Lilyrose 13 | Rapuh

Romance Series 55089

Raga memang tampak teguh
Namun jiwa ini teramat rapuh

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Warda!"

Warda menerpa ke dalam pelukan Amna membuatkan dia semakin terperanjat selepas Warda tiba-tiba muncul di depan bilik sewanya. Namun belakang Warda tetap diusapnya lembut.

Warda senyap menyerap kehangatan dakapan tangan yang melingkari tubuh.

Jiwanya terasa remuk.

Yang dia tahu, dia memerlukan seseorang untuk meluahkan. Hanya Amna yang terlintas difikiran dan dia tahu, dia boleh percayakan sahabatnya itu.

"Kau dari mana ni?" Pelukan dirungkaikan. Ditarik tangan Warda masuk ke biliknya dan terus mereka duduk di atas katil.

"Aku dari rumah mak ngah aku."

"Warda, kau buat apa lagi pergi sana?"

Warda menggeleng lemah.

"Aku pun tak tahu, Amna. Siang tadi aku terserempak dengan mak ngah. Aku baru tahu yang mak ngah aku sakit. Tapi kenapa tak ada seorang pun yang bagitahu aku?" Warda tertunduk menitiskan air mata.

Warda dihampiri. Belakangnya diusap lembut oleh Amna.

"Kenapa, Amna?" Warda tersedu. "Aku ni bukan keluarga dia orang ke?"

"Warda, dahlah tu. Jangan menangis, please..." Amna turut tercebik menahan tangis.

"Aku bukan sengaja nak biarkan Bella mati malam tu. Kenapa semua orang tak faham aku? Jahat sangat ke aku selama ni sampai semua orang benci?"

"Apa kau cakap ni? Apa maksud kau biarkan Bella mati?" Amna memaut bahu Warda. Entah kenapa, bulu romanya meremang sendiri.

"Tak,  Amna! Kau kena percayakan aku. Aku tak sengaja! Ak-aku—"

"Warda, tarik nafas. Cerita dekat aku apa yang jadi."

Warda menurut. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

"Kau ingat tak hari yang aku terima panggilan dari cardiology unit tu?"

Amna mengangguk sementara matanya fokus merenung wajah Warda yang memerah. Memang dia ingat lagi hari itu. Warda ada memberitahunya yang dia perlu pergi ke rumah Bella selepas syif kerja.

Tapi, apa kena mengena pula dengan apa yang berlaku sekarang ini.

"Warda, cerita dengan aku apa yang jadi." Berdebar Amna menanti.

"Se-sebenarnya—"

¤¤¤

Sebaik menolak pintu, mata Warda tertancap pada lantai jubin yang sudah dibanjiri air. Renungan diangkat ke arah tab mandi.

Air melimpah dari sisi tab bersama dengan pancuran deras dari kepala shower yang terus mengenai...

"Bella!"

Lantai yang licin sudah tak hiraukan. Pantas Warda menerpa laju ke arah Bella yang sudah pucat lesi di dalam tab mandi, bersandar dengan kepala terdongak menadah muka ke arah pancuran air. Lengan Bella yang terendam di dalam air terus diragut kasar.

Sejuk.

Warda hampir menggeletar apabila tubuhnya tersentuh air yang bertakung di dalam tab, begitu juga air yang keluar dari pancuran di atas. Jelas di penglihatan Warda, Bella juga turut menggigil kesejukan. Bibirnya kebiruan dan kulit jemarinya mengecut.

"Bella, apa yang kau buat ni?! Keluar sekarang!" Berusaha Warda menarik tangan Bella sementara sebelah lagi mencapai tombol shower dan memutar sehingga air tidak lagi keluar.

"Bella, tolonglah keluar." Warda mengerang kecil mengerah khudrat mahu menarik Bella keluar.

Namun Bella seolah-olah membatukan diri.

Enggan berganjak.

Malah, ditepis kasar tangan Warda yang berlingkar di lengannya.

"Lepaskan aku!" Serentak, ditolak tubuh kurus Warda sehingga gadis malang itu terduduk di lantai basah.

Kesakitan di punggung akibat terhentak terasa seperti menjalar ke dada. Namun semua itu Warda abaikan. Pakaian yang basah lencun sudah tidak dipedulikan. Warda tak berputus asa, lantas dia bangun melutut di tepi tab. Tangannya dimasukkan ke dalam air mencari penutup saluran. Sebaik jumpa, ditekan agar saluran terbuka. Air di dalam tab mulai keluar.

Bella naik berang. Mata merahnya merenung Warda seperti mahu ditelannya. Entah apa yang merasuk, rambut Warda yang disanggul itu digenggam kemas lalu ditekan kepala Warda ke dalam air.

Beberapa saat kepalanya terendam di dalam air, Warda terasa seperti mahu putus nyawa. Sebaik kepalanya ditarik keluar, ternganga luas mulutnya dengan nafas yang tercungap-cungap menghela oksigen. Kulit kepalanya yang rasa dicarik-carik, membuatkan Warda refleks memegang tangan Bella.

"Bella, l-lepaskan aku—" Nafas Warda tersekat. Kepalanya terikut dengan tarikan kasar Bella.

Kocakan deras air yang tinggal separuh di dalam tab cukup menggambarkan Bella yang semakin liar.

"Kau memang tak habis-habis dengki dengan aku, kan Warda?!" Kepala Warda digoncang sebelum sekali lagi dia menolak keras tubuh Warda terduduk di atas lantai.

"A-apa yang kau cakap ni?" Warda memegang kepalanya yang terasa sakit.

Bingung dan gerun Warda melihat Bella yang sudah tidak seperti dirinya sendiri. Ibarat sudah kehilangan akal warasnya. Perlakuannya tidak terkawal.

"Kau dengki dengan aku!" Bella menjerkah kuat.

"Dari dulu, kau memang dengki dengan aku—" Suara Bella mengendur sebelum dia teresak di sudut tab mandi.

"Bella! Mengucap. Cerita dekat aku apa yang berlaku ni?" Warda cuba mengawal keadaan setenang mungkin. Mengesot dia menghampiri Bella.

"Tak cukup ke kau dah buat Raiz tinggalkan aku dulu? Sekarang ni kau nak rampas Nuf pulak?"

Raiz?

Warda tersentak mendengar nama yang sekian lama terkubur dalam ingatannya. Dia menggeleng kebingungan.

Terutama dengan ayat yang terakhir Bella tadi.

Rampas Nuf?

"Bella, tak pernah terlintas sekali pun dalam fikiran aku, yang aku nak rampas Nuf daripada kau! Tak pernah!"

Dalam tangisan yang bersisa, Bella masih sempat tersenyum sinis.

"Kalau macam tu, kau tak kisah kalau Nuf bencikan kau?"

Warda terdiam membisu.

Apa maksud Bella?

"Aku akan pastikan Nuf akan bencikan kau seumur hidup dia!" Nafas Bella turun naik tak menentu.

"Kau takkan boleh rampas lagi apa yang dah jadi milik ak—" Batuk kuat tiba-tiba terlepas dari mulutnya. Bella kelihatan terseksa melepaskan batuk sambil menunduk.

Warda diserang panik. Cepat-cepat dia menarik sehelai tuala tebal dari rak dan terus diselimutkan ke tubuh Bella. Sedaya upaya Warda cuba memapah Bella keluar.

"Bella, jom tukar baju dulu. Nanti kau makin sakit—" Pujuk Warda.

"Biar aku sakit! Itu je cara nak buat Nuf bencikan kau!"

Sungguh, Warda kian bingung. Tapi ujaran Bella tidak diendahkan. Dia berusaha memapah Bella keluar dari bilik mandi. Tangan Bella yang memaut tengkuk Warda membuatkan dia turut terjelepok ke lantai bilik bersama tubuh Bella yang longlai.

"Bella—"

"Kau tahu tak, Warda—" Bella bersuara hiba disulami dengan tangisan yang kembali pecah. Bahu Warda dipaut.

"Macam-macam cara aku dah buat supaya Nuf bencikan kau. Aku tak nak kehilangan dia macam mana aku kehilangan Raiz dulu—"

"Bella, dahlah tu—" Warda turut menangis. Tubuh lemah sepupunya mahu dipeluk erat.

"Kenapa, Warda?!" Bella menolak tubuh Warda menjauh.

"Kenapa Nuf tak pernah nak percaya apa yang aku cakap? Walaupun mulut dia cakap percaya, tapi aku tahu dia tak pernah percaya! Dia tak sayangkan aku! Dia tipu aku! Aku dah jumpa bukti, yang dia memang tak sayangkan aku!" Bahu Warda digoncang berkali-kali.

Warda menggeleng. Air matanya tetap mengalir melihat Bella yang sudah mulai mengongoi.

"Tak. Percayalah cakap aku. Nuf sayangkan kau! Kalau dia tak sayang, dia tak akan kahwin dengan kau!" Muka Bella diangkat merenungnya. Bersungguh-sungguh Warda mahu meyakinkan Bella.

"Selama ni, dia cuma kesiankan aku—dia tak pernah sayangkan aku." Bella menafi.

"Bella, please—" Air mata Bella dikesat dengan ibu jarinya. Anak mata sepupunya direnung sehingga ke dasar.

Tiba-tiba raut wajah Bella berubah. Mata merah yang sebentar tadi mengalirkan air mata, kini bertukar sepenuhnya. Dibayangi kemarahan dan kebencian.

"Berambus, Warda! Jangan datang sini lagi. Aku tak nak tengok muka kau!" Teriakan Bella memenuhi ruang bilik. Tangan Warda di pipinya terus ditepis kasar. Bella mahu bangun dari lantai dingin tapi tubuhnya yang lemah merencatkan tindakannya. Terbaring dia kembali di atas lantai. Kedinginan yang mencucuk tubuhnya membuatkan dia batuk lebih teruk lagi.

Warda mahu membantu, tapi terbantut memikirkan kemungkinan batuk Bella akan lebih teruk jika kemarahnnya semakin membara. Dia terkaku memikirkan cara. Namun, sebaik terlihat apa yang keluar dari mulut Bella, refleks mata Warda membulat.

Darah!

Tak banyak tapi cukup membuatkan Warda diserang cemas melihat percikan darah di jubin putih.

"Ya Allah! Bella!"

Bella mengerang kesakitan. Kadang-kala dia terbatuk sehingga pada satu tahap, dia seperti sudah kehilangan nafas.

Mata Warda meliar serata bilik. Beg tangannya dicapai. Telefon pintarnya dikeluarkan. Menggeletar tangannya menekan butang di sisi telefon. Berkali-kali ditekan namun hanya skrin gelap yang terpapar. Ditambah dengan bunyi batuk Bella yang makin menggila, terasa mahu dicampak ke dinding sahaja telefonnya. Warda cepat beristighfar. Pandangannya kembali diangkat. Warda bangun mencari telefon milik Bella serata bilik. Malangnya masih tidak ketemu.

"Bella, bangun. Kita pergi hospital!" Ditarik tangan kiri Bella melingkar di belakang tengkuknya. Pinggang Bella dipaut sehingga ke ruang tamu namun belum sempat keluar pintu, Bella melepaskan pautan Warda lalu melurut jatuh ke lantai.

Akhirnya Warda mengambil keputusan untuk pergi sendiri mencari bantuan, meninggalkan Bella terbaring di depan pintu buat sementara waktu.

"Bella, tunggu sini. Nanti aku datang balik!"

Beg tangan dicapai dan Warda terus berlari keluar berharap agar ada sesiapa yang muncul di dalam ruang pandangannya. Fikiran Warda seperti berhenti berfungsi apabila tiada seorang pun yang kelihatan. Sebaik keluar dari lif, barulah Warda teringat yang dia tidak membawa payung bersama.

Bodoh!

Sempat dia menyumpah diri sendiri.

Nampaknya, dah tiada pilihan lain!

Warda meredah hujan yang masih lebat. Kereta yang berpusu cuba ditahannya namun tiada satu yang berhenti. Nafas Warda mulai tercungap. Dengan hujan lebat yang jatuh menyiram wajahnya, semakin membuatkan dia sukar menghela nafas. Sejuk yang mencengkam benar-benar menurunkan suhu badannya. Warda masih cuba bertahan. Dengan tenaga yang masih bersisa, Warda lari menuju deretan lot kedai bersebelahan bangunan kondominium.

Baru beberapa langkah diambil, Warda terasa dadanya seperti dihimpit bebanan yang cukup berat. Langkahnya terhenti mendadak lalu tertunduk dia menongkat lutut. Nafas ditarik dan wajahnya nan kebasahan diraup sebelum dia mula melangkah semula dengan kerutan di dahi.

Namun, waktu itulah ada sesuatu yang tiba-tiba merentap jantungnya.

Satu rasa yang tak pernah dirasai.

Tak tergambar sakitnya.

Apa yang Warda tahu, terasa seperti jantungnya disiat-siat sehingga dia melutut jatuh dan terbaring di atas jalan. Dia masih sedar apabila beberapa orang mulai berpusu-pusu membantu. Masih terasa tubuhnya diangkat masuk ke dalam sebuah kereta, cuma khudratnya yang sudah tiada.

"Bella...t-tolong Bella..."

¤¤¤

Pandangan Amna terkaku. Mulutnya bergerak-gerak mahu berbicara namun lidahnya seolah kelu.

"W-warda—"

"Aku tak nak sesiapa pun tahu hal ni. Tapi aku dah tak mampu nak tanggung seorang diri lagi. Aku tak kuat—"

Amna memeluk Warda. Kepala sahabatnya diusap.

"Warda, kau patut cerita hal sebenar pada keluarga mak ngah kau." Amna memujuk lembut. Bahu Warda ditolak sebelum tangannya diletakkan di pipi Warda.

"Kau sakit. Bukan kau sengaja nak biarkan Bella macam tu. Lagipun Bella sendiri yang sengaja mudharatkan diri dia. Ni semua bukan salah kau!"

Warda menggeleng. "Aku dah cuba. Aku dah cuba nak bagitahu mak ngah. Tapi apa yang aku dapat? Mak ngah tampar aku, buang aku. Nuf cakap aku pembunuh! Pembunuh, kau tau tak?!"

Sebak Amna melihat air mata Warda yang deras mengalir sehingga ke dagu. Dikesatnya dan ditarik semula Warda ke dalam pelukan. Dia turut menitiskan air mata.

Sedu-sedan Warda cukup meruntun hati. Tak pernah dia menyangka sebegini teruk nasib sahabatnya.

Seorang Lilyrose Warda yang dahulu akan kekal ceria dan tertawa walaupun tahu dirinya langsung tidak berharga di sisi keluarga sendiri. Tak pernah dia melihat Warda selemah ini walau emosinya ditekan berkali-kali.

Tapi, hari ini...

Warda yang di hadapannya hari ini tak ubah seperti batuan kristal. Tampak cantik dan teguh namun jiwanya cukup rapuh. Mungkin bukan lagi rapuh, tapi besar kemungkinan sudah hancur berkecai. Hanya tidak kelihatan sebelum ini kerana diselindungi raga yang kononnya utuh.

"Kau patut tengok, Amna. Macam mana marahnya Nuf malam tu. A-aku lari dari hospital dua hari lepas tu sebab aku nak pastikan Bella tak apa-apa, tapi apa yang aku dapat? Nuf halau aku. Dia suruh aku berambus."

Warda terus-terusan teresak hiba.

"Kau tak tahu, macam mana sakitnya aku waktu tu. Dia memang tak akan maafkan aku sampai bila-bila, Amna. Aku akan kekal sebagai pembunuh Bella dimata dia."

Sungai air mata Warda mengalir lagi seperti tiada hujungnya.

"Dia tak akan maafkan aku—"

YaAllah, sakitnya!

Rintih hati Warda.

***

"Nuf. Puan dah tidur ke?" Mak Ilah menegur.

Nuf meraup mukanya sebaik ditegur. Duduk dibetulkan.

"Dah." Sepatah dia menjawab.

Mak Ilah meletakkan secawan kopi panas di atas meja dan disorong ke hadapan Nuf sebelum dia turut duduk di kerusi bertentangan.

"Minumlah."

"Terima kasih, Mak Ilah." Nuf tersenyum segaris tapi cawan kopi tidak disentuhnya. Hanya direnung kosong.

"Mak Ilah sengaja tak nak bagi Nuf tidur ke?"

Tergelak kecil Mak Ilah mendengar gurauan hambar Nuf.

"Nuf fikir apa? Dari tadi Mak Ilah tangok Nuf mengelamun."

Nuf menggeleng lemah. Cawan kopi dicapai dan dihirup sedikit sebelum diletakkan semula di atas meja. Kopi yang seharusnya manis atau pahit dirasakan payau di tekaknya. Entah kenapa deria rasanya hari ini seperti sudah hilang.

"Mak Ilah tahu kenapa mak tiba-tiba buat perangai hari ni?"

"Entahlah, Nuf. Sejak balik dari hospital petang tadi, dia tak nak makan."

Nuf angguk. Nafasnya memberat.

"Betullah agaknya. Mak rindukan Bella."

"Nuf? Nuf tak rindukan Bella?"

Hanya senyuman hiba yang mampu dipamer untuk tatapan Mak Ilah.

"Selama Nuf jadi keluarga dalam rumah ni, kita tak pernah bersembang macam ni kan, Mak Ilah?" Tiba-tiba Nuf menukar topik.

"Nuf tu yang selalu sibuk je memanjang. Kadang-kadang kalau Bella balik sini, Nuf tak ikut pun dia balik."

Nuf menggaru kening.

Memang betul. Bukan dia tak mahu balik, tapi dia ada sebab yang mahu dielakkan. Ada seseorang di dalam rumah ini yang buat dia tak keruan jika bertentangan.

"Dah berapa lama Mak Ilah kerja dekat sini?"

Mak Ilah mengerutkan bibir tanda di berfikir.

"Ish, lamalah jugak. Rasanya dah lebih sepuluh tahun jugaklah."

"So—" Nuf teragak sama ada mahu meneruskan soalannya atau tidak.

"Mak Ilah tahu kenapa mak bencikan sangat Warda?"

"Mak Ilah pun tak tahu. Memang dari Mak Ilah start kerja, puan memang dah anti dengan Warda." Nada suara Mak Ilah perlahan seperti berbisik. Dipandang kiri dan kanan seperti memastikan tiada siapa yang mencuri dengar.

Nuf diam memerhati tingkah Mak Ilah.

"Mak Ilah pun pelik sebenarnya kenapa puan tu boleh bencikan sangat si Warda tu. Padahal budaknya baik je sebelum ni."

Terjongket hujung mulut Nuf mendengar ujaran Mak Ilah.

"Mak Ilah rasa Warda tu baik ke?"

"Entahlah, Nuf. Warda tu bukannya selalu balik sini pun. Tambah lepas dia belajar jadi nurse, kadang-kadang hujung minggu je dia balik jenguk puan. Nuf pun selalu terserempak dengan dia kalau balik hujung minggu, kan?"

Jeda.

"Hmm, entahlah. Walaupun puan dengan Warda tu selalu bergaduh kalau jumpa, Warda mesti usaha juga nak melawat puan. Mak Ilah tahu, dia hormatkan puan tu macam ibu dia sendiri walaupun puan selalu buli dia. Mak Ilah tak rapat sangat dengan dia sebenarnya. Tapi kalau Nuf tanya pendapat Mak Ilah, selama Mak Ilah kenal Warda, budaknya takkan sanggup nak abaikan Bella tu. Nuf bayangkan kadang-kadang tu, kucing-kucing kurap tepi jalan tu pun dikutipnya bawak balik, inikan pulak dia nak biarkan sepupu dia mati sendiri. Hmm..tapi entahlah pulak." Mak Ilah menjongket bahu.

"Kucing? Warda—kutip kucing, bawak balik?"

Mak Ilah mengangguk.

"Iyalah. Kenapa?"

Nuf terdiam. Tiba-tiba nafas yang dihela seperti menyesakkan rongga pernafasannya. Kepalan buku limanya digenggam, seerat cengkaman di tangkai hatinya.

"Ish, dahlah. Mak Ilah dah mengantuk ni sebenarnya. Ingat tadi nak hantarkan kopi sekejap je, sekali lama pulak bersembang. Mak Ilah masuk tidur dululah ye." Mak Ilah bangun dan terus berlalu meninggalkan Nuf dengan rasa yang terpuruk.

Bingung.

Keliru.

Kenapa tindakan Warda selama ini sungguh bertentangan dengan apa yang didengarinya?

Out of character.

Berbeda dari jangkaan asal.

Kata-kata Mak Ilah tadi kembali terngiang.

"Kadang-kadang tu, kucing-kucing kurap tepi jalan tu pun dikutipnya bawak balik, inikan pulak dia nak biarkan sepupu dia mati sendiri."

Tapi, malam itu dia pulang ke rumah dari Ireland disambut dengan tubuh Bella yang terbujur kaku. Dia cukup yakin dengan melihat keadaan tubuh Bella yang membiru, selama dua hari dia sudah dibiarkan meninggal sendiri tanpa ditemani.

Mana Warda waktu itu?

Mana?

Saat amarahnya sedang membuak-buak bercampur sebak bersama tubuh Bella yang masih terkulai di dalam rangkulannya, Warda tiba-tiba muncul di muka pintu kondominiumnya dalam keadaan yang tidak terurus. Bajunya berkedut manakala rambutnya kusut.

Sebaik melihat apa yang terbentang di depan mata, Warda lantas terjelepok di atas lantai terutamanya sebaik terpandangkan Bella yang sudai terkulai layu. Renungannya seperti menafikan apa yang terbentang di depan mata.

"N-nuf, m-maafkan Warda. Warda—"

"Kau berambus sekarang!!!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience