Bab 19: Bunga-bunga Api

Fantasy Series 4911

Ombak samudera masih beralun lesu ditemani langit tak berawan. Bulan dan bintang-bintang menghiasi langit di kejauhan. Waktu baru saja melepasi tengah malam sedangkan perjalanan mereka masih panjang. Talisman belayar semula dipandu oleh Pak Budi; di dalam kabin dia bersama Joko yang sedang lena dibuai ombak.

Mulanya setelah pengikut-pengikutnya pergi, Silguglis hanya duduk, tunduk dan bertafakur sendirian. Remaja-remaja itu memandang kepadanya dengan penuh kehairanan. Bagaimanapun tiada siapa yang berani membuka soalan. Masing-masing masih terkejut dan minda masing-masing masih tak berupaya untuk menghadam kejadian yang berlaku sebentar tadi. Ketakutan masih kekar di dalam hati. Nasib mereka kini hanya bergantung kepada belas kasihan orang lain. Hampir sejam berlalu tanpa ada sebarang perbualan. Semena-mena Silguglis mengangkat kepalanya lalu tersenyum pada beberapa remaja yang masih terjaga.

“Siapa namamu, wahai anak?” Silguglis memulakan perbicaraan dengan bertanya pada Arya yang masih berjaga dan paling dekat dengannya. Mungkin dia juga bosan duduk diam-diam.
“Arya, tuan,” jawabnya ringkas.
“Sungguh bagus namamu. Marilah engkau duduk di hadapanku,” puji Silguglis tanda keramahannya.

Arya melihat kiri dan kanannya. Tidak berani dia kalau pergi seorang-seorang. Ternampak olehnya Karan yang tersengguk-sengguk di kanannya dan di sebelah Karan ada Sher dan Rohan yang masih belum tidur sepertinya.
“Marilah kalian ke sini untuk kita berbual-bual,” Silguglis mengulang ajakannya dengan suara yang lebih mesra.

Arya menggamit sahabat-sahabatnya itu, “Sher, Rohan, jom.”
Mereka yang dipanggil pun bangun lalu duduk mengelilingi jelmaan jin itu.
“Panggil saja aku Tok Sil. Memang aku ini putera raja dari kerajaan jin di laut sini tetapi aku ini sudah sangat tua dan demi kedudukanku tidak bermakna aku harus berlagak di hadapanmu, wahai makhluk yang dimuliakan,” Silguglis memulakan perbicaraan setelah mereka melabuhkan punggung di hadapannya.

Mereka bertiga hanya tersenyum tanpa dapat memberi sebarang kata balas. Lantas Silguglis terus berkata,
“Sudah maklum bagiku orang muda sepertimu pasti banyak yang ingin kau tahu. Janganlah takut kepadaku. Anggaplah saja aku ini orang tua yang baik hati.”

Rohan dan Sher memandang pada Arya dengan harapan dia dapat bermula. Arya memandang kembali mereka dengan dahi dikerutkan. Mereka tersengih. Kemudian dia memandang pada Silguglis lalu bertanya,
“Berapa umur Tok Sil?”
“Lima ribu kurang seratus tahun,” balasnya. Ketiga-tiga remaja itu terkejut mendengarnya.
“Wah, lama tu, Tok Sil! Saya baru tujuh belas tahun,” kata Rohan pula. Tok Sil tersenyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih disinari cahaya dari lampu di kepala kabin lalu berkata, “Usia jin memang panjang. Seribu tahun kami masih remaja. Tiga ribu tahun barulah kami dewasa. Lima ribu tahun beginilah rupanya. Sudah tua kerepot macam tok ini.”

Ketiga-tiga remaja itu tertawa. Tawa mereka mengejutkan sebahagian daripada rakan-rakan mereka dan mendatangkan keselesaan berbual dengan Tok Sil.
“Jin itu makhluk yang bagaimana, Tok Sil?” soal Arya pula. Memang sejak dia terbaca sedikit mengenai jin dalam buku Hilang Dalam Terang dia ingin sekali mengetahui tentang makhluk ini. Tetapi kekurangan sumber rujukan dan takut untuk bertanya menyebabkan dia memendam saja persoalan itu sendirian sekian lama. Kini peluang untuk tahu telah pun terbuka.

Rohan dan Sher juga menunjukkan wajah penuh minat. Belum sempat Silguglis menjawab, tiba-tiba Karan duduk di sebelah Rohan yang berada di kiri sekali. Nampaknya dia sudah terjaga. Tiga orang anak gadis, Tushar, Hiranya dan Nirogi yang tadi memerhati sahaja dari jauh kini berjalan mengekori langkah Karan. Mereka juga berminat untuk mendengar. Silguglis membiarkan mereka itu duduk baru dia berkata,
“Jin ialah makhluk yang sangat berbeza dengan manusia. Kamu tahu apa unsur-unsur asas tubuh manusia?”

“Setahu saya dua pertiga daripada unsur-unsur yang terdapat dalam badan manusia ialah oksigen. Lepas itu, satu perlima ialah karbon dan satu persepuluh ialah hidrogen. Selain daripada itu, ada lagi unsur-unsur bumi yang lain seperti kalsium, fosforus dan besi,” Arya menjawab berdasarkan apa yang telah dipelajarinya dalam subjek biologi.
Sahabat-sahabatnya yang lain hanya mengangguk mempersetujui fakta itu.

“Bagus pengetahuan kamu semua. Kalau begitu mudahlah Tok nak bercerita. Oksigen, karbon, hidrogen, besi dan unsur-unsur lain menjadi asas kewujudan alam ini. Kamu menyedut udara dan duduk di atas bot yang berada di atas laut. Maksud Tok, unsur-unsur itu hadir di bumi ini dalam bentuk pepejal, cecair ataupun gas di alam ini. Gabungan unsur-unsur itu membentuk daging, darah dan tulang kamu semua. Tubuh jin juga berasal dari unsur-unsur yang sama. Cuma bezanya, kami wujud dalam bentuk plasma. Kamu tahu apa itu plasma?”

Arya berfikir sejenak kemudian meneka,
“Setahu saya plasma ni ada dua maksud. Pertamanya kalau dalam biologi, plasma itu cecair dalam darah kami, Tok Sil. Tapi sudah pasti bukan yang itu. Jadi saya rasa, plasma ini adalah bentuk keempat kewujudan unsur, betul tak, Tok Sil?”

“Ya, betul. Pandai kamu, Arya. Pandanglah ke atas langit. Nun di bintang-bintang itu atom-atom yang paling banyak sekali ialah hidrogen. Hidrogen menjadi bahan bekal tenaga bintang itu untuk hidup. Api daripada pembakaran atom-atom di bintang itulah yang kita lihat berkelip-kelip sekarang.” Silguglis menunjukkan jarinya ke atas.
Mata mereka mengekori arah tunjukan jarinya.

Kemudian Silguglis menyambung, “Apabila zarah atom terbakar dalam api yang sangat panas, maka keadaan bahan itu sudah melampaui keadaan gas dan menjadi plasma. Daripada plasma itulah asalnya sel tubuh kami ini dan menjadi jelaga setelah kami mati,” terang Silguglis.

“Oh, kami ada belajar pasal plasma ni dalam kelas fizik. Plasma itu api daripada atom-atom gas di dalam bintang yang terbakar dengan kuat sampai hilang sebahagian besar elektronnya. Jadi yang tinggal hanyalah ion-ion yang bercas positif atau negatif. Tak seperti atom, jisim plasma terlalu ringan hingga tak dipengaruhi oleh graviti. Itu yang dipanggil plasma kan, Tok Sil?” Sher sempat mencelah.

Silguglis senyum padanya lantas menjawab,
“Bagus jawapan kamu. Tepat, tetapi masih boleh ditambah lagi. Begini, tubuh kamu itu dibina daripada jirim yang neutral dan stabil. Oleh sebab itu, tubuh kamu mempunyai jisim tetap dan mengisi ruang yang tertentu. Sementara tubuh kami ini sifatnya bertentangan sekali dengan sifat jirim. Tubuh plasma kami ini merupakan satu kewujudan ion-ion yang kompleks terhasil daripada paduan daya-daya elektrik dan magnetik yang teratur. Daya elektromagnetik inilah yang mengikat ion-ion plasma sehingga jasad kami menjadi seperti kristal yang tumpat, tidak berongga dan penuh berisi tenaga. Bagaimanapun dalam keadaaan sebenar, badan kami boleh ditembusi cahaya tidak seperti badan kamu yang memantulkan cahaya. Tambahan lagi kami tinggal di dalam alam makhfi. Sebab itulah kamu tidak berupaya melihat kami.”

“Alam makhfi tu apa pula, Tok Sil?” soal Hiranya.

“Alam makhfi ialah satu dunia yang tersembunyi dari pandangan mata manusia. Alam ini satu dunia yang lain di atas bumi ini. Alam ini adalah satu dimensi yang berada selari dengan dimensi dunia manusia. Begini, kalau kamu tinggal di dalam sebuah bilik dan Tok tinggal di bilik sebelah dan terdapat cermin pandang sebelah yang memisahkan bilik kita, apakah kamu boleh lihat apa yang tok buat andai cermin itu menutup pandangan kamu?” tanya Silguglis setelah menjawab soalan gadis itu.
Hiranya hanya menggeleng beberapa kali.

“Begitulah perumpamaannya. Kamu dan Tok sama-sama tinggal di rumah yang sama tetapi di bilik yang berlainan. Cuma kamu tidak boleh nampak Tok tetapi Tok boleh melihat kamu. Memang sudah jadinya mata manusia terhad penglihatannya. Manusia boleh nampak benda pejal dan cair tetapi andai mahu melihat suatu gas yang tak berwarna sudah tentu tak boleh. Apa lagi kalau mahu melihat benda yang terbina dalam bentuk plasma,” terang Silguglis pada mereka.

“Tok Sil, saya kurang faham,” kali ini giliran Tushar pula bersuara.

Silguglis tersenyum lalu berkata, “Cuba kamu bayangkan laut di bawah kita ini. Manusia tinggal di darat dan ikan-ikan berenang di dalam laut. Manusia tahu ada ikan di dalam laut. Ikan-ikan di dalam laut ini pula pasti tidak tahu ada daratan di atas mereka. Namun manusia boleh menyelam masuk ke dalam laut dan melihat kehidupan di dalamnya. Begitulah jin boleh masuk ke alam kamu. Hanyasanya manusia tidak boleh nampak dan masuk ke dalam dunia kami secara fizikal kerana begitulah hukum alam ini sepertimana ikan tidak boleh naik ke darat.”

“Oh, macam itu rupanya. Maknanya jin menjalani kehidupan di dunia yang lain tetapi tetap berada di atas bumi, betul tak, Tok?” tanya Tushar lagi setelah mula memahami penerangan Silguglis.

“Ya, begitulah. Jin juga ada kehidupan yang tersendiri. Kami berkerajaan, berbilang bangsa dan mendirikan keluarga di atas bumi ini. Sesungguhnya kerajaan dan keluarga kami amatlah besar. Ini disebabkan oleh bilangan jin pada satu-satu masa jauh lebih banyak dari seluruh manusia. Kota-kota kami pula selalunya terletak jauh dari penempatan manusia. Tetapi ada juga dalam kalangan kami yang tinggal di kawasan perumahan manusia. Kami tidur pada waktu siang dan kami keluar bekerja pada malam hari kerana kami tidak suka kepada keterikan matahari,” sambung Silguglis lagi.

“Aku ini contohnya. Aku ialah jin berbangsa Maarid Laut. Negeriku berada di dasar laut di barat Pulau Magi. Adik beradikku jumlahnya sudah lebih daripada seribu. Manakala anak-anakku beratus-ratus jumlahnya. Itu belum dikira cucu-cicitku lagi. Aku sendiri pun tak tau berapa jumlah sebenar mereka.” Tersengih-sengih mereka cuba membayangkan jumlah keluarga Silguglis.

“Empat jin yang kau lihat tadi itulah antara anak-anakku yang selalu setia bersamaku. Tugasku adalah untuk memerintah sebahagian daripada kerajaan ayahandaku. Sedangkan jin-jin lain di bawah pemerintahanku juga mempunyai pekerjaan masing-masing. Cuma pekerjaan yang kami lakukan bukanlah bertujuan untuk mengumpul kekayaan harta benda tetapi untuk meningkatkan status kami dalam kalangan masyarakat. Kami juga perlu makan dan minum untuk mendapatkan tenaga selain daripada memperoleh kenikmatan daripada makanan.”

Dia berhenti sebentar lalu menyambung lagi setelah mendapati wajah-wajah mereka masih berminat untuk ingin tahu lebih banyak lagi tentang dunianya.

“Apa yang kami cintakan ialah ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu kami menjadi berkuasa. Sepertinya aku ini. Dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi, aku boleh memerintah negeriku dan membuatkanku bebas pergi ke mana yang aku suka. Aku juga boleh menjelma menjadi rupa fizikal manusia. Sesungguhnya salah satu ilmu terhebat makhluk jin ialah ilmu ubahan. Pada tahap tertinggi, kami bukan sahaja boleh mengubah diri menjadi manusia, malah kami boleh mengubah satu benda menjadi benda lain. Bagaimanapun ilmu yang hebat ini memerlukan banyak penggunaan tenaga. Jadi tidak ramai jin yang sanggup mempraktikkan ilmu ubahan tahap tertinggi ini. Oleh sebab itu, mana-mana jin yang menguasai hikmat-hikmat yang hebat, statusnya tinggi dalam masyarakat kami. Begitulah sifatnya dunia jin ini,” dengan panjang lebar Silguglis bercerita kepada remaja-remaja yang terlongo sahaja di hadapannya.

“Tok! Tok!”
Giliran Nirogi pula mahu mencelahkan pertanyaan. Tok Sil mengalihkan pandangannya pada Nirogi seraya mengangguk.
“Tok boleh tak ajar saya terbang?”

Tersenyum-senyum kawan-kawannya yang lain mendengar soalan Nirogi itu. Walaupun agak kelakar, tetapi mereka jua tetap tak sabar-sabar mendengar jawapannya.

“Kami golongan jin boleh terbang kerana komposisi tubuh badan kami yang memang tidak dipengaruhi oleh graviti. Maksud Tok, tubuh kami yang diperbuat daripada plasma ini lebih kuat daripada tubuh manusia yang dibina daripada bahan organik. Maka daya tarikan graviti bumi langsung tak memberi kesan pada kami. Hanya daya elektromagnetik dan daya nuklear yang berjuta-juta kali ganda lebih kuat daripada daya graviti sahaja yang boleh mempengaruhi tubuh kami. Contohnya kalau terkena panahan petir atau sinaran radioaktif, sudah pasti badan kami ini boleh terbakar atau terus mati. Sebagai manusia memang agak sukar untuk kamu semua memahami keberadaan kami. Malah, kebanyakan manusia memang tidak tahu langsung halnya kami ini.”

“Oh, begitu ya, Tok Sil. Patutlah Bonda Dewi menyuruh kami belajar bersungguh-sungguh. Banyak betul yang kami tak tahu. Tok Sil kenal tak Bonda Dewi?” Tushar meneruskan pertanyaannya lagi. “Tok tak kenal. Malah Tok tak pernah dengar namanya sebelum ini. Siapakah dia itu?” soal Silguglis setelah memberi jawapannya pada Tushar.

“Tadi tu Bonda Dewilah, Tok Sil. Jin perempuan yang Tok lawan baru tadi. Dia dan dua lagi jelmaan jin tu guru kami di Istana Archaechabuana. Dialah juga ibu angkat yang telah membela kami anak yatim-piatu dari kecil lagi. Kami lari dari istana disebabkan Arya memberitahu kami Bonda Dewi berbuat baik hanya kerana mahu mempergunakan kami satu hari nanti. Sehingga tadi saya memang tak sangka dia itu makhluk lain. Pandai betul dia menyamar. Arya tak ada pula beritahu saya dia juga ialah jin. Tapi nasib baik Tok Sil datang selamatkan kami,” jawab Tushar sambil menunjukkan tangannya pada Arya.

Arya hanya terdiam kelu lidahnya. Semua mata memandang padanya. Dia tunduk membisu seribu bicara. Tak sangka rahsianya telah terdedah begitu sahaja.
Kebungkaman seketika itu segera dipecahkan oleh Silguglis, “Mungkin Arya takut untuk memberitahu perkara yang dia sendiri tak faham. Jangan risau, Arya. Kamu pasti ada sebab-sebab tertentu untuk tak beritahu kawan-kawanmu ini.”

Silguglis mengalihkan pandangannya daripada Arya kepada remaja-remaja lain. Dia bertanya, “Tok tak tahu pula yang kamu dibesarkan oleh syaitan. Sekarang baru Tok faham kenapa mereka mengejar kamu. Bolehkah kamu semua jelaskan pada Tok dengan lebih mendalam lagi?”

Bergilir-gilir rakan-rakannya bercerita pada Silguglis bagaimana mereka dibesarkan di Istana Archaechabuana, apa yang mereka lakukan di sana dan cara mereka melepaskan diri. Mereka juga tidak lupa untuk menghargai Arya. Arya pula bercerita bagaimana dia mengetahui rahsia istana itu berdasarkan buku yang ditemuinya. Dia juga menceritakan usahanya dalam beberapa tahun ini membuat pakatan bersama beberapa rakan-rakan lain untuk membawa mereka semua lari dari istana itu kerana baginya, mereka adalah seperti keluarga. Dia berasa lega kerana dapat meluahkan sebahagian daripada beban rahsia yang dikandungnya selama ini. Maka dengan itu fahamlah Silguglis akan situasi yang dihadapi oleh mereka.

“Tok Sil, kenapa saya tengok mula-mula badan Bonda Dewi tadi hitam legam sedangkan badan Tok kelihatan putih bercahaya?” Karan yang dari tadi mendengar sahaja mula bertanya.

“Pada firasat Tok, Bonda Dewi itu jelmaan jin Ifrit. Ifrit ini bangsa jin yang sangat pintar dan kuat tetapi jahat. Di dalam dunia kami ada tiga golongan jin. Jin yang jahat sepertinya dipanggil syaitan. Syaitan itu hatinya dipenuhi kegelapan maka badannya juga menjadi hitam. Ini disebabkan ilmu yang mereka miliki kebanyakannya ilmu hitam. Tiga orang yang Tok periksa matanya tadi sudah terkena ilmu hitam ini. Mereka menjadi pak turut yang melakukan apa saja suruhan tanpa bantahan. Maknanya daya berfikir mereka telah dibekukan. Golongan yang kedua ialah kami yang menentang kejahatan ini daripada terus membawa kehancuran kepada bumi ini. Disebabkan ilmu yang kami ada digunakan untuk kebaikan, maka tubuh kami mengeluarkan aura sinar putih yang gemilang."

"Sementara itu ada juga golongan jin yang enggan bekerjasama dengan kedua-dua belah pihak. Mereka berkecuali dan tinggal di tempat yang sangat terpencil. Selalunya negeri-negeri jin yang berkecuali ini terletak di dalam gua yang sangat dalam, di tengah-tengah lautan yang luas atau di atas gunung yang amat tinggi. Mereka ini tidak bercahaya putih dan tidak juga mereka kegelapan. Badan mereka ada yang beraura merah, biru, kuning dan sebagainya bergantung kepada bangsa mereka,” jawab Silguglis. Arya dan rakan-rakannya hanya mengangguk-angguk sahaja.

“Kerajaan Tok Sil sudah lama berperang dengan kerajaan syaitan, begitukah maksud Tok?” tanya Rohan.

“Ya, sejak Tok belum dilahirkan lagi kerajaan kami telah berperang dengan mereka di Lautan Hindi ini. Tok sendiri sudah banyak kali menyertai peperangan dengan syaitan. Kali terakhir kami berperang dengan syaitan-syaitan ini adalah kira-kira satu setengah kurun dahulu. Dalam perang itu, kami telah berjaya menghalang kerajaan syaitan daripada meluaskan sempadan mereka. Kalau kamu semua nak tahu, Pulau Bankim itu terletak di penghujung kerajaan syaitan dan bersempadan dengan kerajaan kami. Sungguh Tok tak sangka ada sesuatu yang disorokkan di sana. Patutlah selama ini sempadan kerajaan mereka dikawal dengan ketat sekali.

Selama ini kami juga telah dapat mengawal sempadan kerajaan kami dengan baik dan menghalang gerombolan syaitan daripada sampai ke daratan tempat manusia tinggal. Memang telah Tok jangkakan keamanan yang kami kecapi ini tidak akan bertahan selama-lamanya. Tetapi tidak pula Tok sangka mereka telah menculik dan membela manusia. Tok dapat merasakan mereka pasti akan datang semula untuk mendapatkan kamu semua. Seandainya pelayaran kita ini dapat sampai ke daratan, maka kalian akan selamat. Selagi kita berada di lautan, selagi itu ada kemungkinan bala tentera mereka akan dikerahkan.”

Penerangan dari Silguglis itu kali ini menghadirkan ketakutan dalam diri Arya. Dia sedar bahawa perang itu satu peristiwa yang dahsyat sekali. Tambahan lagi mereka berada di tengah lautan. Mana mungkin mereka dapat lari kalau diserang lagi. Kini baru dia menyedari bahaya yang bakal dihadapi.

“Tok, apakah Tok akan mempertahankan kami jika mereka datang lagi?” tanya Arya dalam kebimbangan.

“Jangan risau, Arya. Tok tak akan lari dari tanggungjawab Tok ini,” Silguglis meyakinkan anak-anak muda di hadapannya itu. Namun kebimbangan itu telah meresap ke dalam hati Arya dan rakan-rakannya dan tidak mungkin dapat dihilangkan dengan kata-kata sahaja. Meyedari kegusaran yang terbayang di wajah mereka lalu Silguglis memetik jarinya. Dari petikan jari itu terpercik bunga-bunga api jingga, merah, kuning, hijau dan kebiru-biruan berbentuk bulat yang meletup-letup di hadapan mereka.

“Wah, cantiknya! Apa tu, Tok?” tanya Tushar.
“Inilah bunga api. Kamu nak tengok lagi?” jawab Silguglis sambil mengacah.
“Nak! Nak!”
Serentak mereka semua menjawab dengan senyum lebar.

Silguglis memetik jari-jarinya lagi beberapa kali. Kini lebih banyak dan lebih besar bunga-bunga api dengan pelbagai warna dihasilkannya. Remaja-remaja itu tak berkelip melihat bunga-bunga api kecil itu meletup-letup dengan sinaran terang-benderang betul-betul di depan mereka. Mereka begitu terpesona dan teruja. Tergambar kegembiraan pada wajah masing-masing apabila Silguglis menghasilkan lagi bunga-bunga api berbentuk bunga, burung dan macam-macam lagi. Mereka tertawa keriangan lalu hilanglah wajah-wajah kerisauan anak-anak yang baru saja menjenguk dunia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience