Tak seperti haiwan di hutan yang hidup hanya mampu mengikut hukum-hukum rimba dengan pilihan yang terbatas, seorang manusia bebas saja membuat apa saja pilihan. Tiada keterbatasan fikiran untuk memenuhi kemahuan. Hanya yang menghalang adalah kemampuan dan tenaga insan. Haiwan di rimba mesti tidak boleh lari dari hukum kemandirian. Mandiri solo atau mandiri kumpulan, setiap haiwan mesti berusaha melakukan tindakan yang terbaik agar hidupnya punya pasangan untuk meneruskan zuriat kespesiesan. Walaupun tidak banyak pilihan, usaha yang terbaik perlu dilakukan kerana itulah cara untuk menarik perhatian pasangan lalu menzahirkan kewujudan cinta dalam alam haiwan dengan lahirnya anak-anak kesayangan.
Andaipun sedemikian, citra cinta alam rimba tidaklah sekompleks ceritera cinta manusia. Andainya Gusman dan Rani bersabar dalam percintaan, sudah pasti moral mereka tidak membenarkan hubungan ini tercemar dengan perbuatan di luar batasan. Bagaimanapun mereka berdua tidak lagi rasional dalam membuat pertimbangan. Apa yang mereka tahu, cinta ini satu kenikmatan. Di dalam hati mereka sungguh-sungguh sudah subur kasih sayang. Andai dicabut cinta ini pasti gila dan hidup tak keruan. Tak dapat bertemu langsung tidak boleh dibayangkan. Kalau dipisahkan akan luluh luruh kewarasan fikiran lalu berganti dengan kemurungan berpanjangan. Apa yang mereka mahu selama ini hanya masa berdua-duaan. Motivasi untuk bersama menggerakkan mereka untuk memilih berada di sini, di banglo usang ini untuk bersua tanpa ada siapa-siapa yang boleh mengganggu.
Petang itu di sebatang anak sungai yang jernih lagi sejuk airnya di belakang banglo usang, pecah kesunyian alam oleh gelak ketawa Gusman dan Rani yang sedang bercengkerama. Sungguh seronok mereka berendam dan bermain air dingin nan khalis. Selepas beberapa ketika mereka pun berehat sebentar. Menikmati ketenangan dalam pelukan Rani yang duduk di atas tebing sungai sedang dia masih berendam di dalam air.
Gusman pun berkata, “Sayang, mari kita naik atas. Abang dah sejuk ni.”
“Abang ni tak sabar-sabar pula. Bagilah Rani mandi puas-puas dulu,” jawab Rani yang masih mendakap Gusman. Tangannya menyilangi badan Gusman dan badannya rapat ke belakang kekasihnya itu untuk merasai kehangatan darah yang mengalir dari bawah kulitnya. Dagunya menyangkut di atas bahu kekasihnya itu. Gusman pun menoleh ke sisi. Hampir saja pipinya menyentuh bibir Rani,
“Eh, kalau Rani nak mandi lagi kenapa duduk atas pula?”
Habis berkata lantas dia pun memusingkan badannya. Dia memeluk dan terus menarik tubuh Rani yang berkemban sahaja itu lalu mereka berdua jatuh ke dalam sungai yang sedalam separas lutut itu. Air yang dingin bersemburan di udara dilanggar pula oleh gelombang tawa mereka menghasilkan kocakan pada cahaya remang petang itu seolah-olah kaki pelangi ingin terbentuk di situ. Rani dan Gusman dua insan bercanda di persada dunia dalam latar tempat dan masa yang tidak ada orang selain mereka berdua. Begitu gembira mereka ketawa riang. Berkocak-kocak air sedang mereka bergurau senda. Asmaradana pasangan kekasih ini benar-benar mencemari kesucian alam. Akan tetapi hakikat sebenarnya mereka bukan berdua di sini. Mereka tak sedar bahawa ada musuh yang menanti untuk bertindak pada saat yang pasti.
Nun di atas dahan sebatang pokok yang rendang, musuh itu bersembunyi di dalam bayang-bayang rimbunan daun. Tubuh hitam yang bertenggek dengan ekor terjuntai itu lebih gelap dari kegelapan di sekelilingnya. Hanya kalau diperhatikan betul-betul barulah nampak dua biji mata yang merah menyala seperti ada api lancip di dalamnya sedang memakukan pandangan tajam pada sepasang kekasih yang sedang bercanda sambil bergelak ketawa. Senyap sekali musuh yang bersembunyi di dalam bayang-bayang daunan. Di bibir hitamnya merekah satu senyuman. Gembira bagai pemancing yang dapat merasakan sedikit sentakan pada jorannya tanda umpan sudah mendapat perhatian ikan, dia terus menunggu seperti sabarnya pemancing yang mahu menanti sehingga umpan pada mata kailnya benar-benar tersangkut pada mulut ikan. Musuh itu terus membiarkan mangsanya leka dalam kegembiraan. Dalam hatinya, dia tahu jerat besar umpan percintaan selalu berakhir dengan pengorbanan. Pasangan yang terjerumus ke dalam jerat percintaan sebegini takkan mengerti bahawa mereka bakal menjadi mangsa dalam kealpaan.
“Krr-Rachnadewi.”
“Krr-Rachnadewi!”
“Kuseru namamu maka dengarlah daku,” tiba-tiba musuh itu berbisik sendiri. Nama yang diseru segera membalas,
“Aku di sini, wahai kekasihku. Aku di sini melakukan tugasku.”
“Burzuglu.”
“Burzuglu!”
“Nantikanlah daku kerana sebentar lagi kita akan bertemu,” dia mendengar satu suara bisikan yang gemersik membalas seruannya itu.
“Krr-Rachnadewi.” “Krr-Rachnadewi!”
“Aku amat merinduimu dewita hatiku. Aku memujamu sepanjang waktu.”
Musuh tersembunyi bernama Burzuglu itu berbisik lagi sementara Gusman dan Rani masih leka dan tidak sedar sedang diperha- tikan. Bisikan perbualan syahdu secara telepati itu pastilah tidak didengari oleh Gusman mahupun Rani.
“Burzuglu.”
“Burzuglu!”
“Aku juga sepertimu. Kalau bukan sumpah kita pada Sang Ratu, pastilah sudah aku keluar bertemu denganmu. Akan tetapi misi musuh ini mesti kita selesaikan dahulu.”
Sejak kecil lagi Burzuglu dan Krr-Rachnadewi telah diajar untuk membenci manusia. Manusia itu pada pandangan mereka ialah musuh yang tolol dan lemah tetapi selalu mendapat banyak kelebihan. Binatang yang lembik tetapi tetap tamak dan berlagak. Bumi ini pun terpaksa dikongsi dengan mereka. Malah, bahagian yang diperoleh oleh manusia lebih banyak lagi. Burzuglu paling benci mendengar ketawa manusia tetapi hari ini tawa Gusman dan Rani yang sedang berseronokan bermain air di kali membuatkan dia rasa cukup gembira.
“Ketawalah kau!”
“Ketawalah kau puas-puas hari ini. Aku akan jampi!”
“Akan jampi!”
“Akan jampi!”
“Mari, mari, mari!” seru Burzuglu lagi.
Lantas dia melafazkan ayat-ayat jampi yang sukar difahami. Dia meniupkan jampi itu pada mereka setelah selesai dibacanya. Angin hitam pun bertiup sepoi-sepoi bahasa ke arah pasangan yang masih leka bermain air itu.
Sekonyong-konyong tiba-tiba Rani tersedak. Terasa suatu geletekan pada jantungnya. Dua kali jantungnya itu berdegup kuat. Tersembur air sungai bercampur air liur daripada mulutnya. Berdebar-debar rasa hatinya. Gusman segera mengusap belakang Rani yang sedang membongkok di dalam sungai.
Ditepuknya perlahan-lahan lalu dia bertanya, “Kenapa, sayang?”
Rani terbatuk-batuk. Sebelah penumbuk diangkat hampir ke mulutnya demi menahan air yang menyembur lalu dia pun berdiri. Degupan jantungnya sudah pun tenang. Rani pun menjawab,
“Tak ada apa-apa, bang, cuma tertelan sedikit air sahaja.”
Angin bayu membawa molekul-molekul air yang tersejat dari anak sungai yang mengalir lesu ke udara. Maka apabila saja terbebas di udara, berlumba-lumba molekul air terbang mahu naik sampai ke awan hinggakan berlanggar sesama sendiri lalu terpantul ke semerata arah. Sebahagian molekul air nan dingin itu melanggar dua tubuh yang sedang asyik berpeluk. Disinari saki-baki cahaya petang di sebalik dedaun hijau, Gusman berpelukan lagi dengan Rani. Seraya menyandarkan kepalanya rapat-rapat pada bahu Gusman hingga pemindahan haba pun mudah berlaku, Rani dapat merasakan kehangatan percintaan. Tenaga haba dari tubuh Gusman merangsang muncung saraf deria seluruh badannya lalu menggetarkan gelombang otaknya dalam irama penuh keasyikan. Keenakan mendapat haba dalam kesejukan itu benar-benar satu nikmat yang tak dapat dinafikan.
“Rani.”
“Sayang.” Mata mereka bertautan.
“Mari kita naik. Sekejap lagi sudah nak senja,” sekali lagi Gusman mengajak Rani.
Dia berasa runtunan nafsu mula bergelojak dalam hatinya. Gelora hati yang dirasakan Rani malah lebih hebat lagi. Dia tidak mampu bersuara menjawab ajakan Gusman. Perlahan-lahan Rani melepaskan dakapan itu tapi bukan genggaman tangannya. Rani menarik tangan Gusman untuk naik ke tebing sungai. Ketika itu bayang-bayang senja baru mula kelihatan. Desir angin menggesek dedaun dan kicauan burung yang baru pulang dari mencari makan menimbulkan suasana yang intim. Berpimpinan tangan mereka menuju ke istana menanti di banglo usang itu.
Tatkala mereka tiba di dalam bilik, Burzuglu sudah pun bertenggek di atas palang kayu di atas siling yang sudah pecah-pecah. Dengan mata merahnya di dalam gelap dia memerhatikan dua insan yang sedang berjalan masuk. Mulutnya tak henti-henti terkumat-kamit membaca jampi sambil meniupkan manteranya itu pada pasangan kekasih itu. Matanya semakin berapi-api tanda dirinya juga teruja akan peristiwa yang bakal terjadi.
Bilik ini akan menjadi wadah untuk menzahirkan keghairahan nafsu mereka berdua. Sambil duduk Rani menyalakan beberapa batang lilin. Gusman yang pada mulanya sibuk mengelap tubuh segera berlutut di belakang Rani. Kedua-dua tangannya merangkul seluruh pinggang gadis yang ramping itu. Dua tubuh yang tadinya basah dan sejuk semakin kering dalam kehangatan. Tangan kanan Gusman pun mengelus-elus rambut halus Rani yang panjang dari ubun-ubunnya hingga ke hujung. Tangan kirinya pula mengurut-urut tengkuk dan bahu Rani. Pada saat itu Rani dapat merasakan sesuatu keseronokan yang menjalar dalam urat dari pinggangnya lalu naik sampai ke kepala. Tubuhnya bergetar lalu menggeletar apabila kelenjar adrenal yang berada di atas buah pinggangnya berterusan memancarkan hormon epinefrina sehingga jantungnya juga semakin berdebar-debar menunggu tindakan Gusman nan seterusnya.
Lalu Gusman mencium leher Rani dari belakang dalam satu kucupan yang panjang. Rani pun tenggelam dalam keseronokan dan kegelian setelah hormon epinefrinanya yang terbit akibat rangsan- gan cinta hatinya telah menjalar ke seluruh tubuhnya. Dipegangnya tangan Gusman lalu dia berpusing menoleh memandang wajah Gusman. Segera sahaja bibir mereka bertautan. Berkucup-kucupan diselangi bunyi desahan nafas tak keruan. Di sini cinta mereka tidak ada lagi penghalang. Bersiri-siri peluk cium terjadi sehinggakan masing-masing dapat merasakan jantung pasangan berdebar-debar menantikan aksi selanjutnya.
Di antara desahan nafas Rani yang tak menentu, sekepul asap hitam lantas meresap keluar tanpa disedari pasangan kekasih itu. Asap hitam itu berlingkar-lingkar naik hingga sampai di sisi Burzuglu. Sedetik berlalu asap itu telah bertukar menjadi sebatang tubuh. Susuknya kecil dan kurus. Duduk berjuntai di sisi Burzuglu, kepala tubuh mungil itu hanya sekadar takat dada Burzuglu. Lantas mendongak dan tersenyum manis pada Burzuglu.
“Kekasihku, kini kita bertemu,” ujarnya dalam gemersik bisikan nan halus.
Burzuglu tidak membalas katanya itu tetapi menjamah pandan- gannya pada tubuh Krr-Rachnadewi yang mula bersandar memeluk lengannya. Kulit hitam dan lembut bagaikan satin ditumbuhi bulu-bulu halus biru tua dengan hujung merah berkilau di dalam kegelapan di atas siling itu. Rambutnya hitam berkilat mengurai panjang hingga terjuntai melepasi punggung. Krr-Rachnadewi mendongak lalu pandangan mata mereka bertembung. Matanya juga seperti Burzuglu. Merah menyala seperti ada api nan berkerlipan, bibirnya kehitaman, hidungnya kecil dan bertelinga lancip. Tanpa perlu kata-kata Burzuglu mengucup dahi sempit kekasihnya itu dan kemudian mereka juga berpeluk-cium sepertimana pasangan kekasih di bawah sana.
Share this novel