Lilyrose 30 | Sooner or later

Romance Series 55089

Walau rindu menjerut hati
Diri belum mahu kembali

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

Kalau aku ada perasaan pada dia pun, semua tu perasaan benci!

Wajah muramnya diraup penuh sesalan. Kaki terlampau lemah untuk menolak tubuh berdiri dari duduk melutut di atas tanah.

Aku benci dia, Amna! Benci!

Rambut pula dicengkam dan kepalanya ditarik sehingga hampir bertemu lutut. Erangan keras terlepas beberapa kali akibat kecewa dan kesal yang menjadi duri mencucuk segenap pelusuk hati. Angkara ketegangan perasaan, urat-urat hijau mulai timbul di pelipis.

Kau patutnya sedar diri, Nuf! Dah tak ada ruang kemaafan untuk kau dalam hati dia. Kau melutut pun, dah tak ada gunanya. Dah terlambat! Dia takkan maafkan kau. Lepas apa yang kau dah buat, kau rasa cukup ke melutut ni untuk tebus segala kesalahan kau? Segala dosa kau? Kau dengar sendiri dua hari lepas. Dia kata, dia bencikan kau! Benci! Tak mungkin kau dapat ubah kenyataan tu. Kau ada dekat sini, akan mengingatkan dia dengan semua kekejaman kau. Mungkin itu akan buat dia lebih bencikan kau!

Nuf mula tak keruan memikirkan semua kemungkinan yang melintas. Tersentak dia apabila merasakan ada tangan kecil yang memaut lengannya. Segala perbuatannya terhenti. Apabila dia menegakkan badan, pandangan yang masih berbalam dapat menangkap jasad kerdil Aylan yang berdiri di depannya. Memegang lengannya sambil menggelengkan kepala beberapa kali persis menegah dia meneruskan perbuatannya tadi. Tanpa disangka, tangan kecil itu bergerak mengesat lembab di matanya. Perlakuan Aylan sedikit kasar tipikal seorang kanak-kanak lelaki namun masih dapat menyentuh ke dasar hati lelakinya.

Aylan menggeleng lagi. Sambil menunjukkan isyarat menangis, telunjuknya digerakkan ke kiri dan kanan beberapa kali.

Tak mampu lagi menahan perasaan, dia menarik Aylan ke dalam pelukan. Dengan mata terpejam, dia memohon secebis kekuatan. Memang dapat dirasakan apabila Aylan menepuk perlahan belakangnya. Tak setanding tubuhnya yang kecil, tapak tangan itu mengalirkan arus semangat yang besar. Kerana dia tahu, Aylan itu dah menjadi sebahagian dari Warda di sini. Semangat dari Aylan secara tak langsung menyuluh sinar harapan buatnya yang tadinya sirna. Sama seperti Kak Azi, Alif dan kucing kesayangan gadis itu; Oyen yang sering membuatkan dia rasa dunia masih akan berpihak kepadanya. Yang boleh membuatkan dia bermimpi masih punya peluang kedua untuk membetulkan segala kekhilafannya.

Pelukan terungkai. Nuf lihat Aylan tunduk mengutip tangkai damask rose yang entah bila jatuh dari pegangannya. Saat Aylan melihatnya kembali, dia seperti faham apa yang tersirat di anak mata hazel milik Aylan. Nuf mengangguk kecil tanda memberi kebenaran. Tanpa menunggu lebih lama lagi, Aylan berlari dengan damask rose ke arah kem.

Tak lama kemudian, kelibat Amna kelihatan keluar dari khemah. Apabila Amna berjalan ke arahnya, Nuf bangun perlahan-lahan dari duduk melutut. Wajah yang sedikit lembab diraup, bersedia untuk berdepan dengan Amna.

Pandangan Amna meliar ke atas bawah memerhati lelaki itu yang nampak sungguh serabut. Tidak pada fizikalnya namun jelas terpancar dari riak wajahnya.

"Doktor, saya nak cakap sikit." Tegang suara Amna sebaik tiba di depan Nuf.

"Hmm."

Sekali lagi mata Amna bergerak dari bawah ke atas batang tubuh lelaki itu. Sebetulnya tak tahu bagaimana hendak dimulakan. Dia mengeluh perlahan.

"Saya dah bagi peluang pada doktor bila doktor kata nak betulkan semua ni. Tapi, tengok apa yang doktor dah buat?"

"Apa yang aku dah buat, Amna? Salah ke bila aku nak tunjukkan keikhlasan aku?"

"Niat doktor tu tak salah. Tapi saya rasa cara tu yang salah. Doktor rasa melutut ni boleh selesaikan masalah ke?" Terjah Amna.

"Habis tu, kau nak aku buat apa?"

Amna mengeluh panjang dan berdecit.

"Entahlah, doktor. Doktor fikirlah sendiri baik buruk tindakan doktor ni. Kalau doktor tanya saya, memang saya nasihatkan doktor balik Malaysia dulu kut. Biarkan dia sendiri. Bagi ruang pada Warda tenangkan diri dulu. Doktor tahu tak, dia tu baru nak belajar tenangkan diri kat sini. Sekali doktor muncul macam ni. Berubah macam ni sekali. Siapa yang tak terkejut? Saya sendiri pun terkejut."

"Then, what?! Biarkan dia dekat sini? Sampai bila, Amna? Sampai bila? Nak biar dia terus bencikan aku? Macam tu?" Nuf geram bercampur sebal. Mudahnya Amna menyuruh dia balik setelah dia bersusah-payah selama ini untuk mencari Warda.

"Hishhh! Doktor ni, kalau saya cakap bodoh nanti marah pulak."

Nuf mengetap rahang sekaligus kerutan jelas terlakar di dahi.

"Kau nak cakap apa sebenarnya ni?"

"Saya ni memang marah dengan doktor lepas apa yang doktor dah buat pada kawan baik saya. Memang saya marah sangat. Tapi nasib doktor baik tau sebab saya ni baik hati orangnya."

Jeda.

Amna lihat dahi Nuf semakin berkerut.

"Saya dah lama kawan dengan Warda, doktor. Saya yakin apa yang saya rasa tentang perasaan Warda ni betul..."

Amna tiba-tiba berdecit.

"Hish, doktor tak payah tahulah yang tu. Cuma saya nak cakap sekarang ni, Warda tu bukannya bencikan doktor. Dia cuma..." Tengkuk yang tak gatal pula digaru.

"Mustahil dia tak bencikan aku lepas apa yang aku dah buat." Sangkal Nuf pula.

Amna buntu untuk menerangkan. Lagipun dia bukannya pakar dalam hal-hal melibatkan hati dan perasaan ni. Terutamanya apabila perlu mengajar seseorang yang buta hati.

"Okeylah. Doktor kata, Warda bencikan doktor, kan? Doktor rasa kenapa dia bencikan doktor?" Kening Amna terjongket.

"Sebab aku dah banyak sakitkan hati dia. Buat dia terluka. Paling teruk sekali, aku mintak dia mati. Aku nak dia mati walaupun aku sendiri tahu yang dalam hati aku ni tak nak pun dia mati. Aku tak tahu apa yang merasuk aku waktu tu, Amna!" Nuf meraup rambut dan wajahnya sudah bertukar kemerah-merahan.

Jatuh kasihan Amna melihat Nuf tapi mengenangkan tindakan kejam lelaki itu, memang wajar jika Nuf menyesal sebegini dan Warda juga boleh terluka sebegitu hebat.

Tapi, terluka tak bererti seseorang itu membenci. Boleh jadi perasaan benci Warda itu disalah tafsir dari kekecewaan atau berjauh hati.

"Doktor, Warda tu orangnya kuat tau. Saya tengok sendiri selama ni, mak ngah dan arwah isteri doktor dah buat macam-macam pada dia. Hina dia, bencikan dia, dera mental dia lebih teruk dari apa yang doktor dah buat. Saya yang selalu ada dengan dia sejak dari kami belajar lagi. Fahmi pun sama. Kami tak pernah tengok dia terluka macam ni sekali. Tak pernah sampai dia nak bunuh diri. Mak ngah dan arwah Bella buat macam mana sekalipun, tak pernah dia cakap dia nak lari jauh macam apa yang dia buat sekarang ni."

Terang Amna panjang lebar. Wajah Nuf yang kusut diselami.

"So, kenapa doktor rasa dia beria-ia nak larikan diri dari doktor? Doktor rasa sebab benci ke?"

Nuf terpinga. Soalan Amna penuh tersirat. Dia mahu menjawab tapi tak tahu apa yang harus diperkatakan. Entahlah. Fikirannya kusut buat dia tak dapat berfikir dengan lurus.

Amna menghela nafas panjang melihat Nuf terdiam lama.

"Macam nilah, doktor. Fahmi dah ceritakan pada saya semuanya. Usaha doktor, apa yang doktor dah buat sebelum doktor datang sini. Berkenaan Oyen, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab tolong selamatkan satu-satunya kucing kesayangan Warda. Tentang perasaan Warda, saya tak tahu dah nak cakap apa lagi. Saya tak ada hak langsung nak tentukan apa yang ada dalam hati dia. Semuanya doktor kena fikirkan sendiri. Lepas Fahmi dah tumbuk doktor hari tu, rasanya tak perlu kut saya tumbuk doktor sekali lagi untuk sedarkan doktor, kan?"

"Aku faham, Amna. Aku tak boleh desak dia untuk maafkan aku." Nuf terjeda dengan renungan sayu yang ditundukkan sedikit.

"Maybe betul kata kau. Aku kena bagi dia ruang. Tak boleh expect dia akan terus lupakan semua ni."

Terangguk perlahan kepala Amna.

"Tapi, kalau dia lari lagi macam mana? Mana aku nak cari dia? Aku betul-betul tak nak kehilangan dia lagi."

"You don't have to worry. Saya ada dengan dia. Lagipun dia ada orang yang dia sayang dekat sana. Sooner or later, dia akan balik Malaysia jugak. Doktor tak payahlah risau." Ujar Amna selamba lantas berlalu pergi meninggalkan Nuf terkebil sendiri.

***

Setelah seminggu Nuf di kem pelarian Syria di Reyhanli itu, dia kian menyesuaikan diri. Segala aktiviti sukarelawan dilakukannya dengan seikhlas hati. Tiada langsung rasa ralat walaupun niat awalnya cuma mahu datang bertemu Warda. Namun begitu, ketegangan hubungan antara dia dan Warda tetap begitu. Tiada apa yang berubah sejak pertama kali mereka bersua kembali.

Dia mendekati, Warda menjauhi.

Dia menyapa, Warda memalingkan muka.

Sudahnya, dia hanya mampu memandang dan memerhati dalam senyap. Seperti apa yang dilakukannya sekarang ini.

"Nuf tolong ambilkan bekalan ubat di city hall ya. Bekalan ubat tu memang mereka tinggalkan di city hall untuk semua kem di Reyhanli ni. So, selalunya untuk kem ni sahaja, dua kotak ubat. Ambil sekali lima kotak tepung ya." Abang Zul memberi arahan. Kunci pacuan empat rodanya dikeluarkan dari poket dan diberi kepada Nuf. Nuf menyambut dengan senang hati.

"Nanti Nuf mintak Amna atau Warda temankan. Dia orang tahu jalan ke city hall, in case kalau Nuf tak tahu."

Warda dan Amna yang sedang sibuk membantu beberapa orang wanita membentuk adunan tepung untuk dijadikan roti, terus berpandangan apabila nama mereka dibangkitkan.

"Saya boleh—" Amna ingin menawarkan diri, menyedari perubahan di wajah Warda.

"Nanti saya pergi dengan Warda." Pintas Nuf laju tanpa sekilas pun memandang Warda.

Abang Zul tersenyum senang. Bahu Nuf ditepuk beberapa kali.

"Terima kasih, Nuf."

Abang Zul memandang Warda pula.

"Nanti sekejap lagi Warda temankan Nuf, ya? Tunjukkan dia jalan ke city hall."

Dalam terpaksa, Warda akur dengan arahan ketua mereka. Dalam hati, dia tetap menyalahkan Nuf. Macamlah tak ada orang lain di sini.

"Kau okey tak ni? Ke kau nak aku je yang pergi?" Bisik Amna, dengan tangan yang masih berlumuran tepung.

"Tak apa. Aku okey."

Tak.

Sebenarnya memang Warda tak okey.

Sebaik sahaja masuk ke dalam pacuan empat roda tersebut, detak jantung Warda mula kehilangan rentak. Perasaannya sama sewaktu dia di dalam lif bersama Nuf dahulu.

Berdua tapi cukup sesak!

Sukar untuk dia bernafas dengan teratur. Lebih membuatkan dia kehilangan rentak nafas apabila perjalanan yang hanya beberapa kilometer dirasakan mengambil masa yang cukup lama untuk tiba. Makanya sepanjang perjalanan, Warda hanya memaku pandangannya keluar tingkap di sebelah kanan. Mengambil keputusan mendiamkan diri. Nuf yang memandu di sebelah kiri langsung tak diendahkan. Lelaki itu juga diam dan tenang memandu sehingga ke city hall.

Usai memasukkan segala barang di bahagian belakang pacuan empat roda dan menandatangani beberapa helai borang penyerahan, mereka bergerak balik. Sama seperti awal tadi, suasana hanya ditemani hening.

Nuf berdehem beberapa kali. Ini sahaja peluang yang dia ada untuk cuba mewujudkan bicara antara mereka sebelum tiba ke kem.

Dijelingnya Warda, sekilas.

"Aku tak nampak pun Aylan hari ni."

Mendengar suara lelaki itu, hampir membuatkan Warda meloncat di tempat duduk. Kawalan mindanya pantas lebih menenangkan diri.

Memang Aylan kurang sihat hari ini. Demam panas menghadkan dia untuk aktif seperti selalu. Malah, dia hanya terbaring lemah di dalam khemah yang didiami dia dan ibunya.

"He really likes you." Sambung Nuf lagi apabila Warda masih mendiamkan diri.

"Yes. Saya pun sukakan dia. Sebab tu saya tak suka bila ada orang ambil kesempatan, gunakan dia untuk kepentingan diri sendiri." Sindir Warda.

"Maksud kau?" Nuf memandang Warda sekilas dengan dahi berkerut.

"Awak ingat saya tak tahu, awak yang suruh Aylan bagi bunga tu pada saya?"

Teringat dia kejadian minggu lepas, Aylan muncul membawakan damask rose yang ditepis itu kembali kepadanya. Waktu itu, nak sahaja dia renyuk-renyukkan dan campak ke tanah. Dia tak mahu sebarang pemberian dari lelaki itu terutamanya melalui Aylan!

"Stop using him. He's still a kid. Dia tak tahu apa-apa."

"Okey. Aku tak ada niat pun nak gunakan dia. Tak sangka kau akan marah macam ni sekali. And for your info, I like him too."

Warda senyap.

"I'm sorry, okay?"

Warda kekal senyap. Membisu.

Nuf mengeluh di dalam hati. Sukarnya untuk dia memenangi sekeping hati milik gadis itu. Namun dia akur. Dialah penyebab hati gadis itu menjadi sekeras batu. Berat mulut namun mampu mengeluarkan kata-kata setajam pisau apabila dia mula bersuara. Dan kini dia sedia menerima segala natijahnya.

"Kau tak rindukan Malaysia ke? Tak nak balik?" Topik terus ditukar.

"Tak. Kenapa saya kena rindukan Malaysia?" Jawab Warda acuh tak acuh setelah beberapa ketika mendiamkan diri. Pandangan tetap terlontar merenung keluar tingkap di sebelah kanannya.

"Family macam mana? Kau langsung tak rindukan dia orang ke?"

"Family?" Warda tertawa sinis. "Awak ni memang pelupa atau sengaja buat-buat lupa? Siapa family saya? Siapa?"

"Warda, kau—"

"Jangan cakap mak ngah dengan pak ngah sebab saya rasa dia orang tak pernah pun anggap saya sebagai family. Selama ni pun, saya seorang je yang cuba pertahankan hubungan keluarga kami. Sayangkan dia orang macam mana saya sayangkan arwah mama dengan papa. Tapi apa yang saya dapat?"

Dada Warda berombak.

"Saya dah puas dah, sayangkan orang yang tak pernah sayangkan saya. Hormatkan orang yang anggap saya ni macam sampah."

Nuf terdiam. Kelu lidah tak terkata mendengar luahan Warda yang tiba-tiba. Bukan niatnya asalnya untuk buat Warda mengenang kedukaan lalu. Kisah perit dibuang keluarga dan dilayan seperti tiada harga. Malah, dia sendiri pun tak terkecuali melakukan hal yang sama. Menoreh luka di atas luka yang sedia ada di hati gadis itu.

"Kat sini, saya tak payah merayu, tak payah mengemis. Awak sendiri nampak. Semua sudi terima saya sebagai keluarga. Anggap saya sebagai family. Tak pernah hina, keji saya. So, why should I leave them?"

Walau suara Warda bersahaja tapi Nuf tahu sebaliknya ada kesenduan yang cuba disembunyikan. Dia menggenggam erat stering pacuan empat roda itu seerat cengkaman di dalam dadanya. Kaki menekan pedal brek. Kenderaan tersebut diperlahankan dan terus berhenti di bahu jalan. Setelah berhenti sepenuhnya, dia lekas menyeluk ke dalam kocek seluar seterusnya menarik sesuatu keluar.

Telefon pintar.

Warda cuma menjeling Nuf yang membelek-belek telefonnya beberapa ketika. Ibu jari lelaki itu bergerak pantas di permukaan skrin.

"Ni—" Secara tiba-tiba, Nuf menghulur telefon pintarnya di depan Warda."—bukan family kau?"

Pandangan keliru Warda berpindah dari Nuf yang berpusing merenungnya, ke skrin telefon pintar milik lelaki itu.

"Ni maksud aku."

Keruh terlakar di wajah Warda. Imej yang terpapar di skrin sungguh membuatkan dia dirundung sebak. Kalau diikutkan hati yang kuat mendesak, mahu sahaja dia merampas telefon milik lelaki itu dan ditatap sepuasnya imej yang terpapar. Sendu yang baru mahu menjalar, ditahan agar tak terus tersebar.

"Aku tahu kau suka duduk dekat sini. You love being here. They're just like your own big family. Kau rasa kau bertanggungjawab untuk bantu semua yang dekat sini. Tapi bukan kau seorang je, Warda. Satu dunia tahu hal ni. Kalau boleh, satu dunia pun nak bantu pelarian ni semua. Aku tak nafikan apa yang kau buat ni, semuanya betul. They need people to help them. They need people to protect them just like what you did."

Nuf berjeda.

"But, how about this family? Siapa yang nak bela nasib dia orang ni, kalau kau tak ada dekat sana?" Soal Nuf. Kali ini merujuk kepada gambar yang masih terpapar di skrin. Nadanya mengendur perlahan. Sedikit sebanyak dia berharap Warda akan terpujuk.

"Kau takkan mampu nak bantu semua orang dalam satu masa. Setahu aku, keluarga ni kau seorang je yang sudi bantu. Yang sudi bela nasib dia orang. Yang sayangkan dia orang macam keluarga sendiri."

Seperti biasa, Warda mengelak pandangan Nuf yang menagih reaksinya dan renungannya dilontar keluar tingkap kereta semula. Tak selesa apabila panahan mata lelaki itu tak berganjak dari wajahnya.

"Kau tak rindu ke kat dia orang ni?" Pancing Nuf lagi.

Warda tak terkata.

Siapa kata dia tak rindu? Malah hampir setiap hari keluarga itu akan tersisip didalam lipatan doanya. Saat dia dibuang keluarga sendiri, hanya keluarga itu tempat dia menumpang kasih. Dan jika dia punya satu alasan untuk pulang ke Malaysia suatu hari nanti, pastinya disebabkan keluarga itu. Cuma, dia rasakan sekarang bukan masa yang sesuai. Tak perlu dipujuk atau ditunjukkan gambar tadi sekalipun, dia tetap tidak akan kembali buat masa ini. Dia masih belum bersedia untuk pulang dan dia masih mahu berbakti di sini.

Memang dia mengaku sebelum ini dia bertegas untuk pergi dari sini sebaik melihat muka Nuf, tapi entah kenapa sekarang tak lagi. Bila difikir-fikirkan lagi, kenapa dia perlu lari? Betul kata Amna. Kenapa harus dia tinggalkan segala yang dia perjuangkan di sini semata-mata untuk mengelak dari lelaki itu?

Tanpa Warda sedari, kereta dah kembali meluncur perlahan di atas jalan. Matanya kosong merenung setiap objek yang berlumba-lumba melintasi pandangan sementara kotak fikiran masih ligat mematri tiap inci gambar yang dilihatnya sebentar tadi.

"You can't imagine how much they miss you. They need you too."

Warda memejamkan mata dan bersandar berpeluk tubuh. Mengeraskan hati sekaligus memekakkan telinga.

"Aku tahu salah satu sebab kau ada kat sini pun disebabkan aku. Kau sanggup tinggalkan semua yang kau sayang dekat sana, because you're running away from me. Berhenti hukum orang sekeliling yang sayangkan kau, yang rindukan kau semata-mata nak elakkan diri dari aku, Warda. Tak ada gunanya kau lari. Kau lari sejauh mana sekalipun, aku tetap akan cari kau sampai ke hujung dunia sekalipun."

Mata Warda yang tadi terpejam rapat, kini terbuntang luas. Kurang percaya dengan apa yang didengarinya.

"Sebab kau memang takkan boleh lari dari aku, Warda."

Dan Warda terkedu.

Macam mana lelaki itu boleh bertutur tanpa ada sedikit pun keraguan? Penuh yakin dan dalam masa yang sama terkandung seribu makna yang sukar difahaminya.

"Warda, ikut aku balik?"

"Kalau awak nak balik, awak baliklah. Saya tak pernah halang."

Dapat diagak jawapan Warda tapi tak salah kan kalau dia mahu mencuba? Siapa tahu mungkin Warda setuju untuk balik. Semuanya tinggal harapan kini apabila Warda terang-terangan menolak pelawaannya.

"Aku tahu sebenarnya kau tak suka aku ada kat sini, kan? Kalau boleh, kau nak aku lenyap dari depan mata kau."

Warda tiba-tiba menggeleng.

"Tak. Kan awak sendiri yang cakap pada saya supaya tak tunjukkan muka saya ni depan awak lagi. Tak ingat? Awak cakap apa dulu? Muka saya sebabkan awak teringatkan Bella, kan?"

Nuf termanggu apabila tiap patah pertuturan Warda buat dia rasa tersindir.  Tak dinafikan, memang ingatannya jelas dengan apa yang berlaku hari itu. Tapi semua itu akibat dipengaruhi dendam amarah. Dan dia mengaku, memang waktu itu dia terlalu bodoh. Mata tercelik tapi hati terlampau buta untuk melihat kebenaran.

"Saya tak pernah jemput awak datang sini, jadi tak perlulah beria-ia cari saya bila awak sendiri pun tak nak tengok muka saya lagi."

"Aku mengaku Warda, masa tu aku bodoh. Aku salah. Aku tak sedar apa yang aku cakap." Nuf meraup rambut. Dengan rela hati, dia mengakui kebodohannya di depan Warda.

Walaupun Warda tak melihat, tapi hujung bibirnya tersungging sinis. Bodoh? Salah? Tak sangka Nuf yang dulu selalu fikir dirinya sentiasa betul akan mengakui kekurangan sendiri. Tambah-tambah lagi di depannya?

"Kalau kau betul-betul nak aku balik, aku boleh balik." Lirih Nuf.

Nuf akur akhirnya. Ruang buat Warda harus diberikan agar kemaafan gadis itu buatnya bisa mencelah kemudian hari. Namun, dia balik tak bererti dia berserah dan mengalah. Di satu sudut yang lain, dia punya misi lain yang ingin ditunaikan buat gadis itu jika dia balik ke Malaysia nanti. Pelbagai rencana sudah tercorak di dalam minda.

"Dipersilakan balik, doktor. Tempat ni memang tak sesuai untuk awak. Tengok kem pelarian tu pun dah cukup. Kotor. Daif. Mana layak awak duduk dekat sini."

Jeda. Tepat jangkaannya sebelum ini. Lelaki itu takkan betah tinggal lama di sini.

"Lagipun mesti ramai yang tengah tunggu awak dekat sana. Pesakit awak. Kekasih awak pun sama. Mesti semuanya tengah tunggu kepulangan awak."

Dahi Nuf terkerut.

Pesakit, logik. Tapi, kekasih?

Bila dia ada kekasih?

"Jangan guna alasan tu untuk halau aku, Warda. Okey, aku balik. Aku akan balik kalau itu yang kau nak. Tapi dengan satu syarat."

Pacuan empat roda tiba di kem. Nuf menekan brek dan memberhentikan sepenuhnya kenderaan sebelum berpusing menghadap Warda. Pandangan mata Warda penuh tanda tanya, berlaga dengan anak mata lelaki itu yang kekal tak berganjak dari wajahnya. Masing-masing menelan air liur.

"Janji dengan aku, kau takkan lari lagi. Duduklah dekat sini selama mana yang kau nak. Tapi bila kau dah puas, tolonglah balik. Sebab macam yang aku cakapkan tadi, tak ada guna kalau kau lari. Aku tetap akan cari kau. Sooner or later, I'll find you. No matter what."

Diam. Nada lelaki itu yang dalam buat dia meremang lagi.

"Balik, okay? Aku tunggu."

Tok! Tok! Tok!

Berkali-kali tingkap cermin diketuk membuatkan Warda lantas berpusing. Dia lihat Amna dengan wajah yang cemas diluar. Warda lantas menolak pintu dan meloncat keluar dari pacuan empat roda tersebut. Nuf turut melakukan hal yang sama.

"Warda!"

"Amna. Kenapa ni?!" Warda turut panik.

Telunjuk Amna menghala ke arah kem sambil dia menarik-narik lengan Warda supaya cepat.

"Aylan! Aylan! Cepat, Warda! Aylan!"

Mata Warda dan Nuf menyoroti telunjuk Amna dihalakan. Terbuntang mata keduanya.

"Ya Allah! Aylan!" Pekik Warda.

Nyaris dia pengsan melihat apa yang terbentang di depan mata.

###

p/s: sorry lambat update chapter hari ni..terlupa langsung nak update lagipun banyak nak kena edit struktur ayat dari versi sebelum ni. Esok saya cuba update lagi satu chapter tapi tak tentu bila. Hmm, korang rasa gambar apa yang Nuf tunjuk pada Warda tu dan apa pulak yang jadi pada Aylan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience