Lilyrose 8 | Biar mati

Romance Series 55089

Jika itu yang dia hendak
Biar jantung ini berhenti berdetak

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Warda?

Ayam masak merah?

"Nanti sia-sia je kau masakkan, tapi dia orang tak dapat merasa."

Kata-kata Fahmi tadi terngiang-ngiang di telinga Nuf.

Dengan tertutupnya pintu lif, ibarat tertutuplah juga ruang pernafasan Warda. Rasanya dia langsung tak sempat bernafas sepanjang lif turun. Bulu romanya merinding bukan kepalang. Mujur juga hanya turun lima tingkat tapi tetap dirasakan cukup lama.

Warda menghela nafas lega apabila pintu lif terbuka. Dia baru mahu melangkah keluar apabila lengannya tiba-tiba direntap kasar dan tubuhnya didorong ke arah tangga kecemasan.

"Nuf, apa ni? Lepas! Sakitlah!"

Bergelut Warda menarik lengannya, namun Nuf tetap enggan melepaskan. Malah pautannya semakin dieratkan.

"Lepaslah!" Sebelah tangan Warda berusaha meleraikan pautan.

"Lepaskan saya!" Serentak itu, Warda menyenggol kuat dada lelaki itu dengan sikunya.

Terus pautan terlerai sebaik tubuh Nuf terdorong ke belakang.

Nafas Warda turun naik tak menentu. Renungannya tak kurang membalas tikaman anak mata Nuf yang menusuk.

"Awak nak apa? Apa lagi yang awak tak puas hati dengan saya?!" Bergema suara Warda di dalam ruangan tangga kecemasan yang tertutup.

Sebetulnya, Nuf juga tak pasti dengan apa yang dilakukannya. Seperti dia dikawal oleh minda separa sedar sebaik Warda tak semena-mena dikaitkan dengan ayam masak merah. Kebetulan juga tadi dia masih sedang ralit memikirkan kemungkinan atau kebetulan yang mengusutkan fikiran. Sedar-sedar sahaja, tangan Warda sudah ditarik ke arah tangga. Jadi dia harus mendapatkan penjelasan.

"Ni apa?" Plastik di tangan Warda disentap kasar.

"Apa awak ni?!" Warda membalas hairan. Plastik ditangan Nuf mahu dirampas semula tapi Nuf lebih pantas mengelak.

"Aku tanya, ni apa?! Mana kau dapat benda ni?"

Warda terdiam merenung Nuf di hadapan. Seribu persoalan terukir di wajahnya.

"Tak ada kena mengena dengan awak." Tali beg sandang yang jatuh dari bahu, dibetulkan kembali.

"Bagi balik barang saya!" Sekali lagi Warda cuba mencapai plastik di tangan Nuf namun usahanya hanya sia-sia apabila plastik itu dilarikan dari gapaian.

Akhirnya Warda mengalah. Sejujurnya, dia malas mahu melayan dan malas mahu melawan. Dia sudah terlalu penat untuk bertekak hari ini. Tapi tindakan Nuf yang tiba-tiba sahaja menyelongkar ke dalam bungkusan plastik, automatik menaikkan darahnya. Terbuntang mata Warda.

"Nuf! Stop it!" Warda menghalang tangan Nuf membuka penutup bekas.

"Awak ni dah kenapa, hah?!" Warda menolak bahu Nuf dan kali ini dia menarik bekas itu sekali.

Nuf yang serentak menarik kuat plastik dari arah depan membuatkan pegangan Warda terlepas lantas bekas tadi melorot jatuh ke lantai. Habis bertaburan lauk dan nasi terkeluar dari bekas yang sudah terbalik.

Masing-masing terkaku memandang lantai. Nuf lagilah terkejut, sekaligus rasa bersalah mula mahu menjalar di dalam diri.

Warda mengetap bibirnya sekuat hati. Kalau ikutkan amarahnya yang meluap-luap, mahu sahaja ditampar lagi wajah beku di depannya. Tangannya yang menggeletar hebat, dikepal erat di sisi.

"Warda, aku—"

Bukk!

Senak dada Nuf apabila kepalan penumbuk Warda singgah di otot kekarnya.

"Awak memang sengaja nak sakitkan hati saya, kan?! Apa lagi yang awak tak puas hati dengan saya?! Cakaplah!"

Bukk!

Bukkk!

"Cakaplah!"

Seperti melepaskan geram yang terpendam, Warda tak henti menumbuk dada Nuf.

Tak kuat sehingga menyakitkan namun cukup membuatkan Nuf dijentik secebis rasa serba salah.

Tapi sebaik teringat apa yang dilakukan Warda ke atas Bella, rasa yang singgah pantas diusir dari berkampung di benaknya.

Ingat! Apa yang dia buat pada Bella jauh lebih teruk!

Kedua tangan Warda yang masih menumbuk dadanya diragut kasar.

Warda tarik sekuat hati tangannya biarpun terasa luka melecur di lengannya sudah kembali sakit. Bagi Warda, hatinya lebih sakit sekarang ini.

"Lepas!"

"Warda!" Nuf menyentak kuat kedua lengan Warda sehingga gadis itu terdongak merenungnya.

Bebola mata merah berkaca-kaca yang tepat merenungnya itu membuatkan Nuf terkelu seribu bahasa. Iris mata coklat gelap milik Warda yang dilihatnya secara dekat buat hati dan fikirannya berperang.

Air liur ditelan berkali-kali mereda rasa hati.

Anak mata Warda ditenung lama sehingga ke dasar.

Namun ada imbasan gelap yang mengganggunya. Ibarat ulang tayang enam bulan yang lalu. Ekspresi yang sama inilah dipamer Warda malam itu saat tubuh Bella dijumpai terbujur kaku.

Terus rasa yang sama meresap masuk ke dalam jiwanya yang kontang.

Amarah.

Benci.

Dendam!

Rasa yang cukup sama dengan apa yang dirasakan malam itu. Malah, rasa itu yang dibawa sepanjang enam bulan, terpekung di dalam dada. Kali ini seperti sudah menemui had tampungannya.

Dalam peperang antara akal dan hati, nyata akal terlebih dahulu menguasai.

Tanpa amaran, tubuh Warda di tolak kasar menjauh darinya sehingga Warda hilang imbangan dan jatuh terduduk di anak tangga kedua. Terasa seperti jantungnya turut gugur dengan hentakan kuat punggung pada permukaan keras tangga.

"Apa yang aku buat ni, masih belum cukup untuk balas semua perbuatan kau, Warda!" Telunjuknya lurus ke arah makanan yang bertaburan dilantai.

"Kau tanya aku, apa yang aku tak puas hati lagi dengan kau? Selagi kematian arwah Bella tak terbela, selagi tu aku tak akan puas seksa kau!"

Kolam mata Warda yang hampir mahu pecah, sedaya-upaya ditahan. Jangan setitis pun gugur di hadapan lelaki itu.

"Mungkin sekarang kau boleh gembira. Tak rasa apa-apa pun dengan kmeatian Bella." Nuf berjeda menghela nafas. Rahangnya diketap erat.

"Tapi, suatu hari nanti aku akan pastikan yang segala perbuatan kau akan memakan diri sendiri. Waktu tu, kau sendiri yang akan minta supaya nyawa kau ditarik!"

Lantas Nuf hilang di sebalik pintu meninggalkan Warda yang masih terduduk di anak tangga. Manik jernih yang ditahan dari tadi akhirnya berguguran jatuh ke pipi. Bibir bawahnya digigit agar esakan dapat dibendung.

Gagal.

Tertunduk Warda mengongoi di celahan lututnya sendiri. Tangannya melingkar erat memeluk kaki yang ditarik rapat ke dada.

Sesungguhnya, tak pernah sesaat pun dia terlepas dari dijerut rasa bersalah. Bukan kehendaknya, tapi jantungnya penyebab utama.

Jantungnya yang bersalah!

Tapi jantung yang bersalah ini letaknya di dalam tubuhnya sendiri.

Jadi, bagaimana?

Waktu tu, kau sendiri yang akan minta supaya nyawa kau ditarik!

Sakitnya!

Pedih!

Waktu tu, baru awak puas hati kan? Bila saya dah mati?

Dadanya dipukul beberapa kali.

Tak perlu tunggu sampai waktu tu, Nuf. Sekarang pun Warda rela mati.

Jantung, berhentilah berdetak!

Biar aku mati!

¤¤¤

"Baby." Nuf memeluk Bella yang duduk menyikat rambut di hadapan cermin solek. Matanya merenung pantulan wajah anggun di cermin. Namun seperti ada yang kurang lengkap di wajah itu.

Senyuman.

Sebaik diberitahu akan kepergiannya tadi, terus Bella menarik muka.

"Baby, stop sulking please..." Nuf mengusap bahu Bella yang dilapisi baju tidur satin. "Bukan I tak nak bawa you pergi Ireland, tapi you memang tak boleh pergi."

Bella menjeling tanda protes. Terus berus rambutnya dihempas kasar ke atas almari solek sebelum bangun mendadak. Katil dituju dan dihumban tubuhnya berbaring membelakangkan Nuf yang terpinga-pinga di hadapan almari solek.

Nuf mengurut dahi. Ada-ada sahaja telatah Bella yang memeningkan kepalanya. Katil dihampiri dan dilabuhkan punggungnya berhampiran Bella. Selimut ditarik menutup tubuh ramping si isteri yang masih keras membatu.

"Baby, you selalu pergi so you pun tahu kan Ireland sekarang ni sejuk. Bahaya untuk kesihatan you. I tak nak you sakit." Bersungguh-sungguh Nuf memujuk. Rambut Bella yang panjang mengurai diusap lembut.

Masih diam.

Nuf mengeluh lemah.

"I pergi tak lama, baby. Habis je conference, I terus balik. Sebab nanti..." Nuf berjeda menanti reaksi Bella. Senang dia melihat Bella sudah berpaling menghadapnya. "...I'll miss you."

"Kalau you rindu, bawalah I sekali. Please, bie... I nak ikut. I promise I'll take care of my health. Lagipun you kan ada. You boleh jaga I, hangatkan kalau I sejuk..." Telunjuk runcing dimainkan di dada Nuf.

Jika dengan cara merajuk tidak berjaya memujuk Nuf, Bella pasti Nuf akan terpujuk dengan godaannya. Senyuman menggodanya yang sering membuatkan suaminya akur, diukir penuh rasa yakin.

Nuf kembali mengeluh dan menggeleng. "I'm so sorry, baby. Memang tak boleh." Kata putus diberi berharap yang Bella mengerti.

Bella mendengus geram. Tak jalan juga dengan godaan. Dia menjeling Nuf menarik sesuatu dari dalam wallet miliknya. Kad berwarna emas itu hampir membuatkan mata Bella terbuntang.

"Sebelum I pergi, I'll give you my credit card. Go shopping and enjoy yourself, okay baby?" Kali ini Nuf mencuba dengan titik kelemahan Bella. Dan Nuf pasti Bella akan setuju.

Tak perlu diberitahu, Nuf tahu Bella akan terpujuk dengan benda yang satu itu. Kad kredit. Pantang diunjuk, pasti bersambut.

"One more thing, nanti I minta tolong Warda tengok-tengokkan you sepanjang I tak ada..."

Mendengar nama Warda meniti di bibir suaminya, Bella bingkas bangkit dari berbaring.

"No! I tak nak Warda yang jaga I! You nak pergi berapa lama pun, you pergi tapi I tak benarkan Warda yang jaga I. I boleh jaga diri sendiri!"

"Baby, apa salahnya I minta tolong Warda. Lagipun dia..."

"No! I said no!" Bella membentak.

"I tak boleh tinggalkan you seorang. Nanti I risau. But, sorry. I won't take you with me."

Kebetulan ibu dan bapa mertuanya juga tiada nanti atas urusan perniagaan di Thailand. Mak Ilah juga akan diberi cuti sepanjang ketiadaan mereka. Jadi, hanya Warda seorang yang boleh diharapkan.

"You minta tolong orang lain. Zara or anyone else, but not her! Bie, you masih percayakan dia lepas apa yang I cerita pada you?"

"I tak nak ganggu Zara. Dia ramai lagi patient lain yang dia perlu jaga. Soal Warda, you jangan risau. Dia tak kan berani apa-apakan you. Kalau dia tak jaga you baik-baik, I sendiri akan buat dia menyesal nanti." Nuf memujuk.

"You janji?" Bella menyoal tiba-tiba.

"Janji? Janji apa?" Pelik kedengaran soalan Bella di telinga Nuf.

"Janji yang you akan buat dia menyesal dan takkan maafkan dia kalau apa-apa berlaku pada I nanti?"

Nuf mengerut kening.

"Baby, kenapa cakap macam ni? I pergi sekejap je. Takkan ada apa-apa yang berlaku pada you..."

"Janji?!"

Nuf menghela nafas berat. Mengalah jalan terbaik bagi memuaskan hati Bella.

"Okey. I akan pastikan dia akan bertanggungjawab if anything happen to you dan I takkan maafkan dia kalau dia buat isteri kesayangan I ni sakit."

Akhirnya janji diikat ditengah kemelut rasa. Tanpa disedari, bakal menjerat diri.

Bella tersenyum penuh misteri ibarat punya agenda tersembunyi.

¤¤¤

Tengah tasik direnung lama dari atas superbike yang diparkir di bahu jambatan. Pancuran air dari tengah tasik itu seperti menggambarkan dirinya sekarang. Hamburan rasa yang cukup menyesakkan dada. Kereta yang bertali-arus diabaikan sepenuhnya.

I akan pastikan Warda terima balasannya, baby. Dia akan menyesal dah buat you macam tu!

Bisikan penuh dendam menyaluti hati yang dipenuhi kebencian.

Tiba-tiba poketnya terasa bergegar dan telefon pintarnya berbunyi kuat minta segera diangkat. Dengan malas, Nuf merapatkan peranti rapat ke telinganya tanpa melihat nama pemanggil. Dalam fikirannya cukup yakin yang panggilan itu datang dari hospital. Ada emergency case, mungkin.

Belum sempat Nuf bersuara, kedegaran suara Mak Ilah cemas dihujung talian. Terangkat Nuf dari duduknya.

"Mak Ilah, tarik nafas. Bertenang." Namun dia sendiri sudah tak senang duduk. "Kenapa ni, Mak Ilah? Cerita dekat Nuf..."

"Nuf, puan...puan!"

"Kenapa dengan mak?" Hatinya tiba-tiba dihimpit risau.

"Puan kena serangan strok! Tuan dah bawak puan ke hospital dekat rumah ni. Baru sekejap ni tadi..." Mak Ilah mula teresak.

"What?!"

"Sebenarnya, dari tengah hari tadi lepas Warda balik, puan dah mengadu sakit kepala..."

"Warda?!" Bertambah terkejut dia apabila nama Warda disebut. "Warda buat apa datang rumah?"

"T-tak ada b-buat apa-apa. Tapi p-puan marah dan halau dia balik..." Tergagap Mak Ilah memberitahu. Risau jika mendengar nama Warda akan membuatkan Nuf naik angin.

Nuf mendengus bengis. Belum habis rasa marahnya akibat kejadian tadi, kini makin disogok-sogok pula mendengar kata-kata Mak Ilah.

"Dah, Mak Ilah jangan risau. Nuf terus pergi hospital ni. Nanti Nuf call kalau ada sebarang berita." Nuf tergesa-gesa memutuskan panggilan tanpa mendengar balasan Mak Ilah.

Jaket kulit yang tersadai di atas superbike di sarung ke tubuh. Tak sempat dia mengenakan sarung tangan. Pedal minyak terus dipulas sebaik topi keledar disarung ke kepala. Menderum dia pergi meninggalkan kepulan asap di belakang.

Kata-kata Mak Ilah tadi kembali terngiang.

Nuf mengetap rahangnya serapat mungkin.

Warda!

###

~ Teaser chapter seterusnya ~

"Amna!" Tak sempat Amna memulakan kata sebaik dia mengangkat panggilan dari Warda.

"Warda. Kenapa ni?"

Hanya esakan Warda yang menjawab soalannya. Hatinya risau tak kepalang mendengar tangisan Warda yang sudah tak terkawal.

"Warda! Calm down. Hei, kenapa ni?"

"Amna...tolong aku. Aku takut..."

"Warda, kau dekat mana sekarang ni?" Amna cuba mengawal keadaan walaupun hatinya sendiri seperti sudah tak terkawal.

"Aku tak nak mati sendiri. Aku takut." Suara Warda teresak pilu.

"Astaghfirullah al-azim, Warda! Kau cakap apa ni?! Mengucap, Warda!"

p/s: kalau mood baik, InsyaAllah saya update petang/malam ni. Kalau tak ada, esok saya update. Enjoy :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience