Lilyrose 15 | Melampau

Romance Series 55089

Akal waras tidak lagi berfungsi
Lantaran dendam menakluki hati

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Alif!!!"

Jeritan Warda bergema lantang.

Terlepas beg kertas ditangannya, terus dia meluru ke arah Alif yang sudah tidak sedarkan diri di bahu jalan bersama lopak darah.

"Alif! Alif, bangun!" Warda memangku Alif. Pipi anak itu ditepuk berkali-kali. Cemasnya tak terkata. Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut sudah mula mengerumuni.

Nuf tergesa-gesa keluar dari kereta, lalu ditolak beberapa orang yang menghalang laluan. Hampir terbuntang biji matanya melihat tubuh terkulai yang sudah berada di dalam pelukan Warda.

"Alif!"

Nuf lantas melutut. Tangannya mendarat di segenap tubuh Alif dari kepala, muka dan seluruh badan dalam debaran menggila yang memukul dada.

Warda angkat pandangan. Sekali lagi dia terkejut melihat gerangan di depannya.

Nuf!

"Awak yang langgar dia?"

Terketar suara Warda membendung amarah.

"Apa yang awak dah buat ni?!" Bahu Nuf ditolak kasar tanpa menunggu jawapan dari lelaki itu.

"Aku tak sengaja!" Nuf membentak. Nafasnya senteng, menahan debar.

Warda mengetap rahangnya, nafas ditarik, bersedia untuk melepaskan marahnya yamg begitu menggunung!

"Nuf, cepat bawak dia pergi hospital!" Suara panik Zara yang muncul dari tepi seperti menyedarkan dua manusia itu dari terus bertekak dalam keadaan genting.

Seolah baru tersedar dari disampuk jembalang, Nuf segera mengangkat Alif dari pangkuan Warda. Orang ramai bergerak memberi laluan. Tanpa berfikir panjang, Warda turut masuk ke dalam kereta Nuf seraya memangku Alif di tempat duduk belakang.

Tiada waima sesaat pun dibazirkan. Pergerakan mereka semua terkocoh-kocoh bagi menyelamatkan satu nyawa yang tidak berdosa. Si pelaku apatah lagi. Nuf memecut laju Audi sport miliknya ke arah hospital. Sekali-sekala dia menjeling Alif dan Warda melalui cermin pandang belakang sementara stering kereta digenggam seeratnya. Tangkai hatinya dijerut-jerut rasa bersalah menyebabkan Alif sebegitu.

"Alif! Alif dengar suara kakak tak?" Pipi Alif ditepuk berkali-kali, namun dia masih tidak sedarkan diri.

"Aliff. Bangun Alif. Tengok Kak Warda ni, sayang."

Dipeluk rapat kepala Alif di dadanya. Ada darah yang mengalir dari sisi kepala Alif mengotorkan bajunya tetapi Warda enggan menghiraukan. Baginya, nyawa Alif lebih penting sekarang ini berbanding penampilannya yang kini berlumuran darah.

"Alif! Alif, bangunlah. Ya Allah—"

"Awak, relaks. He will be okay." Zara berpaling dari kerusi depan, cuba menenangkan Warda yang sedari tadi tak henti-henti meratib nama Alif.

Sejujurnya, suara lembut Zara tetap tidak dapat menenangkan hati Warda waima sesaat, malah buat dia mahu segera sampai ke hospital.

Tak henti-henti Warda berdoa sepanjang perjalanan yang dirasakan cukup lama. Jiwanya benar-benar tidak dapat tenteram buat masa ini. Sesampai betul-betul di hadapan unit kecemasan hospital, Nuf mengangkat Alif keluar dari kereta sebelum dibawa masuk dan diletakkan di atas stretcher. Sekumpulan paramedik laju menolak stretcher tersebut masuk ke dalam bilik rawatan.

Mundar-mandir Warda di hadapan pintu yang ditutup rapat. Kadang-kala dia duduk, sesaat kemudian berdiri kembali sebelum cuba mengintai di cermin kecil yang terdapat di pintu. Sesekali dia meraup rambutnya dan menggigit kuku. Tapak tanganya sudah merembeskan peluh dingin. Darah yang bertompokan di baju sudah tidak dihiraukan. Fikiran sepenuhnya bersama Alif yang berada di dalam walaupun jasad Warda sendiri terkurung di luar.

Tanpa Warda sedari, setiap perlakuannya menjadi perhatian. Nuf bersandar di dinding sambil tangannya diseluk ke dalam kocek chinosnya. Anak matanya tak lepas mengikuti segala kelakuan gadis itu. Di sebelahnya, Zara setia menemani sambil mengusap-usap lembut lengan kekar Nuf. Barangkali, cuba menenangkan.

"Zara, I rasa baik you balik dulu." Nuf menoleh sekilas ke arah Zara. Sejujurnya, dia sendiri kurang selesa dengan wanita itu yang asyik menempel dari tadi.

"No. Takkan I nak tinggalkan you dalam keadaan macam ni?"

"It's okay. I can handle this myself."

"No, I'll stay with you." Tegas Zara.

Suara Zara yang ditekan tinggi, menarik perhatian Warda untuk memandang. Dua manusia yang berdiri di depannya direnung bersilih-ganti, namun sebaik Nuf menjeling ke arahnya, sepantas kilat Warda melarikan anak matanya.

Nuf meraut tengkuk sambil melepaskan keluhan berat. Namun beban di dadanya tidak terasa berkurang walau sedikit pun. Fikirannya bercelaru dihantui rasa bersalah yang menggunung terhadap anak malang itu.

Macam mana boleh jadi macam ni, Nuf?! Apa yang kau fikir sampai boleh langgar anak orang ni?

Wajah dan rambutnya diraup penuh sesalan. Rambutnya yang lebat, dikepal erat di belakang kepala.

Kali ini dia tidak lagi betah bersandar. Dibawa tubuhnya berulang-alik di depan pintu bilik. Pintu ruang kecemasan itu sememangnya kaku, namun di sebaliknya ada penyaksian sebuah penentuan genting.

Penentuan hidup atau mati.

Tak, tak boleh! Alif tak boleh mati!

Masih terbayang sengihan Alif tadi. Bagaimana dia begitu teruja bercerita.

Baju baru untuk ibu.

Nuf menggeleng. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia merempuh pintu di depannya. Kesabarannya sudah semakin meruncing apabila pintu tiba-tiba ditolak dari dalam.

Nuf mendahului. Warda yang sedari tadi tak senang duduk, bingkas bangkit dan meluru. Zara juga turut serta menghampiri.

"Macam mana dengan Alif, doktor?" Gopoh Warda menyoal sebaik doktor muncul di sebalik pintu.

"Puan ni, ibu dia?"

Teragak-agak Warda menggeleng.

"So, puan ni siapa?" Soal doktor sedikit pelik.

"Errr—saya kakak dia." Sempat Warda menjeling untuk melihat reaksi Nuf namun lelaki itu tetap menayang muka bersahaja.

Doktor mengangguk faham.

"Nasib dia baik sebab tak ada sebarang tulang yang patah atau retak. Cuma, kepala dia terhentak agak kuat di jalan semasa accident. Dia kehilangan banyak darah. Kami perlukan penderma sebab blood bank kami kekurangan darah sekarang ni—"

"Saya boleh dermakan darah saya." Tawar Warda, segera.

"Darah cik jenis apa?"

"Darah saya AB."

"Tapi kami perlukan darah jenis O."

Warda kelu. Terlupa dia seketika hakikat yang darah jenis AB hanya boleh didermakan kepada orang yang berdarah AB sahaja. Tidak seperti orang yang berdarah O, boleh mendermakan darah mereka kepada sesiapa sahaja. Terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti sekarang, darah jenis O memang sangat-sangat diperlukan.

"Darah saya O." Nuf yang diam sedari tadi tiba-tiba menyampuk.

Warda angkat pandangan. Bertaut dengan anak mata Nuf yang juga sedang tepat merenungnya.

"Ambil darah saya." Sambung Nuf lagi.

"Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Encik boleh ikut nurse untuk buat ujian saringan dahulu."

Nuf mengangguk setuju. Tanpa membuang masa, dia mengekori seorang jururawat ke satu arah sementara doktor masuk semula ke dalam bilik, sekaligus meninggalkan Warda terkebil-kebil.

Nyata Warda mahu membantah tapi dia masih rasional. Nyawa Alif perlu menjadi keutamaannya. Kalaulah dia punya pilihan lain, sudah tentu setitis darah lelaki itu pun dia tidak mahu bercampur di dalam tubuh Alif.

Malangnya, hanya itu sahaja jalan yang dia punya untuk menyelamatkan nyawa Alif. Merelakan darah lelaki itu sebati bersama darah Alif.

Kenapalah aku berdarah AB, dan bukannya O?!

Giginya diketap geram.

"Are you okay?" Suara Zara memecah hening.

Warda menoleh dan mengeluh sedikit. Dia menjauhi Zara lalu duduk semula di kerusi. Barulah dia berasa sedikit tenang dan dapat bernafas dengan lapang. Sekurang-kurangnya dia tahu Alif tidak parah seperti bayangannya.

"Sorry kalau I salah. If I'm not mistaken, you ni—Warda kan?" Tebak Zara tiba-tiba. Dia juga melabuhkan punggung di kerusi bertentangan. Kaki panjangnya disilang penuh keanggunan.

Warda panggung pandangan. Tak disangka soalan tersebut yang muncul dari mulut doktor itu.

"Macam mana awak kenal saya?"

Zara ketawa kecil tanpa diketahui punca.

"I Zara, doktor arwah sepupu you, Bella." Terang Zara, ringkas.

Ya. Warda tahu. Tapi bukan itu soalannya. Dia mahu tahu, dari mana doktor itu mengenalinya. Mustahil melalui Bella.

"Dia dulu selalu cerita pasal you pada I. Lepas Bella meninggal, baru I betul-betul dapat kenal you secara berdepan. Itupun melalui Nuf."

Warda mengecilkan mata.

Melalui Nuf?

Jangan kata Zara tahu berkenaan kejadian yang melibatkannya dengan kematian Bella. Tapi, segalanya mungkin. Zara yang merawat arwah Bella dulu, dan dia sekarang ini adalah kekasih Nuf. Jadi besar kemungkinan Nuf sudah ceritakan segalanya kepada Zara. Mungkin sekarang, pada pandangan mata bundar itu, aku juga seorang pembunuh? Dan...apa pula yang diceritakan Bella kepada Zara?

Minda Warda berteka-teki sendiri. Soalan-soalan yang tidak terlontar di mulut, berlumba-lumba masuk ke dalam fikirannya.

Gulp.

Warda telan air liur likat.

Zara masih menanti reaksi Warda. Apabila Warda masih senyap membisu, Zara terus menyambung ujarannya.

"Sorry kalau apa yang I cakap ni buat you terasa, tapi I don't think that you macam apa yang Bella pernah cakapkan sebelum ni."

Sudah...

Ini yang membuatkan Warda semakin tertanya-tanya.

Apa yang Bella katakan kepada Zara berkenaan dirinya?

"Maksud awak?"

"You seem like a nice person to me. Tak sama langsung dengan apa yang Bella cakapkan sebelum ni." Zara jongket bahu dan senyum sedikit.

"Apa yang Bella dah cerita pada awak?"

Zara tersenyum.

"Nothing much. Cuma, I know both of you were not fond of each other."

Warda hela nafas. Tanpa sedar, dia menggeleng perlahan.

"Tapi Bella—"

"Ops, sorry." Pintas Zara tiba-tiba. Dia menyelongkar ke dalam tas tangannya sebaik telefon pintarnya berbunyi.

"Excuse me."

Tanpa mendengar balasan Warda, terus telefon pintar dilekapkan ke telinganya. Setelah Zara membalas sepatah dua kata, Warda dapat mengagak panggilan itu datang dari hospital.

"Okay. I'm coming." Zara memutuskan talian dan menoleh ke arah Warda.

"Sorry, I need to go. I ada emergency case di hospital."

Warda mengangguk faham.

"By the way, it's really nice to know you."

Warda senyap terkelu untuk membalas. Hanya senyuman hambar dipamerkan kepada wanita di depannya. Zara tak kurang membalas sebelum berlalu dengan langkah yang deras.

Setelah Zara pergi, Warda berteleku seorang diri. Wajahnya ditekup dengan kedua belah telapak tangan dan diraup lembut. Rambut panjangnya pula diraut dan dicekup sebelum dibawa lepas di bahu sebelah kanan.

Malas dia mahu memikirkan perihal Bella yang masih menjadi tanda tanya. Fikirannya melayang semula bersama Alif.

Kak Azi.

Apa yang aku nak jawab kepada Kak Azi nanti?

Satu lagi persoalan yang mengganggu benak Warda.

Kepalanya disandar lesu ke dinding sambil mata terpejam lemah. Hampir-hampir dia terbuai lena, namun bunyi derapan tapak kasut di lantai yang bergema dalam ruang yang sunyi dan hening itu terus mencelikkan mata Warda. Tegak lehernya memerhati Nuf menyeret langkah dan melabuhkan punggung di kerusi yang diduduki Zara sebentar tadi, betul-betul di hadapannya.

Warda melarikan pandangan. Lidahnya keluar membasahkan bibir yang tiba-tiba sahaja terasa kering. Bulu romanya meremang sendiri. Satu reaksi tindak balas yang sukar difahami Warda sendiri setiap kali berdepan lelaki itu. Walaupun Warda tidak melihat, tapi dia tetap dapat merasa gerak-gerinya diperhatikan sepasang anak mata gelap yang dipenuhi curiga.

"Bawa aku jumpa mak budak tu."

Mencerlung mata Warda. "Budak tu ada nama. Alif."

Hujung bibir Nuf bertongkat naik. Sengaja menambah sakit di hati Warda.

"Okay. So, bawa aku jumpa mak dia."

"Awak nak buat apa jumpa mak dia?"

"Tak ada kena mengena dengan kau. Kau siapa dengan Alif tu?" Sindir Nuf sinis.

"Oh, saya tahu." Pintas Warda tanpa mempedulikan sindirian lelaki itu. "Awak rasa awak dah selamatkan Alif, jadi awak nak mak dia rasa terhutang budi pada awak? Bayar awak, sebagai 'upah' sebab dah selamatkan anak dia? Macam tu?"

Warda sendiri tak mengerti tujuan dia berkata sebegitu, cuma yang dia tahu, dia sengaja mahu menyakitkan hati lelaki itu.

Nuf lantas tegak di tempat duduk.

"Aku tak rasa mak dia ada fikiran kolot macam kau, Warda!"

"Awak yang ajar saya berfikiran 'kolot' macam ni, Doktor Nuffaiq. Awak nak bayaran, beritahu saya. Saya boleh bayar. Tak perlu libatkan mak dia dalam hal ni!" Sengaja Warda mencucuh api di hati Nuf.

Ternyata berjaya apabila kemarahan lekaki itu meletus.

"Kau dah melampau, Warda!" Nuf lantas bangun dan telunjuknya tegak ke arah Warda. Namun suaranya tetap dikawal agar tidak meninggi. Panas sungguh hatinya dituduh sebegitu!

"Saya? Melampau?" Terdongak Warda melihat Nuf berdiri tinggi di depannya. Mata dipicingkan merenung lelaki itu.

Warda bangun perlahan-lahan berhadapan Nuf yang sudah merah padam mukanya. Urat-urat yang mulai timbul di pelipis lelaki itu langsung tidak menggentarkan Warda.

"Tanya diri awak sendiri, siapa yang melampau? Entah-entah, awak memang sengaja nak langgar Alif, kan?" Bisik Warda.

Alang-alang dia sudah melampau, biar dia terus dilihat keterlaluan di mata Nuf. Biar lelaki itu tahu bagaimana rasanya dituduh atas kesalahan yang tidak disengajakan.

"Sebab awak nak balas dendam dekat saya, jadi awak sengaja langgar Alif." Tuduh Warda. Sebenarnya, memang itu yang terlintas di benaknya sedari awal kejadian tadi. Tapi, mungkinkah Nuf sanggup melakukan semua itu?

"Hei, aku tak sekejam tu! Jaga mulut kau."

"Macam mana saya nak tahu yang awak betul-betul tak sengaja terlanggar Alif tadi?" Tak berkelip mata Warda memandang tepat kedalam anak mata gelap milik lelaki itu.

"Kalau aku betul-betul sengaja, aku takkan langgar Alif." Nuf berjeda. Dia melangkah lebih rapat ke arah Warda.

"Aku langgar kau."

Berubah raut wajah Warda. Otot-otot disekitar muka dan lehernya yang tadi menegang, kini mengendur akibat disuntik kesedaran.

Dalamnya kebencian Nuf terhadap dirinya.

Besarnya dendam lelaki itu kepadanya.

Entah bila Nuf berlalu, dia juga tak tahu. Sedar-sedar, dia sudah ditinggalkan terpaku bersama air mata yang berlinangan lesu menuruni pipi. Lantas Warda menyeka kasar dengan telapak tangannya.

Tak perlu sedih, Warda. Kau dah lama tahu hakikat tu. Jangan biarkan air mata kau menitis lagi disebabkan dia!

"Cik."

Warda drastik menoleh. Doktor yang merawat Alif awal tadi sudah terpaku di hadapan pintu, memandangnya dengan penuh hairan.

"Ya, doktor?" Warda menghampiri.

"Cik okay?"

Warda mengangguk kecil sambil cuba menstabilkan semula nafasnya.

"Macam mana dengan Alif, doktor?"

"Alhamdulillah. Setakat ni, semuanya okay. Alif kami dah pindahkan ke ICU sementara waktu, untuk pemantauan rapi. Cuma, hari ni kami tak benarkan sebarang lawatan keatas pesakit. Lagipun kemungkinan besar, esok baru Alif sedar. Cik boleh datang semula esok dengan ibu dia."

Warda senyum lega.

"Terima kasih, doktor."

"Sama-sama." Sempat doktor itu tersenyum manis ke arah Warda sebelum dia berlalu.

Lega sungguh rasa hati Warda. Namun kelegaannya hanya singgah sebentar. Memikirkan Kak Azi yang pasti kebimbangan membuatkan Warda kembali dihimpit gelisah. Bergegas dia pergi meninggalkan hospital. Hentian bas dituju walaupun ada beberapa pasang mata memandang jelik ke arahnya. Baru disedari yang bajunya berlumurah darah yang sudah mengering.

Hanyir dan menjijikkan!

Warda menyelongkar ke dalam beg. Sebaik telefon pintarnya dijumpai, nombor Fahmi terus dihubungi. Hanya sahabatnya itu yang terlintas di benaknya. Beg tangannya dipeluk ke dada untuk melindungi tompokan darah yang berbekas di baju.

Sekian lama menunggu, panggilan masih belum dijawab. Semakin dia gelisah dengan pandangan manusia sekeliling yang memandang pelik ke arahnya. Tak betah lagi untuk terus berada di situ, lantas Warda berlalu bersama tangan yang masih memeluk erat beg di dada. Dia mengambil keputusan untuk menunggu teksi di seberang jalan. Menaiki teksi mungkin lebih baik dalam keadaan begini, berbanding menaiki bas yang pastinya dipenuhi ramai orang.

Sedang Warda memulakan langkah di bahu jalan, ngauman enjin yang muncul dari sebelah kanannya buat kaki Warda serentak terkejung. Tiba-tiba sahaja ada sebuah kereta berwarna putih memecut laju ke arahnya. Semakin hampir dengan tempat Warda berdiri, kereta itu dirasakan semakin laju.

Warda kaku.

Sekelilingnya juga umpama membeku.

Namun belum sempat kereta itu merempuh Warda, bunyi geseran tayar pada jalan berturap nyaring kedengaran. Mendadak kenderaan itu berhenti kurang semeter dari Warda. Tubuhnya yang sudah siap sedia untuk menerima hentakan, bagaikan longlai. Sendi-sendinya seakan goyah dan lumpuh lalu dia terjelepok duduk di atas jalan dengan nafas yang menggila walau sedikit pun kereta tidak menyentuh tubuhnya. Detakan jantung begitu ganas menghentam dada.

Ketaran masih melanda seluruh tubuh lalu pandangannya diangkat melihat ke arah pemandu di dalam kereta. Dari celahan rambut serabai yang menutupi separuh wajahnya, Warda masih dapat melihat dengan jelas.

Nuf!

Dan renungan lelaki itu disebalik cermin kereta, seperti menyampaikan amaran keras kepadanya. Kata-kata Nuf tadi mulai terngiang.

"Kalau aku betul-betul sengaja, aku takkan langgar Alif. Aku langgar kau!"

###

p/s: dipersilakan mencarut haha -_-' hmm disebabkan harini cuti dan saya pun boring, jom kita main satu game nak tak? korang cuma perlu komen pendapat, perasaan, apa yang korang rasa akan jadi lepas ni (TAK NAK ada perkataan 'terima kasih', 'best', 'update banyak lagi' atau seumpamanya) haha maaflah saya cerewet sebab kalau korang komen macam itu, saya tak tahu nak reply apa >_< cukup 10 orang yang berbeza komen untuk harini, saya akan up lagi satu chapter lagi malam ni..kalau lebih dari 10, saya boleh consider untuk update petang..tapi kalau tak cukup 10, hmm saya update esok atau lusa je ya :)

Share this novel

Angah Ajalah
2020-06-07 19:26:21 

sampai bila nuf benci warda..

Masnida Nordin
2020-06-07 14:22:53 

sy tak prnah komen novel ni tapi sy suka jalan cerita


NovelPlus Premium

The best ads free experience