Bab 23: Tiga Mahkota

Fantasy Series 4911

Tiga puncak mahkota dunia sedang dilitupi kabut salji. Lembah Kesunyian sudah jauh di bawah kaki. Cahaya samar-samar dari bulan yang berbicul di sebelah kanan di atas kepalanya gagal menembusi ketebalan kabut salji yang memenuhi Lembah Kesunyian dari bawah sampai ke atas ini. Sepi tanpa desiran angin, kabut itu seolah-olah akan selama-lamanya terapung-apung sahaja di sini. Dia sudah tidak nampak lagi lembah yang tersepit di antara tiga sisi puncak bumi. Salji tebal yang turun dari pagi hingga ke petang menyebabkan dia tidur saja sepanjang hari di dalam khemahnya tadi. Tapak perkhemahan di kaki lembah glasier itu lengang tanpa kunjungan ramai pendaki. Hanya beberapa orang pendaki tegar sahaja yang mahu berada di sini pada pertengahan bulan Februari. Itupun mereka tidak berani sepertinya untuk mendaki lebih tinggi kerana cuaca yang tidak mengizinkan pada masa begini. Namun untuk menakluk tiga mahkota dunia ini, dia tidak perlu menunggu izin dari Sang Mentari.

Dia berpakaian lengkap untuk mendaki. Pakaiannya ialah sepasang but kelasak yang siap dipasang krampon sepuluh mata, sehelai seluar panjang, selapis baju kapas tebal berlengan panjang yang dilapisi oleh sehelai jaket berhud, jam tangan beraltimeter, sarung tangan kain wul, sepasang gogal fotokinetik dan sebuah lampu suluh yang terikat pada helmet mendaki yang dipakainya di atas topi Tashi. Beg sederhana besar yang digalasnya pula diisi dengan satu termos air, seutas tali dan beberapa peralatan penting. Dua bilah kapak salji terikat kemas pada beg galasnya itu. Bekalan makanan dan peralatan memasak ditinggalkan sahaja di dalam khemahnya kerana rancangan pendakiannya hanya untuk malam ini sahaja.

Dia menyambung pendakiannya setelah berhenti sebentar untuk menoleh ke bawah. Mendaki pada waktu malam lebih digemarinya kerana bekuan ais lebih keras lagi. Kapak ais pada tangan kanannya dihayunkan dengan kekuatan terhitung. Setelah terpaku kapak ais itu pada lapisan ais yang menyelimuti puncak batu granit itu, dia menarik badannya ke atas. Dengan segera dia menujahkan krampon pada butnya kepada dinding ais. Dua batang kuku besi pada pangkal krampon itu pun tertusuk pada dinding air batu itu. Setelah menguji kekuatan cengkaman kuku krampon itu dengan menginjak-injakkan kaki kirinya tiga kali, dia menghayunkan kapak ais di tangan kirinya pula sejauh mana yang mampu dijangkau oleh tangannya. Mata kapak terbenam beberapa inci ke dalam dinding ais yang keras itu. Dia menarik badannya ke atas lagi. Kali ini kuku krampon pada kasut kanannya ditikamkan pada jarak kira-kira setengah meter di atas kaki kirinya. Dia menginjak-injak lagi dan setelah yakin kekudanya kukuh, maka dicabutnya kapak ais pada tangan kanannya lalu dihayunkan ke atas lagi setakat tinggi yang terlangkau. Kapak itu terpaku tepat pada sasaran yang telah ditetapkan. Dia naik selangkah lagi menarik badannya yang besar setinggi hampir tujuh kaki.

Langkah demi langkah akhirnya sampai jua dia di Nuptse. Hanya dua jam sahaja masa yang diambilnya untuk sampai di puncak gunung setinggi enam ratus meter dari tapak perkhemahan di bawahnya ini. Nuptse yang bererti Puncak Barat benar-benar mengecewakannya. Kesejukan di sini pun tidak seberapa. Badannya langsung tidak menggigil pun apabila kesejukan malam menempelkan bedak salji pada pipinya yang terdedah. Nisbah gas oksigen yang begitu rendah dalam campuran udara di sini juga langsung tidak menyebabkan dia termengah-mengah. Duduk sendiri di atas puncak itu dia menghadapkan wajahnya ke arah utara dengan perasaan yang kurang senang kerana terlalu mudah untuk dia sampai ke situ. Kegelapan malam dan ditambah pula kabut salji benar-benar mengehadkan penglihatannya kepada jarak sekadar beberapa meter sahaja. Namun menikmati pemandangan dari ketinggian ini bukanlah agenda utama pendakiannya. Melihat pada jam di tangannya, waktu sudah pun suku jam melepasi sembilan malam. Altitud di sini ialah 7,861 meter dari paras laut. Setelah beberapa ketika duduk mengelamun lantas dia pun bangun untuk meneruskan perjalanan ke timur menuju ke Puncak Selatan, Lhotse.

Jarak di antara puncak Lhotse yang berada di timur Nuptse hanyalah empat suku kilometer sahaja dan dihubungkan dengan sebuah rabung gunung yang sempit. Rabung gunung di hadapannya mula-mula menurun dan kemudian menaik. Rabung itu seperti pelana kuda yang sempit dan melengkung ke bawah. Terdapat tujuh puncak kecil berada di atas lengkungan rabung ini. Dia berjalan dengan berhati-hati menyusuri rabung yang diselaputi ais tebal dengan bantuan sebatang tongkat bermuncung tajam. Kelebaran puncak rabung itu cukup-cukup untuk dia berjalan di atasnya. Walaupun bukan semua bahagian rabung itu rata pada puncaknya, tetapi dengan bergantung pada kapak ais, dia melepasi bahagian puncak yang berbatu tajam dari sebelah sisinya. Angin yang bertiup pula tidaklah begitu kencang. Bernafas dengan tenang dalam udara yang nipis, dia menikmati cabaran ini dengan penuh fokus. Dia mencucukkan tongkatnya pada lapisan ais dan setelah yakin tusukan itu mampu memberinya keseimbangan barulah dia melangkah. Sebelah tangannya lagi siap sedia dengan kapak ais untuk menghadapai saat-saat andai kiranya dia tergelincir.

Lima jam berjalan dan mendaki tanpa henti dia sudah pun sampai di kemuncak Lhotse. Dia tidak langsung menghadapi masalah di sepanjang perjalanan itu. Pada ketinggian 8,516 meter, puncak ini merupakan puncak keempat tertinggi di dunia. Namun seperti di Nuptse tadi, kabut salji di Lhotse juga tebal. Pipinya sebu dengan darah hangat yang mahu menentang kesejukan salji. Dia berasa nyaman sekali duduk di Lhotse dalam kebungkaman dan kedinginan ini. Namun dia tidak boleh duduk lama-lama di sini kerana misinya masih belum selesai.

Tiada manusia lain yang mampu melakukan apa yang telah dilakukannya malam ini. Hidupnya adalah sungguh bererti. Cita-citanya setinggi gunung-gunung ini. Impiannya sering saja bermanifestasi menjadi realiti. Tidak ada kesusahan melainkan semuanya boleh diatasi. Masa yang menyebelahinya memberi ruang untuk segala rancangannya terjadi. Kekuatan, kekuasaan dan kepintaran yang dimiliki, menjadikan dirinya kebal dari kegagalan yang pasti. Dua puncak yang telah berjaya didaki sebagai bukti keupayaan diri. Puncak yang ketiga lebih tinggi lagi. Jaraknya ialah dua suku kilometer di utara Lhotse. Angin menderu dengan kuat ketika dia mula bersedia untuk menuruni cenuram di sebelah utara Lhotse yang bersambung dengan rabung gunung untuk pergi ke puncak ketiga. Tebing gunung Lhotse curam sekali. Tanpa membuang masa dia membuat persediaan untuk menuruni cenuram itu.

Persiapan pertamanya adalah dengan mencari satu rekahan batu yang sesuai pada puncak Lhotse itu. Apabila terjumpa satu rekahan selebar kira-kira setengah kaki, dia pun memasukkan sebuah alat sesondol bermuatan spring di celah-celah rekahan itu. Alat sesondol bermuatan spring itu tersangkut dengan baik di antara celah-celah rekahan dan menjadi sauh agar dia boleh memasang tali pada alat ini. Pangkal sesondol tersepit dengan kuat di celah-celah rekahan batu itu. Setelah menguji ketahanan sesondol itu daripada mudah tergelincir, lalu dia menyangkutkan sebuah takal pada karabiner yang terdapat di hujung sesondol. Karabiner yang dipasangnya itu merupakan cangkuk berbentuk huruf D tebal sebesar dua jari dan diperbuat dari logam aluminium tempaan. Pada garis tegak huruf D karabiner itu terdapat satu klip berspring yang mana dia boleh menolak klip itu untuk memasukkan tali ke dalam karabiner supaya tali itu dapat dikekang di dalam lubang karabiner.

Kemudian dia memakai sebuah abah-abah di celah kelangkangnya. Dua biji karabiner disangkutkan pada abah-abah itu. Selepas itu, dia mengeluarkan pula seutas tali dari dalam begnya. Pangkal tali itu dilorotkan masuk melalui takal yang tergantung pada sesondol lalu diikatkan pula dengan kemas pada abah-abah yang mengikat badannya. Seterusnya, bahagian satu lagi tali itu disisipkan masuk ke dalam kedua-dua karabiner yang telah disangkutnya tadi pada abah-abahnya itu. Dengan cara ini dia dapat melindungi tali daripada lari dari badannya. Akhir sekali dia mengeluarkan dua buah pasung mekanikal dari begnya dan pasung-pasung itu dipasang melekat pada tali. Dia menggalas semula begnya dan kini dia sudah bersedia untuk menuruni cenuram pada Puncak Selatan ini.

Dia memegang kedua-dua pasung yang terlekat pada tali sambil kedua-dua belah kakinya ditekan ke dinding cenuram. Dengan gaya itu dia menjatuhkan punggungnya ke bawah. Kelihatan dia seperti berada dalam keadaan orang yang sedang duduk berlunjur di atas se- buah bangku halimunan. Dengan berhati-hati dia melepaskan sedikit demi sedikit kekunci pada pasung yang terpasang pada tali supaya dia dapat melorot ke bawah. Pada masa yang sama kakinya berjalan menuruni dinding cenuram. Kekunci pasung itu dilepaskannya sedikit sahaja supaya dia boleh mengawal kelajuan penurunannya.

Angin yang bertiup turut membawa salji-salji halus yang mana bila-bila masa saja boleh melicinkan tali dan membuatkan dia terlepas pegangan pada pasung-pasungnya. Jalan yang dipilih hanya mengikut memorinya sahaja kerana cahaya lampu suluhnya sudah tidak mampu menembusi jarak yang jauh. Dinding cenuram itu mempunyai lapisan ais yang nipis kerana tindakan angin yang sentiasa bertiup mengikis ais dari permukaan batu keras. Dia harus mengelak daripada berpijak pada lapisan ais yang licin.

Berselang-seli dia melepaskan dan mengunci semula kekunci pada pasung yang terpasang pada talinya. Sedikit demi sedikit dia menuruni cenuram yang setinggi kira-kira empat ratus meter itu. Sungguh mencabar menuruni cenuram dalam angin kencang yang meniupkan salji di dalam kegelapan malam. Badannya bergoyang-goyang ditiup angin deras. Tetapi dia bukan orang yang mudah mengalah.
Tali yang dibawanya hanya sepanjang lebih sedikit dua ratus meter. Oleh itu dalam penurunan tersebut, dia telah berhenti di satu celahan batu pada cenuram itu yang mana dia boleh berpijak dengan stabil supaya boleh menarik dan memasang semula talinya. Daripada beg galasnya dikeluarkan sebuah lagi alat sesondol bermuatan spring yang disondolkan pada rekahan batu di situ. Dengan pantas dan cekap dia memuatkan tali pada karabiner sesondol itu dan meneruskan perjalanannya menuruni tebing curam itu. Dengan panduan daripada jam beraltimeternya, dia berhenti setiap seratus meter untuk memasang tambatan. Dia telah merancang pendakian ini dengan sempurna. Segala peralatan mendaki cukup untuk kegunaannya malam ini.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Hampir satu jam berlalu dan jaraknya dengan rabung gunung di bawah tinggal seratus meter sahaja. Setelah memasang alat sesondol bermuatan spring pada celah rekahan yang terakhir, dia terus menuruni cenuram itu lagi. Talinya bergetar apabila ditiup angin kencang. Badannya juga terbuai-buai. Tak sampai 30 meter dia turun, tiba-tiba dia merasakan sesondol tadi telah menggelincir sedikit dari kedudukan asalnya akibat getaran tali yang sangat kuat. Dia melepaskan pegangan tangan kanannya pada pasung lalu mencapai kapak ais yang tergantung pada beg galasnya. Lantas dia menyangkukkan kapak ais itu pada satu rekahan di dinding cenuram.

Seraya menggantungkan berat badannya pada kapak ais itu, dia memandang ke atas. Getaran angin yang terlalu kuat telah meningkatkan daya regangan pada tali. Tambatan sesondol itu tidak lagi boleh bertahan. Sekonyong-konyong alat sesondol itu telah terlucut dari celah rekahan lalu menjunam jatuh ke bawah. Dia cuba mengelak tetapi alat sesondol itu tetap jua terkena pada kepalanya. Sakit kepalanya apabila dihentam oleh sesondol itu. Kapak ais yang dipegangnya telah terlucut dari tangan. Maka dia pun jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 70 meter. Ketika jatuh badannya terhempas pada batu beberapa kali. Nasib baik helmet dan beg galasnya menjadi pelapik hentakan lalu mengurangkan kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun, dari ketinggian itu, jatuh yang sedemikian pasti bukan calang-calang. Berdebuk bunyi jatuh semasa badannya menghempas lantai rabung gunung. Lalu dia pun pengsan. Hampir setengah jam berlalu barulah dia tersedar. Dia menyedari bahawa badannya sedang tersandar di atas seketul batu yang timbul pada rabung gunung yang diselaputi salju. Batu itu telah menyekatnya daripada terus bergolek ke Lembah Kesunyian di bawah. Kepalanya berdenyut-denyut sakit. Tubuhnya juga terasa sengal-sengal. Angin kencang tadi telah berhenti bertiup. Langit juga sudah cerah tanpa kabut salji. Nun jauh di atas langit dia dapat melihat Orion, Sang Pemburu seolah-olah sedang memerhatikan keadaannya yang menyedihkan di situ. Terasa malu sendiri lalu dia bangun.

Dilihatnya pada permukaan ais tempat dia terbaring di atas rabung terdapat tompok-tompok darah yang telah membeku. Jatuh terhempas sebegitu tinggi boleh saja menghancurkan kepalanya dan mematahkan tulang belakangnya. Tetapi kecederaan di kepalanya hanya minima setelah dilindungi helmetnya yang sudah retak besar. Belakangnya sakit tetapi tidaklah teruk sangat. Lalu ditanggalkan helmet dan dicampakkannya ke Tibet. Sementara itu, baju dan seluarnya koyak di beberapa tempat. Luka-luka di badannya telah pun membeku pada cuaca sebegitu. Namun kesejukan sebegini takkan mampu membunuhnya. Jam di tangannya sudah pecah, begnya juga koyak dan isinya terburai entah ke mana. Dia mencari-cari kapak aisnya. Hanya sebilah saja yang ditemui. Tanpa mahu membuang masa lagi, dia meneruskan rancangan perjalanan yang telah rosak akibat jatuhan tadi.

Halangan seterusnya ialah satu puncak yang bernama South Col. South Col ialah satu puncak kecil di atas rabung gunung yang menyambungkan puncak Lhotse dengan puncak Sagamartha, destinasi terakhirnya. Dengan mudah saja dia mendaki puncak yang rendah ini lalu turun ke sebelahnya dan sampai ke satu kawasan lapang sebesar dua padang bola. Di sini terdapat tapak perkhemahan terakhir pendaki-pendaki gunung ini. Tetapi waktu itu tiada sesiapa pun di situ. Dari tapak itu dia terus berjalan ke kaki puncak gunung yang begitu gagah berdiri di hadapannya. Dia mendaki dan terus mendaki puncak ini. Apabila sampai ke satu bahagian puncak Sagamartha yang dinamakan orang sebagai Balkoni, dia sudah dapat melihat garisan merah di ufuk langit. Keletihan langsung tak dirasainya. Semangatnya semakin berkobar-kobar. Kalau boleh berlari, sudah pasti dia memecut laju mahu ke puncak. Akan tetapi realitinya dia perlu mendaki selangkah demi selangkah.

Dari Balkoni, cenuram gunung semakin tegak. Tetapi dia sudah tahu jalan yang harus diambil. Nun jauh di horizon timur langit sudah terbelah warna malamnya oleh cahaya sang suria. Nampaknya fajar sidik sudah tiba dan dia telah terlambat. Setengah jam kemudian barulah dia sampai pada bahagian Sagamartha itu yang dikenali sebagai Kemuncak Selatan. Dari Puncak Selatan itu dia memanjat lagi ke puncak utama Sagamartha yang biasanya dipanggil orang sebagai Everest. Akhirnya ketika suria sudah menampakkan ubun-ubunnya dia telah sampai ke Sagamartha yang bererti dahi langit. Fajar kizib telah datang. Dia menjerit kegembiraan di puncak itu.

Setelah puas menjerit dia duduk melayan perasaannya. Walaupun agak kecewa kerana terjatuh lalu terlambat sedikit untuk sampai ke puncak tertinggi dunia sebelum malam berakhir, namun dia tetap berasa puas hati. Selang ekadarsawarsa pasti dia terpanggil untuk ke mari. Inilah ritual yang diwajibkan ke atas dirinya sendiri. Siapa sangka empat ratus juta tahun dahulu puncak ini hanyalah dasar laut. Andai dikapak batu granit pada puncak Everest ini pasti terjumpa fosil-fosil hidupan laut zaman Jurasik. Begitulah persamaan hidupnya dengan puncak ini. Semasa kecil dia cacat, papa, hina dan tercela, tetapi kini dengan kuasa upayanya sendiri akhirnya dialah orang yang terhebat di dunia ini. Namun setiap kali menyelesaikan ekspedisi menawan tiga puncak ini, belum juga dia dapat merasai bahawa dialah raja dunia. Belum pernah dia dapat menakluk tiga mahkota dunia ini dengan mudah dan sempurna. Pasti ada saja malang yang menimpa. Maka kecewa saja kerana dia tahu itu petanda belum tiba masa untuk keluar dari persembunyiannya.

Setelah duduk di situ hampir satu jam sambil memerhatikan perubahan malam kepada siang, maka dia pun mengeluarkan sebuah telefon bimbit dari poket seluarnya. Telefonnya berbentuk seperti kura-kura kecil itu keras dan tahan sekali. Takkan pecah walau dihentak dengan tukul telefon ini. Telefon itu dibukanya. Tertera pada skrin telefon jam sudah hampir ke pukul lapan. Tarikh yang terpapar pada skrin ialah 19 Februari 2017. Dia mendail nombor 6 tiga kali. Telefon itu segera berdering menunggu jawapan dari sebelah sana. Dua dering berlalu terus saja panggilannya dijawab.

“Tuan Thamiri, sudah bersediakah?” tanya suara di seberang sana.
“Sudah, ambil aku sekarang,” jawabnya ringkas.

Beberapa saat kemudian, sebuah pesawat yang kecil terbang sampai ke puncak Everest itu. Pesawat itu berbentuk mangkuk bulat yang terbalik dan diperbuat daripada aloi logam berkilat yang sangat ringan. Lampu lembayung berselang-seli dengan lampu merah mengelilingi sisi pesawatnya itu. Apabila terbang menghampirinya, pesawat itu berdengung-dengung lalu berputar supaya pintu pesawat terarah padanya. Sebaik saja pintu pesawat itu terbuka ke atas, dia pun bangun dari duduknya lalu melangkah masuk dan duduk di sebelah juruterbang yang menjawab panggilannya tadi. Sebaik saja pintu itu ditutup, pesawat cilik itu terus melayang pergi dengan laju sekali meninggalkan tiga puncak mahkota dunia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience