BAB 19

Romance Completed 38699

‘SAYA tak mahu dengar lagi pasal Reza. Saya nak berhenti esok jugak!”

Izham mengerut dahinya sambil bertanya, “Apa yang Reza dah buat dengan Maya sampai Maya hendak bertindak melulu begini?”

Maya meluru ke arah biliknya sambil menghempas pintu. Baginya sudah tiada makna untuk berurusan dengan lelaki yang ego dan tidak reti berterima kasih seperti Reza tu. Selama ini dia hanya buang masa memikirkan Reza merupakan bos yang baik hati dan prihatin namun sebenarnya dia silap. Segalanya hanya indah khabar daripada rupa. Kalau diberi peluang sekali lagi pun dia tidak akan kenbali kepada Reza lagi. Cukuplah sekali Reza menyakiti hatinya. Dia tidak akan sesekali menerima kembali kehadiran lelaki ini dalam hidupnya lagi.

Izham mengetuk pintu Maya, “Boleh abang cakap sikit dengan Maya?”

Maya membalas perlahan, “Masuklah. Pintu tak kunci pun.”

Izham hanya mampu mengerutkan dahi, “Mungkin dia stress dengan kejadian tu. Berilah dia peluang untuk menjelaskan keadaan Maya. Abang tahu dia tak maksudkan apa yang dia cakap tu.”

“Maya dah letih, bang. Reza pentingkan diri sendiri. Bajet terer!”

Izham menggeleng kepala sambil duduk di sebelah Maya, “Takkan Maya nak berhenti macam tu jer. Bagaimana dengan kehidupan Maya selepas ini?”

Maya menggeleng laju, “Maya tak nak fikir dulu. Maya nak tenangkan fikiran.”

Izham mengetap bibir. Dia tahu dia tidak berhak mengatur hidup adiknya sendiri kerana dia berhak mendapat yang terbaik dalam hidupnya. Namun kadangkala dia terpaksa juga ikut campur dalam urusan hidup adiknya demi kebaikan bersama. Dia tahu Maya menaruh hati pada Reza secara tidak sengaja namun mereka hanya insan biasa yang mahu merasai cinta. Tapi dia memang tidak faham apa yang teradi antara mereka berdua sehingga Maya nekad untuk berhenti dari Interscope. Besar sangatkah kesalahan yang dibuat oleh Reza sehingga Maya sanggup bertindak sejauh itu.

Maya terdengar deringan telefon bimbitnya lalu memeriksa id pemanggil. REZA HAIKAL.

“Ah, pergi mampuslah dengan mamat sengal ni!”

Namun deringan itu terus berbunyi sehingga mengganggu dia sedang berehat. Dia menjadi berang lalu dia bingkas duduk di atas katilnya sambil menjawab telefon tersebut.

“Maya, I ada sesuatu nak bagi tahu you,” suara Reza perlahan menjawab.

Maya hanya mengetap bibir sambil mendengar, “I bosanlah bos. Call esok jer!”

Reza sempat menghalang Maya dari meletak telefon, “Nanti dulu Maya, I serius nak cakap dengan you. I tak tahu kenapa I berkasar dengan you. Maafkan I sebab I tak pandai jaga perasaan you.”

Maya sudah mula menguap bosan, “Kita cerita esok saja, boleh tak?”

Nada Reza mulai berubah, “You benar-benar tak mahu tengok I lagi?”

Maya tergamam dengan pengakuan Reza sebentar tadi, “Apa maksud bos ni? Saya tak faham langsung. Bos jangan buat benda mengarut boleh tak?”

Reza terus menyambung bicara, “Janganlah berhenti dari syarikat saya. Interscope amat memerlukan awak. Saya tahu saya silap. Hukumlah saya tapi jangan tinggalkan Interscope. Demi saya dan awak juga.”

Maya berasa terharu. Memang dia bencikan Reza kerana perangainya yang suka menyakiti hatinya setiap kali bertemu namun tadi entah mengapa dia berasa begitu berkecil hati dengan tindakan Reza terhadapnya. Dia hanya ingin membantu tapi kenapa Reza menghalangnya? Apakah pertolongannya selama ini pun tidak dihargai sepertimana ini? Memikirkan hal itu saja membuat kemarahannya seakan mekar kembali. Dia benar-benar sakit hati dengan layanan Reza terhadapnya selama ini. Seolah-olah dia selama ini hanya sebagai penyibuk yang mengganggu kehidupan Reza.

“Boleh saya jumpa awak untuk seketika? Saya perlu jumpa dengan awak.”

Maya melihat jam di dinding, “Dah lewatlah bos. Saya pun letih ni.”

Padahal kelentong saja. Baru pukul 5 petang namun Maya tetap tidak mahu bertemu dengan Reza kerana hatinya terlalu sakit dengan perbuatannya tadi. Kalau boleh dengar suara dia pun Maya sudah tidak mahu lagi. Rasa nak ketuk dengan lesung batu saja kepala bosnya yang kacak sangat tu barulah puas hati dia.

Reza terus memujuk, “Jumpalah saya walau sekali malam ni.”

Nampaknya Reza benar-benar bersungguh mahu menemuinya. Mengapa pulak dia sendiri yang berasa teruja dan takut?

“Saya janji kalau saya tidak berjaya pujuk awak malam ni, saya tidak akan ganggu awak lagi.”

Maya menjawab sebelum Reza mematikan talian, “Bos! Biar saya jumpa bos sekarang.”

Reza kedengaran ceria semula, “Jumpa di Taman Tasik Perdana, okey?”

“Okey, saya datang sana.”

Hampir setengah jam Reza menanti di bangku berdekatan tasik. Dia tidak berputus asa kerana dia tahu Maya adalah wanita yang berpegang pada janji. Kalau Maya tidak datang pun, dia tidak berhak untuk menyalahkan dia kerana ini semuanya kesalahannya yang harus dia tanggung sendiri. Lama Reza termenung jauh ke arah tasik yang menerbitkan butiran permata berwarna jingga akibat disimbahi cahaya mentari yang mulai tenggelam itu. Hembusan bayu menerjah segenap ruang hingga Reza hampir hanyut dalam lamunannya itu sendiri. Dia sendiri pun tidak sedar apabila Maya sudah pun berdiri di hadapannya dengan senyuman terukir di bibir.

Sambil meraup wajahnya, Reza bangun, “Awak dah lama sampai ke?”

Maya menggeleng sambil menjawab selamba, “Baru saja sampai tadi.”

Reza tertawa sambil menyeka airmatanya, “Saya sepatutnya pick you up tadi kan?”

‘Itulah, tak gentleman langsung,” perli Maya lagi sambil tersenyum.

Reza memaksa senyumnya sambil menggaru kepala yang tidak gatal, “Kita duduk dekat restoran tu nak? Cari port yang berdekatan dengan tasik.”

Maya hanya mengangguk menuruti kehendak bosnya itu, “Saya ikut jer.”

Mereka mengambil tempat yang betul-betul mengadap ke tasik. Angin sepoi-sepoi bahasa itu benar-benar mendinginkan suasana. Maya kelihatan menarik kotnya untuk menutupi tubuhnya yang hanya dibaluti oleh baju kurung krim itu. Berbeza dengan Reza yang lengkap dengan jaket dan persalinan kemeja-t dan jeans serba hitam, mereka seolah-olah dua insan yang mempunyai perspektif yang berbeza. Renungan Reza yang mendalam itu memainkan seribu makna. Maya melarikan pandangannya ke arah tasik yang tenang itu. Kelihatan beberapa ekor angsa sedang berenang dengan riang bersama dengan si kecil mereka.

“Saya nak minta maaf pasal kejadian tadi. Saya tak patut buat awak macam tu.”

Maya mengerling seketika ke arahnya, “Jadi ke bos pergi klinik tadi?”

Reza tersengih sambil memandang meja, “Sebab awak tak ada untuk hantar saya.”

Maya menumbuk manja bahu Reza, “Boleh pulak macam tu!” Mereka terdiam seketika. Terasa berat pula mulut ini untuk memulakan sebarang bicara.

Reza berdehem sambil bertanya kepada Maya, “So, awak nak makan apa? Saya rasa kita patut try menu yang terbaik untuk hari ini. Saya belanja awak.”

Maya menatap menu di tangannya sambil bermain dengan gulungan rambutnya. “Sebenarnya perut saya kenyang lagi. Tapi tak apalah memandangkan bos yang belanja saya, takkan saya nak menolak pulak. Itu namanya menolak rezeki, tak baik.”

Reza tersenyum sambil memandang ke bawah. Seorang pelayan lelaki yang agak muda berpakaian serba lengkap dengan uniform pelayan berwarna biru muda itu menuju ke arah meja mereka untuk mengambil pesanan. Reza menghulurkan menu tersebut kepada pelayan tersebut agar mereka diterangkan serba sedikit mengenai menu yang istimewa untuk hari ini. Setelah berpuas hati dengan penerangan ringkas yang diberikan oleh pelayan tersebut, Reza membuat pesanan sambil menghulurkan tips kepada pelayan tersebut. Maya hanya memandang mereka dengan penuh takjub.

“Apa yang awak pesan untuk kita?”

Reza memandang Maya dengan penuh minat, “Awak suka daging kambing tak? Saya pesan lamb chop untuk kita tadi.” Reza kemudian merenung Maya dengan serius, “Awak tak ada alahan terhadap apa-apa makanan kan?”

Maya menggeleng laju, “Mana ada! Saya telan apa sahaja yang bergerak.”

“Maya!” Kedua-dua mereka tertawa terbahak-bahak sampailah pesanan mereka akhirnya tiba dan dihidangkan di atas meja.

“Bau macam sedap jer,” tegur Maya sambil menghidu bau makanan yang terhidang.

Reza mengambil sudu dan garfu sambil membaca doa, “Cuba rasa, sedap tak?”

Maya mengangguk perlahan sambil menjamah sedikit, “Hmmm...sedap jugak.”

Reza meletakkan sudu dan garfu. Wajahnya kembali serius seperti waktu dia berkerja. Dia memandang Maya seperti ada banyak perkara yang ingin diungkapkannya. Maya menelan air liurnya sendiri. Terasa payau rasanya. Reza membetulkan kedudukannya dan kelihatan dahinya berkerut seribu. Kasihan bos, belum tua lagi dah berkerut-kerut dahi dia, fikir Maya dalam hati sambil tersengih. Reza sudah mula mengetap bibir. Mesti benda ini serius untuk dibincangkan. Alahai, cuak pulak bila menanti macam ni.

“Boleh tak awak maafkan saya pasal semalam?”

Maya tersentak. Dia melarikan pandangannya, “Kan bos nak minta maaf tadi.”

Reza merenung Maya dengan penuh perasaan, “Kali ini saya benar-benar serius. Janganlah berhenti dari Interscope. Kami amat perlukan khidmat awak.”

Maya tersandar kerana terkejut, “Macam mana bos boleh fikir ke situ?”

Reza menanggalkan kacamatanya dan meraup wajahnya, “Sebab saya boleh baca fikiran awak masa kita bertengkar tadi.”

Maya menjongket kening, “Kalau saya nekad berhenti, apa bos nak buat?”

Reza bangun dari kerusi sambil melutut di sebelah Maya, “Saya sanggup bat apa sahaja agar awak tidak meninggalkan syarikat saya. Awak cakap sahaja apa awak nak saya akan tunaikan.”

Orang sekeliling memandang mereka namun Reza langsung tidak mengendahkan mereka. Dia tetap duduk melutut di hadapan Maya dan Maya pula terkaku menyaksikan adegan di hadapannya ini. Bosnya melutut di hadapannya meminta agar dia kembali bekerja di syarikatnya semula. Belum pernah dalam sejarah ada bos yang sanggup mengorbankan egonya dan melakukan perkara seperti ini. Muka Maya sudah mula kemerahan kerana rasa malu kepada pengunjung yang makan di situ.

“Apa bos buat ni? Bangun cepat! Orang tengah tengok kita.”

Reza menggeleng sambil memandang Maya, “Kalau awak berhenti dari syarikat saya, saya akan melutut macam ni sepanjang masa.”

Maya menarik bosnya untuk bangkit, “Okey, saya takkan berhenti. Bangunlah!”

Reza meraup wajahnya sambil tersenyum ceria, “Betul ni, awak tak bergurau kan?”

Maya menggeleng laju. Reza seboleh-bolehnya mahu melompat ke atas meja untuk menyatakan betapa gembiranya hati dia mendengar bahawa Maya masih mahu bekerja bersamanya. Dapatlah dia mengubati kerinduan dia lagi. Dia berjanji akan menjaga Maya dengan baik dan tidak akan sesekali melukai hatinya lagi. Maya tersenyum simpul sambil membuang pandangan ke arah lain. Di hadapan restoran itu kelihatan ada pentas khas buat pemuzik yang akan membuat persembahan pada petang itu. Secara tiba-tiba Reza bangun sambil berjalan menuju ke arah pentas tersebut lalu menghampiri pemain gitar dari kumpulan muzik yang sedang berada di atas pentas tersebut. Maya juga nampak Reza membisikkan sesuatu pada pemain gitar tersebut dan dia nampaknya mengangguk tanda setuju.

Bertambah terkejut Maya apabila Reza secara tiba-tiba naik ke atas pentas sambil duduk di atas bangku penyanyi sambil mengadap mikrofon yang siap terpasang. Maya menggosok matanya berkali-kali kerana dia tidak percaya langsung dengan apa yang dilihatnya sekarang ini. Muzik mula dimainkan dan Maya semakin berdebar apabila Reza mendekatkan mulutnya dengan mikrofon tersebut.

“Terima kasih semua. Saya akan tujukan lagu ini buat staf kesayangan saya.”

Maya terkedu dengan pengakuan berani bosnya itu. Hampir dan nyaris-nyaris dia tercekik dibuatnya. Reza ingin menyampaikan lagu ‘Mewangi’ khas buatnya. Alamak, bosnya ini pandai menyanyi ke? Jangan tak cukup nafas sudah. Namun apabila Reza mula menyanyi sememangnya suaranya cukup mempesonakan. Lagi sedap dari Akim pulak tu! Kawalan suara yang cukup luarbiasa. Tak pasal-pasal Maya dah bertindak sebagai juri professional menilai kehebatan Reza. Suaranya benar-benar menusuk kalbu dan penghayatannya benar-benar sampai ke hati. Maya tersenyum mendengar nyanyian Reza sambil berkhayal. Kacak benar bosnya ini ketika sedang menyanyi.

Sebaik sahaja selesai dengan lagu ‘Mewangi’, Reza turun dari pentas lalu duduk di sebelah Maya dengan selamba.

“Sedapnya bos nyanyi. Tak nak masuk Juara Lagu ke?”

Reza menjegilkan matanya, “Aik, perli saya ke? Awak ingat saya tak tahu seni ke?”

Maya menggeleng sambil tertawa, “Hensem giler bos menyanyi dekat depan tadi. Cair habis awek-awek yang ada dekat sini tadi.”

Reza tersengih sambil menghirup jus oren yang masih berbaki, “Ya ke ni?”

Maya angkat tangan, “Sumpah memang semua terpaku tadi.”

Reza menggeleng kepala lalu mengeluarkan sesuatu dari saku jaketnya. Dia mengeluarkan dompetnya lalu memanggil pelayan yang berada di sudut kaunter untuk memberikannya bil. Dia menghulurkan kad debit sambil menanti dengan sabar setelah pelayan tadi kembali ke kaunter untuk mengira bilnya tadi. Sambil itu Reza sempat lagi menjeling Maya yang sedang merenung jauh ke luar tingkap restoran seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Reza kurang gemar bila orang yang menemaninya mengelamun seorang diri. Seperti dirinya di hadapan ini tidak wujud langsung. Dia memetik jari untuk menyedarkan Maya dari lamunannya.

“Kenapa bos, ada yang tidak kena ke?”

Memandang muka bosnya yang kelat itu cepat-cepat dia berbuat muka comel. Reza pulak senang sangat tercuit hatinya dengan telatah comel Maya, “Maya, janganlah buat macam tu.”

Maya menyakat Reza dengan jelingannya, “Buat yang macam mana?”

Reza berpaling ke arah lain sambil tertawa, “Penat saya kontrol macho ni tahu?”

Tak payah kontrol pun. Bos memang dah macho pun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience