Bukan semua orang mahu percaya cerita orang lain. Tambahan lagi andai cerita itu kedengaran begitu pelik atau satu kisah paranormal. Hanya wartawan dari syarikat majalah kecil-kecilan sahaja yang suka mengutip kisah kejadian paranormal yang diceritakan orang. Walaupun tidak banyak majalah yang terjual, tapi cukup sekadar pekerja-pekerja sidang majalah itu mencari makan kerana mereka ada pelanggan setia. Busqina salah seorang daripadanya. Busqina ialah seorang gadis pelajar universiti yang baru berusia 19 tahun. Kini dia sedang bercuti semester di Kampung Tok Junuh, kampung halamannya. Dia baru saja pulang dari kedai buku untuk membeli alat tulis serta senaskhah majalah bertajuk Anomalus keluaran terbaru.
“Misteri Letupan di Merbok” tajuk muka utama pada muka depan majalah. Sekeping gambar sebesar setengah saiz muka depan majalah itu terpampang di bawah tajuk utama. Gambar itu menunjukkan ada bayang-bayang seperti sehelai kain satin hitam sedang terbang keluar dari atas sebuah pintu dengan ternampak sedikit kepala orang mendongak di bawahnya. Empat keping foto kecil yang menampilkan peristiwa sejurusnya disusun di bawah gambar besar itu. Foto-foto itu kabur dan imejnya juga kurang tajam seperti gambar yang pertama. Dengan piksel kamera telefon pintar sahaja nampaknya foto-foto yang terpapar diambil.
Laporan cerita tentang gambar muka depan majalah itu di halaman berikut berbunyi:
“Merbok, 17 Jun – Aktiviti onar sebuah sindiket yang memperdagangkan manusia terbongkar di sebuah desa terpencil 66 kilometer dari Bandaraya Alor Setar. Sindiket itu didapati telah beroperasi sejak dua tahun lepas dengan menggunakan sebuah rumah banglo mewah sebagai tempat perlindungan wanita yang dikenali sebagai Asramanita. Bagaimanapun hasil daripada aduan orang ramai dan siasatan polis didapati selama ini Asramanita beroperasi secara haram.
Satu operasi membebaskan wanita yang dikurung dalam rumah perlindungan itu telah disabotaj oleh pihak yang tidak diketahui dengan letupan bom di tingkat bawah rumah ketika serbuan hendak dijalankan. Tiada laporan kehilangan nyawa dibuat dan kesemua 13 orang wanita hamil yang terperangkap di tingkat atas semasa kebakaran berlaku telah berjaya diselamatkan dengan tindakan berani dan pantas dari pihak bomba. Bagaimanapun, kandungan wanita-wanita itu tidak dapat diselamatkan. Keadaan mereka masih lagi di tahap kritikal dalam pemantauan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah.
Hasil daripada kajian kami, sejurus sebelum letupan satu kejadian aneh telah berlaku. Menurut beberapa orang saksi kejadian yang nama mereka tidak mahu disiarkan mengatakan bahawa mereka ternampak seperti ada bayangan naga sebelum letupan itu berlaku. Salah seorang saksi itu berjaya mengambil video kejadian dengan kamera telefonnya. Berita selanjutnya di mukasurat 6.”
“Busqina!” Baru saja mau menyelak majalah itu namanya sudah dipanggil.
Busqina tak jadi meneruskan perbuatannya sebaliknya terus berdiri sambil menjawab dengan suara yang kuat dan jelas,
“Ya, Nyik.”
“Makan,” dia dipanggil Inyik.
Busqina pun melangkah ke dapur sambil mengelek majalah kegemarannya. Ketika itu, Inyik Busqina sedang menyenduk nasi ke atas pinggan mereka berdua. Busqina langsung duduk. Majalah tadi dibentangkan pada ruang kosong di sebelahnya di atas meja.
“Eh, eh, budak ni. Nak makan nasi ke nak membaca?” soal si nenek secara menyindir.
“Dua-dua sekali pun bolehlah, Inyik,” jawab Busqina selamba. Inyik hanya tersenyum dengan keletah cucu tunggalnya ini.
Wajahnya yang sudah berkedut tetap manis ketika dia tersenyum. Kulitnya cerah dan rambutnya yang panjang disanggul berwarna kemerah-merahan dicelup inai. Ternyata wajah manis Inyik ini ketika muda dahulu pasti cantik nian.
“Jangan lupa baca doa sebelum makan,” tegur inyik sekadar memberi peringatan.
Dia langsung menyudu gulai dan sayur ke dalam pinggannya lalu disalin perbuatan itu oleh Busqina. Kecil saja dunia mereka. Seperti ayahnya, Busqina merupakan seorang anak tunggal. Ibu dan ayahnya sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun dahulu. Busqina turut terlibat dalam kemalangan itu. Pada masa itu, umurnya baru saja dua bulan memasuki sepuluh tahun. Dia yang sedang tidur sendirian di tempat duduk belakang kereta ketika kejadian hanya terjaga ketika mendengar jeritan ibunya. Kemudian ketika kereta itu terjunam dia telah terselamat kerana tidak tercampak terus ke depan. Busqina yang tidur baring di tempat duduk belakang telah terlambung ke atas, melanggar bumbung kereta dan kemudian terhenyak ke ruang letak kaki di belakang itu lalu pengsan semasa kereta terhentak di dasar gaung. Akibatnya dia koma selama enam hari dan akhirnya bangkit di hospital dalam keadaan trauma.
Trauma kemalangan yang dialami oleh Busqina mengambil masa empat tahun untuk pulih. Sepanjang tempoh itu, dia berulang-alik ke hospital untuk menjalani sesi kaunseling. Kemalangan yang hampir meragut itu sering saja membawa mimpi-mimpi yang ngeri dalam tidur Busqina. Namun, tragedi itu bukan hanya memberi kesan buruk dalam hidupnya, malah ada jua kelebihan pada diri Busqina. Kontradiksinya, pengalaman pahit yang berjaya diatasi kesan traumanya selepas tempoh yang lama membuatkan semangat Busqina menjadi lebih kental dan akalnya menjadi lebih cepat matang. Bahkan mimpi-mimpi yang datang dalam tidurnya telah dapat dijadikan ubat kerinduan Busqina untuk melihat ibu dan ayahnya.
Arwah ayah Busqina merupakan seorang peniaga kain yang berjaya. Kedai-kedai kain miliknya masih terurus sehingga kini dan Busqina mendapat sebahagian dari untung bulanan kedai-kedai itu kerana pewaris perniagaan ayahnya ialah neneknya ini yang sedang menyuap makanan dengan enak sekali. Bagaimanapun neneknya yang duduk jauh di kampung telah mengamanahkan perniagaan itu kepada abang ibunya untuk diuruskan.
Selepas sembuh, Busqina telah memohon pada neneknya untuk tinggal di sebuah bilik di sebuah masjid yang pernah didirikan ayahnya. Rumah lamanya dibiarkan saja kosong cuma diupah orang oleh pakciknya untuk dijaga. Nenek dan pakciknya itulah yang mengatur segala urusannya. Segala urusan Busqina diatur dengan baik oleh pakcik dan neneknya supaya dia boleh terus bersekolah seperti biasa biarpun sudah menjadi anak yatim-piatu. Busqina sendiri yang memilih untuk tinggal di dalam masjid itu kerana dia tidak lagi betah tinggal di banglo lamanya. Dia berasa selesa dan sempurna walaupun tinggal di dalam sebuah bilik kecil di dalam masjid itu. Tambahan lagi, ada jiran yang baik-baik tinggal di kiri-kanan masjid itu untuk mengawasi keberadaannya. Walaupun mula-mula kedua-dua penjaganya tidak boleh menerima keputusan itu, tapi akhirnya mereka terpaksa tunduk pada kehendak kuat Busqina; budak yang hanya berumur 14 tahun ketika itu. Jadi akhirnya tinggallah dia di dalam masjid menuntut ilmu sehinggalah dia pergi ke universiti luar negeri selepas tamat persekolahan di sini.
Sambil makan, Busqina membaca. Memang hobinya suka membaca. Malah, akhbar pembalut nasi lemak pun boleh jadi bahan bacaan Busqina. Sejak tingkatan lima lagi majalah Anomalus ini memang selalu dibelinya. Dia mempunyai minat yang mendalam tentang dunia misteri. Dalam dunia misteri, segala kemungkinan boleh terjadi. Dalam dunia misteri, kejadian yang tidak boleh diterangkan oleh akal dengan penaakulan berstruktur lagi logik berlaku. Hanya penerangan yang tidak saintifik sahaja yang ada. Itupun bukan semua boleh diterima akal. Belum lagi ditambah dengan cerita tipu dan konspirasi. Kendatipun sedemikian senantiasa ada orang yang cuba menerangkan kepelikan yang terjadi dengan sedaya-upaya berlandaskan kepada pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh mereka seperti yang dilakukan oleh wartawan-wartawan majalah misteri ini. Sungguh manusia itu pelbagai ragamnya. Persepsi kebenaran berlainan tahap pada setiap orang. Keupayaan membuat persepsi ke atas fakta-fakta yang mendatang memerlukan kebijaksanaan serta keyakinan yang tidak tergoyahkan. Diam-diam Busqina dan neneknya makan sambil dia membaca. Entah apa yang dimakannya; semuanya sedap sahaja.
Neneknya yang turut membaca sedikit-sedikit secara terbalik mencelah secara tiba-tiba,
“Eh! ni bukan kisah pasal rumah jagaan wanita yang meletup dua minggu lepas, kan? Yang katanya sebab kebocoran gas, betul tak?”
“Betullah tu, inyik, tapi kat sini ceritanya lain sikit,” balas Busqina.
“Ni ha, wartawan ni cakap dia dapat interbiu salah seorang keluarga saksi kejadian. Semua cerita mereka sama aja dia kata.”
“Apa yang dia cakap?” tanya Inyik. Aktiviti makan masih berterusan.
“Mmm... dia cakap sebelum letupan tu ada orang ambil video guna telefon. Video tu tunjuk masa mula-mula polis nak serbu Asramanita ni,” jawab Busqina seraya jari telunjuk kirinya menunjukkan kepada Inyik gambar rumah agam terbabit yang terpampang di mukasurat enam majalah itu.
“Tapi kan, Nyik, wartawan ni cakap video tu tak boleh tunjuk.
Nanti kecoh.”
“Tak ada videolah macam tu,” Inyik membuat kesimpulan pantas.
“Entahlah, nyik. Lepas tu kan, Nyik, dia kata saksi tu dah padam video dalam telefon dia selepas dia tahu ada larangan polis. Tapi sebelum itu ada salah seorang daripada keluarga dia sempat membuat satu salinan dan kemudian ditunjukkan pada wartawan ni. Ini dia cakap dalam pengakuan benarnya.”
Cucu yang keletah itu dengan suara yang kuat pun membaca kepada neneknya.
“Saya sendiri telah menyaksikan video ini. Bagaimanapun di atas sebab-sebab keselamatan saya dan sumber utama, maka saya hanya boleh memberi lima keping gambar di halaman hadapan dan menceritakan setakat mana yang saya dapat siasat di sini yang tak semestinya benar tetapi masih saya rasakan penerangannya boleh diperhalus oleh para jauhari.”
Maklumat yang disampaikan dalam majalah itu bukanlah banyak atau lengkap, tetapi tak jua jauh daripada peristiwa sebenar. Mereka duduk-duduk dan berbual-bual lagi tentang artikel itu selepas makan. Apabila malam sudah melabuhkan punggungnya maka mereka pun tidur setelah selesai urusan apa yang patut.
Memang awal mereka tidur kerana pukul tiga pagi keluarga kecil ini mahu bangun. Biarpun berdua namun mereka tetap bersyukur kerana kasih sayang berkembang mekar antara mereka berdua. Nenek dan cucu ini bangun di kala dinihari untuk beribadah. Mereka akan tidur semula selepas sejam dua. Sebelum melelapkan matanya buat kali kedua, Busqina teringat kepada Asramanita. Dalam gelap dia mengalih tubuhnya agar menghadap wajah neneknya di sebelah.
“Inyik,” Busqina memanggil tetapi tiada jawapan.
“Inyik!” Dia mengeraskan sedikit suaranya.
“Huh, ya, Bus. ada apa?” Inyik yang baru terlelap itu tersedar semula.
“Inyik, jom pergi rumah tu,” ajak Busqina pada neneknya.
“Bus nak buat apa? Eh, cucu aku ni. Pelik-pelik aja cakap. Nyik nak tidur ni.” Selepas berkata sedemikian inyik pun mengiringkan badannya ke arah bertentangan tanda malas melayan kerenah cucunya.
Busqina tidaklah pula merajuk ataupun marah. Dia boleh saja pergi sendirian. Tempat itu sudah ditinggalkan. Tiada orang pun di sana. Cuma dia agak khuatir kalau pergi bersendirian. Akan tetapi dia begitu teruja untuk mencuba. Dia memfokuskan tumpuan ke destinasi yang ingin ditujui dengan membina gambaran di dalam otaknya foto-foto Asramanita yang dilihatnya dari majalah Anomalus. Tak sampai lima minit begitu akhirnya dia terasa badannya bergetar seolah-olah direnjat elektrik berarus lemah.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penerangan saintifik sudah menjadi trend pada zaman terkini. Fikiran manusia menjadi semakin sofistikated, rencam, rumit dan runcing di penghujungnya serta banyak tertumpu pada lapangan ilmu mantik mengikut logik akal yang dididik dengan ilmu sains dan matematik. Kurik-kurik kejadian pelik tapi benar yang dilaporkan sekali-sekala berlaku di seantero muka bumi di dalam interaksi antara fabrik masa dan rentangan graviti selalunya hanya dianggap sebagai anomali. Anomali itu mengganggu tertib suatu sistem. Penyimpangan dari kebiasaan nan normal menimbulkan peristiwa anomali. Walaupun umum akan mengakui kekurangan peralatan sains untuk mengkaji anomali-anomali ini, namun sains moden masih mahu mendabik dada mengakui pasti ada satu penerangan saintifik tentang tiap satu peristiwa. Memang sudah begitu gayanya terang tak perlu disuluh lagi itulah kehendak era ini, zaman Informasi. Setiap penjelasan mesti disertakan bukti. Mana-mana penjelasan yang tidak mempunyai bukti saintifik akan ditolak dalam polemik atas dasar tidak akademik. Lantas bahan-bahan itu hanya layak menjadi isi kepada wadah majalah dan akhbar tabloid sahaja.
Busqina berdiri seorang diri di atas tapak Asramanita. Dia datang untuk mengimbas kejadian sebenar yang pernah berlaku di situ. Di tengah-tengah tapak rumah dia berdiri. Hanya sisa-sisa kebakaran yang masih tinggal setelah dua minggu berlalu. Rumput dan anak-anak pokok mulai tumbuh di atas tanah hitam kehangusan; mencelah-celahkan kehidupan di antara abu dan arang. Lama juga dia berdiri sambil memerhati keadaan keliling. Tubuh fizikal Busqina sebenarnya bukan berada di situ. Cuma refleksi batinnya yang telah sampai dahulu. Busqina sedar bahawa dia sedang bermimpi. Dalam mimpinya itu dia mampu mengawal diri ke mana dia mau pergi. Sebelum tidur memang dia hanya memikirkan bagaimana agaknya keadaan di sini. Dalam mimpi dia hadir tanpa perlu mematuhi hukum fizik. Meskipun zahir dan batin Busqina masih berbaring di sebelah inyiknya, namun yang sedang berdiri di atas tapak rumah penuh misteri ini ialah imej kepada batinnya yang memiliki kesedaran di dalam alam mimpi.
Puas memandang dia tunduk sebentar. Seuntai tali cahaya berwarna perak pudar bersambung pada buku lalinya. Tali itu merupakan satu untaian tenaga bersambung dengan tubuh asalnya dan takkan putus selagi nyawanya dikandung badan. Andai dia berfikir saja mahu pulang, maka tali tenaga inilah yang akan menariknya segera balik kepada badannya yang sejati.
Apa yang dialami oleh Busqina bukan suatu perkara yang biasa. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh dapat mengawal dirinya dalam mimpi. Cuma yang dia tahu, kadang-kadang kalau dia berdoa dengan banyak dan menumpukan fikirannya ke mana dia mahu pergi dalam mimpi, maka dia dapat pergi ke destinasi yang ingin dituju. Walaupun dia tidak boleh mengambil sebarang benda fizikal yang ditemuinya dalam mimpi untuk dibawa balik ke alam sedar, tetapi Busqina masih boleh memperoleh pengetahuan yang banyak sekali. Semenjak tiga tahun lalu, telah kerap Busqina meneroka alam mimpi dengan kesedaran sejati. Sungguh istimewa kebolehan Busqina ini. Mungkin saja kemalangan yang pernah dialaminya sewaktu kanak-kanak telah memberinya keistimewaan ini. Hanya itu saja penjelasan yang boleh difikirkan oleh Busqina sebagai justifikasi kepada keupayaannya yang unik ini.
Sambil berdiri Busqina meneliti keadaan di sekelilingnya. Sewajarnya waktu itu masih gelap, namun Busqina mampu melihat dengan jelas seolah-olah berada di situ di siang hari. Malah penglihatannya lebih terang lagi kerana dia bukan sahaja dapat melihat situasi semasa di Asramanita malah dalam mimpinya, Busqina dapat mengesan tinggalan tenaga yang masih ada. Rumah agam di hadapannya kelihatan seperti dibina daripada dinding-dinding hologram suram. Lalu setelah memberanikan hatinya, Busqina melangkah masuk. Dia cuba mengesan kehidupan yang pernah ada di situ. Maka, perlahan-lahan timbul kelibat bayang-bayang gadis-gadis yang pernah tinggal di rumah itu. Busqina nampak dengan jelas benar mereka semua sedang melakukan aktiviti yang pelbagai dalam keadaan mata mereka terpejam. Ada yang sedang berjalan, ada yang duduk termangu di dalam bilik masing-masing, ada yang menjahit, makan dan macam-macam lagi. Selain itu, Busqina juga nampak bahawa perut gadis-gadis itu memboyot tanda kehamilan. Gadis-gadis yang dilihatnya beredaran dalam rumah itu hanya melakukan aktiviti biasa tanpa menimbulkan sebarang keraguan pada Busqina.
Busqina memang mengetahui bahawa yang dilihatnya hanya imej tinggalan tenaga daripada bayang-bayang manusia kerana sudah biasa meneroka alam mimpi. Seperti semua orang yang ditemuinya dalam mimpi, mata mereka akan terpejam sahaja. Tetapi hanya di sini dia melihat tiga lembaga lain yang berbeza sekali rupanya. Ketiga-tiga jasad itu langsung tidak nampak wajah sebenarnya. Tubuh mereka bersusuk seperti manusia tetapi dilindungi aura kegelapan dan yang dapat dilihat Busqina hanya mata mereka yang bersinar- sinar kegarangan. Satu daripada mereka bermata merah seperti saga dan dua lagi bermata kuning seperti kunyit. Lembaga yang bermata kuning hanya berdiri kaku pada tempat tertentu di dalam rumah itu sedangkan yang bermata merah menyala dilihatnya sedang duduk di dalam sebuah bilik yang besar di tingkat bawah. Ternyata mereka pasti bukan manusia sejati. Entiti yang sangat berlainan ini menyebabkan timbul rasa takut pada Busqina. Seolah-olah mereka boleh tahu akan kehadirannya di sini.
Bagaimanapun, Busqina tidaklah lari tetapi sebaliknya menjadi lebih berminat lagi untuk mengetahui hal-hal selanjutnya. Dia tahu kehadirannya bukanlah secara fizikal dan tambahan lagi mereka ini hanya tinggalan tenaga penghuni Asramanita seumpama cop yang meninggalkan kesan di atas kertas. Walaupun cop itu sudah tiada, tetapi di atas kertas itu masih ada lambang atau nama yang dicop di situ. Oleh sebab dia telah berlatih bertahun-tahun, Busqina dapat membaca kesan tinggalan tenaga itu lalu membentuk imej asalnya semula.
Mindanya penuh persoalan yang ingin dijawab. Lantas dia menumpukan fokusnya pada tiga entiti itu. Dilihatnya kedua-dua lembaga bermata kuning hanya berdiri diam-diam dalam rumah itu sambil memerhatikan penghuni-penghuninya. Lalu Busqina mengubah pemerhatiannya pada lembaga bermata merah pula. Lembaga itu sedang duduk bersimpuh, kepalanya terangguk-angguk dan semangkuk dupa yang sedang berasap sebesar dua tapak tangan terletak di hadapannya. Busqina mendekatinya. Dia terden- gar seperti lembaga itu sedang menghafal sesuatu. Busqina datang semakin dekat sehingga telinganya berada betul di sebelah kepala lembaga itu. Apa yang didengarinya tidaklah dapat difahaminya walaupun beberapa lama dia memasang telinga. Tiba-tiba lembaga itu menoleh kepadanya. Matanya yang merah seperti nyalaan lidah api sungguh mengejutkan Busqina. Dia terkaku sebentar. Ketakutan memenuhi seluruh jiwanya. Hatinya bergentar lalu dia berundur. Fikirannya segera terfokus kepada tubuh fizikalnya yang sedang berbaring di sebelah inyik. Secepat kilat dia mundur ditarik oleh tali perak yang menyambungkan tubuh fizikalnya dengan dirinya di alam mimpi ini. Mundur dan mundur lagi dari rumah itu sehingga Busqina nampak hanya dunia yang hitam.
“Busqina! Bangun cepat, solat.” Busqina terkejut dari tidurnya serta-merta.
Cepat-cepat dia beristighfar lalu kemudian membaca doa kesyukuran kerana sudah terjaga. Ternampak olehnya wajah neneknya yang dibasahi air tanda dia sudah berwuduk. Lalu dia bangun dengan cepat kerana dia tahu inyik akan menunggunya untuk solat bersama-sama. Usai saja solat Busqina pun menceritakan mimpinya pada inyik. Tiada rahsia antara mereka. Sebagai orang tua yang ban- yak pengalaman dan pengetahuan, Inyik merupakan sumber ilmu mistis yang takkan dapat diperoleh Busqina dari universiti tempat dia belajar.
“Apa yang kamu nampak itu Busqina mungkin syaitan. Agaknya syaitan-syaitan itulah yang membela gadis-gadis tersebut. Bagus siasatan kamu. Jin yang bermata merah itu boleh jadi ketua mereka. Inyik rasa mereka pasti bukan bertiga sahaja. Mesti ada lebih ramai lagi sekuncu dengan mereka. Mungkin gadis-gadis itu telah dipukau kesan dari dupa yang dibakar,” Inyik cuba memberi penjelasan sebaiknya pada cucu yang amat dipercayainya.
“Syaitan dengan jin tak sama ke, Nyik?” tanya Busqina kehairanan.
“Seperti manusia, jin terdiri daripada berbilang bangsa dan mempunyai banyak kerajaan. Tetapi bezanya umur mereka sangat panjang. Jauh lebih panjang dari umur manusia. Maka tersebutlah kisah dalam kalangan mereka terdapat seorang raja yang sangat hebat dan umurnya sudah mencecah puluhan ribu tahun. Kerajaannya paling besar dan luas sekali di alam jin. Tetapi raja ini sangat jahat, kejam, zalim. Kemudian raja ini juga mempunyai rakyat yang berperwatakan sepertinya. Raja ini suka membuat kerosakan, menganiaya dan berperang dengan kerajaan-kerajaan jin yang lain. Malah, kejahatannya telah sampai ke alam manusia sejak dahulu lagi. Lalu orang dulu-dulu memanggil mereka sebagai syaitan. Faham?”
Busqina mengangguk-angguk tanda faham.
Dia bertanya lagi, “Apa yang mereka nak buat dengan gadis-gadis yang dibela di Asramanita tu, Inyik?”
“Inyik rasa bayi dalam kandungan itu yang mereka mahu. Kasihan gadis-gadis itu, dibela macam haiwan pula. Mereka tak penting lagi selepas melahirkan. Sungguh malang nasib ibu-ibu itu. Entah berapa ramai bayi yang mereka dah dapat. Entah apa pula yang terjadi pada ibu-ibu mereka.”
“Wah, takutnya! Eh, tadi Inyik kata mereka nak ambil bayi, buat apa dengan bayi-bayi tu? Syaitan makan bayi manusia ke, Nyik?” tanya cucunya lagi.
Walaupun dia memiliki kelebihan untuk mengembara di alam mimpi, namun inilah pertama kali Busqina bertemu dengan jin dalam hidupnya. Pengetahuannya tentang makhluk itu hanya sedikit. Ternyata ilmunya tentang hal ini masih dangkal sedangkan pengetahuan orang lama lebih berharga daripada seorang pelajar universiti yang naif sepertinya.
“Bukan semua jin makan orang. Setahu Inyik, syaitan yang suka makan daging manusia terdiri dari jin berbangsa Ghíl. Yang paling digemari mereka ialah makan mayat yang sudah busuk. Tapi kalau jin yang suka makan bayi tu, inyik tak pernah dengar pula. Inyik rasa mereka tak makan bayi-bayi itu. Buat apa mereka nak bersusah-payah sampai macam tu sekali. Mungkin mereka ada agenda yang lebih besar lagi. Apa kata Bus siasat lagi. Cari lagi maklumat tentang mereka ini. Tapi kamu kena lebih berhati-hati. Cuba elakkan bertembung mata dengan mereka lagi. Tengok dari jauh sahaja tau. Inyik tak tahu apa yang mereka boleh buat di alam mimpi. Inyik tak ada kebolehan macam kamu. Kalau kamu nampak apa-apa lagi nanti cerita dengan inyik. Mungkin kita boleh bongkar rahsia mereka. Perbuatan mereka ini sangat melampau. Tapi tanpa ada bukti dan pengetahuan yang cukup kita tak boleh bertindak membuta tuli. Padah pada kita pula nanti,” jawapan Inyik disertakan dengan tiga permintaan sekali.
Busqina terdiam memikirkan permintaan Inyiknya ini. Dalam hatinya dia tidaklah merasakan dirinya hebat. Selama ini pun, kembara mimpinya hanya sekadar suka-suka tanpa ada motif untuk bermotivasi. Rasa takut masih menghantuinya walaupun sekadar dia terjeling mata jin dalam mimpinya. Dia juga tahu bahawa perangai makhluk jin memang jahat benar. Namun begitu, dia berasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bayi-bayi yang telah hilang itu sedikit sebanyak jatuh ke bahunya. Kalau tidak, apa gunanya kebolehan yang dimilikinya kalau sekadar hanya jadi permainan seronok-seronok sahaja.
Oleh itu, Busqina berjanji dalam hati untuk menyiasat lagi per- kara sebenar tetapi dengan sangat berhati-hati seperti yang diminta oleh inyiknya. Bagaimanapun, dia tidaklah terlalu yakin dengan kebolehannya berjalan di alam mimpi kerana bukan senang untuk dia dapat mengawal mimpinya dan kebolehan ini baru beberapa tahun saja bermanifestasi dalam dirinya. Tambahan pula, bukanlah tiap-tiap kali terlena dia boleh bermimpi dan pergi ke mana saja yang dimahui. Kadang-kadang jadi dan selalunya tidak. Malah, alam mimpi ini terlalu luas untuk diterokai seorang diri. Bahkan lagi, Busqina tidak pasti selepas Asramanita, arah mana harus dia pergi. Mahu cari tapi tak tahu destinasi. Ingin menghulur tapi tak terjulur. Sudah akhirnya mau sampai ke tua juga kerja ini belum pasti sempurna, fikir Busqina sendirian.
Share this novel