Lilyrose 16 | Lelah

Romance Series 55089

Bilakah hati mahu dikebalkan
Dengan asakan yang berterusan

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Stering kereta dicengkam ketat.

Apa yang kau dah buat ni, Nuf! Tak cukup kau dah langgar budak yang tak bersalah tadi, sekarang kau nak langgar perempuan ni pulak?

Tiba-tiba hatinya terdetik sesuatu.

Dia bukan seperti Warda. Dia bukan pembunuh seperti gadis itu!

Dan dia tak akan sekali-kali dia menodai tangannya sendiri dengan dosa yang sama.

Dosa membunuh!

Biar beribu lintasan jahat yang menyinggah dibenaknya, namun jauh di dasar hatinya dia tahu, dia tak akan sesekali sanggup melakukan itu.

Nuf berdecit geram dan stering keretanya dihentak keras.

Apabila tingkap keretanya diketuk, Nuf menolak pintu keretanya lalu keluar.

"Bang, kat mana ambil lesen? Tak nampak ke zebra crossing ni?" Sindir lelaki yang mengetuk tadi.

Pintu kereta dihempas Nuf.

"Aku berhenti sebelum line, kan? So, what's the problem?" Nuf membalas. Tak kurang sinisnya.

Memang betul, dia berhenti di belakang garisan. Cuma pecutan luar biasa keretanya tadi yang buat tindakannya nampak berbahaya. Yang buat tindakannya memeranjatkan Warda yang baru mula melintas.

Namun semuanya berpunca dari gadis itu juga.

Niat baiknya disalah anggap. Dikata hendak menuntut budi sedangkan dia hanya mahu menyantuni. Lebih teruk lagi, dia dituduh sengaja melanggar Alif.

Kalau Warda tidak menuang minyak didalam api kemarahannya awal tadi, tak akan ada hasutan jahat yang mendesak kesabarannya. Bara amarahnya tak akan meluap-luap lagi dan dia tak akan rasa tercabar untuk membuktikan kata-kata yang dituturkan tadi.

Warda yang masih terduduk di atas jalan, dipandang dengan penuh geram.

Tajam.

Beberapa orang cuba membantu Warda bangun namun lututnya yang masih terasa longlai membuatkan Warda hampir tersungkur semula. Digagahi segala khudrat untuk menolak tubuhnya berdiri, dibantu mereka yang sudi.

"Dik, adik okay?" Soal seorang wanita lewat 40-an yang memeluk bahu Warda.

Warda hanya membalas dengan anggukan. Nafas ditarik sedalamnya sebelum dihembus perlahan-lahan bagi menstabilkan kembali degupan jantung yang berdetak kencang.

"Apa masalah, abang tanya?"

Nuf berpaling memandang lelaki itu semula.

"Kalau abang nampak zebra crossing tu, abang tak akan pecut laju macam tadi. Kalau abang terlanggar perempuan tu tadi, macam mana?" Telunjuk lelaki itu lurus ke arah Warda.

"Tapi aku tak langgar sesiapa pun. Ada nampak aku langgar sesiapa ke?"

Sinis.

"Dan kalau betul aku terlanggar orang, aku bukan jenis lepas tangan. Aku akan bertanggungjawab." Sengaja ditekan kuat suaranya agar Warda turut mendengar.

Dia mula bergerak ke arah Warda. Dibiarkan lelaki tadi terpinga sendiri.

Tanpa sepatah kata, Nuf melelar pergelangan tangan Warda ke pintu penumpang. Walaupun gadis itu memprotes, tak sesaat pun pautannya dilonggarkan. Dipaksa Warda duduk di kerusi penumpang lalu pintu ditutup rapat. Pintu dikunci seketika sementara dia masuk ke pintu pemandu.

Belum sempat Warda keluar kembali setelah kunci dibuka, Nuf sudah berada di tempat pemandu dan menghalangnya dari keluar. Dia menghulur tangan menutup semula pintu di sisi Warda sambil tangan kirinya menekan tubuh ramping itu rapat ke tempat duduk. Beberapa pasang mata yang masih memandang pelik pergelutan mereka berdua, tidak dihiraukan termasuklah lelaki yang menegurnya tadi. Tanpa membuang masa, enjin Audi dihidupkan kembali lantas Nuf terus memecut pergi dengan tangan kiri masih berat menekan bahu Warda.

"Lepas!"

Seakan tersedar, pautan dilonggarkan dan dengan mudah Warda menepis tangan lelaki itu yang masih melingkar.

"Kenapa awak tak terus je langgar saya tadi? Kenapa brek? Awak nak sangat tengok saya mati, kan?!"

Nuf senyap namun rahangnya mengeras. Matanya masih tertancap di jalan raya.

"Jawablah!" Bentak Warda lagi.

"Aku dah cakap sebelum ni, kau tak boleh mati lagi." Nuf bersuara dingin tanpa sedikit pun merenung Warda yang memberang. Bahang hangat jelas dirasakan di dalam kereta ketika itu.

"Kenapa awak tak nak saya mati? Sebab awak tak puas lagi seksa saya, macam tu?"

Nuf menghembus nafas berat namun seperti ada sesuatu yang masih membebani dadanya. Sesuatu yang cukup-cukup menghimpit dada namun dia tak punya cara untuk melepaskan.

"Baguslah kalau kau tahu." Rendah nadanya tapi cukup didengari Warda.

"Tapi jangan risau. Bila aku dah puas seksa kau nanti, aku akan pastikan yang aku tak akan gunakan tangan aku sendiri untuk bunuh kau." Warda dijeling dari ekor mata.

"Aku akan pastikan kau guna tangan kau sendiri."

Terbuka luas iris mata Warda. Tak berkelip dia merenung kosong ke luar tingkap.

"Ingat tu, Warda."

Warda mengetap dan menggigit bibir bawahnya. Pandangannya mulai kabur angkara air mata yang bergenang. Namun sukar untuk dia mencari punca.

Kata-kata penuh bisa lelaki itukah, atau cengkaman di dadanya yang lebih menyakitkan sekarang ini?

Bilalah dia mahu mengebalkan hati dengan asakan lidah tajam si lelaki?

Sekuat mana dia bertekad untuk menyediakan perisai menangkis kata-kata dari mulut itu, masih akhirnya dapat dibolosi dengan tohmahan yang menembusi jauh ke dasar hati. Senekad mana Warda membina tembok kekuatan, sekelip mata juga lelaki itu mampu meruntuhkan.

Sakit kembali menjalar halus di dalam dadanya.

Perlahan tapi cukup menyeksakan. Cukup-cukup memeritkan. Tambahan pula tubuhnya terasa cukup letih dengan apa yang dilalui seharian.

Lelah, tak berdaya.

Kepala Warda yang mulai pusing dan penglihatan yang berganda lebih memburukkan keadaannya ketika itu

Lalu, peluput mata terpejam rapat.

Nuf seakan dikejutkan dari hasutan apabila kepala Warda tiba-tiba terkulai jatuh terhantuk cermin tingkap di kirinya. Brek ditekan mengejut walaupun keretanya berada di laluan paling kanan. Bunyi hon yang bertali arus tidak dihiraukan.

"Warda!" Bahu kanan gadis itu ditarik ke arahnya.

Panik.

Cemas.

"Warda!" Sekali lagi dia memanggil tapi hanya leher Warda yang terkulai lemah menjadi balasan.

Tengkuk Warda diraih dan muka gadis itu dipalingkan ke arahnya.

Namun, air mata di pipi kiri Warda yang mengenai tapak tangan, menyentak kuat tangkai hatinya. Kelopak mata yang terkatup rapat dan alis basah itu direnung dengan rasa bercampur baur.

Betul-betul menjerut perasaannya.

Apa yang kau dah cakap tadi, Nuf?!

Detik hati Nuf seakan baru menyedari keterlanjuran lidahnya.

"Bangun, Warda!"

Bahu kurus itu digoncang sedikit sementara tangan kanannya kekal menyentuh pipi kiri Warda yang tak ubah seperti ais.

Dingin.

Tanpa disedari, diseka air mata yang hampir mengering di pipi Warda itu dengan ibu jari kasarnya.

Nafas Warda diperiksa.

Terasa berhembus lemah.

