Lilyrose 12 | Mind your manners

Romance Series 55089

Bila ikhlas membantu
Bukan balasan yang dimahu

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Dalam ketegangan dan ketidakpuasan hati yang dirasakan Warda, tetap dia terasa kecut perut dengan kelajuan luar biasa Cik Pisangnya. Nuf yang memandu, cekap menyelinap kiri dan kanan memotong setiap kereta di depan sementara Warda tak henti mengucap di dalam hati. Kadang-kala terselit juga sumpah seranah untuk lelaki itu. Hanya selawat dan istighfar dipanjatkan di dalam hati buat menenangkan raksasa dalam diri yang sikit lagi mahu memunculkan diri.

"Boleh drive slow sikit tak?" Warda menjeling tajam.

"Kau nak bertanggungjawab ke kalau patient aku mati?"

"Habis tu, awak lagi sanggup kalau mati accident? Siapa nak bertanggungjawab kalau Cik Pisang saya ni rosak? Awak tak dengar ke dia dah meraung-raung dari tadi?" Terjah Warda.

Nuf tergelak sinis. Menjeling Warda sekilas.

"What a name."

Warda terdiam menyedari sindiran Nuf buat Cik Pisang kesayangannya. Bibir diketap, geram.

"Senang je kau compare nyawa orang dengan kereta cabuk kau ni, kan?"

Terasa berdesup naik darah Warda dengan tuduhan yang dilemparkan.

Tak berasas!

Ditambah dengan...

What?

Kereta cabuk?!

Meluap-luap lahar gunung berapa dalam dadanya, tinggal diletupkan.

"Awak ni memang sejenis manusia yang tak tahu berterima kasih, kan?" Giliran Warda menyindir pedas. Biar lelaki itu sedar diri. Walau kereta cabuk sekalipun, kalau dah namanya menumpang tu, buatlah cara menumpang!

"Berterima kasih? For what?"

Ya Allah!

Bercakap dengan lelaki itu terasa benar-benar mencabar keimanannya. Bermacam bentuk kata sumpahan sudah bermain-main dihujung lidah, hanya tinggal untuk dimuntahkan ke wajah Nuf yang kaku mengalahkan tugu batu itu.

Akhirnya, Warda mengambil keputusan mendiamkan diri. Lebih baik berdiam diri dari hati sendiri yang sakit berlawan kata yang belum tentu ada hujungnya.

Hatinya sudah terlampau penat disakiti. Mindanya sudah terlalu letih mendengar caci-maki.

Tangan Warda mengenggam erat tali pinggang keledar yang melilit tubuh. Dalam fikiran, asyik membayangkan bahawa leher lelaki itu yang dicekiknya.

Geram!

Sebal!

Dari jauh, bangunan hospital yang menyapa pandangan Warda membuatkan dia bersyukur tak terhingga. Keluhan lega terlepas dari ulas bibir. Mana taknya, sepanjang perjalanan tak habis dia berdoa agar mereka selamat sampai. Tak mahu kalau dia mati katak berdua dengan lelaki itu.

Tak sanggup rasanya!

Mendadak Nuf memberhentikan kereta di hadapan pintu utama hospital. Sebelum dia keluar, sempat dia menjeling Warda di sebelah yang pucat membisu sedari tadi. Wallet ditarik keluar dari kocek seluarnya.

"Nah."

Warda berpaling.

"Ambil cepat." Gesa Nuf. Dia menghulur not RM50 ke arah Warda apabila gadis itu masih membatu.

"Apa ni?" Warda mengecilkan mata sementara keningnya yang terbentuk cantik bertaut rapat.

"Upah. Aku tak nak terhutang budi dengan kau."

Wajah Warda kembali mengendur. Dia menghembus nafas malas, campur meluat.

Malas dia mahu berbalah.

Dan malas mahu memulakan pertelingkahan lagi.

"Simpan jelah duit awak tu. Saya tak perlukan upah. Awak boleh anggap je yang saya ikhlas 'tumpangkan' awak." Sengaja perkataan tumpang itu ditekan, supaya benar-benar masuk ke dalam fikiran lelaki itu.

Nuf mengancing rahangnya. Pergelangan tangan kanan Warda dicapai kasar. Tak sempat Warda mahu mengelak, not RM50 tadi terus diletakkan di atas telapak tangannya.

"Ambil. Lagi satu, just tell me kalau 'Cik Pisang' kau ni rosak. Berapa pun, aku boleh bayar setakat kereta cabuk ni."

Bergegas Nuf menolak pintu kereta lalu keluar. Warda turut keluar dari tempat penumpang. Niat asalnya yang tidak mahu berbalah terpaksa dilupakan.

Lelaki itu harus diajar!

Terutamanya berkenaan adab.

Sudahlah menumpang kereta orang dan dilanyak habis-habisan tadi, lagi dikutuknya kereta aku! Dasar lelaki tak beradab. Tak reti berterima kasih!

Gerutu Warda, penuh sebal berdongkol-dongkol.

"Hei!"

Nuf yang melintas laju di hadapan Warda, berhenti agak jauh. Berpaling dia merenung Warda.

Beberapa orang yang berada di hadapan pintu utama bangunan hospital juga turut menoleh pandangan mendengar gadis itu berteriak lantang, termasuklah pengawal keselamatan dan tukang-tukang sapu sampah yang ada berhampiran.

Warda merenyuk not RM50 di dalam genggamannya sebelum mencampak ke arah Nuf. Lontarannya terkena dada lalu gumpalan itu jatuh betul-betul di depan kaki doktor itu.

"Ambil balik duit awak tu, Doktor Nuffaiq Wildan! Sesen pun saya tak nak!" Sengaja disebut nama penuh bersama dengan gelaran doktor kebanggaan lelaki itu.

Biar semua orang yang melihat adegan itu dengar!

Biar semua orang tahu, terkutuknya perangai doktor yang disegani itu.

Warda tahu Nuf juga sudah mulai berang. Jelas di pandangannya, dada Nuf turun naik sementara matanya tajam menikam Warda.

Tapi, Warda tak peduli!

"Mind you manners! Tak ada guna kalau belajar tinggi melangit, tapi adab sesama manusia pun awak tak khatam. Dan jangan ingat, pangkat doktor dan duit awak tu cukup besar sampai awak boleh buat sesuka hati awak!"

"Warda!" Berdesir suara Nuf terlontar dari sebalik gigi yang dikancing.

Warda enggan peduli. Seluruh tubuhnya juga sudah menggeletar, disengat amarah.

"Ingat ni, saya takkan biarkan awak pijak saya lagi!" Sejurus, Warda bergerak pantas masuk ke tempat pemandu. Tanpa melihat raut wajah Nuf, keretanya dipandu laju ke arah ruangan parkir.

Walaupun dia tidak sempat melihat perubahan raut wajah Nuf tadi, namun hatinya terasa puas. Teramat puas! Dia yakin tindakannya tadi pasti sedikit sebanyak dapat mencalarkan maruah dan meruntuhkan sedikit ego yang dijunjung lelaki itu selama ini. Dia dapat rasakan, kali ini kemenangan mungkin berpihak padanya.

Biar apa pun pandangan orang sekeliling yang melihat tadi, sekurang-kurangnya dia puas hati dapat mengajar lelaki yang tak tahu adab sopan itu. Kepuasannya nyata terzahir bersama lahirnya setitis manik jernih menuruni pipi. Dadanya masih berombak kencang dan tangannya masih terasa bergetar.

Sampai di parkir kereta, Warda berteleku sebentar. Stering dijadikan tempat bersandar barang seminit dua. Beribu soalan kini muncul difikirannya.

Betulkah?

Betulkah dia tak akan bagi Nuf manginjak-injak dirinya lagi?

Lepas apa yang dikatakan tadi...

..menangkah dia?

***

"Macam mana isteri saya, doktor?"

Nuf mencabut topeng hijau yang menutup mulut dan hidungnya. Lelaki yang berdiri di depan dengan riak wajah yang cemas itu direnung. Senyuman segaris diukirkan untuk menyingkirkan rasa gundah lelaki di depannya.

"Buat masa sekarang ni, isteri encik stabil. Pendarahan kami dah berjaya hentikan."

Serentak, ucapan kesyukuran tak putus-putus terucap di bibir lelaki itu.

"Betul ke ni, doktor?"

Nuf tersenyum kecil, namun menjadi makin lebar melihat waris pesakitnya begitu teruja.

Ini satu lagi kepuasan dalam kerjayanya.

Kepuasan yang tak dapat diungkapkan apabila melihat sinar kesyukuran dan kegembiraan terukir di wajah setiap mereka yang menunggu di luar bilik bedah sebaik berita gembira disampaikan.

"Cuma kami masih perlu pantau rapi keadaan isteri encik dari masa kesemasa. Takut pendarahan tu berulang lagi."

Lelaki itu mengangguk. Tiba-tiba tangan Nuf dijabat erat. Digenggamnya seperti tidak mahu dilepaskan.

"Terima kasih, doktor. Terima kasih. Memang betul kata semua orang. Doktor masih muda tapi memang berbakat. Saya bersyukur sangat doktor yang bedah isteri saya."

Walaupun sering mendengar ayat yang sama, namun masih terselit sedikit kebanggaan didalam hatinya. Senyuman masih terpampang di bibir.

"Dah memang tugas saya, jadi saya kena buat yang terbaik."

Tangan Nuf dilepaskan. Lelaki itu menyeluk ke dalam kot di bahagian hadapan lalu menarik sepucuk sampul surat keluar. Nuf hanya memerhati sampul yang kelihatan tebal itu. Tak semena-mena, sampul itu diletakkan di atas telapak tangannya.

"Encik, apa ni?"

"Ambil, doktor." Bersungguh-sungguh dia menolak sampul itu ke arah Nuf.

Dengan penuh tanda tanya, Nuf membuka dan menilik ke dalam sampul. Hampir terbuntang matanya melihat seikat duit berwarna ungu di dalamnya. Nuf menutup sampul dan mengembalikan kepada lelaki itu.

"Saya tak boleh terima ni." Nuf menggeleng.

"Ambillah, doktor. Sebagai tanda terima kasih dan upah doktor dah selamatkan isteri saya."

Nuf terpempam.

Upah?

Kejadian bersama Warda tadi mengganggu mindanya. Situasi yang berbeza tapi dirasakan cukup sama. Dadanya terasa sendat secara tiba-tiba.

Nuf masih tetap menggeleng.

"Saya hanya akan terima bayaran dari hospital, bukan terus dari keluarga pesakit." Nuf berjeda menghela nafas.

"Saya rasa lebih baik kalau encik gunakan duit tu untuk bayar kos pembedahan dan rawatan ke pihak hospital. Saya tak boleh terima, I'm sorry." Nuf mahu berlalu tetapi sempat ditahan oleh lelaki itu.

"Kos pembedahan saya tetap akan bayar nanti, tapi ini memang saya ikhlas nak beri kepada doktor sebagai upah. Khas but doktor sebab dah tolong rawat isteri saya. Doktor terimalah ya—"

"Encik!" Nuf nyaris membentak.

Berubah air muka lelaki di depannya.

Nuf menarik nafas yang sesak. Kesabarannya seperti sudah dihujung. Entah kenapa dia rasa marah walaupun lelaki itu kelihatan ikhlas mahu memberikan...

..upah?

Terasa seperti dirinya disindir angkara kejadian awal tadi.

"Saya minta maaf. Saya harap encik faham. Saya memang tak boleh terima duit tu." Suaranya dikawal agar kemarahannya tidak terluah. Lantas Nuf berlalu dengan jiwa yang kusut.

Di dalam biliknya, wajahnya diraup kasar dan rambut yang jatuh di dahi, dikuak dan dikepal erat. Tubuhnya disandar ke kerusi sehingga terbaring dia memandang siling putih. Lengannya direhatkan di atas dahi.

"Ingat ni, saya takkan biarkan awak pijak saya lagi!"

Entah kenapa, jeritan Warda tadi terngiang-ngiang di tepi telinganya.

Mendengus bengis, laci mejanya ditarik lalu dia mengeluarkan telefon pintarnya. Mesej yang hampir dua jam masuk di aplikasi Whatsapp dibaca malas.

[Nuf, I dah hantar mak mertua you balik. Reply me if you dah siap op.] — Zara

Mesej dari Zara direnung kosong. Berkira-kira dia untuk membalas. Kalau ikutkan hati, dia malas mahu membalas tapi tak manis pula apabila dia sudah meminta pertolongan gadis itu tadi.

[Thanks a lot. Semuanya dah selesai. I baru nak balik ni.]

Tak sampai seminit Nuf menghantar mesej, telefonnya berbunyi nyaring. Mengeluh, dia melekapkan peranti ke telinga dengan lenggok malas.

"Hmm?"

"You dah balik ke?"

"Belum lagi. Baru nak gerak ni. Why?"

"Kalau macam tu, I ambil you. You tak bawak kereta you tadi kan?"

"It's okay. You dah banyak tolong I harini. I'll take a cab. Lagipun I ingat nak terus pergi rumah mak ni." Nuf mengelak. Sebenarnya dia tak mahu menyusahkan lagi gadis itu.

Zara berdecit halus.

"Okay, kalau macam tu I ambil you, then kita pergi dinner. You belanja I sebagai upah I tolong you tadi. Lepas dinner, I hantar you pergi rumah mak mertua you. Okay?"

Mata tajam Nuf terpicing.

Upah?

Apa yang Tuhan mahu tunjukkan ni?

Nuf meraut tengkuk. "Okaylah kalau macam tu. I belanja you dinner." Nuf membalas perlahan.

Zara sudah teruja di hujung talian.

Tak sampai setengah jam, Zara sudah tiba menjemput Nuf seterusnya terus menuju ke restoran pilihan Zara.

"You, kenapa ni? Moody je dari tadi."

Nuf menggeleng. Steak di dalam pinggan hanya dikuis sedikit. Hujung daging empuk itu dicucuk dengan garfu dan dipotong sedikit. Terus disumbat ke dalam mulut. Tubuhnya dibawa bersandar ke kerusi sambil matanya masih tunduk memandang makanan yang masih banyak berbaki di dalam pinggan. Mulutnya mengunyah perlahan.

Zara hilang selera. Garfu dan pisaunya diletakkan di sisi pinggan sebelum mencapai napkin dan menekan sekitar mulutnya.

"Nuf, tell me. Apa yang ganggu fikiran you?" Zara enggan mengalah.

"I'm okay." Ringkas Nuf menjawab.

"Your emergency surgery tengahari tadi, okay?" Zara cuba menebak. Mahu memancing Nuf agar bercerita.

Nuf mengangguk ala kadar. "Okay."

Masing-masing kembali diam. Zara memeluk tubuh dan bersandar rapat di meja. Perlakuan Nuf diperhati penuh teliti.

"You ikhlas ke tolong I tengahari tadi?"

Tergamam Zara dengan soalan Nuf yang tiba-tiba. Tubuhnya refleks menegak di tempat duduk.

"Of course, I do." Zara menekan. Gelas jus di depannya ditarik rapat sebelum dia menyedut rakus. Entah kenapa, tubuhnya terasa berbahang.

"Apa perasaan you, kalau I nak bayar you atas pertolongan you tadi?"

Terkelu Zara. Air liur ditelan.

"You perli I ke?" Zara bertanya perlahan.

Kali ini Nuf pula yang terkedu.

"No. I'm just asking. Kenapa you kata I perli you?"

"Sebab I yang mintak you belanja I dinner tadi...but, believe me. I memang ikhlas tolong you." Zara menggigit lembut bibir bawahnya.

Kesedaran baru menerjah masuk ke dalam benaknya. Nuf menggeleng bersungguh-sungguh.

"No, no! Sorry, Zara. I bukan perli you. I cuma—" Tiba-tiba Nuf ketandusan kata. Dia mengeluh lemah. "Let's forget about it."

Zara hanya diam.

Nuf memanggil pelayan. Dijenguk ke dalam wallet, terus sehelai not RM50 yang renyuk menyapa pandangannya. Not yang dipulangkan Warda tadi.

Lama pandangannya kaku.

Ditarik sehelai not ungu dan not yang renyuk tadi keluar. Not ungu digunakan untuk membayar makanan, manakala yang satu lagi dihulur ke arah pelayan yang masih berdiri di sisi meja.

"Tips."

"Thank you, sir." Not itu dicapai sopan.

Nuf menganggu kecil.

"Let's go." Nuf memandang Zara sebelum bangun dari kerusi.

"Zara, I'm so sorry. I tak sangka you boleh terasa dengan soalan I tadi." Nuf bersuara apabila kereta kembali meluncur di atas jalan raya.

"It's okay, Nuf. I tahu you tak sengaja." Mata Zara melirik Nuf di sebelah. "Tapi I nak you tahu yang I memang betul-betul ikhlas tolong you tadi."

"Yes. I tahu you ikhlas. Thanks again."

Senyuman sudah menghiasi wajah Zara. Nuf senyap memandang keluar tingkap sehinggalah tiba di hadapan banglo mertuanya.

Sebuah kereta kecil yang diparkir jauh dibawah pokok bertentangan, menarik perhatian. Walaupun dalam pekat malam, warna kuningnya tetap jelas kelihatan.

Nuf lantas mengatur langkah menghampiri sebaik keluar dari kereta Zara. Tingkap yang diturunkan separuh di sisi pemandu itu, diketuk beberapa kali.

Warda yang dari tadi tunduk bersandar di stering drastik mengangkat wajah. Berubah air mukanya melihat Nuf berdiri di sebelah.

"Kau buat apa dekat sini, tengah-tengah gelap ni?" Terjah Nuf.

Warda menulikan telinga, langsung tidak mengendahkan pertanyaan Nuf. Tangannya ligat menghidupkan enjin. Setelah dua kali mencuba, barulah enjinnya berjaya dihidupkan.

"Warda. Aku tanya ni. Kau buat apa dekat sini?!" Nuf mengawal nadanya agar tidak terlalu tinggi.

"Kenapa?" Warda bertanya malas. "Jangan kata, dekat luar ni pun saya tak boleh jejakkan langsung kaki saya ni. Macam tu?"

Warda perasan Zara juga sudah keluar dari keretanya. Tanpa membuang masa, Warda mengenakan tali penggang keledar. Belum sempat Zara menghampiri, pedal minyak ditekan dan terus keretanya dipandu pergi meninggalkan Nuf bersama kerutan di dahi.

***

"Warda ada datang tadi?"

Riak pelik di wajah Mak Ilah cukup menjawab pertanyaan Nuf.

"Warda? Kenapa dia kena datang?" Mak Ilah bertanya hairan.

Nuf mengeluh dan menggeleng.

"Tak ada apalah, Mak Ilah. Mak okay?"

"Dia tak nak makanlah, Nuf. Mak Ilah pun dah buntu, tak tahu nak buat macam mana lagi."

"Tak apa, biar Nuf yang try suapkan. Nanti Mak Ilah bawakan makanan mak ke bilik, ya."

Mak Ilah mengangguk sebelum Nuf berlalu ke bilik Puan Rozita.

"Assalamualaikum." Salam diberi sebaik dia menolak pintu bilik ibu mertuanya. Langkah tertib diatur ke arah katil. Dilabuhkan punggung berhampiran Puan Rozita yang terbaring lemah.

"Urrfff..."

"Mak, Mak Ilah kata mak tak nak makan. Kenapa mak tak makan?"

Hanya erangan yang terhasil dari celahan lidah kaku Puan Rozita.

"Mak rindu abah ye?" Nuf cuba bergurau.

"Errllaaa...laa..."

"Bella?" Nuf menebak. "Mak rindu Bella?"

Ada setitis air jernih yang gugur dari hujung mata ibu mertuanya. Nuf menundukkan wajah.

"Nuf pun rindukan Bella, mak. Rindu sangat-sangat." Nuf berbisik hiba.

Tangan Puan Rozita digenggam.

"Nuf tahu mak rindukan Bella, tapi mak kena jaga kesihatan jugak. Mak tak nak Bella sedih tengok mak macam ni kan?"

Puan Rozita kini teresak. Herot-berot mulutnya.

Mak Ilah yang tiba-tiba muncul menatang dulang, terus menyedarkan Nuf. Sebak yang bertandang, pantas diusir.

Dia bangun mengangkat ibu mertuanya bersandar di kepala katil. Air mata Puan Rozita dihapuskan. Mangkuk berisi bubur itu Nuf capai. Setelah ditiup beberapa kali, sudu disua ke mulut yang herot di depannya.

"Makan sikit. Mak tak nak Bella risau, kan?"

Puan Rozita senyap tak membantah. Mulutnya tak mampu terbuka luas namun bubur tetap disuap beberapa kali. Nuf lega melihat ibu mertuanya yang menurut. Tak sampai separuh mangkuk, dia kembali mengerang minta berhenti.

Nuf meletakkan kembali mangkuk di atas dulang lalu Mak Ilah membawa keluar dari bilik.

Suasana serta-merta sunyi.

"Mak—" Tangan Puan Rozita dicapai. Teragak-agak dia bersuara. "Sebenarnya, Nuf dah lama nak tanya soalan ni pada mak. Nuf tahu, Nuf tetap takkan dapat jawapan tu dari mak malam ni tapi, sekurang-kurangnya satu beban dalam dada Nuf ni akan terlepas—"

Nuf menghela nafas. Mata ibu mertuanya direnung. Puan Rozita juga memandang tepat ke arahnya buat Nuf meraup muka.

"Kenapa, mak? Kenapa dari dulu lagi mak bencikan sangat Warda?"

Senyap.

Berbicara berkenaan Warda terutama dengan ibu mertuanya, buat hati sendiri rasa dipulas-pulas. Namun kemusykilan yang kian timbul dalam pertimbangan akalnya benar-benar menekan dada.

"Apa yang Nuf dengar dari Bella selama ni—" Nuf berhenti menarik nafas. "Betul ke?" Dia berbisik.

"Bella tak mungkin tipu Nuf. Kan, mak?"

###

> Teaser next chapter <

"Mak Ilah pun pelik sebenarnya kenapa puan tu boleh bencikan sangat si Warda tu. Padahal budaknya baik je sebelum ni."

Terjongket hujung mulut Nuf mendengar ujaran Mak Ilah.

"Mak Ilah rasa Warda tu baik ke?"

p/s: komen ya :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience