Dari mula Arya sudah ternampak perkataan Talisman, sederhana besar dan berwarna biru kemas tertulis secara melengkung ke atas pada di atas pintu masuk ke dalam kabin bot. Di bawah perkataan itu tertulis nombor 1965 yang siap dengan dua garisan di atas dan bawah nombor itu. Di sebelah pintu, ada sebuah tangga tegak yang melekat pada dinding kabin. Dari tadi dia memikirkan maksud sebenar perkataan dan nombor itu. Setelah dia faham, dia berasa kagum sekali apabila menyedari bot bernama Talisman ini sudah berusia puluhan tahun tetapi kelihatan masih utuh membelah ombak di lautan biru.
Arya pernah mempelajari bahawa sebuah bot boleh dibahagi kepada dua bahagian. Haluan ialah bahagian hadapan dan buritan di belakang. Terdapat sebuah kabin di haluan bot. Kabin berbumbung rata itu adalah kira-kira dua meter lebih tinggi daripada dek di buritan, tempat dia dan rakan-rakannya duduk. Terdapat jua palang-palang besi untuk berpegang jika berdiri di atas bumbung kabin. Menerusi tingkap pada kabin, Arya nampak Pak Budi sedang mengemudi bot itu ke arah bertentangan dengan matahari yang sedang dalam perjalanan menuju ke ufuk barat.
Arya terus memerhati dan mengira-ngira lagi. Terdapat kesan karat pada bucu-bucu kabin dan tangga menunjukkan bahan binaannya ialah besi. Panjang kabin yang sudah kusam warna putihnya itu pada perkiraan Arya adalah enam meter sementara panjang dek di buritan mungkin dua kali ganda daripada itu. Dek buritan dibuat daripada kepingan-kepingan kayu tebal yang sudah hampir kehitaman. Dari sisi ke sisi, Arya menjangka lebar bot itu hampir lima meter.
Arya dan rakan-rakannya duduk sebelah-menyebelah sambil bersandar pada dinding besi bot yang setinggi hampir satu setengah meter di buritan. Kuma dan Joko pula duduk bersandar pada dinding kabin. Kulit mereka perang kehitaman. Badan Joko lebih berisi daripada Kuma. Dia ialah seorang pemuda berambut kerinting, tegap dan tinggi. Wajahnya garang. Berbibir tebal, bertelinga besar dan berhidung pesek dengan mata yang beralis nipis, Joko langsung tidak senyum pada Arya dan rakan-rakannya. Mungkin dia masih marah di atas perbuatan Arya mengacukan pisau padanya. Mereka berdua memakai seluar jeans takat betis, sudah lusuh seperti juga t-shirt dan kemeja labuh berlengan panjang yang mereka pakai. Kuma pula kelihatan lebih bergaya daripada Joko. Dia berkacamata hitam dan melilitkan sehelai kain menutup kepalanya dengan simpul lilitan itu di atas ubun-ubunnya. Rambutnya panjang sampai ke bahu dan berkumis nipis. Sekali-sekala dia akan tersenyum sambil mengangkat-angkat sebelah keningnya pada gadis-gadis di atas bot itu apabila bertentangan mata dengan mereka. Perbuatannya menyebabkan gadis-gadis remaja itu tertawa sesama sendiri.
Deruan enjin dan pukulan ombak pada badan bot dan ditambah lagi dengan sambaran angin laut menyebabkan ramai yang mengantuk. Tetapi seorang pelaut sejati sanggup saja berdiri mengemudi bot menongkah ombak merentas laut dengan penuh kesabaran. Masa bukanlah suatu halangan namun sebaliknya ialah teman. Bertemakan laut, langit, awan dan angin, pelaut sejati sabar saja meneruskan pelayaran tanpa perlu banyak perbicaraan. Sudah hampir setengah jam mereka belayar. Selaku pelaut sejati, Pak Budi sering saja tenggelam dalam pemikiran sendiri.
Hidupnya memang sudah terbiasa dengan lautan. Ketika umurnya lapan belas tahun dia telah mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman di Pulau Longklieng untuk mengembara melihat lautan di seluruh dunia. Dengan menjadi kelasi kapal dagang, dia menghabiskan masa lebih sedikit daripada dua dekad menjelajah lautan dunia dari pelabuhan ke pelabuhan.
Kemudian dia pulang ke kampung semula bukan kerana sudah bosan, tetapi mengambil keputusan untuk memiliki keluarga sendiri. Namun hakikatnya dia masih cinta akan lautan. Dengan wang simpanannya dia membeli secara tunai bot terpakai ini. Talisman, bot besi bergeladakkan kayu dengan enjin dua puluh kuasa kuda ini dahulunya merupakan sebuah pukat tunda berbingkai. Pak Budi telah mengubahsuai bot itu untuk dijadikan bot pengangkutan. Pak Budi menggunakan bot ini untuk meraih ikan-ikan yang ditangkap oleh para nelayan di sekitar pulau kediamannya dan kemudian dihantar ke sebuah pasar di Bengkulu, Sumatera. Setelah itu, dia akan membeli pula barang-barang keperluan di sana untuk dijual di sekitar kampung halamannya. Begitulah yang dilakukannya sejak dua dekad ini. Suatu senja kira-kira lima belas tahun dahulu, ketika dia sedang melabuhkan botnya di jeti, seorang lelaki bertubuh sasa tetapi tinggi tak sampai lima kaki setengah telah datang kepadanya. Lelaki itu menawarkan satu kerja yang cukup menarik kepada Pak Budi. Tanpa berfikir panjang, tawaran itu diterimanya dengan senang hati.
Ketamakan menguasai diri. Dia sanggup menerima saja syarat kerahsiaan yang dikenakan oleh lelaki tersebut kerana upah yang ditawarkannya sangat lumayan. Seratus keping syiling emas setahun dibayar sekaligus. Kalau Pak Budi bersetuju, lima puluh keping syiling emas sebagai pendahuluan akan masuk serta-merta ke dalam kantungnya. Apa yang perlu dilakukannya hanyalah membeli dan menghantar stok makanan ke sebuah pulau yang jauhnya kira-kira empat puluh batu nautika dari Pulau Longklieng tanpa sebarang soalan pada setiap bulan. Pada mulanya dia agak pelik dengan aturan cara penghantaran, tetapi apabila sudah bertahun-tahun melakukan kerja yang sama dia sudah tidak hairan. Sekali setiap tahun lelaki misteri itu akan datang berjumpanya untuk menjelaskan bayaran. Sekarang, barulah dia tahu untuk siapa bekalan makanan yang dihantarnya itu setiap bulan. Sungguh kasihan mereka tidak kenal ibu bapa sendiri kerana sejak kecil sudah diculik orang. Sungguh malang nasib anak-anak remaja ini. Sungguh bersalah rasa hati tatkala menyedari bahawa dia telah bersekongkol dengan penculik durjana atas kesengajaannya menjahilkan diri dan dengan mudah bergelap mata tatkala disinari kilauan emas.
Sedang asyik mengimbau kisah silam, tiba-tiba timbul beberapa persoalan di dalam hatinya. Dari dalam kabin, Pak Budi memanggil anak buahnya,
“Joko! Panggil budak perempuan tadi ke mari.”
Joko yang sedang menundukkan kepalanya di celah-celah lutut pun mendongak lalu menumpukan perhatiannya pada kumpulan remaja di hadapannya. Apabila nampak sasarannya, dia pun meluruskan jari telunjuk kanan pada Tushar sambil berkata dengan suara yang garau dan kuat,
“Engkau si baju merah, bangun! Pak Budi panggil kamu.”
Anak gadis yang berani itu lantas berdiri dan berjalan dengan berhati-hati mengimbangkan badan pada kelajuan lapan knot. Agak kekok pergerakannya. Tushar melangkah perlahan-lahan. Rohan melemparkan pandangannya pada Arya yang duduk di sebelahnya. Arya pun membalas pandangan itu dengan mengenyitkan mata sebagai isyarat untuk mereka mengikuti Tushar. Lantas mereka berdua bangun mengikuti Tushar masuk ke dalam kabin. Joko hanya membiarkan sahaja mereka tanpa ada halangan sementara Kuma telah terlelap di sebelahnya dengan mulut ternganga.
Apabila terpandang saja kepada ketiga-tiga remaja yang baru masuk ke dalam kabin, Pak Budi senyum pada mereka lalu memperkenalkan dirinya.
“Wahai anak-anak, Budiawan Santuso namaku. Panggil saja aku Pak Budi.”
Pak Budi menyekat stereng bot dengan sebatang kayu, turun dari platform di kepala kabin itu lalu menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam dengan ketiga-tiga remaja tadi. Lantas dia bertanya nama mereka. Setelah menerima jawapan, dia pun bertanya kepada Arya dan Rohan,
“Mengapa kamu berdua menyerang kami?”
“Saya tak berniat jahat, Pak Budi. Cuma saya takut kalau-kalau mereka terus lari apabila nampak kami. Sebab itulah saya tangkap dulu anak buah Pak Budi,” Arya menjawab sambil tersengih.
Pak Budi tersenyum mendengar jawapan itu lalu menampakkan giginya yang kekuningan di sebalik kumis dan janggutnya yang tebal. Uban telah memenuhi sebahagian besar rambut dan janggutnya yang kasar. Berdiri Pak Budi setinggi enam kaki dan ototnya masih pejal di sebalik kulitnya yang gelap. Namun dari raut tenang wajahnya terserlah perawakan seorang tua yang telah banyak makan garam. Mereka pun berbual lagi.
“Kenapa di dalam kumpulan kamu ada tiga orang dewasa?” tanya Pak Budi pada anak-anak itu. Mereka semua memandang kepada Arya. Hanya dia yang tahu lebih daripada mereka. Arya tidak segera menjawab. Dia membalas pandangan mereka lalu bertentang mata pula dengan Pak Budi.
“Mereka itu tukang masak kami. Aku rasa mereka adalah orang yang baik-baik tetapi suatu perkara yang tak baik telah berlaku pada mereka. Aku terasa berat meninggalkan mereka. Nanti siapa pula nak masak untuk kami,” jawabnya sambil berseloroh.
Sahabat-sahabatnya yang berada di situ tersenyum dan tersengih. Pak Budi juga tersenyum, namun senyumannya itu sekejap saja dan pandangannya kembali dilemparkan ke buritan menerusi satu tingkap bulat pada pintu kabin.
“Baiklah, bapak akan menolong kamu setakat mana yang bapak mampu. Tetapi kamu semua mesti percaya pada bapak. Bapak ada seorang kawan yang baik di sebuah pulau tak jauh dari sini. Kemudian, setelah mengisi minyak di sana kita akan bertolak pula ke Bengkulu di pulau besar Sumatera. Bapak ada lagi seorang kawan baik yang berpengaruh di situ. Pasti dia lebih tahu bagaimana untuk menolong kamu. Sekarang ini Bapak mahu telefon kawan bapak supaya menyediakan makanan dan selimut untuk kamu. Kamu semua boleh terus duduk di sini kalau mahu,” beritahu Pak Budi dengan sopan sambil menerangkan rancangannya supaya mereka tidak berasa sangsi. Mereka hanya mengangguk. Kemudian dengan segera dia mengeluarkan sebuah telefon dari sebuah laci.
Sementara itu pada masa yang sama di Pulau Bankim, Cikgu Sirin dan dua pekerja istana baru saja menemui kotak-kotak polistrin berisi makanan mentah bersepah-sepah di atas lantai gua tempat terakhir kumpulan remaja itu berada sebelum meninggalkan Istana Archaechabuana. Setelah puas berlegar-legar mencari, akhirnya jelas sudah bahawa mereka itu sudah lari bersama Pak Budi, penghantar bekalan makanan yang telah diupah dan dipercayainya bertahun-tahun. Selama ini dia begitu taat pada tugasnya. Namun kali ini Pak Budi telah berlaku khianat.
Bengang benar Cikgu Sirin sehingga dimaki-maki pekerja-pekerja istana yang telah gagal menyedari kejadian itu. Merah padam wajahnya, kemudian menjadi hitam dan rerambut yang panjang tumbuh pada seluruh kepalanya yang membesar secara tiba-tiba. Bulu-bulu kasar juga tumbuh seketika itu jua pada sekeliling tubuhnya yang turut bertukar menjadi besar seperti seekor gorila dewasa. Biji matanya juga bertukar kekuning-kuningan dan gigi taringnya memanjang sampai ke bawah dagu. Kuku-kukunya memanjang beberapa inci lagi menjadi tajam seperti kuku seekor serigala jadian. Inilah wajah sebenar syaitan jin bernama Sirin ini. Malah bukan dia saja yang mengalami transformasi, dua pekerja istana itu juga telah bertukar kepada diri sejati menjadi seperti beruk besar tidak berekor kerana amat takut. Mereka hanya menunduk dan menerima saja herdikan Sirin sambil menggigil ketakutan.
“Celaka sungguh kalian ini! Tak boleh diharap! Nah!”
Tanpa diduga, Sirin menghayunkan lengannya yang pejal besar pada dua ekor jin suruhannya itu sehingga mereka terpelanting menghempas dinding batu gua itu. Sungguh kuat pukulan itu sampai kedua-dua jin itu terus saja mati. Sirin berdiri menyeringai dengan wajahnya yang bengis di hadapan bangkai mereka. Belum puas dia melepaskan kegeramannya, Sirin pun menghentak-hentak kepala mereka dengan kakinya sampai hancur lumat.
“Sirin! Sudah!”
Tiba-tiba satu jeritan kedengaran di belakangnya. Tanpa menoleh, Sirin menyepak kedua-dua bangkai itu dengan sekali tendangan lalu terpelanting jauh ke satu sudut.
“Mereka memang tak berguna! Budak-budak itu sudah terlepas lari,” ujarnya sambil berpaling menghadap Cikgu Tirmi yang memanggilnya tadi.
Cikgu Tirmi juga jin sebangsa dengan Sirin. Mereka merupakan sepasang kekasih pengikut setia Bonda Dewi. Mereka berdua jugalah pembantu Bonda Dewi di Asramanita dahulu. Ketika peristiwa letupan Asramanita mereka tiada di situ kerana keluar mencari Rani atas arahan puannya itu. Kemudian setelah Asramanita diletupkan sendiri oleh Bonda Dewi, mereka membantu puannya memindahkan pula bayi-bayi penghuni Asramanita yang memang sengaja ditempatkan dan dijaga di sebuah rumah lain ke sini.
“Kita mesti beritahu puan dan mencari mereka dengan segera, Sirin,” Tirmi memberitahu pasangannya itu.
Pak Budi telah selesai membuat dua panggilan. Pertama kali Arya dan rakan-rakannya melihat sebuah telefon berfungsi, apatah lagi sebuah telefon satelit. Dia berasa sangat kagum. Pak Budi meneruskan perbualannya dengan ketiga-tiga remaja di dalam kabinnya itu sambil mengawal kembali stereng bot.
Mereka pun duduk mendengar cerita tentang laut ini dan pulau-pulau di sebelah sini dari Pak Budi sehingga sinar matahari yang kelihatan dari tetingkap kabin sudah berwarna kemerah-merahan. Setelah beberapa ketika, Pak Budi mengangkat lagi telefonnya dan menelefon keluarganya dan kemudian memanggil pula kawannya, Imam Guntur, lagi sekali untuk memberitahu mereka akan sampai dalam masa satu jam.
Menurut Pak Budi, keluarganya tinggal di Pulau Longklieng yang sangat jauh dari daratan terbesar, Pulau Sumatera. Begitu juga Pulau Magi, destinasi mereka sekarang. Cumanya Pulau Magi terletak sejauh kira-kira tiga puluh batu nautika jaraknya di sebelah timur kampungnya itu. Tambahan lagi kalau nak dibandingkan jarak terdekat antara Pulau Magi atau Pulau Longklieng ke Pulau Sumatera, Pulau Magi lebih dekat lagi. Pulau Bankim pula berada di antara kedua-dua pulau itu yang mana jaraknya lebih dekat kepada Pulau Magi berbanding dengan Pulau Longklieng. Di atas peta, ketiga-tiga pulau ini jika disambungkan akan membentuk imej segitiga di atas pentas paling timur Lautan Hindi.
Kawasan di pinggir tenggara Lautan Hindi ini biarpun masih tenang pada musim ini belum tentu akan terus kekal begini. Oleh yang demikian, rancangan Pak Budi adalah mengelakkan laluan yang mana ombaknya lebih bahaya untuk bot kecil yang penuh muatan sepertinya. Akan tetapi, pada masa yang sama, dia mesti bergerak dengan secepat mungkin ke Bengkulu kerana di darat lebih selamat daripada di laut untuk mereka pada ketika ini. Walaupun keadaan sebenarnya agak cemas, Pak Budi menunjukkan ketenangan hatinya dengan bercerita pula tentang keluarganya pada Arya dan kawan-kawannya.
Peringkat pertama rancangan Pak Budi berjalan lancar. Setelah tiga jam suku belayar dengan kelajuan lapan knot ke tenggara Pulau Bankim, botnya itu tiba di Pulau Magi, sebuah pulau kecil perkampungan nelayan. Perkampungan itu terletak di atas sebidang tanah lapang yang menjadi lembah kepada sebuah bukit yang tinggi. Hari pun sudah hilang diganti kegelapan bila mereka menghampiri pulau itu. Hanya kerlipan lampu-lampu rumah yang nampak dari kejauhan.
Di dalam bot, para penumpangnya itu disuruh oleh Pak Budi untuk duduk diam-diam dalam kegelapan. Beberapa helai selimut yang dia ada dikongsi oleh mereka. Nasib baik Arya awal-awal lagi sudah berpesan kepada semua untuk membawa baju sejuk. Untuk perjalanan itu, Pak Budi hanya memasang lampu di dalam kabin dan juga lampu sorot hadapan sahaja. Dengan berhati-hati mereka berlabuh di sebuah jeti kecil yang diterangi oleh serangkaian cahaya daripada mentol bulat yang tergantung dari tiang-tiang kayu di sekelilingnya. Di situ, Imam Guntur sudah sedia menanti ketibaan bot Talisman bersama seorang lagi lelaki dan dua orang perempuan yang jauh lebih muda daripadanya.
Setelah bertemu, Pak Budi memperkenalkan Imam Guntur pada mereka yang lain. Arya dan rakan-rakannya sempat berkenalan juga dengan dua orang anak perempuan Imam Guntur yang memanggil mereka dengan panggilan adik. Lelaki yang bersama mereka adalah suami salah seorang anak perempuannya. Selepas mengisi minyak dan makan di rumah Imam Guntur, mereka menyambung perjalanan ketika jam hampir mencecah pukul sembilan.
Pak Budi telah mengaturkan anak saudaranya, Kuma turun dan pulang ke kampung sebagai langkah berjaga-jaga. Sementara Joko akan mengikutinya supaya dia dapat bergilir-gilir mengemudi bot itu dengannya nanti. Biarpun keletihan, Pak Budi sedar dia bukan ada pilihan. Keputusan hatinya sudah tetap untuk menolong Arya dan kumpulannya. Didorong oleh rasa bersalah dan mahu menolong sedaya-upaya, perjalanan itu mesti diteruskan. Tambahan pula cuaca yang baik pada malam musim monsun timur laut ini menjamin laut jadi tenang. Melalui tingkap hadapan kabin bot, Pak Budi memandang ke atas. Bertali arus bintang membentuk gambaran sebatang sungai yang besar di langit memberi khabar gembira padanya.
Suasana nan tenang itu memberi sedikit kelegaan pada Pak Budi. Maka perjalanan seterusnya pun bermula dengan Joko mengambil tempat sebagai tekong bot dan Pak Budi pula mengambil peluang untuk tidur bersama mereka di atas dek buritan. Mereka semua tidur berselimut sehelai seorang dan berbantalkan beg masing-masing.
Share this novel