Bab 1: Banglo Usang

Fantasy Series 4911

Banglo usang itu sudah lama ditinggalkan orang. Asalnya sebuah kediaman seorang pengurus ladang British pada era pra-Perang Dunia Kedua. Keluarga asal penduduk rumah ini sudah lari pulang ke England tatkala bahang perang mulai terasa di Tanah Melayu. Maka tinggal saja banglo ini menjadi usang tak pernah didiami orang.

Kebun-kebun getah di belakang banglo ini dahulu, kini menjadi hutan belukar tempat mergastua menjalani kehidupan. Meskipun sudah lima dekad berlalu, namun banglo ini masih utuh berdiri sendirian. Bahkan tembok yang mengelilingi tapak banglo ini masih belum runtuh dimakan zaman.

Tanah di sekeliling banglo itu penuh dengan lalang tinggi-tinggi dan pokok-pokok renek yang membesar di luar kawalan. Di luar tembok yang memagari banglo adalah hutan yang tidak ada susur untuk manusia berjalan. Tetapi di bahagian hadapan banglo itu, sebatang jalan masih terbentang melewati hingga ke satu gerbang yang mana pintu pagar besinya sudah lama menghilang mungkin dicuri orang. Meskipun semak di kiri-kanan, namun jalan itu terang seperti selalu dilalui orang.

Dari gerbang, jalan itu terus menyusur bengkang-bengkok sampai ke sebuah dusun buah-buahan yang tidak lagi dijaga orang. Pepohon durian, manggis, duku dan rambutan masih megah berdiri walaupun berpuluh tahun sudah ditinggalkan. Melewati tinggalan kebun itu dari jalan banglo usang akan sampai ke sebuah ladang getah berbelas-belas ekar yang masih diusahakan oleh pemuda-pemuda asing upahan saudagar tempatan. Selanjutnya, jalan dari ladang getah itu mengunjur ke sebuah perdesaan. Tidaklah begitu ramai orang yang tinggal di perdesaan ini dek kerana lebih ramai lagi yang telah meninggalkan kampung halaman lalu menetap di kota-kota untuk mencari pekerjaan. Penduduk yang tinggal kebanyakannya sudah tua; sedikit sekali bilangan belia dan remaja.

“Abang, selamat ke kat sini? Macam menakutkan saja rumah ni,” tanya seorang gadis yang turun dari boncengan setelah enjin motosikal dimatikan.

“Selamat. Rani jangan risau. Abang memang biasa tidur kat sini kalau keluar memburu malam-malam dengan kawan-kawan. Tapi sekarang bukan musim memburu. Jadi tak ada sesiapapun yang akan datang,” jawab lelaki yang dipanggil abang itu pada si gadis.

Dia turun dari motosikalnya lalu berdiri di samping Rani. Beza ketinggian antara mereka berdua adalah kira-kira satu kaki. Badan lelaki itu agak kurus dan panjang, sedangkan badan si gadis sederhana penuh lekukan. Lelaki itu kulitnya sawo matang, bermuka licin tidak berkumis dan berambut kerinting bergulung-gulung yang mengembang. Gadis di sebelahnya berambut ikal, lebat dan hitam separas bahu, berwajah manis bujur telur dan berkulit cerah. Pada raut wajahnya tergambar kebimbangan, sementara lelaki itu tersenyum mesra memberinya keyakinan.

Gadis ini dan pemuda itu sudah lama bercinta secara rahsia. Mereka merupakan penduduk dari desa berdekatan. Selalu sahaja mereka bercumbuan secara sembunyi jauh dari pengetahuan keluarga. Akan tetapi malam nanti mereka telah berjanji untuk tidur bersama. Banglo usang itu pilihan si lelaki tetapi si gadis agak gusar apabila memandang keadaan di sekelilingnya.

“Abang Gus, takkan kita nak tidur kat sini?” Rani langsung menyoal apabila mereka masuk ke dalam banglo itu dan setelah dia memerhatikan keadaan tingkat bawah yang seperti tongkang pecah.

Segala macam sampah bersepah-sepah. Plastik, kaca, batu-bata dan juga kayu-kayu patah memenuhi ruang bawah banglo yang pasti dahulunya mewah.
“Kita naik atas. Di tingkat atas ada sebuah bilik yang bersih,” balas pemuda yang dipanggil Abang Gus itu.

Gus memimpin Rani melangkah berhati-hati menaiki satu-persatu anak tangga hingga sampai ke koridor atas. Suasana di tingkat atas redup sekali. Pokok-pokok yang tinggi mengelilingi banglo ini. Sekadar di sini dan di sana ada kelihatan cahaya yang tembus dari daun tingkap koridor yang meleyeh hampir jatuh lalu menyinari lantai daripada papan berwarna perang yang tampak masih utuh untuk dipijak. Koridor yang memanjang ke belakang itu mempunyai tiga buah pintu di sebelah kiri.

Gus menuntun Rani yang mengekorinya dalam bungkam, mungkin kerana terasa sedikit ketakutan. Mereka menyusuri koridor separuh kelam itu lalu sampai ke bilik tengah di sebelah kiri. Dari muka pintu yang terlopong setelah dibuka tampak bilik itu cukup luas tanpa sebarang perkakas. Kepingan kaca berwarna biru pada daun tingkap bilik itu sudah renggang. Tetapi tidak banyak cahaya yang berjaya masuk kerana terlindung oleh bayang-bayang pokok di luar. Gus pun melangkah masuk lalu meletakkan barang-barang di tepi dinding. Rani masih terpaku di depan pintu memerhatikan suasana dalam bilik yang menyeramkannya itu. Apabila tikar dibentang di tengah bilik, barulah dia masuk dan duduk tapi tetap masih berdiam.

Melihatkan pada bekalan dibawa, sudah pasti perbuatan mereka ini memang terancang. Tikar mengkuang sekadar muat dua orang, dua kotak lilin, bungkusan makanan dan minuman serta sabun dan tuala. Selepas membasuh tangan ala kadar, Gus pun duduk berhadapan dengan kekasih hatinya lalu diambilnya bungkusan makanan.

“Mak percaya tak agaknya apa yang Rani cakap?” dia bersuara sambil membuka bungkusan itu.

“Percaya. Lagipun Rani kan anak yang baik.” Rani melirik matanya seraya ketawa kecil sambil tangannya mencapai seketul kuih seri muka dan kemudian dia bertanya dengan manja, “Di mana anak sungai tu, Abang Gusman?”

Wajah Gusman membungakan senyuman. Keremajaannya sudah remang-remang dewasa. Alis mata yang tebal terletak begitu dekat dengan mata yang kekuyuan. Pipinya nipis, hidungnya besar, mulutnya lebar dengan gigi nan putih pincang aturan.

“Di belakang rumah ini. Jernih air sungai tu. Abang kalau masuk hutan dengan kawan-kawan memang di situlah tempat mencari air. Sejuk, sedap betul mandi di situ,” jawab Gusman.

“Oh, panas-panas macam ni mesti seronok dapat berendam air sejuk,” kata Rani.
“Mestilah. Berani ke nak pergi sorang-sorang?”

“Eh, abang kan ada. Abang Gus temankanlah Rani. Kalau abang ada, tak adalah Rani rasa takut.”

“Baju mandi bawa tak?”

“Tak. Kain batik lepas aja yang ada. Abang jangan kacau Rani mandi tau,” kata Rani lagi sambil bibirnya membuahkan senyuman manis penuh godaan.

Gurau senda mereka berdua berterusan sambil tangan tak henti menjamah makanan. Antara mereka berdua memang mesra. Sehati dan sejiwa. Cinta yang mereka tautkan penuh kerahsiaan. Namun belum lagi mereka ingin bertemu keluarga masing-masing kerana Rani baru saja habis sekolah tingkatan enam, sedangkan Gusman lima tahun lebih tua daripadanya. Cinta mereka mula bertaut sejak dua tahun lepas di sekolah Rani. Sebagai pengawal keselamatan di situ, Gusman memang selalu nampak Rani dan telah jatuh hati padanya. Pada mulanya dia hanya memerhati dari jauh sahaja. Akan tetapi ada sekali dia bertemu Rani yang duduk sendirian di kantin pada waktu petang sementara menunggu kawannya yang lambat datang, Gusman telah memberanikan diri untuk menegur Rani. Dalam pertemuan itu, Rani sudi melayan Gusman. Dia yang tidak pernah mendapat perhatian serius seorang lelaki sebelum ini berasa senang dengan cara Gusman. Mereka berbual lebih dari sejam. Kalau bukan kerana kawannya sudah datang, pasti pertemuan itu berlangsung lebih lama lagi. Apapun, masa itu sudah cukup untuk Rani tertarik pada gaya Gusman yang tidak gelabah serta bercakap dengan penuh kesopanan.

Keluarga Rani berantakan. Ibu dan ayahnya yang dulu saling mencintai kini tidak lagi tinggal bersama. Ayahnya sudah lama pergi dan tidak pulang-pulang lagi. Pada mulanya, ayah Rani pergi ke bandar untuk bekerja dengan pendapatan yang lebih lumayan berbanding di kampung yang mana dia hanya menoreh getah milik orang. Waktu itu Rani baru darjah enam. Sebulan sekali ayahnya akan pulang. Kemudian selepas setahun, sebulan sekali menjadi dua bulan sekali. Akhirnya setelah empat tahun berlalu, ayahnya tidak lagi kembali mahupun mengirim nafkah pada ibunya.

Rani tidak mengerti sebab kejadian itu. Akan ibunya pula sudah lagi tidak peduli ayahnya mahu pulang atau tidak. Tidak lagi ibu bercerita tentang ayah. Sejak beberapa tahun lepas, Rani sebagai anak tunggal dibesarkan hasil daripada pendapatan ibunya menjadi tukang cuci di sebuah pejabat kilang papan tidak jauh dari kampung mereka. Rani tidak pula pernah mendengar ibunya menangis atau bersedih atas ketiadaan ayah. Malar-malar ibu selalu ceria sahaja seolah-olah ayah tidak lagi wujud dalam hidupnya. Kehilangan ayah dan ibunya pula seperti sudah tidak kisah membuatkan Rani begitu keliru dengan keadaan itu. Maka apabila dia ditegur oleh Gusman, seorang pemuda yang memang dikenalinya menyebabkan Rani berasa dihargai.

Banyak kali mereka bertemu dan berbual-bual di sekolah pada waktu petang. Kemudian selepas tamat peperiksaan tingkatan lima, talian telefon pula menjadi medan melepaskan kerinduan. Sekali-sekala apabila ada peluang mereka berjumpa secara rahsia di rumah Rani. Mereka saling menerima kekurangan dan kelebihan diri masing-masing lantas menambahkan lagi nikmat percintaan. Namun demikian, mereka gagal dalam membezakan di antara nikmat yang baik dengan yang tidak. Sejak dua tahun mereka berkawan telah banyak perbuatan sumbang yang dilakukan. Apa yang dirancang mereka pada malam nanti adalah suatu perbuatan yang belum pernah berlaku tetapi sangat diingin-inginkan oleh kedua-duanya sejak beberapa waktu berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience