BAB 21

Romance Completed 38699

“KENAPA awak push diri awak hingga ke tahap merbahaya seperti ini?”

Teguran Doktor Hakimi seolah-olah tidak diendahkan oleh Reza. Reza hanya menayang muka selamba ketika menyarungkan semula kemejanya selepas medical checkup secara menyeluruh. Maya yang berada di sisinya itu juga agak segan silu untuk memandang tubuh Reza yang begitu sasa dan tegap tanpa pakaian. Perlahan-lahan Reza membutangkan bajunya satu persatu sambil mengeluh. Doktor Hakimi menyemak rekod perubatan Reza sambil merenung ke arah mesin nadi yang dipasang pada lengan Reza. Kadangkala dia meminta Reza untuk menarik nafas dan menghembusnya kembali.

“Tekanan darah awak agak tinggi sekarang,” komen Doktor Hakimi secara serius.

Reza menggeleng laju, “Dah beberapa hari saya diet. Takkan tak ada langsung perubahan. Merepeklah doktor ni!”

Doktor Hakimi menjeling tajam, “Habis tu dengan diet awak ingat boleh selesaikan semua masalah?”

Reza bingkas bangun lalu mengatur langkah menuju ke mejanya. Dia membuka kunci laci di bahagian atas mejanya dan mengeluarkan sebuah buku cek dari laci tersebut. Dia menulis sesuatu lalu menarik kepingan tersebut dan menghulurkannya pada Doktor Hakimi.

Reza tersenyum ketika menghulurkannya, “Ini payment awak. Awak boleh beredar dari sini.”

Doktor Hakimi menggeleng dengan penuh kesal, “Saya tak tahu macam mana nak cakap dengan orang degil macam awak ni!”

Maya turut sama mencebik bibir, “Bos ikutlah arahan doktor tu.”

Reza menoleh ke arah Maya. Wajahnya seperti sedang berang, “Awak sebelah siapa ni?”

Maya terkedu seketika, “Janganlah marah bos. Saya cakap benda yang betul itu sahaja. Sebab saya risaukan keadaan bos.”

Reza kembali duduk di kerusinya dan membut panggilan telefon. Kemudian dia memandang Doktor Hakimi seperti sedang memberi isyarat. “Boleh keluar sekarang tak?” Kemudian Reza terus menyambung panggilan tersebut sambil matanya ralit memandang Maya yang sedang mengiringi Doktor Hakimi keluar dari bilik tersebut.

“Maafkan bos saya tu. Mungkin mood dia kurang baik hari ini,” ulas Maya.

Doktor Hakimi menggeleng sambil tersenyum, “Tak apa. Saya tak ambil hati pun. Jagalah dia baik-baik.”

Sebaik sahaja bayang Doktor Hakimi hilang dari pandangan, Maya menyerbu masuk ke dalam bilik Reza sambil bercekak pinggang, ‘Kenapa perangai bos ni teruk sangat? Susah payah dia datang sini nak rawat bos. Kenapa layan Doktor Hakimi macam tu?”

Reza menjegilkan matanya, “Kenapa awak sibuk sangat dengan dia?”

Maya tergamam sambil mengurut dada, “Kenapa bos jadi macam ni? Mangucap bos!”

Reza bingkas bangun lalu menuju ke arah tingkap, “Saya dari dulu memang tak suka dengan dia. Awak tak tahu ke dia musuh ketat saya semasa sekolah menengah lagi!”

“Huh?” Maya memang tidak memahami bosnya ini. Musuh ketat?

Reza meraup wajahnya dengan bengis sambil menumbuk meja. Mengenangkan tentang kemesraan Hakimi terhadap Maya sahaja tadi sudah menyebabkan marahnya itu semakin meluap-luap. Benci benar dia setiap kali Hakimi muncul di hadapannya kerana lelaki itulah yang bertanggungjawab merampas kekasih hatinya darinya dahulu. Entah bagaimana wanita yang cukup dicintainya dahulu sanggup berubah hati dan berpihak pada Hakimi. Kononnya Hakimi lelaki yang lebih baik budinya dari dirinya sendiri. Terasa hatinya disiat-siat tanpa sedikit pun belas kasihan daripada kekasih hatinya itu. Emma Sofea, wanita manis yang dahulunya sentiasa menjadi pendampingnya di saat dia melayari bahtera malam hari kini sudah berubah. Bertudung litup dan sopan pekertinya. Rupanya dia berubah kerana dia kini mencintai orang yang sepatutnya dicintai. Memang sehingga kini Reza masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia kalah kepada Hakimi.

Reza menyandar pada kerusi setelah melabuhkan punggungnya, “Awak tak faham bagaimana saya terseksa tengok dia bahagia di samping lelaki tak guna tu!”

Maya hanya menggeleng, “Kalau bos memang cintakan dia, redhakanlah.”

Reza menoleh ke arah Maya, tergamam dengan kata-katanya, “Awak ingat macam tu sahaja saya nak biarkan dia? Tak mungkin! Not in his dreams!”

Maya berdiri di sebelah Reza sambil mengurut belakangnya, “Tapi demi Allah bos perlu redha dengan segala perancangannya bukan?”

“Saya tak tahu kalau saya boleh maafkan dia.”

Maya menepuk belakang Reza, memberinya semangat, “Saya tahu bos boleh lakukannya.”

Reza menekup mukanya dengan telapak tangan, “Maafkan saya. Saya tadi hilang pertimbangan bila nampak dia bersama awak. Saya jadi lupa diri seketika.”

Maya duduk mencangkung sambil merenung wajah Reza, “Saya akan setia dengan bos.”

Reza merenung balas mata Maya. Dia mencari ketulusan yang lahir dari renungan tersebut. Ia memang jernih dan jelas padanya. “Jangan pernah sekalipun awak tinggalkan saya.”

“Kalau bos boleh ubah perangai bos, InsyaAllah,” balas Maya.

Reza membuang pandangannya ke arah tingkap, “Selama ni sikap saya menjengkelkan awak ke?”

Maya mengangguk sambil tersenyum, “Nak buat macam mana kan, dah bos kita.”

Maya terdiam sebentar. Ni memang statement menempah maki hamun Muhammad Reza Haikal Adriansyah ni! Matilah kalau mulut bos yang laser tu mula beroperasi. Maya pulak selalu cakap ikut sedap mulut dia saja. Mentang-mentanglah dah naik pangkat dah nak act pulak depan bos. Kalau silap hari bulan memang dapat makan penendang percuma!

Maya menundukkan wajahnya, “Sorrylah bos kalau saya terlebih cakap.”

Reza tersenyum sambil menjeling Maya, “Saya boleh je nak denda awak. Kalau sangguplah nak terima.”

“Saya terima sahaja. Dah lah tak dapat cuti. Kerja bertimbun! Apa lagi yang tinggal!”

Reza menghulurkan sekeping tiket pada Maya, “Awak boleh berehat esok. Saya bagi awak cuti dan ini tiket percuma kalau awak nak tengok Jurassic World yang sedang hot sekarang ni.”

Cuti esok? Tengok wayang lagi? Wow! Gempak!!

Tangannya gagah memulas tombol pintu rumahnya, Reza melangkah longlai menuju ke ruang tamu sambil menanggalkan kot yang tersarung kemas di badannya yang sasa itu. Tangannya melurut rambutnya ke belakang seolah-olah memikirkan sesuatu. Dicapainya telefon bimbit yang berada di dalam kocek seluar slacknya itu lalu mendail nombor yang agak asing. Dada Reza turun naik akibat cemas menantikan jawapan dari orang yang dihubunginya itu. Namun dia tenang sahaja menanti. Sudah lama dia tidak berhubung dengan rakannya yang seorang ini. Hanya dia yang mungkin faham apa yang dialaminya sekarang ini.

“Hello, ni abang Reza ke?”

Reza tersenyum lebar mendengar balasan dari sebelah sana, “Ya, ni abang bercakap.”

Suasana agak tenang seketika. Dua-dua tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara.

Reza menyambung semula, “Riana macam mana dekat sana. Sihat ke? Lama abang tak tengok keluarga Riana.”

Riana membalas, “Kami sihat je dekat sini. Abang apa khabar dekat sana?”

Reza pantas membalas dengan mesra, “Semuanya okey je. Nanti bila senang abang datang tengok Riana dengan parents dekat sana.”

Terasa begitu lama dia tidak menemui adik angkatnya yang seorang ini. Sudah bagaikan teman karib dan keluarga sendiri, Reza lebih senang meluahkan perasaannya dengan Riana yang berusia 4 tahun lebih muda daripadanya itu. Riana gadis bertudung yang agak kekampungan sedikit. Kerana tidak berkenan dengan cara hidup Reza sebelum ini, Riana bertindak berpindah mengikut keluarga pulang ke kampung di Perak untuk mencari ketenangan. Riana tidak dapat menerima cara hidup Reza yang begitu kebaratan dan tidak tahu halal atau haram itu.

“Boleh tak abang minta sesuatu dari Riana?” Suara Reza penuh nada sebak.

Riana termanggu mendengar bait kata Reza, “Apa maksud abang ni? Cakap ajelah.”

Reza terdiam seketika. Dia teragak-agak untuk memberitahu Riana tentang perasaannya kini, “Abang nak minta maaf atas kelakuan abang sebelum ini. Harap Riana sekeluarga sudi maafkan abang yang hina ini.”

“Kenapa abang cakap macam tu?” Riana menangis teresak-esak.

Reza memujuk Riana, “Janganlah menangis. Abang ni okey saja dekat sini. Doakan kesihatan abang ye?”

Riana membalas dengan tenang, “Riana doakan abang bertemu jodoh yang baik.”

Reza tergamam mendengar balasan Riana, seolah-olah mengetahui segalanya, “Bagaimana Riana tahu abang sedang menyukai seseorang?”

Riana tertawa kecil. Barangkali tercuit hatinya dengan perangai baru abang angkatnya ini. “Riana tahu daripada suara abang. Abang sedang bahagia sekarang, kan? Siapa perempuan bertuah tu?”

Malang sungguh perempuan itu barangkali, fikirnya sendiri. Layakkah pendosa sepertinya mencintai wanita sehebat Maya Karmila? Wanita yang cukup suci dan mulia pada pandangannya. Apakah dirinya sudah cukup untuk menyempurnakan hidup Maya untuk menjadi belahan jiwanya. Dia takut sekiranya dia tidak mampu menjaga Maya seperti yang dikehendaki. Dirinya cukup khilaf dan penuh dengan noda. Bagaimana dia boleh berdiri sama tinggi dengan Maya yang sempurna serba serbi itu.

“Abang tak janji dia sukakan abang. Sebab dia terlalu sempurna. Abang tak mampu nak menggapai dia walaupun dier terlalu dekat,” rintih Reza sambil menundukkan muka.

Riana tertawa kecil, “Ewah, jiwang karat nampaknya abang kita seorang ini.”

Reza turut menghamburkan tawanya, “Okey adik ni dah melalut ke mana ni? Okeylah abang pergi mandi dulu. Jaga ibu dan ayah tu elok-elok. Mana suami Riana, Abang Faizal?”

Riana kembali dengan nada serius, “Tengah busy menyelesaikan assignment dia. Sampai ke rumah dia bawa kerja dia. Sampai saya pun dia tak layan dah.”

Reza menggaru kepala yang tidak gatal sambil memandang ke arah jam yang tergantung di dinding ruang tamunya, “Pulak dah! Nanti abang sound dia sikit pasal tu.”

“Tak payahlah bang. Jangan kecoh-kecoh sangat! Bukannya hal besar pun,” balas Riana dengan selamba.

Reza mengerling ke arah bajunya yang sudah basah dek peluh. “Abang off dulu la. Take care ya, sayang?”

“Okeylah, bang. Jaga diri!”

Reza mengatur langkah yang longlai ke biliknya sambil perlahan-lahan melucutkan kot mahal hingga jatuh terjelepuk di atas lantainya yang dialas dengan permaidani perang. Kemudian dia menarik tali lehernya lalu melonggarkan butang kolarnya. Tali leher itu dilemparnya ke atas katil dan akhirnya dia melucutkan satu demi satu butang baju kemeja yang terpaut kemas di tubuh sasanya sambil melepaskan keluhan yang panjang. Akhir sekali dia melepaskan seluar slacknya lalu mencapai tuala putih yang tergantung kemas di almari sebelum dia melucutkan boxer hitam sekali lalu melangkah masuk ke dalam kamar mandinya yang cukup mewah. Pancuran airnya diperbuat dari bahan binaan mewah dan tab mandinya pula sudah cukup menjadikan kamar mandi itu begitu selesa untuk dihuni berjam-jam. Selepas membuka pili pancuran air tersebut, Reza membiarkan dirinya di bawah pancuran air yang hangat itu. Rintik-rintik air membasahi tubuh sasanya yang tidak ditutupi walau seurat benang pun. Dia mendongak untuk menikmati dengan lebih enak lagi tempias air di wajahnya.

Selesai mandi, Reza mengambil wudhu sebelum melangkah keluar dari kamar mandi. Dia membalut tubuhnya dengan tuala pada paras pinggang sambil mengatur langkah ke almari pakaian. Puas dia menyelak semua pakaian di dalam almari itu sebelum dia terjumpa sehelai baju melayu ungu yang dibelikan untuk ayahnya dahulu. Belum sempat dia ingin memberinya pada ayahnya, dia terlebih dahulu dijemput Illahi. Betapa menyesalnya Reza kerana memilih untuk berseronok lebih dari menjaga kedua ibu bapanya. Kini segalanya sudah berlalu dan air mata darah pun tak dapat mengubah apa-apa. Dia memandang sayu baju tersebut sebelum menyarungkannya pada badannya sendiri. Dia menghidu bauan yang ada pada baju tersebut. Dia menghampar sejadah seperti biasa dan bersolat. Biarkan dirinya dekat dengan Penciptanya untuk malam ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience