Kisah tentang roh bukan suatu permainan akal ataupun kognisi serius tetapi dangkal. Memahami kejadian roh memerlukan pemikiran yang tajam dan keyakinan yang tak tergoyahkan. Memang sukar untuk menerima kenyataan andai belum kukuh kepercayaan. Namun senantiasa terbuka pintu gedung pengetahuan tentang roh dan jasad kepada musafirin pencari ilmu. Perkaitannya adalah bahawasanya roh itu jiwa nan tersembunyi dalam tubuh dan memberi nyawa pada jasad. Jasad itu pula ialah jirim yang tercipta dari zarah nan teramatlah halus hingga amat sukar untuk dibayangkan betapa kecilnya zarah ini. Adapun, zarah itu ada dua kumpulan utama iaitu fermion dan boson. Fermion pula terbahagi kepada zarah-zarah quark dan lepton yang berjisim. Manakala boson itu ialah peket-peket zarah bertenaga tak berjisim yang berfungsi mengikat zarah-zarah fermion rapat-rapat. Percantuman zarah-zarah quark, lepton dan boson akhirnya membentuk sebiji atom. Arakian pula atom itu juga terlalu kecil saiznya. Terlalu seni atom itu hinggakan setitis air sahaja sudah mempunyai lebih kurang 5 sakstilion atom, atau dalam angka adalah 5,000,000,000,000,000,000,000 biji atom.
Daripada zarah terbinanya atom. Cantuman lebih daripada seratus bilion atom membentuk satu sel manusia. Walau bagaimanapun sel ini tidaklah bernyawa melainkan ada roh yang menghidupkannya. Apabila dua gamet bersenyawa maka penyatuan itu mencipta satu sel yang lengkap di dalam tiub fallopia ibunya. Sel tunggal ini kemudian berganda dan terus berganda dan bergerak sehinggalah ia tiba ke rahim ibunya lalu menempel di situ, pada dinding rahim. Kumpulan sel ini terus menggandakan dirinya sehinggalah menjadi seketul darah yang membeku dan terus berkembang sehingga menjadi seketul daging yang berbentuk seperti lintah yang melekat pada dinding rahim seraya menyedut zat-zat dari ibunya. Ketika ini, kumpulan sel itu semakin aktif membina daging dan tulang untuk membentuk organ badan seorang bayi. Meskipun demikian, bayi ini belum mempunyai nyawa sendiri. Selepas delapan puluh hari barulah roh memasuki jasad bayi untuk menjana nyawanya sendiri. Apabila bayi mendapat nyawa lalu ia hidup sementara dalam alam rahim menunggu saat untuk lahir ke dunia.
Rani merenung dengan sayu sawah padi yang terbentang seluas mata memandang menerusi jeriji tingkap biliknya. Sudah hampir bulan ketiga dia bersembunyi di dalam Asramanita, sebuah rumah perlindungan yang menempatkan wanita senasib dirinya. Tak pernah sesaat pun selepas masuk dia menjejakkan kaki di dunia luar. Hatinya sentiasa dilanda ketakutan jika keluarganya mengetahui akan kejadian yang berlaku antara dia dan Gusman. Dia benar-benar takut jika dipersalahkan atas pemergian kekasihnya itu. Meskipun luluh hatinya mengingati malang yang menimpa, namun Rani masih tidak mahu melupakan saat-saat itu. Setelah dibawa oleh dua orang pemburu ke khemah mereka, Rani tertidur hingga pagi hampir menjelang. Dia dikejutkan oleh salah seorang daripada mereka dan diberitahu bahawa mayat Gusman sudah dikebumikan.
Dia dinasihatkan supaya jangan pulang lagi ke rumah dan mengikut saja mereka.
untuk ditempatkan di Asramanita ini. Andai pulang, mungkin dia akan dipersalahkan lantas dipenjarakan atas tuduhan menyebabkan kematian ke atas Gusman.
Rani yang duduk di hadapan khemah menangis tak henti-henti apabila mendengar kata-kata pemburu itu. Dalam keadaan tak keruan, Rani mengikut saja suruhan orang yang telah menyelamatkannya. Lalu dia diangkat dan dibawa masuk jauh ke dalam hutan dan keluar melalui suatu jalan. Sepanjang perjalanan, Rani hanya tidur dan sedar seketika selepas dia berada di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak. Kemudian tanpa sempat dia bertanya apa-apa dia telah tertidur lagi sehinggalah dia dikejutkan kerana sudah tiba di sebuah rumah agam di tepi sawah ini ketika matahari senja sudah terbenam separuh di ufuk barat. Lalu dia diperkenalkan kepada puan empunya rumah perlindungan itu yang mahu dipanggil sekadar Puan Dewi. Sungguh dia tak mampu berfikir dengan jelas ketika itu atau terpengaruh dengan kelembutan adab Puan Dewi lantas dia hanya mengikut saja nasihat agar meneruskan kehidupan di sini. Kini, dia lebih selesa tinggal di sini bersama teman-teman yang dikira senasib dengannya. Segala keperluan siap-siaga disediakan dan mereka bersama-sama menguruskan soal makan dan kebersihan di bawah kelolaan Puan Dewi. Rani tahu dia takkan pulang lagi meski sangat rindu rasa di hati kepada ibunya. Ini kerana dia sudah dapat merasakan ada perubahan dalam dirinya yang tak boleh dinafikan lagi.
Di dalam rumah perlindungan ini, gadis-gadis yang mengalami masalah serupa dengannya bukan hanya dia seorang. Pada mulanya, 13 orang teman yang tinggal bersamanya semua telah mengandung. Mereka terlebih dahulu tiba sebelumnya. Ada yang telah tinggal berbulan-bulan dan hanya menunggu hari kelahiran beberapa minggu sahaja lagi. Bagaimanapun penghuni Asramanita ini silih-berganti. Rani tidak mengetahui ke mana pergi ibu yang sudah bersalin. Dia tidak menemui mereka lagi. Tapi dia juga tidak berminat untuk bertanyakan tentang mereka pada Puan Dewi. Satu pergi dan satu lagi mari. Masing-masing membawa hal sendiri. Begitulah keadaan penghuni Asramanita ini. Malah, mereka dilarang keras untuk mendedahkan kisah hidup masing-masing. Demi mengelakkan perkara tak diingini berlaku, mereka semua diberi bilik sendiri dan hanya dibenarkan bersosial mengikut jadual harian yang telah ditetapkan serta diperhatikan oleh dua pekerja yang bertugas memantau pergerakan para penghuni.
Mereka tinggal di sana tanpa ada gangguan dari luar. Tembok yang tinggi memagari keseluruhan kawasan rumah yang luas tersebut dan di depan pintu pagar terdapat sebuah pondok pengawal. Kawasan di sekeliling rumah pula diawasi dengan kamera litar tertutup. Malah, belum pernah Rani melihat ada pengunjung yang masuk ke dalam rumah. Andai ada penderma yang datang, mereka hanya dibenarkan berurusan di pejabat dan tiada pelawat yang pernah berjumpa dengan mereka semua dengan alasan untuk mengelakkan daripada terjadinya fitnah. Hanya seminggu sekali akan ada seorang doktor dan dua orang jururawat sahaja yang dibenarkan masuk untuk memeriksa kesihatan penghuni-penghuni. Begitulah peraturan asas yang telah ditetapkan oleh Puan Dewi, seorang wanita yang tegas tetapi bijaksana dalam menguruskan gadis-gadis di rumah ini. Disiplin yang diterapkan walaupun mengekang pergerakan mereka, menyebabkan mereka seolah-olah hidup dalam penjara, namun ada kebaikannya juga. Para penghuni Asramanita itu dapat hidup dengan tenang dan aman demi menjaga kandungan masing-masing.
Rani tersentak dari lamunan tatkala loceng panggilan dari dewan makan Asramanita berdenting-denting. Lalu segera dia menarik daun tingkap dan berjalan dengan tertib ke arah pintu bilik. Sebaik sahaja tangannya menggenggam tombol pintu, Rani berasa sungguh loya. Dia berlari segera ke arah tandas di dalam biliknya sambil mendongak sedikit untuk menahan diri daripada termuntah. Akhirnya tak tertahan lagi lalu dia muntah saja ke dalam mangkuk tandas. Hari ini sudah beberapa kali dia begini. Rani dapat mengagak muntah-muntah ini adalah suatu petanda bahawa rahimnya sudah mengandungi zuriat Gusman. Mahu tak mahu inilah hakikat yang harus diterimanya. Rani terduduk sebentar di atas lantai tandas tak terdaya untuk berdiri. Walaupun begini tapi hati Rani berbunga-bunga kerana dia bakal menjadi ibu tak lama lagi.
Hari berlalu satu demi satu. Sudah selesa Rani tinggal di situ. Aktiviti hariannya terisi dengan menjahit baju. Jarang sekali dia bercampur dengan penghuni yang lain kerana mereka yang lain juga sebegitu. Memang sudah budaya di sini penghuni-penghuninya kurang bertegur sapa dan jarang memberi perhatian pada orang di sekeliling. Entah mengapa mereka di sini memang tak berminat untuk bersembang-sembang. Namun demikian, sekali-sekala dia berbual juga dengan beberapa orang bakal ibu yang lain semasa bertemu di dewan makan atau di bilik jahit sekadar bertanyakan khabar. Ruang yang luas menjarakkan pergaulan. Bilik yang banyak di tingkat atas dicampur lagi ruang-ruang lain di tingkat bawah mendatangkan ketenangan tanpa banyak gangguan fikiran. Meskipun ruang rumah dikongsi ramai-ramai tapi masih ada banyak kelapangan. Laman di luar taman terbentang. Pokok-pokok nan rendang bersulam dengan bunga-bungaan. Di luar tembok, sawah berbendang-bendang kekuningan, berbuai-buai padi bunting ditiup oleh angin bayu yang bergulung-gemulung datang membawa aroma bumi. Nun di kejauhan sayup-sayup kelihatan gunung-ganang berbanjaran hijau berbalam-balam sedangkan di puncak pergunungan keputih-putihan dilitupi awan.
Namun demikian keindahan dan ketenangan di situ hanyalah satu hiasan. Semua itu satu penipuan. Rani hanya dapat merasai penipuan itu ketika saat-saat dia sudah hampir mahu melahirkan. Sebelum ini memang dapat dilihatnya bahawa penghuni lain yang sudah sarat benar kandungan mereka akan dibawa keluar dari rumah itu khabarnya untuk dibawa ke hospital sementara menunggu masa kelahiran bayi mereka. Akan tetapi mereka yang pergi takkan pulang lagi. Tambahan lagi, di setiap penjuru rumah itu pasti ada satu bau yang terlalu menyenangkan. Ketenangan hipnotik yang timbul dari bauan itu membuatkan dia dan penghuni lain tidak risaukan apa-apa. Tetapi ketenangan itu Rani perasan akan hilang apabila dia mengalami kesakitan. Tatkala kesakitan mahu bersalin muncul beberapa kali dalam dua-tiga hari ini, beberapa persoalan timbul dalam hati Rani. Antaranya adalah sebab mengapa dia mesti berada di sini. Malah, Puan Dewi yang merupakan ketua di Asramanita ini pun jarang-jarang dapat dilihat. Kadang-kadang sahaja dia datang menjenguk Rani dan selalunya apabila dia selesai pemeriksaan doktor. Itupun dia tidak bercakap banyak setakat hanya bertanya khabar tentang anak di dalam kandungannya pada doktor yang datang merawat. Walaupun demikian, Rani berasa berat untuk menyiasat atau mahu bertindak. Dia hanya mampu bercakap-cakap pada bayi dalam kandungannya seperti selalu sebelum ini. Jika ada perkara yang buruk berlaku sekalipun, Rani masih berharap sekurang-kurangnya bayi itu akan menjadi anak yang menyayanginya.
Ketika hari untuk bersalin tiba, Rani merasakan badannya panas, rimas, belakangnya sengal-sengal dan dia membuang air kecil begitu kerap sekali sejak dari pagi. Ketulan darah kecil-kecil turut keluar bersama air kencingnya. Menjelang petang, sakit untuk bersalin mulai datang sekali-sekala. Kesakitan itu begitu pedih seperti perutnya ditusuk dengan benda tajam. Rani hanya mampu menguyah beberapa ulas kurma yang dibekalkan oleh doktor kepadanya. Apabila hampir senja, dia sudah tak dapat menahan kesakitan itu lagi lalu dengan segera dia memberitahu petugas Asramanita itu akan kesakitan yang dialaminya.
“Tirmi, tolonglah daku,” kata Rani padanya yang masuk ke biliknya apabila dipanggil. Ari-arinya terasa sakit menusuk-nusuk. Waktu itu jam di dinding baru saja melepasi pukul tujuh malam.
“Bangun,” ringkas saja kata Tirmi pada Rani.
Tirmi seorang perempuan yang bersosok besar dan tinggi. Den- gan tangannya yang besar dan gagah dia memapah Rani bangun lalu membawanya menuruni tangga. Mereka berjalan perlahan-lahan. Setibanya di bawah, Rani didudukkan pada sebuah sofa lalu Tirmi meninggalkannya di situ sementara dia memanggil Puan Dewi yang berada di biliknya.
Selepas kira-kira dua puluh minit mereka bergerak, kesakitan hendak bersalin yang dialami oleh Rani sedikit reda. Dia kurang pasti arah mana yang ditujui. Hanya deruman kereta sahaja yang kedengaran kerana Rani sedang terbaring di tempat duduk belakang. Puan Dewi duduk diam-diam di sebelah Tirmi yang begitu fokus dengan pemanduannya. Tiba-tiba Rani terasa kerinduan yang amat mendalam pada ibunya. Sebelum ini ketika berada di Asramanita, ada juga dia teringat pada ibunya tetapi tidaklah serindu ini. Kenangan silam bersama ibunya datang mencurah-curah seolah-olah air bertakung yang terlepas dari kepungan. Kesedihan meninggalkan ibunya sekian lama dalam keadaan yang dia tidak langsung menghubungi ibunya menyebabkan air mata Rani mengalir bergelinangan. Mahu saja dia terjun dari kereta itu lalu lari pulang kepada ibunya kalau bukan memikirkan keselamatan bayinya. Ditambah lagi dengan tidak tahu di mana sebenarnya dia berada. Lalu hanya dibiarkan mindanya yang mengembara ke waktu silam seraya menjalin untaian peristiwa bersama ibunya dahulu sambil menahan kesakitan untuk bersalin.
Dalam keadaan separuh sedar Rani terdengar deruan enjin semakin perlahan lalu kereta itu berhenti dan dimatikan. Satu pintu di depan dibuka lalu dikatup lantas beberapa saat kemudiannya pintu belakang kereta itu pula disingkap.
“Mari keluar. Kita dah sampai,” dia terdengar suara Puan Dewi berkata kepadanya.
Perlahan-lahan Rani bangun lalu mengusap pipinya yang basah kemudian keluar dari kereta itu dengan dipapah oleh Puan Dewi. Berdiri saja terus dia terpandang pada papan tanda bertulis “Klinik Am dan Rumah Bersalin Harmoni”. Klinik itu terletak di sebuah kedai teres dan kelihatan dari luar hanya seperti sebuah klinik yang biasa sahaja. Rani berjalan perlahan-lahan dipimpin oleh Puan Dewi sementara Tirmi hanya menunggu di dalam kereta. Masuk saja ke dalam klinik dia disambut oleh dua orang jururawat yang sedia menunggunya dengan sebuah troli pesakit. Lalu mereka menyambutnya ke atas perbaringan troli. Klinik itu kosong tanpa pesakit lain. Jam di dinding sudah dekat ke pukul sebelas malam. Kesakitan hendak bersalin yang dirasai oleh Rani sekejap datang dan sekejap hilang dalam tempoh yang lebih kerap lagi. Dia yang sudah berbaring hampir dua jam setelah menukar pakaian di dalam bilik bersalin itu ditemani oleh seorang jururawat sahaja. Tiada langsung perbualan antara Rani dan jururawat itu. Sebelum itu ketika mula-mula sampai, seorang doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Doktor Daffa telah memeriksa keadaannya dan meminta Rani menunggu di dalam bilik itu. Doktor Daffa meninggalkan mereka di situ sementara dia menghilang mungkin sedang melakukan tugas lain.
Suhu di bilik itu sejuk sekali di bawah kawalan pendingin udara. Rani yang diselimuti dari kaki hingga ke dada tiba-tiba terasa kesakitan pada ari-arinya amat kuat seperti perutnya mahu pecah lalu dia mengerang dengan kuat. Nafasnya semakin kencang dan Rani mulai mengerang kesakitan. Menyedari apa yang berlaku, jururawat yang dari tadi asyik membaca majalahnya segera mendapatkan doktor. Masa untuk Rani melahirkan kini semakin hampir.
Bilik bersalin itu kini kesibukan. Doktor Daffa telah mengesahkan air ketuban Rani sudah pun pecah dan didapati pembukaan uterusnya semakin melebar. Doktor Daffa yang memang telah membuat persediaan dari awal-awal lagi kini ditemani oleh dua orang jururawat dan juga Puan Dewi demi menyambut bayi yang ditunggu-tunggu ini. Rani meneran dan mengerang menahan kesakitan beberapa kali. Dia dapat merasakan kepala bayinya sudah hampir keluar. Peluh sudah membasahi dahi dan seluruh tubuhnya. Seorang jururawat tak henti-henti memberi galakan kepada Rani sambil mengelap keringat yang tak sempat menitik. Seorang lagi jururawat berdiri di sebelah Doktor Daffa yang sedang melakukan tugasnya dengan cermat dan penuh pengalaman. Sementara itu, Puan Dewi hanya duduk di satu sudut memerhatikan semuanya dengan wajah yang amat ceria.
Doktor Daffa memandang tepat pada mata Rani lalu menyuruh pesakitnya itu bernafas dan meneran dengan beritma sambil dia bersedia dengan pisau pembedahan untuk melakukan episiotomi. Sebelum itu, dia telah pun menyuntik analgesik kepada Rani untuk mengurangkan rasa kesakitan yang dialami oleh pesakitnya yang istimewa ini. Pengalaman dan kemahiran yang dikumpul berbelas-belas tahun oleh doktor pakar bersalin ini cukup banyak. Malah, dia juga mengetahui bahawa bakal ibu ini tidak bersuami. Tanpa suami di sisi sewaktu menghadapi situasi kecemasan sebegini untuk memberi sokongan moral bukan sahaja mendukacitakan tetapi juga mempengaruhi kekuatan mental pada ibu yang dalam kesakitan. Oleh yang demikian, dia bersungguh-sungguh membantu Rani agar dia tidak terasa sangat kekurangan itu.
“Rani ikut cakap saya tau. Kalau saya suruh, Rani tarik nafas dalam-dalam kemudian Rani tahan nafas dan terus teran kuat-kuat, tapi Rani jangan angkat punggung kalau meneran ya,” dia menasihatkan bakal ibu muda ini.
Rani hanya mengangguk sahaja. Manik-manik peluh terus terbit di dahinya.
“Okey, tarik nafas, tarik nafas, tahan, tahan dan teran sekarang,” ujar Doktor Daffa.
Rani meneran dengan sekuat hati namun sekejap saja kerana terasa kewanitaannya sakit sekali seolah-olah akan terkoyak besar kalau dia meneruskan lagi. Doktor Daffa yang sedang menghadapnya mengulangi kata-kata dorongannya beberapa kali sementara dia bersedia untuk menyambut bayi.
Rani mengikut arahan Doktor Daffa dengan menyelangkan proses meneran dan menarik nafas supaya dia dapat menggerakkan seluruh kekuatan tubuhnya untuk menolak bayi itu keluar dari rahimnya. Tangannya berpegang kuat pada besi penyanggah pada sisi katil tempat dia berbaring. Badannya sudah dibasahi peluh. Bau peluh dan darah mengatasi bau ubat dalam bilik tersebut. Jururawat yang berada di sisi Rani dengan tekun mengelap peluhnya dan memastikan Rani tidak menggigit lidahnya sendiri dengan meletakkan sekeping kayu gigitan di celah giginya. Apabila kayu itu terjatuh atau pecah, dia meletakkan semula sekeping kayu yang baru. Seorang lagi jururawat berada di sisi Doktor Daffa.
“Bagus, bagus. Teran lagi, Rani, kuat sikit kali ni ya, dah nampak kepala bayi ni,” kata Doktor Daffa lagi.
Seraya dengan arahan itu Rani berdengus dengan kuat ketika cuba menolak bayinya keluar. Jeritan dan rengusan Rani diselangi dorongan daripada Doktor Daffa dan jururawat memenuhi ruang bilik bersalin itu. Puan Dewi hanya berdiri memerhatikan seluruh prosedur ini dari tempat dia duduk tadi.
Setelah beberapa minit kemudian akhirnya Rani dapat merasakan kepala bayi itu telah terkeluar dan kemudian badan dan kakinya melorot keluar. Kehebatan sakit bersalin yang dirasainya semakin berkurang. Otot-otot badannya mulai mengendur. Rani berasa sedikit kelegaan pada kewanitaannya. Doktor Daffa menyambut bayi itu dengan hati-hati lalu diserahkan kepada jururawat di sisinya yang sudah bersedia menerima bayi itu lalu diselimutinya dengan sehelai kain yang bersih. Tali pusat yang masih bersambung pada uri yang masih belum keluar segera dipotong dan dikepit potongannya dengan sepasang penyepit oleh Doktor Daffa.
Sementara itu, jururawat yang seorang lagi telah bergerak dan sedang sibuk menyedut cecair amniotik, mukus dan darah dari hidung dan mulut bayi itu dengan menggunakan sebatang picagari. Kemudian Doktor Daffa mengambil bayi itu semula setelah darah pada badannya dilap lalu ditepuk belakang bayi itu maka menangislah ia. Tangisan bayi yang merengek-rengek itu membawa kebahagiaan pada semua yang berada di situ.
“Tahniah, Rani, bayi lelaki kamu ini sihat dan dan comel sekali,” kata Doktor Daffa yang menunjukkan bayi itu pada Rani buat pertama kalinya.
Lalu dia membaringkan bayi itu pada dada Rani dan diselimuti dengan sehelai kain. Dari kedudukan itu, Rani dapat menatap dan menyentuh buat pertama kali bayi yang telah dikandungnya selama ini. Setelah itu, Doktor Daffa meneruskan kerjanya dengan menarik uri yang sudah keluar separuh. Kemudian, dijahitnya koyakan pada kewanitaan Rani. Jururawat-jururawat pula membersihkan peralatan yang telah digunakan serta darah yang mengotori lantai.
Saat bayinya ditiarapkan pada dadanya merupakan detik yang sungguh membahagiakan ibu muda ini. Dia menatap wajah bayi itu sepuas hatinya. Ketika digosok-gosoknya belakang bayi itu lantas timbullah kasih sayang yang tidak terhingga. Wajah bayi itu hampir seiras wajahnya dan kulitnya yang masih kemerah-merahan menambahkan kecomelannya. Tubuhnya yang berisi menunjukkan betapa sihat kandungannya. Suatu keganjilan pada anaknya itu adalah terdapat satu tanda lahir berbentuk seperti wau pada tulang tamparan nyamuk di sebelah kiri. Bayi itu diam dengan matanya masih tertutup seolah-olah sedang tidur. Rani tidak lagi mempedulikan perbuatan Doktor Daffa yang sedang menjahit lukanya malah dia tidak langsung berasa apa-apa mungkin kerana kesan analgesik atau mungkin saja dia tidak lagi kisah apa yang sedang berlaku di persekitarannya. Tumpuan Rani hanya pada bayi yang melekap di dadanya. Dia tidak menyedari bahawa Puan Dewi sudah keluar dari bilik itu meninggalkan mereka di situ. Setelah siap melakukan tugasnya, Doktor Daffa pun memalingkan wajahnya pada Rani.
“Anak kamu ini perlu diazankan, berikanlah dia pada saya.” Dalam keadaan letih lesu, Rani hanya mengangguk membenarkan permintaan doktor yang baik hati itu. Lalu dia mengangkat bayi itu dengan penuh kelembutan untuk diserahkan ke tangan Doktor Daffa. Ketika itulah bayi itu mula membuka matanya. Rani begitu terkejut kerana apa yang dilihatnya adalah mata bayinya itu hitam semuanya. Hampir saja dia mahu pitam kerana tak kelihatan langsung kawasan putih seperti manusia biasa. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, bayi itu telah diambil oleh Doktor Daffa lalu dia menghadap ke satu arah. Dengan tangan kiri memegang bayi dan tangan kanan diletakkan di telinga dia bersedia untuk mengalunkan azan. Tanpa disedari mereka berdua, kedua-dua jururawat yang membantu kelahiran bayi itu tadi telah keluar dengan tergesa-gesa.
“Allahuakbar!”
“Allahuakbar!” dengan suara yang kuat Doktor Daffa mengumandangkan azan.
Rani berasa seolah-olah tenaga bunyi dari laungan itu benar-benar menggetarkan jiwanya dan ingatannya segera kembali kepada Gusman, kekasih hatinya, bapa kepada bayinya; menyebabkan dia mengalirkan air mata kesedihan. Sementara itu, bayi yang sedang didakap oleh Doktor Daffa meronta-ronta mahu dilepaskan dan menangis dengan kuat sekali. Akan tetapi, dakapan Doktor Daffa begitu kejap dan tidak mungkin dia akan melepaskan bayi itu selagi belum dia menyudahkan azannya.
Selesai saja mengumandangkan azan, Doktor Daffa menyerahkan semula bayi yang menangis tak henti-henti itu pada Rani. Rani lantas menyambutnya dan kemudian mencium pipi bayi itu beberapa kali.
“Jangan menangis, anakku, ibu sayang pada kamu,” Rani berkata dengan lembut. Perlahan-lahan dia mengurut dada bayi itu. Bayi itu pun terdiam dan memandang wajah ibunya. Rani mendapati mata bayi itu normal sahaja. Dalam diam dia merasakan apa yang dilihatnya sebelum itu hanyalah satu ilusi yang boleh diabaikan.
Doktor Daffa pun berkata, “Rani, susuilah anakmu. Sebentar lagi anak ini perlu diletakkan di bawah pemerhatian kami di dalam bilik pemulihan di sebelah.”
Rani hanya menuruti permintaan Doktor Daffa. Dengan cermat dia menyuakan puting susunya lantas bayi itu dengan mudah menyonyot susu ibunya buat pertama kali. Sementara itu, Doktor Daffa sedang menulis butiran tertentu pada satu borang.
“Rani, apa nama yang kamu inginkan untuk bayi yang comel ini?” tanya Doktor Daffa. Dia tidak segera menjawab. Wajah suci yang masih merah itu ditatapnya tak puas-puas.
“Hazman.”
Jawapan kepada soalan itu telah berbulan-bulan berada di dalam fikiran Rani.
“Oh, bagus sekali nama itu, moga dia menjadi anak yang pintar dan tampan.”
“Dari mana Rani dapat nama tu?” Doktor Daffa bertanya seraya menuliskan nama itu pada borang yang diisinya.
“Ayahnya,” jawab Rani dengan ringkas. Airmatanya yang dari tadi bergenangan kini mengalir deras lantas menitis-nitis pada bayinya yang sedang enak menyusui ibunya.
Melihat tangisan ibu baru itu, Doktor Daffa segera menghulurkan sekotak tisu pada Rani. Rani mencabut beberapa helai tisu lalu disapu air mata yang jatuh pada pipi anaknya. Tapi air matanya masih lagi bercucuran.
“Kasihannya,” Doktor Daffa tidak lagi ingin bertanya. Dia berusaha menenangkan keadaan.
“Janganlah dikenang peristiwa lama. Kamu bergembiralah dengan anak ini. Tugas saya di sini sudah selesai. Sebentar lagi jururawat akan mengambil bayi ini. Kalau tiada apa-apa, esok pagi Rani boleh pulang dengan anakmu sekali.”
Kesayuan yang cuba dibendung oleh doktor yang berwajah lembut tidak berkumis itu menyebabkan air matanya bergenang. Sedih sekali hatinya apabila mengingatkan betapa ramai bayi yang lahir di tangannya tidak berbapa. Namun segera dia menahan perasaannya dan dipaling wajahnya dari Rani sambil dia meletakkan laporan yang telah siap diisinya di atas meja. Rani mengangkat wajahnya. Barulah dia sedar doktor yang menyambut kelahiran anaknya itu tampak keletihan. Doktor yang baru kali pertama ditemui malam ini sangat besar pertolongan pada dirinya.
“Terima kasih banyak-banyak, doktor,” sempat dia mengucapkan penghargaan yang ringkas pada Doktor Daffa. Doktor itu berhenti sebentar lalu menoleh pada Rani.
“Sama-sama, jaga diri baik-baik ya.” Kemudian dia pun terus keluar.
Rani sudah amat keletihan ketika dua orang jururawat tadi masuk ke bilik bersalin dengan salah seorang daripadanya menolak sebuah troli bayi dan seorang lagi membawa pakaian baru untuknya. Biarpun berat hatinya, Rani terpaksa juga menyerahkan anaknya pada jururawat untuk diletakkan ke dalam troli bayi. Matanya menyorot pada Hazman sehinggalah hilang dari pandangannya dibatasi oleh pintu bilik yang tertutup perlahan-lahan.
“Nah! Tukarkanlah pakaianmu,” ujar jururawat kedua yang masih berada di dalam bilik itu.
Rani bangun dengan lemah lalu dia mengelap badannya dengan sehelai tuala yang dibekalkan sebelum menukar pakaiannya yang telah dibasahi peluh dan darah kepada pakaian berwarna biru muda yang bersih dan baru sementara jururawat tadi meneruskan tugasnya membersihkan bilik itu. Kemudian dia disuruh berpindah ke sebuah katil yang telah tersedia di satu hujung di dalam bilik itu. Sebaik sahaja melabuhkan kepalanya pada sebuah bantal yang empuk, Rani melelapkan matanya lalu terus tertidur. Segala-gala sudah selamat baginya.
Tak sampai dua jam dia terlena tiba-tiba Rani merasakan kesakitan dicucuk pada lengannya. Lantas dia membuka matanya. Tampak di depannya seorang jururawat sedang mencucukkan suatu cairan pada lengan kanannya dengan sebatang jarum picagari. Susuk tubuh Tirmi kelihatan di belakangnya. Rani segera menepis picagari di tangan jururawat itu dan kemudian terdengar olehnya picagari itu jatuh ke lantai. Dia mahu menjerit tetapi suaranya tidak keluar. Dalam keadaan berpinar-pinar, Rani berasa kepalanya begitu pusing lalu dengan segera dia tertidur semula.
Kira-kira lima puluh minit kemudian, Rani telah terjaga. Sedar-sedar sahaja dia telah terbaring di tempat duduk belakang sebuah kereta yang sedang terhonggek-honggek mungkin kerana melalui jalan yang tidak rata. Jalan yang sedang dilalui itu gelap dibayangi pokok di kiri dan kanan. Hanya lampu dari papan pemuka kereta itu saja yang membawa sedikit sinar ke tempat duduk belakang. Diam-diam dia memerhatikan pemandu kereta itu. Didapatinya yang memandu itu ialah jururawat yang mencucuk lengannya tadi berdasarkan tubuhnya yang gempal dan pakaiannya yang masih belum bertukar. Tak kelihatan langsung siapa-siapa lagi di depan. Rani cuba bergerak, namun tak berdaya. Rupa-rupanya mulutnya telah disumbat dengan sehelai kain, kedua-dua belah tangannya telah diikat ke belakang dan kakinya juga diberkas. Lantas dia cuba melorotkan ikatan tangannya yang tidaklah berapa kemas sangat. Mungkin jururawat itu yang melakukannya dan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Inilah satu-satunya peluang untuk Rani melepaskan dirinya.
Lama juga Rani hendak meloloskan tangannya dari ikatan itu dalam keadaan terhimpit oleh badannya sendiri. Namun, akhirnya berjaya jua sebelah tangannya dikeluarkan. Dengan berhati-hati, Rani meleraikan tali pada tangannya yang sebelah lagi dan dengan pantas dia duduk betul-betul di belakang tempat duduk pemandu. Jururawat itu tidak menyedari perubahan di belakangnya. Dia hanya menumpukan perhatian sepenuhnya ke atas jalan agar kereta itu tidak terperosok ke dalam lopak air yang dalam.
Rani memegang kedua-dua hujung tali di tangannya lalu dia menjerut leher jururawat tadi dengan sekuat hatinya. Kedua- dua belah kakinya menolak pada tempat duduk pemandu untuk menambahkan kecekangan jerutan. Jururawat itu meronta-ronta mahu melepaskan dirinya. Tangannya cuba menarik tali yang mencekik lehernya. Kereta yang tak dikawal itu terhuyung-hayang dengan laju sekali sambil menciut. Mungkin kaki jururawat itu telah menekan pedal minyak dan brek sekali dengan tidak sengaja. Ciutan brek bersama jeritan Rani yang menarik jerutannya sedaya-upaya mengisi kesunyian malam di luar. Jururawat itu cuba memusingkan kepalanya tetapi sudah terlambat kerana pada ketika itu kereta tersebut telah berdentum setelah melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Kepala si jururawat telah terlepas dari jerutan lalu terhempas pada cermin hadapan. Rani pula terhantuk pada bumbung dalam kereta lalu pitam. Badannya terperosok ke ruang bawah di belakang tempat duduk pemandu. Bahagian bonet kereta itu remuk terperosok pada sebatang pokok dengan lampunya yang masih menyala. Sementara itu, kepala dan sebahagian badan jururawat terjulur keluar dari cermin hadapan yang sudah pecah dan dia terbaring meniarap di atas bonet. Hon tidak henti-henti berbunyi kerana pahanya telah menekan hon pada stereng kereta. Enjin kereta itu masih berjalan.
Beberapa minit kemudian, Rani tersedar dan dia dapat merasakan ada benjolan keras di kepalanya. Dia cuba membuka pintu di sisinya. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya terbuka jua pintu itu dan keluarlah Rani merangkak-rangkak. Walaupun menanggung kesakitan tetapi hatinya dipenuhi dengan perasaan kebebasan. Rani bangun perlahan-lahan untuk melihat keadaan jururawat tadi. Adrenalinnya masih mengalir membuakkan keberanian. Dia mendekatinya dan mendapati jururawat itu masih bernafas tetapi putus-putus. Darah membuak-buak keluar dari luka di kepala dan lehernya. Rani hanya memerhatikan jururawat itu tercungap-cungap dan memandang tak berkelip pada mata Rani. Matanya hitam sekali. Dia yang pernah melihat mata sedemikian buat kali yang ketiga sudah tidak takut lagi.
Tak sampai seminit kemudian, mata itupun terpejam dan kepala jururawat itupun terlentok. Rani menarik nafas lega kerana jururawat itu sudah mati. Tiba-tiba kulit mayat itu mengecut seolah-olah daging dalam tubuhnya diperah sehingga tidak berdarah. Kulitnya terus mengecut dan menjadi kendur seperti orang tua dalam beberapa saat sahaja. Kemudian, tubuh itu terus terurai dan lesap begitu saja. Apa yang tertinggal hanyalah satu bekas hitam seperti kertas karbon yang digores pada bonet dan papan pemuka kereta berbentuk badan manusia. Menyaksikan kejadian yang amat aneh itu dan ditambah lagi dengan penat melahirkan serta kelesuan otot akibat kemalangan, Rani terus saja jatuh terjelepuk. Ketakutannya telah hilang tapi diganti pula dengan keletihan. Suasana di sekelilingnya kembali bungkam. Bunyi mergastua pun tidak kedengaran. Rani bersandar pada badan kereta dan tak lama selepas itu terus saja dia tertidur di situ.
Share this novel