Lilyrose 27 | Berdarah kembali

Romance Series 55089

Keikhlasan dan kesederhanaan
Sudah cukup membahagiakan

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Turun sahaja dari bas, Warda merasakan seperti seluruh dunianya berpelangi indah. Umpama terbang di awang-awangan. Ternyata penat lelahnya selama ini tak sia-sia.

Slip keputusan peperiksaan SPM yang berada di dalam genggamannya, dipegang erat bersama senyuman yang mekar di wajah. Sepanjang perjalanan pulang, beberapa kali juga dia hampir tersadung akibat terlampau asyik melihat huruf-huruf yang tersusun cantik di atas slip tersebut.

Tersenyum. Lagi dan lagi.

Terus, langit biru dipandang. Ajaibnya, dia seperti dapat melihat raut wajah papanya terlakar di dada langit. Tersenyum penuh bangga dengan kejayaannya.

Papa. Lily berjaya, pa. Satu langkah lagi, Lily akan dapat capai cita-cita Lily.

Slip dipeluk rapat ke dada.

"Macam mana, Warda?" Soal Tuan Malik sebaik melihat Warda muncul di muka pintu.

"Pak ngah tengoklah sendiri." Warda menghulur slip kepada pak ngahnya. Senyuman simpul masih tak lekang di bibir.

Tuan Malik menyambut namun belum sempat Tuan Malik membelek, Puan Rozita sudah merampas slip dari tangan suaminya.

Hampir tersembul biji mata Puan Rozita melihat slip di tangannya tapi pantas dikawal otot-otot di wajahnya agar tak ketara. Bibirnya dicebirkan.

"Alah, setakat straight A ni bukan boleh bawak kau ke mana. Kau tak payah nak bangga sangatlah Warda." Jengkel bunyinya. Dengan bersahaja, slip peperiksaan nipis itu dicarik dua dan direnyuk, lalu dicampak kepada Warda.

"Mak ngah!" Warda melutut dan mengutip kembali slip yang bergumpal di kaki. Remuk perasaanya, seremuk slip malang itu.

"Ita! Apa Ita buat ni?!" Tegur Tuan Malik seraya bingkas bangkit dari sofa yang didudukinya.

"Abang, Ita nak ajar dia ni je. Jangan ingat, dengan keputusan bagus tu dia boleh berjaya dalam hidup. Ramai lagi yang keputusan biasa-biasa je, tapi berjaya juga. Tu, tengok Bella tu. Berbekalkan rupa paras cantik dia tu, dia jadi pramugari berjaya tau. Merata ceruk dunia dia dah pergi. Kau tu? Masih terperuk dekat sini, mengharapkan duit suami aku nak menanggung kau belajar."

"Tu memang cita-cita Bella, mak ngah. Dari dulu memang dia nak jadi pramugari. Warda tak nafikan, Bella memang layak sebab dia cantik. Tapi Warda pun ada cita-cita Warda sendiri. Warda nak jadi dokt—"

"Hei, jangan beranganlah! Kau jangan berani lagi sebut pasal nak jadi doktor tu. Daripada dulu, doktor! Doktor! Sampai naik muak aku dengar! Kau ingat murah ke nak tanggung kau belajar medik tu?! Kau ada duit ke?!" Bentak Puan Rozita dengan suara yang memekik satu rumah.

Mata Warda menyoroti pak ngahnya, mengharap secebis pembelaan. Tubir mata mulai bergenang. Tubuh tak mampu dibawa berdiri, lalu dia kekal melutut di atas lantai.

"Hah? Aku tanya kau ni, kau ada duit ke?!"

"Ita, sudahlah tu. Biarlah dia belajar. Nanti bila dia dah jadi doktor, dia dah boleh tanggung diri dia sendiri. Abang dah tak perlu tanggung dia lagi." Tuan Malik mencuba pendekatan yang berbeza untuk memujuk si isteri.

Warda mengangguk laju, bersetuju dengan ujaran pak ngahnya.

"Mak ngah, Warda boleh kerja sambil belajar. Warda janji lepas habis belajar nanti, bila Warda dah jadi doktor, Warda akan bayar balik semua duit pak ngah. Mak ngah nak lebih pun Warda boleh bagi."

Puan Rozita mengertap giginya penuh geram sebelum meluru ke arah Warda. Tak sempat Tuan Malik menahan, Puan Rozita sudah menarik rambut dan menggoncang kepala Warda.

"Hish, kau ni! Geramnya aku!"

"Mak ngah, sakit." Rayu Warda. Tangan mak ngahnya dipegang namun cengkaman itu tetap terasa menyiat-nyiat kulit kepalanya.

"Hei, aku tak kemaruklah duit kau tu! Suami aku dah cukup kaya. Anak aku pun berjaya. Banyak duit!"

"Mak ngah—"

"Kau belum apa-apa lagi, dah belagak dengan aku!" Kini, pipi Warda menjadi mangsa pukulan Puan Rozita.

"Ita! Sudah!" Tuan Malik campur tangan. Kalau dibiarkan, mahu berlaku pembunuhan nanti.

"Sakit, mak ngah. Lepaskan Warda." Sedu-sedan Warda meletus.

"Sudah!" Tuan Malik menarik Puan Rozita yang sudah menggila. Tangannya merungkai genggaman isterinya pada rambut Warda.

Warda sendiri naik gerun melihat Puan Rozita seolah dirasuk. Dapat dilihat mata ibu saudaranya itu melihatnya dengan kebencian yang meluap-luap.

"Ita tak puas hati dengan dia ni, bang! Biar Ita ajar dia sebab dah terlampau kurang ajar! Kau dengan mak bapak kau, sama! Kurang ajar!" Cengkamannya dilepaskan dengan kasar. Ditunjal kepala Warda sehingga tersungkur dia menyembah lantai. Mujur ada permaidani tebal yang menyerap hentakan.

"Bawak mengucap, Ita. Ni bukan cara nak mengajar. Ni nak membunuh!"

"Ita tak peduli. Biar dia mati pun tak apa. Hidup menyusahkan orang! Kalau mati pun mesti menyusahkan orang. Sama macam mak bapak dia!"

"Mak ngah!" Warda bangun dengan rambut yang kusut-masai. Kepala masih rasa tersiat. Tapi hatinya lebih parah tersiat. Matanya pula hangat berpinar-pinar.

"Mak ngah nak marah Warda, mak ngah nak hina Warda, Warda boleh terima. Tapi tolonglah jangan libatkan mama dengan papa." Linangan air mata turun membanjiri pipi yang berbekas merah. Sedu-sedan mula berlagu.

"Mama dengan papa tak bersalah, mak ngah. Dia orang dah tak ada!"

Raungan Warda memenuhi ruang tamu bawah banglo mewah itu. Bahu terhinjut-hinjut menahan esakan yang masih juga terlepas disulami suara yang mulai serak.

Apa dosa mama dan papa?

Apa dosa dia?

Apa salah mereka sampai mak ngah membenci sebegitu rupa?

Kenapa?

"Kau kata tak bersalah? Hei, kau pergi gali balik kubur papa kau tu, tanya dia apa yang dia orang dah buat pada aku. Dahlah menyusahkan aku, lepastu tinggalkan pulak kau yang tak berguna sesen pun dalam keluarga ni!"

"Cukup, Ita! Cukup!" Pekik Tuan Malik nyaring. Dia memandang Warda pula.

"Warda, pergi naik sekarang!"

Air mata diseka dan esakan cuba dibendung. Dengan langkah yang panjang, Warda naik ke biliknya di tingkat atas dengan segera. Dua anak tangga dilangkau sekaligus. Dibawa bersama slip peperiksaan yang renyuk tadi dengan hati yang remuk redam.

"Abang dengar ni, Ita tak benarkan abang tanggung budak tu belajar medik! Ita tak benarkan! Ita takkan halalkan!"

Jeritan histeria mak ngah jelas kedengaran sebelum Warda menutup pintu biliknya. Tersandar dia di balik pintu. Perlahan-lahan, jatuh terjelepok ke lantai. Esakan yang cuba ditahan tadi, akhirnya terlepas kembali. Raungannya tenggelam di celah lutut yang dipeluk erat di dada.

Papa...

Lily nak papa.

Lily rindu pelukan papa, kata-kata semangat papa yang selalu hangatkan Lily.

Tak ada sesiapa yang sayangkan Lily lagi. Tak ada sesiapa yang pertahankan Lily macam yang papa lakukan dulu. Tempat Lily nak menumpang secebis kasih pun tak sudi sayangkan Lily.

Papa je yang dapat sayangkan Lily.

Kenapa papa tinggalkan Lily, pa?

Lily nak papa...

Boleh tak kalau papa datang peluk Lily? Sekali pun jadilah...

¤¤¤

Tiba-tiba, ada sepasang tangan yang melingkari tubuhnya dari belakang. Kehangatan itu menarik dia keluar dari imbasan sepuluh tahun lepas dan menghantar dia kembali ke alam realiti.

"Kau ni, kalau tak termenung sehari, memang tak sah kan?" Amna melepaskan pelukan dan bergerak ke depan Warda.

"Aku tengah bersiap ni. Mana ada termenung." Jawab Warda, acuh tak acuh.

"Eleh, tak termenung konon. Tu, baju pun tak butang lagi."

"Nak butanglah ni." Warda membawa rapat kedua pelipat bajunya untuk dibutangkan di bahagian dada.

Mata Amna sempat melihat parut panjang timbul yang menegak di tengah-tengah dada Warda.

"Sakit lagi, tak?"

"Apa?"

"Tu—" Amna memuncungkan mulut. "Parut tu."

Warda memandang sekilas kecacatan di dadanya itu sebelum sambung membutangkan bajunya dengan bersahaja.

Bercakap berkenaan parut pembedahannya, dia kini sudah boleh berlapang dada. Tiada lagi memori gelap yang terpalit dengan kewujudan parut tersebut. Kalau dulu, menatap parut itu sahaja akan mengingatkan dia dengan seribu keperitan. Sekarang ini, seksaan batinnya sudah mulai reda seiring luka zahir yang kian sembuh.

"Tak sakit dah." Warda menjawab sambil meletakkan selendang putih ke atas kepalanya. Dililit kemas bagi melindungi mahkota hitam miliknya.

"Eh, dia orang dah sampai ke?" Soal Warda pula sambil tangan masih lincah merapikan selendang di kepala.

Tak sabar dia mahu menyambut kunjungan wakil dari sebuah badan bukan kerajaan yang akan tiba menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan di kem itu hari ini. Ketua kumpulan mereka; Abang Zul dan isterinya; Kak Aisya sememangnya bernaung di bawah badan NGO tersebut yang bergiat aktif membantu pelarian Syria di Turki.

Malah, pengasas NGO tersebut juga merupakan salah seorang warga Syria yang sudah berjaya membina kehidupan baru di Istanbul. Atas kesedarannya, dia mengambil keputusan untuk membantu saudara senegara dan seagama yang kurang bernasib baik dengan mengumpul bantuan-bantuan dari seluruh dunia untuk disalurkan terus kepada kem di Reyhanli.

Jika di Malaysia, Abang Zul dan Kak Aisya yang dipertanggungjawabkan membawa sukarelawan dan mengumpul dana untuk badan persendirian itu. Kadang-kala, Warda kagum melihat kesungguhan pasangan itu. Sanggup meninggalkan kerjaya masing-masing yang sedang berada di puncak demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti kemanusiaan.

Melihat usaha merekalah Warda jadi sedar, cita-cita yang tidak kesampaian bukan tembok penghalang misi murni diteruskan. Jika dulu dia sering menganggap doktor itu satu pekerjaan yang mulia, namun kini dia tahu tangan yang diatas itu lebih berganda-ganda mulianya. Tak kira apa pekerjaan sekalipun, bukan alasan untuk tidak melakukan kebaikan.

"Abang Zul cakap, mungkin dalam 10 minit lagi dia orang sampai." Amna membelek jam tangannya.

"Ramai ke?"

"Tak pasti. Tapi dia cakap ada kumpulan media nak join sekali. Aku rasa, ramailah kut."

"Media?"

Amna angguk.

"Alah, biasalah kalau ada orang nak record video, tangkap gambar keadaan kat sini masa hantar bantuan. Untuk beritalah kut. Tak pun untuk letak kat Insta. Tak ada apalah, kau tak payah fikir sangat. Kita tolong je mana yang mampu. Boleh jugak kita menyelit dalam gambar nanti."

Warda bedecit halus.

Entah kenapa, keceriannya dibunuh sebaik mendengar ada kumpulan media yang akan turut serta.

"Dah kenapa kau ni?"

"Entah. Aku rasa tak sedap hatilah. Ada media pulak."

"Eii, mengarutlah kau ni. Orang tu semua datang nak sebarkan pada dunia tentang keadaan kat sini. Supaya ramai lagi yang boleh hulurkan sumbangan. Supaya orang ada kesadaran. Bukan nak buat benda tak baik."

Warda masih teragak-agak.

"Dah, dah. Jom. Tak payah fikir lagi. Kau tu memang suka overthinking tau." Muncung tudung Warda dibetulkan sedikit, lalu dia mengheret lengan Warda keluar dari khemah sukarelawan.

Warda hanya mengikut dengan fikiran yang sarat dan langkah kaki yang berat.

Dah! Tak payah fikir bukan-bukan, Warda. Betul kata Amna. Stop overthinking!

Lalu Warda meringankan langkah membontoti Amna.

***

"Hello Haidar, how?"

"Aku rasa kau kena datang sini. Senang sikit kita nak bincang"

"Why?" Mendengar ujaran Haidar di hujung talian, Nuf semakin tak keruan.

"Kau tak dapat nak tolong rawat kucing tu ke?"

"Kau datang jelah dulu. Tengok sendiri keadaan Oyen ni."

Nuf berdecit. Susah betul bercakap dengan orang yang suka berteka-teki ni.

"Okay, bila aku boleh datang jumpa kau?"

"Anytime. Aku ada je dekat klinik ni."

"Kalau macam tu, aku datang sekarang."

"Okay, datang tau. Confirm kau terkejut tengok Oyen."

Hah, sudah. Kenapa pulak aku kena terkejut?

Getus Nuf di dalam hati, namun dia malas bersoal jawab lagi.

Talian diputuskan dengan kadar segera. Gear ditolak masuk dan terus pedal minyak ditekan, menuju ke arah klinik haiwan kepunyaan Haidar.

Dia tahu yang dia boleh percayakan Haidar tapi dia sendiri mula tak senang duduk. Ingat lagi bagaimana Haidar membantunya merawat Oreo sehingga pulih beberapa tahun lepas. Sebab itulah dia mahu Haidar yang merawat Oyen kepunyaan Warda. Sudah hampir seminggu dia berulang-alik, membawa Oyen ke klinik Haidar. Cuma dua hari terakhir Haidar mencadangkan agar Oyen ditinggalkan di klinik untuk memberikan rawatan yang lebih intensif.

Gelisah mula merajai hati.

Tak mungkin Oyen...

Tak mungkin!

Baru sampai di pertengahan jalan, telefon tiba-tiba berbunyi minta diangkat.

Fateh.

Nuf hanya membiarkan. Dia tahu apa tujuan Fateh menelefonnya. Tak lain tak bukan, mahu menasihatinya berulang-ulang kali. Meminta dia berhenti menghukum diri sendiri. Merayu dia berhenti mempertaruhkan kerjaya yang dibina demi mengejar sesuatu yang tak pasti. Berkali-kali itu jugalah dia akan memekakkan telinga. Dan kali ini, dia juga akan melakukan hal yang sama.

Deringan dibiarkan termati sendiri.

Ting!

Notifikasi Whatsapp pula berbunyi. Sebelah tangannya membuka aplikasi sementara sebelah tangan lagi cekap mengemudi kereta.

Ada gambar yang dihantar oleh Fateh. Nuf menajamkan pandangan meneliti gambar yang terpapar sebelum dia membeliakkan mata seluas-luasnya. Lantas pedal brek ditekan dan kereta berhenti di bahu jalan dengan mendadak. Gambar yang terpapar itu difokuskan berkali-kali. Begitu juga dengan retina matanya.

Masih sama.

Akalnya juga masih memproses hal yang sama walau berkali-kali dia menatap.

Nyata dia tak tersilap pandang.

Tiba-tiba telefonnya berdering sekali lagi. Nuf tak menunggu walau sesaat untuk menjawab.

"Fateh, apa ni?!"

"Come to the hospital, then I'll explain. Our Chief Director wants to meet you too."

"Mana kau dapat gambar-gambar tu?! Bagitahu aku sekarang, siapa yang ambil gambar tu?!" Nuf bertanya, gopoh. Soal berkenaan Ketua Pengarah hospital yang ingin berjumpanya, langsung tidak dihiraukan.

"Datanglah sini dulu, baru aku akan cerita. Ada banyak lagi dengan aku ni. Video pun ada. Aku rasa kau mesti 'suka'." Fateh bermain tarik-tali. Sayangnya, Nuf tak dapat melihat senyuman nakal yang tersungging di bibirnya.

"Okey, aku datang sekarang jugak! Tunggu, jangan pergi mana-mana."

Fateh mula ketawa dihujung talian. Seperti telahannya, gambar itu berjaya mengumpan Nuf.

Telefon dicampak di tempat duduk sebelah. Memang dia mahu berjumpa Haidar namun niatnya dilupakan buat seketika. Buat masa ini, mendengar penjelasan Fateh lebih penting buatnya.

Kereta dipecut laju ke arah yang bertentangan dari tujuan asal. Jika memandu melebihi had laju itu sudah manjadi kebiasaannya, kali ini dirasakan memang luar dari biasa. Jika tidak memikirkan nyawa, dah tentu lampu isyarat merah pun akan dilanggarnya.

Semuanya angkara gambar itu, buat dia hilang sabar!

Lebih teruk, buat dia penasaran!

***

Dua minggu kemudian.

Pulang dari kelas petang itu, Warda mengikut tarikan tangan Aylan ke satu kawasan lapang yang menjadi padang permainan kanak-kanak di kem itu.

Kosong.

Tiada sebarang kemudahan. Sekadar dilengkapi permainan kotor seperti lumpur dan pasir, sudah cukup membuatkan mereka gembira. Kalau ada yang lain pun, mungkin permainan lusuh yang dikongsi antara satu sama lain. Hasil sumbangan mereka yang prihatin.

Aylan menolak Warda untuk duduk di atas batu sementara dia berlari semula ke arah khemah kediamannya, lantas hilang di sebalik pintu kanvas. Berpusing kepala Warda bersama dahi yang berkerut melihat telatah Aylan. Dari arah belakang kawasan penempatan, muncul Amna menjijit satu beg plastik yang agak besar. Warda memerhati sehingga Amna berjalan menghampiri dan melabuhkan punggung di sebelahnya.

"Boyfriend kau tu pergi mana?" Soal Amna pelik. Sempat dia melihat Aylan menghilang di dalam khemah dengan terkocoh-kocoh tadi.

"Entah. Aku pun tak tahu. Dia tolak aku duduk sini, lepas tu terus dia lari masuk dalam khemah dia." Warda ketawa kecil sambil menjongketkan bahu.

"Tu, apa yang kau bawak dalam plastik tu?"

"Jajan dengan biskut nak bagi budak-budak ni ha. Kan dua minggu lepas banyak dia orang hantar makanan? Ada lebih lebih, tu yang aku keluarkan. Sambil budak-budak ni main, boleh makan." Ujar Amna sambil tangannya lincah membuka ikatan plastik.

Sementara Amna memanggil kanak-kanak yang lain untuk beratur di depannya dan mengambil makanan, Warda terasa ada seseorang mencuit bahunya.

Dia berpaling.

Tersentak dia melihat sekuntum bunga betul-betul di depan mukanya. Bunga yang aneh tetapi unik. Tak pernah dilihatnya sebelum ini. Yang jelasnya, kelopaknya berwarna merah jambu.

Cantik!

Bunga itu dihulur kepadanya oleh Aylan yang tersenyum lebar. Warda sambut dengan senang hati.

"Syukran." Bisik Warda. Rasa terharu penuh membayangi anak matanya.

Dia tetap berterima kasih meskipun dia sendiri tahu Aylan tak mampu membalas ujarannya. Kepala Aylan yang terangguk-angguk, diusap penuh kasih sayang. Sempat dia menghidu kuntuman bunga pemberian Aylan.

Harum mewangi.

Telunjuk kecil Aylan menunjuk ke arah Warda dan bunga itu bersilih-ganti. Lalu, dirapatkan kedua jari telunjuknya. Entah apa maksudnya, Warda sendiri tak mengerti. Berkali-kali diulang isyarat yang sama namun Warda masih tak memahami.

"Aww, romantiknya! Jealous aku!" Celah Amna dengan nada yang sengaja dilebih-lebihkan.

Warda menghantar jelingan bangga ke arah Amna. Dia tertawa kecil.

"Ishh, janganlah kacau moment romantik kami. Kan Aylan?"

Seolah memahami, Aylan deras mengangguk.

"Eleh!" Cuma itu balasan Amna.

Warda tahu Amna sudah mati kutu untuk membalas, tambah-tambah apabila melihat dia mendakap Aylan ke dalam pelukan, malah didudukkan kanak-kanak itu di atas ribanya.

"Okey, tak apa. Tunggu sekejap ye Aylan." Memang Aylan tak memahami, tapi nada Amna tetap bersungguh-sungguh. Entah apa yang dirancangnya.

Warda menanti dengan kerutan terlakar di dahi.

Amna mula mengoyak plastik biskut dan menghulur di depan muka Aylan. Apabila Aylan mahu mencapai, dia pantas melarikan biskut dari gapaian tangan kecil itu.

"Amna! Jahatnya kau." Warda menampar kuat peha Amna.

Amna mengaduh sambil menggosok pehanya yang rasa berbirat, lalu ketawa. Dia menghulur plastik biskut kepada Aylan kembali dan disambut gembira oleh Aylan.

Sekali lagi Warda terharu apabila Aylan mengunjuk biskut hampir di bibirnya, isyarat agar dia turut makan bersama.

Sudah menjadi lumrah di sini. Biarpun kekurangan, rezeki tetap akan dikongsi bersama-sama.

Bagi menjaga hati Aylan, Warda mengigit sedikit.

Aylan tersenyum lebar dan menyentuh pipi Warda.

Begitu juga Warda.

Ah, bahagianya...

Dia mahu selama-lamanya di sini.

Di sini yang penuh kasih sayang. Tiada sengketa atau dendam yang merantai jiwa.

Papa, Lily rasa Lily dah jumpa kebahagian yang sebenar. Bukan harta, bukan pangkat, bukan darjat pengukur kebahagiaan tapi keikhlasan dan kesederhanaan itu sudah cukup membahagiakan. Lily bersyukur, Lily belajar sesuatu yang sangat bermakna hari ni. Lily akan ingat sampai Lily mati, pa.

Hati kecil Warda berbisik hiba.

Amna yang menyakat dari tadi juga turut tersentuh melihat kemesraan keduanya. Sentimental menyelebungi hati.

"Assalamualaikum Warda, Amna." Suara Abang Zul yang garau itu memecah detik syahdu mereka.

"Waalaikumsalam." Jawab mereka serentak. Lantas keduanya bangun dari duduk dan mengibas punggung sedikit sebelum berpaling ke belakang.

Warda memanggung pandangan dengan senyuman yang masih mekar di wajah. Tapi sebaik melihat gerangan yang berdiri di sebelah Abang Zul, senyuman yang menguntum tadi pantas layu. Pandangannya kaku di wajah itu.

Anak mata gelap di depan turut kaku memandangnya.

Jantung Warda terasa mahu meletus, dan dia merasakan parut lama berdarah kembali.

###

p/s: psttt, korang rasa siapa yang datang tu? Gambar apa pulak yang Nuf tengok tu? Ada tak yang tak sabar tunggu next update? ^_^

Share this novel

Syahferi Suhana
2020-06-17 16:10:59 

Nuf dtg.. Cinta berputik.. Huhu

Angah Ajalah
2020-06-17 15:00:27 

updatelah banyak lg...pleas

Qaiqin
2020-06-17 13:56:20 

nuf la tu..ouchh. .updt lg mlm ni..i love u ..muahhhh22


NovelPlus Premium

The best ads free experience