Lilyrose 25 | Pelarian

Romance Series 55089

Biarpun kekurangan
Namun cukup menggembirakan

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Akan tibakah saat bahagia?

Akan berakhirkah segala derita?

Itu persoalan pertama yang terlintas di fikiran Warda saat pertama kali dia menjejakkan kakinya di situ beberapa minggu lepas.

Bukan mengenang nasib sendiri yang dirundung malang, tapi memikirkan liku takdir yang terpaksa dilalui anak-anak di sini.

Ada yang tidak merasa dakapan hangat ibu bapa. Ada yang dulu bersaudara, kini sebatang kara. Ada yang tubuhnya berparut melata. Namun ajaibnya, mereka masih mampu tersenyum ceria. Disuntik kekuatan yang tak mampu dimiliki oleh semua. Ketabahan yang terus mendorong jiwa agar kekal perkasa.

Gah bak pahlawan-pahlawan kerdil di medan perang. Tak gentar malah tak mudah mengalah.

Kadang-kala, Warda jadi tersegan sendiri. Hijrahnya ke sini, benar-benar mengajar dia untuk mengenal erti kecekalan. Jika dulu sedikit ujian yang datang meredah, mudah sahaja dia menyerah. Pantang dicuit dugaan, air mata pasti jatuh bercucuran.

Kini, dia memandang ujian dan cabaran dari perspektif yang berbeza. Bukan untuk merencatkan sebaliknya sebagai penggerak langkahnya. Aura kekuatan dan ketabahan yang luar biasa itu menyerap masuk ke jiwanya, sekaligus menyimbah penawar ke luka. Apalah sangat malang nasib hidupnya jika dibandingkan dengan mereka di sini yang hilang segala-galanya?

Di sini.

Di Reyhanli.

Kem pelarian Syria di selatan Turki ini menjadi saksi.

Meskipun terletak di Turki, lokasi kem yang betul-betul bersempadanan dengan Syria, negara bergolak itu benar-benar menyayat hati nurani.

Segalanya serba kekurangan.

Segalanya penuh kedaifan.

Kekurangan bekalan minuman dan makanan sementara hanya khemah kanvas menjadi tempat perlindungan. Menggigil kala kesejukan. Dibanjiri kala kehujanan.

Jet-jet pejuang yang sesekali kelihatan melintasi ruang angkasa menambah debaran. Menanti peluru-peluru tak bermata menembusi badan, juga kemungkinan ledakan bom yang meragut keamanan.

Biarpun Reyhanli terletak hanya di sempadan, segala keperitan hidup di sini cukup menggambarkan kemelut yang lebih maha hebat di seberang sana iaitu di Syria.

Syria menjadi saksi kekejaman.

Negara yang dahulu aman, kini berantakan.

Rakyat yang dahulu sejahtera, kini sengsara.

Jasad yang dahulu subur, kini terkubur.

Rumah yang dahulu indah, kini musnah.

Disebabkan itulah, kebanyakan mereka terpaksa lari meninggalkan kampung halaman. Menagih simpati dan pertolongan sesiapa yang berkemampuan. Menjadi pelarian di negara-negara sempadan. Bukan kerana ketakutan tetapi enggan diri dan keluarga terus ditindas rejim yang bertuhankan kekejaman.

Memang sebak.

Sayu dan pilu tetap ditelan biarpun bersulam pahit memikirkan masa depan anak-anak ini yang tidak terbela.

Itulah hakikatnya apabila berada di sini. Namun, Warda tetap bersyukur. Kekosongan jiwanya diisi aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang cukup digemarinya. Menyediakan makanan dan menguli adunan tepung bersama-sama para ibu untuk membuat roti sudah menjadi rutin harian. Sebelah petangnya pula mengajar kanak-kanak buta huruf di kelas kecil yang dibuka sebagai sekolah. Balik pula bersama-sama mereka berpimpin tangan. Bermain dan bergelak tawa bersama anak-anak itu meskipun kadang-kala hanya pasir dan lumpur yang menjadi permainan.

Serba-serbi kekurangan namun cukup menggembirakan. Setidak-tidaknya Warda merasai kebahagiaan di sini. Sama seperti yang pernah dibayangnya suatu ketika dahulu. Impiannya untuk bersama anak-anak Syria, akhirnya tertunai. Malah dia gembira menjadi pelarian, sama seperti anak-anak ini.

Lari dari cengkaman tangan yang membenci.

Bebas dari pekungan perasaan sendiri yang sukar dimengerti.

Tanpa sedar, Warda mengeluh lemah. Sedang dia asyik melayan emosi, tiba-tiba rusuknya disenggol seseorang membuatkan dia mengaduh panjang.

"Dah sampai Malaysia ke?"

"Huh?" Soal Warda pula, pelik. Rusuknya digosok perlahan sambil mejeling Amna yang mulai duduk di sebelahnya.

"Fikiran kau tu. Dah sampai Malaysia ke?"

"Aku sukalah duduk dekat sini." Warda memesong jawapan. Jelas-jelas bukan itu jawapan bagi soalan Amna.

"Memanglah suka. Aku pun suka duduk dekat sini, tapi kau kena ingat kita ni asal dari mana. Habis tu, takkan kau tak nak langsung balik Malaysia?"

"Nantilah aku fikirkan hal tu. Tak sampai sebulan pon lagi kita kat sini. Aku tak puas lagi. Kalau boleh aku nak duduk lama-lama kat sini." Jeda.

"Atau—bila sampai masanya nanti, aku baliklah."

Amna mengeluh.

"Kau tak kesian ke kat Oyen kau tu?"

Kata-kata Amna yang kedengaran lirih di telinganya, membuatkan Warda menoleh. Sepenuh tumpuan diberikan kepada sahabatnya.

"Kenapa dengan Oyen? Kau ada contact Fahmi ke?"

Amna mengangguk, mengiyakan soalan yang akhir.

"Hmm. Semalam aku call dia. Kau tahu tak, Fahmi cakap Oyen tak berapa nak makan sejak kau tak ada. Kesian Oyen."

Wajah Warda jelas berubah mendung. Semendung awan kelabu yang berarak di atas sana.

"Kau tak rindu ke dekat Oyen? Kau tau tak, Fahmi cakap Oyen dah kurus sangat sekarang ni. Mesti sebab rindu kat kau."

Setelah beberapa ketika mendiamkan diri untuk mengumpul kekuatan, barulah Warda bersuara.

"Amna, selama aku dekat sini, aku banyak sangat belajar benda-benda baru. Salah satunya, erti pengorbanan."

Warda mengetap lembut bibirnya sambil melihat kejauhan di belakang Amna.

"Bukan aku tak sayangkan Oyen. Aku sayang sangat. Cuma aku rasa yang tanggungjawab aku dekat sini lebih besar. Aku yakin yang Oyen mesti faham kalau aku tak balik."

"Macam ada telepati pulak kau dengan Oyen ni."

Warda tersenyum segaris.

"Well, he's my ultimate hero. Dia selalu ada disamping aku, dari dulu lagi. Tapi, tulah—" Dia menghela nafas perih.

"Bila aku dah buat keputusan muktamad untuk datang sini, aku dah bersedia untuk hilang semua benda yang aku sayang. Mula-mula, Cik Pisang. Mungkin, lepas ni giliran Oyen. Who knows? Tapi, tak kira apa sahaja yang berlaku nanti, aku akan redha. Aku yakin, Allah akan gantikan kehilangan aku tu dengan sesuatu yang lebih baik nanti. In shaa Allah."

Mendengar ujaran Warda, Amna lantas mengeluh perlahan. Tangan sahabatnya dicapai dan diusap dengan lembut. Rasa bangga terselit di dalam hati melihat Warda versi terkini.

Sepasang mata redup milik Warda yang berkaca-kaca direnung sehingga ke dasar. Terpancar cahaya yang bersinar meski dahulu mata yang sama turut mengalirkan sungai duka.

"Tak kisahlah, Warda. Apa-apa pun keputusan kau, aku akan sokong. Kau nak pergi bulan bintang pun aku turut. Tapi kalau kau nak pergi matahari, aku tak naklah ikut. Takut nanti sunburn." Dalam serius, sempat lagi Amna berlelucon.

Hasilnya, Warda tertawa bebas sahinggakan beberapa orang kanak-kanak perempuan yang sedang leka bermain sesama sendiri, berpaling merenung kedua sahabat itu.

"Kalau macam tu, kita pergi waktu malamlah. Boleh?" Tawa Warda masih berlanjutan.

Ada ketikanya, Amna melihat Warda menyeka bawah matanya. Mungkin akibat terlampau galak ketawa atau mungkin mengambil peluang melepaskan saki-baki hiba di dalam dada.

"Eiii, bijaknya dia ni!"

"Dah tu, cikgu yang selalu ajar aku loyar buruk ada kat sisi." Perli Warda, merujuk kepada Amna.

Wajah Amna berubah musykil sebelum perlahan-lahan mengendur menyedari usikan Warda. Amna terus tercebik. Warda mengambil peluang untuk menepuk pipi Amna.

"Hish, dahlah. Kalau layan kau, sampai awal Muharam nanti pun tak habis lagi." Warda bangun dan mengibas sedikit punggungnya. Jam tangannya dijeling sekilas.

"Aku nak pergi mengajar ni. Takut budak-budak tu dah tunggu."

"Sekejap, Warda. Awal lagi ni. Duduk dulu."

Amna menarik semula tangan Warda supaya duduk. Seraut wajah Amna berubah serius.

"Sebenarnya, ada satu lagi benda yang Fahmi cerita pada aku. Tapi aku tak pastilah perlu cerita pada kau, ataupun tak."

Lantas kerutan tergaris di dahi Warda. "Apa dia? Cerita jelah."

"Err—doktor tu datang jumpa Fahmi—cari kau."

"Doktor? Doktor mana pulak ni?"

Amna yang sudah tak senang duduk, mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Menyesal pula mengungkit topik itu. Tapi, nak berhenti sekarang pun dah tak berguna. Pasti nanti akan dikorek habis-habisan oleh Warda. Tapi, dia sendiri pun musykil dengan apa yang didengarinya dari Fahmi.

Doktor Nuffaiq mahu meminta maaf?

Tapi, kenapa mesti baru sekarang?

Terutamanya bila Warda sudah berjauhan dan belajar untuk melupakan.

"Amna. Siapa yang datang cari aku? Doktor mana?" Soalan Warda kembali menarik Amna ke bumi Reyhanli.

"Doktor Nuf—"

Seluruh otot-otot di wajah Warda automatik menegang. Mendengar nama itu sahaja sudah umpama belati tajam yang merodok luka.

"Kalau kau nak cakap pasal dia, aku tak nak dengar!" Tegas Warda dengan suara yang sengaja dikeraskan.

"Warda, sekejap." Amna bingkas menghalang Warda dari bangun lagi.

"Cukuplah, Amna. Aku tak nak dengar apa-apa lagi berkenaan dia."

"Tapi dia merayu-rayu pada Fahmi. Dia nak jumpa kau. Dia nak mintak maaf. Dia cakap pada Fahmi yang dia dah menyesal—"

"Habis tu, Fahmi percaya? Fahmi bagitahu dia yang aku ada dekat sini?!"

"Tak, Fahmi tak bagitahu. Dia kan dah janji."

Warda mengeluh kelegaan namun jauh disudut hati kecilnya, dirasakan berkocak hebat.

Nuf tak boleh tahu di mana dia berada!

"Aku tahu sangat apa niat dia cari aku. Dia cuma nak pastikan sama ada aku dah mati ataupun belum sebab dia belum puas lagi nak seksa aku. Percayalah, orang macam tu takkan mudah-mudah menyesal apatah lagi nak mengaku kalah. Dia takkan pernah rendahkan ego dia, terutamanya pada aku ni."

"Aku tak rasa macam tulah. Fahmi pun cakap—"

"Cukuplah, Amna. Dahlah, aku tak nak dengar dan aku tak nak ingat semua tu lagi!" Warda bingkas berdiri.

Ayat Amna terpotong. Akhirnya dia akur dengan kehendak Warda. Betul juga kata Warda tadi, mungkin semua itu lakonan doktor itu lantaran mahu terus menyakitkan Warda.

"Okay, I'm sorry. Aku tak ada niat langsung nak buat kau ingat semula benda-benda tu." Amna turut bangun dan mengadap Warda.

Warda cuma diam. Dalam hatinya masih berbekas dengan apa yang disampaikan Amna tadi. Setelah hampir sebulan dia di sini, ternyata kejadian-kejadian lalu kian dilupakan, namun mengapa harus Amna membongkar kembali memorinya?

"Warda, please. Maafkan aku. Aku betul-betul tak sengaja. Jangan marah, please—"

"It's okay, kita lupakan je. Cuma aku mintak satu je dari kau. Jangan ungkit lagi hal ni."

"Okay, promise!" Amna angkat tangan di sisi bahu gaya berikrar sebelum dia menyauk lengan Warda dan berjalan ke arah sekolah, berpimpin tangan.

Suasana sunyi antara mereka.

"Warda."

"Hmmm?"

"Hari ni, aku tak nampak pun your handsome Syrian boyfriend? Selalu tu setiap petang mesti dia yang jemput kau pergi sekolah. Jalan berdua, romantik je aku tengok."

Warda tergelak kecil.

Belum sempat Warda menjawab, dia terasa ada seseorang yang menarik bajunya dari arah belakang. Warda lantas berpaling diikuti Amna.

Bibir merah milik Warda terus menguntum mekar.

My handsome Syrian boyfriend, bak kata Amna.

Hati kecil Warda berbunga ria.

"Aylan."

Huluran tangan Aylan, Warda sambut dengan senang hati. Selepas melambai ke arah Amna, Warda mengikut tarikan tangan Aylan. Kini, Aylan yang mengepalai perjalanan. Dia di depan, sementara Warda melangkah besar di belakang untuk cuba menyaingi langkah deras Aylan yang pendek. Tapak tangan kecilnya kuat menggenggam tangan Warda supaya mengikut jejaknya.

Itulah rutin hariannya.

Rutin harian Aylan.

Aylan, si anak Syria berusia enam tahun yang kelainan upaya sejak lahir ke dunia. Tidak sempurna, namun istimewa. Disaat sahabat lain bergelak ketawa, dia pula tak mampu bersuara. Hanya isyarat tangan yang menyampaikan rasa.

Sebaik tiba di kelas, dia akan memencil di sudut sementara sahabat yang lain sibuk mengerumuni Warda untuk belajar membaca. Ketika itu, Aylan akan tetap senyap dan membisu sepanjang masa walaupun keriuhan menghiasi kelas. Namun sebaik kelas berakhir, dia orang pertama yang akan menarik Warda. Seperti awal tadi, berpegangan tangan, tidak dilepaskan sehinggalah tiba di penempatan. Cuma yang berbeza, perjalanan balik turut disertai kanak-kanak yang lain. Bercerita sesama sendiri dengan bahasa yang sukar untuk Warda fahami. Namun baginya, kekangan bahasa itu bukan penghalang kasih-sayang dari bertapak.

Sama seperti Aylan, jalinan jiwanya dengan kanak-kanak itu terbina tanpa perlunya lafaz kata. Dengan harapan, berkekalan sampai keakhirnya...

***

"Macam mana hari ni?" Nuf menyoal sebaik Alif masuk ke dalam kereta.

"Seronok abang. Alif dapat banyak sangat kawan. Semua baik dengan Alif." Alif bercerita penuh teruja.

"Cikgu baik?"

"Cikgu pun semua baik. Alif suka."

"Baguslah kalau Alif suka." Nuf menggosok lembut kepala Alif.

"Dah masuk sekolah ni, Alif kena belajar rajin-rajin tau. Nanti dah besar, kerja bagus, boleh bantu ibu. Alif mesti tak nak tengok ibu susah, kan?"

Alif mengangguk.

"Alif nak jadi doktorlah macam abang. Mula-mula, Alif nak rawat mata ibu. Lepas tu, Alif nak tolong orang-orang yang susah macam mana abang dengan Kak Warda selalu buat."

"Alif tak perlulah jadi macam abang."

"Kenapa pulak?"

Nuf melarikan anak matanya.

"Abang tak sebaik tu, Alif. Banyak sangat dosa-dosa abang selama ni—" Nuf pantas tersedar apabila melihat muka Alif yang memandangnya pelik.

"Kenapa abang cakap macam tu? Abang buat dosa apa?"

Nuf memandang Alif dengan kelopak mata yang terkebil lemah. Pahitnya air liur yang terpaksa ditelannya kini.

Jika dihitung, tak terkira rasanya dosa-dosa yang pernah dilakukan. Buktinya, sekarang dia dihukum dengan rasa penyesalan yang menjerut hati. Tak ada sesiapa yang mungkin dapat bayangkan betapa rantaian rasa ini mengheret dia terus ke lembah kemurungan. Terkapai-kapai, berharap ada tangan yang menarik dia keluar dari kemelut yang melanda untuk menghulur secebis pertolongan yang entah bila akan tiba.

"Tak apalah. Alif tak perlu tahu semua tu." Tangannya naik semula mengusap rambut Alif sebelum menghidupkan enjin kereta. Selepas menukar gear, Audinya terus dipandu pergi dari depan sekolah.

"Yang paling penting, Alif kena jadi lebih baik dari abang."

"Tapi kan abang, Alif kena masuk kelas khas sebab Alif seorang je yang tak tahu membaca lagi. Kawan-kawan lain semua dah tahu baca buku." Rungut Alif tiba-tiba. Mukanya mulai monyok.

Nuf terdiam seketika. Manakan tidak, sembilan tahun hidup Alif disia-siakan di tepi-tepi jalan. Hampir tiga tahun ketinggalan dalam pelajaran, sudah tentu membuatkan Alif merasa rendah diri berbanding kanak-kanak lain yang lebih bernasib baik. Untuk kanak-kanak sebaya Alif, rasa itu harus cepat-cepat dihapus sebelum membunuh keyakinan dirinya sendiri.

"Alif kena ingat pesan abang ni. Sebenarnya, tak kisah kita bermula dari mana sekalipun. Dari bawah pun tak apa. Yang pentingnya, perjalanan dan pengakhiran kita. Alif lemah dalam pelajaran sekarang, tak bermaksud Alif akan terus lemah selama-lamanya. Kalau Alif rajin, Alif boleh jadi lebih berjaya dari sesiapa pun."

"Abang rasa, Alif boleh berjaya ke?"

"Mestilah, boleh. Semua orang dalam dunia ni, boleh. Asalkan kita tak sia-siakan peluang yang Allah berikan. Sekarang ni, Allah dah beri peluang untuk Alif belajar, jadi Alif kena belajar bersungguh-sungguh. Okay?"

Alif mengagguk.

Semangat.

"Okay!"

Senyuman hambar terukir di bibir. Bercakap mengenai peluang, buat Nuf rasa bermuram-durja.

Abang pun berharap sangat yang Allah dapat berikan abang peluang kedua, Alif. Abang janji, abang tak akan sia-siakan peluang tu kalau Allah kembalikan Kak Warda ke sisi kita.

Hati kecil Nuf berdesis hiba.

"Alif nak belajar rajin-rajin. Nanti Alif nak buat surprise kat Kak Warda bila dia balik. Mesti kakak suka, kan abang?"

"Hmm, mesti Kak Warda suka." Nuf setuju walau dalam hati punya sedikit ragu-ragu dengan penerimaan Warda nanti. Itupun jika benar Warda akan pulang.

Cengkaman pada stering keretanya dieratkan. Dadanya tiba-tiba terasa sesak.

Alif terus celoteh bercerita sambil Nuf melayan setiap pertanyaannya. Sedang rancak bercerita, telefon pintar Nuf tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Nuf menjeling sekilas nama yang terpapar tanpa mengangkat panggilan tersebut. Beberapa ketika dibiarkan, panggilan terputus sebelum berbunyi kembali.

"Abang, telefon abang berbunyi tu. Abang tak nak angkat ke?"

Nuf melepaskan keluhan berat. Dengan rasa malas, sebelah tangannya mengangkat telefon rapat ke telinga.

"Nuf, where are you? I tanya Fateh, dia cakap yang you dah nak dekat seminggu tak masuk kerja. You cari dia lagi, kan? Apa kena dengan you ni, huh? You sanggup abaikan kerjaya you untuk perempuan tu."

"Zara, could you stop calling me from now on and jangan cari I lagi." Suaranya dikawal supaya Alif tidak menghidu bau asap yang sikit lagi mahu keluar dari corong telinganya. Entah kenapa, mendengar suara Zara sahaja sudah seperti menyalakan bara dalam jiwanya. Sebelum ini mungkin dia masih boleh bersabar dengan kerenah gadis itu, tapi sekarang ini tak lagi.

Tambah-tambah apabila mengetahui yang Zara tahu tentang kepergian Warda tanpa memberitahunya.

"Apa kena dengan you ni, huh? You tahu tak, yang you dah banyak berubah? Semuanya sebab perempuan tu, kan?"

"It's none of your business."

Pap!

Nuf memutuskan talian. Malah, telefon pintarnya terus dimatikan untuk mengelak sebarang gangguan.

Suasana di dalam kereta serta-merta menjadi hening. Alif juga terdiam melihat wajah Nuf yang tegang.

"Abang, abang nak bawa Alif pergi mana ni? Kalau nak balik kan ikut sana." Alif menyoal perlahan apabila kereta yang dinaikinya meluncur laju melepasi simpang yang selalunya.

"Kita pergi ambil ibu, pergi makan, lepas tu baru abang hantar Alif dengan ibu balik. Okey?"

"Ibu pergi mana?"

Nuf memandang Alif.

"Ha, tulah...Alif tak tahu. Ibu pun sekarang sama macam Alif. Kena pergi kelas, belajar."

"Belajar? Ibu belajar apa?"

"Adalah."

Nuf tersenyum, penuh misteri.

"Lepas ni, Alif dengan ibu dah tak perlu jual tisu lagi. Abang janji."

###

p/s: insyaAllah, kalau sempat saya bagi double update hari ni. Maybe petang sikit lepas balik opis atau tengah malam sikit. Kalau saya lupa, ingatkan ya :)

Share this novel

sitinur_999
2020-08-20 15:04:03 

memang selalunya begitu bila dah pergi baru terhegeh hegeh nak minta maaf. tak pe bertahan lagi la nuf, tu baru sikit.

Syahferi Suhana
2020-06-16 20:58:55 

Penyesalan tak pernah datang awal... Hai la..


NovelPlus Premium

The best ads free experience