Lilyrose 14 | Kalau dia

Romance Series 55089

Sembunyilah sedalam mana
Luka masih terbias di mata

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Amna."

"Hmm?" Sahut Amna. Mata yang sudah mahu terlelap, kembali celik. Dia menoleh Warda yang baring disebelah.

"Jom kita lari dari sini. Nak tak?" Warda berbisik perlahan.

Dengar seperti gurauan, tapi Amna dapat rasakan getaran serius dalam tutur Warda.

Amna bingkas bangun dan duduk bersila sambil menarik bantal ke atas riba. Matanya tiba-tiba terasa segar-bugar.

"Kau cakap apa ni?"

"Ikut aku, jom."

Amna garu kepala yang tidak gatal.

"Kau nak pergi mana pulak tengah-tengah malam ni?"

Warda membetulkan tubuhnya agar berbaring lebih selesa. Terlentang dia memandang siling seperti menggambarkan sesuatu.

"Aku ingat kan...lepas operation injap jantung aku nanti, aku nak berbakti dekat luarlah pulak. Afrika ke, Somalia ke. Mesti best kan?" Anak mata Warda yang tadi berlegar-legar di permukaan siling, menoleh ke arah Amna.

Pandangan Amna kaku di wajah Warda dengan rahang yang sedikit jatuh.

Afrika?

Somalia?

"Kau ni, biar betul."

"Ada nampak aku macam main-main ke?" Warda mengiring menongkat kepala dengan telapak tangannya.

"Atau, kita pergi Syria. Nak tak?" Gesa Warda lagi.

Kali ini rahang Amna rasa seperti mahu tercabut dan bebola matanya umpama mahu meloncat keluar dari soket.

Syria?

Negara bergolak tu?

Biar betul!

"Kau ni dah kenapa? Tiba-tibe je Afrika, Syria tengah-tengah malam ni. Rohingya kau tak nak sebut?" Gurau Amna.

"Eh, okay jugak tu!" Terus Warda bersila teruja.

"So, kau jadilah nak ikut aku? Aku serius ni." Warda tayang muka bersinar sambil meraih tangan Amna.

Raut wajah Amna nyata berubah redup. Dia tahu Warda memang serius. Dari sinar teruja dan kesungguhan yang dipamer Warda, dia tahu Warda maksudkan setiap butir bicaranya.

"Kenapa tiba-tiba ni? Kau nak larikan diri dari siapa?"

Rasanya tak perlu ditanya. Amna cukup tahu Warda ingin lari dari siapa dan atas sebab apa, tapi sengaja dia mahu menguji Warda.

Umpan Amna ternyata mengena.

"Kau pun tahu, aku dah tak ada sesiapa, kan? Aku nak cari erti bahagia aku sendiri. Aku stay kat sini pun tak ada gunanya, Amna. Kalau boleh, aku nak tinggalkan semua ni, mulakan hidup baru di satu tempat yang jauh dari sini. Satu tempat yang tak ada seorang pun yang kenal aku. Satu tempat, yang boleh buat aku rasa diri aku ni masih berguna."

Selalunya ayat-ayat menyayat hati sebegitu cepat sahaja membuatkan air mata Warda mengalir. Tapi, kini dia rasakan kolam air matanya sudah kering selepas ditumpahkan habis-habisan tadi. Sempat lagi dia mengukir senyuman manis buat Amna.

"Warda, kau kat sini pun sebenarnya dah bantu banyak orang. Tu Kak Azi, Alif, pesakit kanak-kanak kat hospital tu masih ramai yang perlukan khidmat kau. Tak payah pergi jauh, kat sini pun kau masih boleh rasa berguna. Kami semua masih perlukan kau. Sama je."

"Lain Amna. Kat sini ada orang lain yang boleh bantu dia orang tapi kau bayangkan kat sana tu, kat Syria, Somalia tu, tak ramai yang sudi nak bantu. Ya, memang betul ramai yang sudi bagi bantuan kewangan, tapi ramai ke yang sanggup turun padang, rasa sendiri apa yang pelarian-pelarian tu rasa selama ni?"

Amna tertunduk, menyembunyikan lereng mata yang bergenang. Tutur kata Warda begitu menyentuh hatinya. Tiba-tiba tangannya disentuh Warda.

"Tolonglah faham aku, Amna. Aku teringin sangat nak pergi berbakti kat Syria."

"Yelah, aku faham." Amna mengangguk lemah sementara pandangannya keruh melihat Warda yang sedang tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Namun, selindunglah sedalam mana, senyumlah selebar mana, dia masih dapat melihat kelukaan di anak mata coklat gelap milik sahabatnya.

"Tapi, tu—" Telunjuk Amna lurus tepat di dada Warda. "Kena repair dulu."

Ketawa Warda meletus.

"Kau ingat jantung aku ni, macam Cik Pisang tu ke? Nak kena masuk workshop, repair bagai?"

"Lah! Selama ni aku ingat kau guna jantung elektronik. Yelah, kau kan iron lady. Salahlah tanggapan aku ni?" Amna berlelucon.

Geli hati Warda mendengar jenaka diluar kotak dari Amna. Sungguh, Amna tak pernah menghampakan disaat dia betul-betul memerlukan.

Warda ketawa bebas. Terserlah barisan gigi putihnya yang elok tersusun.

Senget punya makcik!

"Ish, kalau jantung elektronik pun kau ingat murah ke kos nak repair?" Warda turut melayan.

Lain pula reaksi Amna. Dia tergamam. Mahu membalas gurauan Warda, ketandusan idea pula. Lalu, tangan Warda dicapai dan diletakkan di atas bantal yang terletak elok di atas riba kemudian diramasnya lembut.

"Berapa?" Nada Amna serius.

"Berapa, apa?"

"Kos pembedahan kau."

Warda menarik tangannya lantas berbaring kembali. Pandangannya dilarikan dari Amna.

"Warda, kalau kau perlukan duit, aku adalah simpanan sikit. Tapi tak banyaklah. Kau gunalah dulu kalau kau—"

"Eii, tak payah. Aku ada duit aku sendirilah." Pintas Warda.

"Cuma nak kena kumpul sikit je lagi. Sebulan dua lagi kut sebab aku ingat nak buat belanja lepas operation nanti. Aku nak berhenti kerja. Aku dah buat keputusan, nak pergi Syria." Warda kembali merenung siling. Dalam fikirannya tergambar dirinya yang sudah berada di sana. Bergelak ketawa, bersama anak-anak Syria.

"Kau ni serius ke nak pergi Syria?"

"Ish, berbuih dah mulut aku ni bercakap dari tadi. Aku seriuslah!" Warda menekan.

Perlahan-lahan, Amna turut kembali merebahkan tubuh di sebelah Warda. Bahu ke bahu, turut memandang siling.

Senyap.

Hening.

Sisi wajah Warda yang masih ralit merenung siling itu kadang-kala dijelingnya dari ekor mata.

Kalau itu yang boleh membuatkan kau bahagia, pergilah Warda. Cari kebahagiaan kau sendiri yang kau tak pernah kecapi. Aku akan sentiasa sokong setiap keputusan kau.

Amna sebak sendiri.

Kenapa?

Kenapa mesti Warda yang melalui semua ini? Dari dulu, nasib tak pernah menyebelahi sahabatnya itu melainkan malang yang bertimpa-timpa. Sejak dulu Warda dibenci keluarga sendiri, malah turut dipinggirkan sekarang ini. Lebih teruk lagi, dia dituduh penyebab kematian sepupunya sendiri.

Tak semena-mena, Amna merangkul Warda. Mukanya disembam ke bahu kurus sahabatnya. Air mata cuba ditahan namun tetap mengalir lesu membasahi t-shirt putih Warda di bahagian bahu.

Warda pura-pura tidak melihat. Tangan Amna yang berlingkar di pinggangnya diusap halus.

"Terima kasih, Amna. Duit kau tu, kau simpan je." Lirih suara Warda. "Buat belanja kahwin kau dengan Fahmi nanti."

Terus terangkat muka Amna dari bahu Warda. Tangan Warda yang bermain di lengannya ditepis ganas. Rasa sentimental yang singgah di hati terus hilang, diganti dengan rasa sebal yang menggunung.

"Choi!"

Reaksi Amna sudah dapat dijangka. Pantang sungguh bila dirinya dikaitkan dengan manusia bernama Fahmi.

Warda tergelak.

"Tak nak aku dengan mamat senget tu! Eii, mintak simpang! Tak mahu aku. Nauzubillah!" Marah Amna dalam tangis. Dikesat hidung dan matanya kasar.

"Padanlah tu dua-dua senget. Boleh saling support kata orang." Usikan Warda semakin galak. Bukan selalu dia dapat mengenakan Amna sebab selalunya dia yang akan menjadi mangsa usikan.

"Darjah ke'senget'an aku dengan dia mana sama. Dia senget ke kiri, aku senget ke kanan. Tak sepadan langsung!" Nafi Amna.

"Alah, sama je kalau dah namanya senget tu. Atas pelamin nanti, adjust sikit-sikit confirm boleh balance." Warda mengenyitkan mata. Tiba-tiba rasa terhibur dapat menyakat Amna.

"Eii! Tak ingin aku! Bencinya bila bayangkan. Erghh!"

"Jangan sebut macam tu. Nanti kalau tiba-tiba Allah balikkan hati kau, macam mana? Hati manusia ni, Dia yang pegang tau. Sekelip mata je Dia boleh buat. Hari ni kau cakap tak nak, benci, entah esok lusa kau yang ajak Fahmi tu kahwin. Benci pun entah hilang ke mana waktu tu. Hah, macam mana?"

Terkelu Amna mendengar hujah padat dari Warda.

Mahu membantah, tiada apa yang salah dalam tutur Warda pula.

"Sebab tu orang cakap, jangan benci lebih-lebih sangat, takut nanti jadi sayang." Warda menyambung.

"Amboi, becoknya mulut tu bercakap hari ni." Selar Amna bersahaja. "Kau tu pun sama."

"Apa kena mengena dengan aku pulak?"

Amna mencebik. Melengkung hodoh mulutnya di mata Warda.

"Tak ada apalah. Lupakan je."

Pelik Warda melihat Amna mengelak soalannya.

Amna merapatkan tubuh kembali lantas memeluk lengan Warda.

"Warda."

Senyap.

"Kalau kau mintak tolong Nuf yang bedah jantung kau, macam mana?" Perlahan sahaja suara Amna bertanya.

"Apa kau merepek ni?" Warda bertanya malas.

Amna ketap bibir. "Aku tanya je , kalau-kalau—"

"Tak akan terjadi, Amna. Lagipun aku dah ada doktor aku sendiri. Doktor Alvin yang akan bedah aku nanti."

"Taklah. Manalah tau kan—"

"Aku tak akan benarkan." Terjah Warda. Ton suaranya meninggi sedikit.

"Kau nak tengok aku mati ke?"

"Ish, apa kau cakap ni?!"

"Habis tu, kau ingat dia nak biarkan aku hidup kalau dia yang bedah jantung aku?"

"Takkanlah sampai macam tu sekali?"

Takkanlah seseorang yang professional seperti Doktor Nuffaiq Wildan itu boleh bertindak luar etika atau perikemanusian semata-mata dipengaruhi perasaan.

Getus Amna.

Warda menghembus nafas berat.

"Kau kena ingat, Amna. Aku ni pembunuh Bella di mata dia. Kau rasa dia nak lepaskan aku macam tu je?"

Warda berjeda menghela nafas.

"Lagipun kalau aku selamat lepas operation yang dia buat tu, kau nak aku terus hidup dengan rasa bersalah? Terhutang nyawa dengan dia, sebab dia dah selamatkan aku?"

Amna terdiam seribu bahasa. Wajah kelukaan Warda direnung terus-terusan. Bukan itu maksud dia bertanya tadi. Amna cuma lebih yakin dengan kebolehan dan kepakaran doktor itu berbanding doktor lain yang tidak dikenalinya. Dia hanya mahukan yang terbaik buat Warda.

Melihat Amna membisu, Warda bersuara lagi.

"Aku tak akan benarkan. Apapun yang jadi, aku tak akan benarkan semua tu berlaku. Biarlah jantung aku ni terus sakit atau aku mati sekalipun, aku tak akan sesekali biarkan dia yang bedah jantung aku."

Tekad Warda, begitu utuh tanpa menyedari apa yang bakal menantinya suatu ketika nanti...

***

Dari tadi Warda perasankan beberapa pasang mata pelanggan dan jurujual yang memandang ke arahnya. Masing-masing mengerutkan dahi, seolah-olah jijik dan geli melihat dia berdua bersama Alif yang compang-camping. Warda enggan peduli. Berpura-pura tidak melihat, dia terus membelek-belek beberapa helai blouse yang terpamer di situ.

"Kak Warda, yang ini cantik tak untuk ibu?" Alif mengangkat sehelai blouse biru lembut ke hadapan Warda.

"Cantik. Alif nak belikan ibu yang tu?"

Alif masih membelek-belek blouse yang ada ditangannya. Membayangkan jika ibunya menyarungkan blouse tersebut.

Mesti cantik!

"Rasanya, ibu suka tak?"

"Mestilah ibu suka sebab Alif yang pilihkan untuk dia." Warda menggosok kepala Alif.

Alif tersengih lebar, menampakkan giginya yang rongak.

"Alif pilih yang nilah." Tanpa berfikir panjang lagi, blouse biru itu diserahkan kepada Warda. Sudah lama dia dan Warda berada di dalam pasar raya itu, menyinggah dari satu kedai ke kedai yang lain bagi mencari mana satu baju yang sesuai. Akhirnya baru dia berjumpa baju yang berkenan.

Warda menyambut dan membawa baju tersebut ke kaunter pembayaran bersama sehelai lagi baju buat Kak Azi yang dipilih dia sendiri. Tiga helai baju untuk Alif diletakkan di atas kaunter untuk dibayar sekali. Lima helai baju kesemuanya. Kebetulan hari ini gajinya baru masuk, jadi tak salah rasanya jika di berbelanja lebih sedikit untuk mereka. Lagipun, baju Alif dan Kak Azi semuanya sudah usang dan koyak-rabak di sana sini.

Sekiranya dia pergi suatu hari nanti, sekurang-kurangnya keluarga itu punya bekalan pakaian untuk dipakai.

Bersama kuntuman senyuman dan ucapan terima kasih, Warda menyambut beg kertas yang dihulurkan si jurujual.

"Alif suka makan aiskrim?" Soal Warda sebaik mereka keluar dari kedai baju. Pandangan Warda tertumpu pada kedai menjual pelbagai jenis pencuci mulut di sebelah.

Laju Alif mengangguk. "Suka."

Warda tersenyum senang.

"Jom kita pergi makan aiskrim. Nak, tak?" Ajak Warda.

Alif terus mengangguk setuju. Kata orang, rezeki jangan ditolak. Lalu mereka terus masuk dan mengambil tempat duduk bertentangan di salah satu meja di dalam kedai. Beg kertas diletakkan di atas kerusi sebelah.

"Alif nak aiskrim apa?"

"Coklat!" Alif teruja. Sudah terbayang-bayang rasa aiskrim coklat yang bakal cair di dalam mulutnya.

"Okay. Alif tunggu kakak dekat sini tau." Pesan Warda sebelum dia berlalu ke kaunter memesan semangkuk aiskrim coklat buat Alif dan segelas jus buah buat dirinya.

Sebaik pesanan tiba, terus Alif menyuap sesudu penuh aiskrim ke dalam mulut dengan rakus.

"Alif, makan pelan-pelan."

"Kak Warda nak?" Pelawa Alif.

"Tak apalah, Kak Warda taknak. Alif makanlah sampai habis." Warda menolak lembut. Jus disisip sedikit sambil matanya tak henti melihat telatah Alif didepan. Kadang-kala dia tertawa kecil melihat Alif begitu berselera.

"Sedap sangat ke?"

Tanpa memandang Warda, Alif mengangguk laju.

Warda menggeleng lalu menghulur sehelai tisu ke arah Alif.

"Lap mulut Alif tu. Comot."

Alif menyeringai dengan hujung mulut comot dengan aiskrim.

Warda mengeluh lucu. Walaupun Alif kini sudah berumur sembilan tahu, perangainya masih sama seperti dua tahun lepas sewaktu Warda mula-mula mengenali keluarga itu. Sentiasa gelojoh dan sentiasa teruja merasai pengalaman yang baru.

Itu jugalah salah satu sebab mengapa Warda begitu rapat dengan Alif. Bersama Alif, dia rasa mampu membahagiakan seseorang walaupun sekadar melakukan perkara yang kecil, contohnya seperti sekarang ini. Riak gembira yang ditunjukkan Alif itu ternyata memberi makna yang besar bagi jiwa Warda yang kesuraman. Memenuhi hari-harinya yang kekosongan.

"Kak Warda, Alif nak terkencinglah." Adu Alif, buat Warda tersentak dari lamunan.

Warda memerhatikan sekeliling, tercari-cari tandas lelaki.

"Alif pergi toilet yang dekat sana tu." Telunjuk Warda lurus ke arah belakang Alif, bertentangan dengan kedai yang mereka duduki.

"Kak Warda tunggu dekat sini. Nanti Alif datang sini balik tau." Pesan Warda.

Alif mengangguk sebelum bergegas ke arah tandas lelaki yang ditunjukkan Warda.

Selesai melempiaskan hajat, Alif mahu kembali ke kedai. Namun langkahnya terhalang dengan satu tubuh tegap yang baru ingin melangkah masuk ke dalam tandas. Lantas Alif mendongak.

"Abang!"

Berkerut kening lelaki itu.

"Abang tak ingat Alif?"

"Siapa ya?" Lelaki itu bertanya, ragu-ragu.

"Alah, abang ni pernah beli tisu dari Alif dengan ibu lepas tu bayar 50 ringgit tu, kan? Alif ingat lagi sebab abang ni baik."

Raut wajah Nuf berubah seperti teringatkan sesuatu. Sudah lebih setahun rasanya kejadian itu berlalu sehingga kanak-kanak itu sudah tidak dikenalinya. Bentuk fizikalnya juga sudah berubah. Semakin tinggi dari dahulu.

"Baru abang ingat." Nuf mengoyak senyuman.

Alif menyeringai.

"Okay, abang. Alif pergi dulu."

"Alif, sekejap!" Tegah Nuf.

Automatik, Alif berpaling semua di depan pintu. Terpinga-pinga dia menanti apa yang ingin dibicarakan.

"Alif buat apa dekat sini?"

"Alif datang beli baju baru untuk ibu. Lepas tu singgah makan aiskrim dekat kedai depan tu."

"Alif datang dengan siapa? Dengan ibu?" Soal Nuf, ragu-ragu.

"Eh, taklah. Alif datang dengan kakak."

Kening Nuf terangkat sebelah. "Kakak?"

"Hmm." Alif angguk sekali.

"Okaylah abang. Nanti kakak tunggu lama. Alif kena pergi ni."

Alif mula melangkah namun dia terhenti semula.

"Eh, sekejap. Alif lupa nak tanya, nama abang siapa?"

"Nama abang Nu—" Nuf terjeda.

"Faiq. Nama abang, Faiq." Entah kenapa, dia bertukar fikiran di saat akhir.

"Ohh...okey. Bye, Abang Faiq. Alif pergi dulu." Alif melambai kecil.

Nuf turut membalas lambaian Alif. Dalam hati, tertanya-tanya gerangan 'kakak' yang disebut Alif tadi. Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan Wardalah orangnya.

Setelah mencuci dan mengeringkan tangan, Nuf keluar. Matanya tertarah ke arah kedai aiskrim bertentangan, namun kelibat Alif dan si 'kakak' sudah tidak kelihatan. Serata pasar raya diperhati tapi orang ramai semakin menyukarkan pencariannya.

"You cari I?" Zara tiba-tiba muncul dan memaut lengan sasa Nuf. "Sorry I dah buat you tunggu. I pergi ladies tadi."

Nuf menarik tangannya lepas dari pautan gadis itu. Bukan Zara yang dicarinya.

"Kita baliklah." Mata Nuf masih tak lepas melihat sekeliling.

"Tapi I masih ada barang nak beli. I belum habis shopping lagi ni."

"Kalau macam tu, I balik dulu. You sambunglah shopping sendiri." Nuf bersuara dingin, terus berlalu meninggalkan Zara termanggu sendiri.

"Okaylah, kita balik." Tiba-tiba sahaja Zara sudah berada di sisi Nuf dan kembali memaut erat lengannya.

Zara mengalah dalam terpaksa. Dia tahu, tak ada guna kalau dia menarik muncung atau merajuk. Nuf bukan pernah nak pujuk! Lebih teruk lagi, dia terpaksa memujuk diri sendiri dan akhirnya terpaksa menebalkan muka merapati lelaki itu semula.

Mereka berjalan seiringan menuju kereta. Nuf tenang memandu keluar dari ruang parkir namun pandangan tetap meliar mencari...

...sebuah Austin mini kuning.

Cik Pisang...

...milik gadis itu.

Tanpa disedari, bibirnya tersungging senyuman sinis sebelum kepalanya digelengkan beberapa kali, menepis kejadian beberapa bulan lepas yang utuh tersemat disanubarinya. Sejak kejadian itu, memang dia tak pernah terserempak dengan gadis itu lagi selain malam di rumah mak, namun entah kenapa jeritan gadis itu senantiasa berputar-putar dalam kotak memorinya. Pantang ada waktu terluang, kata-kata Warda itu pasti akan terngiang-ngiang.

"Ingat ni, saya takkan biarkan awak pijak saya lagi!"

Jelas diingatannya, bagaimana dia menahan malu, tunduk mengutip kembali duit yang renyuk di atas lantai dengan ego yang sedikit tercalar. Maruahnya sebagai pakar bedah jantung yang disegani terasa seperti diletakkan di telapak kaki dek tempikan Warda yang mampu didengari semua.

Namun, kata-kata Warda itu diambil sebagai cabaran.

Kau tunggu, Warda. Sampai masanya, aku akan pastikan kau tarik balik kata-kata tu!

Nuf bermonolog sendiri tanpa menghiraukan Zara yang berceloteh di sebelah.

"Nuf, brek!"

Jeritan Zara tiba-tiba merentap dia kembali ke alam nyata, namun sia-sia apabila sudah semuanya terlambat.

Buk!!!

###

p/s: bersedia untuk mencarut di next chapter ya...sebelum tu, korang rasa Nuf langgar siapa/apa tu? :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience