Bab 8: Bayangan Naga

Fantasy Series 4911

Asal membuat pertimbangan perlu pandai melihat dari sudut yang sukar-sukar. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Orang yang mempunyai kecekapan sedemikian boleh menjadi seorang pengurus yang handal.

Seorang pengurus berkhidmat kepada sesebuah organisasi dengan memproses banyak maklumat dan menjanakan tindak balas terhadap input yang telah diproses. Berpandukan input yang diterima, pengurus perlu membuat keputusan yang adakalanya perlu cepat dilakukan. Tak kira apapun cabaran yang mendatang, seorang pengurus itu perlu bertenang dalam menimbangkan input-input organisasi dengan cekap tanpa melakukan kesilapan. Seorang pengurus yang pandai menelungkup-menelentangkan informasi yang datang bertambun dengan pantas serta sempat memperhalusi akan makna ada yang tiada semasa menerima atau tidak menerima suatu laporan daripada subordinat mahu pun persekitaran adalah seperti sebutir manikam di atas hamparan pasir. Bersinar gemilang manikam itu menyerlahkan keindahannya di celah-celah silika pasir.

Puan Dewi sudah pun pulang ke Asramanita ketika matahari baru tergelincir dari sudut tegak. Laporan daripada jururawat yang membawa Rani belum diterimanya lagi. Suatu anomali yang berlaku dalam pengurusannya memang tidak akan diabaikan begitu sahaja. Apabila satu maklumat tidak sampai kepadanya dalam jeda masa sepatutnya, maka Puan Dewi pun membuat penilaian semula. Dia memang tahu bukan sikap jururawat itu untuk lari dari tugasnya kerana dia ialah jin Sulā. Jin Sulā tidak pernah mengambil ringan atau terlupa akan tugas yang harus dilakukannya. Kelalaian bukanlah sifat bangsa jin ini. Oleh itu, sebagai pengurus yang bijak, Puan Dewi mengambil inisiatif untuk menyiasat ketiadaan laporan daripada jururawat itu.

Maka Puan Dewi pun naik ke bilik Rani. Dia mencapai sehelai baju Rani yang telah dipakai dari sebuah bakul basuhan lalu dia duduk di atas katil. Puan Dewi pun memanggil beberapa nama berulang-ulang. Dia menunggu seketika. Tiba-tiba lima ekor gagak terbang masuk ke dalam bilik itu. Kesemua gagak itu beratur di atas lantai di hadapannya dalam satu barisan.

“Tunjukkan dirimu yang sebenar!” dengan suara yang keras Puan Dewi menyuruh.

Gagak-gagak itu hilang dalam gumpalan asap hitam. Apabila asap pekat itu mulai surut, lalu menjelma di hadapannya lima jin berbadan kurus merehek, berkulit hitam legam dan berbulu penuh di seluruh badan. Mereka bertanduk seperti kambing dan berkaki telapuk seperti keldai. Wajah mereka amat buruk sekali. Bertelinga tirus dan panjang seperti kambing tetapi hitam dan melayut ke bawah. Bermata besar, lonjong ke bawah dan berwarna kuning keperangan dengan biji mata kemerah-merahan. Kulit muka mereka menggeleber dan berlipat-lipat seperti gelambir. Bulu-bulu kasar tumbuh jarang-jarang memenuhi wajah yang hodoh ini. Mereka bersujud kepada Puan Dewi.

“Berikan daku segenggam bulu kalian,” Puan Dewi meminta kepada mereka dengan tegas sekali.

Lantas jin-jin di bawahnya itu mencabut bulu-bulu di dada mereka dan dipersembahkan di hadapan Puan Dewi.

“Kau semua pergi cari empunya baju ini. Mulakan pencarianmu dari Hutan Simpan Gunung Jerai kerana di sanalah dia dibawa pergi malam tadi,” Puan Dewi menyuruh lagi sambil melemparkan baju Rani kepada mereka.

Jin-jin di hadapannya mengambil baju itu lalu dihidu sedalam-dalamnya sampai bergegar kepala mereka dengan bau kimia peluh Rani. Setiap orang mempunyai bau badan yang unik kerana komposisi bahan kimia dalam badan mereka tidak akan sama. Bau badan Rani telah dikenali oleh jin-jin ini.

“Pergi sekarang. Kau semua boleh menjamu dia tetapi pastikan tidak ada sisa yang ditinggalkan. Aku mahu dia dihapuskan tanpa kesan.” Arahan daripada Puan Dewi itu segera diikuti. Jin-jin itu melompat ke arah tingkap dan terus menjelma semula menjadi gagak lalu terbang ke arah hutan yang diberitahu oleh ketua mereka itu.

Selain daripada mengepalai tentera berstatus tinggi, Krr-Rachnadewi juga memiliki laskar berpangkat rendah dari bangsa jin Ghul. Ghul ialah bangsa jin yang suka tinggal di tanah-tanah perkuburan dan rumah atau bangunan yang telah lama ditinggalkan orang. Bangsa jin ini sangat ganas dan kejam. Bagaimanapun, tidak menjadi masalah untuk Krr-Rachnadewi mengawal laskar syaitan ini di bawah perintahnya kerana dia sering memberikan mereka makanan yang amat mereka gemari lalu membuatkan mereka berikrar taat setia kepadanya. Makanan kegemaran syaitan Ghul ialah daging manusia. Lebih busuk daging itu, lebih disukai mereka.

Peristiwa tragis yang berlaku pada mayat Gusman tidak lain tidak bukan adalah perlakuan dua syaitan Ghul yang diupah mayatnya oleh Krr-Rachnadewi untuk menghantar Rani kepadanya dengan senyap dan selamat. Hari ini Krr-Rachnadewi menggunakan khidmat lima syaitan Ghul untuk mencari dan menghapuskan Rani.

Bukan semua jin boleh mengubah dirinya untuk menjadi serupa manusia. Syaitan Ghul yang datang kepada Puan Dewi tadi hanya mampu berubah diri kepada haiwan seperti gagak sahaja. Seandainya ada jin yang mahu menjadi satu entiti di alam hakiki, pertamanya dia mesti mempelajari bagaimana untuk menembusi sempadan antara dua alam ini. Bagaimanapun ilmu itu adalah ilmu yang biasa sahaja dan boleh didapati dengan mudah. Seterusnya mereka mesti mengetahui ilmu ubahan diri. Tetapi untuk belajar ilmu yang hebat-hebat di alam makhfi bukanlah seperti manusia yang boleh pergi ke universiti. Di sana, di alam makhfi, ilmu itu adalah satu komoditi yang harus dibayar dengan harga yang amat tinggi. Bagi makhluk jin, harta benda bukanlah suatu tarikan dalam hidup mereka. Malah wang pun mereka tiada. Ini kerana mereka tidak berkehendak untuk membeli apa-apa melainkan memiliki ilmu yang tinggi-tinggi belaka. Oleh itu, jin-jin yang tidak tahu ilmu ubahan ini mestilah memperhambakan diri dan berikrar taat setia kepada jin yang lebih tua dan lebih hebat ilmunya. Maka jin yang paling hebat adalah yang paling ramai pengikutnya.

Mana-mana jin yang telah mempelajari kedua-dua ilmu ini boleh masuk ke alam hakiki dan mengubah sifat mereka sehingga serupa dengan satu entiti yang terdapat di bumi ini. Untuk berubah menjadi haiwan, mereka mesti mencari atau mencipta satu persa- maan dalam diri mereka sendiri yang boleh disatukan dengan apa saja hidupan di atas bumi. Contohnya jin boleh berubah menjadi ular kerana antara ular dan jin ada persamaan dari sifat bengis lagi menakutkan. Jin juga boleh bertukar menjadi anjing kerana anjing sangat setia kepada tuannya, sama juga seperti makhluk tersembunyi ini yang setia kepada ketuanya. Namun demikian, untuk bertukar menjadi manusia memerlukan ilmu ubahan tahap tertinggi. Jin Sulā merupakan bangsa jin yang hebat dalam ilmu ubahan diri. Mereka bukan sahaja boleh bertukar menjadi manusia, bahkan mereka mampu mengawal emosi dan pemikiran seperti manusia yang normal. Bahkan, mereka juga mampu meresapi objek-objek ringkas tak bernyawa seperti seketul batu atau sebuah anak patung. Krr-Rachnadewi pula mengetahui segala-galanya tentang ilmu ubahan diri ini hasil daripada pertapaan beratus-ratus tahun lamanya dengan guru-guru syaitan yang paling bijaksana.

Kini dia duduk di dalam biliknya sambil membaca jampi mantera sakti. Bulu-bulu syaitan Ghul yang dikutipnya tadi langsung dicampakkan ke atas seketul kemenyan yang telah sedia berbara di atas semangkuk perdupaan. Asap kemenyan semakin tebal naik ke atas setelah menerima bahan bakar sebegitu. Dia menyedut asap daripada kemenyan itu dalam-dalam. Sebaik sahaja selesai menyedut asap kemenyan, dia sudah dapat melihat, mendengar dan merasai sama seperti kelima-lima ekor gagak yang sedang terbang menuju ke hutan yang dikatakannya tadi.

Adapun dari angin timur yang disedut oleh salah seekor gagak mengandungi bau Rani. Gagak itupun terbang ke arah itu untuk mengesan tempat keberadaan mangsanya sekarang sambil menggauk-gauk memanggil rakan-rakannya yang lain. Di sebelah timur hutan itulah di mana peristiwa semalam berlaku. Gagak itu mengikut jejak bau dan sampailah jejak itu kepada kereta yang terperosok pada sebatang pokok di tepi jalan di dalam hutan itu. Di situlah paling banyak terdapat molekul bau peluh Rani. Seekor gagak itu hinggap di atas kereta sementara yang lain berlegar-legar di situ. Melihat pada keadaan perlanggaran dan kesan hitam berbentuk tubuh manusia di atas bonet depan, Krr-Rachnadewi sudah pasti Rani telah terlepas dan syaitan Sulā yang membawanya telah mati. Gagak-gagak itu terus terbang lagi dengan menyelusuri bau itu di sepanjang jalan tanah merah hingga keluar dari hutan dan sampai ke jalan besar. Tetapi bau itu hilang begitu saja apabila satu bau lain yang sangat tengik telah menenggelamkan bau peluh Rani. Bau itu bukan sembarangan sehingga hilang tumpuan Krr-Rachnadewi dan terputus terus hubungannya dengan pancaindera gagak-gagak tadi. Kini tumpuan fikirannya telah kembali ke dalam biliknya di Asramanita. Setelah itu dia langsung berdiri, berjalan, membuka pintu dan terus berkata dengan nada yang tinggi kepada Tirmi dan Sirin, kedua-dua pembantu setianya yang tercegat berdiri mengawal pintu dari luar.

“Pergi cari Rani dan hapuskan dia!” “Bagaimana?” soal Tirmi pembantu pertama.
“Bawa kereta. Aku akan sampaikan jalannya nanti padamu.
Sirin, kau ikut dia sekali!”

Krr-Rachnadewi harus bertindak pantas sebelum Rani dapat membongkar rahsia rumah ini. Arahan itu disambut oleh Sirin dengan anggukan sahaja. Lalu lelaki yang bertubuh sasa itu berpusing untuk menjalankan arahan yang baru diterima. Dia juga adalah jin Sulā yang merupakan kekasih kepada Tirmi. Di rumah ini Sirin berfungsi sebagai mata-mata kepada aktiviti semua orang di sini. Menjelma menjadi manusia lalu menyamar menjadi pekerja am di rumah itu, Sirin memang jarang dipedulikan orang walaupun badannya besar.

Sementara itu sebuah lori kecil yang sarat dengan muatan getah sekerap baru saja sampai di sebuah balai polis. Bergoyang-goyang badan lori itu apabila pemandunya menekan brek. Setelah berhenti, keluarlah pemandunya yang berusia separuh abad bersama dengan seorang perempuan yang kelihatan selekeh berpakaian pesakit hospital. Beruntung Rani kerana bau getah yang kuat menusuk hidung itu berjaya mengganggu daya hidu konco-konco Krr-Rachnadewi. Tanpa membuang masa mereka menuju ke kaunter polis untuk membuat laporan. Pak Gani banyak mendiamkan diri semasa Rani bercerita kepada polis yang bertugas. Dia bercerita dengan lebih jelas kali ini setelah mendapat galakan dan tunjuk ajar oleh Pak Gani di sepanjang perjalanan mereka tadi. Dengan lancar Rani memberitahu setakat mana yang dia tahu tentang Asramanita dan klinik Doktor Daffa. Kemudian dia menceritakan bahawa dia telah berjaya melepaskan diri dengan menjerut leher jururawat yang memandunya ke dalam sebuah hutan. Rani memberitahu dengan jelas kejadian semalam dan bagaimana mayat jururawat itu telah hilang dan akhirnya dia berjalan keluar sebelum bertemu dengan Pak Gani yang membawanya ke balai polis ini.

Lans Koperal yang menulis laporan Rani berasa sungguh simpati. Dengan pantas dia sendiri menghantar cetakan laporan itu kepada ketua balai polis itu yang bernama Kapten Azmuri. Pada mulanya berkeriut juga dahi Kapten Azmuri itu apabila membaca laporan yang baru diterimanya. Bagaimanapun tak ada cara lain untuk mengesahkan kebenaran cerita Rani ini melainkan dengan melancarkan siasatan. Dia menghantar dua buah kereta polis keluar. Satu pergi mencari kereta yang ditinggalkan di dalam hutan dan satu lagi ke klinik Doktor Daffa. Kemudian dia mengarahkan keterangan Pak Gani diambil sementara Rani dibawa ke hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan.

Pasukan polis yang pertama menemui kereta yang dinaiki Rani terdampar kira-kira tiga batu jauhnya ke dalam hutan. Dua orang terus mara mencari destinasi sebenar kereta itu dan dua orang lagi tinggal di kawasan kejadian untuk menunggu pasukan forensik tiba. Pasukan polis yang kedua pula telah menemui Doktor Daffa. Dia bagaimanapun tak ingat langsung apa yang dilakukannya semalam. Puas dia berfikir tentang apa yang telah dilakukannya semalam tetapi sedikit pun dia tak dapat ingat. Ternyata ingatan jangka pendeknya telah dipadam hinggakan dia juga lupa siapa tetamu yang datang menemuinya pagi tadi. Akan tetapi dia telah menunjukkan buku lognya kepada polis. Di dalam buku itu terdapat laporan rawatan semalam yang memang ditulis oleh Doktor Daffa lalu membuktikan kebenaran kata-kata Rani. Apabila dicari di dalam pangkalan data klinik itu, malang sekali segala maklumat mengenai semua ibu dari Asramanita yang pernah melahirkan di situ didapati telah tiada. Doktor Daffa sendiri telah dibawa ke balai polis untuk mendapatkan keterangannya. Sementara itu, pihak polis tempatan melancarkan misi mencari lokasi sebenar Asramanita.

Mereka bermula dengan menemuramah orang ramai di sekitar kawasan klinik namun tiada siapa yang pernah dengar tentang rumah itu. Sepuluh orang anggota tidak cukup lalu ditambah sepuluh lagi dan sepuluh lagi datang dari balai-balai polis berhampiran. Siasatan yang dilancarkan itu akhirnya berjaya mendapat maklumat tentang lokasi Asramanita. Seorang pembaca meter elektrik yang ditemui di sebuah taman perumahan beberapa kilometer dari klinik itu memberitahu polis yang menemuinya bahawa dia memang tahu rumah itu. Pembaca meter elektrik itu membawa mereka ke Asramanita. Ketika senja baru menjelang, sepasukan polis telah sedia mengepung rumah agam itu. Rani juga sedang diperjalankan dari hospital untuk turut berada di situ. Kapten Azmuri sendiri yang telah berjanji dengan Rani supaya dia dihantar Asramanita dengan segera jika rumah itu ditemui. Meskipun tubuhnya lemah dan sengal-sengal namun semangatnya untuk mendapatkan Hazman tetap takkan luntur selagi nyawa dikandung badan. Sebaik saja dia sampai, seorang polis baru selesai memberi amaran dengan sebuah pelaung suara kepada para penghuni rumah bahawa mereka telah sedia menggempur rumah itu. Lima minit mereka menunggu dengan sabar kalau-kalau ada jawapan dari dalam rumah itu. Rani pun turut menunggu di dalam kereta polis yang diletakkan kira-kira lima belas meter dari pintu pagar depan rumah itu.

Seluruh kawasan di sekeliling tembok luar rumah itu diawasi oleh kira-kira lima puluh orang polis. Awal-awal lagi bekalan elektrik ke Asramanita itu telah diputuskan. Pintu pagar hadapan telah pun dikopak kuncinya. Beberapa buah kereta polis diletakkan tak jauh dari pintu utama rumah dalam formasi menyendeng agar anggota-anggota polis mendapat perlindungan daripadanya. Setelah lima minit yang begitu lama dirasakan oleh mereka yang berada di situ berlalu, barulah serbuan dilakukan. Sekumpulan polis menyerbu masuk melalui tingkap yang dipecahkan. Semua penyerbu bertopeng, memakai helmet keselamatan yang berlampu di atasnya dan turut dipersenjatakan dengan raifal jarak dekat serta pistol.

Masuk saja ke dalam ruang tamu Asramanita, mereka tidak nampak sesiapapun tetapi terbau tengik seperti kemenyan dibakar. Mereka menjadi tenang dan tiba-tiba terlupa apa yang hendak dicari di dalam rumah itu. Sepuluh orang masuk dari tingkap, sepuluh orang keluar dari pintu hadapan tersengih-sengih seolah-olah kerja sudah selesai. Sebaik sahaja mereka ditanya akan apa yang berlaku, kesemua mereka tiba-tiba terkejut lalu jatuh pengsan.

Perasaan panik menyerang setiap orang yang berada di situ. Tika kekecohan itu berlaku, tanpa disedari sesiapa, Rani keluar dari kereta lalu menjejakkan kakinya sehingga ke tepi pagar di luar Asramanita. Rani bebas memerhatikan kejadian dari jarak yang agak selamat. Dia dapat melihat petugas-petugas kecemasan yang bersiap sedia menunggu di tepi lima buah ambulans masing-masing tidak jauh dari situ. Kesemua penggempur yang pengsan tadi sedang dibawa ke ambulans tersebut oleh anggota polis yang lain.

Dari tepi pagar, Rani dapat melihat Kapten Azmuri sedang mengumpulkan enam orang penggempur baru. Kesemua mereka memakai ves kalis peluru serta lengkap dengan senjata berpeluru. Tegang muka Kapten Azmuri memberi arahan ringkas pada mereka. Sekarang mereka sudah sedia masuk ke dalam Asramanita melalui pintu.

Apabila berada di dalam ruang tamu, pandangan kumpulan penggempur baru ini terus diselaputi kegelapan. Walaupun di bahu mereka tersandang lampu suluh, namun cahaya dari lampu itu tiba-tiba menjadi malap, berkelip-kelip lantas terus terpadam. Kemudian mereka terdengar suara jeritan yang kuat lalu diikuti dengan sinaran yang amat terang sehingga menyilaukan mata. Penggempur-penggempur itu mengangkat tangan menutup mata masing-masing. Jeritan nyaring segera bertukar menjadi ketawa mengilai-ngilai. Mengerikan sungguh hilaian itu hingga menggentarkan jiwa. Kemudian ruang tamu itu berkelip-kelip di antara gelap dan terang. Dalam kerlipan itu mereka melihat bayang-bayang hitam seperti naga terbang mengelilingi mereka. Lalu tanpa berfikir panjang dan bersuara, kesemua mereka pun bertempiaran lari keluar.

Krr-Rachnadewi berdiri sendiri sambil tersenyum simpul di tengah ruang tamu. Geram sungguh hatinya kerana kerjanya sedang diganggu. Namun begitu, dia berasa seronok dapat mempermain-mainkan manusia-manusia di situ. Jelmaan naga yang diciptanya benar-benar berlaku. Hendak saja dibunuhnya mereka semua tapi mengotorkan tangannya dia tidak mahu. Namun begitu, dia sedar terpaksa jua dia pergi secepat lalu. Bagaimanapun sebelum itu, semua bukti harus terhapus.

Pasukan polis merancang semula dengan cepat. Kali yang ketiga ini, Kapten Azmuri pula yang mengetuai pasukan penggempur. Cuma kali ini hanya tiga orang sahaja yang masuk sementara yang lain sedia berlindung di belakang kereta-kereta dengan senjata siap teracu. Mereka menyuluh dengan lampu picit sambil mengacukan pistol masing-masing. Sebaik sahaja menjejakkan kaki dua langkah melampaui pintu, mereka terhidu bau gas yang kuat. Pada masa itu juga tiba-tiba satu kepala naga berwarna hitam yang sangat besar menerkam ke arah mereka bertiga. Secara refleks mereka tunduk sambil melepaskan tembakan ke atas. Akan tetapi naga itu melintas dengan pantas lalu keluar terbang entah ke mana diikuti dengan jeritan mengilai nan langsing sekali bunyinya. Dengan segera Kapten Azmuri berpusing ke belakang lalu menarik tangan kedua-dua pengikutnya yang sedang terpegun. Sedang saja dia mahu melompat, tiba-tiba satu kobaran api kelihatan dan sedetik kemudian satu dentuman kuat kedengaran. Dentuman itu menggegarkan seluruh kawasan berdekatan dan mencampakkan ketiga-tiga anggota polis itu sampai ke laman. Api berkobar-kobar keluar dari tingkap tingkat bawah yang telah pecah. Hawa panas mula meresap ke setiap jasad manusia di situ. Asap hitam berkepul-kepul naik meninggalkan kobaran api yang semakin marak.

Rani yang berada di luar pintu pagar dapat melihat seluruh kejadian itu. Dia terkejut tetapi segera duduk mengerekot pada jeriji pagar. Bahang letupan yang menyinari pagar besi itu memindahkan haba ke tangan Rani meskipun jaraknya kira-kira tiga puluh meter jauhnya dari pintu pagar. Rani dengan segera menarik tangannya daripada menyentuh pagar besi. Telinganya bingit sekali. Dalam kebingitan yang berdesing-desing itu Rani mendengar tangisan dan jeritan perempuan.

Baru saja dia mahu bangun, dua letupan susulan berturut-turut berdentum. Letupan susulan ini tidaklah sekuat yang pertama tadi, tapi cukup untuk membuat orang-orang yang menyaksikan kejadian ini berasa kecut perut buat kali kedua. Mereka dapat merasakan bumi di bawah kaki mereka bergegar-gegar semasa tiga letupan itu terjadi. Kapten Azmuri dan dua orang penggempurnya bernasib baik tidak mati meskipun api menyambar tubuh mereka. Apabila tercampak keluar, mereka lalu menggunakan momentum gerakan untuk menggulingkan badan di atas rumput berpasir sampai terlanggar pasu bunga. Sejurus tamat letupan ketiga, petugas-petugas perubatan dengan cepat mendapatkan ketiga-tiga mereka yang terbaring menangkup kepala sedangkan tubuh mereka berasap-asap. Lengan mereka terbakar. Baju dan seluar mereka terbakar sedikit dan muka mereka hitam dipenuhi jelaga.

Ahli bomba ialah aturan terakhir dalam formasi penyerbuan rumah ini. Begitu beruntung kerana mereka sudah berada di sini. Mereka datang bukan sebab ada panggilan kebakaran tetapi sebagai langkah berhati-hati. Memang mereka sentiasa bersedia termasuklah pada hari ini. Dua buah kereta bomba yang menunggu di luar dengan pantas masuk ke laman Asramanita yang luas dan memang sengaja telah dikosongkan dari awal-awal lagi. Salah sebuah kereta bomba itu merapati rumah yang sedang terbakar itu seraya menaikkan secara automatik sejenjang tangga besi. Tangga itu bergerak menuju ke sebuah tingkap berjeriji. Sebaik sahaja tangga itu sampai ke jeriji tingkap, lantas dengan pantas tiga orang ahli bomba memanjat tangga besi. Jeriji digergaji dengan pantas sekali. Cukup-cukup saja dilubangi supaya boleh dimasuki. Di bawah, ramai lagi anggota bomba yang bertungkus lumus melakukan tugas lain dengan cekap sekali.

Besarnya kebakaran di Asramanita ini sehinggakan api kelihatan seolah-olah mahu menelan seluruh rumah tersebut. Ketika itu api semakin marak di tingkat bawah. Lidah api menyambar keluar dari tingkap-tingkap yang terlopong dan membakar rumah itu dari luar. Di dalam rumah tiada perabot yang tidak pecah dan tidak dijamah api. Begitulah sifatnya api, gelojoh sekali merobekkan makanannya sehingga yang bersisa hanyalah abu. Kedengaran bunyi gemeretak seperti ranting yang patah apabila dipijak semakin rancak. Pada suhu yang sangat tinggi sebegini, besi di dalam lapisan dinding dan lantai tingkat atas akan melebur, konkrit pula akan mengembang, meretak lalu terbelah. Namun oleh kerana konkrit bukan makanan api, maka yang tak dapat ditelan dimuntahkan. Apa saja yang dimuntahkan api ini menjadi panas dan berbahang. Ketamakan api hanya boleh diredakan dengan air. Sedaya upaya para anggota bomba itu cuba memadamkan kebakaran.

Ruang atas Asramanita walaupun belum dijilat api sepenuhnya tetapi kepanasan hawa dan asap dari kebakaran juga suatu ancaman besar pada tiga orang ahli bomba yang telah masuk ke tingkat atas. Oleh yang demikian, beberapa orang anggota bomba menyasarkan pancutan air pada dinding dan tingkap tingkat atas untuk mengurangkan kepanasan di dalam. Di dalam bilik yang mereka masuk sudah ada seorang perempuan yang duduk meringkuk di satu sudut bilik meraung-raung ketakutan. Dia dipimpin keluar melalui tingkap untuk menuruni tangga. Sebelah tangannya memegang bahu ahli bomba lalu dia terkial-kial menjulurkan kaki untuk memijak mata tangga. Walaupun agak sukar kerana perutnya besar tetapi berjaya juga dia keluar. Ternyata bahawa dia sedang sarat kehamilan.

Dua orang lagi ahli bomba membuka pintu bilik dengan cara berselindung pada dinding di tepi pintu. Api menyambar-nyambar masuk ke dalam bilik apabila pintu itu dibuka. Jaket kalis haba yang dipakai oleh kedua-dua ahli bomba itu dapat mengurangkan dengan banyak hawa panas. Keluar saja ke koridor, mereka nampak sebuah lubang yang besar di hujungnya. Dari situ api menjalar naik mahu menelan siling rumah. Lidah api menyala-nyala dari tingkat bawah. Dua buah pintu bilik berada di kiri dan kanan lubang itu. Tanpa membuang masa mereka membuka pintu bilik yang paling dekat dengan mereka.

Tangga sudah dialihkan awal-awal lagi. Seorang demi seorang mereka menemui mangsa dan mencampakkan mereka keluar dari tingkap yang telah dipecahkan jerijinya tadi. Kejatuhan mangsa-mangsa itu disambut oleh lima orang ahli bomba yang telah pun bersedia sejak dari tadi dengan jaring keselamatan yang telah sedia diregangkan. Faktor masa dan haba yang terlalu panas di koridor menyebabkan kerja-kerja penyelamatan mesti dilakukan dengan pantas. Cara yang paling cepat dan kurang risiko kematian adalah dengan mencampakkan mangsa terus keluar tingkap supaya dapat disambut oleh anggota bomba di bawah. Meskipun kesemua mereka hamil, namun hanya itu saja cara yang terbaik ketika itu. Sedang misi menyelamat dengan cergas dilakukan, berdentum-dentum bunyi kepingan lantai konkrit jatuh lalu berlubang-lubang lantai tingkat atas. Bila-bila masa saja lantai konkrit tingkat atas boleh runtuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, sungguh cekap ahli-ahli bomba ini. Tak sampai setengah jam mereka sudah menyelamatkan tiga belas orang mangsa. Setiap bilik di tingkat atas telah diperiksa. Di dua bilik yang terakhir mereka tidak menemui sesiapa. Ahli-ahli bomba bertiga sempat meloncat turun beberapa saat lebih cepat sebelum lantai tingkat atas itu runtuh terus dalam satu dentuman kuat bergempita. Rumah itu terus terbakar tidak dapat diselamatkan lagi walaupun dua jam lamanya ahli bomba bekerja. Api itu hanya surut apabila tiada lagi bahan bakar untuk menjamu selera.

Dalam kekecohan itu Rani hanya teringat akan Hazman. Dia menangis seorang diri di tepi pagar. Dalam hatinya dia berdoa agar bayinya itu selamat. Sedang dia asyik menangis, kekecohan masih belum berakhir. Ahli-ahli bomba masih menyemburkan air kepada api yang hampir padam. Mangsa-mangsa kebakaran telah siap dirawat. Tiga buah ambulans lagi telah datang dan pergi membawa mereka yang cedera parah ke hospital. Mangsa-mangsa yang belum dibawa duduk berhampiran dengan sebuah khemah perubatan yang telah didirikan dengan pantas. Perlahan-lahan Rani bangkit lalu bergerak ke khemah itu. Ketika itu, dia nampak seorang mangsa sedang duduk diselimuti kain lembap. Rambutnya kusut, mukanya comot dan badannya menggigil-gigil. Walaupun dalam kesedihan namun itu tidak menghalang Rani menghadiahkan sekuntum senyuman.

“Awak dah selamat, janganlah takut lagi. Awak kenal tak saya? Saya juga tinggal di sini. Kan kita pernah makan semeja di rumah ini,” Rani berkata dengan suara yang terserak-serak untuk menenangkan hatinya dan hati perempuan itu.
Perempuan itu lantas menundukkan matanya namun belum berhenti menggigil. Tampak pada wajahnya kebeningan memori. Ingatannya baru mahu kembali.

“Awak,” sambil menegur Rani meletakkan hujung jari-jari kanannya di atas bahu perempuan itu. Terus dia tersentak.

“Awak ada nampak bayi tak kat dalam rumah tu?” Rani tidak membuang masa untuk bertanya tentang anaknya, Hazman. Tapi jawapan yang ditunggu tak tiba-tiba.
Perempuan itu hanya termangu-mangu di depannya.
“Bayi, awak ada nampak bayi tak dalam rumah tu?” Rani mengulang soalannya.

Akhirnya perempuan itu menggeleng-geleng sahaja. Tangannya segera memegang perutnya yang bunting. Sebaik sahaja dia terpegang bahagian bawah perutnya lalu didapati tangannya itu basah berdarah, dia menjerit kemudian meraung-raung kesedihan. Rani kaget. Dia berasa amat pening kepalanya. Perasaan bersalah dan takut kerana bertanya pun muncul di dalam hatinya. Tak habis-habis dia terbayang kalau-kalau anaknya telah rentung di sana. Fikiran Rani bercelaru. Kakinya terasa lemah lantas dia terduduk begitu saja di tempat dia berdiri, beberapa kaki dari perempuan yang masih meratap dan kemudian dia sendiri jatuh pengsan.

Rani hanya terjaga dua puluh minit kemudian ketika dirasai badannya tergoncang-goncang. Dia membuka mata lalu terpandang pada seorang jururawat yang sedang duduk di tepi katil besi tempat dia berbaring. Katil besi itu dilapik dengan sebidang tilam nipis dengan selimut dan bantal sebagai pelengkap. Di sebelah jururawat itu adalah sebuah lagi katil yang sama rupanya dan perempuan yang ditanya oleh Rani tadi terbaring tidur di situ. Badannya terasa gegaran kecil dan telinganya menangkap bunyi enjin sedang bergerak. Ternyata dia sedang berada di dalam sebuah ambulans.

“Oh, cik dah bangun. Tenang, cik, kami dalam perjalanan ke hospital,” jururawat itu.

Memang Rani kelihatan agak cemas kerana baru semalam saja seorang jururawat hampir membunuhnya dan anaknya pula diculik entah sudah mati terbakar atau entah sudah dijual. Rani tidak teringin untuk baring. Dia memerlukan sedikit air.

“Cik, minta air,” Rani memulakan bicara.

Tangannya sedia terhulur ketika jururawat itu memberinya sebotol air mineral. Rani membuka penutupnya lalu minum beberapa teguk.

“Cik ini dari rumah itu?” jururawat itu langsung bertanya. Rani menundukkan pandangannya lalu mengangguk beberapa kali.

“Saya nak cari anak saya.” Dia terus menangis teresak-esak.

Jururawat itu meletakkan tangannya pada bahu Rani.
“Jangan sedih, cik, ahli bomba yang saya rawat tadi kata dah tak ada orang lain lagi dalam rumah itu. Mereka dah tengok setiap bilik.” Mendengarkan berita itu, Rani berasa sedikit harapan hadir dalam hatinya. Sekurang-kurangnya dia percaya anaknya itu telah selamat. Rani memeluk jururawat itu dan terus menangis di bahunya. Gerun hatinya mengingati kejadian tadi. Rani menangis kerana anaknya sudah hilang. Kini dia bertambah yakin memang anaknya takkan dibawa ke situ. Tak pernah dia melihat ibu-ibu yang mendahuluinya bersalin kembali ke Asramanita mahupun anak mereka jua. Kendatipun, tanpa dapat dibendung air mata ibu mengalir laju kerana tak tahu sampai bila harus hidup menjadi perindu si jantung kalbu.

Beberapa minit berlalu sebegitu. Tiba-tiba Rani terpandang semula pada perempuan yang tidur berselimut di hadapannya. Wajahnya pucat, kotor, rambutnya kusut, berhabuk dan ternampak butiran pasir melekat pada rambutnya itu. Dia melepaskan pelukan itu, kembali duduk seperti biasa, matanya memandang pada si jururawat lalu bertanya,
“Cik, kenapa dengan dia?”

Jururawat itu menoleh lalu berkata dengan nada simpati, “Kasihan, semua wanita yang diselamatkan telah mengalami keguguran. Mungkin sebab impak letupan tadi menggoncangkan kandungan mereka semua dengan kuat.”

“Semua mereka itu keguguran?” tanya Rani, dia terkejut.

Jururawat itu hanya tertunduk dalam kesayuan dan Rani nampak airmata mengalir di kedua-dua belah pipinya. Suasana pun jadi bungkam. Ambulans itu terus menuju ke hospital yang terletak dua puluh kilometer dari tempat kejadian.

Kembali ke Asramanita, ahli bomba masih bertungkus-lumus menjirus api daripada memadamkan bahan bukti seperti peralatan rumah dan sebarang dokumen. Namun api yang besar tadi telah menjarah hampir kesemua isi rumah itu. Yang tinggal berselerakan hanya puntung-puntung padam di dalam rumah yang berlubang itu. Sebahagian besar dari dinding tingkat bawah melopong akibat letupan. Lubang itu besar dan bermula dari dapur. Sementara itu, bakaran api meruntuhkan seluruh lantai atas dan juga bumbung. Hanya tetulang rangka bumbung itu sahaja yang tertinggal dan bertahan. Itupun sudah hitam terbakar. Jam sudah hampir ke tengah malam akan tetapi masih ramai orang yang sedang bekerja di rumah agam yang terpencil itu. Nampaknya mereka tidak pulang kerana khemah-khemah sementara sedang didirikan di luar rumah. Oleh sebab bantuan dari jauh perlu datang, ketua operasi, Kapten Azmuri mengambil keputusan untuk menangguh pemeriksaan sehingga hari siang. Dia mahu agar cahaya membantu siasatan ke atas saki-baki rumah itu pada waktu terang.

Keesokan paginya, keadaan yang kucar-kacir semalam sudah reda. Inspektor kebakaran sedang membuat pemeriksaan pada sisa Asramanita. Tiada lagi kecantikan pokok dan bunga-bungaan di kawasan sekeliling rumah itu. Semua keindahan itu telah disambar api. Yang tinggal hanya sisa-sisa ranting tanpa daun. Ternyata memang benar tiada siapa lagi yang ditemui di dalam rumah agam itu. Mereka tidak menjumpai sebarang sisa tulang manusia. Yakinlah mereka bahawa memang hanya ada tiga belas orang sahaja yang duduk di tingkat atas ketika kebakaran dan kesemua mereka telah diselamatkan. Syukur sekali mereka kerana tiada langsung kesan-kesan bahawa ada manusia yang terbunuh dalam letupan ini. Punca kebakaran didapati daripada letupan gas dan dimarakkan dengan minyak hasil daripada penemuan para inspektor. Pihak polis mengandaikan bahawa Puan Dewi sudah lari awal-awal lagi kerana tidak menemui sebarang kereta di rumah itu. Bagaimanapun suatu perkara yang tidak mungkin dapat diterangkan dalam laporan polis adalah peristiwa yang berlaku sebelum letupan. Maka mereka mengambil keputusan untuk mendiamkan saja kejadian itu dari diketahui oleh wartawan media. Kalau ada pun yang bertanya nanti, pihak polis telah bersepakat dengan saksi-saksi kejadian untuk mengatakan bahawa perkara-perkara aneh itu tidak berlaku. Takut-takut kalau ada persepsi tak betul tersebar. Kes ini masih dalam penyiasatan.

Keputusan pihak polis untuk merahsiakan peristiwa mereka nampak lembaga naga terbang itu daripada diketahui oleh orang ramai dibuat semasa satu mesyuarat bersama semua saksi kejadian dan dipengerusikan oleh seorang superintenden dari ibu pejabat polis negeri. Kapten Azmuri telah memberitahu semua saksi sama ada nampak atau tidak apa sebenarnya yang telah terjadi, hendaklah mereka berjanji untuk mengunci mulut apabila ada sesiapa yang cuba mengorek rahsia ini. Tindakan mendedahkan rahsia itu akan menyebabkan mereka boleh dikenakan hukuman yang berat nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience