Memang lumrah mana-mana klinik bersalin untuk beroperasi 24 jam setiap hari. Klinik Am dan Rumah Bersalin Harmoni milik Doktor Daffa ini pun serupa juga. Dia telah mengambil empat orang doktor lokum dan enam orang jururawat tetap sebagai pemenuhan keperluan perkhidmatan klinik ini. Doktor lokum yang datang bekerja di kliniknya itu merupakan doktor-doktor lepasan hospital kerajaan yang mengambil keputusan untuk bekerja secara bebas selepas tamat kontrak mereka. Mereka tidak mempunyai modal yang cukup untuk membuka klinik sendiri. Dengan itu, mereka berkhidmat di klinik-klinik swasta seperti milik Doktor Daffa ini. Bagaimanapun, hanya Doktor Daffa seorang yang boleh menyambut kelahiran bayi-bayi dari Asramanita. Memang itulah perjanjiannya ketika Puan Dewi mula-mula datang bertemunya untuk mengikat kontrak perlantikan kliniknya sebagai klinik panel Asramanita. Biarpun agak menuntut tenaganya, Doktor Daffa bersetuju atas dasar kelumayanan upah dari Puan Dewi selain daripada menjaga privasi gadis-gadis yang mengandung di luar nikah dari Asramanita itu.
Doktor Daffa memandang tinggi pada usaha Puan Dewi yang jauh lebih muda daripadanya kerana tanpa bayaran apa-apa dia selalu mengambil dan menjaga gadis-gadis yang mengandung luar nikah serta mencarikan pula keluarga angkat untuk bayi mereka. Puan Dewi pernah bercerita tentang nasib malang gadis-gadis di rumah perlindungannya itu dihalau atau lari dari rumah dan diabaikan oleh teman lelaki mereka setelah didapati mengandung. Menurut Puan Dewi lagi, dia sudah kematian suami dan tujuannya membuka Asramanita sejak kira-kira dua tahun dahulu adalah sebagai mengisi kekosongan masanya dengan kerja-kerja amal. Begitulah kisah yang disampaikan oleh Puan Dewi kepadanya.
Doktor Daffa sedar dari tidurnya dalam keadaan tersentak. Dia mendapati dirinya sedang duduk tegak di atas sebuah kerusi yang empuk. Pusing kepalanya. Pandangannya berpinar-pinar cuba menangkap imej di hadapannya. Sedikit demi sedikit dia dapat mengembalikan daya kognitifnya agar kembali berfungsi dengan normal. Perlahan-lahan akalnya dapat memproses imej dinding dan siling berwarna putih, poster-poster berwarna biru dan merah dan seorang wanita sedang duduk bertentangan dengan dipisahkan oleh meja kerjanya. Segera dia menyedari bahawa dia masih di klinik. Sedaya-upaya dia cuba mengecam wajah wanita berbaju kurung biru berbunga putih di depannya itu.
“Eh, Puan Dewi. Sudah jam berapa ni?” soalan itu segera dijawabnya sendiri dengan melihat pada jam tangannya.
Lima minit lagi ke pukul lapan pagi. Perasaan malu menghambat datang. Entah kenapa selepas menyambut kelahiran bayi Rani malam tadi dia terasa sangat letih lalu langsung saja tertidur sambil bersandar pada kerusi kulit di dalam biliknya di klinik.
“Maaf, puan, saya tertidur. Sudah lamakah puan menunggu saya?” dengan suara yang terserak-serak segera dia meminta maaf kepada klien tetapnya itu.
Puan Dewi memberinya satu senyuman yang sangat menawan.
Bibir merahnya merekah untuk memulakan bicara.
“Tak apa. Doktor pasti keletihan semalam. Saya baru saja sampai dari Asramanita. Selamat pagi, doktor,”
Tekaknya terasa kering sekali. Terasa sukar untuk berbicara lagi, Doktor Daffa terus menuang air dari sebotol air mineral ke dalam sebuah gelas yang terletak di tepi mejanya lalu dia pun minum setelah dia membaca doa dengan perlahan.
Puan Rani menyuakan beberapa keping borang yang telah siap diisi setelah Doktor Daffa meletakkan gelas kosong di tangannya ke atas meja lalu berkata,
“Ini borang berkaitan kelahiran semalam dan borang pelepasan pesakit. Semuanya sudah terisi. Boleh doktor tandatangankan?”
Doktor Daffa berdehem-dehem menyedapkan tekaknya sambil menerima borang-borang itu lalu memeriksanya dengan pantas. Borang-borang itu telah diisi oleh jururawatnya dan dia hanya perlu membuat pengesahan sahaja supaya boleh diberikan kepada Puan Dewi untuk dia membuat surat beranak bayi Rani yang baru lahir semalam. Dia memang telah biasa berurusan dengan Puan Dewi.
Setelah berpuas hati dengan penelitiannya, lalu dia pun menandatangani dan mengecop setiap keping borang tersebut. Kemudian, dia menyerahkan borang-borang itu pada Puan Dewi.
“Puan boleh tunggu sebentar di koridor. Saya mahu memeriksa kesihatan ibu dan bayi dahulu. Kalau tiada apa-apa masalah, puan boleh mengambil mereka pagi ini juga,” kata Doktor Daffa lagi seraya memandang kepada Puan Dewi.
Tanpa sempat mengelak, tiba-tiba Puan Dewi meniupkan serbuk hitam dari tapak tangannya lalu mengenai muka Doktor Daffa. Dalam keadaan kaget, dia duduk kaku di atas bangku.
“Doktor sudah memeriksa mereka,” kata Puan Dewi dengan suara yang lunak benar didengari oleh Doktor Daffa.
“Benar, saya sudah memeriksa mereka,” dia mengulang kembali kata-kata Puan Dewi.
“Ibu dan bayi sihat. Mereka boleh pulang,” kata Puan Dewi lagi dan terus diulang oleh Doktor Daffa.
“Doktor lupakan saja apa yang berlaku semalam,” tambah Puan Dewi lagi.
“Ya, saya sudah lupa,” seperti burung tiung yang diajar bercakap, Doktor Daffa terus mengulang percakapan Puan Dewi kepadanya.
“Saya tak mahu mengganggu kerja doktor lama-lama, jadi saya mahu minta izin dahulu. Teruskanlah kerja-kerja doktor. Terima kasih, doktor,” ujar Puan Dewi seterusnya.
Habis sahaja bercakap, dia bangun dari duduknya dan meninggalkan Doktor Daffa dalam kebingungan akan apa yang dibualkan olehnya tadi dengan Puan Dewi.
Puan Dewi tersenyum sendirian ketika melangkah keluar. Selama ini dia berjaya menipu doktor itu kerana sikap dan tindakan yang ditunjukkannya tidak langsung menimbulkan keraguan. Dengan kesopanan dan kepetahan percakapan, Puan Dewi dapat menampilkan dirinya sebagai seorang wanita bijak yang bersikap malu-malu. Tetapi pada masa yang sama, dia menonjolkan sifat dermawan dan pengasih supaya timbul rasa kehormatan pada orang yang mengenalinya. Malah, dia juga menampilkan gaya anggun dengan sosok tubuh yang tinggi lampai, pakaian yang kemas dan mewah serta hiasan diri yang menonjol agar tinggi impresi orang yang bertemu dengannya. Arakian dengan itu dapatlah dia mengelabui mata orang ramai dan terutama sekali Doktor Daffa agar terlindung dari fikiran mereka bahawa sebenarnya semangat altruisme yang ditunjukkannya hanyalah palsu sahaja.
Puan Dewi masih tenggelam dalam fikirannya walau ketika itu dia sedang memasuki kereta mewah bercermin gelapnya. Tidak dipedulikan langsung Tirmi yang menjadi pemandunya. Dia duduk di tempat duduk belakang sambil menikmati keriangan hari ini. Bersebelahan dengannya ialah sebuah bakul bayi berisikan anak Rani. Hari ini dia dapat menatap wajah bayi yang begitu ditunggu-tunggunya selama ini. Bayi ini hasil perkongsian genetik Rani, Gusman dan juga kekasih hatinya, Burzuglu yang telah berkorban nyawa demi memenuhi rancangan besar mereka. Dia menatap wajah kudus bayi yang tertidur di sisinya. Sungguh mulus wajah yang masih kemerah-merahan itu. Puan Dewi mengusap lembut pipi bayi itu dengan belakang jari telunjuknya. Bayi itu sedikit terkejut. Dengan segera dia menarik tangannya tanpa melepaskan pandangannya pada buah hatinya ini.
Dalam pengiraannya, tepat lapan belas tahun lagi genetik Burzuglu akan bermanifestasi dalam tubuh bayi ini dan menunjukkan kehebatan sebenar percantuman genetik jin dan manusia ini. Bersama-sama dengan bayi-bayi lain yang telah lahir lebih awal dengan kaedah yang sama, Puan Dewi amat meyakini kelak dia akan mempunyai satu barisan laskar manusia yang hebat di bawah perintahnya. Meskipun dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang akan terjadi esok hari, tetapi dia sungguh pasti dengan perancangan dan pelaksanaan yang sangat teliti segala rancangannyaberpotensi menjadi realiti. Kereta mewah itu terus meluncur pergi.
Destinasi mereka bukan ke Asramanita. Dua jam lagi mereka akan sampai ke sebuah banglo di tepi laut. Di sana menunggu jin-jin suruhannya yang bertugas menjaga bayi-bayi yang lahir di Asramanita buat sementara sebelum mereka dipindahkan lagi menyeberang lautan. Puan Dewi ini bukan sebarangan syaitan. Dia ialah Krr-Rachnadewi, jeneral Ifrit kerajaan syaitan Ratu Maimoon, penguasa Lautan Hindi. Di rantau ini, dia ialah kepala ejen risikan syaitan yang paling berkuasa. Operasi sulit Ratu Maimoon di sini hanya dia saja yang tahu dan bertanggungjawab sepenuhnya. Penyamarannya yang hebat dalam bentuk tubuh manusia dan lengkap dengan sifat lemah-lembut tetapi tetap elegan seorang wanita moden dari Nusantara membuktikan kehebatan ilmunya. Demi melaksanakan misi sulit ini, Krr-Rachnadewi mempunyai jin-jin syaitan di bawah perintahnya.
Pertamanya terdapat segerombolan laskar dari bangsa jin Ifrit yang ditugaskannya untuk mengintip gadis-gadis Melayu yang masih suci, lemah pertahanan tubuh dan banyak tenaga negatif berkumpul di dalam badan mereka. Gadis-gadis sebegini mudah digoda agar boleh dinodai lelaki lain. Kemudian, Ifrit-ifrit itu mesti mengor- bankan diri mereka untuk menjadi sebahagian dari kromosom bayi yang hendak dicipta seperti yang dilakukan oleh Burzuglu sebelum ini. Dengan pengetahuannya yang sangat mendalam tentang struktur kimia, biologi dan fizikal manusia, Krr-Rachnadewi mengajar Ifrit-ifrit di bawah kendaliannya akan ilmu ubahan jin tahap tertinggi ini. Namun begitu, Puan Dewi juga mengetahui gadis-gadis dari kalangan manusia hanya dapat mengandungkan seorang bayi ciptaan syaitan dengan kebarangkalian tak sampai pun perpuluhan kosong kosong satu peratus sahaja. Ini kerana terlalu banyak faktor perlu disempurnakan dahulu sebelum seorang bayi bergenetik syaitan dapat dilahirkan. Lebih-lebih lagi ada faktor yang tidak boleh dikawalnya contohnya seperti sama ada bayi itu akan bernyawa atau tidak dan sama ada perkembangan janin boleh menjadi normal atau tidak. Walaupun dengan kemungkinan satu per seribu sahaja, bagi Krr-Rachnadewi itu sudah cukup memandangkan dia mempunyai beribu-ribu laskar Ifrit terlatih yang telah bersedia dan hanya menunggu arahannya sahaja untuk berkorban demi melaksanakan misi besar Ratu Maimoon ini. Tambahan lagi pada zaman ini, di rantau ini, untuk mencari gadis yang memenuhi kriteria diingini bukanlah susah sangat.
Krr-Rachnadewi juga mengetuai sekumpulan jin berbangsa Sílā yang mempunyai tugas khusus untuknya. Sílā berkebolehan untuk menyamar menjadi manusia sepenuhnya dengan memiliki sifat-sifat manusia dan mempunyai emosi yang stabil selain daripada kebijaksanaan yang tinggi. Pembantunya kanannya Tirmi yang sedang memandu dan kesemua jururawat yang bekerja di klinik Doktor Daffa merupakan syaitan dari jin Sílā. Krr-Rachnadewi akan mengajar mereka sedikit ilmunya sebagai upah dan memberi mereka darah segar manusia yang menjadi kegemaran syaitan Sílā ini. Kebanyakan darah yang didermakan orang kepada klinik itu menjadi simpanan makanan mereka.
Sudah dua tahun Krr-Rachnadewi mengaturkan mereka di situ untuk menjaga rahsia rekod pesakit daripada Asramanita dan memerhatikan doktor-doktor yang bertugas di situ terutama sekali Doktor Daffa. Tambahan pula, sekiranya dia menghantar ibu-ibu muda dari Asramanita untuk bersalin di situ, mudah sekali untuk dia membawa keluar ibu dan bayi dari klinik itu tanpa disedari oleh orang lain. Walaupun Krr-Rachnadewi mempunyai ilmu pukau dan hipnosis seperti yang dilakukannya pada Doktor Daffa sebelum dia keluar dari klinik itu tadi, tetapi dia tidak boleh selalu melakukannya kerana perbuatan itu lama-kelamaan akan membuatkan Doktor Daffa menjadi dungu, sedangkan dia memerlukannya untuk menyambut lebih banyak kelahiran lagi di masa hadapan.
Gadis-gadis terpilih yang tinggal di Asramanita semuanya ialah gadis Melayu yang pernah terlanjur di luar institusi pernikahan. Apabila mendapat kepastian yang mereka telah mengandung, maka mereka akan tinggal di rumahnya sehingga sampai tempoh kelahiran. Mereka akan diberi makanan yang menyihatkan dan hidup penuh keselesaan supaya bayi dalam kandungan dapat membesar dalam persekitaran yang bebas tekanan. Selain itu, mereka juga berada di bawah pengaruh jampi-jampi dan bau-bauan mistik yang boleh membuatkan mereka melupakan kenangan silam dan hidup tanpa ada sebarang kerisauan. Apabila tiba waktu untuk melahirkan, maka ibu-ibu muda itu akan dibawa ke klinik Doktor Daffa. Mula-mula mereka akan didaharkan di bawah nama sebenar, tetapi selepas itu segala rekod mereka akan dipadam oleh jururawatnya setelah semua proses selesai.
Setiap orang ibu yang dibawa keluar dari rumah perlindungannya takkan kembali lagi. Puan Dewi melihat mereka seperti haiwan ternakan sahaja. Setelah hasil yang diingini dapat diperoleh, maka bak kata orang habis madu sepah dibuang. Mereka akan dihapuskan dan tempat mereka akan diganti pula oleh gadis lain. Sebaik saja dibenarkan keluar dari klinik Doktor Daffa, ibu-ibu yang baru lepas bersalin itu akan dibawa ke dalam sebuah hutan yang jauhnya hanya sejam lebih sahaja perjalanan dari situ. Mula-mula darah mereka akan disedut hidup-hidup oleh jururawat yang membawa mereka ke situ. Selepas itu mereka akan dicekik sampai mati lalu dibalut dengan plastik dan kemudian ditanam di dalam hutan itu. Mayat membusuk itu kelak akan menjadi upah yang paling enak kepada jin-jin di bawah kendalian Krr-Rachnadewi.
Begitu juga yang sepatutnya terjadi pada Rani. Akan tetapi takdir itu bukanlah suatu yang boleh benar-benar mengikut kepastian perancangan. Tindakan refleksnya menepis jarum picagari yang dicucuk kepadanya semalam menyebabkan hanya sedikit sahaja sedatif yang masuk ke dalam sistem badannya. Oleh itu, dia hanya tertidur dalam masa tak sampai satu jam. Akibat terburu-buru mahu menyelesaikan tugas dengan pantas, maka jururawat itu terlepas pandang dan terus mengangkat Rani masuk ke dalam keretanya. Puan Dewi pula hanya menunggu di dalam keretanya sendiri dan setelah kereta jururawat itu bergerak, Tirmi pun memandunya pulang ke Asramanita. Segalanya itu berlaku tanpa disedari oleh Doktor Daffa yang tertidur di pejabatnya setelah diberikan sedatif dalam minumannya oleh seorang jururawat lagi. Setelah itu, klinik itu ditutup dan hanya dibuka keesokan paginya apabila doktor lokum yang dijadualkan bertugas pada waktu pagi datang.
Dengan hati yang teguh dan usaha yang bersungguh-sungguh, takdir itu boleh diubah. Hanya didorong oleh keinginan yang teguh untuk bertemu kembali dengan anaknya menyebabkan Rani bertindak ganas sekali malam tadi. Memang dia tidak tahu apa yang mahu diperlakukan ke atasnya. Namun demikian dalam situasi kritikal itu, dia hanya bertindak mengikut saranan naluri dan motivasi untuk hidup lagi. Didorong oleh desakan keibuan dan ancaman keselamatan yang meruncing, akhirnya Rani telah menjadi seorang pembunuh. Namun keberadaan mayat mangsanya masih lagi menjadi satu misteri. Yang tinggal hanya tanda hitam berbentuk tubuh manusia yang masih terlekat pada bonet dan papan pemuka kereta itu. Kini dia duduk di tepi kereta itu sendirian. Lama sungguh dia tertidur mengumpulkan kembali tenaga yang terlalu banyak dihabiskan semalam. Benjol di kepalanya sudah pun surut tapi masih terasa sakit lagi apabila dipegang. Baju dan seluar klinik berwarna biru muda yang dipakainya kotor dengan palitan darah dari luka-lukanya dan debu merah dari jalan. Sedikit demi sedikit Rani bangun dengan tangannya menampung berat tubuhnya pada badan kereta itu. Setelah tegak berdiri barulah dapat dia melihat gambaran keseluruhan pemandangan di sekelilingnya.
Pokok rendang yang besar-besar menyejukkan suhu di bawah lembayung dedaun dan memayungi Rani daripada sinar matahari yang mula menegak di langit. Di sana-sini mergastua siang menikmati ketenangan hutan dengan menyanyikan lagu-lagu keriangan. Jalan tanah merah seperti ular dipalu berlopak-lopak menyusur entah ke mana. Lopak-lopak berair menandakan tanah ini baru saja dibasahi hujan. Rumput yang tumbuh melata di atas jalan memberi isyarat bahawa ini bukanlah jalan yang selalu dilalui orang. Tiada pilihan lain bagi Rani selain daripada berpatah balik mengikut kesan tayar kereta yang masih kelihatan. Tanpa membuang masa, dia pun menapak menyusuri jalan tanah merah itu. Badannya yang masih lemah dan sakit-sakit menyebabkan langkahnya perlahan. Tetapi semangatnya masih kuat untuk maju ke hadapan.
Setelah dua jam penuh berjalan akhirnya sampai jua Rani ke pangkal jalan tanah merah itu. Jalan itu bersimpang dengan sebatang jalan raya yang kelihatan lengang dan di kawasan itu masih lagi hutan. Dia tidak terus menunggu di tepi jalan. Sebaliknya dia duduk bersembunyi di sebalik sebatang pokok yang besar. Selang beberapa minit kemudian, terdengar olehnya bunyi kenderaan. Ketakutan segera menyerang hatinya andai kata dia ditangkap semula oleh Puan Dewi. Namun dengan sedikit keberanian dan keyakinan didorong oleh harapan untuk bertemu anaknya, Rani menjenguk dari kejauhan. Tampak olehnya sebuah lori tiga tan yang sarat dengan muatan bergerak perlahan menuju ke arahnya. Rani berlari ke tepi jalan lalu melambai-lambai pada pemandu lori itu. Lori itu berhenti betul-betul di hadapan Rani.
“Encik, tolong saya. Encik, saya nak cari anak saya. Anak saya telah diculik. Tolong, encik, tumpangkan saya,” Rani merayu den- gan suara yang keserakan kerana penat dan kehausan.
Pada mulanya, pemandu lori itu kaget melihat seorang perempuan muda yang kusut-masai di hadapannya. Dipandangnya Rani dari atas sampai ke bawah. Bibirnya kering dan terpecah-pecah. Mukanya kotor dan rambutnya mengerbang tak bersikat. Hanya matanya saja yang berkemilauan penuh dengan harapan untuk diselamatkan. Pakaiannya hanya baju hospital yang telah dikotori merah darah dan tanah.
“Mari naik!” Pemandu itu tahu dia tidak sepatutnya berhenti lama di dalam hutan ini, lebih-lebih lagi dia hanya memandu sendirian. Maka segera wanita yang rupanya comot, selekeh serta berbau darah ini diajaknya naik. Rani masuk dan duduk di sebelah pemandu itu diam-diam. Dia merasa lega sekali kerana dapat duduk di situ. Segera pemandu lori itu menggerakkan lorinya. Kemudian dihulurkan pada Rani sebotol air kosong. Rani minum dengan rakus sekali sambil diperhatikan dengan jelingan kehairanan pemandu lori itu.
Setelah beberapa minit bergerak, barulah pemandu lori itu bertanya pada Rani yang merenung tak berkelip ke arah jalan, “Siapa nama kamu?”
“Rani, encik,” jawabnya ringkas. “Panggil saja saya Pak Gani.”
“Boleh pakcik tanya lagi?” dengan sopan Pak Gani bertanya lagi. Dilihatnya Rani diam sekadar mengangguk sedikit.
“Rani, nak cari anak Rani kat mana?”
“Klinik Am dan Rumah Bersalin Harmoni, tapi saya tak tau kat mana klinik tu. Pakcik tau?”
“Tak tau. Tak pernah pula pakcik dengar nama klinik tu. Pakcik pun bukan orang yang banyak berjalan. Apa yang Rani buat dalam hutan sendirian?” Mendengar soalan itu Rani langsung terdiam.
Dia tak tahu tindakan seterusnya pakcik itu jika dia bercerita perkara sebenar. Apa yang telah dilakukannya di dalam hutan itu bukan suatu perkara kecil yang boleh dilepas pandang. Dia telah bertukar menjadi seorang pembunuh.
Melihat pada renungan Rani yang sedang digenangi airmata, Pak Gani bercakap untuk memberi galakan selepas beberapa minit berdiam.
“Rani tak perlu cerita apa-apa kalau tak percaya kat pakcik.”
“Pakcik boleh rasa pengalaman Rani dalam hutan tu bukan calang- calang. Tapi kalau Rani nak pakcik tolong, Rani perlulah cerita sedikit. Pakcik ni pemandu lori aja, jadi mungkin tak banyak yang pakcik boleh tolong.” Kemudian mereka pun diam lagi.
Rani mengambil masa secukupnya untuk menjawab soalan Pak Gani. Sekali-sekala dia menikmati keselamatan di dalam lori yang sedang bergerak perlahan menyusuri jalan yang sudah hampir ke kawasan perkebunan. Kemudian dia terlihat pula birat-birat pada kedua-dua belah tapak tangannya. Kesan yang membuatkan dia teringat ketika dia menjerut leher jururawat itu dan yang lebih aneh lagi mayatnya telah hilang dalam begitu sahaja. Akhir sekali dia menarik nafas panjang dan memulakan ceritanya.
“Sebelum ni saya tinggal di sebuah rumah perlindungan wanita. Nama rumah tu Asramanita, pakcik. Rumah itu besar sangat. Banyak bilik dan ramai perempuan seperti saya yang tinggal di situ. Pakcik pernah dengar tempat tu?”
Pak Gani menggeleng-geleng.
“Saya ingat ada sawah yang luas di tepi rumah tu. Kemudian malam tadi saya nak bersalin. Jadi Puan Dewi, empunya rumah tu menghantar saya ke klinik tadi. Selepas bersalin, saya tertidur. Kemudian saya terjaga sebab salah seorang jururawat di situ sedang mencucuk tangan saya dengan sejenis cecair. Saya tertidur semula. Lepas tu sedar-sedar saja saya dah ada dalam kereta dalam perjalanan entah ke mana dalam hutan itu. Saya dapat lepaskan diri dan kemudian saya berjalan kaki ke jalan besar,” Rani memberi jawapan yang sewajarnya pada Pak Gani.
Pak Gani memandang Rani dengan penuh kehairanan. Rani memberitahunya kejadian seaneh ini. Tak pasti Pak Gani sama ada untuk mempercayai kisah yang menggemparkan itu. Malah daripada pengalamannya dia dapat merasakan bahawa Rani belum bercerita sepenuhnya lagi. Namun dia tidak mahu bertanya lebih lanjut lagi kerana ada perkara yang lebih penting perlu dibincangkan.
“Pakcik tak ada keupayaan nak tolong Rani banyak-banyak sebab pakcik tak tahu. Apa kata kalau kita pergi buat laporan di balai polis. Pasti mereka boleh tolong dengan lebih baik lagi.” Pak Gani membuka cadangannya.
Rani terdiam apabila mendengar usul yang dibentangkan oleh Pak Gani itu. Pakcik itu terus memandu dengan tenang dalam suasana yang bungkam antara mereka berdua. Hanya deruman lori yang bergerak perlahan itu saja yang kedengaran.
Share this novel