Suatu petang ketika sudah beberapa hari Bonda Dewi berpergian dari Istana Archaechabuana mengikut rutinnya, Arya memanggil rakan-rakannya untuk bermesyuarat di dalam kelas. Kelas mereka bersama Bonda Dewi telah sedia maklum dibatalkan. Mahu menyampaikan amanah Bonda Dewi ialah alasan yang diberikan Arya pada mereka. Terpinga-pinga mereka kerana tidak pernah berlaku sebegini. Walaupun begitu, seorang demi seorang datang. Mereka duduk di bangku batu sementara Arya berdiri di hadapan meja guru sambil menunggu semua orang hadir.
Anak-anak penghuni istana ini biasanya memang tidak diperhatikan sangat oleh guru-guru mereka ataupun pekerja am istana. Mereka bebas bergerak ke mana-mana. Malah kalau mahu keluar berenang di tepi pantai pun mereka dibenarkan pada bila-bila masa kecuali sedang hujan. Cuma mereka perlu pergi dalam kumpulan. Bonda Dewi sendiri begitu pasti anak-anak ini sudah terbiasa di sini dan takkan lari. Jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Oleh itu, kalau tak ada apa-apa, pekerja-pekerja Bonda Dewi lebih suka duduk di bilik masing-masing sahaja. Tambahan pula di waktu matahari masih tinggi di langit seperti sekarang.
Rohan sering kali menguji situasi ini. Banyak kali dalam dua tahun kebelakangan dia akan mengetuk pintu bilik guru-gurunya atau pekerja am untuk meminta macam-macam. Apabila diketuk, lambat saja pintu dibuka. Kadang-kala dia mengetuk tetapi tiada jawapan. Lalu berlalu dia pergi dengan senyuman. Entah apa yang mereka lakukan di dalam memang di luar pengetahuan Rohan. Namun yang pasti istana ini tidaklah dipantau sangat. Begitulah sifatnya kalau kasih sayang itu hanya kepura-puraan. Takkan peduli apa yang budak-budak itu mahu lakukan. Begitu yakin mereka kerana selama ini anak-anak ini sangat patuh dan tidak pernah berbuat nakal. Secara umumnya anak-anak ini baik-baik belaka perangai mereka. Mungkin saja disebabkan keberkesanan didikan.
Setelah semua dua belas orang rakan lelaki dan dua belas orang rakan perempuan yang tinggal di Istana Archaechabuana ini berkumpul dan pintu kelas ditutup, maka Arya pun memulakan bicaranya.
“Selamat petang, kawan semua. Seumur hidup kita telah tinggal di sini. Selama itulah kita berkawan bagaikan adik-beradik dalam sebuah keluarga yang besar. Di atas semangat setia kawan dan kekeluargaan yang telah terjalin sekian lama ini aku mahu berkongsi pada kalian satu berita. Aku berharap kalian dapat mendengar dengan sabar. Begini beritaku.”
“Pada mulanya aku telah menemui satu rahsia tentang istana ini. Rahsia ini telah kusimpan bertahun-tahun dengan harapan aku dapat mengkaji rahsia yang kutemui itu dengan lebih mendalam. Kemudian dalam pengkajianku, aku mendapati suatu kebenaran yang amat pahit untuk aku telan. Oleh sebab kebenaran ini amat ber- kaitan dengan kita, ingin sekali aku ceritakan kepada kalian sebaik sahaja aku mengetahuinya. Bagaimanapun hatiku tiba-tiba resah dan goyang kalau-kalau kebenaran itu sebenarnya hanya kepalsuan dan khayalan yang bukan-bukan. Tetapi sekarang, dengan penuh keyakinan aku sudah meneguhkan hatiku untuk menyampaikan rahsia itu pada kalian.”
“Kita selalu saja bermain catur, bukan? Catur itu seumpama satu peperangan di atas papan yang berselang-seli petak putih dan hitam. Kedua-dua pihak mesti merancang strategi peperangan sebaik mungkin agar tidak dikalahkan. Setiap satu buah catur; bidak, kuda, gajah ataupun tir, harus bergilir-gilir mengambil tempat untuk menyerang atau memberi perlindungan pada raja. Permaisuri pula penyokong terkuat dalam permainan. Kalau diserang harus teguh bertahan, tetapi pada masa yang sama harus pandai menyerang. Pertahanan terbaik adalah dengan melawan. Kendatipun tidak dapat tidak pasti akan ada buah yang terkorban.”
Arya berhenti seketika. Kawan-kawannya masih mendengar tetapi masanya telah tiba untuk membuat pendedahan. Lalu dia menyambung,
“Bonda selalu saja mengatakan bahawa kita ini dilatih untuk berperang. Cuma bentuk peperangan zaman ini katanya lagi telah maju ke hadapan. Kita akan dihantar untuk menyusup diam-diam ke dalam pihak lawan lalu memusnahkan mereka dari dalam. Itu yang selalu diulang-ulangkan. Sebab itulah segala apa yang kita pelajari di sini adalah untuk mempersiap diri kita sebagai laskar yang berkemahiran di samping mengenali sebaik-baiknya karakter lawan.”
“Betapa penting kita ini pada Bonda hingga mendapat layanan teristimewa. Janganlah kalian silap percaya kerana mahu membalas hutang budinya. Kita ditempatkan di pulau terpencil ini agar tiada gangguan. Mereka bertujuan melatih kita supaya boleh dipergunakan suatu hari nanti. Kita patut sedar bahawa pada Bonda, kita hanyalah satu buah catur yang boleh diatur sekehendak hatinya. Buah catur yang boleh dikorbankan apabila keadaan memerlukan. Adakah kita ini sudah tiada lagi pilihan selain menyerahkan nyawa kita padanya?”
“Inilah rahsia yang ingin kudedahkan. Bahawasanya apa yang diberi oleh Bonda hanyalah satu penipuan. Satu penipuan dalam kemanisan senyuman. Akhirnya nanti kita akan menjadi seperti buah catur yang bila-bila masa boleh dihapuskan sedangkan kita sendiri pun tak tahu sama ada kita ini buah putih ataupun hitam. Adakah kalian rasa kita berperang di pihak yang benar? Adakah kalian semua sanggup menjadi korban persembahan kepada raja yang tidak kita kenal?”
“Aku sanggup!”
Tiba-tiba Rohan yang duduk di barisan paling belakang menyahut setelah semua orang sunyi beberapa detik.
“Aku sanggup mati kalau raja itu orang yang baik,” sambungnya lagi.
“Aku pun,” sahutan Rohan disambung pula oleh Gati. Gati yang kini telah membesar sebagai seorang remaja lelaki berusia enam belas tahun yang berambut pendek lagi kemas, bertubuh kurus dan sederhana tingginya. Dia duduk agak jauh dari Rohan pada barisan pertama. Kelihatan ramai yang masih berdiam cuba menghadamkan isi berita dari Arya yang disampaikan secara mendadak.
“Adakah kau maksudkan Bonda Dewi ini jahat, Arya?”
Terbit satu soalan daripada Hiranya, wajah bujur sirihnya tetap manis walaupun tanpa senyuman dari bibir tebal merah jambunya. Rambutnya yang panjang kemas terikat ke belakang.
“Begitulah maksudku,” dengan wajah yang serius Arya mengiyakan soalan Hiranya.
“Buktikan!” jerit seseorang. Segera saja ramai yang menggemakan cabaran itu. Hiruk sebentar suasana di dalam kelas.
Arya mengangkat kedua-dua tangannya ke hadapan sebagai isyarat agar mereka berdiam. Apabila keadaan sudah tenang lalu dia berkata,
“Bagaimana pula hendak aku buktikan perkara yang belum berlaku? Cubalah kalian fikirkan apakah niat sebenar Bonda meletakkan kita di sini? Kalau benar-benar dia jujur mengapa dia tidak pernah membawa kita keluar berjumpa dengan sanak-saudara kita yang aku rasa mesti masih ada. Kalau dia betul mengapa dia harus menyorokkan kita di sini? Cuba kalian fikir dalam-dalam.”
Suasana diam semula. Ramai yang tampak agak keliru menyebabkan lidah mereka menjadi kelu. Sejurus kemudian, seorang remaja perempuan bernama Tushar pun bangun. Dia seorang gadis kecil molek enam belas tahun yang berkulit putih seperti salju, bermata coklat dan berambut keperangan.
“Kawan-kawan, harap kalian beri aku peluang untuk bercakap,” katanya memulakan bicara. Dia menyambung apabila yang lain berdiam memberinya ruang untuk berbicara.
“Sepanjang aku berada di sini, Bonda telah memberi aku perlindungan, pakaian dan makanan yang kadang-kadang aku rasa agak berlebihan. Segala keperluanku dipenuhinya. Begitu juga kalian. Kasih sayang dan layanan yang terdapat di dalam istana ini begitu sempurna hingga tiada apa lagi yang mahu kupinta. Lama-lama di hatiku timbul perasaan bosan kerana melakukan rutin yang sama setiap masa. Pernah juga aku bertanya kepada Bonda kenapa dia tak pernah membawa kita keluar melawat kota-kota di seberang lautan sekali-sekala. Setiap kali aku bertanya, jawapannya mesti sama iaitu di luar sana banyak bahaya. Di luar sana orang sedang berperang. Aku mungkin diculik dan diperlakukan bukan-bukan. Dia takut aku akan diapa-apakan orang sedangkan dia tidak mampu membantuku. Mula-mulanya aku telan saja kata-katanya itu. Tetapi akhirnya, aku turut terfikir perkara yang sama disampaikan Arya. Nampaknya tidak boleh tidak aku harus mempercayaimu, Arya. Aku rasa kita ini telah diculik dan dibawa ke sini sejak kecil lagi untuk dibesarkan sebagai hamba mereka nanti.”
“Ya, betul kata-katamu, Tushar. Aku setuju sekali. Apa pendapat kalian pula?” Rohan pula yang bersuara.
“Aku pun setuju. Kita tidak boleh membiarkan diri kita menjadi buah catur yang dikawal sesuka hati oleh Bonda Dewi,” tambah Gati yang pertama kali menyahut soalan itu.
“Betul! Betul! Lembu yang kenyang-kenyang diberi makan biasanya akan sampai ke rumah sembelihan,” balas Sher ketua kelas mereka yang sejak dari tadi diam sahaja.
Rakan-rakannya yang lain turut menyuarakan persetujuan dan ada juga yang hanya mengangguk-angguk setelah sanggup menerima kebenaran yang pahit ini. Sebenarnya Arya, Rohan, Gati, Tushar dan Sher telah bersepakat sesama mereka sebelum pertemuan ini. Arya sendiri yang telah memberitahu Gati dan Tushar kira-kira setahun lepas setelah dia yakin dan percaya pada mereka. Perjumpaan hari ini telah dirancang mereka selama beberapa bulan. Tujuan rancangan adalah untuk menyedarkan dan meyakinkan rakan yang lain bahawa mereka bebas membuat pilihan hidup.
Mereka sengaja duduk jauh-jauh berselangan di dalam kelas itu dan berpura-pura tidak tahu apa yang akan disampaikan oleh Arya. Apabila ada peluang, mereka akan menyokong Arya yang berdiri sendirian di depan. Mereka berharap cara ini dapat memberi kesan ke dalam kalbu lalu mempengaruhi keputusan rakan-rakan lain. Nampaknya setakat ini taktik mereka sudah ada bibit-bibit kejayaan.
“Arya, kau rasa sekarang ini apa yang patut kita lakukan?” Karan, si budak hitam dalam kumpulan remaja ini segera bertanya.
“Kita lari,” jawab Arya.
Belum sempat dia menyambung kata-katanya sudah kedengaran suara-suara yang terkejut. Idea itu langsung tidak pernah wujud dalam kalangan mereka. Lari menjadi suatu pernyataan yang luar biasa sekali. Andai mereka tidak mengenali Arya pasti dia sudah dianggap gila. Apa yang dicadangkannya sungguh luar biasa dan tiba-tiba sahaja. Mereka yang lain tidak mempunyai masa untuk berfikir panjang. Tetapi memang begitulah rancangan Arya. Kalau dia memberi mereka masa sudah pasti ada yang teragak-agak dan berkemungkinan besar pula dia akan dilaporkan. Oleh sebab itu dia mesti mengajak mereka semua semasa mereka sedang tidak hemat.
“Kawan-kawan jangan risau. Aku sudah merancang segala-galanya. Kita tak ada banyak masa. Kalau kalian mahu mengikuti aku, akan kupastikan keselamatan kita semua sedaya-upayaku. Bagaimanapun aku tetap akan lari kalau tak ada seorang pun yang mahu ikut,” dengan suara yang ditinggikan Arya berkata pada mereka lantas kemudian mengangkat sebelah tangan.
Pada mulanya hanya Rohan, Gati, Tushar dan Sher sahaja yang segera mengangkat tangan mereka tanda setuju. Terdorong oleh tindakan pantas itu, satu persatu kawan-kawannya yang lain mengangkat tangan tak mahu ditinggalkan. Arya tersenyum gembira apabila melihat kesemua mereka mengangkat tangan. Begitulah yang diharap-harapkannya. Hubungan persahabatan antara mereka terjalin erat seperti keluarga. Tak mungkin kalau ada yang pergi dan kemudian ada yang mahu tertinggal di belakang.
“Bagus sekali, nampaknya semua orang di sini dah bersetuju. Sekarang, ini langkah pertama kalian. Kembalilah ke bilik masing-masing dengan senyap-senyap secara berdua-duaan dan bersiap dengan pantas. Bawa sehelai tuala, baju sejuk, dua helai baju ganti, tablet dan barang-barang yang amat penting sahaja. Bawa satu beg saja dan elakkan daripada membuat bising. Aku tak mahu nanti kita dikejar. Aku akan menunggu di dewan makan. Kita akan bertolak setengah jam lagi tepat pukul 3:10 petang,” dengan tegas Arya mengeluarkan arahan pada mereka.
Beransur-ansur mereka keluar dari kelas itu menuju ke bilik masing-masing. Arya bergerak ke dewan. Sementara itu, Gati dan Tushar pula ditugaskan untuk membuat tinjauan sama ada pekerja am istana sedang membuat kerja. Ternyata mereka tiada. Memang kebiasaan mereka bekerja membersihkan istana ini pada awal malam. Pada waktu siang, jarang sekali mereka kelihatan.
Rohan dan Sher pula menunggu di hadapan koridor di mana bilik-bilik mereka semua ditempatkan. Mereka berlima sudah sedia mengemas barang masing-masing sejak awal-awal lagi. Begitu berdebar jantung mereka dirusuh oleh hormon adrenalin. Antisipasi untuk lari dari sini kini hampir jadi kenyataan. Begitu lambat rasanya gerakan masa pada mereka berlima. Mereka bernafas antara harapan dan ketakutan.
Setelah berkumpul semua orang di dewan makan dalam tempoh tak sampai 30 minit, maka Arya mengajak Rohan, Sher dan Tushar untuk masuk ke dalam dapur yang terletak di belakang dewan makan. Yang lainnya dapat mendengar sedikit percakapan dan tak sampai 30 minit, maka Arya mengajak Rohan, Sher dan Tushar untuk masuk ke dalam dapur yang terletak di belakang dewan makan. Yang lainnya dapat mendengar sedikit percakapan dan tak sampai tiga minit kemudian ketiga-tiga tukang masak yang berada di dalam dapur keluar dahulu dengan tangan mereka terikat di belakang lalu diikuti oleh Arya dan rakan-rakannya memegang sebilah pisau setiap seorang. Terkejut yang lainnya bukan kepalang tetapi Arya menyuruh mereka diam.
Arya telah lama memerhatikan tukang-tukang masak ini. Apa yang mereka tahu hanya tugas-tugas di dapur. Pada hematnya mereka bukanlah jelmaan syaitan bahkan manusia sepertinya. Cuma sebahagian besar kesedaran mereka telah hilang. Tetapi bukanlah mereka gila. Arya sedar bukan susah pun kalau mahu menakluk mereka kerana kebaculan tukang-tukang masak ini memang telah dimaklumi oleh semua orang di sini. Semasa anak-anak itu kecil, sering saja mereka ini dibuli oleh anak-anak itu. Lama-kelamaan anak-anak itu sudah tegal dan bosan mengusik mereka kerana mereka langsung tidak melawan pun kalau diusik tetapi hanya memandang mereka dengan pandangan yang kosong. Arya sendiri pun tidak faham bagaimana mereka boleh menjadi sebegini seperti lembu yang dicucuk hidung, menurut apa saja suruhan orang. Ketika tangan mereka diikat pun mereka diam sahaja, hanya menurut arahannya. Kemudian, Arya mengarahkan semua orang mengikutinya keluar dari dewan makan.
Pintu stor makanan yang terletak di hujung koridor yang sama dengan dewan makan dibuka Rohan. Pintu itu tak pernah berkunci pun. Walaupun ada yang kehairanan, mereka mengikut saja di belakang kerana tindak-tanduk Rohan begitu meyakinkan. Terdapat di hujung stor itu sebuah bilik sejuk beku dengan empat baris rak-rak menyimpan makanan serta sebuah peti dingin tiga-pintu di hadapan. Kelihatan tidak banyak makanan kering yang tinggal pada rak-rak tersebut. Bilik sejuk beku itu berkunci.
“Tukul.”
Rohan menghulurkan tangannya pada Gati. Gati mengeluarkan tukul lalu menyerahkan padanya seperti yang dipinta. Orang lain berdiri di belakang mereka sedang Sher membantu Arya menyangga pintu stor makanan itu dengan sebatang kayu beroti yang telah sedia tersimpan di salah satu rak makanan. Dia perlu memastikan pintu itu tertutup dari dalam dan tak boleh dibuka dari luar dengan senang.
Dengan sekuat hati Rohan membalun kunci mangga bilik sejuk beku. Kunci mangga itu pecah selepas beberapa kali diketuk. Rohan membuka pintu lalu masuk sambil mengarahkan orang lain mengikutinya. Beberapa kotak berlabelkan daging, ikan dan ayam mentah tersusun kemas di kiri-kanan bilik beku itu. Bilik itu tidaklah luas sangat hingga menyebabkan beberapa orang masih tersekat di hadapan pintu kerana tidak muat untuk masuk lagi.
Di penghujung bilik itu terdapat lagi satu pintu. Pintu itu juga bermangga. Beberapa kali Rohan menghayunkan tukul di tangannya sekuat hatinya sehingga mangga itupun pecah. Terbuka sahaja pintu itu, jelaslah pada mereka niat Rohan. Sebuah terowong yang gelap berada di hadapannya. Rohan mengeluarkan sebuah lampu suluh dari beg sandangnya, menyalakan lampu itu lalu masuk ke dalam terowong dan dengan diikuti oleh mereka yang lain di belakangnya. Pintu itu menuju ke sebuah terowong yang sempit dan hanya muat untuk seorang saja berjalan menyusurinya. Maka, seorang demi seorang hilang ke dalam terowong lalu ditelan oleh kegelapan. Yang terakhir sekali masuk ialah Arya. Setelah masuk, dia menutup pintu itu dari dalam. Semua ini berlaku dengan lancar dan semua orang tanpa banyak songeh, hanya menurut seperti yang dipinta oleh Rohan ataupun Arya.
Arya mengetahui kewujudan terowong rahsia ini daripada lakaran pelan istana yang terdapat dalam buku Hilang Dalam Terang yang ditemuinya dulu. Setelah diperiksa, barulah dia mengetahui bahawa terowong itu dihalang oleh sebuah bilik sejuk beku. Tetapi bilik itu berkunci. Arya tertanya-tanya pada dirinya bilakah bilik itu akan dibuka. Demi mencari jawapan, apabila ada kesempatan Arya akan memerhatikan pergerakan tukang-tukang masak secara diam-diam. Dia melihat mereka keluar-masuk setiap hari ke dalam stor dan juga bilik sejuk beku itu untuk mengambil bekalan makanan. Tetapi kebiasaannya, pintu bilik sejuk beku akan sentiasa dikunci.
Suatu petang yang sudah lewat, ketika dia berada sendirian di dewan makan berpura-pura makan lambat-lambat, dia ternampak Cikgu Sirin memanggil kesemua tukang masak. Mereka keluar dari dapur sambil menolak sebuah troli besar dan masuk ke dalam stor. Dengan berhati-hati, dia menyelinap di belakang mereka. Sekonyong-konyong nampaklah dia satu lagi pintu yang tersembunyi di dalam bilik sejuk tersebut dan pintu itu dalam keadaan terbuka. Dia bersembunyi di sebalik bayang-bayang sebuah rak yang paling tepi di dalam stor itu. Tergantung dari siling di tengah-tengah stor satu mentol bulat yang agak malas untuk bersinar. Limpahan cahaya kuning dari mentol itu tidak sampai ke tepi dinding di mana Arya sedang menyorok. Mula-mulanya dia berasa gementar juga. Tetapi selepas hampir dua jam menunggu gementarnya sudah hilang digantikan pula oleh kebosanan. Begitu lama mereka pergi sedangkan pada perkiraan Arya berdasarkan pelan yang ditemuinya, terowong itu hanyalah sejauh kira-kira setengah batu sahaja. Kalau berjalan seperti biasa mungkin tak sampai setengah jam sudah boleh sampai ke hujungnya.
Bagaimanapun, Arya tetap menunggu dengan sabar. Akhirnya, dia terdengar bunyi putaran roda bergeser dengan batu yang berpunca dari arah terowong. Sebentar kemudian, kelibat tukang-tukang masak kelihatan keluar dari pintu itu dan diikuti oleh Cikgu Sirin. Mereka membawa stok makanan yang nampaknya seperti baru saja sampai. Semua pekerja menolak troli yang sarat dengan kotak-kotak polistrin yang agak besar. Arya dapat melihat kotak-kotak itu basah dan pada jangkaannya berisi stok-stok makanan. Sedang mereka menyusun kotak-kotak itu, Arya dapat melihat Cikgu Sirin mengunci semula pintu yang di belakang bilik sejuk beku itu. Arya tahu bahawa dia tidak boleh menunggu lagi. Dia mengambil peluang ini untuk keluar dari stor senyap-senyap. Dengan ini, tahulah dia bahawa untuk lari memang ada jalan. Inilah jalan yang sedang ditempuhinya.
Terowong yang mereka lalui itu panjang dan berliku-liku tetapi jalannya rata sahaja. Melalui sebuah terowong gelap lagi sempit memang agak menakutkan. Mereka langsung tidak bercakap. Tiada siapa pun yang berbual-bual. Yang didengari hanya suara pernafasan masing-masing serta bunyi tapak kaki. Suasana ketika itu agak tenang tetapi masing-masing dapat merasakan ketegangan yang berakar umbi di dalam hati.
Rohan berjalan di hadapan sekali menyuluh jalan dalam kedinginan batu dan dia diikuti oleh Gati dan rakan-rakan lain. Tiga orang tukang masak berada di antara mereka. Hanya lima orang sahaja yang membawa lampu suluh sementara yang lain berjalan dengan menuruti kawan yang di depan. Lantai terowong itu agak lembap dan licin. Bumbung terowong itu hanya kira-kira tiga kaki sahaja dari kepala mereka. Oleh itu, mereka berjalan perlahan-lahan dengan berhati-hati kerana tidak tahu apa yang akan ditemui di hadapan nanti. Arya yang berada di belakang sekali turut memegang sebatang lampu suluh dan sekali-sekala dia melihat jam di tangan.
Setelah hampir setengah jam mereka berjalan, Arya mendengar suara sorakan kegembiraan di hadapan. Rakan-rakan di hadapannya mempercepatkan langkah masing-masing. Arya juga berjalan semakin pantas. Langkah demi langkah akhirnya dia sampai ke penghujung terowong. Di hujung terowong itu terdapat sebuah gua. Bersebelahan kawasan lapang gua itu terdapat satu terusan air laut yang diselubungi kegelapan tetapi kira-kira seratus meter di hujung terusan itu jelas kelihatan cahaya mentari menari-nari di permukaan air. Sorakan kegembiraan masih bergema ketika Arya melangkah masuk ke dalam gua yang lapang itu. Dia tidak dapat menahan senyuman di bibirnya.
“Apa pula sekarang, Arya?” soal seseorang.
Dalam kesamaran cahaya, Arya hanya dapat menangkap suara itu ialah suara Nirogi, gadis cilik yang berdiri selang lima kaki di hadapannya. Samar-samar dia dapat melihat rakan-rakan memandangnya dengan penuh persoalan.
“Sekarang kita tunggu,” kata Arya. Jawapan itu langsung tidak mengujakan para sahabatnya. Kedengaran ada yang mengeluh seolah-olah Arya hanya mempermain-mainkan mereka.
Terasa dengan perubahan angin perasaan mereka, Arya pun membuka ceritanya, “Begini kawan-kawan, sekali setiap bulan, tepat pada jam lima petang Cikgu Sirin akan membawa mereka bertiga ini masuk ke dalam terowong ini melalui bilik sejuk beku tadi. Kemudian mereka akan membawa banyak kotak makanan masuk ke dalam stor dari terowong ini. Jadi, pada perkiraanku pasti ada bot yang menghantar stok bahan mentah ke sini. Petang ini sepatutnya ialah hari penghantaran. Sebentar lagi sebuah bot pasti akan datang.”
“Bagaimana kau boleh begitu pasti sedangkan botnya kau tak pernah nampak?” soal Hiranya yang berdiri di sebelah Nirogi.
“Aku pernah nampak,” satu suara di belakang Hiranya menjawab. Suara itu milik Sher.
“Sudah beberapa kali dalam dua tahun ini aku berenang sampai ke hujung teluk pulau ini pada petang-petang yang kita tak ada kelas. Kamu semua pun tahu bukan, kalau Bonda Dewi berpergian maka kelas kita dengannya dibatalkan. Jadi aku pun pergilah berenang di tepi pantai. Arya yang memberitahuku jadual penghantaran mereka. Aku menyorok di kawasan yang berbatu-batu di situ sementara Rohan, Gati dan Tushar berpura-pura bermain air di tepi pantai. Setiap kali aku menunggu, aku nampak sebuah bot lalu di belakang pulau ini lebih kurang dalam jam empat petang.”
Sedikit demi sedikit terbongkar rahsia lima sekawan ini yang telah berpakat sekian lama. Adalah mustahil mereka berani mengajak semua kawan-kawan yang lain lari dari pulau ini tanpa rancangan yang jelas lagi teliti. Mereka juga adalah remaja yang mempunyai kepintaran. Tindakan mereka pastilah bukan sekadar membuta-tuli tanpa strategi untuk kejayaan. Dengan sabar mereka melaksanakan setiap perancangan dalam diam-diam. Apabila sudah benar-benar yakin barulah rancangan itu dikongsi bersama mereka.
Sepuluh minit berlalu dengan berbalas-balas soalan dan jawapan. Arya dan gengnya menjawab satu per satu soalan mereka. Suasana menjadi agak hingar. Tiba-tiba semua orang terdiam.
“Bot dah sampai!” teriak Sher dalam keriangan.
Dari kejauhan mereka mendengar bunyi deruman enjin bot. Bunyi enjin itu mengheningkan perbualan kumpulan remaja yang menunggu dengan harapan yang sudah diperbaharu.
Dengan pantas Arya bersuara, “Kita semua mesti menyorok dahulu. Cepat, masuk semula ke dalam terowong!”
Lantas berpusu-pusu mereka meninggalkan lapangan itu lalu bersembunyi di dalam kegelapan terowong. Bunyi enjin bot semakin jelas kedengaran. Hati masing-masing berdebar-debar di antara ketakutan dan harapan. Semakin dekat maka semakin kuat gelombang ombak menghempas tebing batu di dalam gua dan sekonyong-konyong enjin bot itu dimatikan.
Arya dan Rohan duduk bertinggung di hujung terowong. Dari situ mereka boleh nampak apa yang berlaku di dalam gua tetapi tetap bersembunyi dalam kegelapan. Lampu dari bot menyuluh pelantar gua dan tampak dua lelaki melompat turun dari bot itu masing-masing dengan seutas tali besar di tangan. Salah seorang daripada mereka lebih gempal dari kawannya yang agak kurus tetapi lebih tinggi. Perlahan-lahan mereka menarik tali di tangan supaya bot itu rapat ke sisi tebing pelantar.
Kemudian, seorang lagi lelaki yang masih berada di dalam bot menghulurkan kotak demi kotak kepada dua lelaki tadi. Dengan segera mereka menyusun kotak-kotak polistrin itu di atas lantai gua tanpa banyak bicara. Arya membuat isyarat tangan mengajak Rohan, Gati dan Sher supaya mengikutnya. Berjingkit-jingkit dan terbongkok-bongkok mereka berjalan di dalam bayang-bayang kegelapan. Inilah pertama kali dalam seumur hidup mereka bertemu dengan orang luar. Perasaan cemas memenuhi hati mereka.
Apabila dirasakan sudah cukup dekat, Arya pun menyergap dan menangkap salah seorang daripada awak-awak bot itu dari belakang. Perbuatannya segera diikuti oleh Rohan yang menangkap seorang lagi. Kedua-dua awak-awak itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Gati dan Sher segera membantu Arya dan Rohan. Mereka menjatuhkan kedua-dua awak-awak itu ke lantai gua. Badan mereka tertiarap. Gati dan Sher menekan lutut masing-masing di belakang badan mereka.
Arya mengeluarkan dua bilah pisau dari beg sandangnya lalu menghulurkan sebilah pada Rohan. Dia mengacukan pisau di tangannya pada lelaki berbadan gempal lalu berkata,
“Jangan bergerak. Kami cuma hendak berbincang.”
Sekonyong-konyong mereka mendengar bunyi keletak dari atas geladak bot. Orang yang berada di atas bot tadi sedang mengacukan sepucuk senapang pada Arya. Dia berkata dengan suara yang keras,
“Lepaskan mereka!”
“Jangan lepaskan!” Arya menjerit. Pisau di tangannya teracu rapat ke leher lelaki itu. Begitu juga yang diperlakukan oleh Rohan dan Sher pada seorang lagi awak-awak bot itu. Debaran jantungnya semakin kencang. Tetapi dia tidak boleh mengalah begitu sahaja.
“Hoi, setan! Lepaskan mereka!” jerit lelaki di atas bot.
Dia membidikkan senapang di tangannya ke arah Arya. Raut wajahnya menunjukkan kemarahan yang meluap-luap. Keempat-empat remaja itu tergamam tidak bergerak. Sedang lelaki di atas bot itu mahu menekan picu senapang, tiba-tiba jeritan seorang perempuan kedengaran.
“Jangan tembak kami!” bergegas empunya suara berlari ke hadapan Arya.
Tangannya didepang dan dadanya terdedah kepada medan tembakan. Nampaklah oleh Arya bahawa yang berani berdiri untuk melindunginya ialah Tushar. Sepantas kilat juga sahabat-sahabat yang lain berlari ke arah mereka.
“Jangan tembak kami. Kami dalam kesusahan. Tolonglah kami, bawalah kami lari dari sini,” Tushar merayu.
Panahan lampu sorot bot yang menyinari kegelapan di situ menampakkan mimik wajah kasihannya. Sahabat-sahabat yang lain berdiri mengelilingi Arya dan Rohan.
“Tolonglah kami, tuan,” rayu Tushar lagi sambil kedua-dua belah tapak tangan bertekap dan rapat ke dada. Dia memandang pada wajah lelaki di atas bot yang masih samar kelihatan. Kata-katanya itu diulang semula oleh sahabat-sahabat yang lain. Tanpa merendahkan senapangnya, lelaki itupun bertanya,
“Kalian ini siapa?”
“Kami anak yatim-piatu. Sejak kecil lagi kami telah diculik dan dibesarkan di sini,” jawab Tushar, anak gadis yang sangat berani ini.
“Betul, tuan, betul,” kedengaran ramai yang menyokong jawapan itu.
“Diam!” jerit lelaki dari atas bot.
Suasana menjadi hening sebentar. Setelah berfikir sejenak, lelaki itu kembali bersuara,
“Apa yang kalian mahu?”
“Kami hanya mahu menumpang bot tuan. Kami hendak lari dari pulau ini,” jawab Tushar.
Tanpa dirancang dia bertindak sebagai jurucakap kumpulan remaja ini. Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Mungkin dia masih lagi membuat pertimbangan atas situasi yang tidak diduga ini.
“Tolonglah tuan. Hanya tuan yang dapat menolong kami. Kami tidak ada jalan lain. Selamatkanlah kami. Kami rela mati di sini daripada terus tinggal di pulau yang penuh dengan penipuan ini,” Tushar menyambung rayuannya.
Dengan berani dia berjalan selangkah demi selangkah ke hadapan.
“Tushar, jangan!” Arya cuba menahannya.
Tetapi Tushar tidak akan berpatah balik. Dia seperti tahu apa yang sedang dilakukan. Lelaki di atas bot itu masih lagi tidak bergerak. Tetapi semakin dekat Tushar menghampirinya, dia mula menurunkan laras senapang di tangannya perlahan-lahan. Tushar pun mengambil peluang itu untuk memanjat naik ke atas bot. Lelaki itu pula mengambil langkah berhati-hati dengan menghalakan senapangnya semula kepada Tushar yang terkial-kial memanjat bot yang bergoyang-goyang itu. Tushar tidak menghiraukan lagi senapang yang diacukan ke arahnya kerana terang-terangan dia tidak berniat untuk berbuat yang bukan-bukan.
Apabila dia sudah naik ke atas bot, Tushar menghulurkan tangannya menggamit kawan-kawannya supaya naik sama. Mungkin atas dasar kasihan, lelaki itu membiarkan sahaja perbuatan Tushar itu. Walaupun tidak mendapat persetujuan lisan, Tushar boleh membaca bahasa badan lelaki itu yang kelihatan sudah mahu berlembut. Seorang demi seorang daripada mereka naik ke atas bot. Arya dan Rohan pula melepaskan kedua-dua awak-awak bot. Awak-awak itu segera bangun. Mereka kelihatan berang. Salah seorang daripada mereka mahu menumbuk Rohan, tetapi dengan tangkas Rohan mengelak. Sementara itu, Arya telah ditolak sehingga jatuh ke lantai gua. Dia mahu bangun melawan. Rakan-rakannya yang lain terkejut dengan perkembangan situasi itu.
“Joko! Kuma! Biarkan mereka. Cepat naik. Aku tak mahu lama-lama di sini. Tempat ini memang menakutkan,” lelaki di atas bot itu segera menahan mereka.
“Mari campakkan kotak-kotak ini semua,” sambungnya lagi. Ternyata dia ialah ketua kepada mereka.
“Tapi mereka ini takkan kita nak bawa sekali, Pak Budi?” soal salah seorang awak-awak itu.
“Kamu semua naik cepat! Campakkan pisau kalian!” Lantang sekali suara Pak Budi dari atas geladak bot.
Arahannya segera dipatuhi oleh mereka yang masih belum naik ke atas bot. Setelah semua orang naik dan semua kotak-kotak dicampak ke lantai gua, Pak Budi dengan tidak membuang masa terus masuk ke dalam kabin, menghidupkan enjin lalu mengemudi bot itu untuk beredar. Arya dan kumpulannya duduk berhimpit-himpit di atas geladak. Joko dan Kuma pula berdiri memerhatikan mereka. Bot itu tidak sebesar mana, namun masih mampu membawa mereka semua biarpun agak sarat. Beberapa minit kemudian bot itu sudah berpusing lalu belayar ke pintu gerbang gua untuk meninggalkan pulau itu. Waktu itu jam sudah lepas pukul empat suku petang. Akhirnya, mereka telah berjaya lari.
Share this novel