Alam percintaan memang menakjubkan. Mencintai dan dicintai memberi nikmat dalam kepayahan. Kesenangan hati dan ketenangan jiwa diperoleh dari cinta yang dimuliakan dengan kesetiaan. Sungguhpun bukan indah selama adanya alam percintaan, namun alam ini selalu hadir dengan harapan. Dengan harapan maka teralir tenaga membekali penjejak alam ini untuk menempuh dugaan mendatang. Asasi percintaan adalah harapan agar cinta sepasang insan bertaut kembali dan kekal bersama selepas masa diakhirkan. Namun hakikatnya harapan itu selalu bersulam dengan pelbagai ketakutan. Takut itu datang daripada kurangnya pengetahuan tentang rencana ciptaan. Semalam telah jadi kenangan dan hari ini adalah kenyataan tetapi esok hanyalah impian. Meskipun tetap merelakan bahawa kenyataan hidup bercinta seumpama racunnya gula, namun setiap insan tetap mahu merasakan kemanisan percintaan.
Telah dicipta cinta untuk manusia agar tidak berjalan sendirian. Sungguh sunyi hidup ini jikalau gagal dalam berteman. Oleh itu, berusahalah manusia mencari pasangan untuk menyempurnakan natijah alam. Lelaki dan perempuan pun berjalan menghadapi cabaran kehidupan untuk mencari cinta sejati. Harus kental mengharungi ujian, agar ketemu pasangan cocokan. Andai bertemu maka satu dunia cinta yang unik lagi rahsia pun bermula. Bukanlah mudah untuk merungkaikan dunia-dunia cinta berlainan dengan kata-kata yang sama kerana fabrik cerita setiap pasangan yang bercinta itu terjalin dari benang-benang masa yang mengambil kira faktor-faktor kehidupan seperti tempat, bahasa, kepercayaan, budaya dan juga komposisi kimia dalam badan. Apabila semua faktor sudah diharmonikan dalam satu persamaan barulah tercipta tenunan fabrik ceritera cinta satu pasangan dengan pola nan unik untuk setiap pasangan.
Kisah-kisah cinta saban masa bersilangan suka dan derita. Hakikat yang tertera selalu teguh menegarkan kesungguhan insan-insan yang berusaha mendapatkan dan menyimpan cinta yang tulus suci agar diabadikan dalam pegangan. Namun telah tetap bahawa yang tercipta bersifat sementara. Takkan dedaun melekat di dahan pohon selamanya. Akan luruh bernatarkan musim. Maka cinta sebegitu jua. Demi ruang berdimensikan masa, cinta akan luluh lalu berderai terlerai dimamahi usia. Lemah dan longlai insan-insan bercinta tatkala menghadapi kenyataan hukum angkasa. Begitulah keadaannya di dalam alam fana cinta. Sekejap mana pun digenggam nikmat percintaan, sekuat mana pun menahan ujian, setulus mana pun hati insan, pasti nanti tetap tertewas dalam rela mahupun terpaksa.
Cinta terpateri menjadi suci apabila lafaz pernikahan diucapkan. Materinya cinta menitikkan permulaan epilog baru diari percintaan. Maka bersemi janji untuk saling membahagiakan. Tertunai sudah ayat-ayat kerinduan. Tenggelam perasaan dalam kehangatan dakapan khalis agar abadi dalam memori manifestasi cinta ini. Sungguh itulah saat indah dambaan insan. Asalnya kerinduan menjadi tapak percintaan. Semakin teguh cinta andai dirumahkan. Tiang cinta janji yang dipegang. Dinding cinta dibina dari rezeki yang dilimpahkan. Bumbung cinta ialah kesedaran. Kesedaran bahawa cinta kalau tidak dilindungi maka tidakkan nyata mahligai impian. Begitulah keperluan agar rumah cinta dapat dihiasi dengan anak- anak yang dilahirkan. Lantas cinta pun digandakan.
Titis-titis hari membawa cabaran kewibawaan. Bagaimana mungkin membuktikan kesejatian cinta kalau tiada dugaan. Hadir dan pergi ujian demi ujian kehidupan bagaikan ribut salji yang datang bermusim untuk membekukan api percintaan. Anugerah pada pasangan yang mampu bertahan menghadapi ribut kehidupan adalah keluarga nan membahagiakan. Rumah cinta yang dilanda salji mahupun ribut taufan takkan dingin atau beku jika selalu dihangatkan. Ibu di dapur menggembleng tenaga insan dan alam untuk menyebatikan kimia bumi dalam prosedur penciptaan makanan sebagai wadah kuasa untuk kemandirian.
Cinta sejati bukan tiba-tiba sahaja menjadi. Harus dicari untuk dinikmati. Harus dipupuk dan dipelihara agar tumbuh dan berbuah menjadi pohon di taman hati. Harus dijaga daripada dimakan sengketa berapi. Kelak kan mati pohon cinta di dalam hati. Andai nanti mati pohon ini, maka sukar sekali untuk tumbuh lagi.
Share this novel