Bab 11: Istana Archaechabuana

Fantasy Series 4911

Istana Archaechabuana istana purba dari zaman raja-raja. Istana kuno yang dibina daripada batu ini berdiri di atas sebuah pulau kecil yang terletak di dalam satu gugusan pulau di penjuru kanan Lautan Hindi. Terlampau kuno sehinggakan pokok-pokok yang menjalari dinding luar istana ini pun sudah beratus-ratus tahun usianya. Bahkan, pokok menjalar berdaun hijau tua dengan akar sebesar lengan itu sudah memenuhi keseluruhan dinding istana dari atas sampai ke bawah hingga hijau sahaja kelihatan dinding istana.

Arya berdiri betul-betul di kaki dinding istana di bawah naungan bayang-bayang. Matahari pagi masih belum kelihatan akibat terlindung oleh ketinggian istana. Awan nipis berarak laju saling mengejar ditiup bayu. Dia mendongak dan ternampak olehnya burung-burung terbang melintas pergi membelah langit biru. Sudah menjadi kegemaran Arya menatap dinding batu hitam yang diselaputi kehijauan dedaun ini. Cuaca baik pagi ini membenarkannya pergi ke pantai untuk berenang bersama sahabat-sahabatnya. Usai saja mandi mereka lalu masuk ke dalam istana meninggalkan dia berdiri sendirian menghadap dinding istana ini seperti selalu. Di mata Arya dinding itu suatu cabaran, satu sumber motivasi dan satu anjakan untuk menguji keupayaan diri selain daripada kepuasan yang sedang menanti. Hari ini dia mesti mengatasi ketakutan diri.

Setelah mengumpulkan semangat dan keberaniannya, Arya menarik nafas lalu menghulurkan tangan kirinya untuk memaut akar pokok di hadapannya. Kemudian, dia mengangkat kaki kirinya lantas berpijak pada dinding batu yang diselaputi dedaun dan akar. Dengan pantas dia menarik badannya ke atas serta mencapai akar yang lebih tinggi dengan tangan kanannya pula. Kaki kanannya pula diangkat lalu kedua-dua hujung kakinya telah berpijak di atas akar yang melekap kuat pada dinding istana. Langkah pertamanya telah pun bermula mengikut jalan yang siap ditentukannya.

Dengan gigih dan berhati-hati Arya meneruskan usahanya. Sekaki demi sekaki dia mendaki dinding tegak itu. Matanya hanya tertumpu pada puncak dan fikirannya hanya membayangkan keseronokan andai boleh tiba di atas sana. Tak sampai 20 minit memanjat, dia sudah sampai separuh jalan. Ketika mahu menggapai akar di atas kepalanya, tiba-tiba dia terpegang satu benda yang licin dan berlendir. Arya terdengar desisan. Dia terkejut.
“Ular!”

Perkataan itu yang terdetik di fikirannya. Tanpa melihat dia menggenggam dengan kuat badan ular yang dipegangnya lalu dia merentap ular itu dari celah akar tempat persembunyiannya. Badan ular itu hijau dan kecil sedikit daripada lengannya. Dengan segera dia mahu mencampak ular itu ke bawah. Akan tetapi genggamannya terlepas kerana badan ular itu begitu licin.

Pada saat yang berbahaya ini, ular hijau itu telah sedia bertindak balas untuk menyerang. Dengan rahang yang terbuka luas, ular itu berpusing lalu menerjah ke depan dan cuba mematuk kepala Arya. Arya mengelak dengan melentukkan kepalanya ke belakang. Tangan kanannya masih berpaut pada seurat akar. Pijakan kedua-dua kakinya telah terlepas, sementara tangan kirinya pula tak sempat berpaut. Kalau tangan kanannya tidak memegang dengan kuat pasti dia akan jatuh. Dia bergantung dengan sebelah tangan sahaja. Bagaimanapun, dia bernasib baik. Ular yang menerjah dan mahu mematuknya telah tersasar disebabkan oleh tindakan pantas Arya mengelak. Ular itu terus terjatuh. Arya memandang ke bawah dan kelihatan olehnya ular itu telah terhempas ke atas lantai batu di bawahnya dengan bunyi berdebap. Ular itu menggeliang-geliut kesakitan.

Cepat-cepat tangan kirinya berpaut dan kakinya dipijakkan semula pada dinding yang berakar-akar itu. Arya dapat merasakan hormon adrenalin dalam tubuhnya mengalir pantas hingga menyebabkan jantungnya berdegup kencang. Peluh jantan menitis-nitis dari liang-liang peluh di badannya. Hampir saja nyawanya melayang. Arya menarik nafas panjang-panjang. Dia tahu dia perlu bertenang dan mengumpulkan kembali semangatnya yang hampir saja terbang kesemuanya kerana kejutan itu tadi. Matanya memandang ke bawah. Ular hijau berperut putih itu kaku sahaja. Nyata bahawa jatuh terhempas ke bawah bukan sembarangan impaknya. Dia mengalihkan pandangannya pula ke atas. “Tak jauh lagi,” getusnya sendirian.

Arya meneruskan usahanya meskipun dia dapat merasakan kelesuan pada otot tangan dan kakinya. Setengah jam berlalu dan akhirnya Arya berjaya juga menjejakkan kaki di puncak dinding yang dipanjatnya. Nafasnya termengah-mengah. Dia berdiri di puncak dinding itu lalu memandang sayup ke bawah.

Di bawah sana ialah lantai batu yang menjadi laman istana. Laman di hadapan istana terbentuk daripada cantuman kepingan batu lebar-lebar yang telah diratakan. Laman batu hitam itu bersambung terus dengan dinding istana. Akar besar-besar berdaun lebar-lebar yang tumbuh dari atas bumbung istana telah menjalar sampai mencecah ke permukaan laman.

Arya memandang lagi ke hadapan. Laman istana menganjur kira-kira lapan puluh meter dari dinding istana sampai ke tepi pantai di pulau itu. Rumput dan beberapa batang pokok kelapa tumbuh memenuhi sebahagian kecil daripada pantai. Selebihnya di gigi air ialah pasir putih yang membentuk lengkungan teluk. Teluk itu menghadap sebuah selat. Selat itu sempit dan batu-batu timbul banyak terdapat di tengah-tengahnya. Nun di seberang selat berdiri teguh segugus pulau-pulau batu yang hijau dengan pelbagai tumbuhan. Jarak teluk dengan pulau terdekat agak jauh juga. Memang tidak terenang oleh Arya kalau dia mahu ke sana.

Berada pada ketinggian itu membangkitkan rasa kebebasan yang mutlak pada Arya. Tampak olehnya ombak bergulung-gemulung mahu menghempas pantai tempat dia selalu mandi. Teluk pantai terlindung daripada pandangan luar dihalangi tebing tinggi berbatu besar-besar di kiri dan kanan. Di belakang tebing terbentang laut biru seluas mata memandang. Kemudian Arya berpusing lalu berjalan setelah puas menikmati keindahan pemandangan pantai pada waktu pagi dari tempat yang tinggi.

Apa yang dilihatnya lagi lebih mempesonakan. Pokok-pokok menjalar berakar gergasi hanya tumbuh di tepian bumbung sahaja. Di tengah-tengah bumbung istana itu tersergam enam buah puncak bukit kecil yang ditumbuhi rumput halus nan kehijauan. Di celah-celah rabung bukit yang di tengah sekali berdiri tegak sebatang pohon berdaun rendang. Dedaun pohon berbuai-buai dilanda bayu laut seolah-olah menggamit Arya datang padanya. Tanpa berlengah lagi Arya berlari ke sana.

Sampai saja, Arya berdiri menopang sebelah tangan pada batang pokok sebesar tiga pemeluknya lalu memandang ke arah lautan nan luas nian. Lautan biru tua yang kosong begitu kontra berbanding langit biru muda di atasnya yang penuh dengan gumpalan awan pelbagai bentuk dan rupa. Sapaan angin silir-semilir pada wajahnya benar-benar mengasyikkan. Entah berapa lama dia berdiri melihat awan-awan sambil dia mengaitkan bentuk awan itu dengan rupa haiwan yang dipelajarinya dalam kelas. Ada yang macam beluncas, ikan, kuda laut dan macam-macam lagi. Fikiran Arya telah melayang dalam euforia menikmati kecantikan alam.

Entah berapa lama Arya terlelap pada perdu pohon itu. Dia hanya tersedar apabila merasakan ada sentuhan lembut pada ubun-ubunnya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Dalam kekaburan pandangan dia nampak satu wajah jelita yang cukup dikenalinya. Wajah berbentuk bujur telur dengan pipi mengkar kemerah-merahan, mata bulat beriris biru serta rambut panjang terurai melepasi paras bahu terbuai-buai ditiup sang bayu. Semakin jelas kelihatan senyuman manis pada bibir merah jambu yang dipagari sebaris gigi putih seragam susunan selepas dua-tiga tika tatapan berlalu. Arya membalas senyuman dengan senyuman.

“Oh, dah bangun pun sayang Bonda ni,” ujar wanita di sisi Arya.
“Hai Bonda,” balas Arya pendek. Masih belum lekang senyumnya lagi.
“Eh, macam mana Bonda boleh ada kat sini juga?” soal Arya kehairanan.

Tak mungkin dia melakukan sepertinya tadi. Fikirannya sedikit keliru lalu dia menyoal lagi.
“Bonda pun panjat dinding istana?”
“Bonda tak berani macam kamu. Mestilah ada jalan lain naik ke sini,” jawab Bonda.
“Oh, habis tu kenapa Bonda tak pernah bawa kami ke atas ni? Kan indah pemandangan di sini?” soal Arya lagi.
“Sini berbahaya. Bonda takut nanti ada kawan-kawan kamu yang berlari-lari di sini dan lepas tu terjatuh pula ke bawah sana. Kan tebing tu tinggi. Dah, mari kita pulang. Puas Bonda cari kamu tadi. Bonda risau kalau-kalau kamu ditimpa kemalangan.”
“Bonda janganlah risau. Dah lama saya fikir nak naik ke sini. Kan Bonda juga selalu pesan kalau nak buat sesuatu kita mesti rancang dahulu. Lagipun saya panjat tadi dengan berhati-hati. Cantiknya tempat ni, Bonda.”
“Lain kali Arya mesti beritahu Bonda kalau nak pergi mana-mana tau. Kalau tidak susah hati Bonda. Nasib baik akhirnya Bonda jumpa kamu di sini.”
“Alaa Bonda ni, kan saya dah besar. Tengok lengan ini, besar tak, Bonda?”
“Bergurau pula kamu ya. Besar sangatlah kamu ni. Nak kena cubit ni.” Bondanya menghulurkan dua jarinya seolah-olah mahu mencubit pipi Arya. Arya lalu berpusing mengelak dan kemudian dia bangun sambil tertawa.
“Tak kena! Tak kena!” Dia membalas gurauan itu.

Kedua-dua mereka ketawa. Kemudian Arya bangun dan memeluk Bondanya yang tersenyum manis.
“Sayang Bonda. Bonda, saya laparlah. Jom balik. Bonda tak beritahu pun ada jalan rahsia naik atas ni. Buat penat aja saya panjat dinding istana tadi.”
“Kamu tu nakal. Macam mana Bonda nak beritahu. Tengok, dinding yang tinggi tu pun kamu panjat. Budak-budak lain pun tak berani nak panjat dinding tu. Nasib baik kamu tak jatuh. Kalau Bonda tak nampak kesan-kesan dinding tu dipanjat dan bangkai ular di bawah sana tadi pasti Bonda tak tau kamu berada di sini. Menakutkan Bonda aja kamu ni. Nah, tarik tangan Bonda.” Dia mengacung kedua-dua belah tangannya.

Arya pun menyambut tangan itu lalu ditarik sekuat hatinya agar Bondanya dapat berdiri. Lalu mereka beredar dari pohon itu menuju ke sebuah puncak bukit yang kecil. Di atas puncak itu terdapat sebuah hac yang tersembunyi oleh rumput yang tumbuh di atasnya. Bonda Arya mengangkat tangkai hac itu lalu terdedah sebuah lubang. Arya pun turun melalui tangga gangsa yang terdapat pada sisi lubang itu dan kemudian berjejak di atas sebuah pelantar batu dengan diikuti oleh Bondanya. Apabila pintu hac ditutup oleh Bonda, tangga itu terus disinari cahaya. Arya menoleh ke atas mencari punca cahaya. Rupa-rupanya terdapat kristal lutsinar berbentuk piramid pada pusat hac berbentuk bulat itu. Kemudian cahaya yang dibiaskan masuk melalui piramid tersebut dipantulkan oleh cermin-cermin yang disusun pada dinding ruang tersebut dalam satu formasi sehingga keseluruhan ruang bertangga itu bercahaya walaupun tidak begitu terang.

“Ah, hebatnya! Tak payah pakai elektrik pun lampu ni,” ujar Arya sambil melambai-lambai tangannya pada garis sinar yang bersambung-sambung itu dengan penuh kekaguman sambil tertawa riang.
“Lampu kristal itu rekaan arkitek yang mereka bentuk binaan istana ini mula-mula dahulu. Dah beribu tahun usia lampu tu. Mari pegang tangan Bonda. Tangga ini dah lama tak digunakan. Lantai tangga ini berlumut dan licin,” ujar Bondanya pula.

Arya menyambut tangan yang dihulurkan Bonda padanya. Mereka menuruni anak tangga itu satu per satu. Tangga batu itu berpilin sampai ke bawah tetapi tetap sampai cahaya menyinari ruang itu melalui pantulan cahaya daripada piramid-piramid kristal kecil yang terlekat pada dinding. Akhirnya di tangga bongsu terdapat sebuah dinding batu yang menghalang perjalanan mereka. Bonda menarik sebatang picu yang terdapat pada tepi dinding itu lalu dinding batu tersebut terbuka dan mereka pun melangkah masuk ke dalam sebuah bilik yang kosong. Dalam kesamaran mereka berjalan merentasi bilik itu lalu keluar melalui sebuah pintu yang diperbuat daripada kayu yang penuh ukiran.

“Wah! Bonda, kita kat mana ni? Tak pernah pun saya sampai di sini,” tanya Arya kehairanan setelah mereka berada di dalam sebuah koridor.

Sebuah mentol bulat menyinari ruang koridor sepanjang kira-kira lima meter itu dengan cahaya suram kekuningan. Dinding koridor batuan hitam. Dingin sekali suhu di sini. Kedua-dua bilik kosong dan koridor itu bersih sahaja kelihatan seperti selalu dijaga orang. Terdapat dua buah bilik berpintu kayu di kiri dan kanan koridor itu.
“Inikan istana lama. Mestilah banyak tempat rahsia. Tapi Arya mesti janji dengan Bonda untuk rahsiakan tempat ini daripada pengetahuan budak-budak lain. Boleh?”
“Okey Bonda, saya janji.”

Bonda menatap wajah mungil Arya lalu dia melutut.
“Janji tau, lepas ni Bonda akan kunci koridor ni. Kamu jangan panjat dinding kat luar tu lagi. Atas sana kawasan larangan. Banyak bahaya boleh berlaku di situ. Kalau kamu buat lagi, Bonda akan rotan punggung kamu di hadapan kawan-kawan.” Kali ini keras amaran Bondanya itu kepada Arya.

Arya memandang wajah Bondanya yang tidak lagi tersenyum manis. Arya merasakan ada bahang kemarahan dalam amaran Bondanya itu lalu dia mengangguk.
“Okey Bonda. Saya minta maaf. Saya takkan buat lagi.” “Baiklah. Kali ini tak apa. Bonda maaLan. Jangan buat perkara yang Bonda tak suka,” tambah Bondanya lagi.
Kekesalan tergambar di wajah Arya ketika mereka berjalan menuju ke pangkal koridor itu dan tiba ke sebuah pintu kayu berukir awan larat.

Bonda mengeluarkan sebatang anak kunci dari poket gaun yang dipakainya lalu membuka daun pintu tersebut. Selepas itu, mereka pun tiba ke dalam satu lagi bilik yang diterangi dengan lampu chandelier yang begitu cantik kaca-kaca hiasannya. Bilik tersebut luas sekali. Dinding bilik dilapisi batu marmar berwarna biru gelap dan lantainya daripada marmar hitam berurat-urat putih perak. Sebuah katil kayu besar berwarna perang garang, bertiang empat dan berlelangit terletak di tengah-tengah bilik. Almari, meja dan kerusi-kerusi di dalam bilik itu pula diperbuat daripada kayu yang berwarna perang kemerah-merahan tersusun kemas pada tempat masing-masing. Semua perabot di situ kelihatan antik benar.

“Eh, inikan bilik Bonda? Oh, selama ini saya ingat itu pintu stor. Sekarang saya dah tahu,” kata Arya sambil ketawa kecil keriangan. Kekesalan tadi segera bertukar jadi mainan.
“Shhh... ingat, jangan beritahu sesiapa,” Bondanya meletakkan jari telunjuk kanan di bibirnya sambil membongkok untuk mencium pipi anak kesayangannya itu.
“Okey, Bonda,” janji Arya seraya membalas ciuman Bondanya dengan satu pelukan.
“Bagus, macam itulah kesayangan Bonda. Dah, pergi makan ya,” kata Bondanya lagi.

Menuruti suruhan itu, Arya pun keluar dari bilik itu lalu berjalan merentasi satu koridor yang bersambung dengan dewan utama istana untuk menuju ke dewan makan. Bilik Bonda terletak di hujung sekali. Untuk sampai ke dewan utama, Arya perlu berjalan kira-kira tiga puluh meter melepasi beberapa lukisan potret yang digantung pada dinding koridor berselang-seli dengan panji-panji pelbagai rupa dan reka corak. Potret-potret diletakkan di dalam bingkai yang diperbuat daripada kayu berukir penuh kesenian. Menurut Bonda Arya, potret-potret itu memaparkan nenek moyangnya yang pernah tinggal di dalam istana ini. Sudah tiga ribu tahun istana ini didirikan dan sudah banyak generasi keluarganya tinggal di sini. Kini mereka semua telah tiada dan hanya Bondanya sahaja sebagai pewaris terakhir.

Koridor yang dilalui Arya adalah seperti sebuah terowong batu yang sempit dengan bumbung yang melengkung. Koridor itu disuluhi dengan beberapa lampu mentol bulat yang tergantung dari bumbung. Pencahayaan di dalam koridor ini agak malap. Tambahan lagi, batu marmar yang melapisi dinding dan lantai koridor ber- warna biru gelap tidak bercorak. Namun begitu, pantulan cahaya pada marmar licin berkilat itu sudah cukup untuk menyerlahkan kemewahan istana ini.

Arya berjalan dengan cepat. Dia langsung tidak mempedulikan potret dan hiasan pada dinding kerana sejak dari kecil dia mendapati semuanya tak pernah berubah. Tambahan pula perutnya kosong sejak pagi tadi. Arya berjalan sampai ke pangkal koridor lalu tiba di penghujung dewan utama. Empat buah koridor lagi terletak di sebelah kirinya. Arya berjalan melepasi tiga koridor lalu terus membelok ke kiri dan masuk ke dalam koridor paling hujung untuk sampai ke dewan makan.

Setibanya di dewan makan, didapatinya kanak-kanak lain sedang enak menjamu selera sambil berbual-bual di dua buah meja panjang. Apabila dia masuk, kanak-kanak lain yang sedang makan terhenti seketika aktiviti mereka itu. Dua puluh empat pasang mata tertumpu pada Arya. Arya pun senyum kepada mereka.
“Hei, Arya! Mana engkau pergi? Lama betul kau menghilang,” dia ditegur oleh seorang budak lelaki yang kelihatan sebaya umur dengannya.
“Aku buat kerja sekolah di bilik Bonda Dewi tadi, Sher. Wah, sedapnya lauk kari ikan! Lapar, lapar,” jawab Arya tanpa memberitahu rakannya itu peristiwa sebenar. Tanpa membuang masa dia duduk di sebelah Sher lalu mengambil hidangan yang sudah tersedia di atas meja.

Arya baru saja beberapa bulan lepas mencecah umur sepuluh tahun. Dia yang paling bongsu dalam kalangan mereka. Sher pula lahir beberapa bulan lebih awal daripada Arya dan kanak-kanak lain ada yang sebaya dengannya dan ada juga yang sudah berusia sebelas atau dua belas tahun. Dalam kumpulan mereka ini terdapat tiga belas orang lelaki dan dua belas orang perempuan.

Seperti juga kanak-kanak lain, Arya juga ialah anak yatim-piatu. Bonda Dewi yang mengambil mereka sebagai anak angkat dan membesarkan mereka di istana ini. Ada tujuh pekerja yang membantu Bonda Dewi di sini. Tiga orang tukang masak, dua pekerja am dan dua lagi ialah guru mereka. Bonda Dewi juga mengajar mereka di dalam kelas selain daripada menguruskan hal-hal lain. Kesemua mereka amat berdedikasi dalam menjalankan tugas masing-masing. Arya amat mengagumi kerajinan dan kecermatan mereka bekerja. Tidak ada yang tidak sempurna di Istana Archaechabuana ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience