Bab 12: Seni Persediaan

Fantasy Series 4911

Seni itu suatu kebolehan unik. Keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang klasik. Empunya seni dipanggil seniman. Setiap seniman mencipta seni masing-masing dengan bakat ekspresi diri yang tersendiri. Menghasilkan seni dari satu sudut di hati. Membuat karya mahakarya dalam dua atau tiga dimensi. Istana Archaechabuana ini sendiri sebuah manifestasi seni. Seni bina kuno yang masih teguh berdiri sehingga zaman ini. Istana batu yang tersembunyi di sebuah pulau terpencil menyimpan seribu rahsia tak terungkapkan. Sungguh jauh istana ini dari ketamadunan. Begitu jauh hinggakan orang tidak tahu wujudnya kehidupan di celah-celah gugusan pulau di tengah lautan ini. Apatah lagi kalau mahu tahu apa yang mereka lakukan.

Bersembunyi di bawah puncak-puncak bukit serta terlindung dindingnya oleh daun-daun pokok akar yang menjulur dari atas sampai ke bawah, Istana Archaechabuana memenuhi tujuan agar kewujudannya tidak ketahuan orang. Empunya asal istana ini seorang maharaja yang hebat leluhur Bonda Dewi. Bonda Dewi membesarkan anak-anak angkatnya di sini untuk tujuan persiapan menghadapi perang; jauh dari gangguan orang. Anak-anak yatim-piatu itu diasuh dari kecil agar dewasa dengan pelbagai kepandaian. Anak-anak itu dipersiap-siagakan agar memiliki karisma kepemimpinan, kebijaksanaan yang tiada tandingan dan juga kekuatan mental dan fizikal yang tak tergoyahkan. Itulah misi Bonda Dewi di sini. Meskipun mereka tinggal terasing dan jauh daripada ketamadunan, namun akan ada satu masanya nanti mereka akan keluar untuk menaburkan bakti kepada Bonda angkat kesayangan.

“Bangun!” kedengaran satu suara yang nyaring memanggil.

Arya yang sedang sibuk membaca dari tabletnya segera berdiri tegak seperti rakan-rakannya yang lain. Mereka kini berada di dalam salah sebuah dewan kecil yang diubah menjadi bilik darjah di Istana Archaechabuana. Rekabentuk dewan ini begitu berbeza dengan kelas di sekolah biasa. Dinding dewan dilapisi batu marmar putih bercorak urat-urat kelabu berjalaran. Lantainya pula daripada marmar biru gelap. Terdapat sebuah meja dan kerusi marmar berangkakan kayu di hadapan dewan itu yakni meja guru. Sekeping batu putih bersih yang licin dan cukup lebar sebagai tempat menulis terlekat kemas pada dinding hadapan kelas. Selang beberapa meter berhadapan dengan meja guru itu ialah bangku batu panjang bertingkat-tingkat yang melengkung bentuknya menjadi tempat duduk pelajar-pelajar. Bangku batu hitam itu seperti tangga yang besar bermata lima. Hampir sahaja kelas mereka ini menyerupai seperti sebuah arena teater zaman Rom Lama.

“Selamat pagi Bonda!” Sher yang merupakan ketua kelas kembali bersuara untuk memberi penghormatan.

Apa yang diucapkannya diulang semula oleh murid-murid lain dengan suara yang kuat lagi lantang. Lantunan bunyi menggemakan suara mereka di dalam arena batu ini.

Bonda Dewi berjalan menuju ke mejanya. Anak-anak muridnya sudah pun bersedia di tempat masing-masing. Pelajar lelaki berseragam kemeja putih berlengan panjang yang siap tersisip kemas ke dalam seluar panjang hitam. Sementara itu murid perempuan juga berpakaian kemeja putih tetapi bersarung skirt enam panel berpelepah mendatang.

“Selamat pagi semua. Sila duduk,” balas Bonda Dewi selepas sekilas pandang memerhatikan disiplin bagus yang ditunjukkan oleh anak-anak muridnya ini.

Hari ini Bonda Dewi memakai gaun chanderi berwarna biru gelap dengan corak bunga tanjung kecil-kecil bertebaran pada gaun itu. Tubuhnya yang tinggi lampai menambahkan keanggunan pemakaiannya pada pagi ini.

“Sudah dua minggu kita bercuti. Selama itu jugalah Bonda berpergian. Bonda amat gembira kerana kalian berkelakuan dengan baik sekali ketika Bonda tiada di sini,” Arya perasan bahawa Bonda Dewi memandang tepat ke arahnya semasa berkata-kata. Dia menunduk kerana hadir rasa bersalah di dalam hatinya setelah terkenangkan perbuatannya memanjat dinding istana itu semalam.

“Bagaimanapun, Bonda tetap mahu mengingatkan kalian untuk berfikir sebelum bertindak. Setiap perkara yang kita lakukan pasti akan menghasilkan tindak balas. Oleh itu, amat penting agar kita mempunyai persediaan sebelum melakukan suatu perbuatan. Tambahan lagi, kita juga perlu kepada pertimbangan baik atau buruk akan apa yang boleh terjadi sekiranya kita bertindak tanpa persediaan dan pertimbangan yang mencukupi. Akibatnya nanti akan hadir rasa ragu-ragu di dalam hati kalian dan seterusnya keraguan itu berupaya menyebabkan kita melakukan kesilapan. Kesilapan itu mencacatkan kesempurnaan. Kesilapan kecil boleh kita perbaiki semula tetapi andai kata berlakunya kesalahan yang besar sudah pasti membawa kepada kesusahan yang setara.”

Sebagai guru utama di sini Bonda Dewi bukan saja memiliki pengetahuan yang sangat luas, malah dia juga berkebolehan besar dalam mengasuh, mendidik serta memotivasikan anak-anak muridnya. Seperti saja seniman dengan tekun dan sabar dia melukiskan corak-corak watak positif pada anak-anak kecil yang bak sebidang kain putih dengan cinta yang dipupuk dari hari ke hari.

“Baiklah, sila buka tablet masing-masing. Lihat pada peti e-mel kalian isi kandungan pelajaran hari ini. Kita akan mulakan dengan subjek Sejarah Bangsa. Siapa yang masih ingat pelajaran terakhir kita sebelum ini?” Bonda Dewi melontarkan satu soalan sebagai pemanas fikiran. Tidak ada seorang pun yang tidak angkat tangan.

Bonda Dewi tersenyum lalu membuat pilihan. “Hiranya!”
Seorang gadis berambut panjang, lepas sampai ke bahu menegakkan kepalanya. Wajahnya bujur sirih, berkulit sawo matang dan bertubuh kurus langsing.
Sambil duduk Hiranya menjawab, “Ada tiga ras utama manusia di dunia ini.”
“Bagus. Nirogi, namakan ras bertiga itu?” Bonda Dewi bertanya pula pada murid yang lain.

“Ras Kaukasoid, Mongoloid dan Negroid,” jawab seorang gadis cilik berwajah bulat berambut kerinting bertocang.

“Betul jawapan kamu, Nirogi,” jawapan Nirogi mengundang pujian.
“Kelas, bagaimana kalau kita hendak membuat pengelompokan bangsa-bangsa di dunia ini?”

“Warna kulit,” seorang pelajar menjawab. “Kurang tepat,” balas gurunya.
“Bentuk tubuh,” jawab seorang lagi.
“Tidak berapa tepat juga. Apa kaedahnya?” Tidak kena jawapan mereka itu pada pandangan gurunya lalu dia melontarkan lagi satu soalan sebagai pembayang.
“Saya tahu! Saya tahu!” Seorang murid lelaki melambai-lambaikan sebelah tangan tak sabar-sabar untuk menjawab.

Gati yang baru berusia sebelas tahun bertubuh sedikit gempal dan suka tersenyum walaupun gigi hadapannya rongak. Rambutnya selalu kusut sahaja. Tetapi dia memang dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai seorang yang pintar.

“Baiklah, Gati, apa jawapan kamu.”
“Kita hendaklah menggunakan kaedah tipologi.”
“Ya, betul. Cuba kamu terangkan apakah itu tipologi, Gati?” Bonda Dewi memuji lalu mengujinya.
“Tipologi ini ialah satu cara sains nak membahagikan manusia ikut kumpulan. Biasanya kita tengok pada bentuk kepala, warna kulit, rambut dan saiz badan,” Gati menjawab dengan ringkas.
“Betul. Seperti yang sudah kita pelajari sebelum ini, ras manusia bermakna sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri fizikal warisan yang membezakan mereka dengan kumpulan manusia yang lain. Selain daripada ciri-ciri fizikal yang disebutkan oleh Gati tadi ada beberapa lagi ciri lain yang boleh diperhatikan. Contohnya seperti keluasan dahi, bentuk wajah, bentuk hidung dan kepanjangan alis mata.”

Murid-murid senyap mendengar penerangan dari Bonda Dewi.
Dia menyambung lagi, “Baiklah. Nimiti, berikan tiga ciri fizikal ras Kaukasoid?”
Seorang murid perempuan dengan rambut bertocang dua dan duduk di bangku belakang sekali mula bersuara.
“Ras Kaukasoid berkepala panjang, berdahi tinggi dan hidung mereka panjang dan mancung.”
“Betul dan Kaukasoid juga kebiasaannya berkulit putih kecuali bangsa Hamit. Karan, siapa pula ras Negroid?” tanya Bonda Dewi kepada seorang budak yang berbadan tinggi lampai dan berkulit gelap serta berambut kerinting.
“Ras Negroid macam sayalah,” jawabnya ringkas.
Kelas itu pecah dengan tawa murid-murid apabila mendengar jawapan Karan. Entah apa yang kelakarnya tetapi mereka tetap terbahak-bahak ketawa.
“Okey, okey. Sudah, berhenti ketawa,” kata Bonda Dewi yang tersenyum gembira melihat anak-anak muridnya keriangan.
“Arya, terangkan pula tentang ras Mongoloid?” tanya Bonda Dewi apabila tawa mereka mulai reda.
Arya yang duduk selang dua murid dari Hiranya di barisan hadapan sekali berkata,
“Ras Mongoloid ialah leluhur bangsa Melayu. Kepala orang Mongoloid pendek dan bulat. Berdahi agak rendah berbanding orang Kaukasoid. Muka orang Mongoloid lebar dan juga pendek dan berhidung pesek selalunya.”

“Bagus jawapan kamu, Arya. Kalau manusia ini diibaratkan seperti sebatang pokok, maka tiga cabang terbesar pokok itu adalah tiga ras ini. Kemudian para ahli antropologi telah menambah lagi dua cabang kecil iaitu ras Kapoid dan Australoid. Daripada kelima-lima cabang inilah beratus-ratus suku kaum manusia dilahirkan. Adakalanya seseorang itu berkahwin dan bercampur dengan suku kaum daripada ras lain. Oleh sebab itu, kalau di negara-negara yang maju dan banyak berdagang, kita akan jumpa manusia yang memiliki ciri-ciri ras berlainan daripada ciri ras asalnya.” Bonda Dewi berhenti bercakap sebentar untuk berfikir.

“Bonda!” Karan mengangkat tangan mahu bertanya. Setelah dia melihat Bonda Dewi mengangkat tangan kanan pada dirinya lalu dia pun membuka soalan.
“Mengapa orang di lain negara lain bangsanya?” tanya Karan.

“Itu adalah disebabkan keturunan mereka. Katakan sekumpulan kecil manusia yang baru berpindah di satu tempat. Katakan juga kumpulan ini terdiri daripada beberapa buah keluarga sahaja. Oleh sebab tempat itu bagus, maka mereka pun duduk menetap di situ. Beberapa generasi kemudian, kumpulan kecil itu semakin ramai. Apabila sudah ramai, mereka mesti mempunyai kehidupan yang bersistematik.

Maknanya, mereka akan mempunyai pemimpin, ada undang-undang, ada bahasa, budaya dan kepercayaan yang umum bagi mereka tetapi khusus di tempat itu sahaja. Semua itu membentuk entiti kepada kumpulan manusia yang tinggal di kawasan itu.

Beberapa generasi kemudian, masyarakat tersebut semakin membesar dan kawasan yang mereka tinggal semakin luas sehingga mereka boleh memanggil tempat tinggal itu sebagai sebuah negara. Dengan itu, apabila sistem hidup mereka menjadi semakin kompleks, entiti mereka menjadi lebih jelas, lebih unik dan mereka berbangga dengan apa yang dimiliki. Di tempat lain juga berlaku perkara yang sama. Jadi lama-kelamaan, semakin banyak negara muncul dan entiti rakyat sesebuah negara itu didefinisikan sebagai satu bangsa.

Ada juga bangsa-bangsa berlainan yang tinggal dalam negara yang sama. Kebiasaannya, mereka berasal dari etnik yang berlainan tetapi disebabkan tempat tinggal mereka tidaklah jauh sangat, mereka telah bergabung dan terus membentuk sebuah negara berbilang etnik. Untuk lebih mudah, orang akan memanggil bangsa mereka sesuai dengan nama negara mereka.

Contohnya orang-orang Yunani Purba yang tinggal di sekitar Laut Mediterranean. Asalnya mereka terdiri daripada orang Minoa dan Mycenea. Lama-kelamaan koloni mereka semakin bertambah banyak dan etnik baru pun muncul seperti Athenia dan Sparta. Kemudian seluruh koloni-koloni itu bergabung di bawah Raja Phillips II, seorang raja berbangsa Macedonia yang berjaya menyatukan seluruh bangsa Yunani. Apabila Phillips II mangkat, anaknya Alexander pula menjadi raja. Alexander ini seorang raja yang hebat. Baginda telah meluaskan empayar Yunani jauh sampai ke Mesir dan Pakistan sekarang. Tetapi sayangnya, selepas baginda juga mangkat, empayar Yunani telah berpecah-belah. Bagaimanapun, kesannya bangsa Yunani telah tersebar jauh dan budaya mereka telah bercampur-baur dengan budaya bangsa lain. Jadi, semakin lama semakin berkembang bekas tanah jajahan Alexander sehinggalah banyak pula bangsa-bangsa lain mencapai kemajuan masing-masing. Bangsa-bangsa ini pun akhirnya membina entiti dan negara tersendiri,” terang Bonda Dewi panjang-lebar sebagai jawapan kepada soalan Karan. Kelihatan beberapa orang murid terangguk-angguk.

Melihatkan kelas itu berdiam saja lalu dia berkata,
“Baiklah, Bonda tutup sesi soalan kerana kita akan belajar lagi nanti sejarah bangsa Yunani dengan lebih mendalam. Apa yang Bonda ceritakan itu kiranya pengenalan sahaja. Buat masa sekarang kita akan pelajari pula dua ras yang lebih kecil daripada ras-ras lain yakni ras Kapoid dan Australoid. Sudahkah kalian membuka nota dalam e-mel?”

Semua mengangguk dan kedengaran juga yang mengatakan sudah.

“Amish, sila baca muka surat pertama. Selepas itu Bonda akan terangkan.” Amish yang duduk di tengah pada barisan kedua segera menyahut suruhan Bonda Dewi.

Dengan lancar dan suara yang terang dia membaca. Begitulah Bonda Dewi senantiasa memberi peluang murid-muridnya berpartisipasi di dalam kelas sebagai asuhan bersosial dalam suasana formal secara tidak langsung.

Kelas yang kecil dan terpencil ini terus berjalan sampai ke tengahari untuk mereka berhenti makan. Kemudiannya pada waktu petang mereka mengikuti kelas-kelas lain seperti matematik, sains, bahasa, komputer dan seni dengan dua orang guru lain iaitu Cikgu Sirin dan Cikgu Tirmi. Silibus pelajaran telah diatur oleh Bonda Dewi sesuai dengan tahap kognitif mereka. Kesemua anak-anak angkat Bonda Dewi ini memang pintar-pintar belaka. Dari kecil lagi, mereka telah diberi makanan yang baik-baik dan dilimpahkan kasih sayang. Selain itu, mereka juga dididik tentang penampilan diri, tatasusila dan kemahiran sosial seeloknya. Jelas sekali Bonda Dewi telah mengatur segala-galanya dengan sempurna di sini.

Selesai sahaja kelas pengajian, mereka pula akan bersiap untuk mempelajari ilmu pertahanan diri. Seterusnya pada waktu malam pula disediakan ruang untuk mereka belajar sendiri seandainya tiada apa-apa aktiviti bersama. Bangun pagi saja sebelum fajar menyinsing, mereka akan bebas bersukan atau beriadah di luar istana. Begitulah rutin mereka sehari-harian di sini. Kumpulan kanak-kanak ini begitu berdisiplin dan berhemah tinggi hasil daripada didikan yang telah diterima mereka. Tidaklah mereka merungut dan tidaklah jua mereka culas.

Persiap-siagaan itu suatu elemen penting dalam proses tumbesaran. Andai persediaan hanya sekadar cukup-cukup makan, maka kanak-kanak akan dewasa dan berusaha setakat kais pagi makan petang. Lebih tinggi ilmu dan kemahiran milik seseorang, lantas lebih hebat lagi perkembangan motivasi diri yang mendorong kesediaan untuk mencari dan menghadapi cabaran yang lebih getir.

Bagaimanapun, segala-galanya bergantung kepada kesihatan. Keupayaan fizikal harus mantap secara berterusan agar apa saja cabaran yang mendatang pasti teguh tak tergoyahkan tubuh berdiri dengan berani mengharungi arus kehidupan nan kadang-kadang ganas benar cuba menghanyutkan jiwa seseorang.

Membuat persiapan juga satu seni yang menuntut kesabaran. Belum pasti hasil akhir berjaya atau gagal cuma harapan supaya dengan segala persiapan yang dimiliki akan membawa kemenangan yang besar dalam perjuangan hidup seseorang. Lebih-lebih lagi dalam peperangan. Jika berperang sekadar dengan persediaan ala kadar dan disertai pula dengan askar tangkap muat, sudah pasti kalah jadi abu bagai debu dipijak orang.

Berperang kalau mahu menang mesti melabur dalam modal insan. Bonda Dewi sedang membentuk anak-anak yang masih mentah untuk menjadi laskar pilihan apabila telah cukup umur kelak. Setiap orang daripada anak-anak ini ditaruh harapan agar menjadi pejuang yang hebat. Kemahiran dan pengetahuan yang diterapkan pada mereka merupakan satu siri persediaan yang panjang. Meski pun jumlah mereka tidaklah ramai, namun seorang askar yang cukup terlatih tidak terbanding dengan seribu askar biasa. Inilah seni dalam berperang. Setiap hal diperincikan dan persediaan dilaksanakan ketika zaman aman untuk menjamin kemenangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience