Bab 15: 15 Tahun

Fantasy Series 4911

Di antara jahil dan berpengetahuan terdapat jurang tingkah laku nan amat dalam. Melakukan sesuatu tanpa ilmu berkaitan takkan sama andai sudah cukup persediaan. Hasil yang diperoleh takkan sempurna malar-malar lebih buruk lagi kalau menyebabkan kerosakan berpanjangan. Mengikut orang tanpa memahami tujuan dilakukan juga harus dielakkan. Boleh jadi dungu kalau hala tuju tidak berpaksikan ilmu. Tertipu tetapi tidak tahu. Sentiasa setuju sahaja selalu. Sementara orang yang berilmu kalau menuruti perbuatan orang mempunyai penuh kesedaran akan kesan dan akibat ikutan. Dengan ilmu dan pengetahuan barulah boleh bersetuju dengan sesuatu usulan atau andaian kerana berlandaskan keteguhan pendirian dalam ketuntasan keyakinan.

Meskipun rindu pada ibunya, Arya tidak lagi mahu naik ke atas bumbung istana. Dalam pertemuan mereka yang terakhir, dia dinasihatkan ibunya dan Doktor Busqina untuk bersabar dan tidak mengundang bahaya kepada dirinya dan kepada mereka juga. Dar- ipada penerangan rupa Bonda Dewi oleh Arya, Rani mengesyaki bahawa dia ialah Puan Dewi dari Asramanita. Puan Dewi dalang kepada malang yang menimpa dirinya. Barulah dia tahu bayi-bayi yang diculiknya telah dibawa ke sebuah pulau entah di mana. Arya sendiri tidak tahu nama pulau itu apatah lagi di mana tempatnya. Mana mungkin ibunya berdaya untuk mencarinya. Rani benar-benar takut kalau Arya terus hilang dari hidupnya. Cukuplah sekadar dia tahu anaknya masih hidup dan makan minumnya terjaga. Dengan itu, dia hanya mampu berpesan agar anaknya itu menjaga keselamatan diri dan mencarinya apabila ada peluang untuk keluar dari pulau itu.

Tahun demi tahun berlalu, kini Arya semakin berilmu. Pembelajarannya semakin maju berkembang. Banyak yang telah dipelajari daripada guru-gurunya. Pesan Dr. Busqina agar menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh walaupun sedang belajar daripada syaitan dan berkelakuan baik ternyata banyak membawa keuntungan pada dirinya. Cuma dia dinasihatkan supaya bijak membuat pertimbangan akan moral yang terkandung dalam setiap ilmu yang diajarkan padanya. Maka berkat kesabaran dan usaha berterusan, kebijaksanaannya semakin meningkat. Ilmunya termaktub dalam pelbagai bidang. Ternyata pada ketika remaja yang seusianya masih lagi bermain-main tanpa terfikir hala tujuan, Arya sudah menyusun persiapan masa hadapan.

Lima bahasa telah dikuasai Arya. Empat daripada lima bahasa itu dia belajar di dalam kelas. Sejak dari kecil lagi seperti kanak-kanak lain, dia sudah mengikuti kelas Bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil yang diajar di dalam kelas. Menurut guru bahasanya, Cikgu Tirmi, bahasa-bahasa tersebut akan berguna apabila mereka dewasa nanti. Selain itu, Arya meluangkan masanya untuk mempelajari sendiri bahasa Sanskrit dengan bantuan Cikgu Tirmi. Dia memberinya tunjuk ajar serta membenarkan Arya menggunakan sumber-sumber rujukan yang ada di dalam pangkalan data istana di perpustakaan. Alasan Arya, dia mahu mempelajari bahasa purba ini yang sudah hampir-hampir dilupakan orang. Namun hakikatnya, dia mahu mengetahui isi kandungan buku yang diambilnya dari bilik tersembunyi di belakang bilik Bonda Dewi dahulu.

Buku itu bertajuk Hilang Dalam Terang. Arya telah mengambil masa setahun setengah untuk menterjemahkan isi buku tersebut. Sedikit tulisan yang terdapat pada sudut kanan halaman pertama yang cantik dilukis gambar segugus pulau berbunyi:
“Alkisah kutitipkan di sini suatu perjalanan yang kulalui. Jauh nun di seberang laut kampung halaman memanggil daku untuk kembali. Apakan daya kuhanya mampu menyimpan rindu terperosok di hati. Entah bagaimana ayahanda dan Bonda setelah aku pergi. Maka terbit keinginan untukku curahkan segala peri kembara diri ini hingga aku tiba di pulau durjana ini.”

Pada halaman kedua yang terdapat lukisan sebuah pulau besar yang kelihatan maju sekali. Sebuah istana besar terletak di pun- cak pulau dan di sekelilingnya bangunan pelbagai rupa tersusun rapi memenuhi setiap inci pulau itu. Di laut sekeliling pulau itu terdapat kapal-kapal dagang berlabuh dan ikan lumba-lumba melompat-lompat di sana sini. Di belakang lukisan itu, tertulis sebuah cerita.

“Adapun namaku ini Putera Gharanja anak kepada Raja Sidhartya turunnya dari surih-surih Putera Urkhavaeva, nan terselamat daripada bencana yang pernah menimpa Kerajaan Lemuria di suatu ketika pada zaman purbakala. Tenggelamnya Lemuria ditelan ombak setinggi gunung menjadi penutup kisah empayar empunya lautan ini. Setelah itu, Putera Urkhavaeva dan sebilangan pengikutnya memencilkan diri tak mahu lagi mendirikan negeri.
Manakala cucu-cicitnya kemudian berpecah dua. Sebahagian dari mereka telah belayar pergi mahu membangunkan semula kekuasaan Lemuria di kepulauan Nusantara. Maka bangkitlah dengan sinar kejayaan leluhur Lemuria oleh mereka. Tetapi kami yang terus tinggal di Pulau Langkapuri meneruskan kehidupan tanpa perlu pada cita-cita nan tinggi.”

Pada muka surat yang ketiga buku itu pula, dilukiskan lima orang lelaki yang baru terjaga dari tidur pada waktu malam di bawah sebatang pokok dengan wajah masing-masing tergambar perasaan cemas. Di sekeliling mereka terdapat mata-mata kuning dan merah seperti mata kucing bentuknya. Sementara itu, sedang merangkak turun dengan kepala ke bawah pada batang pokok pula adalah satu makhluk yang hitam berekor panjang, bertubuh seperti monyet tetapi bermuka manusia yang berbulu lebat dalam keadaan tersengih pada mereka berlima. Di halaman belakang lukisan itu ceritanya.

“Tatkala lewat remaja aku mengembara lima sahabat mencari guru untuk menuntut ilmu memenuhi dada. Di suatu tempat di malam hari ketika tidur kami dikepung oleh sang puaka. Puaka-puaka berwajah manusia itu mengepung dan menangkap kami lalu dirantai kaki kami semua. Saat itu aku menyangka bahawa tubuh ini akan menjadi santapan mereka. Namun rupanya kami telah dibawa ke Pulau Bankim ini untuk dijadikan hamba sahaya.”

Di muka surat yang keempat pula, tulisan yang menyertai lukisan sekumpulan manusia memindahkan batu-batu dari sebuah kapal yang sedang berlabuh pula berbunyi:

“Jong demi jong berlabuh nun di hujung tanjung setelah dua-tiga purnama menongkah ombak menggulung-gulung. Datang membawa lebih ramai lagi hamba dan batu-batu yang telah siap dipotong tetapi hanya pulang dengan muatan kosong. Maka sepertinya aku tenaga hamba yang baru tiba itu dikerah untuk membina istana puaka siang berterik malam berjamung. Namun suatu hari nasibku diuntung kerana hopmandur dapat mengetahui bakat melukis yang memang sejak kecil lagi telah kukandung. Arkian dengan itu deritaku diringankan dengan menjadi penolong arkitek melukiskan pelan istana dari pangkal sampai ke hujung, dari tapak hingga ke bumbung.”

Begitulah satu persatu Arya menterjemahkan helai demi helai tulisan Sanskrit pada lukisan dalam buku usang ini. Akhirnya tahu juga Arya nama sebenar pulau ini. Menurut penulisnya, Putera Gharanja lagi, arkitek yang dibantunya mati sakit kira-kira setahun kemudian. Sempat juga dia belajar ilmu seni lukis dan seni bina dengan arkitek itu. Seterusnya, dia pula dikerah hopmandur untuk menjadi arkitek baru demi meneruskan rancangan mega membina sebuah istana di atas Pulau Bankim yang terletak di pinggir timur Lautan Hindi ini.

Hopmandur itu mengawasi kira-kira dua ratus orang buruh dengan bantuan lima mandur lain yang bersenjatakan cemeti. Siang dan malam buruh-buruh itu bekerja silih-berganti. Mandur-mandur itu akan menyambuk sesiapa saja yang didapati cuba menimbulkan masalah. Setiap hari pasti ada saja buruh yang mati. Ada yang mati dibunuh kerana cuba melawan dan ramai juga yang mati kerana diserang bermacam-macam penyakit. Oleh itu, setiap kali sebuah jong sampai membawa bekalan bahan binaan dan makanan, pasti ada beberapa puluh orang hamba baru yang dihantar sekali.

Demi nyawanya, Putera Gharanja tiada pilihan melainkan menjadi hamba yang taat. Kiranya beruntung dalam ramai-ramai orang di situ hanya dia dan arkitek sahaja yang mahir melukis. Tetapi selepas arkitek itu mati, maka tinggal dia seorang. Putera Gharanja menggunakan kertas dan pewarna yang dibuatnya sendiri. Si arkitek yang mengajarnya membuat kertas yang tahan lama daripada kapas. Dia juga menunjukkan padanya bagaimana membuat pewarna daripada sumber-sumber alam. Pewarna kuning asalnya kunyit, perang diperbuat daripada inai sementara merah darah daripada paprika dan pewarna merah sejuk, jingga dan biru muda daripada cendawan pelbagai jenis. Selain daripada tumbuh-tumbuhan, batuan bumi juga boleh digunakan untuk membuat pelbagai warna seperti hijau daripada malakit dan biru tua daripada azurit. Daripada penerangan Putera Gharanja, Arya mempelajari bahawa bukan susah untuk membuat semua warna. Hanya perlu tahu bahan dan cara penyediaan yang sepatutnya.

Dalam lukisan-lukisan yang seterusnya putera itu menceritakan tugas utamanya tiap-tiap hari adalah untuk memastikan istana dibina mengikut pelan arkitek asal. Selain itu, dia juga diminta melukis ilustrasi perabot dan segala rekabentuk perhiasan istana agar dapat dibuat oleh tukang-tukang kayu, batu dan logam. Maka bukunya ini penuh dengan hasil-hasil kerjanya bertahun-tahun. Dalam banyak-banyak ilustrasi itu terdapat satu lukisan yang menarik perhatian Arya. Nota pada lukisan itu berbunyi,

“Suatu hari aku diminta hopmandur melukis rekabentuk sebuah arca yang hendak ditempatkan di dewan utama istana. Dia memberitahuku ciri-ciri arca. Berdiri dalam kekuda seorang perwira gagah yang sedia menyerang, berwajah amat bujur, tirus di dagu, tirus juga telinga, hidung mancung bengkok ke bawah, matanya terperosok ke dalam dengan alis yang tebal dan panjang, berjanggut panjang sampai ke dada tetapi tidak berambut, di atas kepalanya satu mahkota bertatahkan permata sebesar delima, jari di tangannya haruslah besar berotot tetapi hanya ada tiga, kakinya juga begitu.
Begitulah arahannya. Maka aku pun bertungkus-lumus siang dan malam menyiapkan lukisan ini. Berpuluh-puluh kali kulukiskan dan berhelai-helai kertas telah kugunakan, tetapi ada saja yang tidak kena dengan lukisanku. Akhirnya lukisan yang terakhir ini baru dapat memuaskan hati hopmandur itu. Ganjil sekali dengan rupa makhluk ini sehingga aku pun takut melihatnya. Sungguh aku tidak tahu apakah jenisnya makhluk ini. Namun sempat juga aku bertanya hopmandur. Dia hanya tersenyum lalu berkata,
“Inilah raja kami.”

Pertama kali membacanya, mudah sahaja Arya membuat perkaitan. Istana ini luas sekali ruang di dalamnya. Masuk saja dari pintu utama satu dewan besar menanti. Dewan utama ini berlantaikan marmar hitam bermanik-manik kuning seperti malam yang disinari bintang-bintang sementara dindingnya marmar perang gelap kebiru-biruan. Delapan batang tiang marmar hitam sebesar dua pemeluk setiap satunya berdiri megah dari lantai sampai ke siling menunjangi bumbung istana dan tersusun dalam dua barisan selari di kedua-dua belah sisi dewan. Terbuka saja pintu istana akan terlihat dua buah arca gangsa raksasa berwarna hitam yang sama rupa lebih sepuluh kaki tingginya berdiri megah di kiri dan kanan. Cuma bezanya patung gangsa di sebelah kanan memegang sebilah tombak panjang yang sedia teracu ke depan pintu manakala patung di sebelah kiri pula memegang pedang dan perisai. Kedua-dua patung raksasa itu kalau dilihat orang untuk kali pertama pasti menggerunkan. Tetapi selalunya kanak-kanak di situ mengabaikan saja kewujudan patung raksasa ini kerana sudah terbiasa melihatnya semenjak kecil lagi. Rupa makhluk di dalam lukisan itu sama dengan arca patung gangsa tersebut. Nampaknya, itulah raja asal pemilik istana.

Memang sifat seorang pelukis rajin dan teliti. Maka daripada buku itu Arya belajar untuk lebih banyak memerhatikan pergerakan orang lain. Di dalam bukunya itu Putera Gharanja juga ada bercerita bagaimana dia pernah melihat si hopmandur dan pembantu-pembantunya di situ tidak suka cahaya matahari, apatah lagi di waktu tengah hari. Sama ada mereka berpayung atau berlindung di bawah bayang-bayang sahaja. Apabila Arya membaca pernyataan itu, baru dia tersedar bahawa memang jarang sangat dia nampak Bonda Dewi, Cikgu Sirin dan Cikgu Tirmi keluar dari istana itu pada waktu siang. Begitu juga dengan pekerja-pekerja istana yang lain.

Membuat persiapan perlu ada visi. Visi itu memandang jauh ke hadapan dengan pandangan hati yang mendalam. Visi Arya adalah untuk menemui ibunya. Tatkala berjumpa dengannya di alam mimpi, ibunya berpesan agar dia berhati-hati. Doktor Busqina menambah pula bahawa dia harus menghadapi cabaran dengan akal yang terang. Bukan sebarang yang harus dilawan, syaitan bertopengkan manusia menjadi dalang. Setelah diceritakan oleh ibunya dan Doktor Busqina, barulah Arya tahu siapa yang berada di belakang tabir. Demikian hebat musuh yang menghalang visinya. Lantas segala perancangan mesti dilaksanakan diam-diam. Bagaimanapun Arya tahu dia tidak mampu untuk melaksanakan rancangannya seorang diri. Oleh itu, dia harus mempercayai seorang kawan. Maka di sinilah datangnya Rohan. Rohan yang dua tahun lebih tua daripada Arya ternyata lebih matang dan berfikiran terbuka. Cuma dia seorang saja harapan Arya kerana tampak olehnya Rohan selalu rasional apabila membuat pertimbangan. Sungguhpun demikian, Arya tidak boleh mengambil mudah dengan terus bercerita kepadanya. Dia perlu mengujinya dahulu.

Suatu malam pada tiga tahun yang lepas, Rohan telah datang ke biliknya. Remaja empat belas tahun ini badannya tinggi dan sasa. Berkulit perang dan bulat mukanya. Berambut hitam dan kasar, hidungnya pesek, telinganya agak capang. Dia seorang yang ramah dan mudah didekati. Dia biasa saja melepak di bilik Arya sama ada untuk berbual-bual atau membuat projek kelas bersama-sama kerana bilik mereka bersebelahan saja. Malam itu dia datang sekadar untuk bersosial.

“Kau tahu hari ini aku dah buat tekan tubi seratus kali sekaligus,” kata Rohan.
“Ah, tipulah. Aku tak percaya,” balas Arya.
“Eh, tak percaya pula. Mari aku tunjuk. Kau tolong kira.” Penafian Arya mencabar pernyataannya. Lantas dia pun menekapkan tangannya ke lantai dan mula membuat tekan tubi dengan laju.
“Satu, dua, tiga, empat, enam, tujuh, lima, dua belas,” Arya pun menghitung.
“Macam mana kau kira ni? Kiralah betul-betul,” komplen Rohan yang berhenti membuat latih tubi tetapi masih dalam posisinya di atas lantai. Arya ketawa lalu berkata,
“Aku malaslah. Aku percaya sajalah apa kau cakap.”
“Mana boleh terus percaya apa orang cakap. Kita mestilah tengok bukti dahulu, kau ni memang nakal,” kata Rohan semula sambil dia bangun.

Kemudian Rohan cuba menghempaskan badannya pada Arya yang sedang baring meniarap di atas katil. Tetapi Arya segera mengelak ke tepi lalu dia pula bertindak agresif dengan menolak Rohan. Namun Rohan sempat menangkap kedua-dua belah tangan Arya lantas menyentap tangan itu supaya Arya hilang keseimbangan. Bagaimanapun Arya telah menggunakan momentum sentapan Rohan untuk melompat dari atas katil dan mendarat di atas lantai.
“Oh, kau nak melawan ya. Marilah kita lawan tolak-tolak tengok siapa lagi kuat,” kata Rohan sambil dia pun berdiri tegak di atas lantai.
“Marilah, aku tak takut,” tanpa menghiraukan saiz tubuhnya yang lebih kecil daripada Rohan, dia menyahut cabaran itu dengan berani.

Maka kedua-dua remaja ini saling mengunci tangan seperti orang yang sedang bergusti. Kedua-dua mereka memperkuat kekuda masing-masing dengan membengkokkan sedikit kaki hadapan sementara kaki belakang lurus menyendeng ke depan dan ditekan kuat ke lantai. Beberapa kali mereka cuba menjatuhkan pihak lawan masing-masing tetapi dengan kemahiran yang terlatih mudah saja untuk dipatahkan serangan lawan. Pada saat-saat yang mendebarkan itu, tiba-tiba Arya terlihat satu peluang keemasan. Dia nampak celah ketiak Rohan yang terbuka sedikit. Semasa bertarung mesti pandai melihat detik lawan mendedahkan kelemahan. Lantas Arya melepaskan sebelah tangannya dari kuncian dan kemudian menghulurkan tangan kirinya itu lalu menggeletek ketiak Rohan.
“Hoi! Mana aci!”

Rohan tersentak dengan tindakan Arya lalu dia mengepit ketiak kanannya kerana dia terasa geli. Saat kekuatan kuncian tangan Rohan sedikit lemah, Arya segera menarik balik tangannya, memegang lengan Rohan semula lalu menariknya seraya berundur selangkah supaya kekuda Rohan hilang keseimbangan. Dengan pantas dia memusingkan badan Rohan dan menyauk lehernya dengan sebelah lengan sambil membengkokkan lututnya agar Rohan jatuh terduduk dalam keadaan terkunci. Rohan cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi tak mungkin Arya melepaskan kunciannya ini. Akhirnya, Rohan terpaksa menepuk lengan Arya sebagai tanda menyerah kalah. Permainan ini sudah pun tamat.

Mereka pun duduk bersandar di tepi katil termengah-mengah. Arya bertanya pada Rohan,
“Apa yang kita buat di sini, Han?” “Kita belajarlah,” jawabnya ringkas. “Buat apa kita belajar?” tanya Arya lagi.
“Supaya kita jadi panglima perang yang hebat. Kan Bonda Dewi selalu beritahu. Kau ni pura-pura tak ingat pula?”
“Ingat, dia kata nanti kita akan berkhidmat untuk seorang maharaja yang gagah perkasa. Tapi aku keliru kenapa kita mesti jadi orang suruhan sahaja, tak boleh ke kita bebas menentukan hidup kita sendiri selepas ini?” persoalan Arya menjadi semakin mendalam.

“Eh, engkau ni dah kenapa? Tak sedar ke kau sedang diuntung. Kan kita terhutang budi pada Bonda. Dia dah selamatkan kita, beri kita makan, besarkan kita, beri kita ilmu lagi. Jadi apa lagi yang engkau nak? Tak patut ke kita balas budi dia?” ujar Rohan.
“Bukan macam tu, Han. Kau tak terfikir kenapa kita diberi layanan yang begitu istimewa? Kenapa kita duduk jauh-jauh dari orang lain dan kenapa Bonda tak pernah beritahu siapa sebenarnya maharaja itu?” Arya melontarkan lebih banyak soalan.
“Entahlah, aku cuma berasa bertuah berada di sini. Nanti kalau dah habis belajar kita keluarlah tengok dunia. Mungkin Bonda tak kasi kita keluar lagi sekarang sebab dunia kat luar sana banyak bahaya. Jadi sebab itu dia sediakan untuk kita dengan bermacam-macam persiapan, supaya apabila kita keluar nanti kita tak ketinggalan. Sementara ini kita sabar dan belajar bersungguh-sungguh sajalah dulu,” Rohan mengeluarkan pendapatnya sendiri.
“Kau tak rasa kita ini sedang dipergunakan dan segala kebaikan yang ditunjukkan oleh Bonda tu hanya satu penipuan supaya kita mengikut saja cakapnya?” Rohan terdiam sebentar mendengarkan kata-kata kawan baiknya itu. Wajahnya berkerut.
“Entahlah. Boleh jadi juga. Tapi cuba kau beritahu aku. Kalau betullah apa yang kau cakapkan tu, apa yang boleh kita buat. Kita bukan boleh pergi mana-mana. Kita tak kenal pun sesiapa di luar sana. Hidup kita di sini saja yang aku tau,” sejujurnya Rohan menjawab.
“Kita larilah,” kata Arya. Meskipun ringkas saja ajakannya tetapi hakikatnya dia pun tahu untuk lari dari situ bukanlah mudah. “Biar betul kau ni. Macamana pula kita nak melepaskan diri dari sini?” Sedikit demi sedikit dia sudah terpengaruh dengan kata-kata Arya.
“Aku ada rancangan,” kata Arya dengan penuh yakin.
“Tapi sebelum aku beritahu rancanganku, aku nak kau berjanji takkan bocorkan rahsia antara kita pada siapa-siapa.”

Rohan terdiam lagi. Walaupun apa yang diperkatakan Arya merupakan satu kejutan yang tidak disangka-sangkanya, dia tidak pernah memandang rendah kebolehan Arya.

“Baik, aku janji.” Lalu dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dan dengan segera disambut oleh Arya sebagai tanda perjanjian telah dimateri.
Kemudian Arya mengeluarkan buku Hilang Dalam Terang dari bawah tilamnya dan ditunjukkan pada Rohan. Sambil Rohan membelek-belek lukisan dalam buku itu, Arya memperincikan isi-isi buku tersebut kepadanya.
“Pelik sungguh cerita buku ini. Mana kau dapat buku ni?” soal Rohan apabila selesai Arya bercerita.
“Itu rahsia. Tapi satu hari nanti akan kuceritakan juga,” jawab Arya dengan berselindung.
Memang dia tidak mahu Rohan mengetahui terlalu banyak perkara. Dia hanya bercerita pada Rohan tentang sejarah Pulau Bankim yang diperolehnya daripada buku itu sambil menunjukkan lukisan-lukisan yang bersesuaian dengan kisahnya. Kemudian, Arya membuka halaman lukisan arca yang terdapat di dewan utama istana lalu membacakan nota di samping lukisan itu pada sahabatnya. Rohan mengikuti penceritaan Arya dengan penuh minat.
“Makhluk apa ni? Aku ingat arca itu macam saja-saja diletakkan di situ sebagai perhiasan,” Rohan bertanya lagi sambil tersengih atas kedangkalan pemikirannya. Ternyata arca itu bukan sebarang hiasan.
“Yang aku tahu makhluk ini dinamakan raja syaitan.” Lantas dia membuka satu lagi muka surat.

Pada halaman itu terlukis seorang lelaki yang bertubuh tinggi, tegap dan hitam kulitnya. Wajahnya yang lebat berjambang amat bengis dengan mata merah menyala yang terjegil seperti dalam kemarahan. Di belakangnya seorang hamba berkulit hitam sedang memegang payung yang besar di atas kepalanya. Dia memegang seutas cemeti pada tangan kirinya dan di kakinya terdapat seorang lagi lelaki berkulit putih yang kurus melidi sedang tunduk bersujud. Kelihatan belang-belang luka yang masih berdarah pada belakang lelaki yang bersujud itu tanda libasan cemeti. Tangannya diletakkan pada jari-jari kaki lelaki bengis itu seolah-olah mahu memohon keampunan. Terdapat satu nota di belakang lukisan itu.

“Saban waktu aku memerhatikan tingkah laku hopmandur ini. Keganasannya memang sudah dikenali semua. Aku sendiri sudah lali dengan pukulannya. Ramai yang telah mati dengan libasan cemetinya. Belas kasihan memang tiada di dalam hatinya. Dia ialah syaitan yang berupa manusia. Kuperoleh cerita daripada seorang hamba yang telah lama berada di sini, syaitan itu jahat sekali. Mereka berkhidmat kepada maharaja tertua yang amat membenci manusia. Adapun istana ini dibina di atas arahan maharaja itu.
Alam asal syaitan itu terpisah jauh dari alam manusia. Namun apabila cukup ilmu di dadanya, maka syaitan boleh menyeberangi sempadan dua alam ini, masuk ke dunia manusia dan menjelma kepada rupa manusia lalu hidup bersama-sama. Mereka gembira kalau dapat menipu, memperhamba dan mempermain-mainkan manusia. Mereka makan dan minum dengan tangan kiri.”

“Menakutkan sungguh cerita dia ini. Habis tu kau rasa siapa Bonda Dewi sebenarnya? Aku tengok dia baik sangat. Takkan dia sampai hati nak mempergunakan kita,” Rohan kelihatan makin kusut.
“Aku rasa dia juga ialah syaitan. Aku perasan Bonda dan guru-guru kita pun tak pernah makan bersama-sama kita. Tak tahulah kalau mereka makan dalam bilik. Daripada salah satu lukisan dalam buku ni juga, ada diberitahu syaitan tak suka cahaya terik matahari.” Arya pun menunjukkan halaman yang pernah dibacanya sebelum ini lalu menceritakan isi cerita itu. Rohan terangguk-angguk tanda bersetuju.
Rohan pun mengiyakan pemerhatian Arya,
“Betullah kau cakap. Aku pun tak pernah tengok mereka makan. Kadang-kadang aku pun terasa bahawa perangai mereka bukan seperti kita. Syaitan berwajah manusia rupa-rupanya. Patutlah mereka tak makan bersama-sama kita. Kalau tidak mesti kelihatan mereka makan dengan tangan kiri. Aku pun ingat masa kecil-kecil dulu mereka mengajar kita berenang pada awal-awal pagi atau hampir senja. Rupa-rupanya mereka ini makhluk yang tak suka cahaya matahari. Apa yang mereka nak buat dengan kita, Arya?”

“Aku tak tahu kenapa dia memerlukan kita di sini. Mungkin mereka memelihara kita dengan baik agar kita boleh berjuang di sisi mereka suatu hari nanti,” jawab Arya.
“Kalau daripada buku ini aku dapat lihat mereka ini makhluk yang hebat. Habis, kau fikir kita ada peluang ke nak lepaskan diri. Apa rancangan yang kau nak ceritakan tadi?”
“Kita dapatkan sokongan beberapa orang kawan kita yang boleh dipercayai dulu. Tapi jangan terburu-buru, sebab aku takut mereka tak boleh terima kenyataan ini. Kita berlagak seperti biasa saja. Buat aktiviti-aktiviti yang selalu kita buat. Bahaya kalau Bonda tahu bahawa kita telah tahu. Lebih baik kita mengambil langkah selamat. Apabila tiba masa yang sesuai nanti kita akan bertindak,” Arya menjawab soalan itu dengan kemas walaupun sebenarnya tika itu dia belum ada rancangan yang pasti.

Peristiwa Arya membuka rahsianya pada Rohan itu berlaku kira-kira tiga tahun lepas. Kini pada usia lima belas tahun, Arya merasakan dia sudah bersedia untuk melaksanakan rancangannya. Tiga tahun berlalu, sudah cukup maklumat dikumpulkan agar boleh dia melarikan diri. Dia tidak mahu menunggu lagi. Terlalu panjang masa telah berlalu. Hatinya sudah tidak ada di sini. Zahir tingkah lakunya hanya kepura-puraan sahaja sedangkan batinnya meronta-ronta ingin bertemu dengan ibunya berdepan-depan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience