Lilyrose 1 | Aku pembunuh

Romance Series 55089

Jantung yang terluka
Biarkan ia terus berduka

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Dua tahun sebelumnya...

Suasana muram menyelebungi tanah perkuburan. Terdengar bacaan talkin dibacakan diiringi esakan halus dari beberapa orang yang turut serta menghantar pemergian si mati untuk kali terakhir.

Sepasang mata sembab hanya mampu memerhati dari sebalik pohon. Jauh dari pandangan orang ramai. Tahu yang dirinya tidak diingini untuk sama-sama turut bersedih.

Kerana diri dia dianggap penyebab kematian itu!

Hakikatnya, bukan itu yang berlaku. Namun, tiada siapa yang tahu. Mungkin, tiada siapa yang akan percaya!

Air mata jatuh berlinangan tanpa dapat di tahan.

Bella...

Maafkan aku.

Berulang-ulang kali ungkapan maaf itu diutarakan di dalam hati dengan harapan agar Bella dapat mendengar dan memaafkan dirinya. Walaupun dia tahu bukan dia penyebab kepergian Bella, namun dia masih memerlukan alasan untuk merasa sedikit tenang.

Kumpulan yang tadi mengeliling kubur bergerak dan bersurai. Hanya tinggal beberapa orang yang duduk berteleku, masih menyiram air dan menabur bunga di atas kuburan yang membukit.

Seorang wanita separuh abad kelihatan mengongoi menangis. Meratapi kepergian si anak. Anak tunggal yang disayangi dan ditatang bagai minyak yang penuh selama ini. Dua orang lelaki yang duduk di sisi memaut bahunya. Membawa tubuh longlai itu berdiri bersama. Kepalanya bersandar di bahu lelaki bertubuh sedikit gempal, sementara tangan lelaki itu tak henti-henti mengusap bahu wanita tersebut cuba menenangkan gundah-gulana sedari tadi.

Lelaki muda yang bersama mereka mengemas tikar lalu mengambil jug dan bakul bunga di atas tanah. Bersedia untuk berlalu. Perlahan-lahan mereka meninggalkan kubur. Diperhatikan langkah mereka yang semakin hampir dengan tempat persembunyiannya.

Dia bertekad untuk bersemuka dan berterus terang. Sempat dia meniupkan semangat buat diri sendiri sebelum melangkah setapak keluar dari sebalik pohon.

"Mak ngah..." Dia bersuara perlahan. Berdebar dia menanti reaksi.

"Abang, Ita tak nak tengok muka betina ni!" Pandangan Puan Rozita dialih ke arah suaminya. Tidak sudi memandang wajah perempuan di depan. Lelaki di belakang juga sudah berpaling seakan jijik melihat dia berada di dalam ruang pandangan. Dia tidak menghiraukan kerana sudah sering kali pandangan itu diterima dari orang yang sama.

"Mak ngah..." Dia masih berusaha.

"Warda, pak ngah harap Warda faham. Jangan muncul lagi depan kami. Beri kami masa untuk bertenang." Tuan Malik bersuara. Lembut namun menusuk.

Itu yang dirasakan sekarang ini. Merasa seperti jantungnya dirobek dengan sebaris ayat itu.

"Pak ngah, maafkan Warda. Warda tak..."

Pangggg!

Belum sempat dia menghabiskan ayat untuk menerangkan duduk perkara sebenar, terasa ada tangan yang naik ke pipinya. Keras dan padu. Pijar seluruh pipi. Dua lelaki tadi hanya diam tidak menghalang.

"Kau berani mintak maaf. Apa maaf kau tu boleh hidupkan Bella semula?!" Jerkahan Puan Rozita betul-betul di tepi telinganya.

Warda masih tidak memalingkan wajah yang terteleng ke bahu kanan. Tak sanggup melihat setiap wajah di depannya yang memantulkan amarah dan kebencian. Luluh hatinya memikirkan insan yang sudah dianggap seperti ibu bapanya sendiri kini sudah membencinya.

"Kau berambus dari sini! Budak tak sedar diri! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Aku haramkan kau jejakkan kaki hina kau di kubur Bella!"

Pasangan itu mahu berlalu. Lantas Warda melutut memeluk kaki Puan Rozita.

"Mak ngah. Maafkan Warda. Jangan buang Warda... Warda dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni." Tersedu-sedan dia menangis. Kaki Puan Rozita dipeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

"Lepaskan aku!" Bergelut Puan Rozita menolak bahu Warda. Kakinya sendiri menolak tubuh itu menjauh.

"Maafkanlah Warda, mak ngah..." Warda masih berdegil. Memaut erat kaki mak ngah yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Tanah merah yang melekat di jubah hitamnya sudah tidak dipedulikan. Hanya keampunan yang dimahukan. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

"Sampai mati pun aku takkan maafkan kau!" Seiring ayat yang terpacul, Puan Rozita menolak keras dada Warda dengan lututnya.

Terlepas pautan Warda, lantas terduduk di atas tanah merah. Dadanya yang terasa perit akibat tolakan keras tadi diabaikan. Dia hanya mampu melihat pasangan itu menjauh disebalik matanya yang kabur. Perlahan-lahan dia mendongak melihat lelaki yang sedari tadi hanya senyap menjadi penonton.

"Nuf..."

"Jangan panggil aku lagi." Dingin suaranya sedingin wajahnya ketika itu.

"Maafkan Warda..."

"Tak perlu mintak maaf sebab aku takkan maafkan kau. Mulai hari ni, aku dengan kau tak pernah kenal antara satu sama lain." Dia bersuara mendatar namun tetap bergetar menahan amarah yang meluap-luap.

"Ingat ni sampai kau mati. Kau pembunuh, Warda. Pembunuh!" Lantas kaki itu melangkah besar meninggalkan Warda yang masih terjelepok di atas tanah.

Bagai halilintar, perkataan itu memanah tepat ke jantungnya. Dadanya terasa sesak. Tangan naik menekup dada.

Pembunuh.

Warda, kau pembunuh!

Terngiang-ngiang perkataan itu. Bergema memenuhi segenap pelusuk hati. Sungguh tak menyangka gelaran itu yang akan disandang.

Tanpa ada hakim untuk mengadili. Tanpa ada peguam untuk membela. Betul atau salah tidak dibicara. Terasa dirinya disumbat ke dalam penjara. Penjara tanpa palang besi namun masih tidak mampu meloloskan diri.

Kerana dirinya... Pembunuh!

Pembunuh Bella.

Bella yang disayangi dan dimanja oleh semua orang. Sedangkan dia hanya menumpang. Sayangnya, kini diri sudah terbuang.

Perlahan-lahan tangan Warda turun menongkat tanah merah. Menolak tubuh sendiri bangun dari duduk. Menggagahkan diri untuk berdiri. Tangannya beralih memaut batang pohon. Dadanya masih terasa sakit. Sakit secara fizikal. Terasa sesak dan berdenyut-denyut. Jantung berdetak laju.

Jangan datang lagi.

Not now!

Warda berbisik dengan diri sendiri. Menarik nafas sedalam-dalamnya. Tangan ditekap ke dada. Mengusap halus ibarat memujuk kesakitan agar berlalu pergi. Sebelah tangan lagi menyeka air mata di pipi.

Seolah memahami, sakit yang menjalar di dalam dada kembali beransur pergi. Matanya tertarah ke arah kubur Bella yang masih merah membukit.

Kakinya ingin melangkah, namun dia teringat kata-kata mak ngahnya sebentar tadi.

Aku haramkan kau jejakkan kaki hina kau di kubur Bella!

Tidak jadi dia meneruskan langkah. Kakinya diusung perlahan meninggalkan kawasan tanah perkuburan menuju ke keretanya yang diparkir di luar pagar. Pintu dibuka dan Warda masuk perlahan-lahan ke dalam Austin mini usang berwarna kuning peninggalan arwah ayahnya.

Dia mencapai senaskah Yasin yang memang sentiasa ada disimpan di dalam keretanya. Dibaca perlahan, berniat untuk disedekahkan kepada arwah Bella. Kadang-kala terdengar bacaannya tersekat-sekat ditemanai air mata yang kembali turun membasahi pipi.

Selesai berdoa, Warda menghidupkan enjin keretanya mahu bergerak keluar dari parkir. Deruman kuat enjin usang itu tidak mampu mengisi kesunyian dalam raganya. Tiada arah dia memandu.

Fikirannya kosong.

Sekosong jiwanya.

***

"Nuf, baliklah berehat nak. Mak dengan abah okay. Jangan risau." Tuan Malik bersuara sebaik tiba di rumah. Wajah Nuf yang sugul dipandang. Kesian dia melihat Nuf yang tidak bermaya. Sudahlah baru pulang dari Ireland semalam. Belum habis jet lag, ini pula yang berlaku. Tentu letih seharian menguruskan jenazah Bella.

Teringatkan Bella, hati tuanya kembali dihurung perasaan sayu. Dipandang pula wajah si isteri yang tersandar lesu di sofa.

"Tak apa abah. Nuf rasa, Nuf tak boleh balik rumah tu. Bila Nuf balik, mesti Nuf akan teringatkan Bella..."

...dan apa yang Warda dah buat pada Bella.

Terasa seperti hatinya umpama bara api ketika ini. Pantang ditiup imbasan memedihkan. Saat mata dijamu ulang-tayang yang menyakitkan. Terus menyemarakkan api kebencian dalam diri.

Wajah Warda yang merayu meminta maaf sebentar tadi langsung tidak berbekas di hati yang disaluti kebencian. Tak mungkin dia mampu lupakan semuanya dalam masa yang singkat. Atau mungkin selama-lamanya.

Kau dah khianati kepercayaan aku, Warda!

Sampai mati pun aku tak mungkin percayakan kau lagi...

Tangannya dikepal erat di atas riba. Amarahnya dikawal supaya tidak terlakar di wajah.

Tuan Malik mengangguk lemah mendengar ujaran Nuf. "Kalau Nuf dah cakap macam tu, pergilah naik bilik. Kalau bilik Bella tu pun mengingatkan Nuf pada Bella, nanti abah minta Mak Ilah sediakan bilik tetamu untuk Nuf."

"Jangan susahkan Mak Ilah, abah. Nuf boleh duduk bilik Bella je." Nuf bergerak duduk di sebelah ibu mertuanya. "Mak, mak pergi berehat dulu. Soal kenduri tahlil malam ni, mak jangan runsing. Biar Nuf je yang uruskan semuanya."

"Macam mana mak nak berehat Nuf? Hati mak ni tak habis fikir. Apa salah Bella sampai Warda sanggup buat Bella macam tu? Memang selama ni mak tak pernah anggap Warda tu sebahagian keluarga ni. Mak seksa dia, layan dia macam orang gaji setiap kali dia balik ke rumah ni. Tapi..." Puan Rozita kembali menangis. "Mak tak sangka dia sanggup balas dendam dengan cara macam ni. Bella tak salah, Nuf. Mak yang salah! Sepatutnya dia bunuh je mak. Bukan Bella..."

"Mak..." Nuf kehilangan kata-kata.

Tuan Malik datang menghampiri. Bahu isterinya dipeluk dan diusap lembut. Puan Rozita sambung mengongoi di dada suaminya.

"Sudahlah tu Ita. Tak baik meratap macam ni."

Memang tak dapat dinafikan layanan ibu mertuanya terhadap Warda sebelum ini agak keterlaluan. Kadang kala, kata-kata kesat turut dilemparkan. Semua orang di dalam rumah itu juga tahu, tetapi sengaja mengendahkan dan memekakkan telinga. Dahulu dia sering tertanya-tanya alasan ibu mertuanya bersikap begitu terhadap anak saudaranya sendiri.

Namun sekarang dendam lebih menguasai hati. Baginya, Warda memang layak dilayan sebegitu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience