Bab 4: Tirai Hakiki

Fantasy Series 4911

Menjelang pagi, ibu Gusman risau sekali. Belum pernah anaknya tidak pulang sebegini sejak keluar dari petang semalam. Begitu jua ibunya Rani tercari-cari anaknya ke sana-sini. Takdirnya ketika matahari mulai meninggi di langit biru, mereka bertemu di balai polis perdesaan yang kecil itu. Setelah disiasat barulah disedari oleh kedua-dua keluarga ini bahawa anak mereka dilihat menunggang motosikal bersama. Maka bermulalah misi mencari. Polis dan orang kampung bekerjasama menjejak pasangan ini. Apabila petang hampir senja barulah ada yang terjumpa motosikal Gusman tersorok di celah-celah pokok berhampiran hutan di kampungnya. Akhirnya sampai jua para pencari ke banglo usang lalu ditinjau ke dalam.

Kemudian, di dalam salah sebuah bilik mereka menemui mayat Gusman dalam keadaan ngeri. Yang ditemui di dalam bilik itu hanyalah sisa-sisa jasad Gusman yang telah dirobek oleh binatang buas yang tak dapat diketahui. Daging tubuhnya dikoyak-rabak, diratah dan tercampak sisa-sisanya ke semerata bilik itu. Darah yang sudah beku bertompok di sana-sini. Tulang-tulang tangannya tercabut dari soket bahu sementara tulang kakinya patah bersegi-segi. Hanya kepalanya sahaja yang tidak terusik sangat sekadar terkopek daging di pipi. Begitulah para pencari mengenali mayat ini. Lalu diandaikan oleh penemu-penemunya bahawa daripada keadaan Gusman itu, dia diserang dan dimakan oleh sekawan binatang buas yang berkemungkinan besar ialah serigala. Akan tetapi kebenaran andaian itu masih belum disingkap dari tirai hakiki. Malah apa yang lebih merisaukan bahawa kekasihnya Rani masih belum ditemui.

Langkah seterusnya yang wajar dilakukan adalah meneruskan misi mencari. Meskipun langit tidak lagi murah dengan cahaya dan ufuk sudah jingga, kumpulan para pencari itu tiada pilihan lagi selain mesti mara lebih jauh ke dalam hutan. Lima ekor anjing polis dipanggil untuk membantu misi yang lebih sukar ini. Walaupun hutan itu tebal dan diselubungi kegelapan, namun mereka dengan berani meredahnya dengan dibantu oleh cahaya berpuluh-puluh lampu suluh. Dalam satu barisan berselang kira-kira dua puluh meter setiap orang, mereka bergerak mengikut anjing penghidu yang di depan. Salakan anjing dan laungan nama Rani tingkah-meningkah benar-benar mengejutkan isi rimba. Mergastua bertempiaran lari atau terus bersembunyi, tidak lagi memikirkan perut kosong yang perlu diisi hanya ditumpukan pada keselamatan diri.

Lans Koperal Marzaki baru saja sepuluh bulan keluar dari akademi polis dan ditempatkan di pekan Tanong ini. Apa yang berlaku pada hari ini merupakan suatu kejadian yang menggemparkan semua orang di sini. Bagi Marzaki pula, dia berasa sangat teruja meskipun dia tahu dia tidak menghormati mangsa kejadian jika dia bersikap sedemikian. Lalu dia mengambil sikap berdiam diri dan berhati-hati apabila berkata-kata. Apabila keluarga Gusman datang melaporkan kejadian itu padanya yang sedang menjaga kaunter jam sebelas tadi, Marzaki tidak menyangka bahawa kes ini akan berlarutan hingga dia berada di dalam hutan ketika ini. Selang setengah jam selepas keluarga Gusman pulang, datang pula ibu Rani membuat laporan kehilangan anaknya. Apabila berlaku dua kehilangan sebegini dalam hari yang sama, maka dengan mudah Marzaki dapat membuat andaian bahawa mereka itu saling mengenali dan mungkin telah keluar bersama. Lantas dia memanggil semula keluarga Gusman datang ke balai polis dengan segera. Di masa itulah kedua-dua keluarga ini bertemu di balai polis lalu terbongkarlah rahsia perhubungan Gusman dengan Rani daripada adik Gusman yang memang tahu hubungan mereka berdua. Setelah itu, dia dan beberapa orang rakan setugas diarahkan oleh oleh sarjannya supaya mencari maklumat tentang keberadaan mereka semalam. Sudah puas bertanya akhirnya dapatlah dia berjumpa dengan seorang penoreh getah yang ternampak mereka berdua menunggang motosikal ke arah hutan di penghujung pekan. Marzaki terus meredah hutan itu seraya memanggil nama Rani sekuat-kuat suaranya. Maka bersahut-sahutan panggilannya dengan orang-orang lain yang turut serta mencari.

Sudah hampir sejam mereka berjalan di dalam hutan itu. Waktu sekarang sudah hampir jam sepuluh malam. Marzaki masih belum berputus asa lagi. Sambil berjalan dia menyuluh ke sekeliling. Tiba-tiba dia tersuluh pada sebuah khemah berwarna hijau gelap. Lantas dengan pantas dia berjalan menuju ke arah khemah itu. Cahaya lampunya diarahkan ke tanah agar dia dapat mengesan jika ada jejak tapak kaki. Dia memanggil-manggil nama Rani meskipun tiada jawapan. Setibanya dekat dengan khemah itu, Marzaki nampak itu ialah sebuah khemah yang baru didirikan berdasarkan pada pacak-pacak kayu yang masih baru dipotong paling kurang sehari dua. Tiada jejak langsung yang dapat dilihatnya di kawasan sekitar khemah. Perlahan-lahan dia menuju ke hadapan khemah itu dan ternampaklah olehnya kesan sepasang tapak kaki mungil yang sepanjang kira-kira enam inci. Disingkapnya tirai khemah tetapi seperti yang dijangkanya tiada siapapun di dalam. Lalu Marzaki melutut dan memeriksa lebih terperinci lagi lantai khemah itu. Dengan berhati-hati dia menyuluh setiap inci lantai khemah itu. Setelah berpuas hati lalu dia pun berdiri dan dengan segera dia mengeluarkan walkie-talkienya.
“Sarjan Asan! Panggilan kepada Sarjan Asan!” Marzaki melepaskan punat walkie-talkie lalu menunggu seketika.
“Sarjan Asan di sini. Cakap.”
“Tuan, Marzaki di sini. Saya terjumpa sebuah khemah yang ditinggalkan orang dan ada kesan tapak kaki perempuan serta beberapa helai rambut panjang dalam khemah ini. Minta arahan selanjutnya,” dengan tenang Marzaki melaporkan kepada sarjannya situasi tersebut.
“Okey, tunggu situ dan kawal perimeter. Kau di mana?” balas Sarjan Asan. Marzaki pun memberitahu kedudukannya dan tak sampai sepuluh minit kemudian dilihatnya beberapa suluhan lampu suluh datang menghampirinya.

Pencarian malam itu berakhir kira-kira hampir tengah malam. Pasukan mencari pulang tetapi tidak dengan tangan kosong. Meskipun suatu pencapaian yang kecil, mereka percaya penemuan beberapa helai rambut itu dapat menjadi petunjuk yang seterusnya.

Setelah ujian DNA dilakukan keesokan paginya, memang sah bahawa helaian rambut itu adalah milik Rani dan kesan tapak kaki juga adalah sama saiz dengan tapak kakinya. Maka, usaha pencarian diteruskan lagi hari ini dan dengan kerjasama lebih ramai orang lagi. Namun demikian, hingga ke petang tiada lagi sebarang petunjuk dijumpai. Sampai ke penghujung petang masing-masing pun pulang dalam kehairanan bagaimana Rani boleh berada di dalam khemah itu dan mengapa hanya sepasang jejak tapak kakinya sahaja yang ditemui. Apa yang lebih menghairankan lagi adalah tiada langsung jejak orang lain ditemui di khemah tersebut.

Hari berganti hari namun tiada sebarang penemuan baru ditemui. Selepas seminggu maka pencarian itu terpaksa diberhentikan oleh pihak berkuasa. Tinggallah keluarga Rani meratapi kehilangan penuh misteri itu. Akan keluarga Gusman pula tidaklah dapat mereka selain menerima kenyataan bahawa pemuda itu telah pergi dalam keadaan yang ngeri, diserang dan dimakan oleh binatang buas dan kemudian dikebumikan dengan cebis-cebis daging dan rangka yang ditemui. Kesedihan yang pasti tidak dapat dielakkan lagi hanya dapat diubati dengan memori saat-saat bahagia bersama Gusman, seorang anak yang ringan tulang, ceria dan sangat menghormati ibu-bapanya. Apa yang telah dilakukannya bersama Rani di dalam banglo usang itu sukar untuk keluarga mereka menerima andaian orang.

Namun demikian, jauh di sudut hati masing-masing telah memaafkan Gusman kerana malang yang menimpanya bukan calang-calang; nyawanya telah tergadai; rohnya dicabut dalam keadaan yang sungguh merinding. Intihanya tragedi percintaan Gusman dan Rani ini menjadi pengajaran pada yang masih hidup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience