Lilyrose 4 | Priceless

Romance Series 55089

Melihat mereka ceria
Cukup membuatkan aku bahagia

««~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~»»

"Adik, hari ni nak nasi goreng ayam. Dua bungkus. Air macam biasa, ikat tepi semua." Warda tersenyum ke arah pelayan yang berdiri di sisi meja sebelum dia berlalu.

"Warda, kau nak pergi jugak ke hari ni? Kau kan tak sihat." Ujar Fahmi gusar.

Warda berpaling ke arah Fahmi lalu menjulingkan mata. "Aku dah cakap aku okay, kan? Lagipun bukannya susah pun. On the way balik je."

Tahu sangat Fahmi dengan rutin hampir setiap hari sahabatnya itu. Setiap kali habis shif tak kira pagi, petang atau malam, pasti warda akan singgah di kafe hospital dan membeli dua bungkus minuman dan makanan. Dan Fahmi tahu untuk apa.

Mulia sungguh hati Warda.

Fahmi berbisik sendiri.

Matanya melirik ke arah Warda yang sedang menongkat dagu. Warda termenung memandang meja. Lama sikit lagi, mahu berlubang permukaan meja dek renungan menusuk Warda.

"Warda."

Tiada reaksi.

"Warda." Kali ini Fahmi bersuara sedikit kuat sambil jemarinya mengetuk permukaan meja.

Tersentak Warda dari lamunan. Pandangannya diangkat.

"Kau betul ke okay ni? Lepas terserempak dengan Dr Nuffaiq tadi, kau tu asyik termenung sana, termenung sini. Mata merah. Dia ada cakap apa-apa ke kat kau?"

Warda mengeluh lemah dan menggeleng perlahan. Fahmi direnung malas.

"Aku cuma..." Warda tercari-cari alasan yang akan kedengaran logik di telinga Fahmi. "Aku cuma teringatkan Bella. Itu je." Warda menjongket bahu, berharap yang Fahmi berhenti bertanya lanjut.

Fahmi diam tapi di dalam hati, dia tahu yang Warda mahu mengelak dari berbica berkenaan Dr Nuffaiq. Bukan dia tak tahu hubungan Warda dan suami sepupunya itu tidak seperti hubungan saudara yang lain. Dari dulu Warda sering mengelak dari bertembung dengan Dr Nuffaiq. Bukan dengan lelaki itu sahaja, bahkan dengan Bella pun Warda tak pernah kelihatan mesra. Yang dia tahu, Bella hanya akan berbaik-baik jika ada yang dimahunya dari Warda.

Satu perkara yang Fahmi paling ingat, Bella sering muncul di hospital untuk mengambil ayam masak merah dari Warda sebelum dia hilang ke tingkat atas. Hampir setiap minggu, mesti sekali Bella akan menyuruh Warda menyediakan ayam masak merah. Entah apa yang special sangat dengan ayam masak merah Warda itu, dia pun tak tahu.

"Hoi, Mi!" Warda memetik jari betul-betul di depan muka Fahmi.

"Hoi ayam masak merah kau sedap!" Fahmi melatah.

Meletus ketawa Warda.

"Kau dah kenapa teringat dekat ayam masak merah ni? Teringin? Kalau nak, esok aku bawakan untuk kau."

Fahmi yang bagai lepas tersampuk iblis, pantas mengangguk sebelum menggeleng laju.

Berkerut kening Warda, pelik dengan perubahan perangai Fahmi.

"Ish, kau ni. Risau aku."

"Kau dah nak balik ke?" Fahmi mengubah topik.

Warda mengangguk. "Order aku dah siap." Kata Warda sambil mengangkat bungkusan di tangannya lalu bangkit dari kerusi.

"Hati-hati, Warda. Apa-apa call aku."

Warda mengerut hidung.

"Kau tu yang hati-hati. Ha, lagi satu." Warda pusing kembali memandang Fahmi. "Jangan lupa jumpa doktor sebelum balik. Cek otak tu."

"Warda!"

Warda ketawa lagi sambil berlalu pergi.

***

"Kau tak layak jadi nurse, Warda. Sepupu kau sendiri pun kau tak mampu nak jaga. Kau sanggup biarkan dia meninggal sendiri."

"Apa hak awak nak cakap macam tu?" Warda menyelar tomahan Nuf.

"Dah tentu aku ada hak. Why? Because I'm her husband and a doctor. Jadi aku tahu orang yang tak ada belas ihsan macam kau ni memang tak layak untuk jadi nurse!" Nuf kembali memintas kata-kata Warda.

Warda menggeleng lemah.

Nuf tak tahu apa-apa berkenaan malam itu. Dia bukan sengaja mahu mengabaikan Bella. Malah, apa yang Bella lakukan malam itu juga seperti tak dapat dicerna dek akal fikiran yang waras. Tindakannya seolah-olah sengaja mahu menempah maut.

Kenapa, Bella? Kenapa kau buat macam tu?

"Walaupun saya dengan Bella tak pernah rapat sebelum ni, tapi saya takkan sanggup biarkan dia sendiri dalam keadaan macam tu! Awak mungkin takkan percaya, tapi saya
sayangkan dia tak ubah macam kakak saya sendiri."

Nuf ketawa sinis.

"Sayang?" Nuf sambung ketawa. "What a unique way to show your love to her, huh?

***

Tanpa sedar Warda sudah sampai di tempat tujuannya. Kereta kecilnya diparkir sebentar di bahu jalan. Wajahnya diraup lembut. Walaupun minda mengingatkan agar kejadian pagi tadi dilupakan, namun hati masih berdegil. Warda sediri sudah hampir putus asa mahu memujuk hatinya. Setiap kali ada waktu terluang, ujaran Nuf pasti akan terngiang-ngiang.

Bungkusan makanan dan minumam dicapai sebelum dia melangkah keluar dari kereta. Dengan berhati-hati, dia mendaki anak tangga naik ke atas jejantas pejalan kaki.

Lima bulan.

Rasanya sudah lima bulan dia singgah ke sini setiap kali pulang dari hospital. Seringkali juga rasa bersalah menjerut hati memikirkan setakat itu sahaja kemampuannya untuk menolong.

"Kak Warda! Kakak dah sampai, ibu!" Teriak seorang kanak-kanak dalam lingkungan tujuh tahun. Senyuman lebar jelas terukir di wajahnya sebelum dia bangun dan pantas menerpa memeluk kaki Warda. Senang dengan keletah anak kecil itu, Warda mengusap lembut kepala berambut kerinting itu sebelum tunduk mencium dahinya.

"Alif nakal tak hari ni?"

"Tak. Alif tak nakal. Tapi Alif lapar."

Sayu hati Warda mendengar. Sudah dua hari dia tak sempat untuk singgah menghantar makanan angkara kejadian itu.

"Alif, tak baik cakap macam tu, nak. Kesian kak Warda sibuk. Bukan setiap hari dia dapat jenguk kita." Lembut kedengaran suara wanita yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.

"Tak apa, kak Azi. Biasalah budak-budak. Tak pandai nak menipu. Kalau dia cakap lapar, maksudnya memang laparlah tu." Warda mencapai tangan Alif dan mendorong dia duduk kembali di sebelah ibunya.

"Kak Warda mintak maaf sebab dah dua hari tak datang hantar makanan. Mesti Alif lapar sangat-sangat kan?"

"Eh, tak Warda! Alhamdulillah rezeki dua hari akak berjual tisu ni boleh tahan jugak. Jadi dapat belikan nasi untuk Alif."

"Mana ada ibu belikan nasi. Ibu belikan Alif roti je." Alif tiba-tiba menyampuk. Kak Azi sembunyi senyuman pahit.

Menitis setitik air mata Warda namun dia pantas menyeka dari terlihat Alif.

Tak perlu diberitahu oleh Alif pun, Warda sudah dapat mengagak. Berapa sangatlah yang mampu diperoleh dari hasil menjual tisu di atas jejantas ni?

Warda memandang sekeliling. Sunyi dan sepi. Hanya kedengaran deruan enjin kereta yang lalu di bawah jejantas.

"Ah, tak apa. Hari ni kak Warda bawakan nasi untuk Alif dengan ibu. Alif makan sampai habis." Warda bersuara ceria sambil menghulur satu bungkusan makanan dan minuman ke arah Alif. "Biar kak Warda bantu ibu makan."

Lincah tangan Warda membuka bungkusan makanan. Tiba-tiba kak Azi menyentuh lembut tangan Warda. Pandangannya diangkat merenung kak Azi.

"Tak apa, Warda. Mata akak je yang buta. Hati akak tak buta lagi. Akak boleh makan sendiri."

Nadanya seperti bergurau tetapi cukup membuatkan Warda kembali menitiskan air mata. Alif yang sedang gelojoh menyuap makanan ke dalam mulut direnung sekilas.

"Okay." Suaranya dikawal supaya tidak bergetar.

Warda mencapai tangan kak Azi dan meletakkan sudu ke atas tangan wanita itu. Kak Azi perlahan menyuap nasi goreng ayam ke dalam mulutnya. Dikunyah lama sebelum ditelan.

"Sedap, Alif?" Warda menyoal.

Alif mengangguk laju. Mulutnya penuh dengan makanan.

Warda tersenyum nipis.

"Warda, terima kasi—"

"Akak." Warda memintas. "Saya dah cakap banyak kali, tak perlu berterima kasih. Ni dah memang tanggungjawab Warda untuk bantu akak dengan Alif. Lagipun, ini je yang Warda mampu, kak..."

"Warda, yang ni pun dah besar sangat rahmat-Nya bagi kami. Akak minta maaf ya, terpaksa tolak pelawaan Warda sebelum ni. Akak taknak susahkan Warda. Selama ni Warda dah cukup susah singgah hantarkan makanan kepada kami. Kalau kami tinggal dengan Warda, nanti semakin terbeban. Kami tak nak jadi bebanan sesiapa."

Warda menggeleng. Tak pernah dia terfikir yang keluarga ini menyusahkan atau membebankannya. Malah dia akan lebih rasa bersyukur dapat membantu mereka sehabis upayanya.

Apalah sangat nilai wang yang dibelanjakan untuk membeli makanan ini jika dibandingkan dengan riak gembira dan syukur yang dipamerkan wajah-wajah di depannya?

Tak ternilai.

Priceless.

***

Nuf memerhati pelbagai jenis lauk-pauk di depannya. Kalau ikutkan dia, memang tak ada selera untuk makan. Tapi, setelah dipaksa Zara dia akhirnya menurut.

"Sikitnya you makan." Zara menegur sebaik mereka melabuhkan punggung di atas kerusi.

Nuf hanya tersenyum sedikit.

"Nah, I ambilkan you ayam masak merah. Ni favorite you kan?" Zara mengangkat ayam masak merah dari pinggannya dan diletakkan di dalam pinggan Nuf.

Nuf memandang kosong ayam masak merah yang sudah bertukar pinggan.

"I tahu yang you suka ayam masak merah sebab I selalu nampak your wife datang hantarkan lauk ni dekat you. Such a sweet of her..." Bicara Zara tergantung melihat riak wajah Nuf berubah. Bibir bawahnya digigit menyesali keterlanjuran lidah.

"Nuf, I'm so sorry... I tak ada niat langsung nak buatkan you teringat dekat dia."

Nuf mengeluh lemah dan menggelengkan kepala.

"It's okay, Zara. Let's eat." Nuf memandang Zara sekilas sebelum menundukkan kembali pandangan memandang pinggannya. Sudu dan garfu dicapai dan dia mula menguis nasi di dalam pinggan. Disuap sesudu ke dalam mulut. Nasi yang ditelan, terasa seperti butir pasir yang kasar menuruni tekak.

Zara hanya senyap memerhati tingkah Nuf yang tampak canggung.

Nuf mula menyuap ayam masak merah ke dalam mulut. Terdiam dia sebentar sebelum meneruskan suapan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"You wanna know something, Zara?" Nuf tiba-tiba bersuara, memandang Zara.

Zara menjongketkan kening, menghantar isyarat supaya Nuf meneruskan ujarannya.

"Seumur hidup I, I tak pernah rasa ayam masak merah yang lebih sedap dari apa yang Bella masak." Wajah Nuf bersahaja namun seperti menyimpan seribu luka.

"Dan I rasa, I takkan mungkin dapat rasa tu lagi. Not even this can compare..." Nuf menunjuk ayam masak merah di dalam pinggannya menggunakan hujung sudunya.

"Atau mungkin I patut berhenti je makan ayam masak merah." Nuf berkata dalam tawa yang hiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience