Ekadasawarsa berlalu begitu sahaja. Bumi berputar, masa beredar dan kedinamikan alam mengubah keadaan. Pada orang yang berusaha, semangat boleh jadi hilang, luntur lalu pudar ditelan oleh zaman jika gagal mencapai impian dalam tempoh ini. Namun bingkisan memori masih mampu terlekat erat dalam minda selepas satu dasawarsa. Lebih mustahak satu kenangan, maka lebih kukuh bertapak ingatan itu terperangkap di dalam jalinan neuron otak yang tak berkesudahan. Tiada langsung ada kikisan lupaan pada memori yang sedemikian.
Rani termangu-mangu menghadap tingkap biliknya. Pandangannya mencapah ke seluruh sudut tunduk yang tercapai dari tingkap yang berlangsir putih berhias bunga-bunga ros merah. Dilihatnya lelaki dan perempuan yang berpakaian seragam hijau atau biru laut berlahu-lahu di sekeliling taman dalam pandangannya. Taman itu dikelilingi tembok batu untuk menghalang pandangan dari luar. Indah sekali formasi taman itu. Taman yang diperhatikan oleh Rani penuh ditanam oleh pekerja berseragam hijau dengan pokok-pokok rendang, bunga-bunga tempatan dan sayur-sayuran hijau. Taman itu mengelilingi dua buah rumah agam yang dibina betul-betul bersebelahan. Rumah ini bukanlah rumah untuk orang biasa. Kedua-dua buah rumah dua tingkat ini merupakan sebuah sanatorium tempat tinggal orang-orang berjiwa kacau sepertinya.
Sudah lama dia tinggal di sini. Semenjak peristiwa letupan yang memusnahkan Asramanita sedekad lalu, Rani telah dihantar oleh pihak hospital ke sini. Selepas peristiwa itu, Rani tinggal beberapa hari di Hospital Sultan Abdul Halim untuk memulihkan kekuatan fizikalnya yang ternyata amat lemah kerana baru saja melahirkan Hazman dan terlibat dengan satu siri peristiwa sehingga meletupnya Asramanita. Dalam beberapa hari dia tinggal di hospital, tak henti-henti dia dikunjungi polis penyiasat dan juga wartawan-wartawan yang mahu mencungkil maklumat daripadanya. Rani memberikan kerjasama pada pihak polis tetapi tidak kepada wartawan yang mengunjunginya. Dia tidak mahu rahsia hidupnya menjadi tatapan umum. Dia kasihan pada ibunya yang saban hari menemaninya. Takut-takut kalau terguris lagi hati ibunya itu apabila ceritanya tersebar merata. Dia tinggal di hospital beberapa hari sampailah masa dia dibenarkan keluar.
Akan tetapi ketika pulang ke kampung halaman, Rani menjadi semakin gusar kerana tertunggu-tunggu berita tentang Hazman daripada pihak polis. Tubuhnya semakin susut sesuai dengan peningkatan kerisauan dan kurangnya dia menjamah makanan. Dari pagi hingga ke malam dia menangisi kehilangan dua lelaki yang sungguh disayanginya. Akhirnya selepas sebulan sepuluh hari berlalu, jiwa dan fikiran Rani jadi tak keruan. Dia hilang kesabaran. Ada masanya dia meracau-racau sendirian hingga menyebabkan ibunya takut dan menangis-nangis melihat keadaannya yang sangat menyedihkan. Hatinya meronta-ronta untuk keluar mencari anaknya. Lalu dia menyelinap keluar dari rumah pada malam keempat puluh satu selepas dia pulang. Bagaimanapun hasratnya tak kesampaian kerana di perhentian bas ada orang yang mengenalinya dan telah memujuk lalu membawa dia balik ke rumah. Beberapa kali dia cuba lagi lari dari rumah. Akibatnya, di atas nasihat pihak polis dan ahli psikologi yang memeriksa keadaannya, ibunya terpaksa membenarkan Rani untuk dirawat di sanatorium ini.
Pada mulanya Rani terpaksa dikurung dalam bilik tak bertingkap dan diberi dadah penenang untuk mengurangkan kegilaan. Dia menjerit-jerit, memaki-hamun semua orang, menangis tak berhenti-henti serta menunggang-terbalikkan bilik kurungannya. Menurut hatinya mereka tidak faham bahawa dia saja yang ada intuisi di mana untuk mencari anaknya. Dia percaya pada gerak hatinya bahawa Hazman pasti ada di sebuah rumah di tepi pantai. Rumah itu berada di satu tempat yang sering tertunjuk dalam mimpinya. Dia mesti pergi ke tempat itu. Dia mahu mendakap kembali anaknya yang telah hilang. Pada fikirannya pihak polis langsung tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari anaknya. Sudah puas dia menerangkan rupa rumah yang muncul dalam mimpinya pada pegawai penyiasat yang datang melawat. Sudahnya dia menganggap tak berguna lagi dia merayu pada pegawai itu mahupun pada doktor yang merawatnya kerana menganggap penerangannya hanya satu halusinasi sahaja. Lalu dia tenggelam dalam pemikiran yang bukan-bukan. Tidak mahu mandi dan tidak mahu makan. Tidur hanya sedikit kerana gangguan mental yang sangat mendalam.
Bagaimanapun, usaha doktor psikologi yang merawatnya bertahun-tahun akhirnya dapat mengembalikan sedikit kewarasan pada kognisi Rani. Maka Rani telah dipindahkan ke bilik baru yang bertingkap serta mempunyai teman sebilik. Akan tetapi, Rani selalu dilanda kemurungan. Dia lebih suka duduk sendirian, tidak keluar berjalan-jalan di taman dan tidak berbual dengan sesiapa pun. Seluruh kehidupan sosialnya telah ditutup sepenuhnya. Bagi Rani, hidupnya takkan sempurna tanpa Hazman. Namun mati bukan satu pilihan. Oleh itu, dia memilih untuk mempertahankan nyawanya dengan harapan untuk menunggu agar satu hari nanti dia dapat dipersatukan dengan anak tunggalnya itu.
Dalam kehidupan manusia sering saja ada kebetulan. Empat tahun dahulu dengan usaha yang gigih seorang pelajar bernama Busqina telah mencapai ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi klinikal dari sebuah universiti yang hebat di Amerika Syarikat. Sekembalinya dia ke tanah air, doktor muda ini telah memperoleh jawatan sebagai ahli psikiatri junior di sebuah sanatorium bernama Rumah Kasih Delima di bawah penyeliaan seorang pakar psikiatri bernama Dr. Hadi yang sudah lebih dua puluh tahun berkhidmat di situ. Sama ada takdir atau secara kebetulan, di Rumah Kasih Delima ini jugalah Rani tinggal sekarang. Kemudian pula, di antara ramai-ramai pesakit, terpilih Rani sebagai salah seorang pesakit di bawah pengawasan Busqina.
Pada mulanya memang sukar untuk Busqina mendekati dan memahami jiwa pesakit-pesakitnya meskipun ilmunya sudah tinggi. Sedikit demi sedikit ilmu yang telah dipelajari di universiti dahulu dipraktikkannya dalam amalan sehari-hari dan akhirnya mematangkan kerjaya Busqina. Kebijaksanaan dimiliki dan ditambah pula dengan kelembutan pendekatan seorang wanita membantu Busqina untuk menangani segala permasalahan yang ditimbulkan oleh pesakit-pesakit mentalnya sehingga beberapa tahun selepas itu dia tidak lagi menjadi doktor junior di situ. Dia kini adalah di antara pakar psikiatri utama di sanatorium ini. Begitulah qada’ dan qadar menjalinkan bebenang dunia manusia dalam siratan masa dan ruang tiga dimensi.
Awal perkenalan, Busqina mendapati Rani masih lagi berada dalam kemasyghulan yang mendalam. Walaupun Rani sudah mahu menguruskan diri sendiri ketika dia menemuinya, tetapi masih lagi dia tidak mahu berkomunikasi dengan sesiapapun. Dia hidup dalam dunianya seorang. Wajahnya sering tergambar kekecewaan dan kesedihan. Badannya kurus melidi kerana kurang makan. Cuma kadang-kadang sahaja Busqina ada menerima laporan Rani turun ke dewan makan untuk menjamah sedikit makanan. Itupun dia akan duduk sendirian di dewan makan itu dan langsung tidak mempedulikan sapaan orang. Apabila berjalan, Rani lebih suka menunduk dan menutup seluruh wajahnya dengan rambut yang panjang. Ternyata untuk mendekati Rani memang sangat sukar. Namun demikian, selepas empat tahun merawat Rani, Dr. Busqina sudah boleh berkomunikasi sedikit-sedikit dengannya.
“Assalamualaikum!” Kedengaran salam diberi seraya diikuti dengan beberapa kali bunyi ketukan di pintu lantas mengejutkan Rani dari lamunannya.
Rani masih tidak menoleh kerana begitu asyik memerhatikan pekerja dan pesakit rumah itu melakukan aktiviti mereka di bawah atau mungkin saja dia tidak mengendahkan salam dari doktornya. Busqina pun masuk apabila pintu bilik Rani dikuaknya. Ternampak olehnya Rani sedang duduk tegak di hujung katilnya sambil membelakangkan pintu. Bagi Busqina, perbuatan Rani itu membawa erti yang tersendiri. Dalam diam-diam dia menafsirkan bahawa minda Rani mahu keluar dan menikmati warna-warni hidupan di taman.
Akan tetapi, nuraninya enggan menerima keindahan itu kerana dia telah kehilangan jantung hatinya sejak sedasawarsa yang lalu. Maka segala nikmat kehidupan hanya tertumpu pada cinta yang tersemat kukuh di hati. Hati yang sering memendam rindu tak terubat rasa pedihnya kuat sekali. Andai Hazman, si jantung hatinya berjaya ditemui, akan pasti kembali kesihatan fizikal dan mental Rani. Namun bagaimana mungkin itu terjadi kerana entah di mana dia berada atau entahkan sudah mati anaknya itu. Sungguh, jiwa yang pernah mengalami kehilangan sebesar ini hanya ada harapan sebagai ganti.
“Assalamualaikum,” sekali lagi Busqina mengucapkan salam ketika dia berdiri hampir di sisi Rani.
Perlahan-lahan Rani mendongakkan wajahnya menatap senyuman manis doktor yang baik hati ini. Bibirnya bergerak-gerak sedikit tanda Rani menjawab salam tanpa membuka mulut mengeluarkan suara. Begitu berat mulutnya untuk dibuka.
“Rani, pagi ini cuaca baik sekali. Hujan malam tadi menambahkan seri kehijauan dedaun di taman. Aku ingin sekali duduk di bawah sana. Mau tak Rani mengikutku sekali?” ujar Busqina sambil memujuknya supaya keluar dari biliknya untuk menghirup gas oksigen segar.
Doktor psikologi muda ini percaya bahawa menikmati kesan terapeutik alam merupakan salah satu kaedah untuk mengubati penyakit jiwa. Rani hanya terdiam. Busqina menunggu jawapan darinya dengan sabar.
“Mari, kita jalan sama-sama ya,” Busqina mengajak lagi tetapi kali ini ada gesaan lembut apabila dia mendepakan tangan kanannya ke belakang Rani lalu perlahan-lahan memeluk sekaligus mengangkat tubuh Rani agar dia berdiri.
Tanpa ada bantahan, Rani bangun menuruti kehendak Busqina. Mereka pun berjalan bersama-sama menuruni tangga hingga keluar sampai ke taman bunga sanatorium itu. Sama-sama berjalan menuruti susur bengkang-bengkok di taman itu, Busqina bercerita tentang kisah komedi yang dilihatnya di televisyen pada malam tadi. Rani hanya berdiam diri. Akan tetapi Busqina tidaklah berkecil hati kerana dia tahu kalau Rani tidak suka mendengar ceritanya, pastilah dia sudah pergi memencilkan diri dan tidak lagi mahu bersiar-siar bersamanya kini. Orang yang sedang murung sangat jujur dalam pergaulan kerana tidak ada tempat di dalam hatinya untuk menjaga perasaan orang lain.
Busqina terus bercakap-cakap kosong pada Rani sambil berjalan perlahan-lahan. Apabila terlihat ada bangku kosong mereka berhenti lalu duduk melabuhkan pandangan pada keindahan potret pemandangan buatan. Pokok bunga kertas, bunga raya, bunga matahari dan sebagainya ditanam secara berkelompok-kelompok. Pokok-pokok rendang pula memayungi bunga-bunga tersebut. Kehijauan daun yang disulamkan dengan warna putih, merah dan kuning benar-benar menyegarkan minda. Tembok batu berwarna perang pula menjadi latar untuk figura warna-warni kemesraan alam buatan ini.
“Tengok! Ada burung cenderawasih hinggap di pokok itu,” ujar Busqina seraya menunjukkan seekor burung yang berkepala kuning, berbadan hitam dan berekor panjang berwarna putih pada Rani.
“Masya-Allah, cantiknya burung ini,” pujinya.
“Kan elok kalau kita boleh terbang seperti burung. Kita boleh pergi ke mana saja yang kita mahu,” dia menyambung lagi percakapan.
Busqina dapat melihat mata Rani merenung dengan bersinar-sinar pada burung cenderawasih yang sedang bertenggek di dahan sepohon kayu.
“Kalau boleh terbang, Rani nak pergi mana?” tiba-tiba Busqina melontarkan satu soalan.
Rani mengalihkan pandangannya pada wajah Busqina. Bibirnya bergerak-gerak. Busqina menunggu jawapan daripada Rani dengan penuh sabar.
“Aku mahu terbang mencari Hazman,” balas Rani perlahan dengan suara yang terserak-serak.
Akhirnya dia telah memecahkan kebungkaman dirinya. Busqina terdiam sebentar untuk mengatur strategi seterusnya.
“Oh, kalau begitu aku pun nak ikut sekali, boleh?” soalnya lagi. “Aku mahu tolong kau cari dia.”
“Doktor mana boleh terbang. Sayap pun tak ada,” Rani membalas lagi.
Busqina ketawa kecil mendengar jawapan Rani. Dia tersenyum lalu berkata,
“Memang aku tak bersayap. Tapi kalau Rani nak tau, aku ada satu rahsia untuk terbang. Maukah kau mendengar rahsiaku ini?”
Rani memandang tepat kepada Busqina. Ekspresinya berubah seperti mahu tahu rahsia itu. Apabila doktor itu membalas pandan- gannya, dia tunduk dan terangguk-angguk saja.
“Sebenarnya, Rani, aku boleh terbang ke mana saja dalam mimpiku. Cuma aku tak mampu nak ajak kau sekali kerana kau tinggal di sini.” Secara tidak disangka-sangka Busqina telah menceritakan kebolehannya pada Rani.
Tanpa ditanya, Busqina terus menceritakan lagi pada Rani ba- hawa dia pernah terbang dalam mimpinya pada satu dekad dahulu dan pergi ke Asramanita. Dari situ dia telah tahu serba-sedikit apa yang telah terjadi di sana. Inilah kali pertama Busqina bercerita dengan lebih lanjut akan kebolehan istimewanya kepada pesakit yang sudah dianggap sahabat baiknya di sini. Malah, Rani hanya orang yang kedua tahu tentang itu selepas arwah neneknya dahulu. Rani yang sebaya usia dengan Busqina hanya diam mendengar memberi tumpuan sewaktu Busqina membuat penjelasan. Busqina pun bercerita lagi.
“Aku dapat merasakan bahawa Hazman telah diculik oleh sekumpulan syaitan jin yang mahu membelanya. Kalau tidak, buat apa mereka bersusah-payah membuka Asramanita dan menjaga ibu-ibu hamil di situ. Sudah lama aku tercari-cari di alam mimpi kalau-kalau ada petanda ke mana mereka telah bersembunyi. Tapi sampai sekarang tak kuketemui maklumat yang mencukupi. Terlalu luas alam mimpi ini untuk kuterokai. Aku pun tak tahu apa yang mereka mahu lakukan dengan bayi-bayi yang diculik itu. Tapi aku rasa mereka semua masih hidup lagi dan mahu dipergunakan oleh syaitan. Jadi aku mahu tahu apa yang telah berlaku pada kau dari awal lagi. Bolehkah kau menceritakannya padaku, wahai sahabatku?”
Busqina cuba mengumpan Rani agar mereka terus dapat berbual. Sepanjang empat tahun dia telah mengenali Rani namun barulah kali ini dia mendapat peluang untuk mencungkil rahsia hatinya. Akan tetapi apa yang berlaku hari ini bukanlah datang tiba-tiba entah dari mana. Sebaliknya, Busqina telah berusaha dalam tempoh yang sangat lama untuk mendekati dan memperoleh kepercayaan pesakitnya ini. Dia telah merancang dengan teliti dan berhati-hati agar tidak bertindak keterlaluan lalu menyebabkan Rani terus menjauhkan diri daripadanya. Oleh sebab itulah, masa yang sangat lama diambilnya untuk sampai kepada rancangannya pagi ini.
Rani tertunduk membisu. Wajahnya tak berperasaan seolah-olah mahu membekukan kisah hidupnya itu dari diketahui orang. Kedua-dua tangannya disimpulkan dengan kejap sekali. Seketika kemudian dia menoleh kepada Busqina lalu berkata,
“Baiklah, tapi sebelum itu kau harus berjanji untuk merahsiakan ceritaku ini?”
“Beres. Aku janji. Jangan kau risau. Percayalah padaku sepenuh hatimu,” pantas saja Busqina menjawab. Tangannya memeluk bahu Rani dan dengan senyumannya yang manis dia memberi galakan kepada Rani.
Arakian, dari awal, satu persatu, pengalaman pahitnya diterangkan jelas-jelas. Terdedah jua kisah hidup Rani pada Busqina yang mendengar semuanya dengan sepenuh tumpuan. Lantas terbongkarlah jua rahsia hati Rani yang disimpan olehnya selama ekadasawarsa.
Share this novel