Lilyrose 20 | Ironi

Romance Series 55089

Ada rasa yang cuba dinafi
Lantaran ego yang menakluki

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Tet...tet...tet...tet...

Bunyi yang cukup kuat tetapi tidak membingitkan, datang dari monitor paparan tanda vital pesakit seperti menghantar frekuensi kecelaruan yang hebat ke dalam jiwanya.

Sungguh, celaru yang sukar dirungkaikan. Dari mana punca dan sumber yang menjadi kekusutan.

Terkaku dia merenung sekujur tubuh yang masih nyenyak terbuai di alam lena selepas pertarungan nyawa.

Berbekalkan tangan magisnya, 'hidup' menewaskan 'kematian'.

Bersaksikan kepakarannya, 'harapan' menumpaskan 'penderitaan'.

Seperti selalu, itu yang akan didendang-dendangkan. Hatta, kebolehan itu sering menjadi kebanggaannya sendiri.

Tapi, kini...

Dengan kekemasan kepalan tangan magisnya, turut dirasakan ranap kesemuanya.

Kebanggaannya...

Musnah! Punah!

Apa jenis permainan takdir yang terpaksa dihadapnya lagi? Apa yang ingin ditunjukkan Tuhan kali ini?

Tapi bila difikir-fikirkan kembali, kemusnahan itu bukan keseluruhannnya terletak di pihaknya. Baru lagi dia menuntut hutang darah yang belum terlangsai dari gadis itu, kini ditambah hutang nyawa turut harus ditanggung. Bertimpa-timpa hutang gadis itu kepadanya lantas memberi kelebihan dipihaknya.

Entah apa yang merasuk dia, agendanya seakan sudah tersedia. Hanya tinggal dilaksana.

Tanpa disedari, bibirnya tersenget penuh sinis. Namun, dasar matanya tetap dibayangi rasa yang tak terluah.

Tersembunyi keperihan yang cuba dinafikan.

Cerminan jiwa bergolak yang cuba ditolak.

Enggan mengakui mahupun akur lantaran ego yang menakluki.

Nuf tertunduk menongkat katil. Hanya bicara bisu tercipta sehala menembusi kelopak mata yang terkatup rapat di bawahnya.

"Doktor." Tegur seorang jururawat yang baru masuk ke dalam unit rawatan rapi.

Nuf tidak membalas. Malah tidak berkutik. Wajah yang separuh tertutup dengan alat bantuan pernafasan di atas katil kekal direnung sehingga naik hairan jururawat tersebut. Dari selepas pembedahan tadi dia perasankan perubahan doktor itu.

"Doktor Nuffaiq." Dia menegur lagi.

Nuf tersentak lalu pandangannya diangkat.

"Ada masalah dengan pesakit ni ke?"

Terlepas keluhan, terus dia menggeleng dengan kekeliruan yang masih berselirat dan memberat di dalam kepala. Tubuhnya menegak lalu tangan yang tadi menongkat di sisi katil dibawa bersilang di dada bidangnya.

"Dah call human resource department regarding this patient?"

"Sudah, doktor." Dia mengangguk kecil. "Tapi, tak ada sebarang rekod waris." Menggeleng pula.

Mata Nuf tajam mengecil.

Hairan, mengapa Warda tidak menamakan mak ngah dan pak ngahnya sebagai waris.

"Rekod perubatan dia yang lampau pun memang tak ada dalam sistem kita. Maksudnya memang bukan pesakit hospital ni."

Senyap.

"Tapi, kalau ikutkan semasa dia dijumpai tu, keadaan injap jantung dia ni bukan baru start sebulan dua. Mungkin dah dua ke tiga tahun. It has worsen a lot." Ujar jururawat itu lagi ditambah sedikit info yang diperoleh dari Doktor Fateh tadi.

Nuf mendengar, tapi tidak mengambil kisah.

"Oh, tapi kami ada dapatkan nombor telefon beberapa orang kawan dia yang mungkin boleh dihubungi. Ni doktor..." Sambung jururawat itu sambil menghulurkan sehelai kertas kepada Nuf.

Tanpa menyambut, kertas itu sekadar direnung kosong.

"Beri pada Doktor Fateh. Mulai hari ni, pesakit ni akan ditukar kebawah pemantauan Doktor Fateh. Not me."

"Tapi, kenapa doktor?"

"Don't ask. Just do it." Arah Nuf mendatar sebelum dia berlalu. Namun sempat dia berpaling semula apabila tiba di depan pintu.

"One more thing. Note this. Semua kos pembedahan dan rawatan dia, will be put on me."

Lantas dia berlalu meninggalkan jururawat itu terkebil-kebil dengan dahi yang berkerut seribu.

***

Kelopak mata Warda terkebil lemah. Irisnya belum disesuaikan untuk menerima cahaya setelah seharian lebih dibiarkan lena namun begitu, korneanya masih dapat memproses persamaan uniform jururawat yang berdiri di sisinya.

Sama.

Terlalu sama dengan yang sering digunakannya sebelum ini. Sebaik sedar sepenuhnya, dia diterangkan perihal pembedahannya. Bermakna, dia dibedah di sini...

...dan oleh doktor yang bertugas di hospital ini.

Jadi...

...siapa yang bertanggungjawab membedah jantungnya?

Siapa?

Dalam gemuruh yang bergendang hebat, dia sabar menanti jawapan.

"Doktor Nuffaiq Wildan."

Tersekat air liur Warda di kerongkong mendengar nama yang meniti di bibir jururawat itu. Kelopak matanya yang tadi terkebil lemah, tercelik seperti sudah terlupa cara untuk berkelip. Fungsi tubuh pula seolah-olah lumpuh.

"S-s-siapa?" Warda tergagap. Sejujurnya, kaget.

"Doktor Nuffaiq Wildan. The best and hottest heart surgeon in town. Semua orang kat hospital ni kenal dia. Takkan awak tak kenal? Awak nurse di hospital ni jugak, kan?"

Air liur yang tersekat tadi, ditelan dengan payah.

Bukan tidak kenal.

Sebaliknya, dia kenal. Teramat kenal.

Tapi, a-apa?

J-jantung ini...

Dia?

Mengapa harus dia?

"Awak bertuah sebab Doktor Nuf yang bedah jantung awak."

Warda termanggu dalam pilu.

Merintih dalam bisu.

Bertuahkah dia?

Sehabis daya Warda mahu menggeleng, menafi hakikat. Atau jika mampu, dia mahu lenyap terus dari situ. Tapi setiap pergerakkan anggota tubuhnya termasuklah tangannya mendatangkan kesakitan yang teramat menyeksakan. Tambahan pula, wayar dan tiub-tiub yang berselirat di tubuhnya membataskan pergerakannya. Warda hanya mampu meratap hiba dalam tubuh yang terpenjara.

Bala apa pula yang menimpanya kini?

Sebaik matanya tercelik tadi, dia dikhabarkan dengan berita pembedahannya. Sudah terlihat cerah mentari yang akan menyinari hari-hari depannya. Bersama injap jantung yang baru, dia melihat harapan baru. Kehidupan yang baru. Mungkinkah tamat sketsa deritanya, bakal berganti bahagia?

Namun sebaik nama doktor itu dipetik, cerah tadi jelas berubah sirna.

Hancur berkecai harapannya.

Punah-ranah impian bahagianya.

Tak cukup itu, bebanan turut ditambah ke atas pundaknya. Perkara yang paling hendak dijauhi, nyata menjadi realiti.

Atau, ini semua mimpi? Kalau benar mimpi, dia mahu cepat-cepat bangun. Biarlah berdepan realiti yang menyakitkan berbanding terus lena dengan bebanan yang membarah di dalam dada. Dia lebih sanggup bangun dengan jantung yang masih parah daripada terus dibelenggu rasa bersalah.

Tapi, mustahil ini semua mimpi kerana kesakitan yang dialaminya terasa sungguh nyata. Dadanya begitu sakit sekali.

"Tak, nurse!" Bergetar suara Warda, seiring tangannya berusaha menarik hujung uniform biru laut jururawat yang berdiri di sebelahnya.

"Cik, jangan bergerak. Nanti boleh bleeding."

Biarlah mengalir pendarahan sekalipun, jiwanya lebih parah berdarah ketika itu.

Setitis air mata hangat mulai bergelinangan gugur dari hujung mata, melalui pelipis Warda yang berurat hijau, tampak jelas disebalik kulit putih pucatnya.

"Tak! Tak mungkin! Ni s-semua tak b-betul kan?" Racau Warda, lemah. Tangannya menarik-narik cadar dan menumbuk lesu permukaan katil sementara bahunya dipegang oleh jururawat.

"Bertenang, cik."

"Tak mungkin—" Rintihan Warda tak berkesudahan.

Tanpa berfikir panjang, butang kecemasan di kepala katil ditekan. Tak sampai sepuluh saat, pintu wadnya ditolak deras.

"Doktor Nuffaiq."

Spontan Warda berhenti menumbuk katil namun jemarinya masih kejap menggenggam cadar dengan ketaran yang maha hebat, setanding denyutan kuat di dalam dadanya. Wajah Warda terpaling ke arah bertentangan. Matanya terpejam menghapus air mata yang masih bertakung di birai mata.

"Leave."

Sepatah kata yang membuatkan degupan jantung Warda terhenti sejenak meskipun bukan ditujukan buat dirinya.

"Tapi doktor, dia—"

"Leave. Now."

Tubuh Warda terketar. Serentak perintah doktor itu, terdengar bunyi derapan tapak kasut menghampiri dan berhenti betul-betul di sisi katilnya. Pautan di bahu dia melonggar sebelum dilepaskan sepenuhnya oleh jururawat yang memegang tadi.

"Doktor nak saya panggilkan Doktor Fateh?" Ragu-ragu, jururawat itu menyoal.

"No need. Just leave."

"B-baik, doktor."

Sejurus, terdengar langkah tergesa-gesa keluar dari wad bersama geseran tayar troli di lantai, seraya meninggalkan hening yang menjadi jurang keduanya.

Sedetik.

Dua detik...

Nuf masih enggan bersuara.

Warda juga masih membisu seribu bahasa.

Sungguhpun begitu, aura ketegangan antara keduanya jelas dirasakan.

"Warda."

Suara Nuf menembusi gegendang telinganya.

Entah kenapa, namanya yang meniti di bibir lelaki itu kedengaran asing. Terkandung getaran yang memaksa Warda berpaling untuk melihat. Bebola mata lembabnya menyoroti setiap gerak-geri gerangan yang berdiri di sisi dengan jantung yang berdetak laju.

Tanpa sebarang amaran, Nuf menunduk memaku kedua telapak tangannya di birai katil.

Membulat mata Warda ditumpahkan renungan tepat dari atas. Menusuk tajam namun tersimpan seribu misteri. Anehnya, Warda tak melihat dendam di anak mata itu, meskipun kebencian masih terbias dipermukaannya.

Segalanya cukup jelas.

Keliru dia dengan apa yang dipertonton. Tak seperti selalu, ke mana pergi dendam yang selalunya gelap membayangi anak mata itu?

"What an irony, huh? Nikmat kan, dapat bernafas lagi?"

Seperti dapat mengagak hala tuju bicara lelaki itu, Warda terkelu seribu bahasa buat kesekian kali.

"Kenapa kau diam?" Soalnya lagi apabila dibalas sunyi.

"Kau tak rasa ke semua ni ironi?"

Jeda.

"Nak tahu kenapa aku rasa semua ni ironi?"

Kening Warda terkerut hairan. Dalam masa yang sama, menahan sakit yang melistrik di seluruh tubuh.

"Hutang darah Bella pun tak terlangsai lagi, instead, you owe me your life."

Kini, riak Warda mengendur ditampar kesedaran.

Mengapa?

Mengapa setiap kali dia disedarkan oleh hakikat kebencian lelaki itu, setiap kali itu juga segenap inci hatinya bak ditusuk sembilu? Padahal dia sendiri tahu, kebencian dan kesumat lelaki itu memang tak akan pernah berubah dari dulu.

"Warda."

Tangan yang tadi menongkat di birai katil beralih ke bahu Warda. Secara tak langsung, memaksa Warda memaku pandangannya.

"Aku nak kau lunaskan hutang darah kau tapi sebaliknya, aku yang selamatkan nyawa kau. Kenapa kau, Warda? Kenapa?"

"Tak—" Balas Warda lesu bercampur sakit. Dadanya benar-benar sakit bagai dirobek-robek ketika itu.

"Saya pun tak nak semua ni jadi. Saya tak nak—" Dia tergeleng lemah. Khudratnya tiada buat dia melawan seperti selalu.

Nuf kembali berdiri tegak sekaligus melepaskan pautannya di bahu Warda. Tangan kasarnya naik meraup muka. Jiwanya rasa berkecamuk. Simpulan dalam dadanya terasa kusut.

"Kau nak biar aku rasa bersalah dengan Bella seumur hidup aku, yang aku dah selamatkan kau? Puas ke hati kau sekarang ni, Warda? Puas?!"

"Habis tu, awak nak apa? Nak tengok saya mati? Then, kill me. Bunuh je saya ni. Awak memang dah lama nak tengok saya mati, kan? Bunuh saya supaya awak dah tak rasa bersalah pada Bella lagi."

Tangan Warda menggenggam sisi kot putih Nuf dan direntap-rentap ke arahnya.

Nuf hanya berdiri kaku. Sambil dia menyoroti riak wajah Warda, tangannya bergerak menyeluk kocek di pinggang kot putihnya. Ada sesuatu berkilau yang keluar dari poket, menyapa pandangan Warda yang baring separas sama.

Objek yang ditarik keluar terlayar di ruang mata. Tergamam dia dengan apa yang dilihatnya.

Skalpel.

Sejurus, masa seolah terhenti. Otak seakan tepu untuk berfungsi. Nafasnya hilang sementara mata terkebil kurang percaya. Pandangannya teralih merenung muka lelaki itu pula.

"Bunuh kau?" Sinis. "Lepas tu, kotorkan tangan aku ni?"

Bibir Warda bergetar. Tak mampu lagi disembunyikan seperti sebelum ini.

"Apa guna skalpel tu, kalau bukan sebab awak nak bunuh saya? Teruskan Nuf kalau itu boleh buat awak puas hati! Kalau itu mampu tebus dosa saya pada awak, bunuh saya!" Entah dari mana Warda disuntik kekuatan, senafaz sahaja dia melafaz.

Mendengar Warda yang mulai hanyut terbawa emosi, Nuf mengangkat tangan yang memegang skalpel tadi. Sebelah tangan lagi merungkai cengkaman Warda pada kotnya lalu dibawa rapat keduanya.

Warda memejamkan mata. Jika nyawanya kehendak lelaki itu sebagai bayaran hutang darah Bella, dia rela. Andai dengan cara itu mampu menghentikan sengketa, dia pasrah. Sekiranya mati mampu menghentikan derita dan nestapa, dia sedia.

"Aku takkan sesekali cemarkan tangan aku sendiri."

Tanpa disangka, skalpel tadi dipindahkan ke dalam genggaman Warda. Sejuk menyentuh kulitnya. Mata Warda kini terbuka dan renungannya tertumpu ke genggaman sendiri, tertancap pada bilah skalpel yang diberi.

"Tapi kalau mati yang kau nak, siapa aku untuk halang?"

Berderai hati Warda ibarat kaca terhempas ke batu. Berkecai, tak mungkin bercantum kembali.

Hancur luluh.

Pedih.

Kenapa tak terperi sungguh kesakitan yang dirasanya? Senak dada seolah-olah tiada taranya. Waima, bekas luka pembedahan jantungnya juga tak sepedih ini. Malah jika dikumpul-kumpul semua kesakitan sepanjang dua tahu lalu, rasanya masih tak terbanding dengan yang ditanggungnya kala ini.

Pandangan yang sarat luka berpindah ke wajah Nuf. Warda erat mengenggam skalpel milik lelaki itu sehingga ke satu tahap, terketar tangannya menahan ledakan emosi.

Mata keduanya bertaut. Berbicara duka dalam kesunyian yang penuh kesenduan.

Dalam kebisuan, Warda merintih hiba.

"But it's all up to you. Kau boleh terus hidup dengan rasa bersalah, atau kau sendiri yang tamatkan semua ni. Only then, I'll forgive you."

Kejam!

Licik lelaki itu mengambil kesempatan diatas rasa bersalah yang menebal didalam dirinya. Melepaskan diri sendiri sekaligus memindahkan seratus peratus kesalahan ke atas dirinya. Menuntut dia melunaskan hutang.

Darah dan nyawa.

"Kalau saya mati, baru awak puas hati kan? Awak tak perlu rasa bersalah pada Bella lagi, kan? Dan awak tak akan terseksa tengok muka saya lagi, betul tak?" Soal Warda, lirih hampir tak terluah.

Dia menanti jawapan lisan tapi pandangan mata Nuf cukup menjawab soalannya.

Nuf dihambat rasa yang enggan mengalah dalam pertempuran jiwa dan akalnya sendiri. Kewarasan bukan lagi tunjang utama apabila dikuasai hasutan.

Warda sendiri tak sedar bila Nuf berlalu keluar. Meninggalkan dia bersendirian dengan rasa remuk-redam, bersama sebilah skalpel tergenggam erat di tangan.

Penglihatannya tertancap ke arah bilah tajam yang berkilau disimbahi terang cahaya. Namun, mungkin ada kisah gelap yang bakal dicoret oleh bilah yang sama.

Entah di jantungnya yang bersalah.

Atau di pergelangan tangannya.

Mungkin juga di lehernya.

Tinggal memilih mana satu yang mungkin kurang menyakitkan. Paling tidak, memudahkan kepergiannya.

Yang mana satu, Warda?

Yang mana?

Tak semena-mena, air mata Warda tumpah membanjiri kedua-dua belah pinggir pipinya lalu membasahi bantal. Mengerekot dia tanpa mempedulikan sakit di luka pembedahan. Sakit yang memulas-mulas dalam dadanya ketika itu lebih menyeksakan.

Tangisan pilu bersama esakan yang meruntun kalbu memenuhi ruangan bilik. Jika didengari, penuh ratapan yang menghibakan.

Mata Warda terpejam erat. Ketaran tangannya tak dapat dibendung lagi. Perlahan-lahan tangan yang memegang skalpel digerakkan ke atas dan berhenti hampir di bawah rahangnya.

Hujung bilah tajam itu terasa sejuk menyentuh kulit.

Bisikan mula kedengaran apabila jiwa hilang pedoman. Iblis bersorak riang melihat manusia menjulang perasaan, sekaligus mengenepikan iman.

###

p/s: Gosh, I'm so sorry for making this scene. I know it's too hurtful. Ya, cerita ni memang berat dan akan jadi lebih berat lagi nanti. Saya tahu, Nuf memang layak dikecam. He's too cruel. Tak layak dipanggil doktor dan tak layak dimaafkan. Disinilah turning point bagi hidup Warda dan downfall bagi hidup Nuf. Wait for it, he'll get his punishment soon.

Share this novel

Syahferi Suhana
2020-06-11 14:59:34 

Sedihnye... Kalau saya pun tak teragak dh nk bunuh diri.. Tp moga warda terus btambah.. Jaga nye nuff


NovelPlus Premium

The best ads free experience