Tiga bulan telah berlalu. Saban hari anak-anak di Istana Archaechabuana akan belajar perkara baru. Bagi Arya dan rakan-rakannya, semua keperluan mereka ada di situ. Bonda Dewi memberi mereka segala kecukupan; makanan, baju dan juga buku. Tak cukup dengan itu, mereka juga sibuk menuntut pelbagai jenis ilmu. Lalu, tidaklah mereka sedar waktu begitu pantas berderu. Kanak-kanak di situ begitu maklum bahawa tiap-tiap tiga bulan Bonda Dewi akan berpergian. Adakalanya dia akan pergi sampai dua minggu lamanya dan ada ketika pula hanya beberapa hari sahaja. Bagi Arya, peluang ketiadaan Bonda Dewi di istana itu kali ini mahu digunakan sebaik-baiknya. Mengetahui akan rutin Bonda Dewi ini memberi harapan kepadanya untuk melakukan keinginannya.
Atas sebab yang tidak diketahuinya, Arya sudah lama menyedari bahawa Bonda Dewi menyayanginya lebih daripada budak-budak lain. Oleh itu, dia menggunakan kelebihan itu untuk mendekati ibu angkatnya ini. Tanpa memberitahu sesiapa pun dia sering memerhatikan pergerakan Bonda Dewi. Kadang-kadang sengaja dia berbuat manja untuk mendekati Bonda Dewi. Dia akan pergi bertanya bermacam-macam perkara pada Bonda Dewi di bilik pejabatnya. Malah dia sanggup menawarkan dirinya untuk menghantar kerja-kerja sekolah rakan-rakannya semata-mata agar dia dapat duduk barang sebentar di bilik itu.
Pagi itu ketika murid-murid lain sedang mengambil waktu rehat untuk makan, Arya sudah duduk di depan meja Bonda Dewi. “Kamu tak mahu pergi makan ke, Arya?” tanya Bonda Dewi yang duduk berhadapan dengannya sambil menanda buku-buku kerja murid yang baru saja dihantar oleh Arya.
Arya memandang pada wajah yang cukup cantik dan menenangkan hatinya itu lalu berkata,
“Saya tak lapar, Bonda. Rajinnya Bonda tanda buku-buku kami.”
“Oh, ini sebab Bonda akan berpergian lagi malam ini.” “Bonda nak pergi mana?” tanya Arya.
Bonda Dewi cuma tersenyum kepada Arya menambahkan kemanisan wajah keibuannya. Kemudian dia mengangkat jari telunjuk kanannya lalu disentuh pada bibir mungilnya yang tertutup rapat.
“Oh, rahsia!” Arya tertawa kecil.
“Bonda janganlah pergi lama-lama tau. Saya selalu rindu pada Bonda kalau Bonda tak ada di sini.”
“Jangan risau, Arya. Bonda pergi tak lama pun. Seminggu aja kali ni. Bonda ada kerja di tanah besar. Habis saja kerja Bonda terus balik. Kalau tak ada kerja Bonda lebih seronok berada dengan kamu semua,” pujuk Bonda Dewi apabila Arya membuat wajah seperti orang yang sedang merajuk.
“Okey, Bonda janji tau.”
Arya pun bangun lalu memeluk dan mencium pipi Bondanya. Sungguh senang hatinya apabila mengetahui maklumat penting dari Bondanya itu. Kemudian dia pun meminta izin untuk beredar dari situ.
Malam itu Arya terjaga dari tidurnya disebabkan oleh bunyi jam loceng yang memang telah ditetapkannya untuk berbunyi pada jam satu pagi. Perkiraannya, masa itu, Bonda Dewi pasti sudah pergi. Lalu dia bangun dan setelah bersiap, keluar dengan senyap-senyap berkaki ayam dari biliknya yang berada di hujung lorong koridor yang menjadi asrama mereka semua. Dengan menjinjing sepasang kasut, Arya berjalan perlahan-lahan. Dalam hatinya hanya ada takut kalau aktivitinya ini diketahui orang. Suhu di dalam istana itu memang selalu dingin. Bagaimanapun, Arya tidak pula terasa sejuk malah dia sudah berpeluh sedikit. Mungkin adrenalin yang mengalir deras dalam tubuhnya membuatkan dia agak gementar tetapi dia masih dapat mengawal perasaan. Rancangannya malam ini adalah sesuatu yang ternyata telah melanggar peraturan di sini. Tak sampai sepuluh minit dia sudah berada di hadapan pintu bilik Bonda Dewi yang menjadi destinasi.
Arya menyeluk poket kanan lalu mengeluarkan seberkas anak kunci dan dimasukkan sebatang ke dalam lubang kunci di hadapannya. Cahaya suram dari lampu koridor membantu dia melihat. Perlahan-lahan dia memutarkan anak kunci tu. Kedengaran bunyi selak terbuka. Seperti yang diharapkannya, ternyata anak kunci itu suai sahaja. Arya tersenyum bangga sendirian apabila teringat bagaimana dia membuat anak kunci pendua di tangannya itu dengan mengaplikasikan ilmu pertukangan yang telah dipelajarinya di dalam kelas.
Pada minggu lepas ketika dia duduk bersama Bonda Dewi di bilik guru, tiba-tiba Cikgu Tirmi datang tergesa-gesa memanggil Bonda Dewi. Bonda diminta untuk melihat keadaan beberapa orang murid yang muntah-muntah di dewan makan. Tanpa berfikir panjang, Bonda Dewi terus bangkit dari kerusinya lalu keluar mengikuti Cikgu Tirmi meninggalkan Arya sendirian yang berpura-pura sibuk membuat latihan matematik dari tabletnya.
Memang dia yang merancang kejadian muntah-muntah itu. Dia sengaja keluar awal dengan alasan untuk ke tandas sebelum waktu rehat. Tetapi langkahnya melencong ke dewan makan. Apabila didapati dewan itu kosong, Arya telah meletakkan segenggam cendawan yang dikutipnya awal-awal pagi di tepi pantai dan telah dihancurkan halus-halus ke dalam periuk bubur yang telah siap tersedia di situ. Kemudian, pada waktu rehat dia tidak ke dewan makan tetapi sebaliknya telah pergi ke pejabat Bonda Dewi konon-kononnya tidak lapar dan mahu belajar bersama ibu angkatnya itu.
Setelah pasti mereka sudah pergi, Arya mengeluarkan lima ketul tanah liat yang lembap sebesar sabun mandi dari begnya. Lantas dengan pantas dia menekap pada ketulan tanah liat itu empat batang anak kunci milik Bonda Dewi yang tertinggal di atas meja lalu disimpannya baik-baik ke dalam sebuah kotak. Selepas itu, dia mencuri-curi masa untuk masuk ke dalam bilik pertukangan yang memang tak pernah berkunci pada sebelah petang. Di situ, dia membuat anak kunci pendua dengan menuangkan besi yang dicairkan ke dalam ketulan tanah liat yang sudah kering. Segala-galanya telah dirancang semata-mata untuk memenuhi desakan yang membuak-buak di dalam hati.
Terbuka sedikit sahaja pintu bilik Bonda Dewi, Arya memanjangkan lehernya dan menjenguk dari celah pintu. Bilik itu gelap sekali. Arya menyeluk lagi sakunya dan mengeluarkan sebatang lampu picit kecil lalu disuluh ke dalam bilik. Setelah dia pasti tiada sesiapa, maka Arya pun masuk ke dalam bilik Bonda Dewi. Dia mencari suis lampu pada dinding dan setelah ditekannya lalu teranglah bilik itu dengan cahaya lampu chandelier yang tergantung di tengah-tengah siling. Arya berasa lega kerana setakat ini dia telah berjaya. Lekas-lekas dia menutup kembali suis itu setelah mengetahui destinasi yang seterusnya.
Dengan bantuan suluhan lampu picit kecilnya, Arya berjalan ke arah pintu yang pernah dilaluinya sebelum ini. Pintu itu dibukanya dengan anak kunci yang kedua. Arya sudah pun sampai ke koridor usang berdinding hitam. Dia menemui suis, menekannya dan sepantas kilat koridor itu diterangi oleh sinar kuning dari sebuah mentol bulat. Arya berjalan ke hujung koridor kerana di situlah terdapat pintu bilik berukir awan larat. Dia membuka pintu itu dengan anak kunci yang ketiga. Pada dinding bilik yang kosong itu terdapat sebatang picu lalu dia menarik picu itu kuat-kuat dan menyebabkan dinding itu terbuka. Arya melangkah masuk ke dalam bukaan itu. Sekarang dia sudah pun berada pada anak tangga bongsu yang akan membawanya naik ke destinasi terakhir. Ruang tangga batu berpilin itu diterangi oleh cahaya bulan yang dipantulkan oleh cermin dari atas. Ternyata indah sekali permainan cahaya bulan malam itu di situ sama seperti indahnya ketika Arya menuruni tangga ini buat pertama kalinya dahulu pada waktu siang.
Sampai sahaja di pelantar tangga sulung, Arya memandang ke atas. Lampu kristal berbentuk piramid bergenang indah dengan cahaya kekuningan yang kemudian terpancar menerangi pelantar itu kesan daripada permainan pantulan cahaya. Arya mendongak tak bergerak sebentar menikmati keindahan itu. Kemudian dia memanjat tangga kecil pada sisi dinding lalu sampailah dia pada pintu hac yang betul-betul berada di atas kepalanya. Setelah ditolaknya beberapa kali dengan kuat, pintu hac itu terbuka lantas dia pun keluar melaluinya. Sampailah dia ke destinasi utamanya. Arya tersenyum sendirian kegembiraan. Sungguh seronok rasa hatinya kerana inilah tempat yang diidam-idamkannya untuk berada sejak pertama kali dia sampai ke situ tiga bulan dahulu. Senyumannya bertukar kepada tawa keriangan. Dengan seronok dia berlari-lari ke menuju ke arah penghujung tebing yang menghadap laut yang terbentang luas di hadapannya. Di situ, dia menjeritkan satu laungan kejayaan sekuat-kuat hatinya.
Kemudian setelah melepaskan luahan kegembiraan, perasaannya kembali tenang. Arya duduk di atas seketul batu di tepi tebing tinggi itu memandang ke laut yang luas terbentang. Laut di hada- pannya kosong tanpa kapal hanya deruan ombak dan desiran angin yang kedengaran. Keseronokan yang hadir dalam hatinya bertambah-tambah apabila dia memandang ke langit yang lebih luas lagi. Jutaan bintang yang menghiasi langit tak berawan mengkhayalkan mindanya seketika.
“Dorado si ikan emas, Taurus si lembu jantan, sang pemburu Orion,” Arya menyebut nama-nama buruj yang dikenalinya.
Pengalaman pertamanya melihat langit pada waktu ini amat mengujakan. Sungguh nikmat memerhatikan bintang-bintang pada waktu malam. Macam-macam bentuk boleh dirujuk pada jujukan bintang dengan kreativiti khayalan akal. Belum puas menyaksikan perhiasan langit malam, Arya berbaring setelah penat dia duduk. Memorinya tercapai pada sebuah cerita yang pernah dibacanya. Menurut cerita itu, orang yang sudah mati, rohnya berada jauh di bintang-bintang. Arakian dia pun tercari-cari bintang yang mungkin menempati roh ibu dan bapanya. Tenggelam dalam pemikiran lantas pantas saja Arya terlelap di pembaringan.
Dalam tidurnya dia bermimpi sedang terbang di atas awan pada waktu malam. Arya mendongak ke langit dan ternampak olehnya hanya dua butir bintang yang sangat terang.
“Ayah! Ibu!” dari atas awan dia menjerit. Kemudian suasana menjadi senyap. “Ayah! Ibu! Ibu! Ibu!” dia memanggil lagi.
Terlihat olehnya kedua-dua butir bintang itu semakin bersinar-sinar. Dia memanggil dan memanggil lagi. Tetapi tiada suara yang membalas panggilannya. Bungkam hatinya kesedihan. Lalu dia bersila dengan kedua-dua belah tangannya menopang dagu dan matanya tertutup di atas segumpal awan. Entah berapa lama dia berteleku begitu. Tiba-tiba dia terdengar satu suara. Mula-mula suara itu begitu jauh kedengaran sampai dia tidak dapat menangkap maksud gelombang yang menggetarkan ribuan sel rerambut di dalam kokleanya. Kemudian getaran halus itu bertambah kuat sehingga otaknya sudah boleh memproses panggilan yang didengarinya dari kejauhan.
Arya membuka matanya. Dua butir bintang yang dilihatnya tadi kelihatan bergerak mendekatinya. Dek kesilauan lalu dia mengangkat sebelah tangan melindungi penglihatan. Dari celah-celah bayangan tangannya dia mendapati bintang-bintang itu berbentuk seperti dua orang perempuan dewasa. Kedua-dua orang perempuan itu sedang berjalan berpimpinan tangan menuju kepadanya.
“Anakku! Anakku! Hazman! Hazman!”
Kali ini Arya mendengar suara salah seorang perempuan itu memanggil berulang-ulang. Ketika semakin hampir kepadanya, kedua-dua orang perempuan itu melayang dengan pantas menuju kepadanya. Mereka berhenti betul-betul di hadapan Arya.
“Wahai, anak! Engkaukah anakku, Hazman?” soal perempuan itu kepadanya. Arya tak berupaya memandang dengan jelas kerana matanya masih disilaukan oleh cahaya yang benderang daripada mereka.
“Arya,” hanya sepatah nama sahaja yang mampu diucapkan olehnya. Dia ingin memberitahu perempuan-perempuan itu bahawa dia bukan Hazman.
“Tak mungkin ini. Kau ini Hazman. Aku yakin kau ini Hazman,” perempuan itu bersuara lagi.
Perempuan yang seorang lagi hanya terdiam dan memerhatikan saja Arya.
“Arya! Arya!” dia menjeritkan namanya. Dia tak mampu untuk berkata apa-apa lagi selain daripada cuba memberitahu namanya.
Tetapi perempuan yang bertanya tadi tidak mempedulikannya lalu terus berkata, “Aku tahu kau anak yang kukandung dan kulahirkan dengan bersusah-payah. Sungguh anakku, namamu Hazman.”
“Tidak! Bukan, bukan! Namaku Arya! Arya! Arya!” kali ini dia mula menjerit kemarahan. Pasti dia ini sudah tersalah orang.
Perempuan itu cuba memeluknya. Arya lalu menolaknya dengan tangan kanannya yang telah sedia teracung dari tadi.
“Tidak! Tidak!” dia menjerit lagi.
Demi tersentuh saja tangan perempuan itu, Arya terasa seperti terkena renjatan elektrostatik. Dengan sungguh-sungguh dia meronta tak mahu dipegang.
“Arya! Arya!” jeritnya lagi sambil menggeleng-geleng dan kedua-dua belah tangannya menolak dari dipegang.
Tiba-tiba dia rasa seperti gumpalan awan tempat dia duduk semakin menipis lalu dia jatuh ke bawah. Arya menjerit ketakutan dan ketika itu dia terjaga dari tidur. Peluh jantan membasahi ubun-ubunnya. Sedar-sedar saja dia sudah terduduk. Arya termangu sebentar memikirkan soal mimpinya.
“Siapa mereka itu? Adakah dia ibuku? Mengapa dia memanggilku Hazman? Adakah aku menemui roh orang yang sudah mati?” soalnya dalam hati.
Begitu lama soalan-soalan itu berlegar-legar di dalam ruang di antara hati dan mindanya. Akhirnya dia terpandang pada jam tangannya. Waktu itu sudah pun jam 4 pagi. Arya segera bangkit dan berjalan semula ke arah hac, masuk ke Istana Archaechabuana dan kembali ke dalam biliknya.
Pada masa yang sama nun jauh di seberang lautan, Busqina sedang menenangkan Rani yang menangis tersedu-sedan dalam pelukannya. Rani sangat yakin bahawa budak yang dijumpai dalam mimpi mereka tadi ialah anaknya yang sejati. Namun demikian, hatinya hancur luluh kerana budak itu tidak mahu menerimanya sebagai ibu. Busqina mempercayai daya intuisi Rani. Dia percaya pada kuasa mengenali anak sendiri yang ada pada hati seorang ibu.
Share this novel