Lilyrose 31 | I'm sorry

Romance Series 55089

Dalam dunia kita
Penuh luka dan sendu melata

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Pranggggggg!

"I-Ilah! Nuffff! N-Nuffff...!" Jeritan tersekat-sekat Puan Rozita hampir menggegarkan seisi rumah. Entah dari mana dia dapat kekuatan berteriak begitu. Nyaris terlepas pinggan yang sedang dicuci Mak Ilah.

"Ya, puan. Saya datang ni." Tangan Mak Ilah cermat meletak pinggan mahal itu kembali ke dalam sinki. Tak mahu kalau gajinya dipotong pula nanti.

Ala kadar Mak Ilah mengesat tangan dan deras dia datang menghampiri Puan Rozita yang tadinya sedang elok mencicip minum petang di atas kerusi rodanya. Memang sengaja dia tinggalkan majikannya menjamah sendirian awal tadi. Sebelum ini pun Puan Rozita itu sudah boleh berdikari tanpa perlukan bantuannya sesiapa untuk makan, malah kadang-kadang, dia sendiri yang tak benarkan orang lain membantu. Boleh buat sendiri, katanya. Cuma untuk berjalan, dia masih tak berdaya menapak dan terpaksa bergantung harap dengan kerusi roda untuk bergerak. Cuma ini pertama kali Mak Ilah dikejutkan jeritan Puan Rozita dan bunyi kaca terhempas.

Sah telahan Mak Ilah. Sebaik sampai, mata dijamu dengan serpihan kaca pecah berderai di lantai.

"Astaghfirullah al-azim...kenapa ni, puan? Macam mana boleh terlepas ni?"

"Nufff...! N-Nuffff d-dalam tuu!" Dalam keadaan tangan yang terketar dan mulut yang separa herot, telunjuk Puan Rozita lurus ke kaca televisyen yang sedang memaparkan Berita Terkini jam empat petang.

"...kejadian berlaku pada jam 10.00 pagi waktu tempatan. Sepasukan bomba dan penyelamat dari bandar Reyhanli dikejarkan ke tempat kejadian. Namun api yang marak telah mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya."

Paparan berita masih menunjukkan suasana hiruk-pikuk di satu kawasan lapang yang pada perkiraan Mak Ilah sama seperti kem pelarian yang sering dilihatnya di dalam televisyen dan laman Fac. Ada yang meratap menangis, malah ada yang menguis-kuis tapak bersisa jilatan api, mungkin mencari barang-barang berharga yang masih boleh diselamatkan. Berkerut dahi tua Mak Ilah tak memahami. Sudahlah dia tak mendengar pangkal berita tadi, lagilah timbul musykil dalam kepalanya. Nuf? Mana Nuf?

"Kebakaran turut memusnahkan beberapa khemah pelarian yang berhampiran. Menurut jurucakap, tiada nyawa yang terkorban dalam kebakaran tersebut manakala seorang kanak-kanak lelaki pelarian Syria berumur enam tahun disahkan parah akibat melecur teruk. Susulan kejadian, lapan orang mangsa lagi turut cedera ringan dan semua mangsa telah dikejarkan ke hospital Al-Amal di daerah yang sama bagi mendapatkan rawatan. Dipercayai, beberapa orang sukarelawan warga Malaysia turut terlibat. Punca kebakaran masih belum dikenalpasti dan masih dalam siasatan pihak berkuasa..."

Sejurus, apa yang dibacakan pemberita wanita itu langsung tak sempat melekat di kilang pemprosesan info Mak Ilah apabila wajah yang disebut-sebut tadi jelas terpapar di dada televisyen. Walaupun muncul sedetik dengan wajah yang sedikit berceloreng dan berjelaga hitam, dia yakin itu memang Nuf!

Bergegar-gegar lengan Mak Ilah digoncang Puan Rozita.

"K-kau ngampak t-t-tak, Ilahhh?!" Gagap campur pelat, Puan Rozita menyoal.

Mak Ilah mematung namun kepala terangguk-angguk.

"Nampak, puan. N-Nuf ke tu? Apa dia buat dekat sana?"

Seingat dia, Nuf tak pernah beritahu apa-apa berkenaan kepergiannya ke mana-mana. Lagipun dah lama wajah itu tak menjenguk ke sini. Dia ingatkan Nuf terlampau sibuk berkerja lebih masa sehinggakan tak ada masa langsung untuk melawat mertuanya. Rupa-rupanya ternyata dia tiada di Malaysia. Patutlah bersungguh-sungguh majikannya itu terkejut sehingga nyaris-nyaris diserang stroke kali kedua. Dah tentulah doktor muda itu menantu kesayangan di dalam rumah ini. Siapa yang tak risau?

"Telef-fon tu-tuan! Ba-a-lik! S-suruhh tu-tuann b-balikkk!" Amukan Puan Rozita semakin tak terkawal.

Mak Ilah mengangguk laju dan bergegas mencapai gagang telefon.

***

Beberapa orang doktor berbangsa Turki tekun menunduk, mengelilingi katil. Sedari tadi, bahu sendiri yang rasa terbakar cuba ditahan, menuntun tangan yang sedikit terketar membantu operasi merawat tubuh kecil di depan. Sesekali, kulit melepuh di bahagian bahu itu bergesel dengan lapisan fabrik yang melindungi tubuh mengundang rasa mencucuk-cucuk sekitar bahu. Pedih! Namun dia gagahkan juga untuk membantu biarpun bukan kepakarannya merawat luka sebegitu. Nyawa insan kerdil di depannya itu jauh lebih penting buat masa ini. Fokusnya lebih kepada menyelamatkan nyawa si kecil!

Bila sesekali dia memanggung pandangan melihat wajah Aylan, ratapan hiba si ibu dan raut muram Warda tadi turut tergambar di ruang mata. Bunyi lemah monitor jantung yang disambung ke tubuh Aylan sedikit sebanyak menganggu konsentrasinya. Biar berkali-kali bunyi yang sama menjadi halwa telinga sebelum ini, tapi kali ini cukup berbeza. Belum bersedia andainya bunyi itu tiba-tiba meleret panjang petanda terhentinya degupan jantung si kecil.

Tetttttttt...

Sejurus, terhenti tangan-tangan yang lincah merawat lecuran tadi. Nuf agak terkaku. Sedar-sedar dia sudah mendahului melakukan chest compression di tubuh kecil itu. Dadanya turut beralun ganas mengikut tekanan di dada Aylan diselangi nafas sendiri yang kencang. Darah gemuruh merusuh jantung. Hampir naik gila rasanya! Kiraan dan kitaran CPR semuanya lari dari aturan yang betul.

"Aylan! No! No!"

Berkali-kali masih tiada reaksi.

Leretan bunyi monitor jantung kekal berdengung memenuhi ruangan pendengaran.

"Sakin ol, doktor!"
(Bertenang, doktor!)

Jelas di pandangan kakunya, dia melihat Aylan dibawa jauh. Hakikatnya, dia yang ditarik pergi dari sisi katil oleh seorang doktor lelaki yang membantu operasi. Ketika defibrillator diacu, dia hanya mampu memandang kaku sesusuk kecil tersentak-sentak akibat direnjat.

Namun, segalanya sia-sia.

Dia, tak lagi bernyawa.

"Ölüm zamani, 12.16 pm."
(Waktu kematian, 12.16 pm.)

Disitulah, titik nokhtah perjalanan sebuah kehidupan diletakkan. Saat sebuah kesengsaraan dimuktamadkan. Bagi anak itu, syurgalah tempatnya. Bertemu Sang Pencipta, mungkin itulah selayaknya.

Lereng mata yang sejak tadi dikolami cairan hangat tak dapat dibendung lagi. Ini ke rasanya apabila tangan magis yang sering dibangga-banggakan, langsung tidak berguna? Tewas. Gagal menyelamatkan buat pertama kali. Paling menggelojak batinnya, apa penerimaan gadis itu?

Sambil dia meraup muka, persoalan mula memberat didalam kepala. Dia masih belum bersedia melihat reaksi Warda.

***

"Fateh!"

Melantun punggung doktor itu terangkat dari kerusinya. Jantung sedikit lagi mahu meloncat keluar dari anak tekak mendengar suara nyaring dari muka pintu bilik.

"You dah kenapa terjerit-jerit macam mak lampir depan bilik I ni? Tak reti bagi salam ke, or at least ketuk pintu tu dulu?" Sergah Fateh pula.

"You tanya I, kenapa I jerit? Hei, you tu memang suka kan kalau tengok semua orang ketawa, mengutuk belakang I?!"

Keluhan meniti di bibir Fateh. Duduknya dibetulkan di atas kerusi. Bukan pertama kali Zara meroyan begini, tambah-tambah sejak Nuf pergi sampaikan dia sendiri naik bosan menyangkal soalan bertubi-tubi dari gadis itu.

"Apa pulak yang I dah buat kali ni? I dah cakap banyak kali pada you kan...I tak tahu mana Nuf. Boleh tak you biarkan dia bertenang, lapangkan fikiran ke?!"

"You tak payah nak selindunglah, Fateh. Hari ni semua orang kecoh tanya I, apa yang Nuf tu buat dekat kem pelarian tu. Kem pelarian apa ni? I didn't even know that he's there. Mana I nak letak muka I ni bila nampak sangat yang I tak tahu mana boyfriend I sendiri?"

Pfttt!

Boyfriend?

Kalau boyfriend, kenapa sibuk mengejar perempuan lain. Sampai ke Turki pulak tu!

Tergelak jahat Fateh didalam hati melihat tingkah Zara yang perasan sendiri. Gedik extra merenyam! Macam mana boleh pas jadi doktor ni?

"Maaf mengganggu, Doktor Fateh." Muncul pula seorang jururawat di belakang Zara, menyampuk apabila Fateh baru mahu membalas.

"Yes? Oh by the way, awak tak mengganggu. Dia ni yang menganggu." Telunjuk menghala Zara yang sudah mengetap geram. Sengaja nak sakitkan hati perempuan tu.

"Err...ada orang nak jumpa dengan doktor."

"Siapa?"

Dibiarkan saja Zara yang umpama patung cendana berdiri di muka pintu.

"Fateh, uncle ni."

Lantas Fateh berdiri semula melihat Tuan Malik. Dia cukup kenal lelaki separuh abad itu sebagai bapa mertua sahabatnya. Lagipun siapa yang tak kenal Tuan Malik; pemilik syarikat hartanah yang terkenal di Kuala Lumpur ni.

"Uncle. Tak sangka uncle yang datang." Fateh menyambut mesra.

"Masuk, uncle. Duduk."

"Eh, ni Doktor Zara kan? Doktor yang rawat arwah Bella dulu." Sapaan tiba-tiba Tuan Malik buat Zara tersentak lantas dia menghulur tangan untuk bersalaman.

"Yes. Sayalah tu."

"Uncle datang ni ada hal apa, ya?" Pintas Fateh.

"Uncle nak tanya Fateh sesuatu lah. Fateh tahu tak Nuf dekat mana? Atau Zara sendiri tahu dia ada dekat mana?" Meluas soalan Tuan Malik. Ditujukan buat kedua-dua doktor itu.

"Fateh tahu, uncle." Cukup bersahaja Zara membalas.

Terjegil biji mata Fateh. Gigi dikancing geram. Bila pandangan Tuan Malik kembali padanya, sedaya upaya dia cuba tayang senyuman plastik.

Tak guna punya Zara!

"Ha, Fateh? Uncle pergi condo dia pun tak ada. Fateh tahu ke dia dekat mana? Uncle bukan apa, uncle dengar petang tadi heboh aunty cakap Nuf ada dekat kem pelarian Syria. Apa ni? Kenapa uncle tak tahu langsung hal ni? Kalau iya pun nak pergi sana, kenapa tak bagitahu kami dulu?"

"Errr—" Fateh menggesek-gesek kening.

Nak jawab apa ni? Hish, kau ni Nuf! Bikin masalah betul!

"Sekarang ni bagitahu uncle, dia dekat mana? Aunty kat rumah tu dah bukan main risau lagi sekarang ni."

Melihat Fateh yang mula tak keruan, Zara meleret senyuman sinis. Sengaja dia membisu, melihat sejauh mana Fateh mahu mengheret permainan.

"Dia mesti ada sebab penting kenapa tak bagitahu uncle tu..."

"Jadi betullah apa yang aunty nampak dalam berita tv tadi?" Terperanjat benar Tuan Malik.

"Ya Allah, Nuf. Apa yang penting sangat sampai tak boleh nak bagitahu kami ni?"

"Dia c-cari orang kut."

"Hah? Cari orang? Siapa? Nuf cari siapa?" Bertubi-tubi soalan terkeluar dari mulut Ruan Malik.

Mula menunjukkan minat, Zara tadah kuping telinga seluas-luasnya. Ternanti-nanti Fateh menyambung bicara.

"Siapa, Fateh? Bagitahu uncle."

***

Sebaik pintu bilik pembedahan dikuak, ibu Aylan orang pertama yang menyerbu doktor berbangsa Turki itu diikuti Kak Aisya dan beberapa orang yang lain. Abang Zul yang fasih berbahasa Turki jadi pengantara.

Warda mahu turut serta apabila Nuf muncul agak lambat di belakang doktor tadi. Langkah kedua-duanya serentak terpaku di lantai dan saling berpandangan. Melalui bicara duka dari anak mata Nuf, dia terus dapat mengagak. Cukup faham apa yang ingin disampaikan lelaki itu. Tambah menguatkan andaian buruk Warda apabila ibu Aylan meraung-raung lalu jatuh terjelepok ke lantai. Beberapa orang wanita termasuk Kak Aisya tolong memaut si ibu yang terkulai. Semuanya bergegas, bantu membawa dia ke bilik kecemasan. Beberapa orang doktor yang keluar dari bilik bedah turut tergesa-gesa berlalu merawat beberapa orang mangsa cedera ringan yang lain di bilik kecemasan.

Melihat suasana yang terbentang di depan matanya, tekanan dalam pekung dada Warda umpama bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa sahaja. Dari meletus di situ, dia mahu segera angkat kaki.

"Warda..."

Amna mengusap bahu Warda yang jelas tegang seraya memeluk tubuh kaku itu agar dapat menenangkan sedikit gundah yang tentu-tentu sedang bertapak. Warda bertindak menolak tubuh Amna. Tanpa menghiraukan riak keliru Amna, dia berlalu keluar bersama langkah yang diusung perlahan.

Jauh kaki melangkah, jauh lagi fikirannya menerawang. Dari arah belakang jelas di pendengaran Warda ada langkah yang mengejer. Semakin hampir dengannya, semakin perlahan langkah yang diambil gerangan di belakang.

Pasti Amna.

Bibir diketap. Dia mahu bersendirian tapi dalam masa yang sama dia perlukan juga teman untuk meluahkan. Jadi dibiarkan saja Amna menuruti langkahnya yang entah kemana-mana kaki membawa.

Teringatkan keletah Aylan, hati jadi bertambah sayu. Peluput mata bila-bila masa saja bersedia memuntahkan lahar.

"Memang ni nasib aku, kan Amna?" Lirih nadanya.

Senyap.

Namun masih dia dengar derapan langkah mengikuti di belakang.

"Lari jauh mana sekalipun, aku memang takkan boleh bahagia, kan?" Soal Warda lagi. Kali ini bersama esakan yang tertahan-tahan. Langkah terhenti, begitu juga dengan derap langkah di belakang.

Masih senyap.

Agak pelik bagi Amna tak membalas soalannya, tapi Warda lebih sibuk melayan emosi sendiri. Pastilah Amna turut bersedih dan sedang sama mengulit perasaan. Bukannya dia seorang yang bersedih dengan kepergian Aylan. Semua yang mengenali si kecil pasti akan tahu betapa istimewanya anak itu. Kehilangan Aylan itu sama seperti kehilangan permata yang amat berharga.

"Tak cukup ke aku dah hilang mama dengan papa? Lepas tu Dia ambil Bella, tinggalkan aku dengan semua ujian ni. Sekarang ni bila aku dah mula sayangkan Aylan, Dia ambil Aylan pulak. Lepas ni, siapa? Siapa lagi yang Dia nak ambil?"

Lirih Warda.

"Kenapa Dia tak ambil aku je? Kenapa mesti Aylan? Aylan tu kecil lagi. Budak lagi..."

Meniti esakan halus di bibir itu lantaran pilu yang mencucuk-cucuk hati.

"Dari dulu, aku selalu mintak Allah tarik nyawa aku dari Dia terus bagi aku ujian-ujian yang macam ni. Aku tak kuat, Amna. Mana aku nak cari kekuatan tu?"

Saat ada tapak tangan hangat melekap di bahu kanannya, Warda lantas tersedar. Beristighfar dia didalam hati. Siapa dia; hamba yang hina untuk mempersoal kerja Tuhan? Bukan niatnya untuk menafi takdir. Cuma buat seketika tadi, dia hilang pedoman. Payah sungguh mahu menerima hakikat apabila ianya pahit untuk ditelan.

Berkali-kali diingatkan didalam diri, Allah itu tak mungkin menguji hamba-Nya diluar kemampuan. Pasti ada hikmah yang bakal terselit di celah kepahitan yang dialaminya, cuma buat masa ini dia masih tak nampak apa hikmahnya. Segalanya masih kelam...

Memang...

Sedih itu pasti. Namun bagi hamba Allah yang beriman, pasrah itu mesti.

Buat seketika, biarlah dilayan rasa sedih yang sedang melanda. Entah esok atau lusa dia sudah boleh redha dan pasrah dengan ketentuan yang satu ini. Agak kasar, Warda menyeka titis jernih yang menodai pipi mulusnya sebelum titis-titis yang lain berguguran lagi.

"Mesti d-dia sakit, kan Amna? Aku rasa m-mesti dia nak jerit minta tolong tapi d-dia kan tak boleh—" Tak sanggup Warda menyambung bila semuanya tergambar di ruang mata. Bagaimana Aylan yang tidak mampu bersuara itu mahu meminta pertolongan di dalam kesusahan?

Muka ditekup dengan tangan yang terketar-ketar. Sendi lutut longlai tapi sebelum dia sempat jatuh melutut, tangan tadi cepat memaut dan memusingkan tubuhnya ke belakang. Pinggangnya ditarik sehingga melekap ke tubuh itu. Lencun di wajah berpindah ke baju milik Amna tatkala mukanya disembamkan ke dada kekar milik...

Kekar?

Tangan hangat yang melingkar di belakangnya juga terasa lain.

"Shhh...I'm sorry."

Dan suara itu...

Sah!

Dalam tangisan, dia sedar bukan Amna yang memeluknya. Sepasang tangan yang mengusap-usap bahu dan belakangnya itu bukan milik Amna. Malah baru dia sedar, telinga yang mendengar luahannya tadi juga bukan punya Amna!

"I'm sorry, aku gagal selamatkan Aylan kau. I'm sorry, aku dah buat kau jadi macam ni." Nuf berbisik hiba lalu dia mendongak, menadah air matanya dari turut tumpah. Kelopak mata dikebil berkali-kali.

Begitu sekalikah penderitaan gadis itu selama ini? Hidup baru mahu mengecapi secebis bahagia malah diragut pergi. Hari ini baru dia sedar sebaik luahan meruntun kalbu tadi didengarinya secara tak sengaja.

Pada pandangan orang lain, mungkin gadis itu tampak lemah tapi hakikatnya, dia yang lebih lemah. Tak kira betapa dia dingin dan kejam tapi tiap kali melihat air mata di pipi itu, perasaannya sendiri yang akan tumpas akhirnya. Seingat dia, termasuk yang ini dah empat kali dia tewas.

Empat kali.

Tapi Warda sendiri tak pernah tahu.

Mata terkatup rapat. Sebelah tangan mengeratkan lagi lingkaran di pinggang ramping gadis itu sementara sebelah lagi naik mengusap kepala yang dibaluti selendang yang terlilit santai. Tak sampai beberapa saat, tolakan Warda buat dia sedar. Tapi entah kenapa, dia tetap tak mahu meleraikan pelukan itu lagi. Dibiarkan Warda bergelut dalam pelukannya. Sesi emosi tadi automatik bertukar menjadi sesi pergelutan dua ajnabi.

"Lepas! Lepas!"

Makin Warda bergelut, makin kemas pula lilitan di tubuhnya. Kehangatan yang terpindah dari susuk kekar itu cukup menganggunya. Menjentik naluri halusnya yang selama ini tersimpan kemas tanpa ada yang menganggu.

Habis kucar-kacir nafasnya.

Kacau-bilau perasaannya!

"Lepaskan aku!!!" Tempik Warda.

Serentak pautan Nuf terlepas bila pipi tiba-tiba pijar akibat ditampar.

"Aku dah cakap jangan sentuh aku!"

Bahasa Warda berubah kasar. Dada berombak kencang manakala bebola mata dan hujung hidungnya tak kurang merah antara satu sama lain. Dan yang paling jelas, masih ada air mata yang bersisa.

Terpempam, serba-salah mula menjalar dalam diri lelaki itu. Bercampur-aduk dengan kerisauan melihat amukan Warda. Dan tentu kebencian gadis itu terhadap dia akan makin bercambah lagi.

"Warda, maafkan aku. Aku tak sengaja. A-aku—" Gagap. "A-aku cuma nak tenangkan kau je."

"Kau nak tahu apa yang boleh buat aku tenang?" Jeda Warda bersama gigi yang dikancing kuat. "Berambus! Pergi dari sini! Aku tak nak tengok muka kau lagi! Berambus!!"

Nuf terkedu hebat.

"Pergi! Jangan tunjuk muka kau! Jangan tunjuk simpati kau depan aku. Aku tak nak!" Lantang tempikkan Warda. Kalau dulu tembok yang dibina buat berdepan lelaki itu cukup tinggi, sekarang lebih melangit. Dilapisi konkrit ego yang utuh. Tak ada ruang langsung untuk ditembusi.

Paling penting, dia tak perlukan simpati sesiapa atas nasib yang menimpanya, terutamanya dari lelaki itu!

Terdengar jeritan Warda, Amna lantas menghampiri dan merangkul sahabatnya dari sisi. Risau kalau-kalau Warda semakin tak terkawal. Abang Zul turut ada bersama dengan tanda tanya penuh di wajah.

"Warda, dahlah tu." Amna pandang Nuf pula. "Doktor, please!"

"Nuf, Warda. Kenapa ni?"

Soalan Abang Zul dibiarkan berlalu kerana keduanya umpama terpisah dari dunia nyata. Hanya ada dalam dunia mereka sendiri yang penuh luka dan gelap masa silam. Tak mungkin boleh bertemu penawar atau berjumpa cahaya menyuluh jalan keluar.

"Warda, I'm sorry."

Pilu. Luluh hatinya bila Warda masih kekal membisu bersama air mata yang berlinangan di pipi.

Sebu sungguh sangkar dadanya. Nuf lantas membuang pandang dan mengangguk akur. Faham apa kehendak gadis itu.

Perlukah diturut segala kemahuan Warda sekaligus membiarkan diri sendiri yang merana?

Rambut diraup kesal. Hati dicarik-carik.

Dan dia terus berlalu pergi tanpa sepatah kata, meninggalkan si gadis ditenggelami sendu yang melata.

Share this novel

sitinur_999
2020-08-20 15:50:08 

alaaa tengah seronok baca dah tamat...sedih~~~


NovelPlus Premium

The best ads free experience