Andai saja kata berperang sudah tentu akan ada nyawa dipertaruhkan yang kemudiannya jadi tagihan. Belum lagi dikira kemusnahan yang selalu bersinonim dengan peperangan. Tentu saja tidak dapat dielakkan berlakunya kerosakan alam. Tetapi tetap saja perang dilancarkan kerana mahu memperjuangkan prinsip atau ada maruah yang mesti dipertahankan. Begitulah akibatnya apabila suatu permusuhan itu tak dapat lagi didamaikan. Maka bertarung saja jalan penyelesaian agar kebenaran jadi milik si pemenang.
Sudah hampir lima jam mereka belayar meninggalkan Pulau Magi. Bunyi enjin bot memecah keheningan dinihari dan membelah ombak-ombak kecil. Seinci demi seinci Talisman membawa penumpang-penumpangnya menghampiri destinasi. Pertunjukan bunga api mini tadi sudah pun berhenti. Ke tempat masing-masing anak-anak remaja itu kembali. Sementara itu Silguglis telah masuk ke dalam kabin untuk berbual dengan Pak Budi.
Dari jauh, kedengaran dentuman guruh petir membelah kesunyian langit dan memecah ketenteraman alam. Arya terkejut dari tidur. Begitu juga kumpulannya. Mereka semua duduk tegak memerhati ke langit. Arya melihat jam di tangan. Tidurnya yang baru setengah jam sudah terganggu semula. Enjin bot telah dimatikan. Hatinya berdebar-debar. Wajah kawan-kawan di sekelilingnya tegang dan cemas. Mereka hanya duduk diam-diam tidak berani berkata apa- apa. Mungkin apa yang dibimbangkan oleh Tok Sil tadi benar-benar akan terjadi. Beberapa orang berdiri mahu meninjau suasana langit. Nun di barat tampak kilauan kilat sabung-menyabung. Dentuman guruh semakin kuat mendekat.
Ketika itu Silguglis keluar dari kabin. Baru saja dia melangkah keluar, tiba-tiba melompat keluar dari dalam laut satu lembaga kecil lalu mendarat betul-betul di hadapan Silguglis. Berdebum dan bergegar bot itu apabila lembaga itu menghenyakkan kakinya lalu tunduk berlutut di hadapan Silguglis. Tubuhnya hanya sebesar seorang anak kecil sepuluh tahun tetapi berambut kuning emas panjang sampai melepasi bahu dan menutup seluruh wajahnya. Dalam keadaan berlutut kelihatan ototnya berketul-ketul yang disaluti kulit sisik keras yang bersinar dengan aura keemasan. Dia mempunyai tiga jari berkuku besar dan tajam pada tangan dan kakinya. Jari-jari itu bersisik dan bercantum seperti kaki itik. Dari tubuh kecil tegap itu air laut menitik-nitik di atas lantai dek. Arya menjangka lembaga ini pastilah pengikut Tok Sil.
“Panglima Hatemtartya, apakah berita yang kau bawa?” Silguglis bertanya dengan nada yang amat serius.
“Tuanku, aku mahu menyampaikan satu gelombang pesanan yang baru kuterima daripada pasukan peninjau. Mereka melihat satu ketumbukan laskar syaitan yang datang dari arah barat sedang mara ke sini dengan laju sekali. Beberapa minit lagi mereka akan sampai,” jawab panglima itu.
“Sudahkah kalian bersedia?” tanya Silguglis.
“Sudah. Sampaikan arahanmu, wahai tuanku,” jawabnya lagi.
“Pagarkan bot ini,” pendek saja arahan itu.
Tanpa membuang masa, panglima itu terus melompat semula ke dalam laut seraya meninggalkan sedikit lendiran di atas dek tempat dia melutut tadi. Silguglis pula melompat ke bahagian bumbung kabin. Sambil berdiri dia menadah kedua-dua tangannya lalu mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak dapat didengari mereka.
Pada masa yang sama Arya nampak empat lembaga putih yang kabur susuknya telah melompat dari dalam laut dan berdiri di udara pada empat penjuru di sekeliling bot itu. Pada tangan mereka masing-masing dipegang sebatang tongkat panjang. Di hulu tongkat-tongkat mereka itu terdapat seketul batu hijau pekat. Batu itu berkilau-kilau dan terus menembakkan cahaya kehijauan. Cahaya hijau dari keempat-empat batu itu pun bersambung antara satu sama lain. Kemudian setelah bercantum membentuk garis cahaya segi empat tepat, cahaya hijau itu telah berkembang membentuk satu satah rata seperti bumbung di atas kepala mereka. Seterusnya daripada satu satah bumbung itu, terbit pula satah-satah menegak di sekeliling mereka menjadi dinding daripada cahaya hijau tadi. Akhirnya seluruh bot itu dan isinya kini telah dilindungi oleh satu kotak cahaya berbentuk kubikel. Pada setiap penjuru atas kubikel itu ada empat pengawal yang berdiri memegang tongkat bertakhtakan batu hijau yang tak berhenti-henti mengeluarkan cahaya.
Apabila Arya memandang ke arah tempat Silguglis berdiri, dia sudah tiada di situ. Melilau matanya tercari-cari. Syahdan ternampak olehnya Silguglis duduk bersila di tengah-tengah bumbung kubikel. Kedua-dua belah tangan Silguglis menekan lututnya. Arya tidak terdengar lagi bunyi ombak memukul badan bot. Begitu juga dia tidak dapat melihat apa-apapun selain daripada ruang lingkup kubikel yang berdinding cahaya hijau itu.
Ketika itulah Arya terdengar suara Silguglis berkata secara telepati kepadanya,
“Janganlah kalian gusar. Mereka ini panglima-panglima terhebat dari kerajaanku. Kamu semua sedang dilingkungi oleh kuasa pelindung kubikel zamrud sakti laut. Nah! Saksikanlah kuasa sebenar jin bangsa kami. Duduklah diam-diam. Pejamkan matamu. Mataku matamu jua. Telingaku telingamu jua, hatiku hatimu jua.”
Dia juga menyangka orang lain turut sama mendengar kata-kata Silguglis itu kerana bukan sahaja Rohan di sebelahnya duduk memejamkan mata, malah orang-orang lain pun turut melakukannya. Arya pun mengikuti langkah mereka. Pada mulanya dia berasa sangat pening kerana tiba-tiba terlalu banyak cahaya dan terlalu banyak bunyi yang diterima otaknya. Tetapi sedikit demi sedikit maklumat-maklumat itu mula menyusun menjadi imej dan bunyi yang boleh dibaca oleh mindanya.
Pertama sekali apa yang Arya nampak ialah langit dan laut tidak lagi diselubungi kegelapan. Warna langit sudah menjadi jingga kemerah-merahan. Bintang-bintang berkelip-kelip dengan warna biru atau kuning yang berseri-seri kemilaunya. Pada masa yang sama dia terdengar bunyi merdu yang beralun-alun. Arya mendapati bunyi itu datang dari bawah. Rupa-rupanya itu ialah bunyi arus ombak laut yang berkejar-kejar maju ke hadapan. Mindanya cuba mengaitkan bunyi itu dengan alat yang pernah digunakannya sewaktu belajar muzik di Istana Archaechabuana. Setelah berfikir sejenak dapatlah Arya menyamakan bunyi ombak berdengung-dengung merdu itu seperti bunyi hap yang dipetik orang. Laut pula tampak berwarna kuning kemerah-merahan seperti tembaga. Sungguh aneh dunia yang dilihatnya itu. Malah warna-warna alam yang merah, biru dan kuning yang biasa dilihatnya kini lebih terang, cantik dan berkilau-kilauan warnanya.
Silguglis berkata lagi secara telepati,
“Inilah alam makhfi, dunia kami. Mata dan telinga kalian tidak berupaya untuk melihat alam makhfi ini. Maka sebab itulah aku meminjamkan penglihatan dan pendengaranku pada kamu semua. Laskar-laskar syaitan akan tiba sebentar lagi. Bertenang dan bersabarlah. Usahlah kalian panik atau bimbang kerana aku akan mempertahankan kamu semua sampai ke titisan darahku yang terakhir.”
Habis saja dia menyampaikan kata-katanya, Silguglis pun terus berdiri di atas kubikel hijau itu. Tampak dari jauh segumpal awan kumulonimbus berwarna hitam sedang maju dengan laju ke arahnya. Kilat bersabungan terpancar keluar ke seluruh arah dari dalam gumpalan awan hitam. Dari arah awan itu derauan angin berhembus laju. Tiba-tiba semangat mahu berjuang Arya bangkit meluap-luap. Tiada lagi ketakutan hadir dalam hatinya melainkan keberanian sejati.
Seketika berlalu sebelum Silguglis berdiri sambil melafazkan satu bacaan yang bahasanya aneh benar bunyinya pada Arya namun begitu bermelodi, mengasyikkan dan mendatangkan ketenangan dalam hatinya. Awan hitam itu kini sudah sampai lantas berhenti betul-betul di atas kepala mereka dengan jarak kira-kira seratus meter sahaja. Tetapi Silguglis masih tenang mengalunkan melodi puisinya.
Tanpa sebarang amaran sekilas cahaya merah seperti laser ditembak keluar dari awan hitam itu. Silguglis ialah sasaran tembakan. Dia masih membaca mantera puitis yang tak difahami oleh Arya dan tidak bertindak apa-apapun untuk menentang serangan itu. Namun dengan kepantasan yang luar biasa panglima berempat pengawal kubikel itu telah bertindak balas. Terpancar satu petir berwarna hijau terang dari setiap batu pada hujung tongkat yang dipegang oleh mereka. Empat kilatan hijau ditembak tepat pada laser merah lalu laser itu hilang begitu saja diikuti dengan satu dentuman. Habis saja dentuman sekuat petir menyambar itu, kedengaran pula berdekah-dekah tawa datang dari gumpalan awan seolah-olah mahu mengejek Silguglis.
Silguglis berhenti membaca puisinya. Dia mengangkat tangan kirinya lalu perlahan-lahan keluar sebatang tongkat dari tapak tangan. Tongkat itu terapung-apung di hadapannya. Sebutir permata biru berbentuk bujur bersegi-segi sebesar ibu jari kaki Arya siap terpasang di atas hulu tongkat. Silguglis melafazkan beberapa kalimat yang tidak difahami Arya lagi. Maka sejurus itu keluar tiga jalur cahaya biru, merah dan hijau dari badan permata lalu berpilin-pilin turun melingkari tongkat saktinya. Jaluran cahaya itu terus berpintal-pintal dan bersinar semakin terang. Apabila sinar cahaya mulai menghilang, tongkatnya telah berubah menjadi sebilah pedang dwimata yang begitu hebat rupanya. Mata pedang itu berkemilauan memancarkan sinar ketajaman. Permata biru tadi melekap di pangkal pedang yang dekat dengan hulunya menjadi hati pedang. Bunga-bunga api elektrik kebiruan berlingkar-lingkar di sekeliling hati pedang itu.
Silguglis menggenggam hulu pedang dengan kedua-dua belah tangannya. Dengan tangkas putera jin Maarid itu melompat beberapa puluh meter ke atas dan menghayunkan pedang itu dengan satu tetakan menegak. Aura biru berlapis putih berbentuk bulan sabit besar terpancar lalu membelah dua awan hitam di atas kepalanya itu. Silguglis menghayunkan lagi pedangnya dengan beberapa jurus melintang dan menegak. Maka tersapulah awan hitam itu oleh aura pedang dan terus hilang di udara. Selepas itu, Silguglis pun mendarat kembali di atas pelantar kubikel sambil memandang ke atas. Demikian tamatlah jurus pertama serangan kedua-dua belah pihak yang mahu berperang. Tembakan laser dan tetakan pedang Silguglis itu hanyalah satu permulaan. Suatu ujian untuk menduga kekuatan lawan. Bolehlah dikatakan pusingan pertama ini berkeputusan seri dan hanya sebagai satu sesi perkenalan.
Di atas kepalanya kelihatan beratus-ratus lembaga hitam bermata merah, kuning dan jingga sedang memerhatikannya. Tampak seperti api-api kecil menyala-nyala di atas langit yang diselubungi kegelapan. Lembaga-lembaga itu bertubuh sama seperti manusia cuma hitam, besar, tinggi dan berekor. Mereka ketawa mengilai-ngilai.
“Marilah! Aku tidak takut pada kau, syaitan!” Silguglis berteriak mencabar mereka. Hilaian tawa itu bertambah kuat.
Keadaan kini menjadi semakin tegang. Arya yang melihat dari kaca mata Silguglis kejadian ini bertambah kencang debaran jantun gnya. Syaitan-syaitan di atas kepalanya mula bergerak dan menyusun diri dalam satu formasi bulatan. Di tengah-tengah bulatan ketua ketumbukan laskar syaitan berdiri sendirian.
“Tunjukkan dirimu yang sebenar! Apakah engkau takut? Turunlah dan marilah kita berhadapan!” Silguglis menjerit lagi untuk mencabarnya.
Terdorong oleh cabaran itu, ketua syaitan di tengah-tengah bulatan itu menjunam turun. Dia berhenti di hadapan kubikel tetapi berdiri terapung-apung pada kedudukan beberapa meter lebih tinggi daripada Silguglis. Rupa lembaga hitam ketua syaitan itu semakin jelas kelihatan. Bentuk tubuh seperti perempuan yang berambut panjang ikal mayang sampai ke punggung meliuk-liuk diterjah angin malam. Wajahnya penuh dengan kebencian. Dia berpakaian baju perang yang lengkap dari kepala sampai ke kaki. Matanya berapi-api. Daun telinganya bermuncung tajam. Tidak langsung ada senyuman hanya ekspresi kebengisan. Walaupun agak berlainan, tetapi Arya memang cukup kenal rupa itu. Tidak lain dan tidak bukan itu ialah wajah Bonda Dewi.
“Nyatakan namamu, syaitan. Aku benci membunuh syaitan yang tak ternama,” Silguglis berkata kepadanya.
“Apakah kesanggupanmu?” syaitan itu ketawa mengejek lantas menyambung kata-katanya dengan suara yang penuh kebanggaan, “Aku ini Krr-Rachnadewi, Ifrit paling kanan Ratu Maimoon, ratu lautan ini dari barat sampai ke timur, cucu kepada Maharaja Teragung. Serahkan budak-budak itu padaku jika kau tak mahu mati tak berkeranda.”
Ugutan itu langsung tak ditakuti Silguglis. Malah dengan berani dia memperkecil-kecilkan lawannya dengan berkata,
“Cis! Ifrit berwajah buruk. Ketahuilah siapa lawanmu sekarang. Aku ialah Silguglis, putera sulung Raja Haz Lur dari keturunan Maarid Laut, empunya Cokmar Sakti Berempat, pemilik Kristal Tujuh Ubahan, pengawal amanah Tanah Nusantara. Beranikah kau melawan aku?”
“Janganlah kau bercakap besar. Aku datang dengan seribu laskar. Kau ini hanya sendirian. Kalau kau tak mahu berundur, kau akan kulumat tak bersisa,” jawab Krr-Rachnadewi dengan penuh kesombongan.
“Mereka ini sekarang di bawah naunganku. Tak mungkin akan kutinggalkan mereka. Ketahuilah, wahai Ifrit, aku ini bukan bersendirian. Panglima Hatemtartya! Keluarlah kamu sekarang!” Silguglis memanggil dengan suara yang lantang.
Maka dengan perintah itu, tiba-tiba permukaan laut kuning merah itu berkocak. Mula-mula Arya dapat melihat Panglima Hatemtartya melompat keluar lalu berdiri di udara tidak jauh di belakang Krr-Rachnadewi. Kehadirannya segera dituruti oleh beratus-ratus lagi laskar Silguglis dan mereka semua berdiri di atas laut mengelilingi bot Talisman itu. Ternyata sejak tadi mereka berada dalam persembunyian.
“Hanya tiga ratus sahaja? Apakah kau sangka pedang-pedang buruk mereka ini mampu melawan senjata kami?” begitu pantas Krr-Rachnadewi menghamburkan sindiran.
“Kau boleh cuba. Perisai kami bukan logam biasa. Pedang kami tajam tak terhingga. Mereka ini pahlawan berbisa. Cubalah kalau kau berdaya, wahai Ifrit durjana!” Silguglis menjawab tanpa rasa gentar langsung di hatinya.
Krr-Rachnadewi ketawa kuat-kuat lalu dia meluncur terbang naik ke atas semula. Dengan itu selesailah perbicaraan mereka. Apabila tiada pihak yang mahu mengalah, maka hanya tinggal pertarungan maut sahaja jalan penyelesaian yang masih ada.Dia kini kembali berada di tengah-tengah laskar-laskarnya. Mereka berada tak kurang seratus meter sahaja dari atas permukaan laut. Kesemua laskar syaitannya itu ialah perajurit-perajurit yang lengkap berbaju perang dan memegang sepucuk senapang di tangan masing-masing. Senapang mereka itu begitu pelik rupanya, jauh sekali kemajuan teknologi mereka berbanding dengan senapang milik Pak Budi. Senapang mereka berwarna hitam dan berlaras tunggal sebesar paha. Pada muncung senapang itu terjojol seketul kristal merah yang menyala-nyala berbentuk piramid. Di belakang mereka tersisip pedang masing-masing. Kecanggihan persenjataan mereka menggerunkan hati Arya. Tambahan lagi tentera Silguglis hanya bersenjatakan pedang dan perisai sahaja. Arya hanya mampu berharap agar Silguglis benar-benar berdaya mempertahankan mereka semua.
“Tembak!”
Arya mendengar jeritan Krr-Rachnadewi mengarahkan serangan dimulakan. Peluru laser merah mula menghujani Silguglis dan laskar-laskarnya. Silguglis menghayunkan pedangnya untuk memantulkan serangan laser itu dengan perisai auranya sementara tenteranya bertahan dengan perisai masing-masing. Arya dapat mendengar bunyi tembakan demi tembakan berdesing-desing kuatnya. Ternyata tiada masalah bagi mereka menahan serangan ini.
Bagaimanapun serangan laser itu masih belum berhenti. Kali ini sinaran laser yang lebih tebal dan lebih pantas ditembak pada mereka. Impak kuat daripada tembakan yang menghentam perisai-perisai hingga menyebabkan ramai tentera Silguglis jatuh terbenam ke dalam laut. Tetapi dengan pantas mereka meloncat keluar dari laut lalu berkumpul di sekeliling Silguglis. Perisai bulat masing-masing diacungkan ke atas. Silguglis dan tenteranya terlindung di bawah cantuman perisai itu. Mereka semua bersatu dengan menyilangkan sebelah lengan antara satu sama lain. Bot Talisman dipayungi di bawah mereka. Dengan formasi ini, mereka memberi perlindungan kepada Arya dan kumpulannya di dalam bot Talisman seperti cangkerang kura-kura menahan hujan dari langit. Hujan laser merah itu semakin menggalak. Walaupun mereka telah menyatukan kekuatan untuk menentang tembakan yang bertubi-tubi datang, belum tentu mereka boleh bertahan selama-lamanya.
Silguglis mengarahkan tenteranya terbang ke atas dalam formasi seperti cangkerang kura-kura itu. Maka dengan pantas cantuman perisai itu naik. Tembakan laser masih menghujani mereka. Tetapi semua tembakan itu tersisih lantas tidak lagi memberi kesan. Menyedari apa yang cuba dilakukan oleh Silguglis, Krr-Rachnadewi telah mengubah formasi serangannya pula. Di bawah arahan Krr-Rachnadewi, sebahagian laskar-laskarnya telah terbang ke sisi dan cuba menembak mereka dari tepi. Silguglis juga tidak akan membiarkan keadaan memihak kepada lawan.
Dengan arahannya, payungan perisai itu menguncup dengan segera. Tentera Silguglis segera menutup ruang-ruang di tepi mereka yang terdedah kepada serangan. Formasi mereka sekarang menjadi seperti sebuah kon yang sedang berputar-putar naik dengan kelajuan yang dipertingkatkan. Kesemua tembakan syaitan-syaitan itu telah berjaya dipantulkan.
Tetapi rupa-rupanya pada masa yang sama Krr-Rachnadewi juga telah mengarahkan kira-kira seratus daripada laskar syaitan itu untuk menyerang empat jin yang mengawal kubikel pelindung bot Talisman. Jarak di antara tentera Silguglis dengan Krr-Rachnadewi masih tinggal beberapa puluh meter lagi. Mereka telah dikepung dan ditembak dari seluruh arah. Lebih mencemaskan lagi, kini serangan syaitan itu juga telah ditujukan kepada empat pengawal kubikel.
Ketika tembakan laser merah hampir mengenai pengawal-pengawal itu, petir-petir hijau telah menyambar setiap tembakan. Nampaknya pengawal-pengawal berempat itu telah bersedia menghadapi serangan ini. Walaupun di sekeliling mereka ada seratus syaitan sedang menembak mereka berempat, kesemua tembakan itu tidak menjadi masalah untuk disesarkan. Petir-petir hijau yang terbit dari kubikel itu menjentik peluru laser daripada mengenai sasaran. Bunyi tembakan laser semakin galak berdengung membingitkan keadaan.
“Pancung kepala mereka!” Krr-Rachnadewi menjeritkan arahannya lagi.
Kali ini, laskar-laskar penyerang kubikel telah mencampakkan senapang mereka dan terbang dengan laju kepada keempat-empat panglima pengawal. Pedang mereka terhunus di tangan. Panglima-panglima itu lantas meningkatkan pertahanan mereka dengan menjadikan laskar-laskar itu sebagai sasaran panahan petir hijau. Satu demi satu laskar syaitan gugur. Serangan mereka masih belum dapat memecahkan kekentalan pertahanan ini. Lalu syaitan-syaitan itu terbang bersimpang-siur dengan sangat laju di sekeliling kubikel. Sambil mengelak panahan petir hijau, mereka cuba mendekati pengawal-pengawal berempat itu.
“Berpecah!” Silguglis yang berada di puncak perisai yang bersatu dalam bentuk kon itu juga telah mengeluarkan arahannya.
Jarak tenteranya sudah kira-kira sepuluh meter sahaja di bawah Krr-Rachnadewi dan kumpulan syaitannya. Menerima saja arahan itu, tentera Silguglis mula bertindak menyerang musuh. Seperti panah-panah yang dilancarkan ke semua arah, mereka berpecah lalu memecut terbang menuju kepada sasaran masing-masing. Dengan pedang terhunus mereka bersedia menikam syaitan-syaitan itu. Sepantas kilat mereka terbang sambil bergerak ke kiri dan kanan untuk mengelak tembakan laser. Masing-masing memegang perisai rapat ke sisi badan supaya lebih lancar pergerakan.
Walaupun ada jua tentera Silguglis yang terkena tembakan lalu jatuh terjunam ke dalam laut, namun sebahagian besar mereka telah berjaya menikam laskar-laskar syaitan yang tidak sempat menahan serang balas ini. Sebahagian daripada laskar syaitan itu menerima tikaman maut dalam serang balas pertama tentera Silguglis. Taktik serangan ini telah dapat mengkucar-kacirkan formasi musuh. Lantasan itu, syaitan-syaitan yang masih tinggal telah mencampakkan senapang masing-masing. Sekarang adalah masanya untuk bertarung jarak dekat dengan pedang.
Share this novel