Lantas, denyutan nadi di leher berhampiran rahang Warda turut diperiksa penuh debar.

Dengan kepakaran yang ada, dapat dirasakan denyutan nadi gadis itu luar dari kebiasaan. Walaupun ia ternyata masih berdenyut, tetapi tetap tidak normal pada perkiraannya.

Semakin dia tak keruan. Nadi di lengan Warda pula diperiksa menggunakan jari telunjuk dan jari tengah.

Nuf menggeleng dan mendengus kasar.

Buntu fikirannya.

Akal warasnya seolah berhenti berfungsi. Segala apa yang pernah dipelajari dan dipraktikkan hilang secara tiba-tiba, namun naluri seorang doktor yang masih bersisa mendesak agar dia melakukan sesuatu sebelum terlambat.

Bukan tidak pernah dia melalui situasi seperti ini. Malah lebih teruk yang pernah dilalui pesakitnya. Tapi dia masih mampu mengawal emosi dan keadaan sebaiknya.

Cuma sekarang, situasi ini dirasakan cukup berbeza. Yang dia tahu...

...dia tak mahu Warda mati!

No, kau tak boleh mati!

Nuf menurunkan penyandar kerusi supaya posisi Warda lebih rata agar darah dapat mengalir dengan lebih baik. Tubuh Warda dibetulkan supaya lurus. Dia mencapai jaket kulitnya dari tempat duduk di belakang lalu terus menyarungkan ke sekujur tubuh kaku itu. Suhu penyaman udara dinaikkan agar tidak terlalu sejuk.

Dan Nuf terus memacu Audinya melebihi had laju.

***

Buk!

Darah!!!

Warda mencelikkan matanya perlahan-lahan. Anak mata berlegar di sekitar bilik cuba mengingati apa yang berlaku.

Dilanggar?

Aku dilanggar ke?

Seingatnya, tadi dia hampir dilanggar tapi tidak pula dia terasa sakit pada mana-mana anggota badannya.

Dadanya ditekup.

Tak lagi sakit seperti tadi. Malah tubuhnya terasa lebih segar seperti baru disuntik vitamin.

Warda bangun perlahan-lahan dan duduk di birai katil. Pandangannya kembali difokuskan. Hampir terbuntang matanya melihat bilik yang amat dikenalinya. Bilik yang pernah didiaminya suatu ketika dahulu.

Kenapa aku ada dekat sini?

Aku mimpi ke?

Warda pejam mata dan celik kembali.

Masih sama.

Masih dia di bilik yang sama.

Pintu yang tiba-tiba terbuka membuatkan Warda refleks berpaling.

"Warda dah bangun?"

"Mak Ilah." Berkerut dahi Warda melihat wanita setengah abad itu masuk dengan menatang segelas air.

"Kenapa Warda ada kat sini, Mak Ilah?"

"Warda kan pengsan tadi. Nuf yang bawak Warda ke sini."

"Nuf—bawak Warda datang sini?" Soal Warda pelik.

Mak Ilah mengangguk.

"Yelah, takkan dia nak bawak kamu balik rumah dia."

"Nuf b-buat apa dekat Warda?"

"Entah. Mak Ilah pun tak tahu. Mak Ilah nampak dia suluh-suluh biji mata kamu. Lepas tu, dia suruh Mak Ilah pergi ambil air untuk lap badan kamu. Masa Mak Ilah turun, tak tahu pulak dia ada buat apa—"

"Dia yang lap?!" Mata Warda terbeliak, nyaris-nyaris tercabut dari soket.

"Hish! Mak Ilahlah yang lapkan." Tegas Mak Ilah.

Warda pejam mata kelegaan.

Dalam ligat berfikir dan mencantumkan kepingan-kepingan puzzle yang berselerakan di dalam fikiran, tiba-tiba Warda teringatkan sesuatu yang lebih penting. Kewarasan kembali bertandang.

Alif!

Sebenarnya Alif yang dilanggar!

Dia bingkas berdiri. Beg tangannya dicapai mahu segera pergi dari rumah itu.

"Warda, sekejap!" Halang Mak Ilah. "Kamu nak pergi mana ni?"

"Warda kena pergi. Ada hal yang Warda kena uruskan." Tangan Mak Ilah dicapai dan disalam hormat.

Belum sampat Warda keluar dari bilik, Mak Ilah memanggil lagi. Dihulur satu beg kertas ke arah Warda.

Warda memandang hairan ke dalam beg.

"Baju yang kamu pakai tadi."

Sepantas kilat, Warda menunduk. Baru dia sedar bajunya sudah bertukar. Tubuhnya kini tersarung chiffon maxi dress berbunga merah dan pink yang penuh feminin.

"Nuf yang suruh tukarkan baju Warda sebab penuh dengan darah. Mak Ilah selongkar dalam almari Bella tadi, Mak Ilah rasa yang ni je sesuai dengan kamu sebab yang lain tu seksi sangat." Jelas Mak Ilah sambil memperlahankan suaranya dihujung ayat.

Serba-salah Warda dibuatnya. Tangannya menyentuh dan menarik sekitar kolar yang dikelilingi English lace yang jelas tampak mewah.

Baginya, dress itu terlampau cantik. Terutama untuk dirinya.

"T-shirt biasa ada tak, Mak Ilah?"

"Kamu bukan tak tahu, Bella tu mana pernah pakai t-shirt."

"T-shirt Mak Ilah?"

"Hah?!"

"Kalau ada, bagi Warda pinjam dulu."

"Hish, takkan kamu nak pinjam t-shirt Mak Ilah yang compang-camping tu. Lagi pun mana ada yang saiz kamu ni. Baju Mak Ilah semuanya triple XL."

"Bedal ajelah, Mak Ilah. Boleh je." Setuju Warda.

Boleh pakai baggy style. Baju longgar, baggy style, trendy apa sekarang ni.

Getus Warda.

Janji tak perlu pakai dress Bella yang dah tentu-tentu mahal dan tak padan dengannya itu.

Satu lagi, kalau terkoyak atau kotor siapa yang nak bertanggungjawab?

"Tak payahlah, Warda. Baju Bella ni dah sesuai sangat dengan kamu. Cantik!" Puji Mak Ilah, ikhlas. Pada pandangannya, memang Warda nampak cantik dan polos dengan dress tersebut walaupun mukanya ada sedikit pucat.

"Tapi Warda tak selesa."

Jujur dia tak selesa. Bukan di kulitnya, tapi di hatinya. Walaupun kainnya berkualiti tinggi dan lembut beralun, tetap Warda merasa keberatan mengenakan dress itu tanpa kebenaran tuan empunya baju.

"Habis tu, kamu nak pakai t-shirt tu dengan kain batik ke? Mak Ilah tak ada seluar nak pinjamkan kamu. Lantaklah kamu kalau terlondeh tengah jalan nanti, Mak Ilah tak tahu." Usik Mak Ilah, dalam mengugut.

Terlondeh?

Membayangkan sahaja sudah cukup membuatkan Warda ngeri. Terus dibatalkan niatnya untuk meminjam t-shirt Mak Ilah.

"Errr, Mak Ilah—"

"Hah, apa?"

"Mak ngah ada ke dekat bawah?" Teragak-agak dia bertanya.

"Tak ada. Tuan bawak puan pergi hospital hari ni. Dari pagi tadi tak balik lagi."

Warda hembus nafas lega.

Kalau mak ngah ada, mana mungkin dia benarkan aku jejakkan kaki di sini lagi.

Getus hati Warda.

"Mak Ilah, errr—stroke mak ngah dah okay ke?"

"Warda tahu pasal puan?"

"Dah lebih setahun, Mak Ilah. Sampai bila semua orang boleh sorokkan dari pengetahuan Warda, kan?" Lirih suara Warda.

"Maaf ye, Warda. Mak Ilah tak boleh bagitahu kamu dulu tu, sebab tuan dan Nuf yang tak benarkan Mak Ilah bagitahu kamu."

Warda tersenyum kelat. "Tak apa."

"Puan tu, sama je macam dulu. Cuma sekarang ni kalau dia cakap tu, dah jelas sikit. Bolehlah jugak Mak Ilah ni faham kalau dia nak apa-apa." Terang Mak Ilah.

"Baguslah." Bisik Warda sambil mengangguk kecil.

"Tak apalah, Mak Ilah. Warda minta diri dulu."

Sekali lagi tangan tua itu dicium dan tubuh gempal Mak Ilah dipeluk lembut. Entah bila dia akan berjumpa dengan Mak Ilah lagi, dia pun tak pasti.

Sebelum keluar, sempat Warda melatakan pandangan sekitar bilik yang pernah dihuninya itu. Mungkin itu juga kali terakhir dia menjejakkan kakinya di situ. Diserap masuk gambaran segenap ruang bilik ke dalam mindanya.

Dengan perlahan, Warda melangkah turun satu-persatu anak tangga sambil kepalanya terjenguk-jenguk memerhati ruang bawah. Apabila dipastikan tiada sesiapa, langkah dilajukan sedikit. Terus dia menuju pintu utama tapi belum sempat dia sampai, pintu tiba-tiba ditolak dari luar.

Terkaku Warda menunggu susuk tubuh yang bakal muncul di muka pintu.

Mak ngah dengan pak ngah ke?

Sangkaan Warda nyata meleset.

Ternyata Nuf yang muncul namun dia juga terkaku sebaik melihat Warda. Mematung dia di depan pintu dengan matanya tak berkelip memerhati Warda ke atas dan ke bawah berkali-kali.

Warda gelisah. Sudahlah baju ini tak selesa, semakin dia diserang rasa tak keruan dengan renungan mata galak lelaki itu.

Seperti mahu ditelannya hidup-hidup!

Tangan Warda menggenggam sisi dress meredakan rasa resah yang merenjat tubuh.

"Mana kau dapat dress tu?" Nada Nuf tertahan.

Selangkah dia menghampiri Warda.

Setapak juga Warda berundur.

"Mak Ilah yang—"

Nuf berdesir halus membuatkan Warda terdiam.

Baju yang tersarung di batang tubuh Warda benar-benar mengingatkan dia kepada Bella. Dress pemberiannya, namun hanya pernah tersarung sekali kerana fesyen yang tertutup litup, memang bukan menjadi pilihan arwah isterinya itu.

Tapi hari ini, dress itu tersarung elok di susuk Warda.

Dan...

Kenapa dress itu dirasakan lebih cocok untuk gadis itu berbanding Bella?

Geram dan pelik dengan pandangan sendiri, mukanya diraup kasar. Cuba menghapuskan figura yang menyaingi Bella dalam kotak fikirannya.

"Kau nak pergi mana?"

"Balik." Sepatah jawapan Warda sambil dia jalan melepasi Nuf menuju pintu.

"Bawak aku jumpa mak Alif dulu."

Warda diam sambil tunduk menyarung flat sneakers lusuhnya di depan pintu.

Dress dan sneakers?

Macam pelik, tapi Warda tak peduli. Yang penting dia mahu cepat-cepat pergi.

Sebaik siap menyarung, pintu pagar automatik yang tersergam di depan banglo tiba-tiba terbuka.

Satu lagi bala tiba.

Getus hati Warda apabila Mercedes Tuan Malik meluncur masuk ke halaman banglo. Tuan Malik keluar dari pintu pemandu lalu renungannya tertancap ke arah Warda. Setelah menutup pintu kereta, Tuan Malik datang menghampiri.

"Warda."

"Pak ngah."

Warda tunduk menyalami bapa saudaranya. Walaupun dia masih takut-takut dengan penerimaan pak ngahnya, tapi rasa hormat terhadap bapa saudaanya itu masih menebal.

"Warda sihat?"

Warda hanya tersenyum pahit.

"Warda buat apa datang sini?"

"Nuf yang bawak Warda tadi." Nuf menyampuk sambil turut menyalami tangan Tuan Malik. "Tapi kami dah nak pergi ni."

Pergelangan tangan Warda dicapai oleh Nuf dan ditarik ke arah keretanya.

"Tak nak jumpa mak ngah dulu?"

Langkah Warda bagai dipaku ke lantai. Dia merenung Tuan Malik dan Mercedesnya bersilih-ganti. Di sebalik cermin gelap itu, dia tahu mak ngahnya turut memerhati. Mungkin dengan pandangan jelik.

"Tak apalah, pak ngah. Lain kali je." Warda menggeleng perlahan.

Lantas dia mengikut tarikan Nuf ke arah keretanya. Nuf membukakan pintu dan ditolak bahu Warda agar masuk ke dalam kereta. Warda menurut tanpa sepatah kata.

Bingung Warda seketika.

Situasi apa ni?

Pak ngah yang baik terhadapnya dan Nuf yang seolah-olah mahu menjauhkan dia dari mak ngah dan pak ngah. Lebih membingungkan, dia sediri yang rela mengikut lelaki itu tanpa bantahan seperti selalu.

Sungguh bukan seperti dirinya dan berbeza dirasakan layanan lelaki itu.

Suasana di dalam kereta juga tidak setegang awal tadi.

Tak ada tusukan kata-kata pedas dan sinis yang boleh mengoyak sekeping hatinya seperti sebelumnya.

Sisi kiri wajah Nuf direnung seketika sebelum pandangan kembali dilontarkan keluar.

Kenapalah dunianya hari ini berputar-putar sekitar lelaki itu?

Dari kejadian Alif dilanggar lagi. Sangkanya selepas ditinggalkan sendirian di hospital tadi, itu adalah kali terakhir dia berjumpa Nuf untuk hari ini. Tapi, sampai ke sudah dia terpaksa menghadap muka dingin mengalahkan benua Antartika itu.

Telefon Warda yang tiba-tiba menjerit memaksa dia untuk menjawab.

"Warda!" Terjah Fahmi sebaik panggilan bersambung.

"Kenapa, Mi?"

"Aku yang patut tanya kau. Kau call aku tadi, kenapa?"

"Aku call kau? Bila?" Soal Warda, pelik.

"Aik?"

Warda memikir. Keningnya digosok dalam proses mengerah ingatan yang samar-samar.

"Oh, betul. Aku ada call tadi. Sorry, aku lupa."

"Kenapa kau call?"

"Aku nak mintak tolong tadi. But now, I'm okay."

"Ooo...sorry aku kerja tadi. Baru habis ni."

"Hmm. Tak apa."

"Kau kat mana tu?"

"Aku dekat—" Warda jeling Nuf disebelah. Dalam masa yang sama, lelaki itu juga sedang menjelingnya. Warda lantas melarikan pandangan semula.

"Aku...on the way balik rumah ni."

"Okaylah kalau macam tu. Aku pun nak drive balik ni." Pamit Fahmi.

"Okay, Mi. Drive safe." Terus Warda memutuskan talian. Telefon disimpan semula ke dalam beg di atas riba. Sebelum itu, sempat dia menjeling jam di telefon. Hampir ke pukul lima petang.

"Berhenti dekat bus stop depan tu." Arah Warda.

Nuf diam dan terus memandu melepasi perhentian bas yang dimaksudkan Warda.

"Kau tak boleh balik selagi tak bawak aku jumpa mak Alif. That's it. Apa yang susahnya?"

Warda ketap bibir geram.

Memaksa!

"Aku dah cakap. Kalau aku langgar, aku akan bertanggungjawab."

Warda terdiam lalu melontarkan pandangan ke luar tingkap.

###

p/s: done double update untuk hari ni..thanks for the comments bagi chapter sebelum ni..saya senyum je baca komen2 korang..komen banyak2 lagi ya supaya semangat nak update :) satu lagi, saya minta maaf kalau ada yang tak faham dengan urutan cerita ni..babak di prolog tu masih belum sampai sebenarnya tau..tak lama lagi, insyaAllah kita akan sampai ke situ. Tak lama lagi, bila sampai ke babak di prolog tu, korang perlu bersiap sedia hati dan emosi..berdasarkan pengalaman dengan pembaca di , ramai yang hampir kena serangan darah tinggi sebab babak sambungan selepas prolog tu amat-amatlah menyakitkan hati..

Share this novel

Masnida Nordin
2020-06-08 00:10:06 

sedih cerita ni macam nak nangis.

Masnida Nordin
2020-06-08 00:10:06 

sedih cerita ni macam nak nangis.

Angah Ajalah
2020-06-07 23:56:19 

bilalah benci menjadi cinta..ermmm


NovelPlus Premium

The best ads free experience