Pada saat pasukannya mula berpecah, Silguglis bersama-sama dengan lima panglima kanannya telah mengambil peluang itu untuk meluncur keluar daripada kumpulan utama. Mereka menginjakkan sebelah tapak kaki pada perisai rakan seperjuangan lalu dengan menggunakan lantunan momentum injakan itu untuk berlepas dengan pantas. Sasaran mereka ialah Krr-Rachnadewi dan pengawal-pengawalnya yang berada tak jauh di atas mereka. Sepantas kilat mereka terbang bersimpang-siur mengelak tembakan seraya menghunuskan pedang. Belum sempat syaitan-syaitan yang berada di sekeliling Krr-Rachnadewi bertahan, pedang-pedang Silguglis dan tenteranya itu telah menembusi badan mereka. Salah satu panglima berlima hampir saja dapat menikam Krr-Rachnadewi. Tetapi syaitan Ifrit itu sempat beranjak ke tepi dengan kepantasan yang menakjubkan. Pada detik dia mengelak, dapat pula Krr-Rachnadewi menghunuskan pedangnya lalu ditetak tentera yang cuba membunuhnya. Badan laskar itu telah terbelah dua dari bahu sampai ke pinggang dalam satu jeritan yang menggemparkan. Semakin hangat bahang pertarungan.
Sementara itu, di bawah sana sambaran petir hijau tidak lagi kelihatan. Tetapi itu tidak bermakna serangan musuh sudah berhenti. Syaitan-syaitan yang terbang mengelilingi kubikel cahaya itu bergerak terlalu pantas. Sambaran petir tidak lagi dapat mengenai sasaran. Strategi baru empat pengawal kubikel itu hanyalah bertahan sementara menunggu musuh membuat kesilapan. Setiap kali ada syaitan yang datang menerpa, pasti terpancar panahan petir. Ada yang kena, ada yang tidak.
Jumlah syaitan-syaitan di bawah ini tinggal beberapa puluh sahaja. Menyedari bahawa tidak sepatutnya mereka menyerang secara sendirian, syaitan-syaitan itu mula menyerbu dalam kumpulan kecil. Berdiri teguh di udara dengan sebelah tangan tidak melepaskan tongkat, pengawal kubikel berempat itu melepaskan lebih banyak panahan ke serata arah dengan sebelah tangan lagi. Apa yang mereka lakukan adalah dengan mengalirkan tenaga elektrik daripada batu zamrud sakti di hulu tongkat melalui badan mereka kepada tangan yang bebas untuk menyerang. Maka kelihatan bebola peluru elektrik bersinar kehijauan sebesar bola tenis bertubi-tubi menembusi badan-badan syaitan yang cuba menghampiri mereka. Siapa yang terkena tembakan jatuh mati terhempas ke laut nan dalam. Begitu kental pertahanan pengawal-pengawal berempat ini, sedikit pun tak mampu ditembusi lawan.
Nun jauh di atas kubikel itu jumlah tentera Silguglis masih ada lagi kira-kira dua ratus sedangkan lebih sepertiga laskar syaitan telah menjadi korban. Dalam pertarungan pedang lawan pedang ternyata laskar syaitan itu tak dapat menyaingi kehebatan tentera Silguglis. Perisai yang mereka bawa memang banyak membantu. Walaupun berhadapan satu kepada tiga sekali pun, tentera Silguglis masih berdaya untuk membunuh lawan kerana pihak musuh tidak ada senjata perlindungan. Tambahan pula tentera Silguglis memang hebat bermain pedang selain tinggi semangat juang. Dengan perisai berbentuk bulat ceper yang diperbuat daripada aloi logam yang sangat keras, setiap tetakan musuh berjaya ditahan. Dengan gerak langkah lemah-gemalai seperti menari mereka mengelak lalu menikam. Begitulah caranya apabila bertempur dalam jarak dekat, kemahiran berinjak untuk mengelak daripada ditetak sambil membuka ruang untuk menyerang menjadi kelebihan yang dapat menentukan kemenangan.
Silguglis sendiri sangat hebat apabila berpedang. Meskipun dikerumuni ramai syaitan, dia masih mampu memberi tentangan. Tanpa menggunakan perisai, jurus pedang Silguglis lebih pantas untuk dilancarkan. Aura pedangnya mampu berubah mengikut keadaan. Apabila berdepan serangan musuh, aura pedangnya mengembang menjadi perisai tenaga lalu berdaya menahan sebarang tetakan. Kemudian apabila dalam keadaan menyerang, aura pedangnya mengecut halus seperti jarum suntikan. Silguglis menangkis tetakan demi tetakan lawan lalu menikam dengan cepat dan jitu. Malah lebih hebat lagi, aura menyerang pedangnya itu boleh meliang-liuk mencari ruang mencucuk lawan. Malam ini, berpuluh-puluh syaitan telah maut di hujung pedang pahlawan handalan. Setelah berjaya membunuh syaitan-syaitan yang menghalangnya daripada mendekati Krr-Rachnadewi, akhirnya mereka berdua telah bersemuka di medan perang.
Apabila melihat pedang Krr-Rachnadewi berlumuran dengan darah tentera-tenteranya, Silguglis berasa sangat geram. Akan tetapi dalam pertarungan maut, dia sedar bahawa tindakan melulu hanya mengundang padah pada diri sendiri. Silguglis berdiri di udara dengan pedangnya diacungkan separas bahu. Dia memfokuskan titik tikaman dengan menumpukan perhatian pada jari telunjuk kiri yang terarah pada dada Krr-Rachnadewi. Pada masa yang sama, dia sedar panglima-panglima kanan sedang memberi perlindungan di belakangnya yang terdedah kepada serangan hendap syaitan-syaitan lain. Bunyi dentingan pedang berlaga dengan perisai di sekelilingnya memberitahu Silguglis bahawa tenteranya masih berjuang habis-habisan. Maka hatinya kembali tenang.
Musuh di hadapannya bukannya boleh dipandang ringan. Ifrit merupakan bangsa jin yang sangat bijak dan berkuasa cukup hebat. Badan mereka mampu menyimpan tenaga yang banyak dan kelebihan mereka adalah mempunyai kepantasan pergerakan yang amat menakjubkan. Silguglis nampak pancaran aura daripada badan Ifrit di hadapannya masih bersinar dengan warna merah yang sangat pekat. Ini membuktikan bahawa tenaganya masih begitu banyak. Sepasang kepak berwarna hitam seperti kepak seekor kelawar mengipas-ngipas sedia untuk menerbangkan Ifrit ini dengan pantas. Dalam penilaiannya, kekurangan Krr-Rachnadewi hanya pada pedang aloi besi tempaan syaitan yang tidak setanding dengan pedang berjiwanya, Pedang Kristal Tujuh Ubahan ini. Pedang aloi Krr-Rachnadewi itu serupa saja dengan pedang-pedang syaitan yang lain. Pedang itu berbentuk seperti pedang dao yang hujungnya lebih lebar daripada pangkal dengan mata pedang melengkung ke atas.
Krr-Rachnadewi juga masih menimbal lawannya dan belum mahu memulakan serangan. Dia berdiri sambil merenung tepat pada seteru di hadapan. Pedangnya digenggam dengan kedua-dua belah tangan. Jin Maarid bukannya ada banyak kelemahan. Ilmu sakti bangsa ini tinggi dan seribu macam. Meskipun mukanya cengkung dengan janggut separas perut dan bertubuh kecil lagi bongkok, akan tetapi dia sedar dalam apa bentuk ubahan jua pun jin Maarid ini tidak wajar diperkecilkan. Badannya yang berasap-asap dengan aura biru menandakan ilmunya sudah berada di kemuncak pertapaan. Bersenjatakan pedang yang berjiwa kristal biru itu sungguh suatu kelebihan. Namun Krr-Rachnadewi sudah ada jalan. Dia mahu bertarung dengan kekuatan tenaga dan kepantasan.
Tiba-tiba sahaja Krr-Rachnadewi lesap dari kedudukannya lalu muncul di hadapan Silguglis. Dia cuba menikam dada jin Maarid itu tetapi Silguglis telah beranjak selangkah sambil mengiringkan badannya ke kiri. Tikaman Krr-Rachnadewi tersasar. Sebelum Silguglis dapat bertindakbalas, Krr-Rachnadewi telah menghayunkan pedangnya dengan satu tetakan melintang. Silguglis menahan tetakan itu dengan pedangnya yang ditegakkan separas dada. Sungguh kuat tetakan itu sehingga Silguglis telah berundur beberapa langkah ke belakang. Sebelum sempat dia mengukuhkan kekudanya, serangan ketiga Krr-Rachnadewi telah datang. Tetakan Krr-Rachnadewi kali ini adalah satu tetakan mencancang. Rupa-rupanya sewaktu Silguglis berundur, Krr-Rachnadewi telah sempat melompat ke atas dan dengan menggunakan momentum gerakan itu, dia menetak ke bawah dengan sekuat hati. Silguglis tidak ada masa untuk beranjak. Andai tidak berdaya mengelak hukumnya harus bertahan. Maka Silguglis memegang pangkal dan hujung pedangnya lalu diacungkan pedang itu dengan kedua-dua belah tangan tegak diluruskan.
Langkah pertahanan itu telah menyelamatkannya daripada tetakan Krr-Rachnadewi. Sungguh kuat tetakan itu hinggakan Silguglis tercampak jauh ke bawah. Bagaimanapun situasi ini memberi masa dan ruang untuk dia bertindak. Dia membaca mantera saktinya lalu dihembuskan pada pedang di tangan. Sementara itu Krr-Rachnadewi menjunam laju ke arah Silguglis dengan kedua-dua belah tangannya memegang dengan kejap pedang yang diacukan ke bawah. Silguglis melibaskan pedangnya lalu pedang itu berubah menjadi seutas cemeti. Secepat kilat libasan cemeti itu menuju pada sasaran lantas melilit pedang Krr-Rachnadewi. Kemudian dengan segera Silguglis sendiri menjunam ke bawah untuk menarik Krr-Rachnadewi bersama-samanya masuk ke dalam laut.
Krr-Rachnadewi menyedari bahawa pertarungan di dalam laut sudah pasti membatalkan kelebihan kepantasan yang dimilikinya. Lantas dia mengepakkan sepasang sayap hitamnya untuk menentang daya tarikan. Maka kedua-dua pejuang ini terhenti di udara dalam keadaan saling menarik antara satu sama lain. Permukaan laut nan kemerahan hanya beberapa meter sahaja lagi dari tapak kaki Silguglis. Pada mulanya dia mengikut saja rentak Krr-Rachnadewi bermain tarik tali. Tetapi secara mendadak Silguglis membiarkan saja dirinya ditarik. Oleh sebab tarikan Krr-Rachnadewi sungguh kuat, Silguglis melenting ke atas seperti pucuk dilancarkan. Memang segala gerakannya sudah dirancang sejak awal-awal.
Jarak asal di antara Silguglis dan Krr-Rachnadewi tidaklah jauh sangat ketika cemetinya meliliti pedang syaitan itu tadi. Apabila tersentap ke atas, Silguglis hanya ada kurang daripada suku saat sahaja untuk bertindak. Namun masa itu sudah mencukupi baginya. Semasa lentingan itu, sempat lagi Silguglis membaca satu mantera. Mantera sakti ilmu ubahan. Cemetinya kini kembali menjadi pedang. Sudah masanya dia memulakan jurus-jurus penyerangan.
Silguglis menghalakan tikamannya tepat ke dada Krr-Rachnadewi. Krr-Rachnadewi berjaya menangkis tusukan itu dengan menghayunkan pedangnya hanya pada ketika hujung pedang Silguglis sudah dekat sangat dengan dadanya. Meskipun tidak kena pada sasaran, tangkisan itu telah memberi momentum untuk Silguglis berpusing ke kiri Krr-Rachnadewi. Pedangnya sedia memancung leher Krr-Rachnadewi yang tidak terlindung oleh baju perangnya. Krr-Rachnadewi tunduk untuk mengelak. Pancungan itu hanya dapat memangkas hujung rambutnya yang mengerbang apabila dia merendahkan badannya. Krr-Rachnadewi pun cuba menetak Silguglis yang berada di sisinya selepas terlepas dari bahaya itu. Tetapi Silguglis segera menetakkan pedangnya pada belakang pedang Krr-Rachnadewi untuk mematahkan tikaman itu. Berdenting apabila pedang itu berlaga. Krr-Rachnadewi pula menggunakan momentum tetakan itu untuk membuat satu balik kuang dengan berpusing dalam keadaan lututnya dirapatkan ke dada. Sekali pusing lalu dia melunjurkan kedua-dua belah kaki untuk menyepak perut Silguglis. Silguglis berdengus lantas tercampak jauh ke belakang.
Krr-Rachnadewi mengejar Silguglis. Dia menggayungkan pedangnya, menetak beratus-ratus jurus sambil Silguglis juga membalas dan menahan pukulan demi pukulan pedang syaitan itu. Bertetakan mata pedang mereka dalam keadaan Krr-Rachnadewi mendesak dan Silguglis berundur selangkah demi selangkah. Bergemerencang bunyi pedang berlaga daripada dwipertarungan yang semakin rancak.
Belum ada pihak yang menguasai pertarungan maut ini. Namun kelebihan ternyata milik Silguglis. Meskipun dia hanya berjubah biasa sahaja tanpa memakai kelengkapan baju perang seperti lawannya dan lebih banyak bertahan, Silguglis langsung tidak menunjukkan sebarang kelemahan sama ada ketika dia bertahan mahupun menyerang balas. Aura tubuhnya memberi banyak perlindungan dalam pertarungan ini.
Apabila Krr-Rachnadewi menetaknya, sama ada dia menahan dengan pedang atau dia menahan tetakan itu dengan perisai aura biru yang keluar dari telapak tangan kirinya. Krr-Rachnadewi juga mempunyai aura pelindung merah yang terpancar dari badannya. Aura itu bersatu bersama set baju perangnya untuk menahan tikaman Silguglis. Maka di antara kedua mereka, belum lagi ada kecederaan yang serius dapat dilakukan terhadap lawan. Dengan aura pelindung, badan masing-masing hanya calar-balar kerana kesemua tikaman dan tetakan hanya mendatangkan impak minimum.
Kini sudah lebih satu jam mereka memedang antara satu sama lain. Kepantasan pergerakan mereka dalam dwipertarungan ini memang sungguh menakjubkan. Dari jauh tampak hanya sebuah bebola cantuman cahaya merah dan biru sahaja yang berputar-putar di udara. Tetapi dari pandangan mata Silguglis yang masih tersampai pada Arya, jelas sekali dia nampak pedang Krr-Rachnadewi sudah panas dan kemerah-merahan. Masing-masing mendengus dengan kuat kerana menggunakan tenaga pada tahap kemuncak.
Tiba-tiba dengan satu pancungan yang sangat kuat, pedang Krr-Rachnadewi telah patah ditahan oleh pedang Silguglis. Berderai jatuh serpihan pedangnya. Saat yang memang dinanti-nantikan oleh Silguglis itu telah pun tiba. Rupa-rupanya setiap kali dia menahan tetakan pedang dengan tapak tangannya, Silguglis telah memasukkan sedikit demi sedikit tenaga aura birunya ke dalam rekahan pedang Krr-Rachnadewi. Cetusan kecil tenaga itu terus tersimpan dan berkumpul di celah sumbing-sumbing pedang Krr-Rachnadewi. Kemudian setiap kali pedang mereka bertembung, peket-peket tenaga itu telah meletus apabila dihentam tepat oleh mata pedang Silguglis pada sumbingan pedang musuhnya. Maka letusan halus itu menyebabkan keretakan demi keretakan nan semakin merebak pada pedang Krr-Rachnadewi yang tidak disedarinya. Akhirnya retak menemui belah pada pertembungan pedang yang terakhir tadi.
Ketika Krr-Rachnadewi terkaget menyaksikan pedangnya patah, Silguglis mengambil kesempatan untuk menumbuk perut syaitan itu dengan tangan kanannya yang masih menggenggam hulu pedang. Tumbukan laju dan padu itu tak dapat ditahan oleh aura pelindung Krr-Rachnadewi. Dia terpelanting agak jauh juga. Silguglis melompat tinggi dan menetakkan pedangnya pada Krr-Rachnadewi yang tidak perasan apa yang sedang dilakukannya kerana sedang terundur ditumbuk Silguglis. Sebelum dapat memperkukuh kekudanya untuk berhenti di udara, mata pedang Silguglis sudah tiba di atas kepala Krr-Rachnadewi. Untuk mengelak memang sudah tidak sempat. Sepantas kilat dia menyilangkan kedua-dua belah tangannya untuk mempertahankan diri. Bagaimanapun tetakan itu sungguh kuat sehingga pecah perisai pelindung tangannya. Pedang jelmaan Kristal Tujuh Ubahan itu telah berjaya menembusi perisai tangan dan juga aura merah pelindung Krr-Rachnadewi lalu memenggal kedua-dua belah tangannya. Krr-Rachnadewi melolong kesakitan. Darah hitam memancut daripada kedua-dua belah tangannya yang kini kudung.
Silguglis berhenti menyerang lalu berdiri di hadapan Krr-Rachnadewi. Syaitan itu berpusing ke belakang mahu melarikan diri. Tetapi belum sampai jarak sepuluh langkah, badan Krr-Rachnadewi telah tersentap dan ditarik ke arah Silguglis. Sekali lagi Silguglis menggunakan cemetinya dalam pertarungan ini. Kali ini cemeti itu telah membelit sebelah kepak Krr-Rachnadewi menyebabkan dia tidak boleh lari dari pertarungan maut ini. Dengan sebelah tangan dia mencekik leher musuhnya dan mengacungkannya di udara. Dia merenung Krr-Rachnadewi yang sudah hilang semangat juang. Syaitan itu hanya menggigil ketakutan dan tidak berkata apa-apa. Cengkaman yang sangat kukuh itu telah melemahkan seluruh tubuhnya. Walaupun kakinya terkial-kial menendang, tetapi tendangannya langsung tak bermaya. Hanya matanya sahaja yang merah menyala buntang menjegil kembali renungan Silguglis seolah-olah memberitahu Silguglis bahawa kebencian padanya takkan mungkin terpadam.
“Matilah kau, syaitan durjana!”
Silguglis menjerit sambil menjelmakan kembali pedangnya. Dia melepaskan cekikan pada leher Krr-Rachnadewi dan tanpa belas kasihan dia memancung kepala syaitan itu. Akhirnya tamatlah riwayat Krr-Rachnadewi. Badan syaitan itu jatuh ke dalam laut sambil darah hitam masih terhambur dari pangkal lehernya yang terpancung. Silguglis menangkap kepala Krr-Rachnadewi dengan berpegang pada rambutnya dan disalutkan dengan auranya supaya tidak melebur menjadi asap hitam. Dia mengacungkan tinggi-tinggi kepala itu sebagai satu trofi kemenangan. Dia memandang sayup-sayup pada pasukan tenteranya yang masih berlawan dengan sejumlah laskar syaitan. Jauh sekali dia telah bertarung dengan Krr-Rachnadewi. Sekonyong-konyong Silguglis memekik sekuat hati.
“Menyerah sajalah syaitan! Ketuamu sudah maut di tanganku!”
Mendengar saja jeritan itu, kesemua pertarungan di udara mau pun di sekitar kubikel segera berhenti. Kesemua jin di sana memakukan pandangan pada Silguglis yang masih menayangkan kepala Krr-Rachnadewi. Syaitan-syaitan yang masih hidup kini menyedari bahawa mereka telah tewas. Jumlah yang tinggal pun bukanlah banyak sangat. Kalau hendak dikira mungkin tak sampai dua ratus sahaja yang tinggal. Sedangkan jumlah tentera Silguglis lebih kurang sama dengan mereka. Patah semangat bertarung, syaitan-syaitan itu mula mahu melarikan diri.
“Hapuskan mereka semua!”
Silguglis memekik lagi untuk memberi arahan kepada tenteranya. Dengan segera tentera Silguglis yang dikepalai Panglima Ha temtartya mengejar syaitan-syaitan yang sedang bertempiaran lari. Keadaan di situ kembali tenang. Ribut pertarungan sudah pun reda. Silguglis pun kembali terbang ke arah bot Talisman. Dalam pada itu, panglima berempat pengawal bot menarik semula cantuman tenaga mereka tadi. Kubikel cahaya hijau itu pun hilang dari pandangan. Arya dan rakan-rakannya menarik nafas lega. Mereka sudah terlepas dari gerbang maut di pinggir timur Lautan Hindi. Perang ini sudah tamat.
Silguglis menyerahkan kepala Krr-Rachnadewi kepada salah satu pengawal berempat itu. Pengawal itu pun beredar setelah mendapat keizinan. Dia berkata sesuatu kepada tiga pengawal yang masih tinggal lalu mereka pun menjunam ke dalam laut setelah tunduk memberi penghormatan padanya. Sesudah itu, Silguglis pun mendarat di atas dek bot. Jubah yang dipakainya koyak di beberapa tempat dan kelihatan kesan-kesan darah hitam di sana-sini.
“Tutuplah mata hati kalian. Sekarang akan kukembalikan deria kamu semua,” Silguglis memberi arahan pula pada kumpulan manusia yang berada di atas dek itu.
Arya mengikut saja arahan itu. Walaupun dia tidak tahu apakah itu mata hati, tetapi seperti telah mendapat panduan secara batin daripada Silguglis, dengan mudah dia melakukannya. Kemudian perlahan-lahan dia membuka matanya. Dunia mereka kembali pulang ke alam hakiki.
“Terima kasih, tuan budiman, kerana menyelamatkan kami.” Pak Budi muncul untuk menyatakan penghargaannya pada Silguglis yang hanya tersenyum dan memandang ke sekelilingnya. Senyumannya itu dibalas oleh semua sambil para manusia di hadapannya menunjukkan wajah kekaguman sambil memuji-muji kehebatan Silguglis. Terus saja riuh di atas dek itu apabila pelbagai cerita timbul daripada apa yang mereka semua telah saksikan.
“Pak Budi teruskanlah pelayaran ini. Tak lama lagi fajar akan menjelang. Sudah tiba masanya untuk aku pulang mengumpulkan kembali tenagaku yang hilang. Aku yakin tidak akan ada lagi serangan syaitan. Telah kuarahkan tiga pengikutku untuk mengiringi bot ini supaya kalian berasa tenang,” Silguglis berkata kembali pada Pak Budi. Meskipun dia jin yang hebat, namun di hadapan mereka dia masih merendah diri.
“Terima kasih banyak-banyak Tok Sil. Tok telah bertarung nyawa demi menyelamatkan kami. Ramai pengikut Tok Sil yang telah gugur. Maafkan kami kerana menyusahkan Tok,” giliran Arya pula menyampaikan penghargaannya pada jin tua itu.
“Tidak mengapa, Arya. Semua pengorbanan kami adalah bermakna sekali. Dapat menghapuskan syaitan-syaitan itu memberi kepuasan padaku. Sudah lama aku tak dapat menikmati perasaan ini. Sepatutnya aku yang harus berterima kasih padamu. Tambahan pula, kami akan berasa sangat malu kalau tidak dapat menyelamatkan kamu semua. Maafkan Tok kerana sampai di sini sahaja Tok dapat menemani kamu semua. Tok harap satu hari nanti kita boleh bersua semula dalam keadaan yang lebih aman.”
“Selamat tinggal, Tok Sil, saya juga berharap sedemikian,” balas Arya yang berdiri dekat-dekat di depan Silguglis.
Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam. Silguglis berfikir sejenak sebelum menyambut salamnya itu. Arya menyalami Tok Sil seraya mencium tangannya. Memang tak pernah dia berbuat begitu kepada sesiapa pun. Tetapi ketika di Pulau Magi dia terlihat dua orang anak perempuan Imam Guntur berbuat sebegitu dua kali pada Pak Budi semasa mereka menyambut mereka sampai dan pada saat mereka mahu belayar pergi dari jeti. Kawan-kawannya yang lain pun bangun dan meniru perbuatan Arya. Ucapan terima kasih dan selamat tinggal itu pun berturut-turutan. Sambil tersenyum Silguglis membalas ucapan mereka. Ternyata hatinya begitu senang atas perlakuan sedemikian.
“Tok Sil, saya ada soalan terakhir, boleh tak?” tanya Karan si budak hitam kerana dia yang terakhir sekali menyalami Silguglis.
“Boleh, apa yang kamu nak tahu, Karan?” Silguglis menjawab dengan mesra.
“Apa yang Tok Sil nak buat dengan kepala Bonda Dewi tu?” Karan bertanya.
“Oh, kepala itu Tok nak persembahkan pada Ratu Maimoon. Tok nak dia merasai perit kegagalan,” jawab Silguglis dengan jujur.
“Ratu Maimoon tu siapa, Tok?” tanya Karan lagi.
“Dia ialah ratu kepada laskar-laskar syaitan yang datang menyerang kita tadi. Kerajaannya cukup besar dari barat sampai ke timur di Lautan Hindi ini. Tadi kan Tok ada cerita satu kerajaan syaitan yang memang telah banyak kali berperang dengan kerajaan Tok. Cuma dah begitu lama perang antara kami tidak berlaku. Ingat tak?” Silguglis memberikan jawapannya pada Karan.
“Oh, ingat, ingat. Terima kasih sekali lagi, Tok. Tok jaga diri ya,” ujar Karan terangguk-angguk. Dia adalah seorang budak yang selalu saja ceria dalam kumpulan remaja ini.
Setelah mengucapkan selamat tinggal pada semua, Silguglis pun lesap dalam asap kebiru-biruan. Dia telah kembali ke alam makhfi meninggalkan mereka yang benar-benar sudah keletihan menempuh malam yang cukup panjang.
Share this novel