Lilyrose 11 | Kalah lagi

Romance Series 55089

Wajarlah diri tidak dipercayai
Kerana amanahnya aku khianati

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Awak tak kenal saya. Jadi, awak tak ada hak langsung nak menilai saya." Warda menyambung. Tak mahu dia mengalah dengan lelaki itu kali ini.

"Tak perlu kenal kau pun, aku dah cukup tahu orang jenis apa kau ni." Seperti jijik, lengan Warda dilepaskan.

Warda terkelu seketika. Putus idea untuk membalas.

"Saya tak pernah peduli apa yang orang lain fikir tentang saya. Terutamanya, awak. Saya langsung tak peduli."

Akhirnya itu yang terkeluar. Tak cukup kuat hujahnya untuk melumpuhkan pihak lawan. Terbukti apabila Nuf ketawa sinis.

"Mungkin kau dah lupa lepas enam bulan tak dengar perkataan ni. Hari ni, aku tolong ingatkan kau semula." Gigi dikancing dan mata Nuf mulai memerah.

"Kau pembunuh, Warda. Pembunuh." Rahang bergerak tanpa disedari.

Tercabar dia dengan ujaran Warda tadi. Jadi, gelaran itu diulang lagi hari ini supaya Warda sedar diri. Agar melekat di ingatan gadis itu.

Walaupun tempat duduk superbike yang agak rendah menjadikan Warda lebih tinggi berbanding dirinya, namun masih dia yang mendominasi keadaan.

"So, masih tak peduli lagi?" Nuf menyambung.

Warda senyap.

Renungan yang bertaut sedari tadi masih tidak dilepaskan. Penuh kelukaan yang mahu disembunyikan.

"Aku tak pelik kalau dengan gelaran pembunuh tu pun, kau masih tak peduli. Sebab kau memang tak berhati perut." Suara Nuf sudah tidak setegang selalu. Namun ketajamannya masih mampu merabakkan sekeping hati milik gadis itu.

Bibir dan dagu Warda mulai bergetar. Yakin yang kemenangan memang tak akan berpihak kepadanya.

Lagi dan lagi.

Sama seperti sebelum ini.

Sama seperti petang tadi.

Lawanlah sekental mana, pukullah sekuat mana, akhirnya tetap dia yang akan kalah kepada lelaki itu. Dan akhirnya hati sendiri yang perit.

Terluka.

Terseksa sendiri.

Kerana alasan atas kepergiann Bella tak mampu terucap dengan kata-kata. Bimbang dikata meraih simpati. Risau diri makin dibenci.

"So, anak kucing ni, aku yang akan jaga. Sebab aku dah tak percayakan kau lagi."

Jika tadi dirabak, kini hati Warda rasa diremuk-remuk.

Memang patut diri ini sudah tidak dipercayai lagi, kerana amanahnya aku dikhianati.

Tangisan membanjiri hati tapi tidak sekali-kali terluah di tubir mata. Sudah tekadnya tak akan membiarkan lelaki itu melihat kelemahannya.

Warda hanya mampu melihat Nuf menarik turun zip jaketnya. Anak kucing yang sudah lemah itu dimasukkan ke dalam jaketnya di hadapan perut lalu zip ditarik naik separuh sehingga ke paras bawah dada.

Yang peliknya, anak kucing itu langsung tak mengiau malahan tak bergerak-gerak di sebalik jaket seakan selesa dengan kehangatan yang disalurkan.

Lebih memelikkan, Nuf langsung tak kelihatan jijik dengan bulu kucing yang diselaputi air longkang yang mungkin mengotorkan kemeja dan jaket mahalnya.

Nuf merenung Warda, menunggu jika ada sebarang bantahan dari Warda namun gadis itu masih terpaku berdiri. Riak keruh yang terlakar di wajah itu jelas dipenglihatannya namun enggan dipedulikan. Hatinya sudah terlalu keras untuk bersimpati, apatah lagi menyesali. Kata-kata yang terluah untuk wanita itu langsung tidak mencerminkan peribadi seorang doktor yang seharusnya merawat, namun sebaliknya meninggalkan luka yang terdalam di hati seorang insan.

Helmet dipakai dan enjin superbike dihidupkan. Garang kedengaran bunyi enjin apabila pedal minyak dipulas terus-terusan. Lalu superbike itu dipacu laju pergi meninggalkan Warda yang masih mematung di sisi jalan.

Ditinggalkan sendirian bersama hati yang rawan, Warda terpaksa memujuk batin sendiri yang meringgis sakit. Menampal luka-luka di jiwa yang ditinggalkan doktor itu dengan kata-kata bujukan buat diri sendiri.

Ujaran Bella suatu masa dahulu terlintas di benak Warda yang masih kebingungan.

"Apalah yang kau suka sangat dengan kucing ni, hah Warda? Dahlah kotor, bulu terbang sana, terbang sini. Berak merata. Gelilah aku. Nuf tu pun jijik dengan kucing tau. Jangan haraplah dia nak bagi binatang kotor ni ada kat dalam rumah kami."

Nuf?

Jijik dengan kucing?

***

Tiga bulan kemudian.

"Oreo!" Nuf memanggil sambil berdecit berkali-kali.

Berlari datang seekor kucing gebu berwarna hitam putih dengan langkah yang sedikit pincang.

Nuf ketawa kecil melihat Oreo mengiau kelaparan.

Kepala Oreo diusap sebelum dia menghulurkan mangkuk makanan. Oreo langsung tunduk mengunyah makanan dari dalam mangkuk.

Leka Nuf memerhati tubuh yang sudah kelihatan montel berbanding beberapa bulan lepas. Jika dulu hanya sebesar tapak tangan sewaktu ia diselamatkan dari dalam longkang, sekarang sudah berkali ganda besarnya.

Sihat dan aktif. Cuma kakinya yang tersepit besi berat itu tak boleh dirawat.

Ingatan tentang Bella tiba-tiba menerpa masuk ke dalam fikirannya.

Jika Bella masih hidup dulu, jangan harap isterinya itu akan membenarkan sebarang haiwan terutamanya kucing berada di dalam rumah. Pantang sungguh dia dengan makhluk yang satu ini.

Telefon yang berdering tiba-tiba menyentak Nuf ke alam realiti. Dia bangun dan menuju ke sofa. Punggung dihenyak dan telefon pintarnya dicapai sebelum dibawa ke telinga.

"Hai, Nuf."

"Yes, Zara. Ada apa call I ni?"

"You off day kan hari ni?" Zara bertanya teruja.

"Hmm." Nuf menjawab malas.

"Tamankan I pergi shopping."

"Tapi..."

"Please..." Suara dilirihkan berharap Nuf bersetuju.

Nuf diam. Jam dinding dijeling sekilas. Sebenarnya, dia ada urusan penting lain yang harus diselesaikan. Dan kalau ikutkan hatinya, malas dia mahu membazirkan hari cutinya dengan aktiviti yang paling tidak digemarinya.

Shopping.

Shopping untuk diri sendiri sahaja dia sudah malas, apatah lagi untuk menemani orang lain.

Kalau Bella dahulu, hanya diunjuk kad kredit, pandai dia pergi sendiri tanpa ditemani.

Tanpa sedar, keluhan berat terlepas dari bibir.

"Nuf, please... Takkan you nak duduk terperuk je kat rumah."

"No. I sebenarnya kena bawa mak mertua I pergi check-up and physiotherapy sebab ayah mertua I tak ada hari ni."

"Oh, really? Kalau macam tu, I ikut you, boleh? Sebab I bosan sebenarnya duduk dekat rumah."

Nuf kering idea mahu mengelak lagi.

"Let me pick you up. Naik kereta I je. Okay?" Zara mengusul cadangan.

Nuf mengeluh lagi.

"Okay. You come around ten. I tunggu you." Lambat-lambat Nuf membalas.

Tepat pukul 10, Zara sudah tiba di ruangan menunggu kondo mewah Nuf. Senyuman lebar terukir di bibir gadis itu. Nuf membalas ala kadar. Selepas berbasa-basi, Zara terus memandu ke rumah Puan Rozita. Mak Ilah muncul di muka pintu menolak Puan Rozita yang duduk di atas kerusi roda sebaik Nuf dan Zara sampai. Tunduk dia mencium tangan Puan Rozita diikuti Zara.

"Aunty ingat saya lagi tak? Saya yang rawat arwah Bella dulu." Sapa Zara ramah. Wajah cengkung itu ditilik lama.

Lain benar keadaan Puan Rozita beberapa bulan lepas dengan yang dilihat kini. Kelihatan tubuhnya juga sudah jelas susut dengan anggotanya yang lumpuh sebelah.

Puan Rozita mengerang kecil. Tak terluah suaranya dengan otot mulut yang tertarik.

"Okaylah. Kami pergi dulu, Mak Ilah."

Mak Ilah mengangguk.

Nuf mencempung tubuh Puan Rozita masuk ke dalam kerata Zara. Dibetulkan kedudukan Puan Rozita agar selesa. Kerusi roda dilipat masuk ke dalam bonet. Terus Zara memandu ke arah hospital. Sebaik tiba, kerusi roda dikeluarkan semula dan Nuf mengangkat Puan Rozita lalu didudukkan di atas kerusi roda. Perlahan Nuf menolak kerusi roda melepasi pintu masuk utama. Zara menurut di sebelah.

Buk!

Terlepas plastik ubat yang dibawa Warda. Tulang keringnya sakit yang teramat akibat terlanggar kerusi roda yang tiba-tiba muncul dari sebelah kiri. Salahnya juga, terlampau gopoh berjalan menuju keretanya mahu mengejar shif selepas temu janji dengan Dr Alvin tadi.

"Maaf, maaf! Saya ta—" Tergamam Warda. Automatik sakit di kakinya terasa hilang sekali gus. Plastik di lantai dikutip kembali.

Gerangan yang menolak kerusi roda itu amat dia kenali. Berbulan rasanya Warda mengelak dari bertemu lelaki itu, tapi hari ini dia tak mampu apabila sudah berdepan begini.

Pandangan dikalih merenung wanita yang duduk di atas kerusi roda.

Familiar.

Tapi tubuh lesu dan cengkung itu sudah tidak seperti dahulu. Wajah herot itu langsung menghapus figura seorang wanita anggun yang pernah dikenalinya. Kali terakhir yang diingatinya, wanita itu masih kuat dan mampu berdiri menggunakan kedua kakinya. Tapi hari ini...

"M—mak ngah." Setapak Warda melangkah menghampiri. Teragak-agak dengan penerimaan manusia di depannya.

Mahu menyalami tangan itu, dia takut.

Apatah lagi mahu merangkul tubuh mak ngahnya.

Sungguh dia takut dengan reaksi mereka. Tambahan dengan pandangan orang di sekeliling yang masih memerhati drama pelanggaran sebabak tadi.

Hatinya tak dapat dielak dari dihurung sebak.

"Kenapa dengan mak ngah?" Perlahan suaranya seolah-olah tidak percaya dengan dengan pandangan matanya sendiri. Renungan Warda tak henti memandang atas bawah tubuh Puan Rozita.

"Zara, you tolong bawakan mak dulu. Tingkat dua. Nanti sekejap lagi I datang." Nuf akhirnya bersuara, mengarah Zara. Teragak-agak Zara menolak Puan Rozita pergi.

Pandangan Warda masih melekat sehingga kerusi roda hilang disebalik pintu lif.

"Kenapa dengan mak ngah?" Warda bertanya lagi. Kali ini tubuhnya berpusing menghadap Nuf.

Nuf memandang sekeliling. Menyedari masih ada beberapa orang yang memerhati, dia bergegas keluar dari pintu utama. Warda mengikut di belakang sehingga ke kawasan yang sedikit tersorok di sebelah bangunan hospital.

"Awak tak dengar ke soalan saya?"

"Aku belum pekak lagi."

"Berapa lama mak ngah dah sakit? Kenapa tak ada seorang pun yang bagitahu saya keadaan mak ngah?"

"Rasanya aku tak payah jawab kut soalan kau tu. Kau lagi tahu kenapa tak ada seorang pun yang bagitahu kau." Matanya dikecilkan merenung Warda.

"Kenapa? Sebab saya dah dibuang? Saya tak kisah kalau dia tak nak tengok muka saya ni. Tapi, at least tell me. Mak ngah tu, mak sedara saya. Saya dah anggap macam mak saya sendiri!"

"Tapi mak tak pernah anggap kau macam anak dia. Anak dia seorang je selama ni. Lagipun, kau rasa, dia nak ke kau tahu yang dia sakit?"

"Sebab tu, mak ngah dirawat kat sini? Bukan di hospital sana, sebab tak nak saya tahu?"

"It's good that you know."

"Tapi sampai bila semua orang nak sorokkan hal ni dari saya? Nak tunggu sampai saya mati? Macam tu?" Tanpa sedar, itu yang terkeluar dari mulut Warda akibat ditekan perasaan sebak.

"Why not? Kenapa? Kau dah nak mati sangat ke?"

Tersentak Warda. Nafasnya dihela tajam manakala bibir diketap.

Mestikah dia jawab soalan tu?

Warda perasan anak mata lelaki itu menyoroti plastik ubat di tangannya. Cepat-cepat dia menyorokkan plastik ke belakang tubuhnya sambil melangkah setapak ke belakang . Jauh di sudut hati, Warda tahu yang Nuf tak akan pernah ambil kisah hidup dan matinya. Mungkin lebih cepat dia mati, lebih baik bagi lelaki itu. Atau mungkin juga bagi semua orang.

Tiba-tiba Nuf menggeleng.

"Tapi kau tak boleh mati lagi, Warda. Aku tak akan biarkan kau mati lagi." Tiba- tiba Nuf berbisik perlahan.

Tersentak Warda buat kali kedua. Anak mata lelaki itu direnung seperti mencari makna ujarannya.

"Kau tak boleh mati selagi—"

Belum sempat Nuf menyudahkan ayat, telefonnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Pandangannya masih melekat ke wajah Warda sewaktu panggilan dijawab.

Warda lantas melarikan wajah. Tak sudi dipandang sebegitu rupa oleh mata milik lelaki itu.

Judgemental!

Kutuk Warda di dalam hati.

"Hmm?"

Nuf terdiam beberapa ketika mendengar pemanggil bersuara.

"What?!"

Bukan hanya Nuf yang terkejut, Warda juga turut terkejut mendengar nada yang tiba-tiba meninggi. Tak tenteram rasa hati Warda menunggu. Risau kalau-kalau berkaitan mak ngahnya.

"Okay, I'm coming right now. 20 minutes." Terus talian dimatikan.

Jelas kerutan di wajah Nuf. Warda mahu bertanya tapi tak terluah di mulut.

"Kau nak pergi mana lepas ni?"

Warda menjeling jam tangannya.

"Saya nak pergi kerjalah."

"Good. Bak kunci kereta kau." Tangan ditadah ke arah Warda.

"No! Why should I?!" Warda mengelak. Entah apa tujuan lelaki itu mahukan kunci keretanya. Yang penting, dia takkan benarkan Nuf menyentuh keretanya!

Warda mula melangkah laju meninggalkan Nuf. Kunci kereta dikeluarkan dari beg. Belum sempat dia masuk ke dalam Cik Pisang, kunci di tangannya tiba-tiba dirampas kasar. Berpusing Warda bersama kerutan di dahi. Tak sempat dihalang oleh Warda, Nuf sudah masuk dan terus duduk di tempat pemandu dalam keadaan kalut.

"Nuf, keluar sekarang! Awak buat apa ni?"

Terkial-kial Nuf mahu mengidupkan enjin. Warda masih tak berganjak di sisi menghalang dari pintu ditutup.

"Nuf! Keluar!"

"Shut up!"

Tergamam Warda mendengar Nuf bertempik.

Nuf mendongak merenung Warda yang terkebil-kebil pelik.

"Kau nak ada seorang lagi mati disebabkan kau ke? Cepat masuk!"

"Siapa?" Warda bertanya, sinis. Jangan harap dia akan mengalah dengan lelaki itu yang suka-suka hati memperlakukan keretanya seperti hak sendiri.

"Boleh tak jangan banyak tanya? Kau nak pergi kerja ke tak nak, sekarang ni? Kalau nak, cepat masuk." Nuf sudah hilang sabar.

Akhirnya enjin si Austin mini kuning itu berjaya dihidupkan setelah bersusah-payah mencuba dari tadi.

"Biar saya yang drive." Warda mengalah namun meletakkan syarat setelah yakin yang Nuf betul-betul perlu segera ke hospital.

"No. Aku yang akan drive." Nuf bertegas. "Cepat masuk. Kalau tak aku tinggalkan kau."

Nuf menolak tubuh Warda sedikit supaya dia dapat menutup pintu. Warda tercengang.

Ni kereta aku ke, kereta dia?

Warda menggeleng, dalam hati berdongkol geram. Bergegas dia masuk dan duduk di tempat penumpang. Belum sempat Warda menutup pintu sepenuhnya, Nuf sudah menekan minyak kuat. Meluncur keluar dari kotak parkir. Terhenyak Warda di tempat duduk.

Warda memerhati dengan ekor matanya. Nuf tekun memandu dengan kelajuan paling maksima. Enjin usang Cik Pisang mengaum kuat seperti terseksa lagaknya. Ada ketika badan kereta mini itu bergegar-gegar seperti nazak gayanya.

Sabar jelah, Cik Pisang.

Sudah hampir separuh jalan, Nuf mengeluarkan telefon dari dalam poket seluarnya. Jarinya bergerak seperti mendail nombor seseorang sebelum diangkat rapat ke telinga.

"Hello, Zara. I'm sorry, I terpaksa susahkan you. I need to rush to the hospital now. One of my patients is having an internal bleeding. I have to perform an immediate surgery. So, I nak mintak tolong you uruskan mak. You just tanya di kaunter unit neurologi di tingkat dua tu, they will assist you."

Warda mencuri dengar. Barulah dia tahu apa yang membuatkan Nuf beria-ia mahu segera ke hospital.

"Yes. I tak tahu berapa lama I akan di hospital. You bawak mak balik dulu nanti. I'll call you later."

Nuf senyap lagi mendengar bicara Zara di hujung talian. Sebelah tangan masih ligat mengawal stering.

"Thanks, Zara. Sorry terpaksa susahkan you. You seorang je yang I boleh harapkan dan percaya sekarang ni."

Entah kenapa, Warda rasakan ayat yang terakhir itu cukup menyinggung perasaannya. Pandangan dilontarkan keluar tingkap, berpura-pura tidak ambil peduli walaupun hati rasa tertoreh.

Sedarlah diri, Warda...

Terima hakikat yang dia memang dah tak percayakan kau lagi...

###

> Teaser next chapter <

Warda tahu Nuf juga sudah mulai berang. Jelas di pandangannya, dada Nuf turun naik sementara anak mata gelapnya tajam menikam.

Tapi, Warda tak peduli!

"Mind you manners! Tak ada guna kalau belajar tinggi melangit, tapi adab sesama manusia pun awak tak khatam. Dan jangan ingat, pangkat dan duit awak tu cukup besar sampai awak boleh buat sesuka hati awak!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience