur.

"Nuf—"

"Dia tak salah, abah. It was not her fault that Bella is gone. Bukan dia penyebab Bella pergi. Nuf dah salah selama ni. Salah menilai Warda." Mata mulai berkaca. Sedaya-upaya cuba ditahan agar tidak menitis di depan Tuan Malik.

Setiap kali mengingat keterlanjuran sendiri, pasti itu yang terjadi. Mudah sahaja dia menitiskan air mata. Akibatnya, matanya sembab berhari-hari.

"Nuf, abah sendiri tak pernah salahkan Warda atas kematian Bella. Itu dah takdir Bella meninggal dalam keadaan macam tu—" Tuan Malik tiba-tiba dirundung sebak sebelum menyambung lagi.

"Abah tahu Warda tak salah. Ni semua qada' dan qadar yang dah tertulis buat Bella. Abah sedar abah pun salah terhadap dia selama ni. Abah sedar semua tu tapi abah tetap sebelahkan mak selama ni. Nuf tahu kan yang mak tu memang terlampau bencikan Warda. Abah tak nak tekan lagi perasaan mak waktu tu. Dia dah teruk dilukai sebelum ni, Nuf. Tengoklah sendiri, sampai sekarang dia masih tak dapat terima takdir yang Bella dah pergi. Dia masih tetap salahkan Warda."

"Nuf pun sama, abah. Nuf tak dapat terima hakikat yang semua ni takdir yang Tuhan dah tentukan. Kenapa Nuf bodoh sangat, abah? Nuf lambat tahu perkara sebenar. Warda sakit waktu tu, abah. Dia bukan sengaja nak abaikan Bella. Nuf sendiri pun tak tahu." Nuf jeda sambil menggeleng.

"Dah banyak sangat Nuf sakitkan hati Warda selama ni, walaupun hati Nuf sendiri pun rasa sakit—" Tangisan akhirnya terhambur.

Tak peduli dia jika dilihat lemah sekalipun. Biarlah hilang kejantanan atau kemaskulinan, dia enggan mengambil kisah.

Tangan Tuan Malik naik menggosok bahu Nuf yang sudah tunduk mengongoi di tapak tangan sendiri. Pertama kali dia melihat Nuf sebegitu, jadi ini merupakan satu kejutan juga buatnya. Sewaktu Bella meninggal dulu pun dia tak pernah melihat Nuf meratap begini.

"Nuf tak nak ada apa-apa perkara buruk berlaku pada dia, abah."

Mimpi malam tadi mula menghantui. Darah Warda yang dilihat berlumuran buat jiwanya tak keruan.

"Nuf tahu Nuf salah. Nuf betul-betul dah menyesal sekarang ni. Nuf nak Warda, tapi dia dah tak ada. Mana Nuf nak cari dia, abah?" Dengan bebola mata yang memerah dan basah, dia merenung bapa mertuanya, mengharap secebis harapan.

Namun segalanya punah sebaik melihat gelengan lemah Tuan Malik.

Sejujurnya, Tuan Malik pun tak mungkin tahu di mana keberadaan Warda. Memang sejak dulu, hanya dibiarkan anak gadis itu membawa haluan sendiri semenjak dia menginjak dewasa. Malah dia turut menutup mata melihat isteri dan anaknya sendiri berbuat kasar terhadap Warda.

"Abah pun ada salahnya. Abah dah gagal tunaikan amanah arwah abang long abah untuk jaga Warda sebaik mungkin." Tuan Malik menelan air liur yang terasa kesat.

"Disebabkan nak jaga hati isteri, abah sanggup pekakkan telinga, butakan mata abah dengan semua perbuatan mak dengan Bella terhadap Warda selama ni."

"Abah, bagitahu Nuf. Kenapa mak dengan Bella bencikan sangat Warda? Apa salah dia? Apa salah Warda, abah?"

Tuan Malik menggeleng kesal. Hatinya berbelah-bagi sama ada mahu menceritakan atau terus membiarkan ia kekal sebagai rahsia keluarga.

Tuan Malik terdiam cukup lama. Nuf pula sabar menanti.

"Cukuplah sekadar Nuf tahu yang arwah Bella pernah putus tunang disebabkan Warda dulu."

"Apa?" Soal Nuf seperti tak terluah.

Ini memang benar-benar satu kejutan buat dia.

"Nuf tak tahu pun yang Bella pernah bertunang sebelum ni."

"Perkara dah lama Nuf. Rasanya dah lebih tujuh ke lapan tahun. Arwah Bella mesti dah tak nak ingat lagi kejadian tu, sebab tulah dia tak ceritakan pada Nuf. Sejak dari tu, arwah memang makin bencikan Warda sebab dia rasa Wardalah penyebab dia putus tunang dengan Raiz."

"Nuf tak faham. Apa yang Warda dah buat?"

"Hal tu, sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang tahu. Hanya arwah Bella, Warda dan Raiz je yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Arwah sendiri pun tak pernah cerita, cuma dia pernah cakap yang Warda cuba nak rampas Raiz dari dia."

Nuf mengetap bibir. Hatinya meronta-ronta ingin tahu walaupun dia yakin yang Warda tak mungkin melakukan perkara itu.

"Cukuplah Nuf tahu yang itu je. Tak elok sebenarnya abah ungkit perkara berkaitan arwah lagi." Tuan Malik menunduk.

"Mak? Mak pun bencikan Warda disebabkan hal tu?" Nuf cuba mengorek lagi. Topik dialihkan ke ibu mertuanya.

Lama Tuan Malik berdiam diri. Tangannya menggenggam satu sama lain.

"Itu salah satunya."

Selain satu lagi sebab yang menyebabkan mak sebegitu rupa...

Desis hati Tuan Malik.

***

Kaki melangkah lemah mendaki anak tangga. Bersamanya, dia menjinjit dua bungkus makanan dan minuman. Sesampai di anak tangga yang paling atas, dia menghampiri dua orang yang sedang duduk di tengah-tengah sana.

Masih di tempat yang sama.

Masih melakukan kerja yang sama.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Lantas kak Azi medongak sedikit mendengar suara yang dikenalinya.

"Nuf? Lamanya kita tak jumpa." Dia menyeru perlahan.

"Abang Faiq? Ni, abang Faiq kan?" Alif pula berteriak, penuh teruja.

Nuf tersenyum sedikit lalu mengangguk.

"Alif kenal dengan abang ni?" Kak Azi menyoal, pelik. Setahu dia sejak Alif sedar selepas dilanggar beberapa bulan lepas, Nuf tak pernah menunjukkan muka sama ada di hospital atau di sini.

Jadi, bagaimana Alif kenal Nuf?

Abang Faiq? Kenapa Alif memanggil Nuf dengan nama Faiq?

Hati kecil Kak Azi tertanya sendiri.

"Mestilah Alif kenal. Ni kan abang baik yang dulu pernah beli semua tisu kita lepastu dia bagi lima puluh ringgit tu. Ibu tak ingat, ke?"

Air muka Kak Azi nyata berubah mendengar penerangan Alif. Patutlah dia pernah mendengar suara itu sebelum ni. Cuma ingatannya sahaja yang samar-samar meskipun deria pendengarannya masih peka.

"Ibu tak ingat eh? Alif yang budak kecik ni pun boleh ingat." Gurau Alif sambil menyengih.

Kak Azi senyum sambil tangannya teraba-raba naik menggosok kepala Alif.

"Kenapa Nuf tak beritahu akak?"

"Maafkan saya, kak. Saya tak ada niat pun nak sorokkan dari akak."

"Tak apa, Nuf. Bukan masalah besar pun." Kak Azi menyakinkan Nuf.

"Alif pulak, macam mana boleh tahu nama abang?" Kak Azi menyoal Alif pula.

"Alif pernah jumpa abang dekat pasaraya masa keluar dengan Kak Warda dulu. Masa Kak Warda belanja Alif dan ibu baju baru tu. Masa tulah Alif accident tu, ibu."

Nuf kekal bungkam. Tambah-tambah apabila mendengar nama Warda meluncur di bibir Alif. Air mata pantas sahaja bergenang sebelum dihapuskan secepat mungkin.

Nuf melabuhkan lutut di atas lantai betul-betul di depan Alif. Makanan diletakkan disisi lantas pipi Alif yang kurus cengkung itu dicekup dengan kedua telapak tangannya.

Sayunya hati melihat kanak-kanak itu kekurangan nutrisi. Nalurinya dijentik simpati. Bukan sebagai doktor, tapi sebagai manusia. Jika dulu sewaktu Warda ada, kebajikan keduanya pasti terjaga.

Warda, where are you?

Rintihnya di dalam hati.

"Alif, sebenarnya abang yang langgar Alif waktu tu. Alif maafkan abang, boleh? Lepas langgar Alif, abang tak pernah datang pun jenguk Alif kat hospital. Alif maafkan abang, ya?" Nuf bersuara bersama getaran hiba yang tiba-tiba singgah di hati. Dia mengelus lembut pipi kanak-kanak itu.

"Abang yang langgar Alif?"

Nuf mengangguk kecil. Matanya keruh manatap Alif.

"Maafkan abang."

Dan maafkan abang...disebabkan kesalahan abang, Kak Warda kesayangan Alif terpaksa pergi.

"Alif dah sihatlah. Alif kan kuat. Tak apa, Alif dah maafkan abang. Ibu dengan Kak Warda selalu pesan yang kita kena maafkan orang walaupun orang tu dah buat salah kat kita."

Kini, Nuf sudah tak malu untuk menangis lagi. Berderai jatuh air matanya menjadi tatapan Alif.

Benar kata orang, kanak-kanak itu hatinya polos dan suci. Mudah melupakan dan senang memaafkan. Sehingga dia yang dewasa ini termalu sendiri. Membiarkan diri terjerumus dendam yang akhirnya memamah diri.

"Kenapa abang menangis?" Tangan Alif naik menyeka air mata di pipi Nuf.

"Nuf—"

"Tak ada apa kak. Saya cuma risau tengok Alif ni."

Kepala Alif diusap lalu tangan Alif yang masih dipipinya dibawa turun.

"Abang ada bawak makanan ni. Jom makan." Nuf mengoyak senyuman walaupun sukar. Tampak begitu pahit di wajahnya.

Tanpa membuang masa, Nuf duduk bersila di atas lantai lalu bungkusan makanan dikeluarkan dari plastik. Satu dibuka dan dihulur kepada Kak Azi manakala satu lagi dibuka untuk Alif.

"Abang ni baiklah, sama macam Kak Warda. Abang tahu tak, dulu waktu kakak ada, tiap-tiap hari dia bawakkan makanan untuk Alif dengan ibu. Kan, ibu?" Ujar Alif sambil menyuap rakus makanan ke dalam mulut.

Kak Azi sekadar tersenyum hambar.

"Alif rindulah dekat Kak Warda, ibu."

Abang pun sama, Alif.

Sangat...

"Nuf, terima kasihlah untuk makanan ni. Lain kali, tak payahlah susah-susah bawakkan makanan ya. Cukuplah selama ni akak dangan Alif dah susahkan Warda. Akak tak nak susahkan Nuf pulak."

"Tak susah pun kak. Ni pun salah satu cara saya nak tebus kesalahan saya." Lirih Nuf, penuh makna.

"Kan kami dah maafkan Nuf. Nuf tak payahlah rasa serba-salah lagi."

"Saya yang masih tak dapat nak maafkan diri saya kak. Saya dah banyak sangat buat silap. Jadi izinkan saya tebus balik kesalahan saya."

Kesalahan saya terhadap keluarga akak...

...juga kekhilafan saya terhadap Warda.

Nuf termenung jauh dengan wajah yang suram.

Benar apa yang dikatakannya. Dia sudah fikir semasak-masaknya.

Kiranya kemaafan tak dapat ditagih, biarlah ia ditebus dengan cara lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience