Fajar sidik telah berlalu, sedangkan Talisman masih menderu membelah ombak. Kecuali Pak Budi yang memandu bot itu, mereka yang lain masih lagi terlena. Perjalanan nan jauh benar-benar telah memberi kesan pada mereka. Dibuai oleh ombak laut yang lesu menuju ke pantai dan disapu bayu dan embun dingin yang menelus pori-pori pipi, enak saja tidur tanpa menyedari perubahan cahaya di ufuk timur.
Fajar kizib sudah mula meretakkan wajah langit ketika Arya terjaga. Dia terkejut apabila terdengar bunyi burung-burung berterbangan keriangan menyambut ceria pagi. Tanpa melepaskan selimut tubuhnya, Arya berdiri lalu pergi kepada Pak Budi di dalam kabin. Joko yang masih tidur di pembaringannya langsung tidak sedar semasa Arya menegur Pak Budi.
“Wah, besarnya daratan ni! Kat mana kita sekarang, Pak Budi?” Soal Arya pada tekong tua pelaut sejati itu. Berbalam-balam di hadapannya ialah sebuah daratan yang berlekuk-lekuk dipaku gunung-ganang dan bukit-bukau.
“Inilah provinsi Bengkulu di Pulau Sumatera. Banjaran yang panjang di depan kita ini dinamakan orang Pergunungan Bukit Barisan. Kamu nampak pantai putih di sana?” tanya Pak Budi dengan mesra setelah menjawab soalan Arya.
Wajahnya tidak langsung nampak lesu, mungkin saja kerana semangat diri semakin berkobar apabila terbayangkan tanah yang akan dipijaknya lagi sebentar.
“Nampak.” Angguk Arya.
“Itulah Pantai Panjang. Tujuh kilometer panjangnya pantai ini,” beritahu Pak Budi.
“Oh, kita nak berlabuh di sana ke Pak Budi?” tanya Arya lagi.
“Tak. Kita hanya menyusur pantai ini. Di sebelah Pantai Panjang ini ada Pantai Jakat pula. Kedua-dua pantai ini tempat orang beriadah dan mandi-manda. Di Pantai Jakat sana ada teluk yang dinamakan Tapak Paderi. Di situ banyak perahu-perahu nelayan yang ditambat. Apabila pulang dari laut, nelayan-nelayan pinggir pantai di sini selalunya menurunkan ikan di situ. Bot ini tak boleh mendarat di situ. Pantainya agak cetek. Nanti tersadai susah pula hendak ditarik semula ke tengah laut.”
Pak Budi bercerita pada anak remaja yang mulutnya sedikit terlopong kerana teruja mengagumi pemandangan indah di hadapan matanya seperti rusa masuk kampung itu. Arya hanya berdiam menantikan Pak Budi menyambung ceritanya.
“Kalau ada kesempatan, bapak akan bawa kamu semua berdarmawisata di sini. Objek wisata yang paling terkenal di Kota Bengkulu ini ialah Benteng Marlborough, sebuah kubu yang besar tinggalan Inggeris. Tiga ratus tahun dahulu Bengkulu ini dijajah oleh Inggeris kerana hasil buminya yang melimpah-ruah. Sekarang ini Bengkulu telah menjadi sebahagian dari tanah merdeka Indonesia,” cerita Pak Budi lagi.
Masa terus berjalan dan Arya mendengar lagi dari Pak Budi tentang sejarah Indonesia sehinggalah bot itu melepasi Pantai Jakat. Beberapa buah bot nelayan melintasi mereka menuju ke pantai. Nun di pasir pantai yang sungguh putih ramai pengunjung yang sudah sampai melakukan aktiviti nan berbagai-bagai. Sungguh tenteram suasana pagi di sini. Begitu senang hati Arya dapat mencicipi nikmat kedamaian semurni ini.
“Itu apa, Pak Budi?”
Arya menudingkan jari telunjuknya pada bahagian pantai yang tiba-tiba terbelah apabila bot yang sedang belayar selari dengan sisi pantai itu sampai ke penghujung Pantai Jakat. Belahan yang sangat besar itu menjadi sebuah terusan dan didapatinya Pak Budi sedang mengemudikan bot itu masuk ke arah terusan tersebut.
“Itu namanya terusan, Arya. Terusan ini adalah satu jalan menuju ke dermaga Pulau Baai. Sebentar lagi kamu akan dapat lihat banyak kapal-kapal besar berlabuh di dermaga. Terusan ini dibuat untuk melindungi dermaga daripada ribut yang selalu berlaku pada musim hujan. Dengan itu pemerintah Bengkulu dapat menggalakkan perdagangan di sini,” terang Pak Budi.
“Oh, jadinya kita juga mau berlabuh di sana?” soal Arya lagi. Matanya bersinar-sinar memantulkan cahaya suria pagi yang baru beberapa puluh minit saja menyingkap tabir keindahan alam di sini.
“Dermaga hanya untuk kegunaan kapal-kapal besar sahaja. Bapak selalunya berlabuh di sebuah jeti perkampungan nelayan di belakang dermaga Pulau Baai,” jawab Pak Budi.
Wajah tuanya juga menampakkan kesenangan kerana tidak lama lagi dia dapat mendaratkan mereka semua dalam keadaan selamat. Tiba-tiba mereka berdua mendengar suara orang bersorak-sorak di luar kabin.
“Ah, kawan-kawanmu telah bangun. Pergilah kamu tengok mereka. Bapak mau menelefon kawan bapak. Hampir saja bapak terlupa memberitahunya bahawa kita sudah sampai.” Pak Budi menyuruh Arya pergi setelah jelas terpampang wajah mahu tahu remaja ini tentang apakah yang sedang disorakkan oleh sahabat-sahabatnya di luar.
Sebaik saja dia melangkah keluar dari kabin bot, Arya nampak sebilangan besar kawannya sedang memanjat dan berpaut pada dinding sisi dek. Kaki mereka memijak para-para yang terdapat pada dinding dek yang agak tinggi itu. Entah bila mereka memanjat dinding itu dan entah apa yang dilambaikan oleh mereka sambil bersorak penuh keriangan, fikir Arya. Lantas dia pun memanjat tangga yang terbina pada dinding kabin lalu naik ke atas. Setibanya di atas, dia dapat melihat tiga ekor ikan lumba-lumba sedang berenang sambil melompat-lompat mengiringi bot itu di sisi kirinya. Seperti yang lain, dia juga berasa sungguh teruja lalu bangkit rasa gembira di hatinya apabila pertama kali dalam hidupnya melihat secara langsung ikan lumba-lumba serta pemandangan indah kapal-kapal besar yang berlabuh dilatari warna-warni alam nan indah di hadapannya.
Lepas suku jam, jam lapan pagi, akhirnya enjin bot Talisman itu dimatikan oleh Pak Budi kerana mereka telah selamat berlabuh di jeti yang diperkatakannya tadi pada Arya. Jeti itu bersambung kepada sebuah perkampungan nelayan yang besar. Banyak bot-bot perikanan ditambat di gigi air. Penduduk kampung yang sedang menjalani kehidupan harian kehairanan melihat seramai itu remaja-remaja yang asing sungguh wajah mereka sedang bersorak-sorak sambil melompat-lompat dengan penuh gembira di atas dek. Kesemua penumpang bot itu telah pun bangun. Seorang lelaki segak yang kelihatan berusia sudah lebih separuh abad, berbaju kemeja kelabu sedondon dengan seluarnya dan bersongkok hitam sedang menunggu mereka di atas jeti. Orang pertama yang melompat turun ke jeti dari bot ialah Joko. Dibawa bersamanya seutas tali yang tebal untuk menambat bot agar tidak dihanyutkan arus.
Giliran seterusnya ialah Pak Budi. Dia terus saja menuju pada lelaki yang menunggu tadi lalu mereka saling membalas salam dan ucapan. Arya dan kumpulannya sudah bersedia bila-bila masa saja apabila dipanggil oleh Pak Budi. Beberapa ketika berlalu. Perbualan Pak Budi dan lelaki itu akhirnya berakhir dan Pak Budi menoleh kepada mereka.
“Mari naik!” Pak Budi melambai pada mereka.
Panggilan itu disambut dengan sorakan gembira. Wajah masing-masing terpancar keceriaan yang tak terpendamkan. Lantas seorang demi seorang melompat turun ke atas jeti sepanjang kira-kira dua puluh meter itu. Pak Budi memperkenalkan lelaki yang dibualnya tadi kepada Arya dan kumpulannya. Pak Budi meminta mereka memanggil lelaki itu sebagai Pak Soedjarto. Menurutnya lagi, beliau ialah cucu saudara kepada isteri presiden Indonesia yang pertama. Lantas didahului oleh Arya, dengan penuh penghormatan mereka pun bersalam dan mencium tangan Pak Soedjarto.
Kemudian setelah meninggalkan beberapa pesan pada Joko, kedua-dua orang tua itu memimpin Arya dan kumpulannya. Segala-galanya di sini adalah benda yang baru pada mereka. Mereka melihat rumah-rumah nelayan yang diperbuat daripada papan, orang kampung yang bermacam ragam dan anak-anak kecil lagi comot berhenti bermain-main lalu terlopong melihat kelompok manusia asing yang muncul secara tiba-tiba di perdesaan ini. Mereka berjalan menuju kepada tiga buah van yang sedia menunggu. Kesemua mereka pun masuk ke dalam van dalam keadaan bercampur-baur perasaan kagum dan gembira. Setelah semuanya naik, lalu van-van itu pun beredar.
Meskipun perjalanannya singkat tak sampai sejam pun, terlalu banyak maklumat baru yang masuk ke dalam minda melalui sistem deria Arya dan rakan-rakannya sehingga benar-benar mengujakan keseronokan dalam jiwa masing-masing. Warna-warni kehidupan di sini telah sungguh-sungguh membuka mata hati mereka lalu langsung lupa kesusahan yang telah dialami seharian semalam. Van-van itu berhenti di sebuah rumah agam bertembok batu di sekelilingnya. Kagum sungguh mereka melihat rumah bercat putih dengan tiang-tiang bendera di hadapannya serta taman bunga yang luas lagi kemas di hadapan rumah itu.
Keluar saja dari kenderaan, mereka dijemput masuk untuk membersihkan diri dan beristirahat sementara urusan lain dilaksanakan oleh Pak Soedjarto. Maka tinggallah mereka selama beberapa hari dengan sejahtera di rumah tamu Pak Soedjarto ini. Beliau yang menanggung kesemua perbelanjaan makanan dan pakaian mereka. Adapun pula akan halnya tiga orang pekerja dapur yang dibawa bersama, mereka turut menjalani rawatan sewajarnya di rumah tamu ini oleh seorang pakar perubatan alternatif yang datang setiap hari agar pulih kembali daripada sihir dungu yang telah dikenakan ke atas mereka. Setelah terpancungnya kepala Krr-Rachnadewi, keadaan mereka didapati semakin baik walaupun perlu mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya. Segala-galanya telah diatur dengan sempurna oleh Pak Soedjarto.
Apa yang berlaku di rumah tamu itu adalah setiap pagi dua orang pegawai polis akan datang untuk menyoal-siasat mereka untuk mendapatkan maklumat supaya tindakan lanjut boleh dilaksanakan. Apa yang telah terjadi pada mereka adalah sesuatu yang luar biasa. Diculik dan dibesarkan oleh syaitan. Kemudian setelah berjaya meloloskan diri dari Pulau Bankim, dikejar dan diselamatkan pula oleh makhluk jin. Semua itu berlaku di luar had kekuasaan pemerintahan manusia yang mana kalau berita ini tersebar, pasti akan mendatangkan pelbagai persepsi yang tak terjangkakan. Oleh yang demikian atas arahan Pak Soedjarto, seorang tokoh yang berpengaruh lagi bijaksana di Bengkulu ini, kisah mereka mesti dirahsiakan dari awam dan keberadaan mereka di situ hanyalah dikatakan sebagai pelancong jemputan.
Hatta seyogia mereka dibawa melancong. Setiap petang Pak Budi dan Joko yang juga tinggal bersama-sama di rumah tamu itu telah membawa mereka ke tempat-tempat pelancongan di sekitar kota Bengkulu. Mereka juga dibawa menikmati makanan enak-enak Bengkulu seperti seafood goreng, lema ikan tongkol, ikan gebur bakar, tempoyak dan Gulai kemba’ang. Meskipun bukan semua makanan itu digemari oleh anak-anak remaja yang tidak biasa dengan makanan asing, namun begitu, pengalaman merasai rangsangan lidah baharu sungguh mengujakan.
Pada malam ketiga di Bengkulu, Pak Soedjarto telah meluangkan masanya untuk makan malam bersama di sebuah restoran bernama Rumah Makan Inga-Raya di pinggir Pantai Jakat. Usai saja makan, Pak Soedjarto bangun lalu memberikan satu ucapan ringkas pada mereka semua sedang mereka enak mengopi.
Katanya, “Izinkan bapak berbicara barang sepatah dua kata.”
Setelah menghela satu nafas panjang dia berkata, “Anak-anak sekalian, malam ini adalah untuk meraikan kepulangan Pak Budi ke kampung halamannya esok pagi.”
Kecoh sebentar meja makan mereka apabila mendengar pengumuman itu. Arya dan rakan-rakannya tidak menyangka bahawa begitu pantas masa berlalu. Entah bila lagi mereka akan dapat bertemu Pak Budi yang telah banyak menolong mereka. Mereka hanya terdiam setelah Pak Soedjarto mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk menyambung kata-katanya.
“Meskipun baru saja bersua, Pak Budi ini amat menyayangi kamu semua. Dia tidak sampai hati memberitahu sendiri berita ini pada kalian. Dia amat rindu pada keluarganya. Oleh itu, esok pagi Pak Budi dan Joko akan pulang ke kampung halamannya.”
Pak Soedjarto memandang Pak Budi dengan penuh makna. Pak Budi membalas pandangan itu dengan satu anggukan.
“Bapak ingin bercerita sedikit bagaimana bapak boleh berkawan dengan Pak Budi yang baik hati ini. Pada bapak, dia seorang sahabat sejati. Bapak sudah berkawan dengannya lebih dari ekadasawarsa lamanya,” Pak Soedjarto terdiam sebentar mengenang kembali kisah silam.
“Asalnya kami cuma berdagang ikan dan barang-barang runcit. Tetapi sebelas tahun dahulu, bapak telah membuat satu kesilapan yang amat besar dalam hidup. Akibatnya perniagaan bapak merudum dan hampir saja bapak muflis. Hutang bapak keliling pinggang. Tanah bapak habis tergadai. Bapak telah mengaibkan air muka keturunan bapak.”
Pak Soedjarto tertunduk kesedihan apabila mengenangkan peristiwa itu. Arya dan rakan-rakannya hanya membisu berkongsikan kesedihannya. Pak Budi yang duduk di sebelah beliau menepuk-nepuk perlahan-lahan belakangnya. Pak Soedjarto pun mengangkat kepalanya dan memandang pada anak-anak remaja di hadapannya. Tangan kanan beliau bertopang pada bahu Pak Budi mengambil sokongan sahabatnya itu.
“Kalau bukan kerana Pak Budi, mungkin bapak sudah tersungkur mati. Apabila dia tahu keadaan bapak, dia datang dari kampungnya untuk menolong bapak. Bantuannya sungguh tak disangka-sangka dan besar sekali. Sampai sekarang bapak ingat kata-katanya.”
“Kau ini tak layak menjadi hina sebegini, wahai waris Puti Indrapura, cucu saudara penjahit bendera Sang Saka. Aku mau kau bangkit semula dari kejatuhan ini. Nah! Ambil saja hadiahku ini buat engkau menebus dirimu. Itu katanya kepadaku.”
“Hadiah itu,”
“Hadiah itu,”
Pak Soedjarto teragak-agak menyambung ayatnya. Bertakung airmatanya kerana kesayuan yang datang melanda. Kepalanya tertunduk lesu. Pak Budi menggosok-gosok belakang beliau lagi. Dia juga nampak sedih. Para remaja itu hanya berdiam menunggu beliau menyambung ayatnya. Sebentar kemudian Pak Soedjarto membuka mulutnya lagi.
“Hadiah itu adalah seratus keping syiling emas. Bertahun-tahun Pak Budi menyimpan hartanya itu. Tetapi demi menyelamatkan bapak, diberi begitu saja pada bapak. Dengan emas itulah bapak kembali menjadi kaya-raya. Malah lebih kaya lagi dari sebelumnya. Syiling-syiling itu sebenarnya adalah upah yang diterima Pak Budi setahun sekali untuk menghantar bekalan makanan dan pakaian kepada kamu semua di Pulau Bankim. Dia sendiri tidak sanggup membelanjakan emas itu melainkan apabila perlu sahaja kerana ada sedikit kesangsian di hatinya. Namun selepas itu, atas desakan bapak, Pak Budi telah membekalkan upah emasnya pada bapak untuk didagangkan.”
“Sekarang sudah jelas kesangsiannya itu. Ternyata upah itu adalah daripada syaitan terlaknat. Pada kesempatan ini, bapak dan Pak Budi mahu memohon maaf pada kamu semua. Kami benar-benar menyesal dan rasa bersalah. Tak sepatutnya kami menerima bulat-bulat emas itu tanpa ada usul periksa. Tapi Pak Budi telah membalas kesalahannya dengan membawa kamu semua ke sini. Sekarang sudah tiba masanya untuk bapak pula. Malam ini bapak berjanji di hadapan kamu. Dengan apa cara sekalipun bapak mesti berusaha sampai kamu boleh pulang menemui keluarga asalmu.”
Arya berasa sebak di dadanya. Kawan-kawannya ada seperti mahu menangis dan ada yang sudah mengalirkan air mata. Perasaannya benar-benar terharu kerana Pak Budi dan Pak Soedjarto sudi menolongnya. Dia juga sedih kerana akan berpisah dengan Pak Budi yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkannya. Ternyata Bonda Dewi telah mengajarnya sesuatu yang tidak benar tentang manusia. Menurutnya, manusia ini asalnya jahat, tidak boleh dipercayai dan harus disangsikan niatnya. Namun daripada pengakuan Pak Soedjarto, Arya dapat memahami bahawa adakalanya manusia ini terpaksa membuat pilihan dan tidak boleh tidak, mesti hidup mengharungi pilihan tersebut. Kemudian andai tersedar telah melakukan kesalahan, masih ada peluang jika ada keinginan untuk bergerak ke arah kebaikan.
Fikirannya segera mengimbau pada ibunya. Mungkin kawan-kawannya juga bersedih kerana mereka tidak tahu tentang keluarga mereka. Sekurang-kurangnya dia tahu ibunya di mana. Cuma entah apa sebabnya dia belum ada kekuatan untuk memberitahu orang lain. Pasti ibunya juga sentiasa teringat padanya seperti kerinduan yang selalu hadir dalam hatinya. Meskipun hanya sekadar bersua dalam mimpi dua kali, Arya percaya ibunya masih menunggu ketibaannya. Itulah janji pada ibunya yang menjadi motivasi hidup Arya selama lima tahun ini. Apa yang berlaku hari ini berpunca dari motivasi itu. Arya terasa seperti mahu berdiri memberitahu semua tentang ibunya. Tanpa berfikir panjang, langsung dia berdiri selepas mendapati Pak Soedjarto telah duduk semula. Dia memandang ke sekeliling. Semua mata kini tertumpu padanya. Pak Soedjarto dan Pak Budi senyum kepadanya. Perlahan-lahan dia menyusun kata-kata.
“Pak Soedjarto, Pak Budi, kawan-kawan, sungguh gembira rasanya apabila dapat menjejakkan kaki di tanah Bengkulu ini. Segala-galanya adalah pengalaman baru. Tidak mungkin kami dapat merasai pengalaman ini kalau Pak Budi tidak mengambil upah menghantar bekalan untuk kami. Jika tidak, kami akan terus jadi boneka syaitan-syaitan itu. Tak perlulah bapak rasa bersalah lagi. Bantuan yang bapak hulurkan sudah cukup banyak dan pasti akan lebih banyak lagi selepas ini. Kami tak tahu adakah hanya dengan ucapan terima kasih cukup untuk membalas jasa-jasa bapak itu. Sudah tiga hari kami di sini. Pak Budi pun pasti amat rindu akan keluarganya,” ujar Arya.
Dia berhenti sebentar untuk mencari kata-kata seterusnya. “Sebenarnya, saya juga ada ibu yang sedang menunggu. Lima tahun dahulu saya pernah bermimpi berjumpa dengannya. Dalam mimpi itu dia memberitahu di mana dia berada. Di dalam mimpi itu juga saya telah berjanji untuk mencari ibu dengan apa cara sekalipun. Saya amat percaya akan mimpi itu. Jadi saya berharap agar Pak Soedjarto dapat menghantar saya ke Malaysia kerana di situlah ibu saya sedang menunggu, di Rumah Kasih Delima. Mungkin sahabat-sahabat saya ini juga berasal dari sana,” akhirnya Arya mendedahkan rahsia di hati.
Walaupun tidak penuh ceritanya, tetapi cukup untuk menimbulkan reaksi dan kejutan pada semua orang di situ. Ada yang sekadar tercengang tidak tahu apa yang hendak dikata, tetapi ada juga yang terus melontarkan bermacam-macam soalan padanya. Suasana menjadi hingar. Arya cuba menangkap apa yang diperkatakan mereka.
“Betul ke apa kau cakap ni? Kau tak pernah beritahu aku pun,” tanya Rohan yang duduk di sebelahnya dengan wajah yang terkejut.
“Kenapa kau tak pernah beritahu aku?” soal Tushar, juga tercengang kehairanan.
“Betul ke mimpi kau tu?” tanya Hiranya yang duduk bertentangan dengan dahi dikerutkan seperti tidak percaya.
“Wah, baguslah! Kita boleh balik rumah,” kata Gati sambil tersenyum keseronokan.
“Seronoknya kalau dapat jumpa ibu!” tambah Nirogi dengan wajah penuh harapan.
“Diam!”
“Diam sebentar.”
Pak Soedjarto bangun dan berkata untuk menenangkan keadaan. Kedua-dua belah tangannya terangkat-angkat separas dadanya. Riak wajahnya tidaklah marah sebaliknya menampakkan kelegaan kerana dengan tidak semena-mena Arya memberinya arah untuk tindakan lanjutan. Pak Budi pula hanya mampu tersenyum melihat kekecohan yang timbul ini. Mungkin dia berasa aman setelah berjaya meluahkan isi hati yang terpendam dalam ucapan Pak Soedjarto dan telah pula dimaaLan. Arya terus duduk tanpa berkata apa-apa dan mereka yang lain juga mula berdiam.
“Arya, kau tidak main-main, bukan?”
Pak Soedjarto bertanya pada Arya mahu kepastian. Apabila bertanya, bulu keningnya yang lebat terangkat sedikit lalu semakin jelas kelihatan garis-garis kedut orang tua ini. Berkulit cerah, wajahnya kasar akibat dimamah zaman, mata dan pipinya agak cekung, hidungnya tebal, berkumis juga tebal tetapi dagunya yang terbelah bercukur licin, berleher pendek, berbahu lebar dan badannya seder- hana sahaja tingginya. Apa yang disukai oleh Arya akan Pak Soedjarto ialah karisma seorang yang berpengaruh terpancar dari gaya tubuh dan cara percakapannya. Arya sekadar menggeleng sahaja.
“Baiklah. Kalau begitu, esok selepas bapak menghantar Pak Budi pulang, bapak akan cuba hubungi rakan-rakan bapak di Malaysia dan juga Konsulat Malaysia di Pekan Baru. Sementara itu, kamu semua akan kekal sebagai tetamu istimewa bapak di sini. Cuma satu sahaja yang bapak minta, kalian janganlah sekali-kali pergi ke mana-mana tanpa meminta izin dulu dari bapak. Boleh?”
“Boleh,” semua remaja-remaja itu menjawab dengan serentak. Selepas itu mereka pun berbual-bual lagi sambil mengopi sehingga lewat malam. Apabila ramai yang sudah mengantuk maka mereka pun pulang.
Seperti yang telah dirancang, keesokan paginya Pak Budi dan Joko pun meninggalkan Arya dan rakan-rakannya setelah mereka saling mengucapkan kata-kata perpisahan. Pada saat Pak Budi melambai-lambai pada mereka setelah kereta Pak Soedjarto yang membawa dia dan Joko mulai meninggalkan rumah tamu itu, Arya merasakan satu kehilangan. Perasaan itu begitu pedih baginya. Kali pertama dia terasa begitu. Bergenang air mata tapi segera disapunya. Kawan-kawannya yang lain turut terasa kehibaan itu dan ada yang menangis teresak-esak. Pagi ini bermulalah pengalaman kehidupan dalam bab pertemuan dan perpisahan bagi mereka. Sedarlah mereka akan hukum kehidupan bahawa manusia tidak mungkin akan bersama selama-lamanya. Wajah-wajah sugul muncul kerana mereka kini menyedari satu hari nanti kumpulan ini akan berpecah dan hilang peluang untuk bersenda-gurau seperti selalu.
Berita tentang perpecahan pertama kumpulan ini datang seminggu kemudian. Setelah Pak Soedjarto berjaya menjejaki ibunya, maka aturan pun dirancang agar Arya boleh pulang. Kedua-dua negara Indonesia dan Malaysia bekerjasama dalam menguruskan hal ini dengan diam-diam. Mereka merahsiakan keberadaan kumpulan remaja ini daripada diketahui awam dan lebih-lebih lagi daripada diketahui media demi menjaga keselamatan mereka. Apabila dokumen perjalanannya siap, maka hari perpisahan yang ditunggu-tunggu pun tiba seminggu lagi selepas itu.
* * * * * * * *
“Kau tahu, Arya, tak sampai dua bulan lagi harijadiku akan tiba. Aku berharap dapat menyambutnya bersamamu. Tapi nampaknya lebur saja harapanku itu. Kau akan pergi dan tak kutahu bila kita akan bersua lagi,” ujar Rohan pada malam terakhir dia bersama-sama dengan Arya. Mereka sedang duduk berdua di beranda rumah tamu itu.
“Iya, aku pun hampir terlupa. Maafkan aku, Rohan. Sudahlah aku tak memberitahumu tentang ibuku, harijadimu pun belum kusediakan hadiahnya,” balas Arya.
“Ah! Kau ini cerita tentang hadiah pula. Kau membawa aku ke sini pun dikira satu hadiah yang tak mampu kubalas seumur hidupku. Aku faham pasti kau punya alasan yang kukuh untuk tidak menceritakan soal ibumu padaku. Tapi soalnya aku sedih sekali kerana tak pasti adakah esok perpisahan terakhir kita,” kata Rohan sambil menunduk.
“Janganlah kata begitu, sahabatku. Sedih aku mendengarnya. Seolah-olah kau tak mahu berjumpa denganku lagi selepas ini,” Arya juga berkongsi perasaan yang sama dengan Rohan.
“Entahlah, Arya, tapi hatiku sekarang bukan saja ada kesedihan. Sejak beberapa hari ini aku rasa macam dalam darahku membuak-buak perasaan marah. Kadang-kadang macam aku nak mengamuk pula. Aku pun tak tahu puncanya. Tapi setakat ini, aku masih boleh mengawal perasaan itu. Cuma apabila kemarahan itu datang tiba-tiba, tak senang duduk aku jadinya,” Rohan meluahkan perasaannya pada Arya.
“Benarkah? Mungkinkah sebabnya kau gusar kerana kita akan berpisah?” soal Arya.
“Boleh jadi juga. Entahlah, aku pun tak pasti. Arya, berjanjilah padaku,” tiba-tiba Rohan membuat satu permintaan.
“Apa dia, Rohan?” tanya Arya.
“Berjanjilah bahawa kau takkan melupakan kita semua. Kau dan aku sudah berkawan berbelas tahun lamanya. Apapun terjadi padaku nanti, janganlah kau lupa kita ini sahabat sehati sejiwa,” pinta Rohan pada sahabat baiknya itu.
“Itu sudah pasti. Kita ini kan satu keluarga. Takkan putus air yang dicencang. Walaupun sejauh mana aku berada, kau tetap dekat di hatiku Rohan,” Arya memberi jaminannya.
Mendengarkan kata-kata Arya itu, Rohan pun terdiam. Melihat sahabatnya dalam keadaan itu, Arya pun menggeletek ketiaknya. Rohan kegelian. Dengan cepat dia berganjak ke tepi langsung berdiri. “Eh, eh kau ini! Dari dulu kau suka menggeletek aku. Kau ingat kau seorang saja boleh buat macam tu?”
Tanpa menunggu jawapan Arya, dia pula mahu menggeletek ketiaknya. Arya mengepitkan lengannya rapat-rapat ke tubuh lalu berguling ke lantai sambil ketawa. Rohan juga tertawa. Mereka terus bergurau dan kemudian berbual-bual lagi mengenang kisah lama sehingga sampai ke waktu dinihari. Apabila sudah mengantuk, mereka pun masuk tidur.
Pak Budi juga telah datang dari kampungnya untuk berjumpa dengan Arya pada hari pemergiannya. Sungguh pilu suasana pagi itu di rumah tamu Pak Soedjarto. Kawan-kawannya tidak dapat menahan kesedihan. Seorang demi seorang, mereka memeluk erat-erat Arya dalam tangisan yang tak henti-henti. Pemergian Arya amat berat untuk diterima. Walaupun bersedih tetapi mereka ada jua rasa gembira. Gembira kerana akhirnya rakan setiawan ini sudah menemui langkah seterusnya dalam hidupnya. Sungguh ketika itu ucapan perpisahan terlalu berat rasanya apabila dituturkan dari bibir-bibir mereka. Namun akhirnya mereka harus melepaskan Arya dalam kerelaan. Orang yang terakhir memeluk Arya ialah Pak Budi. Setelah meninggalkan sedikit pesan maka Arya pun dilepaskan. Lalu dia berjalan longlai menuju ke kereta. Dengan sekilas tolehan Arya masuk ke dalam kereta dan tak sampai seminit kemudian, kereta itu terus meluncur pergi meninggalkan mereka semua. Destinasinya adalah ke sebuah lokasi terpencil yang menjadi lapangan terbang tentera di pinggir Kota Bengkulu. Dari sana dia akan diterbangkan ke Malaysia untuk bersatu dengan ibunya.
Adapun akan hal sahabat-sahabat Arya, masih belum dapat dikenalpasti identiti keluarga mereka. Penyiasat-penyiasat wakil kerajaan Malaysia telah datang menemuramah dan mengambil sampel darah mereka untuk menentukan waris mereka. Tetapi mereka perlu pula memadankan keputusan ujian DNA remaja-remaja ini dengan DNA rakyat Malaysia. Sungguhpun sudah ada pangkalan data, namun pengesahan itu mungkin mengambil masa yang lama atau boleh jadi juga tiada keputusan langsung. Andai tiada keputusan, maka lebih sukar lagi untuk mengetahui kewarganegaraan mereka.
Sungguh terlalu rumit masalah mereka ini hendak dirungkaikan. Kertas siasatan Asramanita yang telah dibuka semula pun tidak cukup maklumat untuk menerangkan segala-galanya. Ditambah lagi jurisdiksi undang-undang tak dapat dilaksanakan ke atas jenayah penculikan itu kerana dalang utamanya adalah merupakan syaitan yang tak mungkin dapat dicari. Oleh yang demikian, mereka kekal buat sementara tinggal di bawah naungan Pak Soedjarto. Rumah tamu itu berada di bawah kawalan ketat pihak berkuasa sepanjang masa.
Ada pula akan halnya tiga orang tukang masak yang mereka bawa sekali kini telah pulih tetapi ingatan mereka hilang. Tiada langsung memori mereka pada hidup sebelumnya. Walaupun kemahiran-kemahiran seperti berbahasa, menulis, membaca dan memasak masih ada, kenangan masa silam mereka telah terpadam semuanya. Oleh itu, mereka harus memulakan hidup baru. Kira beruntung mereka kerana Pak Soedjarto telah mengambil mereka bekerja di rumah tamunya itu.
Share this novel