Bab 14: Ngrogo Sukmo

Fantasy Series 4911

Pagi esoknya Arya bangun lambat daripada biasa. Rohan, sahabat baiknya yang tinggal di bilik sebelah datang mengejutkan dia setelah mendapati Arya telah memecahkan rutin hariannya. Dia tidak sempat untuk pergi berenang di tepi pantai pagi itu dan hanya cukup-cukup masa untuk sampai ke perpustakaan sebelum gurunya datang. Kelasnya pagi ini hanya ada sepuluh orang pelajar. Sudah pasti kalau dia tiada akan jelas kelihatan.

“Bangun!”
Suara Rohan sebagai ketua kelas itu kedengaran menandakan gurunya sudah sampai. Setelah kelas yang kecil ini memberi penghormatan, mereka pun duduk semula. Ini ialah kelas Sains Komputer dan pelajar-pelajar yang tidak mengambil kelas ini akan berada di kelas lain mengikuti subjek Kemahiran Seni.
“Kita akan masuk bab sepuluh hari ini. Sila bersedia dengan tablet kamu masing-masing. Seperti yang telah kita pelajari dalam kelas matematik, kedua-dua gandaan sepunya terkecil dan faktor sepunya terbesar boleh didapati dengan kaedah algoritma, akan tetapi bagaimana pula kalau kita hendak mendapatkannya dengan menggunakan pengaturcaraan C?” Cikgu Sirin memulakan bicara.

Cikgu Sirin merupakan seorang guru yang serius. Tiada seorang pelajar yang berani mengganggu kelas semasa dia mengajar. Tidak pernah dia membuat lawak di dalam kelas. Berwajah garang, berkumis tebal dan janggutnya juga lebat dari telinga ke telinga. Rambutnya yang hitam separas bahu selalu tak bersikat menambahkan lagi rupa garangnya itu. Jarang-jarang pelajar melihat dia tersenyum apatah lagi mahu ketawa. Guru yang bertubuh sasa tetapi tidak tinggi mempunyai lingkungan suara bes yang rendah dan berat. Apabila bercakap, pelajar perlu mendengar dengan teliti. Kalau tidak mereka tidak akan dapat menangkap apa yang sedang diperkatakannya. Walaupun dia tidak pernah menengking apatah lagi memukul pelajar, tetapi tiada siapa berani membuat perangai di dalam kelasnya.

Kelas terus berjalan. Arya dan rakan-rakan sekelas menumpukan perhatian kepada arahan-arahan pengaturcaraan yang terpampang pada layar putih yang terbentang sambil mendengar penerangan daripada Cikgu Sirin. Kemudian mereka menyalin arahan itu ke dalam tablet masing-masing. Setelah itu, mereka dikehendaki menjalankan program komputer mudah itu dan mengujinya dengan memasukkan angka-angka yang bersesuaian. Kalau sudah betul, Cikgu Sirin akan meminta mereka mengingati arahan-arahan pengaturcaraan sepenuhnya. Kalau tidak, dia akan menunjukkan di mana kesilapan murid-muridnya dan meminta mereka membuat pembetulan.

Walaupun mereka baru sahaja mahu mencecah umur remaja, namun tidak bererti mereka tidak mampu memahami pengaturcaraan yang mudah-mudah. Tambahan pula, kumpulan kanak-kanak ini juga bukan sembarangan kepintaran mereka. Rata-ratanya mereka mempunyai IQ lebih daripada 130. Ini bermakna keupayaan kognitif mereka sangatlah tinggi. IQ yang tinggi memberi kelebihan ingatan yang kuat, penaakulan yang meluas dan pemahaman yang lebih mendalam apabila mereka diajar tentang sesuatu perkara. Pendedahan awal kepada kemahiran seperti pengaturcaraan komputer akan memberi kanak-kanak ini kelebihan dalam perjalanan hidup mereka nanti. Begitulah yang diharap-harapkan oleh guru-guru mereka.

Sementara itu, sedang Arya baru memulakan kelasnya pagi itu, Dr. Busqina pula sedang memandu ke tempat kerjanya di Rumah Kasih Delima. Rani duduk di sebelahnya dalam keadaan sugul. Hujan yang turun agak lebat mendorong Busqina untuk memandu perlahan-lahan. Sambil memandu fikirannya melayang.
Sudah dua bulan berturut-turut dia membawa Rani tidur di rumahnya selepas dia habis kerja dan kemudian keesokan harinya Rani mengikutnya kembali ke sanatorium itu. Dalam masa itu, Busqina nampak perubahan ketara sikap Rani terhadapnya. Kedinginannya pagi itu tidak sama dengan kehangatan sikap yang ditunjukkan oleh Rani setelah dia berjaya membawanya keluar dari rumah sakit jiwa itu buat pertama kali sejak sepuluh tahun lepas.

Beberapa minggu lamanya dia terpaksa merayu berhari-hari pada Doktor Hadi, doktor senior yang pernah menjadi mentornya untuk membawa Rani pulang ke rumahnya. Akhirnya alasan Busqina telah diterima lalu permintaannya disokong dan diajukan kepada pihak pengurusan sanatorium. Alasannya adalah cara ini merupakan satu langkah pengenalan untuk mendedahkan Rani kembali kepada dunia luar setelah didapatinya mental Rani bertambah stabil dan agar dia dapat memerhatikan tingkah laku Rani apabila bermalam di luar sanatorium. Seandainya Rani sudah seratus peratus pulih daripada penyakit mentalnya dengan usaha tersebut, pasti pihak pengurusan juga yang mendapat nama kerana berjaya memulihkan seorang pesakit. Busqina sendiri tahu bahawa membawa pesakit pulang ke rumah ternyata telah melanggar kod etika profesionalisme. Bagaimanapun, di bawah dasar eksperimentasi terkawal, akhirnya kehendak Dr. Busqina ini dipersetujui jua oleh pihak pengurusan sanatorium itu. Tambahan pula, dia hanya tinggal berseorangan. Jadi risiko untuk mental Rani terganggu di rumahnya adalah terlalu minimal.

Dalam dua bulan ini Rani begitu ceria kerana mendapat kepercayaan dan perhatian daripada doktor psikiatrinya ini. Pelbagai persoalan diajukannya pada Busqina. Usia mereka sebaya meskipun nasib mereka berbeza. Persamaan itu memudahkan kedua-duanya cepat mesra antara satu sama lain. Perkara yang paling suka ditanya oleh Rani adalah berkenaan kebolehan Busqina untuk mengawal kesedaran diri walaupun sedang tidur.

“Macam mana doktor boleh bangun dalam mimpi?” soal Rani pada malam pertama dia tidur di rumah Busqina.
“Entahlah, Rani. Aku pun tak pasti bagaimana kebolehan ini boleh muncul. Aku pernah kemalangan jalan raya dengan ibu dan ayahku semasa berumur sepuluh tahun. Dalam insiden itu, kepalaku terhentak menyebabkan aku koma beberapa hari. Dalam koma itu, berulang-ulang kali aku bermimpi pelik sekali. Aku melihat tubuhku terbaring di atas katil hospital sedangkan diriku terapung-apung di dalam bilik. Badanku yang terbaring penuh lebam dan luka sedangkan badanku yang terapung itu bersinar-sinar dalam cahaya putih. Aku jadi sangat keliru sama ada aku ini sudah mati atau belum. Kemudian aku teringat bahawa aku ini baru saja kemalangan. Lalu aku pun terbang pergi melihat tempat kejadian. Di situ, seperti melihat tayangan video yang berulang-ulang, aku nampak bagaimana kereta yang dipandu oleh ayahku terbabas lalu terjun menjunam ke dalam gaung. Aku menjerit sekuat hati memanggil ibu dan ayah. Tetapi apabila aku teringat yang aku sendiri ada di dalam kereta itu, serta-merta imej kemalangan itu hilang dan aku tertarik semula ke dalam tubuhku yang sedang terbaring koma,” Busqina bercerita pada Rani.

“Kasihannya. Maafkan aku kerana bertanya, apa jadi dengan ayah dan ibumu, doktor?” Rani bertanya lagi.
“Tak apa, tanya ajalah. Mereka meninggal di tempat kejadian. Walaupun telah kehilangan ayah dan ibu dalam kemalangan itu, aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku masih hidup. Tambahan lagi, aku ada Inyik dan seorang pakcik yang sabar menjagaku selepas itu. Kalau aku rindu pada ayah dan ibu, mereka masih boleh hadir dalam mimpi-mimpiku,” Busqina memberi jawapan yang membuktikan kematangan emosi dan fikirannya.

“Adakah maksudnya doktor boleh melihat mereka pada bila-bila masa dalam mimpi?”
“Ya, begitulah lebih kurang. Pada mulanya setiap kali sebelum tidur selepas kemalangan itu, aku banyak mengenang kembali tra gedi tersebut. Oleh sebab itu, aku mengalami trauma yang teruk. Tidurku selalu terganggu dengan mimpi-mimpi yang mengerikan. Tetapi lama-kelamaan, aku dapat mengubah mimpi buruk dengan mimpi yang indah. Caranya adalah dengan menumpukan perhatian dan fikiran pada peristiwa-peristiwa gembira yang telah kulalui bersama-sama dengan ayah dan ibuku sebelum tidur. Hasilnya, aku mendapat mimpi-mimpi gembira sahaja lalu mengubati kerinduan dalam hati ini,” Busqina memberitahu Rani kisah hidupnya.

Sebelum ini, dia tidak pernah menceritakan rahsia ini pada sesiapa kecuali neneknya sahaja. Tetapi dia bercerita pada Rani agar dia lebih terbuka dengannya jua.
“Oh, bagusnya begitu. Aku hanya ada satu saja kenangan indah bersama Hazman. Ketika itu doktor yang menyambut kelahirannya telah meletakkan dia di atas dadaku. Sungguh jernih sekali kenangan itu. Sampai sekarang aku dapat merasai kelembutan pipinya, melihat kemerahan kulitnya dan mendengar rengekannya. Selepas itu, aku sendiri yang menyerahkannya ke tangan syaitan durjana. Betapa bodohnya tindakanku itu. Tolonglah aku, doktor. Tolonglah aku cari dia. Aku benar-benar yakin dia masih hidup lagi,” Rani merayu.

Busqina sendiri tidak berapa pasti bagaimana untuk mencari Hazman yang telah hilang sekian lama. Busqina tahu bahawa hubungan genetik antara ibu dan anak walaupun terpisah jauh secara fizikal sekalipun akan tetap wujud dan boleh diaktiLan jika ada percubaan serius. Dalam pengajiannya dahulu dia sering membaca tentang wujudnya keupayaan telepati antara keluarga terutamanya pada pasangan kembar serta di antara ibu dan anak. Dia hanya boleh berjanji pada Rani untuk mencuba sedaya-upayanya sahaja. Akan keputusan usaha itu, bukanlah dia yang menentukannya.

Malam demi malam berlalu tanpa ada kejayaan. Pelbagai cara dilakukannya, tetap tidak dapat untuk Busqina membawa Rani masuk ke dalam alam mimpi. Dia pun berfikir sedalam-dalamnya akan sebab mengapa dia tidak mampu melakukannya. Setelah puas berfikir akhirnya Busqina berjaya juga mencari punca masalah. Itupun selepas empat hari dia memeras otaknya.

Hanya pada malam keempat Rani tidur di rumahnya sahaja baru Busqina dapat meraga sukmanya. Itulah namanya kebolehan Busqina ini. Nama itu diambilnya daripada ilmu mistik orang Jawa yang dinamakan ‘ngrogo sukmo’. Dia sendiri pada mulanya agak terkejut bahawa kebolehan itu sebenarnya terkandung dalam ilmu kebatinan orang Jawa sejak beratus-ratus tahun dahulu. Malah di barat, ada juga orang putih yang boleh meraga sukma dan mereka memanggil fenomena ini dengan istilah “astral projection”. Kalau bukan dia sendiri mengalaminya, pasti sukar sekali untuk dia mengiyakan kewujudan ilmu ini. Tetapi sebagai seorang ahli sains dan juga peminat kejadian paranormal, Busqina memperoleh manfaat daripada kedua-dua dunia yang saling berkontra ini. Daripada ilmu psikologi dia memahami hubungan jiwa dan minda secara saintifik. Daripada cerita-cerita pengalaman orang yang dibacanya di majalah atau di internet, dia dapat mengetahui perkara-perkara yang wajar dibuat dan wajib dielakkan seandainya sedang meraga sukma.

“Pertama kali engkau mesti tidur dalam keadaan tenang dan melepaskan segala kebimbangan. Gagal atau berjaya bukan suatu yang kita perlu risaukan dalam usaha ini. Lebih banyak tekanan maka lebih sukar untuk aku meraga sukmamu. Aku pernah menarik keluar sukma Inyikku beberapa kali. Tetapi itu sembilan tahun dahulu. Sejak dia meninggal dunia, amat jarang aku meraga sukma lagi. Tapi sejak kebelakangan ini, aku telah berlatih dengan bersungguh-sungguh. Aku harap kita dapat mencari jejak anakmu menerusi alam mimpi. Namun begitu, kita jangan putus asa kalau gagal.”

Hujan semakin lebat, sanatorium semakin dekat. Sambil memandu, Busqina memandang pada Rani yang masih diam membisu di sebelahnya. Tanpa mempedulikan pandangan Busqina, Rani menghamparkan perhatiannya kepada titis-titis air yang menitik laju pada tingkap sisi kereta di sebelahnya. Busqina teringat bagaimana kali pertama dia meraga sukma Rani.

Bayang-bayang itu berpasangan dengan jasad fizikal, maka sukma itu ialah bayang-bayang kepada jiwa rohani. Sukma Busqina berdiri di hadapan katil. Bagaikan melihat imej diri pada cermin, Busqina melihat tubuhnya tidur terlentang dengan kedua-dua belah tangannya diqiamkan. Memang dia suka tidur dalam keadaan itu. Yang berdiri itu ialah bayang-bayang kepada rohaninya dan satu tali tenaga berwarna perak menyambungkan di antara kedua-dua buku lali diri fizikal dan sukmanya. Fikiran dan rohnya masih berada di sana, di dalam tubuhnya. Tetapi biarpun sedang tidur, fikirannya masih sedar keadaan di sekeliling kerana dia sedang menggunakan indera rohani dan otaknya di sana masih mampu memproses rangsangan-rangsangan yang diterima oleh sukmanya.

Sukma Busqina terapung-apung bergerak ke arah jasad Rani yang tidur mengiring ke kanan di sebelah tubuhnya. Kelihatan satu lembaga bersinar cahaya putih sedang berbaring di dalam tubuh Rani. Rupa lembaga tidak dapat dilihat dengan jelas oleh sukma Busqina tetapi sama saiz dan bentuk dengan tubuh Rani dan auranya terpancar keluar bersinar-sinar. Busqina mengecam bahawa itulah roh Rani sedang berehat. Dia menyentuh kedua-dua belah bahu Rani lalu memanggil namanya.
“Rani.”
“Rani, keluarlah engkau dari jasadmu menemani daku.” “Rani.”
“Rani, ini aku Busqina memanggilmu,” panggilan itu bukan dengan suara tetapi penyampaian gelombang secara konduksi.

Gelombang frekuensi subsonik itu membuatkan roh Rani bergetar seperti orang yang terkena sedikit renjatan elektrik. Getaran itu menggegarkan jiwa rohaninya. Sedikit demi sedikit, sukma Rani timbul. Sukma atau imej untuk rohani Rani itu terapung-apung di atas tubuhnya. Busqina mendapati sukmanya bercahaya lebih terang daripada Rani. Tetapi dia tidaklah memikirkan sangat puncanya kerana ada perkara lebih penting yang harus dilakukan. Dia menarik tangan sukma Rani. Perlahan-lahan sukma Rani bangun lalu duduk berlunjur.

“Rani,” dengan lembut Busqina memanggilnya.
Dalam keadaan maman Rani mendongak memandang Busqina yang sedang terapung di atas katil. Gerak balas yang ditunjukkan oleh sukma Rani merangsang kata-kata Busqina seterusnya.
“Rani, kita sekarang berada di alam mimpi. Alam ini tidak ada halangan seperti di alam hakiki. Mari aku tunjukkan.” Lantas Busqina menarik kedua-dua belah tangan Rani agar dia berdiri. Rani pun berdiri di atas tubuh fizikalnya.
“Ikut aku.” Rani memegang tangan Busqina dengan kuat.

Ketakutan bermanifestasi pada sukma Rani apabila mengalami situasi aneh ini. Busqina pun berjalan ke arah dinding di tepi pintu biliknya sambil menuntun Rani yang mengekorinya di belakang. Sampai di situ, Busqina pun memasukkan sebelah tangannya ke dalam dinding. Kemudian bahunya menghilang ke dalam dinding apabila dia mula melangkahkan kakinya. Seterusnya seluruh badan Busqina lesap dan hanya tinggal tangannya yang memegang tangan Rani sahaja yang kelihatan. Tangan itu terus menarik tangan Rani masuk ke dalam dinding. Rani teragak-agak untuk ikut sekali. Tetapi Busqina telah menyentap tangannya dengan kuat dan dengan dua langkah sahaja, Rani telah menembusi dinding itu lalu keluar ke ruang tamu yang berada di sebelah bilik Busqina.

“Wah, hebatnya!” Rani menyeru dengan penuh kekaguman. Dia menjolok dinding konkrit itu semula dengan tangannya beberapa kali. Busqina yang berdiri di sebelahnya tersenyum gembira. “Mari, aku tunjukkan pula bagaimana kita boleh terbang,” ujarnya kemudian.

Busqina menarik tangan Rani lalu mereka berjalan dalam keadaan terapung ke dapur. Di hadapan pintu dapur yang masih tertutup, Busqina berkata pada Rani, “Sekarang kita akan berlari keluar dari pintu ini. Kau ikut aku.” Rani mengangguk. Busqina melepaskan pegangan tangannya lalu mengira, “Sedia! Satu! Dua! Tiga!” Busqina dan Rani terus berlari keluar menembusi pintu tertutup itu dengan laju.

Mereka terus berlari melepasi beranda tempat menyidai baju, menembusi gril keselamatan lalu keluar dari apartmen tempat tinggal Busqina itu. Busqina berhenti dan diikuti pula oleh Rani.

“Ah!” Rani menjerit dan hampir terjatuh apabila dia memandang ke bawah.
Tetapi dengan pantas Busqina menyambut tangannya. Lalu dia menarik sukma tidak berjisim Rani agar berdiri sama tinggi dengannya. Rani masih memerhatikan pemandangan di bawah kakinya. Terketar-ketar sukmanya melihat deretan kereta yang kecil sahaja kelihatan dari ketinggian lapan belas tingkat itu.

“Tenangkan hatimu, Rani. Graviti tak berfungsi di alam mimpi ini. Mari!” Busqina menarik tangan Rani lagi lalu mereka pun terbang berpusing-pusing di udara.
Pada malam pertama Busqina berjaya meraga sukma Rani, mereka hanya bermain-main sahaja untuk membiasakan Rani dengan alam mimpi ini. Apabila mereka membayangkan lautan yang dipenuhi dengan ikan warna-warni, sekelip mata mereka telah menyelam di dalam lautan yang begitu jernih airnya. Apabila mereka membayangkan ikan paus, maka muncul sekawan ikan paus berenang-renang di sisi mereka. Malam, siang, gunung dan lautan. Semua itu mudah saja untuk dilawati dalam alam mimpi. Seronok benar mereka berdua kali itu.

Akhir sekali, Busqina memberitahu Rani,
“Rani, sekarang waktu untuk kita kembali ke dalam tubuh kita. Caranya adalah dengan kita berfikir tentang tubuh kita yang sedang tidur tadi. Cuba kau lihat ada tali tenaga berwarna perak di belakang buku lali kita. Tali ini menyambungkan sukma dengan tubuh fizikal. Tali tenaga ini takkan putus selagi kita masih hidup dan akan menarik kita dengan laju kembali ke dalam tubuh. Baiklah cuba kau tutup mata dan bayangkan keadaan tubuhmu yang sedang tidur. Fokus, fokus.”

Rani terjaga dan terus terduduk. Sungguh dia terkejut dengan mimpinya itu. Dia memandang ke kanan. Di sebelahnya itu, Busqina telah membuka mata. Rani memeluk Busqina dengan penuh gembira.

Mereka pun tiba di sanatorium. Busqina meletakkan keretanya. Dia memandang Rani lagi. Kesedihan masih terpancar di wajahnya. Busqina terus memeluk Rani dan berkata padanya,
“Janganlah kau bimbang. Aku percaya budak yang kita mimpikan semalam itu benar-benar anakmu. Mungkin dia keliru sahaja ketika itu. Malam ini kita akan cuba mencarinya lagi. Letakkan harapanmu pada malam ini.”
“Baiklah, terima kasih, doktor,” dalam keadaan teresak-esak dengan suara terserak-serak Rani menjawab.
Cukup dengan empat patah perkataan itu telah dapat melegakan hati Busqina.

Beberapa minit kemudian, mereka pun keluar dari kereta dengan berpayung.
Siang berakhir lalu malam pun menjelang. Azam Busqina untuk membantu Rani mencari anaknya semakin berkobar-kobar setelah kejadian malam semalam. Setelah dua bulan berusaha akhirnya sudah ada bibit permulaan kejayaan. Mereka mahu memastikan mimpi semalam bukan satu kesilapan. Sementara itu, beribu batu dari rumah Busqina di Istana Archaechabuana, Arya berbaring sendirian di dalam biliknya. Fikirannya menerawang pelbagai kemungkinan. Menurut Bonda Dewi, ayah dan ibunya sudah tiada akibat terlibat dalam satu kemalangan maut. Lantas timbul satu pertentangan kepercayaan dalam jiwa Arya. Adakah mimpinya boleh dipercayai? Apakah yang dimimpinya semalam itu hanya permainan tidur? Siapakah dua orang perempuan itu? Benarkah itu ibunya tetapi kenapa dia memanggilnya dengan nama berlainan? Adakah ibunya masih hidup atau itu hanya manifestasi kerinduan? Mencari jawapan atas persoalan serumit ini amat meletihkan fikiran.

Lewat sedikit pukul satu Arya terjaga. Arya berbaring namun matanya tidak lagi mahu lelap. Dia bangun dan bersiap lalu keluar dari biliknya menuju ke bilik Bonda Dewi. Setelah berada di koridor yang tersembunyi di belakang bilik Bonda Dewi, Arya mahu memasukkan anak kunci ke dalam poket beg sandangnya tetapi tiba-tiba dia terpandang pada dua lagi anak kunci yang belum digunakan. Daripada lima anak kunci yang ditukangnya, satu digunakan untuk membuka pintu bilik Bonda Dewi dan dua lagi adalah untuk pintu masuk ke ruang tangga berpilin. Di kiri dan kanan koridor itu ada dua buah bilik. Arya memandang pada anak kunci di tangannya lalu dia membuat keputusan. Dia berjalan menuju ke pintu bilik yang di sebelah kanannya. Ternyata salah satu anak kunci itu boleh membuka pintu tersebut. Arya menolak daun pintu perlahan-lahan dan menyuluh lampu picitnya ke dalam bilik yang gelap dan sunyi itu. Setelah pasti bilik itu selamat, dia pun masuk. Dia menyuluh-nyuluh mencari suis dan apabila ditemui segera dia menekan suis itu. Sebuah lampu bulat menyala dengan pantas lantas terang suasana di situ.

Bilik itu sebesar bilik Bonda Dewi penuh dengan pedang, tombak, busur dan panah, baju besi dan perisai yang berlambak-lambak di kiri-kanan. Kesemua senjata itu kelihatan berdebu dan sudah berkarat. Arya berjalan ke tengah bilik melalui satu laluan kecil di tengah-tengah timbunan peralatan perang tersebut. Setelah puas hati tiada apa-apa yang menarik di sini, dia keluar dan mengunci semula bilik itu. Dia menuju ke bilik lagi satu.

Apabila terbuka saja lampu di bilik kedua, Arya melihat rak-rak buku yang tinggi sampai ke siling berdiri di tepi dinding. Di tengah-tengah bilik terdapat sebuah meja dan kerusi kayu. Bilik itu dipenuhi dengan buku-buku lama dari rak sampai ke atas meja. Di atas lantai pun bersusun-susun buku kerana ruang letak pada rak semuanya sudah penuh. Arya duduk di atas kerusi lalu membuka sebuah buku di atas meja yang menarik perhatiannya.

Buku yang berhabuk itu sepanjang kira-kira dua puluh inci, selebar satu kaki dan setebal hampir dua inci. Dia menyapu habuk pada kulit buku lalu terserlah dua baris tulisan. Tetapi tulisan itu terlalu aneh buat Arya. Dia merasa bentuk tulisan itu dengan jari-jarinya. Tulisan itu diukir terus daripada kulit buku yang diperbuat daripada kulit binatang dan diwarnakan dengan dakwat keemasan. Perlahan-lahan dia membuka lembar kulit yang membaluti buku itu. Pada halaman pertama dia dapat melihat sebuah peta lukisan tangan yang menunjukkan segugus pulau di sebuah laut yang luas. Gugusan pulau itu terletak berhampiran dengan sebuah pulau yang sangat besar dan panjang. Peta itu dilabelkan dengan simbol-simbol tulisan yang bercorak sama seperti tajuk buku. Arya menyelak ke halaman kedua. Kertas buku itu tebal tetapi sudah kusam namun warna-warni pada lukisan di dalamnya masih terpelihara.

Di halaman seterusnya, terdapat pula lukisan sebuah pulau yang besar. Di atas pulau itu terdapat sebuah istana besar dengan dikelilingi bangunan nan indah nian. Arya menyelak lagi halaman seterusnya. Pada lukisan yang ada di mukasurat tersebut, kelihatan beberapa kumpulan pekerja sedang memindahkan blok batu-batu yang besar dari sebuah kapal yang berlabuh hampir dengan sebuah teluk. Bentuk teluk itu hampir sama dengan bentuk pantai tempat dia dan rakan-rakannya selalu mandi. Arya menyelak helai demi helai buku itu. Dia membuat kesimpulan bahawa di tangannya ini merupakan sebuah koleksi lukisan seorang pelukis yang pernah berada di pulau ini.

Arya melihat lukisan demi lukisan dengan sekali imbas. Setiap lukisan itu seolah-olah mahu menceritakan kisah bagaimana istana ini dibina dari awal hingga siap. Terdapat juga lukisan-lukisan asas seni bina istana ini. Setiap lukisan disertakan dengan penjelasan ringkas cuma dia tidak dapat menangkap bahasa yang digunakan. Arya amat menyukai apa yang dilihatnya ini. Dia membuat keputusan untuk menyimpan buku itu ke dalam begnya sahaja dan kemudian membelek buku-buku lain di atas meja. Setelah satu jam duduk di dalam bilik yang penuh buku itu, Arya pun keluar selepas berpuas hati dengan apa yang dijumpainya.

Baring-baring berbantalkan beg sandang di atas batu tempat dia tertidur semalam, jauh ke langit Arya memandang. Bintang-bintang bergemerlapan menggamit kenangan. Langit nan cerah menandakan cuaca yang baik itu mungkin akan bertahan sepanjang malam. Lagipun masih belum tiba musim hujan. Kalau sudah musimnya, bila-bila masa saja boleh jadi ribut dan taufan.

Sepanjang umurnya, hanya hidup di istana ini sahaja yang dia tahu. Apa yang dialaminya di sini semuanya riang dan tawa. Arya sendiri berasa sangat beruntung membesar di sini. Membesar bersama kawan-kawannya hanya bermain dan belajar. Sudah diuntung lagi ditatang. Bonda Dewi saban waktu mencurahkan kasih sayang. Bagaimana sempurna sekalipun hidup di sini, Arya masih terasa ada lagi kekosongan. Kekosongan di dalam hati itu tetap tidak boleh diisi oleh Bonda Dewi atau sesiapapun kerana itulah tempat untuk meletakkan cinta ibu yang sejati.

Mimpi semalam membangkitkan keghairahan Arya untuk mengisi kekosongan itu. Seperti laut yang bergelora ketika ribut datang, hati Arya juga dilanda keinginan yang membuak-buak untuk berjumpa lagi dengan wanita yang dimimpikannya semalam walaupun belum pasti dia ibunya. Meskipun itu hanya satu mimpi dan Arya masih ragu-ragu kerana wanita itu memanggil nama lain padanya, namun dia telah pun berada di sini. Malah tujuan sebenar dia datang ke sini pada malam ini telah berubah. Semalam dia hanya mahu menikmati keindahan pemandangan di atas tebing selain ingin menikmati kebebasan dari kongkongan dinding batu di dalam istana walaupun hanya sementara sahaja. Tetapi malam ini dia berharap mendapat mimpi yang sama seperti sebelumnya. Leka dan lama mengulit perasaan, akhirnya Arya terlena di atas hamparan batu itu.

“Rani! Keluarlah engkau dari tubuhmu. Marilah kau ikut daku,” sukma Busqina memanggil sukma Rani. Busqina maklum bahawa kelebihannya ini satu anugerah Tuhan untuk digunakan sebaik mungkin. Dia mahu menolong Rani semata-mata atas dasar keikhlasan.

“Rani, pegang tanganku ini,” ujar Busqina seraya menghulurkan tangan kanannya ke depan apabila sukma Rani telah duduk berlunjur di atas tubuh fizikalnya. Tangan itu disambut oleh Rani yang tidak berkata apa-apapun.

Busqina menutup matanya lalu membayangkan dia dan Rani sedang berada di atas awan. Sebaik sahaja membuka matanya, mereka sudah pun terapung-apung jauh lebih tinggi dari awan. Sudah banyak kali mereka berada di sini sehingga Rani pun tidak lagi berasa gayat apabila melihat ke bawah.

“Rani, cuba kau tumpukan perhatianmu ke arah yang kita imbas semalam.” Arahan itu segera dipatuhi oleh Rani yang menutup matanya rapat-rapat supaya dia bertambah fokus.
Busqina yang memegang kedua-dua belah tangan Rani memberitahunya lagi,
“Wahai ibu yang dalam kerinduan, serulah anakmu agar dia mendengar panggilan.”
“Wahai anakku, di mana kamu? Hadirlah bersama ibu dalam tidurmu. Arya! Arya!” Sayu sekali panggilan itu.
Rani memanggil nama Arya dan bukan Hazman. Sebelum tidur dia sudah merancang dengan Busqina untuk menggunakan nama ini kerana mereka mahu memastikan budak itu ialah anaknya yang telah diculik oleh syaitan.

Setiap malam selama hampir dua bulan ini, Busqina dan Rani cuba mengesan kewujudan Hazman dalam alam mimpi. Setiap kali mahu mencari anaknya itu, mereka akan naik ke atas langit agar ketinggian itu membantu usaha pencarian. Seperti kalau mahu melihat dunia dengan lebih luas lagi perlu naik ke tempat tinggi di alam hakiki, sebegitu jua pada perkiraan Busqina kalau mahu meningkatkan kuasa telepati di alam mimpi. Busqina memang mengetahui hubungan telepati antara ibu dan anak adalah kuat sekali. Maka tanpa berputus asa mereka mencari di semua arah dengan cara begitu. Akhirnya semalam setelah Arya tidur di luar Istana Archaechabuana barulah dapat Rani mengesan kewujudan anaknya. Itupun disebabkan sebelum terlena Arya terkenang akan ayah dan ibunya. Juga sebabnya jua semasa bermimpi Arya memanggil ayah dan ibunya. Begitulah kuasa niat menyelarikan peristiwa-peristiwa di dunia untuk mendatangkan kesan sama ada baik ataupun buruk.

“Anakku! Dengarlah panggilan ibumu! Ibu sedang mencarimu! Arya! Arya!” jerit Rani sendirian dengan ditemani Busqina yang diam dan sabar menunggu.
Pada masa yang sama, dia memejamkan matanya, memegang tangan Rani dan menyalurkan tenaganya agar gelombang suara Rani boleh tersebar dengan jauh sekali. Begitulah keadaannya setiap kali bermimpi bersama Busqina, Rani akan memanggil anaknya sampai berjam-jam lamanya. Memang berputus asa bukan satu pilihan. Desakan keibuan yang kuat menjadi pendorong. Busqina pula dimotivasikan oleh keinginan untuk berbakti dengan kebolehannya dan janji pada Inyiknya dahulu.

Kali ini Arya bermimpi lagi. Dia berada dalam suasana yang gelap-gelita. Arya memandang ke atas mengharapkan ada bintang yang berkelip kepadanya. Namun kegelapan sahaja yang menyelubunginya. Ketakutan mula menghantuinya. Dia dapat merasakan peluh membasahi tubuhnya. Kedinginan mulai menggigit kulitnya. Arya terketar-ketar lalu memeluk tubuhnya sendiri rapat-rapat. Nun sayup-sayup dari kejauhan antara dengar dengan tidak Arya mengesan ada suara memanggil namanya.

“Ibu! Ibu! Ibu!” berkali-kali dia memanggil sekuat hati.
“Arya! Arya! Arya!” gema suara itu makin kuat menghampiri Arya.

Maka bersahut-sahutan panggilan mereka sehinggalah Arya melihat seperti ada satu sinar seperti bintang berkelip-kelip dari kejauhan. Cahaya itu semakin lama semakin menghampirinya. Arya terdiam dan berdebar-debar hatinya.

Apabila sudah dekat, Arya nampak dua susuk tubuh wanita bercahaya putih semakin hampir. Kesilauan menyebabkan Arya mengangkat tangannya untuk menapis sebahagian sinar lalu jelaslah pada wajah mereka bahawa ini memang wanita yang dimimpinya semalam. Rani yang berdiri di hadapan sekali menghulurkan tan- gannya untuk memegang tangan Arya yang terangkat itu.

“Anak, akulah ibumu. Namamu yang kuberi semasa kau dilahirkan ialah Hazman,” ujar Rani sambil Arya mulai berdiri.
Arya hanya berdiam bukan kerana kekagetan tetapi dia hanya ragu-ragu dan mengharapkan lebih banyak penjelasan.
“Kaulah anakku yang telah kukandung dan kulahirkan. Kau telah hilang sekian lama dari dakapanku. Akan kubuktikan padamu kau ini anakku,” sambung Rani lagi seraya memegang kedua-dua belah bahu anaknya itu lalu memusingkan badannya.
“Di belakang bahumu ini ada tanda lahir. Bentuk tanda itu seperti bulan sabit yang mana bersambung di atasnya ada satu tanda lonjong kecil,” Rani berkata lagi.

Ketika itu Rani menyelak baju Arya sedikit dan menunjukkan tanda itu pada Busqina di sisinya. Arya hanya terdiam diperlakukan sedemikian. Dalam diam dia mengakui bahawa kata-kata ibunya itu benar.

“Benar. Seperti wau bulan tanda lahir ini.” Inilah kali pertama Busqina bersuara di hadapan Arya.

Arya berpusing dan memandang pada wajah perempuan yang berkata itu. Masih lagi lidahnya terkelu. Namun daripada gaya Arya, Busqina tahu dia ingin tahu siapa dirinya. Arya mendongak kepada tubuh kurus ibunya.

Rani yang sudah faham maksud Busqina terus berkata, “Inilah Doktor Busqina yang tak jemu-jemu menolong ibu mencari kamu, anakku. Bertahun-tahun ibu jadi gila kerana kehilanganmu. Doktor ini yang merawat ibu. Anakku, izinkan aku memelukmu.”
Rani sudah tak tertahan lagi mahu mendakap anaknya itu. Arya membiarkan saja dirinya dipeluk. Dia hanya berdiri kaku dalam buntu. Perlahan-lahan dia dapat merasakan kehangatan pelukan itu dan membangkitkan kerinduan yang terpendam dalam hatinya. Selama ini dia hanya menyangka ibunya telah tiada, maka rindu itu hanya membeku dan tak mungkin dia dapat merasainya langsung seumur hidup. Tetapi saat itu perasaan yang telah lama beku mulai mencair dan menghangatkan jiwanya. Lalu dia mengangkat tangan dan membalas pelukan itu.
“Ibu,” ujarnya.

Mendengar panggilan itu, Rani memeluknya lebih rapat dan kemudian bertubi-tubi mencium pipi anaknya. Suasana sekeliling tiba-tiba terang-benderang dan tiada lagi kata-kata yang terucapkan melainkan hanya kedengaran tangisan kesyahduan nan menggembirakan hati-hati yang kegembiraan. Busqina turut tersentuh perasaannya lantas menitis airmata mengalir laju di kedua-dua belah pipinya. Teresak-esak dalam keterharuan, Busqina memeluk ibu dan anak yang sedang berdakapan itu. Beberapa minit berlalu sebegitu. Akhirnya, Busqina dan Rani melonggarkan pelukan mereka lalu Rani bersuara.
“Anakku, siapa yang memberi namamu Arya?” “Bonda Dewi, dia ibu angkatku di sini,” jawab Arya. “Di mana tu?” tanya ibunya lagi.

“Aku tinggal di Istana Archaechabuana, ibu. Istana ini di atas sebuah pulau. Aku pun tak tahu di mana letaknya pulau ini. Cuma yang kutahu, dari bayi lagi aku dan kawan-kawanku telah berada di sini dan kami semua anak yatim-piatu.”
“Kau masih ada ibu, sayangku. Ibu yang sangat rindu padamu.
Takkan ibu melupakanmu. Marilah kau kembali pada ibu.”
“Baik, ibu. Satu hari nanti akan kucarimu. Ibu tinggal di mana?” soal Arya pula.
Rani memandang kepada Busqina lalu berkata, “Bolehkah kau bawa kami ke bilikku?”
Busqina mengangguk dan kemudian berkata, “Tutuplah mata kalian. Pegang tanganku.” Rani senyum pada Arya dan berkata, “Pejamkan matamu, sayangku.”

Mudah saja Busqina membawa mereka berdua kembali ke Rumah Kasih Delima kerana memori tempat dia berkhidmat itu sentiasa segar di dalam otaknya.
“Buka mata,” katanya dalam sela dua detik saja.

Apabila terbuka saja matanya, Arya dan ibunya sedang duduk di atas sebuah katil. Tingkap yang berlangsir putih berhias bunga-bunga ros merah berada di belakang ibunya. Menjenguk melewati bahu Rani, Arya ternampak sebuah taman bunga yang tak pernah ada di Istana Archaechabuana. Arya terpegun kerana inilah pertama kali dia dapat melihat suasana yang jauh berbeza daripada istana batu tempat tinggalnya.
“Wah! Cantiknya istana ibu. Ibu tinggal di sini dengan Doktor Busqina kah?” soalnya.
Rani tertawa dan Busqina tersengih.

Wajah anak yang comel ini memang iras-iras saja wajah ibunya dari bentuk muka, hidung dan mata. Rambutnya yang kasar beralun-alun mengingatkan Rani pada ayahnya yang juga berambut begitu. Namun sekarang bukanlah masa untuk bersedih kerana anaknya itu sedang tersenyum di depan matanya walaupun sebenarnya hanya sekadar berada di alam mimpi.

Mereka pun berbual-bual lagi. Perbualan mereka semakin lama semakin berisi apabila satu demi satu berkait peristiwa-peristiwa yang pernah dialami oleh mereka bertiga. Begitu rancak perbualan mereka di situ sehingga tiba-tiba kedengaran bunyi kokokan ayam.

“Bunyi apa itu, ibu?” tanya Arya pada Rani.
Akan tetapi soalannya tidak terjawab. Dilihatnya wanita berdua itu semakin kabur imej mereka akibat tenggelam dalam kekusutan warna.
“Selamat tinggal, sayangku. Datanglah cari ibu nanti.”
“Berhati-hati, Arya. Ingatlah pesan kami.” Sayup-sayup Arya mendengar suara mereka diselangi pula dengan bunyi kokokan ayam yang baru kali ini didengarinya.
“Ibu!”
“Ibu!” Arya memanggil tetapi sudah tidak nampak apa-apa lagi.
Pandangannya menjadi semakin gelap.

Sejurus kemudian Arya terjaga dalam keadaan terduduk. Segera dia melihat pada jam tangannya. Waktu sudah hampir kepada jam 5 pagi. Kebiasaannya mereka di sini akan bangun tak sampai sejam lagi. Arya bergegas bangun, menyandang begnya lalu berlari ke arah pintu hac. Dia melompat ke atas pelantar tangga sulung setelah menutup pintu hac lalu berlari ke bawah. Setelah melepasi koridor dan masuk ke dalam bilik Bonda Dewi, Arya menyapu kesan tapak kakinya yang terdapat di situ dengan sehelai sapu tangan yang selalu dibawanya. Selepas mempelajari serba-sedikit akan kejadian yang menimpa ibu dan dirinya, Arya berasa agak cemas. Akan tetapi ketakutan yang timbul itu tidak akan menyebabkan kanak-kanak sepuluh tahun yang bijak ini untuk menjadi panik. Pesan-pesan yang ditinggalkan oleh ibunya dan Doktor Busqina akan sentiasa diamalkannya agar dia dapat melepaskan diri dari perangkap syaitan ini satu hari nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience