Meskipun tampak tenang tetapi Joko tetap berja- ga-jaga mengemudi bot itu mengikut arah yang dipilih oleh Pak Budi. Destinasi seterusnya ialah Bengkulu yang terletak kira-kira enam puluh batu nautika dari timur tenggara Pulau Magi. Pak Budi merancang sebaik mungkin perjalanan ke sana supaya cepat sampai. Tetapi pada masa yang sama dia harus mengelak jalan biasa atas sebab-sebab keselamatan. Andai mereka dapat dikesan oleh para penculik Arya dan kumpulannya, sudah tentu tiada maaf untuk mereka semua.
Februari 18, 2020, itulah tarikh yang tertera pada kalendar kecil yang tergantung di dinding kabin yang terselak-selak ditiup angin. Langit terang tak berawan dengan taburan bintang daripada galaksi Bima Sakti berserakan dalam susunan tersendiri langsung tidak membosankan jika diperhati. Joko sentiasa memastikan bot itu maju mengikut arah yang telah dirancang. Daripada sorotan lampu hadapan bot itu Joko melihat laut pada malam ini begitu tenang. Kalau tiada aral gendala, mereka akan tiba tujuh jam lagi jika dia mengekalkan kelajuan tujuh knot. Tiba-tiba Joko terbatuk-batuk.
Pada saat itu, Arya terjaga. Terbuka saja mata, Arya pun teringat di mana dia berada. Cahaya yang melimpah keluar dari lampu kabin menampakkan tubuh-tubuh yang bergelimpangan tidur di atas geladak buritan bot. Pandangannya dialihkan ke atas menikmati hadiah lumayan waktu malam pada pelayar di lautan. Dua jam berlalu setelah mereka meninggalkan Pulau Magi. Jam di tangannya sudah pun lepas pukul sebelas. Dia cuba untuk tidur tapi langsung dia tidak mengantuk. Lalu dia duduk di tengah-tengah kawan-kawannya yang masih terlena. Nun jauh di atas langit, di hadapan para bintang nampaklah olehnya wajah bulan yang berbicul di sebelah kanan tanda purnama baru beberapa malam lalu. Kerdipan bintang mahupun kecerahan bulan pada wajah langit meskipun tampak mempesonakan namun tidak lagi dipedulikannya kerana ada kebimbangan yang sedang bersarang di dalam hati Arya.
Dia telah menyembunyikan satu pengetahuan yang penting daripada Pak Budi dan juga kawan-kawannya yang lain. Rahsia itu hanya diketahui sedikit sahaja oleh Rohan. Sahabat karibnya itu tidak tahu bahawa dia pernah naik ke atas bumbung istana sebanyak tiga kali. Tidak jua dia memberitahu Rohan pertemuan dengan ibunya di dalam mimpi. Dia tak mahu sahabat karibnya itu menyangka tujuan dia mengajak mereka lari adalah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.
Dia juga telah mengikat janji dengan Rohan supaya mendiamkan diri akan perihal Bonda Dewi dan pengikut-pengikutnya; makhluk jin yang hanya menyamar menyerupai manusia. Pada pendapatnya, pengetahuan sebegitu mungkin terlalu susah untuk dihadamkan oleh logik akal rakan-rakannya yang lain sehingga menyebabkan dia takut mereka tidak boleh menerima kenyataan yang begitu mustahil. Oleh itu, dia dan Rohan hanya mengambil pendekatan menyatakan mereka diculik sejak dari bayi lagi dan Bonda Dewi dan konco-konconya berniat jahat. Apatah lagi dia tidak tahu keupayaan sebenar makhluk jin ini. Sebab utama dia menghalang Rohan berkongsi pengetahuan itu dengan kawan-kawan lain kerana memang lumrah manusia sukar menyimpan rahsia. Andai terpecah pasti parah dan celaka jadinya. Kendatipun, perubahan situasi terkini memberi sedikit keyakinan pada Arya yang sedang menimbang dalam kebimbangan. Akhirnya dia membuat keputusan mungkin esok pagi hal itu akan diceritakannya pada semua. Arya hanya berharap keputusannya ini satu pilihan yang baik.
Berbekalkan selimut pemberian anak perempuan Imam Guntur, Arya mengetatkan pelukan dirinya. Tatkala hampir terlelap sekali lagi, samar-samar Arya terdengar satu bunyi berdetup dari tempat yang jauh di atas langit. Arya segera segar kembali. Bunyi itu datang dari sebelah barat. Arya duduk tegak lalu berpaling ke arah bunyi itu. Beberapa saat kemudian satu debum bunyi yang lebih dekat dan kuat didengarinya. Rakan-rakannya yang lain juga telah terjaga dalam keadaan terkejut. Pak Budi turut tergamam dari tidurnya yang lena. Semua mata memandang ke langit. Sesaat berlalu berdentum satu lagi debum.
Joko telah memperlahankan enjin bot lalu memanggil, “Pak! Bunyi apa tu?”
Pak Budi tidak menjawab. Dia memberi isyarat kepada Arya dan kawan-kawannya menyuruh mereka senyap dengan merapatkan jari ke bibir. Pelan-pelan mereka telah berganjak lalu duduk rapat antara satu sama lain. Suasana di atas bot menjadi senyap sunyi. Hanya bunyi enjin menderu dan ombak yang memukul badan bot saja yang kedengaran. Pak Budi menjeling ke atas langit malam diterangi bintang-bintang mencari arah bunyi debuman. Gagal ketemu lalu cepat-cepat dia berjalan menuju ke dalam kabin. Sebentar kemudian, dia keluar setelah menutup suis semua lampu. Di dalam kelam malam dia berjalan perlahan-lahan sambil mengepit hulu senapang dua larasnya di celah ketiak kiri. Lengan kirinya pula mengampu laras senapang. Dia menarik picu keselamatan senapangnya itu dengan tangan kanannya sambil menopang senapang itu ke bahu kirinya dalam kedudukan bersedia. Pak Budi menyeluruti wajah langit sambil memusingkan badannya sedikit demi sedikit. Apabila perhatiannya terarah ke sebelah kiri, samar-samar kelihatan satu benda hitam terbang melintas dengan pantas di hadapan wajah bulan dalam satu dentuman yang kuat nian. Mereka yang terkejut menutup telinga masing-masing kecuali Pak Budi yang masih berdiri tegak mencari benda hitam yang telah hilang kembali dari perhatiannya. Sekilas pandang, Arya dapat menangkap bentuk kepala hadapan benda hitam itu bulat dan ekornya memanjang seolah-olah seperti sebuah komet yang sedang jatuh. Dari jauh, saiz benda itu sukar untuk dipastikan. Arya terdengar bisikan-bisik cemas dari rakan-rakannya. Jantungnya berdebar kencang. Dia telah dapat mengagak siapa yang datang. Namun dia masih berharap tekaannya tersilap.
Arya memikirkan penjelasan pada bunyi dentuman itu. Segera terlintas di dalam fikirannya pelajaran fizik yang telah diterimanya tentang debuman sonik. Kelajuan suatu objek terbang menyebabkan udara di hadapan kepalanya mampat. Udara yang termampat di hadapan objek yang terbang laju itu tidak sempat terlepas ke sekitar. Akibatnya, udara termampat tersebut telah terperangkap. Apabila objek itu maju, udara termampat tadi akan berpecah dan objek itu dapat meluncur ke hadapan dengan lebih pantas. Dengan cara ini suatu objek dapat memecut di udara dan pemecahan udara termampat menghasilkan bunyi debuman sonik yang kuat nian.
Satu lagi debuman sonik berdentum. Kali ini benda itu jauhnya kira-kira setengah kilometer sahaja dan sedang memecut ke arah mereka. Pak Budi mengangkat senapangnya dan menyasarkan ke arah benda hitam tersebut. Benda itu terbang semakin dekat sehingga hampir seratus meter sahaja di atas kepala mereka sambil memperlahankan kelajuannya seolah-olah mahu memerhatikan mereka yang berada di dalam perut bot. Pak Budi pun mengambil kesempatan itu untuk menarik picu senapangnya. Tembakannya itu dihalakan ke arah benda hitam yang sudah kira-kira beberapa puluh meter sahaja terapung di atas kepalanya. Akan tetapi dengan mudah benda itu mengelak. Sejurus kemudian dalam satu dentuman, benda itu memecut pergi lalu hilang lagi. Ketenteraman malam pun kembali. Suasana di dalam bot begitu tegang, bungkam dalam kecemasan.
Tak sampai seminit, tiga debuman sonik serentak kedengaran lagi di kejauhan. Sesudah itu suasana kembali sunyi. Tiga puluh saat berlalu dalam keheningan yang sungguh mencemaskan. Tiba-tiba, beberapa puluh meter di atas kepala mereka muncul pula tiga benda bulat hitam. Pada mulanya objek-objek itu hanya terapung-apung di udara. Ketika Pak Budi melepaskan sedas lagi tembakan, objek-objek itu terus memecut beriringan mengelilingi Talisman. Kelajuan pergerakan ketiga-tiga objek itu menyebabkan udara meletup-letup di atas kepala mereka. Dentuman demi dentuman yang berturut-turut benar-benar menggegarkan gegendang telinga masing-masing. Letupan itu diikuti dengan bunyi desingan yang membingitkan. Berdesing-desing kemudian berdentum lagi hinggakan terpaksa mereka menutup telinga. Pak Budi sendiri sudah tak tertahan lalu dia terduduk dan menekap telinganya. Wajah masing-masing tergambar ketakutan. Di sini di atas bot yang terumbang-ambing di bawah langit disaksikan bintang-bintang bulan Februari, suatu kejadian aneh dan sungguh mengerikan sedang dialami oleh tiga puluh orang manusia di sini.
Dentuman itu masih belum berhenti selagi objek-objek terbang masih mengelilingi mereka. Arya dan kumpulannya menutup telinga dalam keadaan duduk rapat-rapat lutut ke dada. Mata mereka semua melintup dengan kepala tertunduk dan mengetapkan mulut. Belum sempat gema desingan di telinga hilang, mereka mendengar pula hilaian ketawa. Arya terasa peluh dingin mulai terbit dari ubun-ubunnya. Terdengar tawa itu lantas Arya membuka matanya dan memandang ke atas. Beberapa puluh meter di atas kepalanya tiga benda hitam itu tadi telah berhenti seketika tidak bergerak di udara. Terapung di udara, kelihatan benda-benda hitam itu berbentuk seperti kepul asap yang tebal.
Tanpa sebarang amaran, satu tembakan kuat berdentum dan diikuti segera dengan bunyi senapang dikeletakkan lalu diikuti dengan satu lagi tembakan. Serentak dengan itu satu suara jeritan yang nyaring kedengaran. Kepulan asap hitam itu terbang menjunam ke bawah seperti tahi bintang yang sedang jatuh. Lantas terasa oleh semua lantai dek bot terhentak. Berdebuk kuat apabila ketiga-tiga kepulan asap hitam itu mendarat serentak di atas dek. Jeritan ketakutan kedengaran.
“Joko! Pasang lampu!” Pak Budi yang jatuh terduduk segera memberi arahan dan sejurus itu lampu dek terus terpasang. Dia terus berengsot-engsot bergerak ke arah dinding kabin. Dengan cepat dia mengisi peluru senapangnya. Menjerit-jerit ketakutan remaja-remaja itu apabila melihat tiga kepul asap hitam pekat, tebal tetapi tidak likat malah lembut seperti sehelai kain sutera sedang terhampar di hadapan mereka. Asap pekat itu pada mulanya meleper sahaja di atas lantai dek. Kemudian sedikit demi sedikit asap itu naik seperti hamparan kain yang ditarik ke atas di bahagian tengahnya. Meliuk-liuk asap hitam tebal itu cuba berdiri di hadapan mereka. Dari bahagian kepala asap itu tiba-tiba berkelip sepasang mata merah yang kelihatan seperti api sedang menyala diikuti dengan dua pasang lagi mata kuning kejinggaan. Beberapa saat saja, tiga gumpal asap itu sudah terbentuk menjadi lembaga hitam. Arya yang duduk agak jauh di luan bot itu pun terasa bahang haba yang terlepas dari lembaga-lembaga hitam itu. Berasap-asap pada pijakan kaki mereka. Bau kayu hangus menusuk hidungnya. Ketiga-tiga lembaga itu sekarang berdiri belakang-membelakangi antara satu sama lain.
Kumpulan remaja itu ada yang menutup mata tak sanggup menghadap kengerian. Malah ada yang telah pengsan. Arya sendiri hanya menyaksikan kejadian itu dengan wajah yang pucat lesi. Pak Budi saja yang sanggup melawan. Dia berdiri teguh membelakangi pintu kabin seraya mengacukan senapangnya pada tiga lembaga hitam itu. Pada saat dia mengacungkan senapangnya, rupa ketiga-tiga lembaga itu telah berubah menjadi manusia. Mereka menjelma kepada rupa yang cukup dikenali oleh Arya. Pak Budi baru saja hendak menarik picu senapangnya tetapi sebelum sempat tembakan dilepaskan, tiba-tiba satu kilasan kehitaman menyambar sepantas kilat ke arahnya. Mula-mula satu bunyi melesing kedengaran dan diikuti segera bunyi sesuatu yang menyentap lalu berdebap satu benda jatuh. Arya tergamam melihat benda itu menggeletek di atas dek dengan darah bersemburan. Pak Budi menjerit kesakitan. Rupa-rupanya pergelangan tangan kanannya yang memegang senapang telah putus disambar dengan sekali libas oleh seutas cemeti. Senapangnya terjatuh nasib baik tak meletup. Begitu tepat dan cepat libasan cemeti itu. Dari belakang, Arya dapat memastikan yang memegang cemeti hitam di tangannya ialah Cikgu Sirin yang berdiri kira-kira dua meter menghadap Pak Budi. Pak Budi mengerang kesakitan lalu dia telah jatuh terduduk. Dengan segera dia menjerut tangan kanan dengan tangan kirinya. Namun darahnya masih berjurai-jurai memancut dari tangan yang putus.
Cikgu Sirin mengangkat tangan mahu menyentap cemetinya lagi. Lalu cemeti itu melesing lagi di udara. Dengan pantas Pak Budi bergolek untuk mengelak. Berdesing bunyi cemeti itu tersasar dari kepalanya, menyebat dinding kabin hingga melekuk dinding besi tersebut. Pak Budi telah tersandar pada dinding kabin. Ekspresinya penuh kesakitan. Kalau bukan kerana nalurinya bertindak pantas, pasti dia sudah menemui ajal. Namun, andai tiba satu lagi serangan, sungguh dia tak mampu mengelak.
Arya terdengar jeritan kawan-kawan. Lidahnya terkelu. Mulutnya kekeringan. Hendak menelan terasa perit sekali. Badannya berpeluh-peluh. Jantungnya berdegup semakin kencang seolah-olah mahu meletup. Dia menggigil ketakutan. Jelmaan gurunya bertiga itu mula bergerak ke arah sasaran masing-masing. Cikgu Sirin berdiri mengawal gerakan Pak Budi yang mengerang-erang menahan kesakitan. Cikgu Tirmi pula berjalan menuju ke arah pintu kabin dan Bonda Dewi dengan senyuman manisnya bergerak ke arah anak-anak angkatnya. Syaitan-syaitan ini sudah tiba.
“Marilah ikut Bonda pulang,” satu suara yang begitu mereka kenali memanggil. Sungguh lemah gemalai apabila dia bercakap. Bonda Dewi menampakkan wajah kasihnya pada mereka. Maka bertambah takutlah remaja-remaja itu. Menggigil-gigil mereka keseram-sejukan. Menjerit-jerit apabila tangan mereka dipegang dan ditarik ke atas oleh Bonda Dewi supaya mereka berdiri.
Syahadan, dengan tidak disangka-sangka satu bunyi debuman sonik kedengaran lagi di udara. Dentuman kuat itu berlaku dekat-dekat sahaja. Letupan angin termampat itu sama kuat bunyinya seperti dentuman sebelum ini. Semua yang berada di atas dek terkejut dan memandang ke langit. Namun mereka tidak nampak apa-apa selain langit, bulan dan bintang-bintang. Selang sesaat satu lagi debuman yang lebih kuat dapat didengari. Kemudian letupan udara itu tak berhenti-henti terjadi. Kumpulan manusia yang berada di atas dek itu kembali menekup telinga mereka hingga ada yang terjerit-jerit. Mereka yang pengsan jatuh terjelepuk di atas geladak.
Belum sempat mereka berbuat apa-apa, Cikgu Sirin dan Cikgu Tirmi berkumpul semula dengan Bonda Dewi. Mereka berdiri merapatkan bahu belakang-membelakangi. Mereka seolah-olah menyedari akan kehadiran ancaman. Arya hanya dapat melihat garis putih berbentuk empat segi ketika objek-objek itu terbang dengan laju di atas kepala mereka. Berbayang-bayang garis putih membentuk segi empat di udara. Dalam kelajuan pergerakan seperti itu, dia tidak dapat menjangka akan benda apa yang dilihatnya. Tetapi setiap kali objek bulat itu membuat belokan sembilan puluh darjah, satu debuman sonik kedengaran.
Tak sampai suku minit siri letupan udara itu telah berhenti. Suasana menjadi hening seketika. Bayangan petak putih itu telah hilang dari pandangan. Belum sempat Arya mengelipkan matanya entah dari mana tiba-tiba satu bola api sebesar bola tenis seperti peluru ditembak ke arah kepala Bonda Dewi. Dengan cekap dia memutarkan kepalanya. Rambutnya memanjang dengan serta-merta dan Bonda Dewi menangkap dan mencampakkan jauh-jauh bola api itu dengan sekali kilas rambutnya sahaja. Bola api itu hilang dengan satu letupan.
Jurus kedua serangan walaupun datang mendadak tapi sudah diduga oleh Bonda Dewi. Satu lagi peluru berapi ditembak dari arah yang tak dapat dipastikan. Bola itu seperti peluru yang besar tetapi lain sedikit berbanding bola pertama. Sinaran cahaya yang terpancar dari bola itu sangat terang memancar-mancar sehingga silau mata Arya. Dia mengacungkan tangannya untuk menutup sebahagian pandangan. Samar-samar dia nampak Bonda Dewi membuat satu balik kuang dan melompat di udara untuk mengelakkan serangan yang tertuju padanya. Selepas terlepas Bonda Dewi, bola api tadi terhenti di udara di depan kedua-dua pengikutnya yang terkaget sebentar. Bola itu bersinar lebih garang. Belum sempat mereka bertindak, bola itu pun mengembang lalu meletus. Cahaya yang terpancar begitu terang menyebabkan Arya dan kawan-kawannya semua menutup mata dengan lengan dan menunduk. Letusan itu tidak berbunyi namun hanya mengeluarkan cahaya yang menyilaukan mata memandang.
Apa yang sedang berlaku semasa letupan cahaya itu terjadi, berlaku dengan pantas sekali. Bonda Dewi tahu dia tidak boleh tunggu lagi. Dia harus cepat-cepat pergi. Sambil berpusing membelakangi cahaya itu, dia menghulurkan tangan untuk menarik beberapa orang remaja di depannya. Sekelip mata tangannya bertambah menjadi empat pasang. Dia memegang pergelangan tangan beberapa remaja di depannya termasuklah Arya. Mereka meronta-ronta cuba menentang daya tarikan. Beberapa remaja lain tersedar akan bahaya itu lalu memegang dengan kuat kaki kawan-kawan mereka yang kini hampir berdiri kerana paksaan Bonda Dewi. Sekonyong-konyong sebelum habis letupan cahaya itu, sebatang tongkat secara tiba-tiba muncul dan melibas tangan Bonda Dewi. Bonda Dewi tak sempat mengelak. Sungguh keras pukulan tongkat itu sehinggakan cengkamannya pada para remaja itu terlucut. Terlepas semua orang yang dipegangnya. Belum sempat dia bertindak, satu lagi pukulan menghentam dadanya. Bonda Dewi tercampak keluar dari bot. Jeritan kesakitannya adalah satu hilaian panjang yang mengerikan. Arya dan rakan-rakannya yang ditarik tadi telah jatuh terduduk. Cahaya terang itu pun hilang.
Serangkai lampu bot yang tersusun di atas pintu kabin yang terpasang tadi kini sudah tidak menyala lagi. Arya mengangkat kepalanya dan dia nampak Cikgu Sirin dan Tirmi sedang dikepung depan dan belakang oleh empat lembaga yang bersinar dengan cahaya putih. Wajah mereka tidak kelihatan. Hanya figura-figura putih berkemilauan. Arya terdengar Bonda Dewi menjerit di sebalik latar tangisan sebilangan kawan-kawannya. Dia nampak Bonda Dewi sudah berdiri di atas bumbung kabin dan sedang menyebatkan cemetinya. Sebatan itu tidak mengena sasaran tetapi sebaliknya tersangkut pada tongkat yang muncul lagi secara tiba-tiba. Cemeti itu telah terbelit pada tongkat kayu. Tongkat yang sepanjang kira-kira enam kaki dan berupa seperti akar-akar kayu yang berbelit antara satu sama lain tak kelihatan siapa pemiliknya. Bonda Dewi menarik cemetinya sekuat hati. Tetapi tarikannya dibalas oleh satu kekuatan halimunan. Dia gagal melepaskan cemetinya.
“Cis, siapa kau? Tunjukkanlah dirimu!” herdik Bonda Dewi.
Sejurus itu muncullah lembaga si pemegang tongkat. Lembaga itu tak kelihatan langsung wajahnya. Tubuhnya berbentuk seperti manusia tetapi diselubungi aura cahaya kebiru-biruan yang bersinar dengan terang dan habanya berbahang sampai kepada Arya. Empat lagi lembaga putih masih belum bertindak dan hanya mengepung Sirin dan Tirmi yang sedang bersedia untuk bertempur.
“Lari!”
Bonda Dewi pun melepaskan cemetinya dan secepat kilat bertukar semula menjadi kepulan asap hitam lalu meloncat ke udara hilang dari pandangan dalam satu dentuman.
“Bunuh!”
Lembaga empunya tongkat segera mengeluarkan arahan. Kedua-dua pengikut setia Bonda Dewi tidak sempat melarikan diri. Mereka bergerak agak lewat berbanding Bonda Dewi. Walaupun dengan segera mereka melompat, kaki mereka tetap dapat ditarik ke bawah oleh dua lembaga putih yang mengepung mereka tadi. Dua lagi lembaga putih terus memenggal kepala mereka dengan pedang yang sekonyong-konyong muncul di tangan mereka entah dari mana. Maka tamatlah nyawa Sirin dan Tirmi di situ juga. Tubuh dan kepala mereka yang terpisah telah terbakar lalu melebur di udara dengan meninggalkan debu hitam yang pantas disambar angin lalu dibawa entah ke mana. Sementara itu, Bonda Dewi telah lesap dari pandangan.
“Kejar!”
Sebaik saja lembaga beraura biru itu menyuruh, lembaga putih berempat telah bertukar menjadi asap putih lalu berlepas dalam dentuman kuat. Pastinya mereka pergi menghambat jejak Bonda Dewi.
Suasana tenang menjelma semula. Arya menoleh lalu melihat aura lembaga yang berdiri membelakanginya itu perlahan-lahan meresap ke dalam tubuhnya dan bertukar menjadi sehelai jubah kelabu kebiruan. Lembaga itu memusingkan badannya dan menghadap mereka. Kini lembaga putih itu telah menjelma menjadi seorang tua. Wajah orang tua itu amat lembut dipandang. Dahinya luas, hidungnya mancung dan alis mata, janggut serta rambutnya sudah putih tetapi sangat tebal dan panjang menghiasi wajah yang cerah bersinar seperti bulan purnama itu. Di sebalik jambangnya dia tersenyum pada mereka.
“Jangan takut, kalian sudah selamat. Aku ini datang sebagai sahabat,” ujarnya dengan suara yang kuat lagi jelas.
Dengan wajah basah berpeluh, Pak Budi yang masih bersandar pada dinding bot memberanikan diri bertanya, “Kamu ini siapa?”
“Kau ini pasti Pak Budi, aku ini sahabat Imam Guntur,” orang tua itu menjawab. Dia bercakap dengan suara yang beralun-alun, berselang-seli antara nada tinggi dan rendah. Apabila bercakap mereka tidak dapat melihat bibirnya bergerak. Tetapi mereka masih dapat menangkap percakapan orang tua itu.
“Namaku Silguglis putera kepada Raja Haz Lur, raja jin Maarid Laut yang berkerajaan di daerah sini. Kerajaan kami berada di tengah lautan dekat dengan Pulau Magi. Tadinya kami sedang mencari kalian. Apabila terdengar saja bunyi dentuman dan das tembakan, kami segera datang ke sini. Syukur sekali kami sempat tiba sebelum terjadi kehilangan jiwa,” sambungnya lagi.
Kemudian dia berjalan mendekati Pak Budi. Sambil berjalan dia menarik pergelangan tangan Pak Budi yang terputus tadi secara telekinesis. Apabila dia berjalan, Arya tidak mendengar pun bunyi tapak kakinya. Dia sangat kagum apabila melihat Silguglis berjalan tanpa bunyi dan mengambil tangan putus itu dengan kuasa magis. Silguglis hanya perlu menghulurkan tangannya dan pergelangan tangan Pak Budi yang terputus terbang dengan sendiri ke dalam genggamannya. Darah yang tertumpah juga terapung lalu tersedut kembali masuk ke dalam pergelangan tangan itu.
“Biar kurawat lukamu,” ujar Silguglis pada Pak Budi.
Darah menitik-nitik dari luka Pak Budi walaupun nampak dia telah menggenggam dengan kuat hujung tangan kanannya yang telah kudung. Silguglis menghampiri Pak Budi lalu berlutut di hadapannya. Pak Budi menghulurkan tangannya. Para remaja yang masih sedar termasuklah Arya mulai berani berdiri dan mereka mengelilingi Silguglis yang sedang membuat rawatan pada Pak Budi. Silguglis menyambungkan tangan Pak Budi sambil dia membaca sesuatu. Satu sinaran cahaya putih kebiru-biruan terpancar dari tempat luka Pak Budi. Dari raut wajahnya yang tenang, Pak Budi langsung tidak berasa sakit. Apabila pudar dan hilang cahaya itu, tangan Pak Budi telah bersambung seperti sediakala. Dia menggenggam-genggam buku limanya. Arya dan kawan-kawannya yang nampak kejadian itu memuji dalam ketakjuban.
Pada saat itu Joko membuka pintu kabin lalu keluar. Dia terkejut melihat Silguglis tetapi tidak berkata apa-apa. Pak Budi mengucapkan terima kasih lalu berkata, “Imam Guntur tak pernah pun beritahu aku tentang dirimu. Tak pernah kusangka dia bersahabat dengan jin.”
“Memang hubungan kami mesti dirahsiakan. Telah lama aku berkawan dengan Imam Guntur. Perairan di Pulau Magi merupakan sempadan negeri kami dengan kerajaan syaitan di Lautan Hindi ini. Oleh itu, tidak dapat dielakkan melainkan kami mesti bekerjasama menghalang tentera syaitan menyeberang ke pulau besar. Tadi dia telah menyeruku. Dari apa yang disampaikannya aku sudah boleh menjangka satu kejadian yang tidak baik akan berlaku pada kalian. Sebab itu aku datang,” ceritanya sambil yang lain mendengar dengan tekun.
“Bawakan tiga orang itu,” Silguglis berkata pada kumpulan remaja itu.
Nada percakapan beralun tinggi-rendahnya begitu merdu hingga benar-benar mendatangkan kesenangan dalam hati semua orang yang berada di situ. Kehadirannya begitu menenangkan sehingga kumpulan remaja itu langsung tidak gentar padanya. Namun, aura kekuasaannya menyebabkan mereka menurut saja permintaan jin tua yang hebat ini. Ketiga-tiga orang tukang masak yang masih duduk dengan wajah tak berperasaan di hujung dek segera dibawa ke hadapan Silguglis. Dia memeriksa biji mata mereka.
“Aku telah perasan keadaan mereka yang langsung tidak bereaksi atas apa yang berlaku di sekeliling mereka. Seolah-olah mereka hidup dalam dunia sendiri. Nampaknya mereka ini telah dipukau dengan jampi yang hebat. Kalau tak diubati lama-lama mereka pasti dungu seumur hidup. Langkah pertama untuk mengubati mereka adalah dengan kematian si pemukau.”
Belum sempat dia menerangkan lagi, mereka terdengar bunyi desiran angin yang kuat. Sekonyong-konyong di atas dek itu kelihatan empat pusaran asap putih. Sebentar saja pusaran asap dalam angin itu hilang dari pandangan lalu muncul empat lembaga putih yang mengejar Bonda Dewi. Sesudah itu perlahan-lahan mereka telah menjelma kepada rupa empat orang manusia. Silguglis bangun dan berjalan kepada mereka.
“Apa yang telah berlaku?” Silguglis bertanya kepada mereka.
Salah satu jin itu berkata, “Syaitan itu sudah terlepas, wahai ayahanda. Kami tidak dapat mengesannya. Begitu cepat dia menghilangkan diri.”
“Tidak mengapa kalau begitu. Kalian pulanglah dan aturkan urusan. Aku akan menemani mereka. Pergilah dan laksanakan perintahku,” Silguglis pun mengarahkan pengikut-pengikut berempatnya itu pergi. Mereka pun tunduk dan pergi dengan bertukar kepada asap putih yang berpusar lalu hilang bersama memecutnya pusaran asap itu ke langit.
Share this novel